You are on page 1of 4

ENDAHULUAN

Kesatuan sekerja di Malaysia didefinisikan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 sebagai satu
persatuan atau gabungan majikan atau pekerja yang bekerja di Malaysia. Menurut
peruntukan akta ini, keahlian sesuatu kesatuan sekerja dalam sektor swasta hendaklah
terdiri daripada pekerja atau majikan dalam ketukangan, pekerjaan atau industri yang
tertentu atau yang seakan-akan sama . Pekerja-pekerja menyertai kesatuan sekerja kerana
mereka sedar bahawa secara kolektif mereka akan berada dalam kedudukan yang
membolehkan mereka meminta gaji yang lebih dan syarat-syarat pekerjaan yang lebih baik.
Kesatuan sekerja bukan hanya berminat mengenai kehidupan ahli-ahli mereka semasa
waktu bekerja tetapi juga secara meluas menggalakkan kerajaan meluaskan perundangan
dan memperkenalkan polisi-polisi yang akan memberi faedah kepada pekerja-pekerja pada
amnya. Oleh itu aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja mempunyai tiga cabang. Ia memberi
tumpuan kepada majikan individu dan layanan majikan terhadap pekerja-pekerja mereka,
mengenai isu-isu kebangsaan yang lazim kepada semua majikan dan memberi kesan
kepada semua pekerja serta mewakili pekerja-pekerja individu yang memohon bantuan
mereka. Rajah 1 di halaman 2 menunjukkan pendekatan tiga serampang ini .
Kesatuan-kesatuan sekerja tersebut dengan dana-dana yang mencukupi juga cuba
memberi kemudahan secara langsung kepada ahli-ahli mereka dalam bentuk kursus
latihan, biasiswa, kemudahan bercuti dan skim-skim insuran.

PERANAN KESATUAN SEKERJA
Di negara ini, kesatuan sekerja telah memainkan peranannya dengan agak berkesan dalam
membela nasib pekerja-pekerja. Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan
Awam dan Jabatan Kerajaan (CUEPACS), misalnya, buat pertama kali dalam sejarahnya
telah berjaya dalam usaha memperolehi penyelarasan gaji dalam tempoh tiga tahun
berbanding sebelum ini yang mengambil masa hampir lima tahun. CUEPACS juga telah
mengesyorkan supaya mulai 1996, kerajaan mengenakan tindakan terhadap ketua-ketua
jabatan yang membenarkan terlalu banyak kakitangan bercuti panjang semasa musim
perayaan hingga menjejaskan urusan pejabat. Turut menjadi harapan CUEPACS ialah
tuntutan supaya jadual gaji matriks yang dilaksanakan di bawah skim Sistem Saraan Baru
(SSB) dimansuhkan. Namun, di sebalik kejayaan yang sedikit ini, masih banyak lagi ruang
di mana kesatuan sekerja boleh berperanan dengan lebih aktif. Isu mengenai hak-hak
sama rata pekerja wanita, misalnya masih belum dapat ditangani dengan sewajarnya.

Menangani isu pekerja wanita
Kesatuan sekerja perlu melihat kepentingan peranan wanita dalam pergerakan kesatuan
sekerja. Wanita masih lagi kurang dalam jawatan kepimpinan dan kurang dibenarkan
mengambil bahagian dalam membuat keputusan terutamanya di peringkat atasan. Oleh itu
kesatuan sekerja perlu mencadangkan kepada kerajaan dan majikan-majikan supaya
mengiktiraf bahawa hak-hak wanita adalah juga hak-hak asasi manusia. Terdapat kini
ramai ibu tunggal yang bekerja yang terpaksa menyara ramai anak. Tibalah masanya
kesatuan sekerja menghulurkan bantuan di samping mencadangkan kerajaan supaya
menangani isu ibu tunggal itu secara lebih drastik dengan memperkenalkan dan
menguatkuasakan undang-undang yang melindungi pekerja wanita daripada keganasan
dan penderaan seksual di tempat kerja. Bagi ibu-bapa yang bekerja di tempat yang sama,
penyediaan pusat jagaan kanak-kanak diperlukan di tempat kerja supaya hubungan kasih-
sayang di antara mereka dapat dijalinkan dalam masa yang lebih panjang.

Penetapan gaji minimum dan gaji maksimum
Terdapat perbezaan yang ketara di antara gaji terendah dalam sektor swasta dan sektor
awam meskipun jenis pekerjaan dan deskripsi tugas hampir sama. Kesatuan sekerja boleh
berperanan menangani masalah ini dengan meminta kerajaan menetapkan gaji minimum
yang melebihi RM650 kerana pendapatan yang kurang daripada itu tidak memungkinkan
pekerja di bandar menikmati kehidupan yang selesa berikutan peningkatan kos sara hidup
saban tahun. Setakat ini belum ada cadangan daripada pihak kesatuan sekerja
mengenakan gaji maksimum ke atas pihak pengurusan. Di Jepun, misalnya, gaji seorang
pengurus tidak jauh bezanya dengan gaji seorang pemandu teksi. Dengan itu, perasaan
materialistik dan iri hati dapat dikurangkan dan rakyat dapat meningkatkan produktiviti.
Kesatuan sekerja boleh menyediakan garis panduan penetapan gaji minimum dan
maksimum dengan meminta ahli-ahlinya yang mempunyai taraf akademik yang tinggi
menjalankan kajian menentukan keadaan sebenar kedudukan buruh di Malaysia bagi
menguatkan sokongan terhadap permintaan itu.

Membantu menangani kegawatan ekonomi
Kesatuan sekerja boleh membantu kerajaan menangani krisis ekonomi yang melanda
negara dengan menyertai Jawatankuasa Bertindak NGO Mempertahankan Kedaulatan
Ekonomi Negara (Tindakan) dengan meneruskan kempen yang digelar Belanja Berhemat
Kita Selamat . Cara lain, kesatuan sekerja boleh mengadakan sendiri kempen-kempen
menyedarkan ahli-ahlinya mengenai kegawatan ekonomi dan mendorong mereka membeli
barangan perlu sahaja selain meningkatkan amalan membeli barang tempatan dan
menjimatkan tenaga seperti elektrik, petrol dan air.
Apa yang dikhuatirkan dalam krisis ini ialah majikan membuang pekerja dengan alasan
kegawatan ekonomi. Jika hal seperti ini berlaku, kesatuan sekerja boleh mengambil
tindakan supaya pampasan yang sewajarnya diperolehi oleh pekerja yang malang itu dan
majikan menyediakan pilihan pekerjaan di tempat lain. Isu penamatan pekerja asing pula
perlu ditangani dengan adil supaya pihak luar tidak memandang negara ini sebagai hanya
pandai menjemput pekerja asing bekerja di sini dan menghalau mereka bila tidak
diperlukan.

Mempercepatkan penyelesaian pertikaian perdagangan
Menurut statistik Jabatan Perhubungan Industri bilangan pertikaian perdagangan yang
berlaku adalah melebihi 700 kes setiap tahun dan hanya sekitar lebih daripada 500 yang
dapat diselesaikan. Oleh kerana itu terdapat lebih kurang 200 kes yang terpaksa dibawa ke
tahun berikutnya untuk diselesaikan. Dalam hal ini kesatuan sekerja boleh meminta
kerajaan mempercepatkan penyelesaiannya dalam jangka masa singkat dengan
mencadangkan penilaian semula dan pindaan jika perlu, kepada Akta Perhubungan Industri
1967.
Peranan dalam Koridor Raya Multimedia Salah satu agenda utama negara ialah
mewujudkan masyarakat bermaklumat yang boleh mengguna dan mencipta sistem
teknologi maklumat yang boleh meningkatkan keberkesanan pentadbiran kerajaan
menerusi kerajaan elektronik, sekolah bistari dan sebagainya. Dalam hal ini, kesatuan
sekerja boleh berperanan dengan meminta ahli-ahlinya mendokong cita-cita kerajaan
dengan mempelajari komputer dan mendalami pengetahuan tentang teknologi maklumat.
Kesatauan sekerja boleh meminta kerajaan menambahkan peruntukan pinjaman membeli
komputer dan memberikan subsidi kepada pekerja bawahan yang berpendapatan kecil
untuk membeli komputer. Ahli-ahli kesatuan yang berkemahiran dalam penggunaan
komputer sewajarnya melatih pekerja-pekerja yang tidak berpengetahuan tentangnya
secara sukarela ataupun dengan mengenakan sedikit bayaran.

Pasaran buruh di masa hadapan
Dunia kini berubah dengan begitu pantas.Teknologi baru dicipta dan globalisasi telah
berlaku hampir di seluruh dunia. Kadar perubahan pantas yang berlaku ini menyebabkan
masalah-masalah yang berlaku hari ini tidak lagi boleh diselesaikan dengan kaedah
penyelesaian dahulu. Cara produk baru dikeluarkan mengalami perubahan yang besar. Ini
bermakna tenaga kerja di pasaran buruh menghadapi cabaran-cabaran baru. Pergerakan
kesatuan sekerja harus bertindak sebagai pemandu dalam membantu mewujudkan
masyarakat pekerja yang berilmu multifleksibel yang berupaya menukar maklumat kepada
ilmu pengetahuan yang boleh digunakan dalam pelbagai cara - untuk pembangunan
produk, memasarkannya, menyediakan penjagaan yang lebih baik kepada golongan tua
dan sebagainya.

Pekerja yang berilmu akan menjadi sumber terpenting bukan lagi pemilikan modal.
Sumber ini akan dikaitkan dengan individu pekerja. Pekerja-pekerja yang berilmu tidak lagi
dibayar mengikut jam tetapi berdasarkan bagaimana kreatifnya mereka menjalankan
sesuatu tugas. Dalam hal ini, kesatuan sekerja boleh berperanan dengan meminta majikan
meyediakan peluang-peluang yang lebih bagi pekerja melanjutkan pelajaran ke universiti
dan menghantar mereka berkursus supaya dapat menyerap pengetahuan mengenai
teknologi-teknologi baru. Dalam pasaran buruh masa hadapan, semua pekerja diharapkan
berkebolehan
(1) menjalankan pelbagai tugas,
(2) berkomunikasi secara lisan atau tulisan,
(3) mengambil risiko dan inisiatif,
(4) menggunakan teknologi maklumat,
(5) lebih bertanggungjawab dan berdikari,
(6) mengutamakan keselamatan di tempat kerja,
(7) lebih fleksibel terhadap waktu bekerja,
(8) sentiasa memikirkan kualiti dan
(9) berfikir dan bertindak secara kreatif.

RUMUSAN
Satu kesimpulan yang boleh dibuat ialah peranan kesatuan sekerja adalah penting dalam
menjaga kepentingan tiga pihak iaitu pekerja, majikan dan kerajaan bagi meningkatkan
produktiviti dan kualiti hidup supaya negara dapat membangun dengan pantas dalam
merealisasikan wawasannya. Pergerakan kesatuan sekerja berpendapat bahawa pekerja-
pekerja bukan semata-mata faktor pengeluaran. Mereka sewajarnya dihargai sebagai rakan
kemajuan dan perlu dilayan berdasarkan pengiktirafan dan status mereka dalam
masyarakat. Kesatuan sekerja berharap kerajaan dan majikan tidak meminta kesatuan
sekerja menjadi rakan hanya pada waktu-waktu sukar dan mengenepikan atau
mengabaikan pekerja-pekerja apabila keadaan ekonomi memuncak. Walau bagaimanapun
untuk menjayakannya, semua kesatuan sekerja yang wujud di negara ini perlulah
bersatupadu dan mengelakkan pertelingkahan sebagaimana yang terjadi dalam perlantikan
wakil ke persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) seperti tahun-tahun
sebelumnya. MTUC, CUEPACS dan Pertubuhan Buruh Malaysia (MLO) masing-masing
berebut peluang untuk menjadi wakil Malaysia ke persidangan tersebut sedangkan urusan
perlantikan wakil ke persidangan itu terletak pada budi bicara Menteri Sumber Manusia.

You might also like