You are on page 1of 14

PERKEMBANGAN KURIKULUM

MATEMATIK DI MALAYSIA
Matematik sebagai satu mata pelajaran penting yang perlu dikuasai oleh
setiap murid telah memulakan langkah pertamanya dalam sistem
pendidikan negara serentak dengan bermulanya sistem pendidikan di
Malaysia. Pada awal abad ke-19, serentak dengan bermulanya sistem
pendidikan formal di Malaysia, pendidikan matematik telah pun bermula.
Namun, kurikulum yang diguna pakai adalah berbeza mengikut jenis
sekolah dan masa.
Pada lewat abad ke-19, mata pelajaran Matematik hanya di ajar di sekolah
sekolah mubaligh di Malaysia[1] dan sekolah Melayu memandangkan
sekolah vernakular ketika itu masih belum wujud. Sekolah Melayu yang
pertama ditubuhkan ialah Sekolah Melayu Gelugor, Pulau Pinang (1826).
Namun begitu, kurikulum matematik yang diguna pakai ialah kurikulum
yang hanya menyediakan murid dengan kemahiran asas matematik
sahaja. Bahasa yang digunakan untuk mengajar subjek matematik ialah
bahasa Melayu.
Pada tahun 1816, sekolah Inggeris mula bertapak di Malaysia. Sekolah
pertama yang didirikan pada tahun tersebut ialah Penang Free School
(1816) diikuti dengan pembukaan Melaka Free School (1826) dan
Singapore Free School (1834)[2]. Pendidikan Inggeris mengutamakan
mata pelajaran matematik dan kurikulum matematik yang diguna pakai
adalah kurikulum yang dicedok daripada sistem pendidikan British (Keow,
2008). Bahasa perantaraan yang digunakan untuk mengajar subjek
matematik ialah bahasa Inggeris.
Pada awal abad ke-20, sekolah vernakular cina semakin berkembang
pesat dengan kemasukkan ramai pendatang cina yang dibawa masuk
untuk tujuan perlombongan. Pelombong pelombong ini seterusnya
membuka sekolah cina di kawasan petempatan mereka. Hal ini juga
terjadi kerana kesan daripada Revolusi China pada tahun 1911, yang
mana Kerajaan China mula memberi perhatian rapi kepada orang orang
Cina di seberang laut. Oleh hal yang demikian, sekolah sekolah cina di
negara ini ketika itu kerap dikunjungi dan dipantau oleh pegawai
pegawai pendidikan dari negara China (Keow, 2008). Justeru itu, banyak
buku buku teks dibawa dari negara China ke Tanah Melayu. Buku teks
matematik merupakan salah satu daripada buku teks yang dibawa.

Pendidikan di sekolah cina ketika itu amat menitikberatkan pendidikan


mata pelajaran matematik. Kurikulum matematik yang diguna pakai
adalah kurikulum yang dibawa daripada Tanah Besar China dan bahasa
perantaraan pengajaraan subjek matematik ialah bahasa Cina.
Sekolah Tamil pula berkembang selari dengan Sekolah Melayu. Sekolah
Tamil yang pertama ialah Sekolah Tamil Pulau Pinang (1816) diikuti
dengan Sekolah Anglo-Saxon Melaka (1850) dan Sekolah St. Xavier
Malabar Singapura (1859). Ketika ini, pendidikan di Sekolah Tamil
menggunakan kurikulum yang diambil daripada India. Namun begitu,
kurikulum tersebut kurang tersusun, begitu juga dengan kurikulum
matematik. Memandangkan ianya sekolah vernakular, pengajaran mata
pelajaran matematik di sekolah ini adalah dalam bahasa Tamil.
Dapat disimpulkan di sini bahawa kurikulum matematik yang diguna pakai
di Malaysia pada awalnya adalah tidak sama dan berbeza mengikut jenis
sekolah. Sekolah sekolah vernakular menggunakan bahasa ibunda
masing masing dalam menyampaikan pengajaran subjek matematik.
Kurikulum yang digunakan juga diambil daripada sistem pendidikan
negara asal masing masing. Hal yang sama juga terjadi pada sekolah
Inggeris yang mana kurikulum matematik yang diguna pakai adalah
berasaskan sistem pendidikan British.
Namun, hal yang sebaliknya berlaku di Sekolah Melayu. Kurikulum
matematik yang digunakan adalah digubal oleh jawatankuasa yang telah
dilantik oleh pentadbiran British. Isi kandungan kurikulum pula adalah
pengubahsuaian daripada kurikulum matematik British dan diajar dalam
bahasa Melayu. Namun dalam kurikulum matematik tersebut, hanya
kemahiran asas matematik sahaja yang diajarkan. Hal in bertujuan bagi
membolehkan anak anak lelaki Melayu berupaya menguruskan urus
niaga perniagaan kecil kecilan apabila dewasa nanti.
Seterusnya, selepas mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan negara
terus mengorak langkah sebagai sebuah negara yang bebas dan
merdeka. Matematik sebagai salah satu subjek penting juga tidak terlepas
dalam memacu kepada perkembangan ini. Sebelum ini telah dibincangkan
tentang kurikulum matematik yang diguna pakai sebelum Malaysia
mencapai kemerdekaan. Seterusnya, perbincangan mengenai

perkembangan matematik akan diteruskan kepada tahap yang seterusnya


iaitu tahap yang mana kurikulum matematik itu digubal dan dilaksanakan
oleh warga Malaysia itu sendiri.
Noor Azlan (2010) dalam kajiannya yang bertajuk Designing the
mathematics curriculum in Malaysia: Making mathematics more
meaningful telah membahagikan tahap perkembangan kurikulum
matematik di Malaysia kepada tiga fasa iaitu; fasa pertama Sebelum
tahun 70-an, fasa kedua lewat tahun 80-an dan fasa ketiga lewat 90an. Namun untuk penulisan ini, penulis akan membahagikan tahap
perkembangan kurikulum matematik di Malaysia kepada empat fasa iaitu;
fasa pertama sebelum tahun 70-an, fasa kedua lewat tahun 80-an, fasa
ketiga lewat tahun 90-an dan fasa keempat tahun 2012 dan
seterusnya.
Perbincangan mengenai setiap aspek kurikulum akan dilakukan dari segi
beberapa aspek iaitu skop dan liputan, kesepaduan dan integrasi,
imbangan, urutan dan sekuen serta kesinambungan dan kontinuiti. Skop
dan liputan bermaksud keluasan isi kandungan mata pelajaran manakala
kesepaduan bermaksud hubung kait antara pengetahuan, kemahiran atau
pengalaman dalam mata pelajaran. Imbangan pula membawa maksud
keseimbangan dalam setiap aspek yang terdapat dalam mata pelajaran.
Urutan dan sekuen memberi definisi sebagai satu elemen atau isi
kandungan dalam sesuatu mata pelajaran yang disusun bagi memastikan
terdapat urutan dalam pembelajaran mata pelajaran tersebut agar mata
pelajaran tersebut dapat menggalakkan pembelajaran berterusan.
Kesinambungan atau kontinuiti pula member definisi sebagai komponen
dalam kurikulum yang dimanipulasi bagi memastikan terdapat
kesinambungan antara satu peringkat pembelajaran dengan peringkat
yang berikutnya.
Fasa pertama sebelum tahun 70-an
Fasa pertama ini merupakan satu fasa penting dalam
perkembangan kurikulum matematik di Malaysia. Fasa ini merupakan fasa
penyediaan dan pemantapan isi kandungan kurikulum matematik. Pada
fasa ini, pendidikan matematik menggunakan kaedah tradisional dalam
penyampaian kandungan. Fokus pembinaan kurikulum pula hanya
tertumpu kepada kemahiran asas matematik (Noor Azlan, 2010).
Kurikulum pendidikan matematik yan rasmi pertama kali digunakan

bermula 1956 selepas cadangan Penyata Razak. Walau bagaimanapun,


terdapat hanya sedikit perubahan tajuk pada kurikulum tersebut.
Perubahan besar hanya berlaku selepas perlaksanaan Projek Khas pada
1970.
Biarpun sudah menjangkau usia 20 tahun lebih selepas kemerdekaan,
kurikulum matematik dalam sistem pendidikan negara masih tidak
seragam. Sekolah sekolah vernakular dan sekolah sekolah swasta
vernakular mengguna pakai kurikulum matematik yang berbeza antara
satu sama lain, malah terdapat sekolah vernakular swasta yang
menggunakan kurikulum matematik negara luar. Projek Khas Kementerian
Pelajaran Malaysia bermula pada 1968 diterajui oleh En. Abu Hassan Ali.
Objektif kepada projek ini ialah untuk memperbaiki mutu pendidikan
matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik
moden di negara negara maju.
Projek ini telah dibiayai oleh Yayasan Asia dan beberapa ahli American
Peace Corpstelah dilantik sebagai penasihat kepada projek ini. Bahan
bahan pengajaran dan pembelajaran telah direka cipta oleh guru dan
pensyarah yang telah dilatih di luar negara. Kajian rintis bagi Projek Khas
ini dilancarkan pada 1970 yang mana 30 buah sekolah sekitar Kuala
Lumpur digunakan bagi tujuan ini. Program ini telah diubahsuai dan
diperkenalkan ke semua sekolah rendah dari semasa ke semasa sehingga
ianya digantikan denan matematik KBSR.
Pada penghujung tahun 70-an, kurikulum matematik di seluruh
negara diseragamkan dengan terbentuknya Kurikulum Lama Sekolah
Rendah (KLSR) dan Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM). Kurikulum
baharu ini adalah selari dengan reform baharu pendidikan matematik di
seluruh dunia iaitu Program Matematik Moden atau the Modern
Mathematics Program (MPP) (Noor Azlan, 2010). Konsep MPP ini
menyarankan kepada pemahaman konsep matematik berbanding teknik
hafalan. MPP ini diperkenalkan kepada sekolah rendah dan menengah
bertujuan untuk mendedahkan murid dan pelajar dengan topik topik
moden seperti statistik asas, vektor dan teori asas kepada teori set.
Menurut Yeoh, Kanasabai & Ahmad (1977) dalam Noor Azlan (2010),
penyerapan topik topik moden berdasarkan konsep MPP ini merupakan
serampang dua mata untuk mengubah asas kepada pembinaan kurikulum
matematik di Malaysia iaitu ingin mengubah pendekatan tradisional yang

diguna pakai selama ini. Reform ini juga adalah selari dengan Laporan
Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Pelajaran 1979. Namun begitu,
ajakan baharu ini tidak berjaya dilaksanakan sepenuhnya atas beberapa
faktor.
Dari aspek skop dan liputan, Matematik KLSR dan KLSM terlalu
meluas dan terlampau memberi penekanan untuk mencapai
kecemerlangan. Ianya tidak mempunyai skop yang tertentu sebaliknya
hanya bersifat meluas yang disusuli dengan teknik hafalan. Matematik
suatu ketika dahulu dianggap sebagai ilmu mengira dan di sini kecekapan
serta kelajuan mengira dititiberatkan. Satu rutin menerima pengetahuan
serta menghafal semata-mata. Dikatakan kandungan yang terlalu padat
dan tidak bersesuaian dengan kemampuan umur murid pada ketika itu.
Menjurus kepada aspek 3M iaitu membaca, menulis dan mengira namun
pengaplikasiannya masih kurang dan tidak berjaya.
Dari aspek kesepaduan dan integrasi pula matapelajaran
Matematik KLSR dan KLSM tidak mempunyai kaitan atau hubungkait
dengan matapelajaran lain. Hal ini disokong oleh Asiah Abu Samah (1984)
dalam Noor Azlan (2010), Arithmetic, geometry and algebra were
outlined separately in the syllabus with limited attempt to treat
mathemathics as an integrated subject. Secara amnya kurikulum ketika
ini bersifat khusus untuk isi kandungan matapelajaran tersebut sahaja dan
terlalu berfokus kepada penekanan pencapaian kecemerlangan yang
bersifat kebendaan. Kandungan matapelajaran pula bersifat terasing
antara satu matapelajaran dengan matapelajaran yang lain.
Dari aspek imbangan Matematik KLSR dan KLSM kurang menitikberatkan
pendekatan nilai dalam pembelajaran. Kurikulum ini juga tidak
mempunyai pendekatan kehidupan sebenar dalam proses pengajaran
yang dijalankan. Oleh hal yang demikian, dalam setiap proses
pelaksanaan pengajaran di kelas, murid-murid akan diberi pendedahan
terhadap matapelajaran yang diajar beserta kandungan yang berkaitan
sahaja. Ianya tidak bersifat fleksibel dan tidak begitu menyeluruh serta
tidak menyentuh aspek-aspek lain yang penting dalam kehidupan.
Dari aspek urutan atau sekuen matematik KLSR dan KLSM mempunyai
urutan atau sekuen tetapi tidak begitu signifikan kerana kandungan yang
padat telah dimuatkan dalam kandungan setiap matapelajaran. Oleh hal
yang demikian, ianya lebih menjurus kepada topik yang perlu diajar dan

dihafal sahaja tanpa mempunyai rentetan pembelajaran yang kemas.


Aspek kesinambungan atau kontinuiti pula memperlihatkan bahawa KLSR
dan KLSM dan KLSM mempunyai kesinambungan dari tahun tahun yang
berikutnya. Namun apa yang kurang meyakinkan ialah, matapelajaran
yang membebankan dengan bidang pembelajaran yang tidak jelas
menyebabkan murid-murid gagal menguasai kemahiran asas walaupun
setiap tahun persekolahan mempunyai kesinambungan antara satu sama
lain.
Fasa satu secara keseluruhannya memperlihatkan beberapa masalah
dalam pembinaan kurikulum matematik. Antara masalah tersebut ialah
pemilihan jenis matematik yang bagaimana yang akan menepati
keperluan dan kehendak murid dan pelajar Malaysia. Menurut Kliebard
(1972), Olivia (1997) dan Marsch (2009) dalam Noor Azlan (2011), The
main problem in curriculum development is the selection and decision of
what is suitable mathematics for students to learn. Secara tuntasnya,
kurikulum matematik pada fasa pertama masih berada pada peringkat
permulaan dan memerlukan scaffolding yang kukuh bagi memantapkan
lagi sistem yang sedia ada bagi mencapai matlamat menyediakan murid
dan pelajar bagi menjadi warganegara yang mampu menyumbang kepada
negara.
Selain daripada perkembangan kurikulum matematik seperti yang telah
dibincankan, terdapat juga beberapa projek lain yang telah dijalankan
untuk meningkatkan kualiti P&P matematik di sekolah. Projek Imbuhan
atau Compensatory Project telah dilaksanakan bermula 1975 sehinga
1980. Melalui pelaksanaan projek ini, peruntukan peruntukan khas
dalam bentuk bantuan telah dihulurkan kepada semua ibu bapa dan
murid murid sekolah rendah dan pra sekolah yang kurang
berkemampuan. Ini termasuklah pemberian subsidi makanan, bantuan
kewangan dan kemudahan kemudahan lain. Bagi memastikan kejayaan
dan keberkesanan projek ini, guru guru yang telah dilatih untuk program
ini telah menyediakan sumber sumber seperti bahan pembelajaran kha.
Skema pembelajaran juga direka bentuk mengikut perkembanagn kognitif
murid murid. Projek ini menitikberatkan bidang pedaogi (pendidikan
pemulihan) dan elemen elemen sosio-ekonomi dan politik.
Selain Projek Imbuhan, Projek INSPIRE (Integrated System of Programmed
Instruction for Rural Environment) juga telah dilaksanakan pada
1977.langkah ini diterajui oleh Universiti Sains Malaysia sebagai satu

projek pendidikan. Objektif utama projek ini ialah untuk mencari kaedah
yang berkesan bagi menjalankan program pemulihan dan pengayaan
matematik di sekolah sekolah rendah di luar bandar. Pelbagai set bahan
bahan untuk aktiviti pemulihan dan pengayaan matematik telah dibina
dan dihantar ke sekolah sekolah untuk diuji. Objektif kedua pelaksanaan
projek ini ialah untuk membantu Pusat Perkembangan Kurikulum,
Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program pemulihan dan
pengayaan dalam KBSR. Secara rasminya, projrk InSPIRE ini telah
dilancarkan pada 1983.
Fasa kedua lewat tahun 80-an
Lewat tahun 80-an menyaksikan anjakan baru kepada sistem
pendidikan negara yang mana beberapa perubahan telah berlaku dalam
penambahbaikkan struktur kurikulum pendidikan matematik negara.
Menurut Noor Azlan (2011) perubahan ini adalah perlu dan selari dengan
falsafah dan matlamat pendidikan matematik bagi peringkat rendah dan
menengah.
Dalam fasa kedua ini, kurikulum digubah bagi menyeimbangkan antara
kemahiran dan pemahaman. Fokus utama pembinaan kurikulum bukan
lagi diletakkan pada menyediakan murid dengan kemahiran asas
matematik. Focus kurikulum pada fasa ini adalah lebih terarah kepada
menyediakan murid dan pelajar dengan kemahiran matematik serta
memastikan mereka memahami aplikasi kemahiran tersebut dalam
kehidupan seharian. Hal ini adalah selari dengan saranan Branca (1980),
Kantowski (1981), Romberg (1984), Schoenfield (1985) & NCTM
(1982;2000) dalam Noor Azlan (2011) yang menyatakan bahawa, the
main aim of learning mathematics is to solve problems.
Justeru itu, pada 1983 Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) telah digubal untuk memnuhi
tuntutan tersebut. Kurikulum baharu ini dilihat lebih dinamik dan
komprehensif sesuai dengan tuntutan masa ketika itu yang
mengkehendakkan warga negara (modal insan) yang mampu
menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan negara. Beberapa
penambahnbaikkan dapat dilihat dari pelbagai aspek kurikulum baharu
ini. Perubahan utama yang dapat dilihat ialah pengurangan kandungan
(content) matematik supaya menjadi lebih sesuai dengan aras dan
kebolehan murid.

Skop dan liputan kurikulum pendidikan matematik juga semakin meluas


dan bersifat dinamik. Sebagai contoh, pembelajaran Matematik KBSR
untuk tahun tiga (3) meliputi empat tema utama Matematik iaitu nombor
bulat, nombor, pengukuran dan bentuk dan ruang. Operasi asas
Matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi yang disatukan dibawah
nombor bulat. Seterusnya, pecahan, wang termasuk dalam tajuk
nombor. Pengukuran pula meliputi masa, pengukuran panjang, berat
dan isipadu cecair. Manakala tajuk bentuk dan ruang pula
mengetengahkan bentuk dan ruang meliputi 2-dimensi untuk tahun tiga
(3). Dari empat bidang tajuk utama, murid-murid tahun tiga (3) hanya
dibekalkan dengan 3 daripada keseluruhan tajuk besar ini. Kurikulum
baharu (KBSR & KBSM) ini juga turut menerapkan pendekatan 3M iaitu
membaca, menulis dan mengira. Pendekatan 3M yang diterapkan adalah
jauh lebih baik dan seimbang dari KLSR dan KLSM yang hanya
berfokuskan kandungan semata-mata.
Dari aspek kesepaduan dan integrasi KBSR dan KBSM dilihat lebih bersifat
integrasi berbanding KLSR dan KLSM. Sebagai contoh, terdapatnya
hubungkait seperti pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dengan
matapelajaran lain. Contohnya, untuk memahami terma Matematik yang
digunakan dalam penyelesaian masalah, murid-murid menggunakan
kemahiran dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris untuk memahami
soalan yang diberikan. Soalan-soalan dalam penyelesaian masalah juga
ada kadangkala berkait dengan pengetahuan matapelajaran lain seperti
Sains, seperti jarak antara rumah yang perlu dikira, pengiraan isipadu
cecair yang diperlukan untuk eksperimen dan contoh contoh lain.
Dari aspek imbangan, KBSR dan KBSM bukan sahaja menyediakan muridmurid dengan pengetahuan mengenai Matematik semata-mata, tetapi
nilai dan pembentukan sikap yang positif seperti kebaikan menabung,
menghargai masa, tidak membazir dan lain-lain nilai yang dipupuk dalam
masa yang sama semasa pembelajaran dijalankan. Sebagai contoh, dalam
pembelajaran Matematik tahun tiga (3), tajuk pecahan mula diperkenal
dan diajar. Murid-murid bukan sahaja memperoleh kemahiran dalam
pengenalan perkataan dan terma dalam pecahan, mereka juga
memperoleh ilmu seperti perkongsian bijak dan pembahagian dengan
sekata yang adil. Ini semua turut menjurus kepada rutin seharian yang
boleh diamalkan. Pengapliaksian nilai sebegini dan juga nilai murni

semasa pengajaran menjadikan KBSR dan KBSM bersifat lebih seimbang


berbanding KLSR dan KLSM.
Urutan komponen dalam proses pembelajaran matapelajaran matematik
KBSR dan KBSM dapat dilihat dengan jelas kerana ianya disusun mengikut
turutan dari senang ke lebih susah. Mudah kepada yang lebih kompleks,
fakta asas kepada pengaplikasian fakta. Dimulakan dengan menyebut dan
menggunakan fakta asas dengan betul, disusuli dengan menulis dan
memahami. Setelah itu barulah perbandingan boleh dibuat dan akhir
sekali dalam setiap tajuk ialah menggunakan kefahaman dengan
mengaplikasikan dalam bentuk penyelesaian masalah.
Kesinambungan atau kontinuiti dalam kurikulum baharu ini dilihat lebih
sistematik dan berkesan. Dapat dilihat kontinuiti dari setiap tahap
pembelajaran matematik pada setiap darjah/tahun. Contohnya,
kandungan dalam matapelajaran Matematik tahun tiga (3) adalah
kesinambungan isi kandungan matapelajaran ini bagi tahun dua (2).
Untuk tajuk nombor bulat, kesinambungan dari tahun dua (2) diteruskan
dengan penggunaan nilai nombor yang lebih tinggi. Termasuklah untuk
empat operasi asas yang ditekankan dalam tajuk ini. Semuanya
mempunyai peningkatan nilai nombor dari tahun yang sebelumnya.
Namun begitu, terdapat juga beberapa tajuk dalam Matematik tahun
tiga(3) yang baru diperkenalkan, yang mana tidak termasuk dalam
pembelajaran pada tahun yang sebelumnya.
Melalui perbincangan pada sub tajuk ini, dapat dilihat perkembangan dan
pembaikan kurikulum yang telah dilakukan dari fasa pertama. KBSR dan
KBSM merupakan pembaharuan yang dilakukan terhadap isi kandungan
kurikulum lama iaitu KLSR dan KLSM dengan penambahan dan
pembaikkan objektif dan sasaran pengajaran matematik selaras dengan
penarafan semula falsafah objektif pendidikan negara (Noor Azlan, 2011).
Fasa ketiga lewat tahun 90-an
Fasa ketiga perkembangan kurikulum matematik pula dapat dilihat
pada penghujung tahun 90-an yang mana beberapa perubahan telah
berlaku ke atas kurikulum matematik. KBSR dan KBSM telah disemak
beberapa kali dan yang terakhir ialah penggunaan bahasa Inggeris
menggantikan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian sukatan

kurikulum matematik di sekolah sekolah Malaysia. Penukaran bahasa


perantaraan ini telah menimbulkan satu polimek yang hangat
diperdebatkan di Malaysia selama beberapa tahun.
Pada penghujung tahun 90-an, huraian sukatan matematik di
sekolah rendah dan menengah telah disemak semula. Langkah ini
dilakukan bertujuan untuk memastikan agar isi kandungan kurikulum
termasuklah untuk mata pelajaran matematik adalah selari dan
memenuhi tuntutan dan keperluan modal insan negara. Beberapa
perubahan telah dilakukan ke atas kurikulum matematik antaranya ialah
pengintegrasian problem solving dalam setiap topik dan subtopik dalam
subjek matematik.
Pada tahun 1994 Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Manakala kurikulum matematik
sekolah menengah juga mengalami perubahan daripada Kurikulum Baru
Sekolah Menengah (1989) kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah pada tahun 1998. Perubahan yang dibuat adalah selaras
dengan kehendak dan cita-cita murni yang terkandung dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan 1994.
Matlamat utama Pendidikan Matematik dalam Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah bertujuan untuk memudahkan pelajar membina konsep
nombor dan menguasai kemahiran asas mengira. Justeru itu, adalah
diharapkan pelajar akan dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan
seharian dengan berkesan. Berasaskan pengetahuan matematik yang
diperolehi, pelajar seharusnya boleh menguruskan aktiviti harian mereka
dengan lebih sistematik. Hal ini dapat membantu mereka untuk terus
maju dan melanjutkan pelajaran di masa akan dating dan seterusnya
menyumbang kepada pembentukan modal insan yang diperlukan untuk
membangunkan masyarakat dan negara.
Pada tahun 1995, Sekolah Bestari telah dilancarkan selaras dengan
keperluan untuk memenuhi keperluan teknologi dan maklumat seperti
yang terdapat dalam cabaran Wawasan 2020. Impaknya, pada tahun
1998, kurikulum matematik telah disemak semula. Semakan ini
dilaksanakan bai memastikan murid menguasai kemhairan asas
matematik dan dapat mengunakannya dalam situasi harian sepenuhnya.

Jawatankuasa berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang


diperlukan oleh murid kepada sembilan tajuk utama iaitu:

Nombor bulat dan operasi asas


Pecahan dan operasi asas
Perpuluhan dan operasi asas
Wang
Ukuran panjan dan berat
Ruang
Purata
Peratus
Graf
Pada tahun 2003, kementerian telah melakukan satu perubahan ke atas
kurikulum matematik yang mana bahasa perantaraan ditukar daripada
bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Program Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah
mula dilaksanakan untuk pelajar Tinkatan 1, 4 dan enam rendah.
Perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat untuk
tujuan pembelajaran dengan mudah dan seiring dengan perkembangan
teknologi maklumat sekaligus membantu murid dan pelajar menguasai
bahasa Inggeris.
Hal ini telah menimbulkan variasi dalam sesi pengajaran matematik
kerana kurikulum perlu diubah sedikit bagi memastikan ianya tidak lari
daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu memperkembangkan
potensi individu secara bersepadu dan menyeluruh. Jika perubahan ini
dilakukan dan murid atau pelajar tidak dapat menguasai kemahiran
matematik yang ingin diterapkan, maka perubahan ini adalah sia sia.
Justeru itu, kurikulum matematik diubah sedikit untuk disesuaikan dengan
tahap pencapaian murid dan pelajar di Malaysia memandangkan bahasa
Inggeris merupakan bahasa kedua mereka. Buku buku teks juga dicetak
semula dengan beberapa perubahan seperti wujudnya ruangan glosari
yang menerangkan terma terma yang diguna pakai bagi memudahkan
murid dan pelajar memahami konsep dan kemahiran matematik yang
ingin dikuasai. Namun pada tahun 2008, kementerian melakukan
perubahan dengan menggunakan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa

perantaraan pengajaran subjek matematik dan bahasa cina dan tamil di


sekolah sekolah vernakular.
Fasa keempat tahun 2010 dan seterusnya.
Fasa keempat perkembangan kurikulum matematik dapat
disaksikan bermula pada tahun 2010 yang mana beberapa anjakan
baharu dilakukan ke atas sistem pendidikan negara secara
keseluruhannya dan kurikulum matematik secara khususnya. Kurikulum
matematik pada fasa ini telah mengalami satu perubahan drastik dari
setiap aspek. Untuk itu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mula
diperkenalkan pada tahun 2010.
Dari aspek skop dan liputan, kurikulum matematik KSSR
merupakan penambahbaikan kepada silibus lama iaitu KBSR yang mana
penekanan diberikan kepada 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan
menaakul. Sebagai contoh, skop atau liputan dalam kurikulum ini pula
diberi suntikan beberapa topik baharu yang sebelum ini tidak diajar pada
murid tahun 1 (dalam KBSR) iaitu pecahan, panjang, berat dan isi padu
cecair. Ianya menjadikan terdapat lapan topik yang diberi penekanan
dalam Matematik KSSR Tahun 1.
Kurikulum baharu ini dilihat lebih bersepadu dan mempunyai
integrasi yang amat menarik dengan disiplin ilmu yang lain. Contohnya,
Matematik KSSR Tahun 1 merupakan penambahbaikkan kepada
Matematik KBSR Tahun 1. Matematik KSSR tahun satu telah disusun
dengan lebih sistematik. Penguasaan Matematik dalam KSSR telah banyak
dihubungkaitkan dengan pengaplikasian sains dan teknologi. Penerapan
nilai-nilai murni yang diketengahkan dalam mata pelajaran Sivik juga
diterapkan secara maksimum dalam pengajaran Matematik KSSR Tahun 1.
Hal ini menjadikan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan sangat
membantu dalam perkembangan diri murid-murid kerana proses
pengaplikasian diterapkan secara menyeluruh.
Dari aspek imbangan, kurikulum matematik yang baharu ini dilihat
mempunyai penyerapan nilai yang lebih sistematik dan holistik. Kurikulum
Matematik KSSR merupakan satu kerangka kurikulum yang telah mantap.
Ianya merupakan pembaikan kepada Matematik KBSR. Justeru,
penyerapan nilai telah dimasukkan secara sistematik dan holistik. Guru

bukan sahaja mengajar topik dan kemahiran, malah menunjukkan aplikasi


nilai kepada murid murid. Sebagai contoh, dalam pembelajaran
Matematik KSSR Tahun 1, tajuk pecahan mula diperkenal dan diajar.
Murid-murid bukan sahaja memperoleh kemahiran dalam pengenalan
perkataan dalam pecahan, mereka juga memperoleh ilmu seperti
perkongsian bijak dan pembahagian dengan sekata yang adil. Ini semua
turut menjurus kepada rutin harian yang boleh dipraktikkan.
Pengaplikasian nilai sebegini dan juga nilai murni semasa pengajaran
menjadikan KSSR bersifat jauh lebih seimbang berbanding KLSR dan
KBSR.
Urutan atau sekuen Matematik KSSR dilihat lebih spesifik, bersifat holistik
dan bersepadu. Sekuen yang sangat wajar dan realistik dapat dilihat
dengan jelas dan akhirnya membawa kebaikkan kepada murid-murid
kerana sekuen pembelajaran yang teratur dan mudah untuk diikuti secara
sistematik. Dalam Matematik KSSR Tahun 1, sekuennya disusun daripada
senang kepada lebih susah, mudah kepada yang lebih kompleks dan fakta
asas kepada pengaplikasian fakta. Sebagai contoh, murid tahun 1 telah
mula belajar mengenai topik pecahan. Pada akhir pembelajaran, murid
akan dapat menyatakan nilai separuh, setengah dan suku daripada
keseluruhan satu benda. Sekuennya, pada tahun 2, murid akan belajar
kesinambungan kepada hasil pembelajaran tersebut (pada Tahun 1) iaitu
menyatakan pecahan wajar yang pengangkanya satu hingga sembilan
dan penyebutnya hingga 10. Dalam KSSR, pernyataan evidens diguna
pakai sebagai istilah hasil pembelajaran. Jika murid tidak dapat menguasai
satu satu pernyataan evidens, maka murid tersebut tidak akan dapat
melaksanakan pernyataan evidens yang seterusnya.
Akhir sekali dari aspek kesinambungan atau kontinuiti dapat dilihat
dengan jelas bahawa kurikulum matematik yang baharu ini mempunyai
kesinambungan pada setiap tahap. Sebagai contoh, kurikulum matematik
KSSR tahun 1 merupakan kesinambungan daripada Kurikulum Standard
Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Dalam KSPK, matematik diajar di bawah
tunjang sains dan teknologi. Topik topik seperti pengalaman nombor,
konsep nombor, operasi nombor, nilai wang, konsep waktu, bentuk dan
ruang serta pembinaan (construction) dilihat sebagai asas kepada
kurikulum matematik KSSR tahun 1. Kemahiran matematik diterapkan

secara komprehensif dan berkesinambungan dengan kurikulum


matematik KSSR Tahun 1.
Secara tuntasnya dapat disimpulkan bahawa dalam fasa keempat,
kurikulum matematik mengalami satu perubahan drastik ke arah
pemantapan kurikulum yang lebih mantap dan mampu untuk
merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Untuk itu, perubahan
dari semasa ke semasa adalah perlu bagi menyesuaikan kurikulum
matematik agar selari dengan keperluan negara.
[1] Meliputi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
[2] Ketika itu Singapura masih lagi berada dalam Persekutuan.

You might also like