You are on page 1of 10

UNIT PELAJARAN 1

PENGENALAN BIODIVERSITI DAN ADAPTASI

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini, anda diharap dapat: 1. Mengetahui maksud diversiti dalam Biologi. 2. Mengetahui jenis-jenis adaptasi secara umum. 3. Menunjukkan rasa syukur terhadap kepentingan biodiversiti dan adaptasi.

PENGENALAN

iversiti dalam Biologi memberi maksud kepelbagaian organisma. Organisma yang dimaksudkan ini adalah organisma hidup yang bersaiz mikro seperti bakteria dan hama sehingga ke saiz makro seperti gajah dan ikan paus. Diversiti organisma boleh dikelaskan ke dalam Domain, Alam, Famili sehingga ke varieti atau subspesies. Setiap organisma ini ada yang telah wujud di muka bumi sebelum kewujudan manusia dan ada juga yang baru. Untuk meneruskan kehidupan di pelbagai keadaan di bumi, organisma ini telah beradaptasi. Adaptasi telah menyebabkan mereka berjaya mengekalkan generasi mereka di dunia ini. Mari kita selidiki kebun di sekolah kita. Anda boleh lihat pelbagai jenis tumbuhan jenis berbunga, tidak berbunga. Ada yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan. Ada juga tumbuhan yang hidup di atas pokok lain. Jika anda perhati di celah-celah tumbuhan rimbun, anda akan terjumpa ulat gonggok, cacing, siput dan sebagainya. Bagaimanakah organisma ini menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka?

ISI KANDUNGAN
Maksud Diversiti Dan Adaptasi

rganisma telah dibahagikan kepada Tiga domain utama yang mana selanjutnya dibahagikan kepada Enam alam mengikut jenis sel dan ciri-ciri hidup organisma itu. Pembahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam bab 2. Dalam bab ini, kita hanya membincangkan organisma dan adaptasinya secara umum untuk

kemandirian hidup dan meneruskan generasi mereka. Tajuk-tajuk yang diperkenalkan adalah menerangkan maksud-maksud yang berkaitan dengan adaptasi. Secara umumnya diversiti itu bermaksud kepelbagaian yang wujud tentang sesuatu perkara. Di dalam konteks ini diversiti itu merujuk kepada berapa banyak hidupan sama ada tumbuhan, haiwan ataupun kumpulan lain yang terdapat di kawasan tersebut. Pada kebiasaannya kita merujuk kepada bilangan spesies yang ada. Namun begitu, di dalam ilmu Biologi, diversiti ini lebih biasa dikenali sebagai Kepelbagaian Biologi. Ahli-ahli Biologi membahagi kepelbagaian biologi ini kepada tiga tahap atau peringkat. Tahap pertama ialah Kepelbagaian Genetik. Ini merujuk kepada semua bahan genetik (takungan gen) yang terdapat di dalam kumpulan organisma yang ada. Tahap kedua pula merujuk kepada Kepelbagaian Spesies. Pada tahap ini kita lebih berminat untuk mengetahui berapa spesies yang ada di kawasan tersebut sementara tahap ketiga ialah Kepelbagaian Ekosistem. Tahap ini merujuk kepada semua kepelbagaian jenis habitat yang diduduki oleh organisma yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Pernah anda terfikir bagaimana organisma tersebut boleh hidup dan berjaya berkembang biak di sesuatu kawasan? Apakah ciri-ciri yang mereka punyai sehingga membolehkan mereka hidup di situ? Jika anda berjaya mendapatkan jawapan tersebut, sebenarnya anda dapat menerangkan adaptasi organisma tersebut di sesuatu kawasan yang dimaksudkan. Adaptasi bermaksud suatu sifat yang dimiliki oleh organisma yang membolehkan organisma tersebut menyesuaikan diri dan bermandiri di dalam sesuatu habitat. Seekor beruang kutub mempunyai lapisan lemak yang tebal di bawah lapisan kulitnya bagi membolehkan ia tahan suhu yang sejuk di kutub. Burung hantu mempunyai deria yang cukup peka bagi mengesan sebarang gerakan di sekelilingnya. Dengan itu, burung hantu amat cekap dalam memburu bagi mendapatkan makanan. Pokok sirih mempunyai kebolehan untuk memanjat bagi membolehkan ia mendapatkan cahaya yang cukup bagi menjalankan proses fotosintesis dalam menghasilkan makanannya sendiri. Penyesuaian serta ciri-ciri yang dinyatakan di atas adalah merupakan proses adaptasi oleh organisma bagi meneruskan hidup dan berjaya tinggal di sesuatu habitat. Kelebihan kepada individu yang dapat beradaptasi terhadap habitatnya dapat dilihat melalui berbagai cara: 1. Berjaya menguasai sumber yang ada seperti cahaya, ruang, bahan makanan serta pasangan. Mengatasi tekanan persekitaran daripada faktor fizikal seperti suhu dan kelembapan. Dapat mempertahankan diri daripada pesaing yang ada di habitat yang sama. Menjalankan proses mengawan dan amat reproduktif.

2.

3.

4.

Kebolehsuaian Dan Kekuatan (Fitness)


Individu yang berjaya mendiami sesuatu habitat biasanya akan berkembang biak. Lebih ramai atau banyak anak yang dihasilkan, menunjukkan individu tersebut lebih berjaya di dalam kebolehsuaian dan mempunyai nilai kekuatan yang lebih tinggi. Nilai ini biasanya berkait rapat dengan proses pemilihan semula jadi. Oleh sebab itu, nilai kekuatan oleh sesuatu individu berubah-ubah mengikut habitat kerana ia bergantung kepada ciri atau alel yang dimiliki oleh individu tersebut dipilih atau tidak di persekitaran tersebut. Dengan kata lain, kekuatan ini boleh dilihat dari dua sudut iaitu melalui fenotip (sifat-sifat luaran organisma) atau genotip (ciri-ciri bahan genetik yang ada) yang dimiliki oleh individu tersebut. Bagi memenuhi proses pemilihan semula jadi ini, terdapat dua syarat yang perlu dipatuhi iaitu: 1. Variasi yang wujud di kalangan individu di dalam sesuatu populasi mestilah mempunyai ciri yang boleh diwarisi. 2. Variasi ini menyebabkan perbezaan kepada setiap individu dari segi mandiri dan pembiakan mereka. Pada kebiasaannya, kekuatan individu diukur melalui dua cara iaitu kekuatan mutlak (abs) dan kekuatan relatif (rel). Pengukuran ini perlulah dibuat sekurangkurangnya pada satu generasi. Bagi kekuatan mutlak, ia boleh dikira dengan mengambil kira jumlah perkadaran anak pada generasi kedua berbanding bilangan anak pada generasi sebelumnya. Sekiranya nilai melebihi 1, ini bermakna bilangan individu yang memiliki ciri atau genotip tersebut semakin meningkat. Sekiranya kurang daripada 1, bermakna ciri atau genotip tersebut semakin berkurangan di persekitaran. Bagi kekuatan relatif, perkiraan dibuat dengan membahagikan nilai purata progeni yang membawa genotip yang dipilih dengan nilai purata semua progeni yang membawa genotip lain selepas satu generasi. Sebenarnya apa yang diukur di sini ialah kecekapan sesuatu alel yang terpilih itu diturunkan kepada generasi yang berikutnya. Ini adalah kerana kepentingan alel tersebut bagi kelangsungan dan kejayaan sesuatu individu untuk terus hidup. Aktiviti 1 Cuba anda lakukan pengecaman ke atas dua atau tiga organisma yang boleh anda dapati di sekeliling tempat tinggal atau tempat kerja anda. Perhatikan apakah ciri-ciri yang dimiliki oleh organisma tersebut? Cuba padankan ciri-ciri tersebut dengan kebolehan mereka untuk terus hidup di kawasan tersebut. Cuba fikirkan adakah ciri tersebut menjadikan mereka sesuai untuk hidup di situ.

Jenis adaptasi
Secara umumnya adaptasi boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu: 1. Adaptasi morfologi Ia berkaitan dengan adaptasi yang dapat dilihat pada bentuk tubuh organisma. Sebagai contoh, burung mempunyai bentuk dan saiz paruh yang berbeza-beza bergantung kepada jenis makanannya. Seekor burung kelicap mempunyai paruh yang panjang meruncing kerana mudah mendapatkan nektar dari bunga. Helang mempunyai paruh yang kuat dan tajam bagi menyiat daging mangsanya. 2. Adaptasi fisiologi Ia berkaitan adaptasi fungsi organ-organ tubuh mahu pun sistem dalaman tubuh. Sebagai contoh haiwan ruminan mempunyai hubungan mutualisme dengan bakteria tertentu bagi menghasilkan enzim selulase bagi menghuraikan ikatan glikosidik yang terdapat di dalam selulosa. Selain daripada itu, kelawar mempunyai kemampuan mengesan sumber makanan dengan bantuan sistem yang dikenali sebagai ekolokasi. 3. Adaptasi lakuan Ini merupakan perubahan terhadap tingkah laku yang terhasil daripada perubahan persekitaran. Sebagai contoh, organisma menghindari atau bergerak meninggalkan sesuatu tempat sekiranya keadaan di situ kurang sesuai akibat perubahan fizikal atau mereka mengesan ada sumber yang boleh membahayakan mereka. Selain daripada itu, kebanyakan haiwan jantan perlu melakukan ritual yang dapat memikat haiwan betina sebelum mengawan. Jenis-jenis adaptasi ini boleh berlaku secara serentak pada satu-satu masa bergantung kepada keadaan. Bagaimana organisma mampu menghasilkan adaptasi yang sedemikian, Ia amat bergantung kepada proses evolusi di dalam biologi dan biasanya ia perlu mengambil masa pada satu tempoh yang tertentu.

Ko-adaptasi
Anda mungkin pernah terbaca tentang ko-adaptasi. Situasi ini biasanya melibatkan dua keadaan atau dua belah pihak yang saling bergerak balas bagi mencapai sesuatu maksud. Proses timbal balik ini penting bagi kedua-dua pihak mendapat keuntungan. Ada kalanya proses ini perlu bagi memastikan sebelah pihak lagi kalah atau rugi. Ini dapat dilihat semasa proses persaingan atau pemangsaan. Proses evolusi ini boleh dilihat pada tiga situasi mutualisme yang berbeza iaitu spesies, organ dan kompleks gen. Hubungan simbiosis antara dua atau lebih spesies merupakan antara contoh yang mudah difahami. Ia merupakan interaksi antara dua atau lebih organisma yang hidup berdampingan. Anda biasa melihat rama-rama hinggap pada sekuntum bunga. Ini merupakan hubungan simbiosis yang membawa keuntungan kepada kedua-dua belah pihak. Ketika rama-rama mendapatkan makanan pada bunga,

pada masa yang sama proses pendebungaan dibantu oleh rama-rama tersebut. Struktur pada rama-rama dan warna bunga menjadi elemen yang menyebabkan hubungan ini berjaya. Seekor harimau harus sentiasa mempunyai strategi bagi menangkap seekor rusa untuk dijadikan makanan. Pada masa yang sama, rusa tersebut harus mencari jalan agar tidak dikesan oleh harimau tadi dan seterusnya mengelakkan dirinya daripada ditangkap dan dibunuh oleh harimau tadi. Situasi ini harus bertimbal balik agar salah satu pihak akan menang. Sekiranya harimau yang menang, dia akan mendapat makanan untuk dirinya dan keluarganya, tetapi kalau rusa yang menang dia terus hidup dan menghasilkan generasi yang berikutnya dan harimau pula kelaparan.

Penyamaran
Penyamaran turut menjadi satu kaedah adaptasi di persekitaran semula jadi. Definisi penyamaran ialah satu kaedah kripsis yang membolehkan suatu organisma menjadi tidak jelas dalam persekitarannya. Tujuan penyamaran adalah sama seperti yang telah kita bincangkan di atas. Antara contoh di alam ini ialah harimau belang mempunyai jalur pada bahagian tubuh yang menyamai persekitaran. Tentera juga berpakaian yang menyerupai tempat operasi bagi mengelirukan musuh. Jika diperhatikan di alam ini, penyamaran boleh berlaku secara morfologi, kimia mahupun kelakuan organisma itu sendiri. Secara amnya kita dapat perhatikan bentuk-bentuk penyamaran seperti: 1. Corak warna kriptik, iaitu organisma mempunyai warna yang sama dengan persekitaran. 2. Bentuk tubuh yang tidak simetri. 3. Bahagian mata yang tersembunyi. 4. Mimik kepada sesuatu objek lain. 5. Berpura-pura mati atau tidak bergerak. 6. Mengeluarkan bunyi yang sama dengan mangsa atau pemangsa. 7. Mengeluarkan feromon yang sama dengan mangsa.

Trait bukan diadaptasi dan organ vestigial


Kita dapati sesetengah ciri yang ada pada organisma bukanlah merupakan ciri yang perlu untuk proses adaptasi pada persekitaran tersebut. Walau bagaimanapun organisma masih mempunyai ciri tersebut. Sebagai contoh, setiap manusia yang dilahirkan mempunyai struktur apendiks. Sehingga sekarang dunia perubatan masih tidak dapat memberikan fungsi struktur apendiks yang jelas apatah lagi keperluannya sebagai ciri yang beradaptasi dengan persekitaran. Seperti mana yang kita ketahui, gen mempunyai kesan pleiotropik. Ini bermakna penyesuaian ciri tersebut mungkin berfungsi pada masa yang lain dalam

kehidupan kita. Atau pun fungsinya mungkin relevan dengan generasi terdahulu. Walau bagaimana pun disebabkan budaya, gaya dan cara hidup kita yang telah berubah, struktur atau ciri tersebut langsung menjadi tidak relevan dengan kehidupan kita sekarang. Oleh kerana proses pemilihan semula jadi sentiasa berlaku, maka ciri atau struktur ini hilang dengan sendirinya kerana tidak lagi berfungsi untuk kehidupan. Tambahan pula dari segi kos untuk kehidupan adalah lebih ekonomi untuk struktur ini dihapuskan. Sekiranya ini berlaku, organ atau struktur yang dimaksudkan itu dikenali sebagai organ vestigial. Contoh lain ialah kehadiran gigi molar bongsu pada usia yang lewat.

Pemupusan
Adalah jelas kepada kita bahawa setiap organisma yang tidak dapat beradaptasi dengan persekitaran disingkirkan daripada persekitaran tersebut. Ini menyebabkan kehilangan sebahagian individu atau keseluruhan populasi. Apabila ini berlaku, kita katakan bahawa organisma itu mengalami kepupusan. Ahli Biologi Pemuliharaan menganggarkan kadar spesies yang pupus pada setiap tahun ialah 0.27%. Mereka mengaitkan beberapa faktor yang menyebabkan sesuatu organisma atau spesies itu mengalami kepupusan, antaranya ialah: 1. Adaptasi yang terhad dan daya ketahanan yang lemah. Sesetengah spesies tidak dapat bertahan terhadap perubahan persekitaran kerana keupayaan reproduktif mereka yang rendah, bilangan individu yang kecil, strategi penyerakan yang terhad dan tidak dapat bertoleransi dengan keperluan habitat yang mengalami perubahan. 2. Mendapat perhatian dan permintaan yang tinggi daripada manusia. Aktiviti pemburuan bagi tujuan mengkomersialkannya biasanya boleh menurunkan bilangan individu secara mendadak dan membawa kepada bahaya kepupusan. 3. Pertindihan ekologi. Biasanya spesies ini menghadapi konflik dengan keperluan manusia terutama dari segi perkongsian habitat. Manusia menyingkirkan semua spesies yang tidak berkaitan dari kawasan yang dibangunkan dan biasanya akibat daripada pemusnahan habitat, berlaku kepupusan organisma. 4. Keperluan kawasan atau banjaran kediaman yang luas. Akibat daripada arus pembangunan, kawasan kediaman spesies liar semakin mengecil dan ini mengancam kemandirian populasi tersebut.

Fleksibiliti
Hal ini berkaitan dengan kebolehan organisma untuk bergerak balas terhadap perubahan yang berlaku terhadap persekitaran habitatnya mahupun keupayaan untuk organisma tersebut berpindah ke habitat baharu. Keupayaan untuk bergerak balas oleh organisma merupakan satu ciri yang boleh diwarisi dan berbeza-beza mengikut individu.

Spesies yang amat spesifik (specialist) biasanya mendiami julat habitat yang amat sempit dan mengkhusus. Fleksibiliti bagi mereka amatlah rendah berbanding dengan spesies yang lebih umum (generalist). Spesies spesifik ini pada kebiasaannya mendapatkan sumber makanan yang begitu spesifik di habitatnya dan tidak dapat beradaptasi sekiranya berlaku perubahan terhadap habitat yang memberi kesan terhadap sumber makanannya. Contoh organisma seperti ini ialah koala yang amat bergantung pada daun eukaliptus dan panda yang bergantung kepada buluh. Haiwan yang umum adalah seperti tikus, kucing dan kebanyakan karnivor.

Aktiviti 2

Cuba anda kumpulkan maklumat mengenai panda dan adaptasi yang terdapat pada haiwan ini yang menjadikan spesies ini begitu spesifik. Senaraikan maklumat tersebut dalam bentuk jadual.

Aklimasi
Sekiranya anda berpindah ke kawasan tanah tinggi, anda mengalami masalah pernafasan yang disebabkan oleh bekalan oksigen yang rendah. Setelah beberapa lama anda di situ, anda menjadi biasa dengan keadaan tersebut dan tidak lagi mengalami sebarang masalah. Hal ini terjadi kerana anda telah mengalami proses aklimasi di mana sistem tubuh anda dengan sendirinya meningkatkan penghasilan sel darah merah yang berfungsi dalam pengangkutan oksigen. Kebolehan tubuh anda untuk menjalani proses aklimasi merupakan proses adaptasi. Dalam tempoh yang panjang, kumpulan yang telah mengalami proses ini melahirkan lebih ramai anak. Dari satu generasi ke satu generasi bilangan individu dengan ciri ini terus meningkat dan mendominasi populasi di tempat tersebut. Organisma mampu menunjukkan proses ini baik secara biokimia mahupun morfologi.

Pembelajaran
Proses pembelajaran oleh haiwan merupakan sebahagian daripada sistem sosial populasi. Proses ini amat penting terutama sekali kepada manusia bagi menjamin kejayaan dalam meneruskan kehidupan. Proses ini tidak melibatkan aliran bahan genetik. Biasanya ia melibatkan proses pemerhatian oleh suatu individu terhadap perlakuan yang dilakukan oleh individu lain. Akhirnya perlakuan tersebut ditiru kerana ia mendatangkan keuntungan kepada pemerhati. Sebagai contoh, mengikat tali kasut adalah proses pembelajaran yang boleh ditiru dari orang lain. Cara memburu bagi mendapatkan makanan juga merupakan sesuatu yang boleh dipelajari. Pembelajaran merupakan sebahagian daripada keperluan untuk organisma terus hidup. Ia membolehkan individu mengatasi tekanan daripada persekitaran. Dalam ilmu

tingkah laku (ethology) terdapat dua lakuan yang dibezakan iaitu lakuan pembelajaran dan lakuan inat (secara naluri). Lakuan inat biasanya diwarisi.

Aktiviti 3

Berdasarkan pengalaman anda, cuba senaraikan setiap satunya lima contoh lakuan pembelajaran dan lakuan inat. Pada fikiran anda lakuan yang manakah yang lebih penting? Jelaskan.

RINGKASAN
1. Diversiti di dalam biologi bermaksud kepelbagaian yang boleh dilihat pada tiga tahap, iaitu kepelbagaian spesies, kepelbagaian genetik dan kepelbagaian ekosistem. 2. Adaptasi bermaksud suatu sifat yang dimiliki oleh organisma yang membolehkan organisma tersebut menyesuaikan diri dan bermandiri di dalam sesuatu habitat. 3. Tahap kebolehsuaian dan kekuatan sesuatu organisma bergantung kepada alel yang menonjolkan ciri-ciri yang menjadi pilihan dalam proses pemilihan semula jadi. 4. Kekuatan (fitness) sesuatu organisma dapat diterangkan dalam bentuk kekuatan mutlak dan kekuatan relatif. 5. Terdapat tiga jenis adaptasi iaitu adaptasi morfologi, adaptasi fisiologi dan adaptasi kelakuan. 6. Ko-adaptasi melibatkan proses timbal balik bagi pihak-pihak yang terlibat bagi mencapai tujuan masing-masing. 7. Penyamaran ialah satu kaedah kripsis yang membolehkan suatu organisma menjadi tidak jelas dalam persekitarannya. 8. Gen mempunyai kesan pleiotropik. Ini menyebabkan terdapat ciri atau struktur yang tidak berfungsi atau diperlukan pada masa tersebut. Struktur yang menunjukkan ciri ini dikenali sebagai organ vestigial. 9. Organisma yang tidak beradaptasi mengikut keperluan persekitaran semasa akan mengalami kepupusan. 10. Kebolehan organisma untuk bergerak balas terhadap perubahan yang berlaku terhadap persekitaran habitatnya dikenali sebagai fleksibiliti. 11. Kebolehan tubuh mengalami perubahan fisiologi sebagai tanda gerak balas terhadap perubahan habitat dikenali sebagai aklimasi.

12. Proses pembelajaran tidak melibatkan aliran bahan genetik. 13. Dalam ilmu tingkah laku (ethology) terdapat dua lakuan yang dibezakan iaitu lakuan pembelajaran dan lakuan inat (secara naluri).

PETA KONSEP
Fahami Peta Konsep di bawah.

14. 15. Menguasai sumber

Mengatasi tekanan persekitaran

Mempertahankan diri

Membiak

Variasi yang boleh diwarisi

Kelebihan

Adaptasi organisma

Kebolehsuaian dan ketahanan, Fleksibiliti Aklimasi Pemilihan semulajadi Adaptasi - Morfologi - Fisiologi - Lakuan -

Jenis-jenis adaptasi

Ko-adaptasi

Penyamaran

KATA KUNCI
1. Diversiti 2. Kripsis

3. Adaptasi 5. Kekuatan (fitness) 7. Pemilihan semula jadi 9. Kekuatan mutlak 11. Kekuatan relatif 13. Simbiosis 15. Lakuan pembelajaran 17. Lakuan inat 19. Kripsis 21. Spesies spesifik 23. Spesies umum

4. Organ vestigial 6. Kesan Pleiotropik 8. Fleksibiliti 10. Spesies spesifik 12. Spesies umum 14. Aklimasi 16. Organ vestigial 18. Kesan Pleiotropik 20. Fleksibiliti 22. Aklimasi

PENILAIAN KENDIRI
1. Terangkan apakah yang dimaksudkan dengan kepelbagaian spesies, kepelbagaian genetik dan kepelbagaian ekosistem? 2. Proses pemilihan semula jadi merupakan daya yang mempengaruhi proses adaptasi. Terangkan bagaimana proses pemilihan semula jadi ini bertindak di alam semula jadi. 3. Apakah yang dimaksudkan dengan organ vestigial? Jelaskan tiga contoh bagi organ vestigial. 4. Bincangkan jenis-jenis adaptasi.

RUJUKAN
Noyd, R. K., Krueger, J. A. & Hill, K. M. (2014). Biology: Organisms And Adaptations (International edition). Australia: Brooks/Cole. Cengage Learning. Starr, C., Evers, A., & Starr, L. (2007). Basic Concepts in Biology (6th ed.). Singapore: Thompson/Brooks/Cole.

You might also like