You are on page 1of 12

Sosialisasi Definisi- proses di mana manusia mempelajari kemahiran dan sikap yang berkaitan dengan peranan sosial mereka.

Kalaulah seseorang individu itu belum disosialisasikan, maka adalah susah untuk berinteraksi dengan orang lain atau bekerja dalam satu-satu kumpulan. Melalui proses sosialisasi, seseorang individu akan menghayati nilai dan norma masyarakat sehingga satu ketika di mana nilai dan norma masyarakat tersebut akan menjadi nilai dan normanya sendiri. Nilai Definisi- tanggapan mengenai apa yang baik atau buruk dalam sesebuah masyarakat. Namun, apa yang baik di dalam sesebuah masyarakat tidak semestinya dianggap baik oleh masyarakat yang lain. Nilai adalah abstrak dan berbentuk konsep-konsep am. Norma Definisi- kelakuan standard yang dikongsi oleh ahli-ahli kumpulan. Ahli-ahli kumpulan akan juga mematuhi norma-norma yang disediakan.

Norma Sosial Definisi- peraturan yang dipersetujui dan ditentukan oleh sebahagian besar ahli-ahli kumpulan atau masyarakat. Kepatuhan kepada norma sosial adalah penting bagi mewujudkan perpaduan sesuatu masyarakat. Contoh norma-norma sosial ialah larangan terhadap perbuatan mencuri, membunuh, menipu, merompak dan merogol. Masyarakat akan menjadi kacau-bilau sekiranya tidak terdapat norma-norma sosial. Norma sosial akan wujud hasil daripada interaksi sosial. Ia dipelajari melalui sosialisasi dan penghayatan. Norma sosial sentiasa berubah dari semasa ke semasa, sejajar dengan perubahan dan perkembangan baru yang dibawa oleh kemajuan dalam sains dan teknologi. Tingkah laku yang tidak mematuhi norma sosial dikenali sebagai lencongan. Dengan itu, sikap berterima kasih kepada ibu bapa kita dianggap sebagai norma manakala penderhakaan terhadap ibu bapa dianggap sebagai lencongan. Penghayatan seperti ini akan menyebabkan nilai dan norma sesuatu kelompok terus dikekalkan. Dengan ini, sosialisasi merupakan satu cara yang penting bagi kawalan sosial.

Kawalan Sosial Definisisatu cara yang digunakan oleh masyarakat atau kelompok untuk

mempengaruhi tingkah laku anggota-anggotanya supaya mereka menghargai nilai-nilai serta mematuhi norma-norma, tradisi dan pola-pola tingkah laku yang diterima oleh satu-satu masyarakat itu. Kawalan sosial boleh berbentuk positif atau negatif dan kedua-dua ini pula mungkin bersifat formal atau tidak formal. Kawalan sosial positif adalah berasaskan motivasi positif seseorang untuk mematuhinya. Dalam keadaan ini, intensif-intensif seperti ganjaran, hadiah atau faedah-faedah lain hendaklah disediakan. Apabila seseorang individu telah menghayati nilai-nilai dan norma-norma masyarakat, dia telah terdorong untuk mematuhi nilai-nilai dan norma-norma yang dipercayainya itu. Kawalan sosial yang negatif adalah dalam bentuk hukuman atau ketakutan terhadap hukuman. Misalnya, Kimmy diajar supaya menghormati orang tua. Apabila Kimmy tidak menyapa datuknya dengan baik, dia dirotan oleh ibunya. Pada masa yang lain, Kimmy mula menghormati datuknya kerana takut dihukum oleh ibunya. Ini merupakan kawalan sosial negatif. Sebaliknya, jika Kimmy telah menghayati nilai menghormati orang tua, dia akan menyapa datuknya dengan baik secara ikhlas dan bukan lagi kerana takut dirotan oleh ibunya. Ini pula merupakan kawalan sosial yang positif. Selain daripada hukuman oleh ibu bapa, individu-individu dalam masyarakat juga dikenakan kawalan sosial negatif yang lain. Contohnya, seseorang pemandu kereta yang tidak mematuhi lampu isyarat akan dikenakan hukuman sebanyak tiga ratus ringgit, seorang pencuri boleh dipenjarakan sehingga beberapa tahun, manakala seseorang pengedar dadah akan dihukum gantung sehingga mati. Kawalan sosial yang formal melibatkan sistem kewibawaan seperti peraturanperaturan, undang-undang dan pelbagai badan tertentu untuk melaksanakannya. Sistem kewibawaan tersebut akan menentukan jenis ganjaran atau hukuman yang harus disediakan dalam situasi-situasi tertentu. Badan-badan kawalan formal terdiri daripada polis, mahkamah, penjara, hospital sakit jiwa dan pusat pemulihan akhlak. Ahli-ahli badan kawalan sosial pula terdiri

daripada polis, hakim, peguam dan pegawai-pegawai penjara. Antara fungsi-fungsi badan kawalan sosial ialah: 1. Mengenakan balasan ke atas orang yang bersalah. 2. Mengenakan hukuman ke atas penjenayah. 3. Memulihkan orang yang bersalah dengan memberikan pendidikan agama, sesi kaunseling dan latihan vokasional. Fungsi pertama dapat dijalankan oleh pihak polis yang sentiasa menjaga keselamatan rakyat, manakala mahkamah menjatuhkan hukuman kepada pesalah. Pusat pemulihan akhlak dan penjara akan cuba memulihkan pesalah-pesalah supaya menjadi rakyat yang berguna apabila dibebaskan nanti. Kawalan sosial yang tak formal boleh merupakan pendapat umum mengenai satu-satu tingkah laku. Contoh jenis kawalan ini adalah seperti teguran ataupun pujian. Misalnya, seseorang pelajar yang didapati menconteng sesuatu yang lucah di atas mejanya perlu ditegur. Menurut Crosbie (1975), terdapat empat jenis kawalan tak formal: 1. Penggunaan ganjaran sosial seperti naik pangkat. Intensif seperti ini adalah untuk menggalakkan ahli-ahli dalam kelompok mematuhi nilai-nilai dan norma-norma yang ditetapkan. 2. Penggunaan kawalan sosial negatif seperti hukuman atau kritikan. 3. Penggunaan pujukan, iaitu dengan cara menimbulkan keinsafan pada diri individu yang telah menyeleweng. 4. Norma masyarakat ditakrif mengikut kehendak individu terutamanya oleh individu yang berstatus tinggi. Andaikata kawalan-kawalan yang tersebut di atas tidak berkesan, maka norma masyarakat itu ditakrifkan semula. Ini hanya dapat dilakukan jika orang yang melakukan lencongan itu berstatus tinggi dalam kumpulannya. Kawalan ibu bapa terhadap pergaulan anak-anak mereka juga merupakan satu lagi jenis kawalan tak formal. Satu lagi jenis kawalan sosial ialah mores. Mores merupakan norma sosial yang asas bagi kehidupan sosial. Ahli-ahli masyarakat itu akan mematuhi mores dan yang

melanggarnya akan dihukum secara ejekan atau penyingkiran daripada kumpulan berkenaan. Teori-teori kawalan sosial menekankan perhubungan di antara individu dengan masyarakat. Andaian yang dibuat dalam teori-teori tersebut ialah masyarakat perlu mengawal sifat-sifat manusia yang mirip kepada sifat haiwan. Manusia cenderung untuk mengejar kepentingan diri sehingga boleh berlaku perselisihan faham dan oleh itu peraturan sosial adalah perlu dalam masyarakat. Durkheim(1964), seorang tokoh sosiologi berpendapat bahawa rasa hati kolektif merupakan satu kuasa tekanan yang mengawal anggota masyarakat supaya bertingkah laku mengikut cara-cara tertentu tanpa mengutamakan diri sendiri. Bagi beliau, institusi sosial seperti keluarga dan agama berfungsi untuk menambahkan kuasa tekanan rasa hati kolektif. Manusia akan melakukan keganasan serta mementingkan diri sendiri sekiranya tiada kawalan sosial.

Peranan Agen-agen Moral dalam Proses Sosialisasi Individu 1. Keluarga Keluarga adalah agen sosialisasi yang banyak mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Lazimnya ibu bapa akan mengajar anak-anaknya mengenai apa yang harus dilakukan dan apa yang dilarang. Daripada ibu bapa, kanak-kanak itu akan mempelajari kemahiran, sikap, norma dan nilai-nilai seperti kejujuran, amanah, rajin, bersih dan hormat-menghormati. Kanak-kanak semasa dilahirkan diibaratkan sebagai sehelai kain putih. Ini bermakna kanak-kanak itu tidak jahat dan tidak baik. Bagaimana personilitinya dibentuk adalah bergantung kepada keluarganya, rakan-rakan sebayanya,

sekolahnya dan unsur-unsur lain yang terdapat dalam alam sekitarnya. Pada peringkat awal, kanak-kanak menghabiskan sebahagian besar masanya dengan keluarganya. Cara ibu bapa mengasuh anak-anaknya adalah berbeza. Bagi ibu bapa yang garang dan autokratik, anak-anak membesar menjadi individu yang patuh, pasif, takut member pandangan dan kurang berinisiatif. Sebaliknya, ibu bapa yang bersifat laissez-faire atau terlalu berlembut dengan anak serta cepat melayani segala permintaan mereka akan mendapati bahawa anak-anak itu akan membesar menjadi individu yang kurang bertanggungjawab, terlalu bergantung kepada orang lain, kurang berikhtiar dan kurang menghormati orang-orang tua. Keluarga yang bersifat demokratik, iaitu di mana ibu bapa sentiasa berbincang secara terbuka, melibatkan anak dalam membuat keputusan (seperti menentukan tempat peranginan yang hendak dikunjungi) serta menerangkan sebab-sebab mengapa anak-anak dihukum akan berjaya membentuk individu yang lebih tinggi keyakinan dirinya. Selain itu, anak-anak itu juga lebih aktif, bersopan santun, gemar berkongsi satu-satu masalah dan lebih mementingkan hal lahiriah daripada hal batiniah diri sendiri (extrovert). Segala nilai dan norma yang ditekankan oleh ibu bapa akan cepat mempengaruhi perkembangan personaliti anak-anak mereka. Perhatikan situasi di bawah. Encik Tan baru sahaja pulang dari pejabat. Dia berasa letih dan ingin berehat. Tiba-tiba telefon berbunyi. Anaknya Jim telah mengetuk pintu biliknya kerana

panggilan itu adalah untuknya. Encik Tan meminta Jim meminta Jim memberitahu pemanggil bahawa dia tiada di rumah. Situasi di atas jelas menunjukkan amalan menipu. Kalaulah situasi seperti ini berlaku berulang kali, Jim akan berpendapat bahawa dalam kehidupan sehari-hari kita, amalan menipu tidaklah salah. Seterusnya, cuba teliti situasi ini pula: Puan Silva, seorang suri rumahtangga telah membawa kedua-dua orang anaknya ke sebuah pasar raya. Setelah membeli barang-barang yang bernilai RM35 dia memberkan wang sebanyak RM100 kepada juruwang. Dalam keadaan yang sibuk, juruwang itu memulangkan kepada Puan Silva wang sebanyak RM85 iaitu lebihan wang sebanyak RM20 daripada yang sepatutnya. Setelah keluar dari pasar raya, Puan Silva pun memberitahu anak-anaknya yang dia mendapat durian runtuh. Dengan wang lebihan itu, dia akan membawa anak-anaknya ke Kentucky Fried Chicken. Cuba renung kembali tentang nilai yang diutamakan oleh Puan Silva itu. Nilai kejujuran telah diabaikan kerana nilai wang itu adalah lebih menarik. Amalan Puan Silva itu pasti akan mempengaruhi pembentukan sistem nilai anak-anaknya. Saiz keluarga juga mempengaruhi sosialisasi seseorang individu. Pertuturan dan interaksi adik-beradik akan menggalakkan individu itu bertutur dengan lebih cepat dan lebih luas perbendaharaan katanya. Anak-anak dalam keluarga yang besar mempunyai tugasan masing-masing manakala anak tunggal atau anak keluarga kecil lebih dimanjakan. Nilai-nilai serta sikap yang dihargai oleh adik-adiknya juga mempengaruhi seseorang individu itu.

2. Rakan Sebaya Rakan sebaya seseorang kanak-kanak terdiri daripada mereka yang sebaya dengannya. Pengaruh keluarga berkurang apabila kanak-kanak itu membesar. Apabila mencapai peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya bertambah penting. Segala harapan, nilai dan sikap kumpulan sebaya akan mempengaruhi kanak-kanak berkenaan. Individu itu cenderung untuk menerima pandangan, nilai dan sikap rakan-rakan sebaya kerana mahu diri mereka diterima oleh rakan-rakan sebaya. Adakalanya pandangan dan norma kumpulan rakan sebaya adalah berlainan daripada yang ditetapkan oleh keluarga. Ini menyebabkan berlakunya konflik antara individu dengan ibu bapanya. Contoh yang paling jelas ialah pemuda-pemudi gemar ke disko dan berpendapat bahawa tari-menari itu adalah aktiviti sihat, manakala kebanyakan orang tua berpendapat bahawa menari di disko bukanlah amalan yang sesuai untuk anak-anak muda. Kaum muda juga menuntut supaya mereka dibenarkan berpakaian bebas, berambut punk, mendengar muzik dari kumpulan metal yang semuanya dilarang oleh kuam tua. Tuntutan-tuntutan seperti ini menunjukkan yang golongan remaja itu cuba mendapatkan identiti sendiri.

3. Jiran Jiran memainkan peranan yang kurang penting dalam amalan nilai-nilai murni. Pada waktu pagi, rakan yang pertama kita bertemu ialah jiran kita. Jiran yang mesra akan bertegur sapa dengan kita. Lantaran itu, kita akan melakukan sedemikian apabila kita bertemu dengan kawan yang lain. Apabila kita sedang membersihkan kawasan rumah, jiran kita mungkin ingin membantu. Amalan tolong-menolong seperti ini akan menyebabkan penghayatan nilai-nilai murni pada diri kita sendiri. Jiran yang menghantar masakan yang enak untuk kita sebenarnya mengamalkan nilai sedia berkongsi dan bekerjasama. Nilai hormat-menghormati dengan jiran juga sentiasa diamalkan. Penghormatan tidak diperoleh dengan begitu sahaja. Sekiranya kita menghormati jiran kita, kita juga akan dihormati oleh mereka. Selain itu, hak-hak jiran seperti harta benda mereka tidak harus diganggu atau dirosakkan. Dengan cara inilah nilai hormat-menghormati akan terus dipupuk. Adakalanya jiran mengadakan majlis menyambut hari jadi atau ulang tahun hari pernikahan. Ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan seperti kebisingan dan kesesakan lalu lintas. Dalam keadaan sedemikian, kita harus menunjukkan nilai toleransi terhadap mereka. Begitu juga, ketika kita mengendalikan satu-satu majlis, jiran kita akan juga bertoleransi dengan kita. Sikap dan amalan jiran adalah penting dalam mempengaruhi sikap kita. Kalau mereka bersikap angkuh kerana kedudukan sosioekonomi mereka yang lebih tinggi, maka sikap dan amalan nilai-nilai murni anak-anak kita mungkin terjejas. Pendek kata, pembayangan dan amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan jelas dipengaruhi oleh jiran kita. Kita harus bersyukur sekiranya mendapat jiran yang bersopan santun, berbudi pekerti, sedia bekerjasama dan bertoleransi.

4. Komuniti Komuniti merujuk kepada satu-satu kumpulan orang yang tinggal di sesuatu daerah. Sebagai contoh, kalau kita duduk di daerah Batu Pahat, kita menjadi ahli komuniti Batu Pahat. Penghayatan nilai-nilai murni kita bukan sahaja bergantung pada asuhan keluarga kita. Ketika membesar, kanak-kanak memerhati dan mempelajari sikap dan nilai-nilai di sekelilingnya, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kanak-kanak yang membesar di dalam komuniti yang mementingkan amalan nilai-nilai murni akan turut menghayati nilai-nilai tersebut. Ini merupakan

pembelajaran sosial. Kanak-kanak banyak mempelajari melalui peniruan. Kalau ahliahli komuniti itu bersopan santun dan berbudi bahasa, kanak-kanak dari komuniti itu akan bersikap sedemikian. Ahli-ahli komuniti yang hormat-menghormati antara satu sama lain memang dapat memperkukuhkan lagi nilai ini dalam kalangan anak-anak mereka. Sebaliknya, kalau mereka bersikap agresif dan kurang bersopan santun, begitulah sikap yang akan diperoleh oleh anak-anak mereka nanti. Komuniti yang menjalankan projek seperti gotong-royong dan Malam Amal untuk mengutip derma dapat menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya nilai tolong-menolong, bekerjasama dan sedia berkorban masa dan tenaga kerana membantu orang lain. Kerja amal seperti mengutip derma untuk mangsa kebakaran, bencana alam dan peperangan menonjolkan nilai-nilai murni seperti baik hati, kasih saying, belas kasihan, hormat-menghormati, tolong-menolong dan sebagainya. Kesemua nilai ini dapat dipupuk dalam kalangan anak-anak sekiranya satu-satu komuniti itu seringkali berusaha menjalankan projek-projek secara sukarela. Dengan ini, bolehlah disimpulkan bahawa pengaruh komuniti terhadap penghayatan dan amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan kita adalah tidak kurang pentingnya.

5. Masyarkat Sebelum mengkaji pengaruh masyarakat ke atas penghayatan nilai-nilai murni kita, perlulah kita ketahui takrif bagi istilah masyarakat. Tahukah anda apa itu masyarakat? Sebenarnya, masyarakat juga merupakan kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan-aturan dan cara tertentu. Dengan itu, kita semua menjadi ahli masyarakat Malaysia. Masyarakat dalam konteks ini adalah berbeza daripada komuniti kerana saiz masyarakat adalah jauh lebih besar daripada komuniti. Di dalam satu-satu masyarakat terdapat pelbagai komuniti. Nilai-nilai murni sesebuah masyarakat berbeza dari sebuah Negara kepada sebuah Negara yang lain. Contohnya, nilai-nilai murni masyarakat Malaysia diberi penekanan bukan sahaja dalam mata pelajaran seperti Pendidikan Agama atau Pendidikan Moral, malahan diserapkan merentasi kurikulum. Ini bermakna pelajarpelajar dalam masyarakat kita juga diserapkan nilai-nilai murni ketika mengikuti pelajaran seperti Matematik, Sains, Sejarah dan lain-lain lagi. Ketika mengendalikan aktiviti-aktiviti kokurikulum, seseorang guru diharapkan dapat menerapkan nilai-nilai seperti tolong-menolong, hormat-menghormati, keadilan, toleransi dan kejujuran. Dengan itu, para pelajar diharapkan akan dapat menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni tersebut dalam kehidupan mereka. Negara kita bertujuan membentuk masyarakat penyayang. Dengan itu, khidmat bimbingan dan kaunseling serta juga program mentor-mentee dilaksanakan di sekolah-sekolah di seluruh negara. Guru-guru juga harus menonjolkan sifat-sifat menyayangi murid-muridnya. Pelajar yang membesar dalam suasana yang dipenuhi dengan kasih saying serta penghormatan akan membesar menjadi individu yang memiliki sifat seumpama. Sebaliknya, sesebuah masyarakat yang tamakkan kuasa dan bersifat materialistic akan juga menghasilkan individu-individu yang sedemikian sifatnya. Jikalau masyarakat sentiasa bersaing untuk memperoleh kemajuan dalam bentuk kebendaan tanpa menghiraukan nilai-nilai murni, anggota-anggotanya akan

bertingkah laku sedemikian. Ahli-ahli masyarakat akan juga bersaing untuk mendapatkan kekayaan tanpa mengambil kira nilai-nilai murni. Nilai untuk masyarakat bersosialisasi adalah penting. Sekiranya sesebuah masyarakat hanya mengendalikan halnya tanpa keinginan untuk berbincang dan bekerjasama dengan masyarakat lain, ahli-ahlinya akan juga memiliki sifat yang serupa. Satu-satu masyarakat yang berkongsi maklumat, berbincang dan berunding dengan masyarakat lain dalam seminar dan persidangan antarabangsa akan menghasilkan individu-individu yang sedia berkongsi maklumat dan mempunyai pemikiran yang terbuka. Individu-individu seperti ini tidaklah bersikap angkuh dan lebih bersedia untuk menerima pandangan orang lain. Masyarakat yang menekankan nilai kerajinan dan peningkatan produktiviti akan menghasilkan anggota-anggota yang bersikap rajin dan tekun membuat sesuatu tanpa cepat putus asa. Nilai bekerja bersungguh-sungguh untuk kejayaan dan kesenangan diri dan keluarga akan dapat dipupuk dalam kalangan pelajar dan golongan orang muda. Nilai ketepatan masa juga dititikberatkan oleh kebanyakan masyarakat. Masyarakat kita memperkenalkan sistem mengetip masuk ketika mula bekerja dan mengetip keluar pada waktu berhenti bekerja. Sistem seperti ini secara tidak langsung menghantarkan mesej kepada ahli-ahli masyarakat yang ketepatan masa seharusnya dihargai. Anak-anak mereka yang membesar dalam masyarakat itu akan menyedari bahawa tugasan harian hendaklah dilakukan mengikut masa tertentu, iaitu adanya masa untuk belajar, bermain, makan, tidur dan berehat.

You might also like