Professional Documents
Culture Documents
KUALA TERENGGANU
ZAIRIN AKMA ZOLKAPLI (P59713)
ABSTRAK
Sektor pelancongan di Malaysia semakin pesat membangun. Pertumbuhan produk
pelancongan baru seperti pelancongan Islam mendorong pertambahan pelancong ke
Malaysia. Semenjak diperkenalkan pada tahun 2008, pelancongan Islam semakin dikenali
dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terkenal kerana mampu
menyediakan perkhidmatan mesra muslim kepada para pelancong. Dengan berpegangkan
kepada perlembagaan bahawa Islam sebagai agama rasmi, adalah wajar pelancongan
Islam dimajukan di Malaysia. Objektif utama kajian ini adalah untuk (i) mengenalpasti
dan memahami konsep pelancongan Islam serta ciri ciri khusus pelancongan Islam; (ii)
mengenalpasti bentuk penawaran dan produk yang ditawarkan oleh pihak Taman
Tamadun Islam (TTI) sebagai salah sebuah destinasi pelancongan Islam; (iii) menilai dan
menganalisis persepsi pelancong terutama pelancong Islam dari wilayah berbeza terhadap
perkhidmatan dan produk pelancongan Islam yang ditawarkan di TTI. Kajian ini juga
dapat mengenalpasti keinginan pelancong di samping tahap kepuasan yang diterima di
TTI. Kajian dilakukan menggunakan kaedah persampelan sistematik melibatkan
sebanyak 179 orang sampel. Kawasan kajian yang dipilih ialah di TTI Kuala Terengganu.
Analisis kajian menggunakan analisis diskriptif, analisis inferensi melalui ujian khi kuasa
dua, Man Whitney U dan Kruskal Wallis H. Dapatan kajian menunjukkan bahawa
53.1% pelancong mengetahui mengenai pelancongan Islam serta 48% pelancong
memahami pelancongan Islam merupakan unsur sejarah Islam. Makanan halal menjadi
ciri penting pilihan pelancong iaitu memperoleh skor sebanyak 876. Aktiviti, ilmu,
hospitaliti/akhlak, fasiliti mesra Muslim, kemudahan dan perhubungan, harga, halal dan
haram merupakan indikator yang digunakan dalam menentukan tahap kepuasan dan
penerimaan pelancong terhadap perkhidmatan di TTI. Dapatan kajian juga menunjukkan
jangkaan pelancong melebihi daripada penerimaan perkhidmatan mereka di TTI, namun
dari segi fasiliti mesra Muslim, tahap kepuasan pelancong melebihi tahap jangkaan
mereka. Kesimpulanya, kajian mendapati konsep pelancongan Islam boleh dibahagi
kepada beberapa segmen dan mempunyai ciri ciri tertentu seperti makanan halal dan
fasiliti mesra Muslim. Produk yang ditawarkan di TTI menepati ciri-ciri pelancongan
Islam, berada pada tahap memuaskan. Pelancong secara keseluruhannya berpuashati
dengan produk yang ditawarkan di TTI dan menyatakan untuk membuat lawatan
berulang. Berdasarkan analisis yang telah dilakukan, kajian mendapati TTI merupakan
contoh terbaik pembangunan produk pelancongan Islam di Malaysia