You are on page 1of 12

BEBERAPA UNSUR SAINS MELAYU ISLAM YANG TERTUA DAN CABARANNYA

Oleh : SHAHARIR BIN MOHAMAD ZAIN - INSPEM, UPM Abstrak Oleh sebab Hikayat Raja Pasai (HRP) dipercayai lebih tua daripada Aqaid alNasafi yang bertarikh 1593 itu maka apa-apa maklumat yang terdapat dalam buku ini bolehlah dianggap maklumat Melayu Islam yang tertua. Dalam kajian ini ditunjukkan adanya dalam HRP itu pokok yang tiada nama sainsnya, iaitu kapur barus, sebasani (tiada dalam kamus pun) dan beberapa jenis kesturi; dan adanya haiwan yang belum ada nama sainsnya, iaitu gelang-gelang, kara, kertang, kesturi, kuda semberani, semut sebesar kucing, ketam berdayung, lembedak mengidam, rama-rama bersil , udang sanggul dan ular lembu (5 terakhir ini tiada dalam kamus pun). Dalam HRP juga ditunjukkan ada bentuk ayat-ayat mantik Melayu Islam yang berbeza daripada sekarang umpamanya tiadanya penafian yang menggunakan tidak atau bukan, tetapi semuannya tiada dan gayanya cukup lembut sehingga bolehlah diistilahkan sebagai penafian lembut; pengkuantiti wujud pula hanya ada dan adalah (bentuk lembut, yang tiada sekarang), dan belum ada perkataan wujud atau ujud; pengkuantiti semesta yang cukup berbeza daripada sekarang ialah barang dan pengulangan kuantiti dan tiadalah perkataan sebarang, setiap (walaupun ada tiap-tiap). Mantik implikasi yang kurang digunakan sekarang ialah berbentuk Setelah A maka B, Jika A nescaya B, (atau Jikalau), Maka tatkala A maka B (atau tiada Maka itu); dan Apabila A maka B. Pengganti jika yang tidak digunakan sekarang ialah dari karna itulah, oleh karna dan sebab karna ; dan tiadalah ungkapan oleh itu atau oleh sebab itu. Penggunaan Maka di permulaan ayat amat berleluasa dan maknanya memang perkara dahulu itu mengimplikasikan. Orang Melayu pada abad ke-13M dahulu pun sudah tahu bilangan ratus, ribu , ribu-ribu, keti (= seratus ribu), sudah membezakan tiada tepermanai, tiada terhisabkan dan tiada terkira-kira. Mereka menggunakan ungkapan tiada berbagai untuk maksud tiada bandingan, dan mereka juga sudah biasa dengan matematik bahagi berpemberat atau dividen. Unit-unit sukatan yang mereka pakai agak komprehensif sehingga kepada unit banyaknya lombong emas (makdan, yang sepatutnya mikdarun/makdurun/ mukaddirun) dan banyaknya dakwat (koci); dan oleh itu ada yang tidak dirakamkan dalam kajian Abdul Razak (2000) tentang sukatan Melayu iaitu peti, koci, galang, makdan, sebu, rantau dan tiada berbagai. Terdapat juga istilah-istilah tentang arah atau mata angin atau kompas sekarang iaitu timur (atau bawah angin, wetan), barat (atau atas angin, kulon), utara, selatan, ilir, mudik atau hulu, dan kedudukan bintang dengan kewujudan ahlul nujum diraja. Adanya ahli kimia yang digelar orang seri yang hebat khususnya termasuklah membuat segala macam racun . Adanya ilmu kepemimpinan di dalam HRP ini juga menunjukkan kepemimpinan Melayu Islam sudah bertapak di kalangan pemimpin Melayu sejak abad ke-13M lagi dan sekaligus menidakkan Taj al-Salatin (TaS), karya Bukhari al-Jauhari 1603, sebagai sumber ilmu kepemimpinan Melayu Islam yang tertua; walaupun ciri-ciri kepemimpinan itu tidak sekomprehensif dalam TaS itu. HRP juga menceritakan tahap Feudalisme Melayu Islam yang cukup tinggi dalam abad ke-13M dan ke-14M dahulu dan adanya pelbagai amalan yang amat bertentangan dengan Islam di samping tahap emansipasi wanita yang agak luar biasa berbanding dengan wanita sekarang pun.

1. Muqaddimah Kebanyakan sarjana bersetuju bahawa secara rasminya Islam mula bertapak di Pascabima (akronim baru untuk Alam Melayu) ini bermula di Acih, Sumatera Utara yang dahulunya terkenal dengan nama Pasai mulai sekitar 1280 (kerana tiadanya pertikaian tentang Raja Islam pertamanya mangkat 696H atau sekitar 1297M). Pandangan ini berasaskan pada tafsiran kepada cerita-sejarah yang dirakamkan dalam manuskrip Melayu Jawi berjudul Hikayat Raja Pasai (selepas ini diringkaskan sebagai HRP sahaja) yang dianggap satu daripada karya agung Melayu dan oleh itu telah pun diterbitkan dalam Siri Karya Agung oleh Yayasaan Karyawan dan Penerbit Fajar Bakti Kuala Lumpur 1999. Manuskrip ini tidak bertarikh tetapi secara ijmaknya disetujui siap ditulis sebaru-barunya pada 1520-an M dan kandungannya penuh dengan drama sejarah raja-raja Pasai sejak sekitar 1280 itu hinggalah ke akhir-akhir abad ke-14M. Oleh itu HRP jauh lebih tua daripada manuskrip yang tidak dipertikaikan lagi tertuanya setakat ini, Aqaid alNasafi (karya terjemahan) yang bertarikh 1590. Besarlah kemungkinannya HRP itulah karya asli tertua dalam bahasa Melayu Jawi. Oleh itu segala maklumat, khususnya maklumat sains, yang terdapat di dalam HRP boleh dianggap sebagai rakaman bahan sains Melayu Islam yang tertua, iaitu sejak akhir-akhir abad ke13M hingga akhir-akhir abad ke-14M itu. Selama ini belum pernah manuskrip Melayu seperti HRP ini dikaji daripada perspektif sains yang cuba dilakukan sebaliknya di sini, walaupun adalah penonjolan wujudnya unsur-unsur matematik dalam manuskrip tertua Melayu Jawi, Aqaid al-Nasafi itu yang dilakukan oleh Abdul Razak dalam Kesturi 2002, 11(1&2). Dalam Jawhar 2(3), Okt/Nov 2005, Monique Zaini-Lajoubert membuat sorotan terhadap terjemahan HRP versi terjemahan ke bahasa Perancis (penerbitan kembali 2004 kepada terjemahan asalnya 1849 oleh Aristide Marre), dan beliau menyebut sepintas lalu adanya ilmu pengurusan dalam HRP. Inilah yang mencetuskan keinginan kami membuat kajian kepada HRP ini daripada perspektif sains ini. Sebenarnya, kekurangan sorotan manuskrip Melayu daripada aspek sainslah yang memberi gambaran bahawa tamadun Melayu tiada sains atau miskin sainsnya yang menyumbang sebabnya sejak 2003 mereka menolak bahasanya sendiri sebagai bahasa pembangunan sainsnya, dan mereka sedang menerima bahananya yang besar yang tidak mereka sedari setakat ini. Maka inilah kesempatannya yang difikirkan sesuai untuk menghakiskan lagi citra negatif ketiadaan sains dalam tamadun Melayu, mogamoga terowong panjang Melayu yang terbina itu tidak tertutup langsung di hujungnya yang nampaknya begitu gelap gelemat itu. 2. Status Mantik Melayu Islam yang Tertua (Sebaru-barunya Awal Abad ke-16M) Penulisan zaman dahulu (manuskrip jawi) khususunya HRP memang tiada tanda bacanya dan oleh itu terserahlah kepada pembaca, penyusun atau pentranskripsinya memasukkan tanda bacanya berasaskan kepada kefahamannya dan gaya penulisan masa kini. Ini menjadikan gaya retorik sesuatu penulisan itu berubah mengikut pembacanya hingga kadang kalanya mengubah maksudnya. Peranan tanda baca dalam retorik mantik amatlah penting. Bahasa Melayu dalam HRP menunjukkan adanya unsur-unsur mantik yang sepatutnya ada dalam sesuatu bahasa yang tahap retoriknya tinggi, iaitu kata penyambung, penafian, pengkuantitian semesta, pengkuantiti wujud, dan implikasi. Oleh sebab manuskrip ini ditulis sebaru-barunya pada awal abad ke-16M, maka bolehlah dianggap mantik yang diperoleh daripada manuskrip ini berupa mantik

Melayu Islam abad tersebut. 2.1. Pernyataan Konjungsi Dalam HRP pernyataan-pernyataan konjungsi (ayat yang mengandungi kata sendi atau konektif dan) dan disjungsi (ayat yang mengandungi kata sendi atau) boleh dikatakan sebanyak dalam sesebuah karangan masa kini sahaja. Malah dua ayat pertama HRP sudah pun ada menggunakan dan, .Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah. Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Ayat yang mengandungi kata sendi atau pula lagi sedap didengarnya/dibacanya seperti pada hlm 5 , dalam sebuah cakap ajuk, Hai bapaku, jikalau emas atau manikam ditunjukkan akan hamba atau ada diberi akan hamba tiadalah hamba sukacita behena seperti hamba melihat kanak-kanak ini. 2.2. Penyataan Penafian dan Kontrapositif Untuk penafian, HRP mengggunakan perkataan tiada sahaja, malah bentuk penafian seperti dalam ayat di atas tadi, tiadalah hamba sukacita. menjadi normanya. Perkataan tidak atau bukan tidak digunakan dalam HRP, kecuali tak dalam ungkapan tak dapat tiada (hlm 30); semua bentuk penafian menggunakan tiada termasuklah ungkapan tiada ada (hlm 9). Contohnya dalam ayat hamba hendak minta tempat duduk, karna hamba tiada bertempat (hlm 11), Tiada hamba tahu mengucap akan dia., Adapun raja kita ini keluar katanya itu tiada kita tahu akan barang katanya itu. (hlm 15), ..tiadalah ia minta ajari lagi. (hlm 16), jikalau tiadaku makan nescaya daruhakalah aku. (hlm 53; perkataan daruhaka lebih tepat drp versi modennya derhaka), tiadalah lagi dapat hamba berjalan. (hlm 56), sekali-kali Si Beraim Bapa tiada mau daruhaka. (hlm 56). Ada retorik penafian yang cukup indah lagi, jika hamba mau daruhaka, jika Pasai se-Pasainya, jika Siam se-Siamnya, jika Cina seCinanya, jika Jawa se-Jawanya, jika Keling se-Kelingnya tiada dapat melawan aku. (hlm 50). Perhatikanlah betapa rasa lembutnya setiap penafian ini kerana tidak menggunakan tidak/bukan ; oleh itu penafian ini wajar dinamai penafian lembut. Ayat kontrapositif dalam HRP juga cukup cantik seperti jikalau Si Beraim Bapa tiada kubunuh, kerajaanku jangan kekal dan bau syurga pun jangan kucium (hlm 41) dan Jika tiada aku kerajaan di dunia ini, di akhirat pun aku peroleh jua. (hlm 48) 2.3. Pengkuantiti wujud dan Semesta Pengkuantiti wujud dalam HRP ini dapat dikutip di merata-rata tempatnya, iaitu ada (hlm 7 dll) dan adalah (hlm 21; bentuk lembut: maka adalah emas itu.), tetapi tiada perkataan wujud atau ujud. Pengkuantiti semesta yang ada dalam HRP ialah suatu (9 dll; berbeza drp sekarang kerana dahulu maknanya satu, mula-mula, dan sesuatu sekarang), segala (hlm 8 dan merata-rata slepas ini), barang (hlm 15 dll.), sekalian (hlm 69 dan merata sebelumnya; sepatutnya sakalian), tiap-tiap (hlm 62) dan semua (hlm 67). Satu cara yang biasa dilakukan dlm HRP apabila menunjukkan adanya pengkuantiti semesta ialah dengan mengulang kata nama dengan imbuhan seseperti seorang seorang (hlm 69; sepatutnya masa dahulu: sa-orang sa-orang)

dan sehari hari (hlm 27; sepatutnya sa-hari sa-hari). Tiada pengkuantiti semesta berbentuk setiap. Sementara itu HRP juga ada perkataan setengah (hlm 42, 70), di sana (hlm 6) dan di sini (hlm 60) yang menunjukkan ada atau tiada itu. 2.4. Pernyataan Berimplikasi Bentuk ayat implikasi atau sebab-musabab kini biasanya berbentuk jika/jikalau/kalau/andainya/seandainya/andaikan/sekiranya/anggaplah/apabila/tatkal a/sela-gi/asalkan/setelah A, maka B; atau tiada maka itu; atau ayat berbentuk B jika/jikalau/sendainya/sekiranya/(dan sebagainya itu) A. Namun perkataan maka dalam HRP lebih banyak digunakan pada permulaan ayat sahaja, malah hampir setiap ayat bermula dengan maka. Umpamnya di halaman (hlm) 1, ada 7 daripada 11 ayat semuanya itu yang bermula dengan maka; manakala di hlm 2, ada 15 ayat drp 21 ayat semuanya yang bermula dengan maka. Ini pun sebenarnya bermaksud Oleh itu terimplikasilah oleh suatu premis yang sudah jelas atau tersirat dalam ayat-ayat sebelumnya. Penggunaan maka sebagai penyambung atau sendi juga sering dilakukan, yang juga bertujuan untuk menunjukkan akibat/natijah daripada perkara yang berlaku sebelumnya (suatu premis). Contohnya, Ini hikayat ceritera raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka ada diceriterakan oleh orang .. Contoh keduanya, Maka dilihat oleh Raja Muhammad pada sama tengah betung itu. ; maka hendak diparang oleh Raja Muhammad , maka keluar seorang kanakkanak; maka dibuangkanyalah gedubangnya, lalu segera diambilnya kanakkanak itu, maka didukungnya. . Semua tanda baca dalam ayat-ayat yang dipetik itu asalnya tiada. Tanda baca itu dimasukkan oleh pentranskripsi HRP ini yang difikirkannya paling hampir sesuainya dengan gaya retorik sekarang. Walau apa pun ayat-ayat berimplikasi dalam HRP yang dapat dikesani dan sama bentuknya dengan sekarang hanya berbentuk Setelah A maka B; Jika A maka B; Jika A, B (tiada maka); Jika A nescaya B; Jikalau A maka B; Jikalau A, B (tiada maka); Jikalau A necaya B; Maka tatkala A maka B (atau tiada Maka itu); dan Apabila A maka B. Contoh penggunaan Setelah ialah, Setelah sudah negeri itu diperusaha oleh segala rakyat dengan kota paritnya serta dengan istana balairung, maka baginda pun duduklah dalam negeri itu dengan bersuka-suakan makan minum menjamu segala menteri dan hulubalang rakyat sekalian. (HRP, hlm. 4 perenggan 2). Contoh penggunaan Jika dan Jikalau ialah seperti berikut: Jika rambut hamba sehelai itu dibantun oleh tuan hamba, alamat perceraian tuan hamba dengan hamba . (HRP, hlm 7 para akhir). Jikalau tuan hendak akan anak, baiklah hamba tunjukkan dia akan tuan. (HRP, hlm. 5, baris ketiga terakhir. (Asalnya jikakau, yang hanya berupa ralat tipografi kerana teks Jawinya memang huruf lam bukannya kap); dan Jikalau kumakan makanan ini nescaya matilah aku, jikalau tiada ku makan nescaya derhakalah aku, (hlm 53, prenggan 2). Contoh yang bermula dengan Apabila ialah Apabila sudah berhimpun sekaliannya datang mengadap Raja Ahmad, maka diceriterakannya. (HRP hlm. 6 para 1). Contoh dengan tatkala (dipakai selepas maka sebagai kata mula sahaja itu) ialah, Maka tatkala sudah berhimpun segala lasykarnya lengkap dengan segala senjatanyanya, maka pada ketika yang baik, maka berangkatlah Raja Ahmad itu.

Ungkapan yang setara dengan jika daripada segi menunjukkan premis kepada sesuatu implikasi juga sering menjadi unsur retorik yang popular dalam HRP, iaitu ungkapan sebab itulah (hlm 13, 16 dll), dari karna itulah (hlm 25); oleh karna (hlm 52), sebab (hlm 8 dll), sebab karna (hlm 8, 39 dll). Namun tiada ungkapan oleh itu atau oleh sebab itu di dalam HRP. 3. Adanya Pokok di Pascabima dalam Pertengahan Kedua Abad Ke-13M yang Belum Dikenali oleh Ahli Botani Dunia Kini? HRP juga memberi maklumat beberapa spesies pokok (33 jenis semuanya) di Pascabima ini yang hampir semuanya pernah wujud dahulu hingga kini, dan ini sepatutnya menarik perhatian para ahli sains hayat (khususnya ahli botani) di Pascabima sekarang pun jika mereka ini perihatin kepada etnosainsnya. Oleh sebab pokok-pokok yang disebut dalam HRP itu banyak yang disebut ketika menceritakan zaman-zaman abad sebelum tarikh penulisannya, menjangkau hingga pertengahan kedua abad ke-13 M, maka bolehlah dianggap pokok-pokok ini ada dalam abad tersebut. Pokok-pokok yang disebut dalam HRP ialah, mengikut susunan abjadnya, beluru (hlm 55) , bengkudu (hlm 70), betung (hlm 3), buluh telang (hlm 69), cendana (hlm 66), cengkih (hlm 17), gaharu (hlm 17), jambu (hlm 19), kajang (hlm 66), kara (hlm 42), kapur barus (hlm 17), kayu manis (hlm 66), kejemas (hlm 41), kelambir (hlm 44, kelambir luluh lantak hlm 36), kemenyan (hlm 17), kesturi (hlm 66), khelembak (hlm 17), kulur (hlm 53), limau (hlm 41), mawar (hlm 40), mesui (hlm 66), padi (hlm 10), pala (hlm 17), pauh (hlm 64), pekan (hlm 36, 49), pinang (hlm 43), pisang (hlm 10), rotan (hlm 66), sabak (hlm 52), sebasani (hlm 55), sirih (hlm 67), dan tengkeras (hlm 17). Yang lebih menarik lagi, apabila disemak pada Kamus Dewan (KD) dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBI) yang memang terkenal (selepas ini dirujuk sebagai Kamus Muktabar (KM) sahaja) menyenaraikan nama-nama sains bagi pokokpokok dan haiwan di Pascabima yang diketahui setakat penerbitan kamus-kamus itu, maka di dapati kapur barus (walaupun begitu terkenal), sebasani (malah tiada dalam KD tetapi dalam KBI ada dalam bentuk sabasani) dan beberapa jenis kesturi itu tiada nama sainsnya (Dalam KBI kasturi dibezakan dengan kesturi, iaitu yang pertama itu sejenis pokok khas di Kalimantan yang diketahui nama sainsnya dan yang kedua itu tumbuhan yang berbagai-bagai jenis yang tidak semuanya ada nama sainsnya itu). Dalam Catatan Teks (hlm 76) buku HRP, hanya buluh telang sahaja yang dijelaskan maknanya dan diberi nama sainsnya sekali, yang memang ada dalam kamus muktabar itu, sebagai Gigantochloa heterostachya. Perincian ini dilakukan mungkin kerana buluh telang berperanan besar mengalahkan Jawa dan munculnya Minangkabau itu yang diceritakan dengan panjang lebarnya dalam bab terakhir HRP itu. Berkenaan pokok sebasani atau lebih tepat lagi sabasani itu HRP mencatatkan bahawasanya pokok ini berupa seperti ular (seperti akar?), berdarah (mengeluarkan getah, jus atau air berwarna darah?) dan boleh mengeram kesakitan (apabila ditetak) seperti manusia, dan sesiapa yang bertemu dengan pohon ini akan terkejut terketar-ketar rebah lalu mati (hlm 55). Isu nama-nama sains bagi pokok-pokok di Pascabima ini pertama kali dibangkitkan oleh Shaharir (2003), dalam makalahnya, Etnosains Melayu tertua setakat ini: Kajian kasus etnobotani Melayu daripada prasasti Talang Tuwo abad ke-7 Masehi dan peribahasa yang terbit dalam Malaysian Jour. of Sc. And Technology Studies 1: 78-113. Perbincangan di atas menambahkan lagi senarai pokok yang perlu dikaji oleh ahli botani dan/atau ahli leksikografi kita.

4. Adanya Haiwan di Pascabima dalam Pertengahan Kedua Abad Ke-13M yang Belum Dikenali oleh Ahli Zoologi Dunia Kini? Sepertilah juga dengan kehadiran pokok-pokok, kehadiran haiwan-haiwan yang disebut dalam HRP boleh dianggap haiwan yang ada pada pertengahan kedua abad ke-13M dahulu. HRP memberi maklumat adanya beberapa (berjumlah 28) spesies haiwan Pascabima yang juga patut diminati oleh ahli zoologi tempatan untuk memastikan yang haiwan itu sudah diketahui atau tidak (sebahagian besarnya memang sudah diketahui). Haiwan tersebut ialah anjing (hlm 13), badak (hlm 60), gajah (hlm 5), gelang-gelang (hlm 9), harimau (hlm 42), hayam (hlm 11), helang (hlm 45), ikan patin (hlm 47), itik (hlm 69), kambing (hlm 69), kara (hlm 42, dalam KM, segi sains hayat, kara boleh jadi pokok dan boleh jadi haiwan), kerbau (hlm 10), kertang (hlm 45), kesturi (hlm 66; selain drp sejenis pokok yang disebut di atas, mengikut KM itu, burung kesturi ialah burung seperti burung bayan atau serindit); ketam berdayung (hlm 47), kucing (hlm 13), kuda semberani (hlm 42), lembedak mengidam/ngidam (hlm 47), lembu (hlm 69), merak (hlm 43), naga (hlm 55), pelanduk (hlm 22), rama-rama bersil (hlm 47), saga (hlm 67), semut sebesar kucing (hlm 13), singa (hlm 68), udang sanggul (hlm 47), dan ular lembu (hlm 54). Yang lebih menariknya, ada 11 jenis haiwan itu (selain daripada naga yang terkenal sebagai haiwan mitos itu) yang tiada catatan nama sainsnya dalam KM itu, iaitu gelang-gelang, kara, kertang, kesturi, ketam berdayung (tiada dalam KM pun), kuda semberani, lembedak mengidam (tiada dalam KM), rama-rama bersil (tiada dalam KM pun), semut sebesar kucing, udang sanggul (tiada dalam KM pun) dan ular lembu (tiada dalam KM pun). Berkenaan dengan ular lembu ini HRP memerihalkannya sebagai ular yang diam dalam lubuk yang dalam dan luas (Lubuk Turai namanya yang terlalu amat dalam dan luasnya kira-kira sekunca benih, hlm 54), boleh mengeluarkan cahaya, merah seperti api bernyala-nyala dan dagingnya amat bisa sehingga sesiapa yang menghidu asap daripada panggangan daging ular itu akan mati. Ini menambahkan lagi isu nama-nama sains kepada haiwan di alam Melayu yang pertama kali ditimbulkan oleh Shaharir (2005a). 5. Taraf Sains Kejasmanian (Fizis) Melayu Islam Yang Tertua (Pada Pertengahan Kedua Abad ke-13M) HRP juga membayangkan ketinggian kebudayaan Melayu pada pertengahan kedua abad ke-13M itu dalam kehidupannya seperti yang terpancar daripada keadaan mereka yang berikut: 5. 1. Bilangan Orang Melayu sejak pertengahan kedua abad ke-13M itu sudah tahu bilangan termasuk istilah untuk bilangan yang cukup besar yang diistilahkannya sebagai ratus (hlm 65), ribu (hlm 62), ribu-ribu (hlm 69), keti (= seratus ribu, hlm 65), tiada tepermanai (hlm 67), dan tiada terhisabkan (hlm 63) dan tiada terkira-kira (hlm 63). Tiga ungkapan amaun/banyaknya yang disenaraikan terakhir di atas itu nampaknya ada perbezaaan yang halus: tiada tepermanai ditujukan kepada perkara umum, tiada terhisabkan untuk perkara yang memang sukar ditaksirkan sahaja, dan tiada terkira-kira untuk harta benda atau barang bernilai. Ini seanalog dengan perbezaan matematik antara uncountable dengan nondenumerable dalam bahasa Inggeris itu. Berkenaan dengan unit keti itu memanglah bitara dalam kebudayaan Melayu sahaja kerana tiada unit ini di Eropah termasuk

Inggeris. Sebenarnya banyak lagi unit-unit bilangan Melayu purba, hingga billionbilion-an (yang terbesarnya bernama wisyilion), yang tidak sama dengan dalam tamadun-tamadun purba lain yang dipaparkan dalam Warkah Berita PERSAMA 2004. Menarik juga perkataan hisab yang bermaksud hitung sudah meluas dipakai sejak abad ke-13M. Perkataan ini memang menjadi istilah matematik atau aritmetik sehingga tahun 1970-an di Malaysia. Mereka juga ada ungkapan tiada berbagai yang bermaksud tiada bandingan. Mereka juga sudah biasa dengan matematik bahagi berpemberat atau dividen sekarang seperti yang diungkapkan dalam HRP itu, suruh bahagi tiga segala arta itu sebahagi akan Sang Nata dan sebahagi akan Senapati dengan segala menteri penggawa dan yang sebahagi lagi akan segala rakyat dan segala bala tenteranya. (hlm 64), Sang Nata pun memberi persilayan segala hulubalang dan rakyat sekalian masing-masing pada kadarnya. (Dalm HRP ini, perkataan persalinan yang ditranskripsi daripada tulisan Jawi (faksimili hlm 129) yang tidak jelas ejaannya itu, yang kami transkripsikan sebagai persilayan (drp per+sila+ layan yang kami kira bermakna habuan kebendaan atau keraian sekarang) itu kerana kami fakir persalinan amat tidak sesuai dalam konteks ini). 5.2. Unit Sukatan Selain itu, dalam HRP juga terdapat unit-unit untuk menyukat banyaknya atau amaun benda-benda yang umum dan yang khusus yang berikut: Jarak/Panjang/Lilit: hari perjalanan (hlm 55), rantau (hlm 49, 52), jengkal (hlm 49), depa (hlm 36), hasta (hlm 36), pendakap (hlm 46), jambar (hlm 37) Luas: kunca (hlm 54; sekunca benih). Unit ini juga digunakan untuk isi padu. Isi padu (terutamanya makanan): kunca ( hlm 39, 54 ) yang masih dipakai sebagai sukatan padi terutamanya di Kedah hingga sekarang. Mengikut catatan penyusun HRP banyaknya 160 gantang (satu lagi unit Melayu lama yang tidak memberi makna apa-apa pada generasi sekarang, sungguh dalam kitab-kitab fekah lama masih ada istilah ini dan dalam lagu P.Ramlee pun masih berkumandang di udara terutamanya di musim Raya Puasa. Satu gantang bersamaan dengan kira-kira 4.54 liter (mengikut kamus muktabar). [Unit yang lebih kecil daripada kunca yang disebut dalam HRP ialah nalih (hlm 39) yang mengikut catatan penyusun HRP bersamaan dengan 16 gantang.] [Unit yang lebih umum ialah kampit (hlm 11) dan perkataan sebu digunakan untuk apa jua sukatan benda yang penuh dalam sesuatu benda.] Masa: saat (hlm 5), jam (hlm 33), malam (hlm 58), hari (hlm 63), bulan (hlm 62), musim angin (hlm 66), ketika (ada di merata-rata halaman HRP), ketika selatan (hlm 40), netiasa (=sentiasa, hlm 28), penah (=pernah, hlm 22), datang sekarang (=hingga sekarang, hlm 32), sekali persetua (hlm 13), dan daur kecil yang contohnya dalam HRP ini dicatatkan pada akhir manuskripnya Tamat hari Isnin, kepada hari dua pulu sa, kepada bulan Muharam, sanat zai Hijratul Nabi 1230. Mengikut penyusun HRP yg disorot ini, tahun ini sama dgn tahun Je (iaitu tentunya maksudnya, huruf Jim), tahun keempat dalam Windu Jawa. Tetapi mengikut fahaman kami (lihat Warkah Berita PERSAMA 2004) tahun 1230H ini jika dibahagi dgn 4 berlebih 2 yang bersamaan dengan tahun kedua Windu Jawa,

tahun Jim Awal kerana ada tahun Jim Akhir (tahun 5). Berkenaan dengan sanat zai (=tahun zai ) itu memang tepat dengan sistem penamaan tahun dalam daur kecil yang dipaparkan dalam Warkah Berita PERSAMA 2004 yang disebut di atas. Rotan: galang (hlm 54 ) Emas: makdan ( hlm 21,sepatutnya mikdar/mikdarun atau makdur/ makdurun, dan bahara (hlm 17). Kertas/Pakaian dsbnya: peti (hlm 57) Dakwat: koci (hlm 57) Kalam (Pensil sekarang): berkas (hlm 57) Adanya unit kertas dan dakwat ini menunjukkan budaya menulis di kalangan orang Melayu pada abad ke-14 dahulu pun sudah agak menyeluruh. Penulis kira ini satu pengetahuan yang belum didedahkan kepada masyarakat sebelum ini. Menarik juga adanya beberapa unit di sini (iaitu peti, koci, galang, makdan, sebu, rantau dan tiada berbagai) yang tidak disenaraikan dalam kajian sukatan Melayu oleh Abdul Razak (2000), Sukatan dalam Budaya Melayu sebelum Abad ke-20, Kesturi 10(1&2): 1-40.

5.3.Arah kedudukan dan perjalanan Orang Melayu sejak pertengahan abad ke-13 M itu sudah pun memerlukan istilah mata angin atau kompas sekarang bagi penjelajahannya dan perancangan kegiatan hidupannya sehingga mereka sudah ada istilah timur (hlm 66; dan tentunya barat?) , selatan (hlm 40; dan tentunya utara?) selain daripada istilah Jawa yang setaranya seperti wetan (hlm. 66) dan kulon (hlm 66) untuk kawasan Jawa dan lebih am lagi bawah angin (hlm 3) bagi timur, dan atas angin (hlm 36) bagi barat , ilir (52) dan mudik (hlm 49) atau hulu (hlm 48), dan kedudukan bintang dengan kewujudan ahlul nujum diraja (hlm 19). Mereka arif dalam penjelajahan dan ilmu bintang kerana Melayu terkenal dengan pengetahuan pelayarannya sehingga Magellan (abad ke-15M, yang sering dikatakan pengeliling dunia pertama itu yang perlu dipertikaikan itu; lihat kisah pelayaran Magellan yang kritis di internet, dengan menaip henry the black atau terus ke lubuk http//www. wikipedia.org/wiki./Henry_the_Black) dan ahli sejarah tabii Inggeris yang bernama Wallace (abad ke-18M, dalam catatan pengembaraan di Kepulauan Melayu dalam bukunya The Malay Archipelego: The Land of Orang-Utan and the Bird of Paradise, terbitan MacMillan 1868 dan diulang cetaknya pada 1970-an) keduaduanya mengambil orang Melayu sebagai pembantunya. Magellan mengambil seorang Melayu yang diberi nama Sepanyol-nya, Enrique, yang diInggerikan oleh penulis Inggeris menjadi Henry, dan gelarannya Enrique Melaka atau Enrique Hitam (yang diInggeriskan sebagai Henry the Black yang menunjukkan nama sebenarnya Hitam), dan yang dijadikan sebuah bahan nobel sejarah oleh Harun Aminurrashid tahun 1960-an dahulu dengan judul Penglima Hitam; manakala Wallace mengaambil Ahmad yang gambarnya ada dilukis dalam buku beliau itu masing-masingnya sebagai pembantu utamanya dalam pelayaran dan kerja-kerja penjelajahan mereka. Dalam HRP ada disebut nama bintang yang terkenal iaitu ketika (hlm 40) yang juga dikenali Bintang Tujuh seperti yang dicatat oleh penyusun HRP itu. Bintang ini juga dikenali sebagai Kutika dan Kartika; dan

mengikut kamus Winstedt (1957/1972), padanan istilah Inggeris-Latin-nya ialah Pleiades. Jelaslah begitu aslinya istilah bintang ini dalam bahasa Melayu. 5.4. Orang Seri (Kimiawan Khusus) Orang Melayu sejak abad ke-14M lagi sungguh hebat dalam membuat racun (iaitu hebat dalam kimia amali, kalau pun bukan teori) yang dicontohi oleh ciptaan racun oleh orang seri (yang diceritakan dalam HRP) yang dimasukkan ke dalam kuih yang bernama peniaram itu (kini namanya Peneram, Memerang atau Telinga Keling ) untuk membunuh seorang hulubalang gagah perkasa yang bernama Tun Beraim Bapa. Bagaimana kuatnya racun itu, bukan sahaja dua orang puteri raja, anjing dan ayam yang mati serta merta setelah makan sedikit sahaja kuih beracun itu tetapi juga dua orang yang menggaru belakang Tun Beraim Bapa, yang sedang menerima bahana racun tersebut, gugur kukunya dan mati; pokok bekas Tun Beraim Bapa menggaru belakangnya setelah beliau makan kuih beracun itu juga mati serta merta. Hanya daging ular lembu yang beracun lebih daripada racun buatan orang seri itu. Keracunan daging ular lembu itu begitu hebat sehingga sesiapa yang menghidu asap drp bakaran ular tersebut pun mati serta-merta. Malah Tun Beraim Bapa tidak mati kerana racun drp kuih peniaram tetapi drp racun ular lembu yang sengaja dimakannya itu. 5.5. Kedudukan ilmuwan Pengiktirafan besar kepada perihal ilmu juga dapat dilihat bukan sahaja kepada orang seri dan ahlul nujum itu tetapi kepada pandangan tinggi masyarakat terhadap seorang putera raja Pasai, Tun Abu Fadil, kerana bertaraf pendeta itu. Ratu Majapahit, Raden Galuh Gemerenceng (RGG), digambarkan begitu berahi kepadanya kerana antara lainnya, kependetaannya itu, sehingga sanggup membunuh diri kerana cita-citanya untuk menjadi isteri Tun Abu Fadil itu tidak kesampaian, dan akibatnya Pasai dilanggar Majapahit.

6. Sains Sosial dan Kemanusiaan Melayu Islam Abad ke-14M Kedudukan ilmuwan yang tinggi dari kaca mata masyarakat Melayu sekurangkurang sejak abad ke-14M telah dibicarakan di bahagain akhir 5.3 di atas. HRP juga memberi gambaran tentang feudalisme dan amalan yang bertentangan sangat dengan Islam, status wanita rumpun Melayu pada abad ke-14M dan ilmu kepemimpinan Melayu ketika itu. Ini dihuraikan satu persatu di bawah ini 6.1 Ilmu Kepemimpinan Melayu Islam yang Tertua? Paling menarik lagi, HRP ini ada unsur ilmu kepemimpinan yang menunjukkan tahap sivil atau madani masyarakat Melayu pada pertengahan kedua abad ke-13 M itu pun sudah agak tinggi. Ini boleh dianggap ilmu kepemimpinan Melayu Islam yang tertua, jauh lebih awal daripada ilmu kepemimpinan Melayu Islam yang dianggap tertua sebelum ini daripada buku Bukhari al-Jauhari, Taj al-Salatin 1603 itu, yang telah dikupas oleh Shaharir (2005b). Ilmu kepemimpinan Melayu sebelum Islam memang jauh lebih lama lagi, yang dikenali sebagai Cakravantin yang wujud sekurang-kurangnya sejak abad ke-6M lagi yang dibicarakan dalam makalah Shaharir itu dan lebih terperinci lagi dalam makalah Shaharir (2005c), Teori kepemimpinan Melayu Campa yang dibentangkan di Simposium Sehari Campa di

UKM pada 30 Nov. 2005. Ilmu kepemimpinan dalam HRP dapat dicungkil daripada kesah nasihat Sultan Malikul Saleh kepada dua orang Perdana Menterinya (hlm.24) dan nasihat baginda kepada cucundanya (bakal penggantinya), Malikul Mansur dan Malikul Mahmud (hlm.25), serta wasiat Sultan Malikul Mahmud kepada anaknya Sultan Ahmad (hlm. 33). Seperti biasa, kami memadankan Raja/Sultan Melayu dahulu setara dengan Perdana Menteri/Presiden, Pemimpin Politik atau Pemimpin (Ketua Pegawai Eksekutif) sesebuah syarikat/institusi/organisasi dsbnya; manakala Perdana Menteri dahulu dipadankan dengan Pengurus sekarang. Oleh itu mengikut HRP, seseorang Pengurus yang unggul ialah (1) yang setia kepada pemimpinnya, (2) yang tidak melakukan penganiayaan dalam apa bentuk sekalipun, (3) yang melakukan pengurusan mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Allah/al-Qur-aan. HRP juga menggariskan pemimpin yang unggul yang sifatnya ialah (1) pemelihara makruf (amar/suruhan Allah dan Rasullah) dan penghindar mungkar (larangan Allah dan Rasul), (2) yang tidak tamak harta dunia, (3) yang tidak ingin segala yang tidak memberi manfaat kepada hari akhirat, (4) yang cakna/ikram kepada segala titah perintah Allah dan Rasul, (5) yang ikhlas dengan hal kebajikan, (6) yang meninggalkan segala kejahatan, (7) yang menyuruh orang berbuat kebajikan dan melarang segala orang berbuat kejahatan, (8) yang berlaku adil, (9) bermesyuarat, (10) penyabar, dan (11) yang tidak menganiaya. Dengan kaedah aksiom dalam Matematik senarai ini masih boleh disingkatkan hanya kepada tujuh : (1), (2), (3), (5), (8), (9) dan (10) kerana (1) mengimplikasikan (4), (6) dan (7); manakala (8) mengimplikasikan (11). Teori kepemimpinan dalam HRP ini nampaknya kurang mencakupi dan mendalam (tiada kepentingan berilmu umpamanya) daripada yang terdapat dalam Tajus Salatin oleh Bukhari al-Jauhari tetapi kedua-duanya sama falsafahnya, iaitu walaupun tidak jelas berfalsafahkan kpd kepemimpinan ulama tetapi jelas bersifat kepemimpinan Islam. Islam di sini bermaksud Islam Melayu, iaitu Islam mengikut perspektif Melayu yang tidak semestinya sama dengan Islam Arab, atau Islam Zaman Tamadun Islam dahulu. (Lihat Shaharir 2005c yang telah disebut di atas) 6.2. Feudalisme dan Pelbagai Amalan yang Amat Bertentangan dengan Islam Amalan feudalisme begitu hebat digambarkan dalam HRP sehingga apa sahaja kehendak dan perintah raja, suka atau tidak, tetap dijunjung walaupun jelas bertentangan dengan Islam sekalipun. Contoh yang paling melampaunya ialah telatah raja Pasai terakhir yang Islam tetapi boleh cinta berahi kepada kedua-dua puterinya dan kemahuan nafsu serakahnya itu tetap disokong oleh pembesarpembesarnya dengan pelbagai hujah yang menyukakan raja tersebut. Apabila anak lelakinya, Tun Beraim Bapa yang juga terkenal sebagai pahlawan perkasa Pasai melindungi kedua-dua puteri itu maka beliau berdendam kesumat mahu membunuh anaknya itu. Semua pembesar dan rakyat jelata tahu hakikat ini tetapi tetap tidak menegur kejahatan raja itu termasuklah juga anak lelaki yang hendak dibunuhnya Tun Beraim Bapa itu! Akhirnya, Tun Beraim Bapa juga melanggar hukum Islam yang besar dengan membunuh diri sahaja kerana tidak mahu menderhaka. Raja yang sama membunuh anak lelakinya yang satu lagi, Tun Abu Fadil yang telah disebut di atas, kerana tidak mahu anaknya yang terkenal tampan dan bertaraf pendeta serta amat popular di kalangan rakyatnya itu, menjadi suami

seorang puteri raja Majapahit, Raden Galuh Gemerenceng yang telah disebut di atas. 6.3. Status Emansipasi Wanita Rumpun Melayu Cerita RGG ini yang mengarahkan hulubalangnya Tun Perpatih Jena menjelajah seluruh pelusuk Pascabima ini untuk merakamkan paras rupa putera-putera raja yang bijaksana dan perkasa bagi dijadikan calon suaminya, dan kemudiannya tidak silu-silu lagi menyatakan cinta berahinya kepada calon yang keseratus, anak raja Pasai yang terkenal dengan rupawan dan bergelar pendeta itu, Tun Abu Fadil, lalu mengetuai belayar ke Pasai bagi mendapatkannya membayangkan taraf emansipasi wanita Jawa (atau Melayu amnya?) pada abad ke-14 itu. Begitu juga bagaimana raja Terakhir Pasai, Raja Ahmad, mempunyai setiausaha peribadi atau semacam pegawai perhubungan awam istana baginda (berpangkat Penghulu Gundik) bernama Dara Zulaikha Tingkap juga menunjukkan taraf emansipasi wanita yang dimaksudkan ini.

7. Kesimpulan Sesungguhnya menerusi buku HRP yang dipercayai salinan manuskrip Jawi alam Melayu yang tertua itu memberi banyak juga gambaran dan bukti bentuk-bentuk dan status sains Melayu pada zaman awal Islam menapak di Pascabima (=Alam Melayu, Nusantara) ini, iaitu yang terawal setakat ini. Dalam bidang sains fizis (sukatan, bilangan, pelayaran dan kimia keracunan) pencapaiannya ketara agak kehadapan berbanding dengan tamadun bangsa-bangsa Eropah umpamanya, di sekitara abad yang sama itu. Dalam ilmu kepemimpinan orang Melayu memang terkenal mendahului bangsa-bangsa lain di dunia yang terbukti daripada batu bersurat Campa abad ke-6M tentang Cakravantin (Pemimpin Dunia) tu, dan HRP membuktikan tradisi ini diteruskan dengan penerapan nilai-nilai Islam sejak sekitara abad ke-15M lagi. Dalam perihal mantik, struktur mantik yang tersurat dalam bahasa Melayu sudah agak terkehadapan yang memberi justifikasi kekuatan pentaakulan sains orang-orang Melayu dapat menyaingi bahasa-bahasa sains dunia pada sekitar abad ke-15M itu, iaitu bahasa Latin, Perancis dan Arab. Kewujudan haiwan dan pokok pada abad ke-15 yang masih belum diketahui wujud atau tidaknya sekarang dan oleh belum diketahui nama sainsnya hingga kini menjadi cabaran besar kepada ahli sains hayat kita. Tiga konsep ketakterhinggaan Melayu sekitar abad ke-15M itu (tiada tepermanai, tiada terhisabkan dan tiada terkira-kira) mungkin boleh menjadi asas pembinaan teori ketaktepermanai Melayu yang berlainan daripada teori ketaktepermanai Jerman abad ke-19M yang ada dalam buku-buku teks matematik sekarang (yang diistilahkan sebagai tak terhinga atau tak berhingga sebagai padanan Inggeris uncountable yang dipadankan daripada istilah asalnya Jerman, ueberabzaehlbar).

Rujukan Abdul Razak b.S. 2000. Sukatan dalam Budaya Melayu sebelum Abad ke-20. Kesturi 10(1&2): 1-40. Aqaid al-Nasafi 1590/1988. Lihat al-Attas M.N. 1988 al-Attas S.M.N. 1988. The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the Aqaid of Al-Nasafi terbitan Universiti Malaya 1998. Asalnya Jawi 1590.

Bukhari al-Jauhari 1603/1996. Taj us-Salatin . Di-Rumi-kan dan diterbitkan oleh DBP 1996 (snt ke-2, snt pertamanya 1966). Asalnya Jawi yang ditulis pada 1603 yang ada disimpan di DBP K.Lumpur, selain di Leiden. HRP. t.t./1999. Hikayat Raja Pasai. Siri Karya Agung oleh Yayasaan Karyawan dan Penerbit Fajar Bakti Kuala Lumpur 1999. Ada disertakan faksimili salinan HRP Jawi. Asalnya, tanpa tahun (t.t) Internet: http//www. wikipedia.org/wiki./Henry_the_Black. 12 Januari 2006 KBI. 1995. Kamus Besar Bahasa Indonesia. Snt ke-2, cet. ke-4. Jakarta: Balai Pustaka KD. 1994. Kamus Dewan. Snt. ke-3. K.Lumpur: DBP KM. Kamus Muktabar Melayu. Sama dgn KD dan KBI Shaharir b.M.Z. 2003. Etnosains Melayu tertua setakat ini: Kajian kasus etnobotani Melayu. Malaysian Jour. of Sc. And Technology Studies 1: 78-113 -------------------. 2005a. Haiwan dalam peribahasa yang tanpa nama sains. Malaysian Jour. of Sc. And Technology Studies 3: -------------------. 2005b. Sains matematik dan pengurusan. JPuQAM (Jurnal Pengurusan Qualiti dan Analisis Malaysia 1(1): 1-43 --------------------. 2005c. Teori kepemimpinan Melayu Campa. Simposium Antarabangsa Sehari Campa di UKM pada 30 Nov. 2005. Wallace A. 1868/2004. The Malay Archipelago: The Land of Orang-Utan and the Bird of Paradise. Cetakan semula 2004 terbitan Routledge. Suntingan pertamanya oleh MacMillan 1868 dan diulang cetaknya oleh banyak penerbit (sekurangkurannya 7 buah penerbit, dan banyak daripada penerbit ini yang membuat ulang cetaknya pula) selain daripada MacMillan yang mengulang cetaknya puluhan kali, umpamanya cetakan ke-10-nya ialah 1906. Warkah Berita PERSAMA 2004 Winstedt R. O. 1957/1966. An Unabridged English-Malay Dictionary. K. Lumpur & Singapore: Marican & Sons (Malaysia) Sdn Bhd. 4th ed. Enlarged. 1966, reprinted 1972, 3rd ed. 1963 , 2nd ed. 1960, dan dianggarkan snt pertamanya 1957. Zaini-Lajoubert M. 2005. Hikayat Raja Pasai. Diterjemah daripada Bahasa Melayu Ke Bahasa Perancis dengan Judul Histoire de rois de Pasey oleh Aristide Marre. Jawhar 2(3), Okt/Nov 2005: 19-30

You might also like