You are on page 1of 5

Amalan Menabung

Faedah Menabung
Menabung merupakan satu amalan proaktif berpaksikan kesedaran seseorang dalam
membuat persediaan bagi menjamin masa depan yang cerah. Pada zaman pascaglobalisasi
ini, menyimpan wang tabungan di bank merupakan prakarsa yang efektif untuk
memastikan wang tabungan disimpan dengan selamat berbanding dengan menyimpan
wang secara konvesional di rumah. Malah terdapat juga tabungan yang dibuat melalui
skim pelaburan yang menjanjikan dividen yang tinggi. Amalan menabung ini perlu
dijadikan instrumen dalam mendepani kos hidup yang semakin kompleks dan mencabar.
Walaupun amalan menabung ini merupakan perkara yang positif, masih ramai golongan
remaja yang memandang sepi akan faedah menabung kepada mereka. Pelbagai pihak
perlu membuka mata akan faedah menabung kepada seseorang apatah lagi dalam era
ledakan maklumat dan bahang industrialisasi kini.
Aktiviti menabung membolehkan seseorang merencana masa depan dengan ekonomi yang
kukuh dan mapan. Hal ini kerana menabung merupakan alternatif untuk menambah
pendapatan dengan menyimpan wang di bank secara berterusan dan dalam jangka masa
panjang. Melalui penyimpanan ini, pendeposit akan memperoleh faedah atau dividen
daripada pihak bank mahupun agensi pelaburan. Apabila wang sudah terkumpul,
seseorang individu tidak akan berdepan dengan masalah ketirisan wang sehingga boleh
menjejaskan keselesaan hidup mereka. Amalan gali lubang tutup lubang dengan
meminjam daripada rakan-rakan atau saudara mara akan dapat diatasi. Amalan ini bukan
sahaja boleh merosakkan institusi kekeluargaan malah boleh merenggangkan
persahabatan apabila pinjaman tidak dapat dibayar semula. Sebagai contohnya, seseorang
individu boleh menggunakan wang tabungan untuk membeli hartanah dan membiayai kos
pembelian termasuklah urusan jual beli yang pastinya tidak melibatkan wang yang sedikit
jumlahnya. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, menabung merupakan inisiatif positif
yang perlu menjadi budaya hidup seseorang kerana boleh merencana masa depan yang
kukuh.
Pada zaman yang serba canggih dengan kepesatan kemajuan sains dan teknologi ini
memaksa kita mendapatkan pendidikan yang sempurna agar dapat bersaing di pentas
global. Hal ini kerana melalui tabiat menabung, kita akan mendapat pelbagai limpahan
nikmat terutamanya apabila hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasil
tabungan boleh digunakan untuk membiayai kos pendidikan dan mentaliti
kebergantungan kepada wang bantuan dapat dikesisikan daripada terus menjadi
pegangan hidup. Sebagai contohnya, ibu bapa yang ,membuat tabungan melalui insurans
pendidikan tidak akan menghadapi masalah apabila anak-anak mereka ditawarkan

mengikuti pengajian di universiti. Para remaja juga boleh menggunakan wang tabungan
untuk membeli buku rujukan yang boleh membantu meningkatkan tahap intelektualisme
mereka. Kursus-kursus pengajian yang ditawarkan tentu sahaja memerlukan kos yang
tinggi. Oleh itu, amalan menabung sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit akan membantu
kita membiayai kos pendidikan yang sempurna bagi menjana kemajuan negara agar dapat
duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.
Putaran kehidupan akan mengubah seseorang daripada kanak-kanak kepada remaja dan
akhirnya menjadi dewasa. Semasa menjangkau usia dewasa, komitmen hidup semakin
kompleks kerana perlu menyara kerluarga. Hal ini kerana dalam zaman milineum ini, kos
kehidupan dijangka semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam
menghadapinya. Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan secara sistematik
agar pendapatan bulanan dapat dibelanjakan secara berhemah. Kek pendapatan perlu
dibahagikan dengan bijak dan memastikan sebahagiannya disimpan sebagai wang
tabungan. Kehidupan berkeluarga amat bernilai dan kemenjadian anak-anak menjadi satu
harapan bagi semua insan yang bergelar ibu dan bapa. Sehubungan dengan itu,, anakanak perlu mendapat pendidikan yang sempurna bagi melengkapkan mereka dengan ilmu
dan kemahiran menguasai kemahiran teknologi. Sebagai contohnya, selain diberikan
pendidikan wajib dan formal di sekolah, ibu bapa juga perlu menghantar anak-anak
menghadiri kelas tambahan . dan memastikan tanggungjawab menjaga dan menanggung
keperluan asas anak-anak seperti pakaian, makanan dan tempat tinggal yang selesa. Oleh
itu, amalan menabung perlu subur di dalam jiwa kerana boleh dijadikan sumber untuk
menyara keluarga .
Keselesaan dan kesenangan hidup tentunya menjadi impian setiap insan. Sesebuah
keluarga memerlukan bukan sahaja rumah yang selesa malah kemudahan yang moden
dan efisien. Hal ini kerana kos untuk memiliki semua ini bukanlah sedikit. Selain harga
rumah yang melebihi ratusan ribu ringgit, peralatan elektrik, bil elektrik dan air
merupakan perkara wajib yang mesti dimiliki dan dibayar dengan segera. Justeru, untuk
memiliki kesempurnaan hidup ini, amalan menabung merupakan langkah bijak dan
mendatangkan impak yang besar. Kemampuan untuk membeli peralatan rumah secara
tunai sebenarnya jauh lebih murah daripada jika dibeli secara ansuran. Segai contohnya,
kita boleh menyimpan dalam jangka waktu tertentu untuk memiliki barangan idaman
tanpa perlu berhutang. Kebijaksanaan dalam membuat belanjawan kewangan dan
membuat tabungan merupakan cara yang paling bijak untuk membeli barangan yang
berkualiti sesuai dengan alah beli menang memakai. Bagaimanapun, amalan ukur baju di
badan sendiri perlu menjadi keutamaan dalam menggunakan wang tabungan. Oleh itu,
amalan menabung menjamin keselesaan dan kesenangan hidup kita.

Hidup ini bagai roda dan kita tidak dapat menduga masa depan kita. Menabung boleh
dijadikan instrumen untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan
seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Hasil tabungan kita boleh dijadikan
cagaran pada waktu kesusahan, kecemasan dan kesempitan. Walaupun kita berusaha
untuk menjauhi sebarang kesusahan namun malang tidak berbau dan langit tidak selalu
cerah. Apabila awan mendung menyelubungi kehidupan, wang yang disimpan boleh
digunakan untuk membiayai kos rawatan perubatan atau saat kecemasan. Kealpaan untuk
menabung merupakan satu kesilapan yang perlu diteladani daripada pengalaman hidup
orang lain. Kita tidak mahu meminta-minta apabila ditimpa musibah. Sebagai contohnya,
apabila keupayaan dan kudrat terbatas akibat penyakit atau usia yang semakin bertambah,
wang tabungan boleh digunakan. Kita menjadikan wang simpanan sebagai perisai
menghadapi risiko dan tidak menjadi seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Oleh itu,
menabung boleh menjadi medium penyelamat bagi kita menghadapi sebarang
kemungkinan dalam kehidupan.
Menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga. Hal ini kerana
amalan menabung membolehkan kita nmenyemai dan menyuburkan amalan berjimat
cermat dan berpegang kepada peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Anakanak yang masih kecil perlu dididik untuk menabung boleh mendorong anak-anak
menjauhi pembaziran, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesederhanaan dalam
kehidupan dapat dibentuk memandangkan fitrah anak-anak yang mudah dibentuk jika
diberikan teladan yang baik. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh membelikan tabung atau
membawa anak-anak mengunjungi institusi perbankan agar mereka dapat melihat sendiri
akan iklim sihat yang perlu diikuti. Dengan cara ini anak-anak akan terdedah dengan
budaya hidup sihat dan mengenali pengurusandunia kewangan dan impaknya kepada
ekonomi diri, keluarga dan kepentingannya di peringkat sarwajagat.Kemaslahatan
menabung juga perlu diwara-warakan dengan sebaik-baiknya agar anak-anak yang masih
kecil dapat menghayati konsep tabungan dengan lebih jelas lagi. Oleh itu, amalan
menabung boleh menjadi salah satu prakarsa yang pragmatik untuk mendisiplinkan
keluarga sekaligus melahirkan keluarga yang sejahtera
Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup dan
dipraktikkan. Amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu dan
mengekalkan keseimbangan negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar papa asal
bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar daripada belenggu
kehidupan yang begitu mencabar. Menabung boleh dijadikan benteng untuk mendepani
realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang. Semua pihak perlu berganding
bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus
subur dalam diari ekonomi setiap individu agar kemakmuran diri dan negara dapat
dikekalkan momentumnya.

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma
amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.
Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.
Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan
masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan
kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti
akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais
petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk
memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa
masyarakat.
Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen
kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk
mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara
menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh
remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun
berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang
sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan
memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak
mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan
kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah
didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap
yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik
menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam
jiwa remaja kita itu.
Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan
memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini
mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia
mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak.
Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah
tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya.
Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini
dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.
Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab
Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang
mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah
yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa
keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar
lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu.
Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan
simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.
Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan
dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah
dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa
mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan
mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia

pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama
menjadi bukit.

You might also like