You are on page 1of 8

ULASAN ARTIKEL DILEMA MORAL

PEMBUANGAN BAYI DI MALAYSIA. SALAH SIAPA?


Dewasa ini, dada-dada akhbar dan kaca-kaca televisyen kerap kali menyiarkan berita
tentang kes pembuangan bayi yang berlaku di serata bumi Malaysia ini. Lebih menyedihkan,
kes pembuangan bayi yang tidak mengira jantina ini bukan sahaja berlaku dibandar-bandar
besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang malah turut berlaku di desa-desa dan
kampung-kampung. Jika dilihat pada sejarah tamadun manusia, pada zaman Nabi Musa A.S.
bayi-bayi lelaki dibunuh oleh Firaun setelah mengetahui seorang bayi lelaki akan lahir dan
membesar menjadi seorang nabi lalu menjatuhkan Firaun itu sendiri dan menegakkan agama
Allah. Selain itu, pada zaman jahiliyah pula bayi-bayi perempuan dibunuh dengan kejam kerana
tidak mahu bayi-bayi perempuan itu membesar dan menconteng arang ke muka ibu dan bapa
masing-masing. Namun pada zaman globalisasi ini bayi-bayi kecil yang tidak berdosa dibuang
dan dibiarkan begitu sahaja sehingga menyebabkan kematian tanpa mengira jantina lelaki atau
perempuan. Hal ini tidak seharusnya berlaku di negara Malaysia khususnya yang jelas bahawa
negara kita adalah sebuah negara Islam. Bayi-bayi yang lahir kedunia ini umpama kain putih
yang suci lagi bersih tanpa sebarang noda, apakah salah mereka sehingga bayi-bayi tersebut
perlu dibuang dan dibunuh?

Tambahan pula, satistik kes pembuangan bayi pada tahun 2005-2010 di Malaysia
adalah sebanyak 472 kes. Dalam jumlah tersebut, 214 bayi yang dijumpai masih bernyawa dan
selebihnya sudah tidak bernyawa. Jika dilihat pada statistik kelahiran yang dilaporkan dalam
akhbar Berita Harian edisi 21 Mac 2010 pula, seramai 17 303 orang anak luar nikah dilahirkan
di seluruh bumi Malaysia ini pada tahun 2009. Perkara ini sangat membimbangkan namun
itulah hakikat yang berlaku pada hari ini. Apabila remaja masa kini terlalu bebas dan hilangnya
rasa bertanggungjawab dalam diri rakyat khususnya golongan remaja. Jenayah membuang
bayi ini sama sahaja seperti jenayah membunuh. Mengapakah bayi yang tidak berdosa itu
sanggup di buang, dibiarkan kesejukan, dihurung serangga sehingga mengakibatkan kematian
yang sangat menyayat hati. Selain itu, pada tahun 2010, kabinet telah memutuskan bahawa kes
pembuangan bayi akan mula disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan yang akan
membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan. Walau bagaimana pun,
keputusan kabinet ini bagaikan mencurah air ke daun keladi kerana langsung tidak memberi
kesan kepada masalah ini malah kes pembuangan bayi ini semakin berleluasa. Masalah
pembuangan bayi ini tentunya berkait rapat dengan hubungan sosial yang melampau serta
perzinaan yang berlaku dalam kalangan remaja masa kini. Masalah ini harus segera dibendung
sebelum kudis menjadi tokak. Persoalannya disini apakah punca kepada masalah ini? Dan
bagaimanakah masalah ini dapat diatasi secara intensif?




Rata-ratanya, kes pembuangan bayi ini dilakukan oleh remaja baik pelajar sekolah
mahupun penuntut di institud pengajian tinggi. Pokok kepada masalah ini adalah sifat remaja itu
sendiri yang sentiasa bersikap ingin tahu, mencuba perkara-perkara yang baru serta hawa
nafsu remaja yang sentiasa melonjak. Nafsu pada dasarnya bermaksud tempat berkumpulnya
kekuatan amarah dan syahwat dama diri manusia. Allah pernah berfirman dalam surah yusuf
ayat ke-53 yang bermaksud sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.
Nafsu remaja terutamanya amat sukar untuk dikawal apatah lagi oleh mereka yang kurang
imannya. Imam al-Ghazali pernah mengatakan bahawa nafsu ini umpama seekor kuda yang
liar. Jika ia tidak terdidik kuda liar itu pasti akan mengamuk lalu menjatuhkan orang yang
menunggangnya. Sebaliknya, jika ia berjaya djinakkan, kuda liar itu dengan mudah dapat
ditunggang mengikut mana jua hala tujuan. Oleh kerana remaja tidak mampu mendidik nafsu
dalam diri, mereka keburu dengan nafsu itu menjadikan mereka tidak waras lalu melakukan
perkara-perkara yang dilarang dalam agama seperti zina dan sebagainya. Bukankah Allah telah
berfirman dalam surah al-Isra ayat ke-32 yang membawa maksud, dan janganlah kamu
mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk.

Sudah terang lagi bersuluh, keluarga, ibu dan bapa khususnya turut menjadi punca
kepada masalah ini apabila kurangnya didikan agama dan moral yang diberikan kepada anak-
anak. Agama itu adalah asas dalam hidup yang akan membawa kepada akidah yang sejahtera
serta keimanan yang mantap. Namun hakikat yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya. Ibu
bapa tidak mempedulikan pendidikan agama anak-anak, hanya mengharapkan guru-guru di
sekolah sahaja seterusnya mengakibatkan agama anak-anak masa kini hanya tinggal pada
nama dan tercatat kad pengenalan sahaja bukan pada amalan mereka. Situasi ini sedikit
sebanyak pernah diceritakan oleh Baginda Rasulullah saw dalam sebuah Hadis Riwayat al-
Baihaqi yang membawa maksud,
Daripada Ali bin Abi Talib r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah saw, Sudah hampir sampai
suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya dan tidak
tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah,
tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di
bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan dari mereka fitnah ini
kembali.

Selain itu, jika dilihat dari aspek masyarakat pula, masyarakat yang terlalu suka
menghukum tanpa usul periksa dan sikap tidak mahu mengambil peduli turut menjadi punca
kepada masalah pembuangan bayi yang boleh diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh
selepas hujan ini. Dalam negara Malaysia yang aman ini, kita boleh mengatakan bahawa
seluruh rakyat Negara ini sentiasa bersatu padu dan berganding bahu merawat dan mengubati
masalah yang ibarat kudis ini. Namum hakikatnya, rakyat hanya bersikap sambil lewa dan
langsung tidak mempedulikan masalah ini. Mereka berfikiran masalah ini bukan masalah
mereka, ini adalah masalah ibu bapa dan keluarga mereka yang berbabit sahaja. Apabila
perkara ini berlaku kepada anak-anak mereka, barulah mereka ingin membuka langkah untuk
mengatasinya namun ianya sudah tidak berguna kerana ketika itu nasi sudah pun menjadi
bubur. Ini sama sahaja seperti yang dikatakan oleh Allah swt dalam surah al-Hashr ayat ke-14
mafhumnya kamu menyangka mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah belah.






















Seterusnya, pokok kepada masalah ini turut dibaja oleh media massa seperti televisyen,
internet, laman-laman sosial, dan majalah hiburan yang terlalu menyiarkan contoh-contoh yang
tidak baik seperti aksi-aksi lucah dan sebagainya. Media massa sangat memberi impak yang
sangat besar kepada remaja masa kini kerana mereka sangat gemar menonton televisyen,
membaca majalah hiburan dan melayari laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Apa
yang membimbangkan ialah media seperti televisyen kerap menyiarkan cerita atau drama dari
barat yang berunsurkan kuning yang dimana kita tahu ia boleh mempengaruhi remaja.
Tambahan pula, laman sosial seperti You-Tube banyak memaparkan video lucah yang menjadi
guru kepada remaja-remaja masa kini untuk melempiaskan nafsu mereka pada jalan yang tidak
halal iaitu dengan berzina.




























LANGKAH-LANGKAH MENGATASINYA

Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini
seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan
remaja. Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-
corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat
imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak
yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah
ini daripada terus membelenggu masyarakat.

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Itulah perumpamaan yang sering digunakan untuk
menggambarkan suatu institud pendidikan atau sekolah. Bagaimana guru, begitulah anak-anak
murid. Ya, dari sini kita dapat melihat bagaimana sekolah sangat penting untuk membentuk
remaja-remaja yang bukan sahaja hebat akademiknya, malah mantap sahsiahnya. Namun apa
yang berlaku saat ini, institusi pendidikan hanya menekankan tentang akademik walhal sahsiah
pelajar semakin merudum dan jauh terpesong. Kebanyakan dari warga pendidik teramat ingin
meluruskan anak-anak didik mereka yang telah bengkok, tetapi apabila mereka melakukannya
mereka pula yang terkena dek kerana ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak lalu
menyerang guru tersebut. Buktinya, pelajar mampu belajar di dalam kelas apabila guru sedang
mengajar, tetapi sebaik sahaja guru melangkah keluar dari kelas tersebut, pelajar mula
mengatur strategi untuk melakukan perkara-perkara maksiat. Malah ada yang sanggup
melakukan perkara yang dilaknat Allah itu di dalam kelas sendiri. Itulah hakikat yang berlaku di
sekolah-sekolah harian sekarang ini. Oleh kerana itu, masalah ini haruslah dibendung sebelum
segalanya terlambat. Golongan sastera terdahulu ada menyatakan bahawa jika ingin melihat
masa depan sesebuah negara itu, lihatlah pada remaja masa kini. Jika golongan remaja masa
kini sebegini, bagaimanakah masa depan negara kita kelak?

Pepatah ada mengatakan jika ingin melakukan suatu perubahan, haruslah dimulakan
dengan diri sendiri. Benarlah apa yang dikatakan. Untuk mengatasi masalah ini, remaja itu
sendiri perlu mengambil langkah pertama untuk mengubah diri mereka sendiri. Pertama,
dekatkanlah diri dan hati untuk lebih mengenal Allah. Ini adalah kerana hati manusia yang ingin
dijinakkan itu perlulah terlebih dahulu dikenalkan dan diaja untuk lebih mencintai Allah. Apalah
sangat cinta manusia jika hendak dibandingkan dengan cinta Allah yang tiada tolok bandingnya.
Jika mereka mencintai dan bertaqwa kepada Allah, nescaya mereka akan takut untuk
melakukan maksiat sepertimana yang dikatakan Allah dalam surah al-Naziat ayat ke-40 dan 41
yang bererti, Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran tuhannya dan menahan diri
daripada nafsunya maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya. Kedua, remaja haruslah
memilih sahabat yang baik. Sahabat yang baik itu bagaikan penjual minyak wangi yang mana
kita pasti akan menjadi wangi jika bersahabat dengannya, sebaliknya sahabat yang jahat
bagaikan tukang besi yang mana kita pasti akan mendapat bau busuk besi jika bersahabat
dengannya. Ketiga, remaja itu sendiri haruslah berusaha untuk menjauhkan diri dari perkara-
perkara haram. Sebagai iktibar, seorang alim ulama pernah berkata, apabila kamu terlibat
dengan perkara yang haram, suka kepada perkara yang haram, tidur makan dan bernafas
kepada perkara haram, maka yang halal itu akan menjadi jijik bagimu.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini.
Ini adalah kerana ibu bapa adalah guru yang pertama bagi anak-anak bak kata pepatah,
melentur rebung biarlah dari rebungnya. Pertama,ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak
dengan pendidikan agama yang secukupnya sejak dari kecil lagi supaya mereka akan
membesar sebagai seorang yang memahami dan mengamalkan agama bukan seorang yang
menjadi fitnah kepada agama. Ini selari dengan sebuah hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan
oleh at-Tabrani yang membawa maksud, Tiap-tiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan
suci maka kedua ibu bapanyalah yang menyebabkan ia menjadi Yahudi atau Nasrani atau
Majusi. Kedua, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak mereka, dengan siapa mereka
berkawan, apa aktiviti mereka bersama kawan-kawan. Ini untuk mengelakkan daripada anak-
anak remaja terlibat dengan gejala sosial sepeti merokok, pergaulan bebas, berkapel dan lebih
teruk perzinaan. Mungkin akan ada segolongan yang mengatakan ianya terlalu mengongkong.
Ya, ia sedikit mengongkong pergerakan anak-anak, namun ibu bapa perlu sediakan payung
sebelum hujan. Sebelum anak-anak gadis mereka ditebuk oleh tupai yang tidak
bertanggungjawab moleklah ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak mereka.

Di samping itu, untuk mengelak masalah ini berleluasa, masyarakat setempat turut
perlu turun padang berganding bahu mengatasi masalah ini. Pertama sekali, dalam kalangan
masyarakat itu sendiri perlu ada kasih sayang yang jitu. Apabila rasa sayang itu wujud, pastilah
masyarakat akan lebih bersungguh untuk mengatasi masalah ini. Seperti yang dicatatkan dalan
buku hadis sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, Cintailah manusia
sepertimana kamu mencintai dirimu sendiri, maka kamu menjadi muslim. Kedua, masyarakat
kita pada hari ini perlu lebih sensitif terhadap apa yang berlaku di sekeliling serta memainkan
peranan untuk mengubah ianya menjadi persekitaran yang berasaskan kasih sayang dan
keimanan lagi kondusif. Ketiga, masyarakat perlu saling memaafkan, bersepadu serta tidak
memulaukan golongan yang terlibat khususnya remaja. Imam al-Ghazali rhm telah
menyarankan agar setiap kali melihat orang lain melakukan dosa, hendaklah dibenci dosanya
bukan orang yang melakulakannya dan jangan sesekali berasa lebih baik daripada orang yang
berdosa itu. Dengan ini akan wujudnya masyarakat yang prihatin seterusnya mampu mengatasi
masalah ini.

Tidak dilupakan, pihak media massa juga tidak ketinggalan untuk memberi
sumbangan dalam usaha untuk mengatasi masalah pembuangan bayi ini. Pertama sekali, pihak
media massa perlulah menyekat program-program hiburan yang boleh meracun fikiran serta
merosakkan akhlak remaja seperti filem-filem dan drama-drama yang mengandungi adegan-
adegan lucah yang boleh menjadi punca kepada kadar gejala sosial semakin kronik seterusnya
menambahkan lagi kadar pembuangan bayi di negara ini. Keduanya, pihak media massa
perlulah menyaiarkan program-program yang berunsurkan ilmiah serta berfaedah agar dapat
menjana pemikiran anak-anak muda yang lebih sihat.

Selain itu, guru-guru turut memainkan peranan khususnya unit bimbingan dan
kaunseling dan Panitia Pendidikan Islam dan Moral . Pembelajaran dan pengajaran tidak
seharusnya hanya memfokuskan pada akademik semata-mata sebaliknya pembentukan
sahsiah murid juga adalah sangat penting. Pertamanya, guru-guru perlu mengenal pasti pelajar
yang bermasalah supaya mereka ini boleh dirujuk pada guru-guru kaunseling yang lebih arif
untuk mendapatkan khidmat kaunseling. Keduanya, pihak sekolah itu sendiri perlu lebih
menekankan tentang pendidikan Islam dan moral untuk pelajar-pelajar bagi membentuk
sahsiah pelajar yang mantap serta akhlak yang bagus. Pendidikan Islam dan moral ini
bukan sahaja penting untuk lulus dalam peperiksaan, malah ianya membantu pelajar
untuk menjadi orang yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara pada
masa akan datang. Ketiga, pihak sekolah perlulah lebih aktif dalam membanteras masalah ini
dengan cara mengadakan ceramah untuk mendedahkan kepada pelajar keburukan gejala
sosial yang melampaui batas serta berkapel. Hai ini demikian kerana gejala sosial dan berkapel
secara tidak langsung akan membawa kepada perzinaan.

Akhir sekali, kerajaan juga perlu melibatkan diri untuk membanteras jenayah
pembuangan bayi ini yang semakin hari semakin kronik ini. Pihak kerajaan perlu
membincangkan permasalahan ini secara lebih serius dan mendalam di peringkat parlimen dan
keluar dengan satu keputusan yang memuaskan yang mana boleh membantu menyelesaikan
masalah ini. Sebagai contoh hukuman yang lebih berat dan tegas dikenakan untuk kesalahan
zina dan sebagainya. Golongan remaja adalah golongan yang penting kerana untuk membina
sebuah bangunan yang kukuh haruslah dimulakan dengan batu konkrit yang tidak akan goyah
walau dibadai tsunami. Begitulah juga untuk membina sebuah negara yang maju bukan sahaja
dalam ekonominya bahkan juga dalam sahsiah dan pentadbirannya, Malaysia memerlukan
remaja yang kukuh pendirian serta kuat imannya yang tidak akan mencemarkan nama
Malaysia. Ironinya, semua pihak haruslah berganding bahu memainkan peranan masing-
masing untuk membanteras jenayah ini. Sebagaimana yang sering disebut dalam rancangan
Wonder Pets, apa yang penting? Kerjasama!

You might also like