You are on page 1of 83

Aku merenung ke luar jendela, kegelapan malam yang dinafi dengan neon-neon jalan yang

bergelimpangan, kesunyian yang dibentak dengan lagu-lagu hodoh dan asing cengkerik yang
tidak mahu berhenti dan kesepian yang disertai sorak-sorak tawa manusia yang sedang
bermain FIFA.
Biar kata-kata ini mengalir semahunya. Malam, punya misteri yang sempurna. Gelapnya
membangunkan harapan buat si pendosa mengecap taubat dan dalam waktu yang sama
melindungi si manusia yang tidak pernah mahu meninggalkan maksiat. Sunyinya terisi
dengan esak tangis doa-doa manusia yang diangkat juga terisi dengan dentuman-dentuman
bass dan jeritan hamba-hamba yang terlupa bahwasanya mati itu sungguh dekat. Yang kelabu,
yang tidak berada dalam kedua-dua daerah ini mengisi gelapnya malam dengan cahaya yang
terpancar melalui skrin komputer dan dengan ketikan-ketikan papan kekunci untuk
menghiburkan diri.
Jarum panjang di angka 7, jarum pendek di angka 2, jarum paling panjang? Ah mana ada
yang peduli. Saat bergerak terlampau pantas sehingga kita terlupa untuk menghargai. Kalau
kau punya peluang untuk membuat pilihan, pilihlah untuk menjadi jarum yang pendek. Jarum
yang paling dihargai keberadaannya. Yang paling utama dalam rangka bulat atau petak yang
tertulis seiko atau quartz di atas badannya. Yang kehadirannya disebut dahulu oleh manusia.
Dan jarum itu bergerak dengan penuh hikmah dan santun, yang cuma manusia-manusia yang
dilahirkan bertuah sahaja bisa melihat pergerakannya. Jarum, yang bekerja dalam rahsia.
Cengkerik masih lagi tidak mahu berhenti menyanyi. Ah, barangkali disangkanya
suaranyalah yang paling merdu di alam ini. Sang cengkerik yang paling kuat suaranya pasti
sedang berbangga, kerna nyanyiannya bisa melenakan manusia. Tenggelam dalam majlis
megah dan apresiasi yang diciptanya sendiri.
Di luar gugusan bintang mengisi kanvas langit malam nan gelap. Begemerlapan dan memberi
harapan. Menyampaikan kisah-kisah lama dengan cahayanya yang sudah mengembara ribuan
tahun lamanya. Memberitahu manusia bahawa kisah-kisah lama itu barangkali bisa
membuatkan insan lain tersenyum walau kita sudah tidak lagi hidup di atas dunia.
Ini kisah biasa, kisah yang aku tulis sekadar untuk menghiburkan hati. Mungkin esok lusa,
saat segala nikmat pinjaman tangan dan kaki ini Tuhan tarik kembali, catatan ini bisa
membuat aku tersenyum mengenang segala yang pernah aku lakukan suatu ketika dahulu.

Sebuah perjalanan, jauh atau dekat pastilah diisi dengan pelbagai jenis persoalan, tentang
agama dan kepercayaan, tentang cinta dan harapan, tentang pertemuan dan kehilangan. Yang
akhir sekali, membuatkan kita belajar sesuatu tentang kehidupan.

------

Aku terjaga daripada tidur diatas kerusi keras dan menyebalkan yang tergeletak 90 darjah.
Disebelahku makcik tua masih enak diulit mimpi nan indah. Di hadapanku seorang pemuda
sebaya, teman seperjalanan masih setia dengan pen lukisan dan jurnalnya. Di sebelahnya,
seorang lelaki tua sedang membaca catatan Fathi Yakan yang bertajuk Apa Ertinya Saya
Menganut Agama Islam. Baru sejam perjalanan, masih berbaki sebelas atau barangkali dua
belas jam sebelum kami sampai ke Hat Yai.
Itu cuma bayanganku kawan.
Hakikatnya aku berada di dalam perut airbus A380 yang dicat merah menyala. Dengan slogan
Kini Siapa Pun Boleh Terbang bersama syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia.
Pagi itu, aku siap untuk mengembara melihat dunia.
Pramugari dan pramugara sudah siap menyusun semua bagasi. Disemak kehadiran setiap
penumpang. Yang masih belum masuk ke dalam pesawat, di panggil-panggil dengan
pembesar suara oleh si pramugari manis.
Juruterbang meminta semua krew kabin untuk mengambil tempat, pesawat bakal berlepas
dalam hitungan saat. 1,2,3...pesawat terbang dengan sempurna.
Dua jam yang sunyi, tempat duduk sebelah kosong tidak berisi. Bertarung dengan awan-awan
kumulonimbus pada permulaan musim hujan ini bukanlah perkara yang menarik. Sesekali
juruterbang pun sudi menjadi peramah bersama penumpang, diumumkannya kelajuan
pesawat, suhu dan waktu dijangka mendarat dengan suara yang tidak jelas dan langsung tidak
punya semangat.
Juruterbang meminta semua krew kabin untuk mengambil tempat, pesawat bakal mendarat
dalam hitungan saat. 1,2,3...pesawat mendarat dengan sempurna.

Siem Reap menyambutku dengan awan mendung. Matahari malu-malu untuk timbul dan
berkongsi cahaya pada permulaan musim hujan ini. Angin menampar lembut pipiku dengan
bawaan debu dan keharuman tanah basah kota bersejarah. Selamat datang ke Kemboja.
Selamat datang ke Siem Reap. Begitulah yang tertera di pintu ketibaan Lapangan Terbang
Antarabangsa Siem Reap.
Masih pagi untuk terburu-buru. Kaunter-kaunter imigresen masih lengang, pegawai-pegawai
baru memulakan tugas, masih ada senyuman untuk pendatang seperti aku. Di hadapan
kaunter-kaunter imigresen itu digantung bunting-bunting melarang pengunjung untuk
memberikan wang kepada petugas imigresen. Rasuah. Sogokan. Isu yang tidak pernah
berhenti dibualkan di negara dunia ketiga dan antara negara yang termiskin di dunia ini.
Dalam keadaan terdesak dan terpaksa sebegini, manusia tidak lagi punya mimpi. Mereka
tidak punya masa untuk bermimpi kerna dunia dengan kejamnya telah meragut segala hak
yang mereka punya untuk bernafas dan hidup dengan sempurna di atas muka bumi. Dan
sebahagiannya lagi, mimpi mereka tidak lain adalah untuk mati. Ah, apalah guna bernyawa
tapi diseksa dan dilacurkan segala apa yang mereka punya.
Pemandu tuk-tuk sudah menunggu sejak sejam yang lalu. Ah, maaf. Kesetiaan selalu sahaja
menghadiahkan kekecewaan. Imran menawarkan pakej-pakej lawatan di sekitar Siem Reap,
ke Angkor Wat, Tonle Sap dan beberapa tempat lagi, tapi aku menolak kerna punya
perancangan yang berbeza.
Jalan disini separuh berdebu dan berbatu, separuhnya lagi bertar sempurna. Di negara ini,
pemanduan di sebelah kanan. Dan satu perkara yang istimewa saat kita berada di negaranegara yang berpendapatan rendah ini, mereka tidak mengejar apa-apa. Jalanraya lengang.
Motosikal ditunggang perlahan. 60KM/J itu sudah terlampau laju buat mereka. Ah, apalah
yang hendak dikejarkan waktu, waktu kan setia menunggu. Barangkali itulah yang berada
dalam pemikiran mereka, atau mungkin mereka sengaja membiarkan waktu berlalu kerna
sudah penat menghadapi hidup yang tidak pernah adil buat mereka.
30 minit perjalanan daripada lapangan terbang ke tempat penginapanku. Jangka masa yang
agak lama untuk jarak yang cuma beberapa belas kilometer, tetapi tidak mengapa aku tidak
punya sebab untuk terburu-buru. Itulah antara kenikmatan apabila kita keluar daripada zon
kebiasaan kita, kita tidak punya apa-apa untuk dikejarkan. Kita bisa menikmati dengan
saksama setiap kejadian, susah atau senang, manis atau pahit, lambat atau cepat, semuanya
satu kenikmatan buat kita.

Di rumah penginapan, seorang wanita montel sudah pun menunggu bersama anak kecilnya.
Disambut kehadiranku dengan ramah bersama sepasang senyum yang tidak pernah sirna.
Senyum yang bersahabat dan menjanjikan harapan. Senyum yang mengakrabkan suasana.
Proses pendaftaran selesai. Kunci bilik diserahkan.
Maaf tapi buat masa ini ada gangguan bekalan elektrik.
Aku membalas dengan senyuman. Seperti dijangka. Pada waktu siang, gangguan bekalan
eletrik adalah perkara biasa disini.
Aku menghempaskan tubuh ke tilam, ah sempurna. Bilik yang sempurna, selesa dan murah.
Dengan 25 ringgit, cukup untuk mendapatkan sebuah bilik dengan dua buah katil bujang,
tandas serta air panas, televisyen dan kipas. Sambil berbaring melepaskan lelah, aku
menyampaikan pesan kepada keluarga yang aku sudah sampai ke destinasiku yang pertama.

***
Kata Aristotle, persahabatan sangat diperlukan dalam hidup, kerna tanpa sahabat hidup terasa
kosong walaupun kita memiliki kekayaan dan kemasyhuran. Kawan, sahabat, teman
seringkali menguatkan. Tetapi hari itu, dia melemahkan.
Perjalanan ini dirancang kira-kira sebulan sebelum ianya bermula. Dua orang kawan, yang
bermimpi untuk melihat dunia dengan mata kepala mereka. Tetapi digagalkan Tuhan dengan
satu kejadian sederhana, yang langsung tidak dijangka oleh kami berdua. Sehari sebelum
kami dijadualkan berlepas ke Siem Reap, kawan aku dimasukkan ke hospital kerana sakit
dada.
Tetapi perjalanan perlu diteruskan.
Dan aku belajar sesuatu hari itu. Rasa kehilangan sesuatu saat kita sudah atau hampir
memiliki nyata lebih menyakitkan daripada tidak mempunyainya daripada awal. Tetapi
apalah dalam dunia ini yang kita miliki kawan? Keluarga, kawan, harta malah diri kita sendiri
pun bukan milik kita secara mutlaknya. Milik Dia, Dia yang Maha Memiliki.

***

Kata orang, dalam mengembara ada tiga aspek yang menghabiskan duit kita. Pertama, tempat
tinggal. Kedua, makanan. Ketiga, pengangkutan. Andai kita dapat menyelesaikan tiga perkara
ini, duit bukan lagi masalah.
Tetapi setiap sesuatu itu mempunyai harganya. Itu sudah pasti. Jika kita tidak membayar
dengan wang, maka kita sedia untuk mengorbankan tenaga, masa dan keselamatan kita untuk
itu.
Aku memilih untuk berbasikal meronda pekan Siem Reap kerna itu cara yang paling mudah
dan murah tentunya. Melawat masjid dan madrasah serta perkampungan muslim yang
letaknya cuma beberapa ratus meter daripada tempat penginapanku, kemudian ke Tonle Sap
dan akhir sekali ke Night Market. Ah, aku sudah ke sini sebenarnya tahun lalu.
Kayuhan pun dimulakan, perkara pertama yang dicari adalah masjid. Masjid adalah titik
penting buat kita. Dengan bertemu masjid, secara tidak langsung akan menyelesaikan
masalah perut yang lapar.
Lebih kurang 500 meter jarak daripada hostel aku untuk ke Masjid An-Neakmah. Tapi
sayang, kerna tersilap satu simpang aku terpaksa menempuh perjalanan empat kali ganda
panjangnya menurut perhitunganku. Masjid itu masih lagi sama seperti dahulu, keakraban
dan hangatnya tali persaudaraan masih terasa, rohnya masih ada.
Aku mencari kedai makan di kawasan sekitar, ada beberapa kedai yang sudah beroperasi
tetapi apabila disemak harganya, ah mematikan kelaparanku. Perjalanan ini baru bermula,
duit perlu dibahagi dengan saksama.
Elektrik masih belum ada. Cerek tidak boleh berfungsi. Air panas nihil. Maggi, ah mimpi!
Solusi terbaik untuk menghilangkan kelaparan dengan harga yang murah adalah buah.
Pisang, solusi paling akbar. Tapi dimana aku bisa mendapatkan pisang? Pasar!
Tidak jauh, barangkali dalam 700 meter atau barangkali satu kilometer untuk ke pasar tapi
rasanya bagai berkayuh di dalam neraka. Matahari tidak lagi malu untuk menunjukkan
wajahnya. Panasnya membakar sehingga ke tulang yang paling dalam. Mencairkan tenaga,
melelahkan semangat. Hampir-hampir membuatkan aku putus asa sebelum bermula.
Pasar, ah ini bukan tempat membeli belah pelancong-pelancong asing, sekurang-kurangnya
bukan di bahagian basah. Bahagian yang menjual daging babi dan lembu, sayur-mayur yang
dijerukkan dan buah-buahan. Peniaga menarik-narik perhatianku, diberitahu harga barangan

mereka, dijemput aku untuk sekadar melihat sahaja tetapi semuanya dalam bahasa mereka.
Warna kulit menjadi identiti pertama untuk membezakan bangsa, maka aku pada waktu itu
adalah sebahagian daripada bangsa mereka, tanpa ragu.
2500 riel, harga sesikat pisang yang kecil dan comel. Tidak murah, tidak juga mahal.
Itulah sarapan pagi dan makan tengahariku untuk hari pertama ini. Dan sungguh romantis
sekali makan tengahariku, berlatarkan sungai Siem Reap yang mengalir lesu, keruh dan tidak
bermaya.
Aku tersenyum memerhati kelompok-kelompok manusia yang sedang berborak dan ketawa
di bangku-bangku jambatan yang merintangi sungai ini. Burung-burung sibuk menyanyi.
Sesekali getaran air sungai itu membuktikan wujudnya hidupan di sebalik air yang keruh itu.
Yang terus berjuang, meski hidupnya kelam dan penuh ujian.
Seperti manusia.
Yang sebahagiannya lahir bersama suasana yang keruh dan kelabu. Dan hidup meletakkan
kita dalam keadaaan serba tidak tahu, kusut. Terkadang dicela dan dihina. Ada masa dipulau
dan dipenjara. Tetapi hidup tetap perlu diteruskan.
Jangan pernah mengalah dengan kehidupan, jadilah seperti ikan-ikan yang tidak pernah putus
asa berenang dalam air sungai yang keruh dan tercemar itu. Yang tidak pernah putus asa
dengan hidup mereka. Yang senantiasa mencari air yang baru. Dan kita pula, berhijrah
mencari sesuatu yang baru.
Barangkali ikan-ikan itu akan mati sebelum bertemu dengan air yang lebih jernih, sungai
yang lebih terjaga. Tetapi mati mereka tidaklah sia-sia. Mereka mati dalam perjuangan,
matinya seorang pahlawan.
Dan andai kita mati dalam usaha mengubah kehidupan kita menjadi lebih baik, lebih suci
daripada dosa, pastilah Tuhan dengan sifat pemurahnya akan menghadiahkan syurga buat
kita. Harapan, itulah yang ditawarkan oleh agama. Kerna dimana ada harapan, disitulah
wujudnya kehidupan.
Usai makan, aku meneruskan kayuhan kembali ke masjid. Matahari hampir tergelincir
petanda waktu zohor kian mampir.
Usai solat, aku meninjau ke madrasah yang terletak di belakang masjid. Kosong. Cuti
barangkali.

Aku pulang semula ke rumah tumpangan untuk berehat sejenak dan menempah tiket untuk ke
Sihanoukville. Bandar yang dikelilingi pantai dan lautan. Syurga!
Di rumah tumpangan, bekalan elektrik sudah pun ada, kipas sudah berfungsi.
Peluh diseka, badan direbah, mata ditutup, tenaga dikumpul untuk mengayuh enam kilometer
menuju tasik Tonle Sap sebentar lagi.

***
Dalam perjalanan ini, aku lebih percaya dengan ketentuan Allah. Dan aku mula belajar untuk
redha. Redha dengan ketentuan Allah ini membuatkan aku sedar bahawa manusia semacam
kita ni tak punya apa-apa. Lemah dan tak berdaya.
Kita boleh merancang perjalanan kita dengan seteliti mungkin, tapi Tuhan tak perlukan
rancangan pun untuk mengagalkan semuanya.
Tak, Tuhan bukan tak adil. Sebab Tuhan adil-lah dia menggagalkan perancangan kita.

***
Aku memulakan kayuhan dengan memasang harapan untuk melihat matahari terbenam di
kaki langit Tonle Sap. Bayangkanlah kawan, menikmati panorama seindah itu bersama
tegukan air kelapa muda.
Ku dongak ke atas kepala, awan mendung. Mudah-mudahan di sana nanti awan tidak setebal
itu, tidak menghalangi aku dan matahari, moga-moga awan tidak mengkhianati mimpiku
petang ini.
Setelah separuh perjalanan berpandukan peta, awan sudah tidak sabar untuk menunaikan
ikrar cintanya bersama tanah yang telah dibakar mentari. Titis-titis hujan mulai turun, setitis
dua bagai memberi amaran. Aku berpatah arah, manusia sekerdilku mana mungkin melawan
cinta awan dan tanah.
Aku ke madrasah semula. Satunya kerna aku ingin berbual dengan ustaz dan orang kampung
disana. Dan asar pun sudah hampir menjengah, menunggu masa untuk azan dilaungkan
sahaja.

Jangkaanku bahawa hari ini hari cuti ternyata tekaan yang tidak berasas. Mana mungkin cuti
pada pertengahan minggu. Kelas baru selesai saat aku sampai. Di hadapan madrasah, seorang
wanita dalam lingkungan umur 40-an sedang menjaja makanan ringan. Susu kelapa mangga,
sandwich, bihun dan dua tiga macam lagi kuih-muih yang dijualnya. Ah, makanan seperti
inilah yang aku cari sedari tadi. Makanan tempatan yang halal dan murah!
Di madrasah ini, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran semuanya didatangkan dari
Malaysia. Malah para asatizah, ustaz ustazah yang mengajar pun kebanyakannya menuntut di
sekolah-sekolah pondok di Malaysia. Maka tak hairanlah ustaz ustazah disini fasih berbahasa
melayu.
Tapi sayang, anak-anak disini tidak fasih berbahasa melayu. Mereka boleh membaca buku
bahasa melayu tapi kurang jelas maknanya. Cuma ada seorang kanak-kanak perempuan yang
fasih berbahasa melayu, itu pun sebab pernah tinggal di Malaysia.
Jauh aku mengelamun berfikir tentang hal ini. Tentang bahasa.
Bahasa adalah senjata ilmu. Tidak kira apa jua ilmu yang hendak disampaikan, bahasa-lah
pengantaranya. Buku-buku, jurnal-jurnal, makalah-makalah ilmu dalam bahasa asing perlu
diterjemah dalam bahasa ibunda barulah ilmu itu dapat dinikmati oleh segenap lapisan
masyarakat.
Selesai solat asar, hujan turun dengan lebatnya seperti yang dijangka. Aku menghabiskan
masa berbual dengan Ustaz Ismail yang kebetulan ada disitu. Ustaz bercerita panjang lebar
tentang madrasah, silibus dan anak-anak yang menuntut disitu.
Gaji?
Gaji guru-guru disini mengikut ikhlas ibubapa anak-anak itu. Dan oleh sebab rezeki mereka
pun turun naik, gaji guru-guru ini pun turun naik. Sekitar 300 hingga 400 ringgit sebulan.
Dan orang-orang kita selalu dipuji disini. Pemurah kata mereka. Yang sedia membantu tak
kira masa. Yang selalu ada bersama. Yang menguatkan mereka.
Do you want to join us? Play football? lamunanku terhenti. Ustaz Ismail sudah pulang,
hanya aku dan anak-anak muridnya sahaja yang tinggal diperkarangan madrasah.
Sure, why not.

Hujan masih belum berhenti. Bertemankan gerimis, aku dan anak-anak itu bermain.
Tersenyum, ketawa dan bahagia. Anak kecil, sungguh mereka tidak memerlukan sebab untuk
gembira.
Aku kembali ke rumah tumpanganku.
Hujan yang sepertinya mahu berhenti tadi bahkan semakin melebat. Sehingga jam sembilan
aku menanti, hujan tak kunjung reda. Andai hujan tak reda, akulah yang redha.
Aku membatalkan perancangan untuk ke pasar malam Siem Reap yang terkenal itu. Lagipun
aku tak berniat untuk mencari atau membeli apa-apa disana. Esok aku akan ke Sihanoukville,
bandar yang dikelilingi pantai dan lautan.

------

Awal, subuh disini masuk jam lima pagi. Tiket aku jam lapan pagi. Tenang. Aku tak perlu
terburu-buru.
Lebih kurang jam 7:30 pagi, aku keluar daripada bilik untuk mengurus proses pendaftaran
keluar dan menunggu van yang akan mengambil aku untuk dibawa ke tempat perhentian bas.
Pagi itu sarapan aku adalah beberapa biji pisang lebihan semalam. Van lewat 30 minit,
mungkin sebab aku orang yang terakhir yang perlu diambil sebelum kami ke tempat
perhentian bas.

***
Lepas Siem Reap aku nak pergi Sihanoukville lalu Phnom Penh, aku berbalas tweet
dengan Liya untuk meminta pendapatnya. Gadis backpacker dari Singapura.
Aku rasa sekarang dah ada bas direct dari Siem Reap ke Sihanoukville, cuba kau tanya.
Kalau menurut apa yang aku baca dekat blog-blog sebelum ni, memang diberitahu kena
berhenti dekat Phnom Penh dulu sebelum ke Sihanoukville. Tapi rupanya ada jalan baru yang
menghubungkan Siem Reap ke Sihanoukville tanpa melalui Phnom Penh. Jadi jimatlah masa
perjalanan aku!

***
Semalam waktu aku beli tiket bas ni, aku dah tanya dekat amoi tu. Katanya bas yang aku naik
ni nanti terus ke Sihanoukville. Lebih kurang 8 jam aku akan sampai. Sempatlah untuk aku
menjamakan solat fardu zohor dan asar di Sihanoukville.
Selesai menunggu beberapa minit di tempat perhentian bas, semua penumpang diminta untuk
menaiki bas untuk ke satu lagi tempat perhentian bas yang sebenarnya. Ah, melelahkan!
Bila sampai di stesen bas yang sebenar aku mencari-cari bas yang menuju ke Sihanoukville
tapi tak wujud. Semua bas menuju ke Phnom Penh. Masalah.
Aku meminta penjelasan daripada staf syarikat bas tersebut, dan aku dimaklumkan bahawa
tidak ada bas yang terus ke Sihanoukville. Aku harus ke Phnom Penh dahulu, tukar bas dan
kemudian ke Sihanoukville. Sial! Bermaksud masa perjalanan aku akan menjadi 13 jam atau
barangkali lebih daripada itu.

Tapi aku tidak punya pilihan selain daripada menerima kenyataan. Barangkali berlaku salah
faham antara aku dan penjual tiket semalam. Tak mengapalah, tak lari Sihanoukville dikejar.
Lebih kurang jam 3 petang, kami sampai di Phnom Penh. Bas ke Sihanoukville akan bertolak
jam 4:30 petang. Selesai urusan menebus tiket, aku merancang untuk ke Masjid Al-Serkal
untuk menunaikan solat jama zohor dan asar.
Oleh sebab jarak antara masjid dan tempat perhentian bas lebih kurang dua kilometer, aku
ambil keputusan untuk berjalan kaki. Jimat duit!
Awan diatas seperti tak sudi lagi memayungi, barangkali tak lama lagi akan terjatuh menimpa
bumi. Tapi aku tak gentar. Aku tidak lagi bermusuh dengan hujan, hujan adalah sahabat,
hujan adalah pendamping setia dalam perjalanan ini.
Setelah tiga suku perjalanan, hujan turun tanpa kasihan. Kali ini tanpa amaran, lebat sekali.
Sehingga dalam masa kurang 15 minit, jalan-jalan kota sudah ditelenggami air.
Mujur, aku sempat berteduh di sebuah pondok bas. Mujur tak mujur, kerna terpaksa
berhimpit dengan belasan lagi manusia yang menagih kasihan daripada Tuhan, meminta agar
diberhentikan hujan.
Dan di pondok itu Tuhan mempertontonkan aku dengan sketsa mulia. Pelakonnya adalah
seorang lelaki tua, seorang wanita dan anak kecilnya.
Hujan bukan sahaja menafikan kemampuan kami si pejalan kaki untuk bergerak bebas, tetapi
juga mencengkam dengan udara dingin yang menusuk sehingga ke tulang yang paling dalam.
Dan anak kecil itu kelihatan mengigil di pangkuan ibunya, ibunya memeluk untuk
memindahkan haba badannya. Gagal.
Anak itu perlukan baju yang lebih tebal, yang lebih besar untuk memerangkap haba. Dan
pada saat itulah lelaki tua di hujung sana itu mempersaksikan kepada aku bahawa, kita bisa
melakukan kebaikan dimana pun kita berada meski tanpa harta.
Lelaki tua itu membuka butang baju kemejanya, tersenyum sejenak dan memakaikan baju
kemejanya untuk anak itu.
Indah.

***
Kamu kena ingat benda ni, Dr Mazura memulakan bicara. Entah daripada mana tiba-tiba
suasana kelas berubah menjadi serius.
Kita hidup bukan untuk diri kita saja, tapi untuk orang lain juga. Apa yang kita buat, 20
peratus sahaja untuk kita, selebihnya untuk orang lain, semua terdiam, tersenyum tanpa
suara.
Untuk mak, ayah, keluarga, kawan, cikgu dan semua yang ada di sekeliling kita. Kita kena
sentiasa jadi orang yang baik, penutup untuk untaian kata yang indah dan sarat dengan
makna.

***
Jarum jam sudah semakin menghampiri angka empat. Lebih kurang 30 minit lagi bas aku
akan ke Sihanoukville. Aku mesti segera beredar dari tempat ini. Aku tak punya banyak
masa!
Mujur untuk kali kedua, dalam keadaan hujan lebat yang tanpa kasihan ini, ada seorang
pemandu tuk-tuk yang sudi berhenti. Aku meminta pemandu tuk-tuk itu menghantarku ke
masjid dan kemudian ke stesen bas.
Tepat jam 4:30 petang, aku sampai di stesen bas itu. Bas sudah bersedia untuk bergerak. Aku
antara penumpang yang terakhir menaiki bas. Mujur untuk kali ketiga.
Daripada mata kasarku, bas ini sama seperti bas yang membawa aku dari Siem Reap ke
Phnom Penh sebentar tadi. Cuma yang berbeza, bas ini dua tingkat. Ya, itu dari segi
luarannya.
Saat melabuhkan punggung, nyata bas ini tidak sama seperti yang sebelumnya. Di bahagian
atas, bas ini mempunyai empat televisyen mini dan empat pembesar suara yang dipasang
kuat. Ah, sempurna. Televisyen ini tak pernah berhenti daripada berfungsi, lagu, drama dan
filem menemani sepanjang perjalanan kami.
Kerusinya kawan, langsung tidak boleh digerakkan. 100 darjah, tetap. Tanpa kompromi!
Lebih daripada separuh penumpang bas ini adalah penduduk lokal yang terdiri daripada
orang-orang yang sudah berumur. Kedut-kedut di wajah mereka sudah cukup untuk

memberitahu bagaimana keras dan zalimnya kehidupan ini buat mereka. Ada yang tanpa
selipar, kasut? Mimpi! Dan barangkali di dalam bas ini lah mereka mampu melupakan
sejenak tentang pahitnya kehidupan dengan cara masuk ke dalam dunia yang mereka idamidamkan. Yang wujud di dalam kotak peti hitam kecil itu.
Mungkin inilah saja masanya mereka punya peluang untuk menonton televisyen. Mungkin,
siapalah yang tahu.
Tepat jam 11 malam, bas tiba di pekan Sihanoukville. Oleh sebab aku belum menempah
mana-mana tempat penginapan, aku dipelawa untuk turut serta tinggal di One Stop Hostel
oleh beberapa orang backpacker yang menaiki bas yang sama.
Masalah tempat tinggal selesai.
Selesai mandi, tanpa sempat mempersembahkan ritual para backpacker yang tinggal di hostel
untuk sesi meet and greet di ruang tamu aku merebahkan diri di atas katil. Sayup-sayup
kedengaran irama balada Siti Nurhaliza yang terkadang diselang-selikan dengan muzik keras
Bandi Amuk. Baru aku sedar, perut aku tak terisi dengan apa-apa makanan pun sehari ni. Tapi
sekarang masa untuk tidur bukan makan.

------

Kalau dah namanya tinggal di bandar yang dikelelingi pantai dan lautan, tak sahlah kalau tak
ada pulau berdekatan. Ada beberapa gugusan pulau berdekatan dan aku pilih untuk ke Pulau
Koh Ta Kiev. Disebabkan pulau ni pulau persendirian yang cuma ada dua tempat penginapan,
bot hanya dijadual berlepas sekali sahaja sehari pada jam 11 pagi.
Sebelum keluar dari hostel sempatlah aku berborak dengan seorang backpacker dari China ni
(yang naik bas sama dengan aku semalam). Dia dah travel beberapa bulan, Kemboja ni entah
negara yang ke berapa dalam senarai panjang pengembaraannya. Berhenti kerja untuk meliha
dunia dan menyantuni manusia. Mencari pengalaman dan meraih mimpi. Dunia ni singkat
sangat katanya, takkan kita nak kumpul harta semata-mata.

***
Malam itu entah kali ke berapa aku ikut usaha dakwah, atau kebanyakan orang panggil
tabligh. Ada orang yang kata kumpulan ni keras, ada yang kata kumpulan ni ekstrem, aku tak
kisah, asal matlamat dan jalannya betul, aku duduk dan ikut. Sampai bila nak dengar cakapcakap orang kan?
Aku tertarik dengan tazkirah ringkas yang pesannya sentiasa diulang-ulang dengan enam
penekanan,
Tuan-tuan yang mulia, hidup kita singkat sahaja. Dan semua orang hidup untuk berjaya. Dan
kejayaan kita tuan-tuan, cuma terletak dalam agama. Sejauh mana kita menunaikan segala
perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah dengan cara Nabi S.A.W, kata-kata itu
mengalir ke laluan hati yang paling sempit dan dalam. Yang gelap dan kosong. Yang busuk
dan hodoh. Mengalir menghidupkan semula hati yang kian cintakan dunia. Hati aku.
Andai kejayaan atas dunia ini dinilai dengan harta, nescaya Qarun-lah yang paling berjaya.
Andai kejayaan atas dunia ini dinilai dengan kuasa, nescaya Firaun-lah manusia yang paling
berjaya. Tapi apa kita rasa benar kuasa dan harta itu kejayaan mutlak di dunia setelah
mengetahui Firaun dan Qarun ditempatkan didalam neraka? persoalan yang memerangkap
aku, aku yang terlampau mengejar kedua-duanya.

***
Untuk mendapatkan tiket bot ke Pulau Koh Ta Kiev tidak semudah mendapatkan tiket ke
Pulau Koh Rong. Cuma ada satu tempat yang menjual tiket bot ini : Led Zephyr, guest house
dan juga bar yang terletak tak jauh dari hostel yang aku tinggal.
20 minit aku berlegar-legar mencari bar yang bernama Led Zephyr ini, aku malah dileadkan
kepada kekecewaan. Tak bertemu, atau mungkin aku yang lebih fokus mengambil gambar
sekitar kawasan itu. Sehingga di penghujung jalan, sedepa lagi untuk bertemu Pantai
Serendipity, aku berdiri menatap hujan yang turun dengan penuh kecewa. Dan dalam kecewa
itu ada juga terselit rasa syukur dan gembira kerana tidak perlu menghadapi kuatnya hentakan
ombak yang dibawa angin ganas ini.
Mungkin tak bertemu adalah susunan Tuhan yang terbaik untukku.
Begitulah perjalanan akan mengajar kita untuk melihat sesuatu bukan di bahagian permukaan
sahaja, tetapi sehingga ke dasarnya. Dan dengan itu, barulah kita merasa kegagalan,
kekalahan atau apa sahaja yang ingin kita namakan sesuatu yang tidak mencapai matlamat itu
sebagai satu nikmat yang selayaknya disyukuri.

***
Tadi punyalah terang benderang, matahari pun panas terik, tiba-tiba je hujan. Hebat Allah
kan?
Kalau kau nak tahu, itulah perangai orang tabligh. Sentiasa memandang sesuatu yang terjadi
itu sebagai kekuasaan Allah. Cakap-cakap biasa yang menguatkan iman kita.

***
Selepas sejam dua menumpang teduh di sebuah restoran, aku mengambil keputusan untuk
berpatah semula ke One Stop Hostel dan dalam perjalanan itu aku mencari Led Zephyr.
Hujan masih belum reda, tanah masih menggoda awan untuk tenggelam dalam cintanya.
Tup!

Eh, inilah Led Zephyr! Aku rasa aku ada ambil gambar bar ni tadi, hatiku bergumam
sendiri. Telefon dikeluarkan daripada poket seluar, tangan lincah menekan ikon dengan
tulisan Gallery, skrol...skrol...skrol...tup!
Memang betul aku dah lalu dan membekukan gambar bar ini dalam telefon aku tadi, cuma
tak perasan. Aku lebih tertarik dengan dekorasi dalamannya berbanding tulisan Led Zephyr
yang tertera di atas banner.
Aku merapat ke kaunter, aku cuba untuk bertanya tiket bot ke Pulau Koh Ta Kiev pada hari
ini. Sekadar mencuba nasib walau aku tahu jawapannya bukanlah seperti apa yang aku
harapkan. Esok hari, jam 11 aku harus ke sini semula. Tuk-tuk akan menjemput aku dan
beberapa orang pelancong lain untuk dibawa ke Pantai Otress, tempat bot berlepas.
Selesai satu perkara.
Aku beredar dari Led Zephyr untuk mencari hostel murah untuk menginap malam ini.
Selepas aku ke beberapa hostel, yang terbaik adalah One Stop Hostel. Aku berpatah arah
meneruskan langkah ke sana.
Selesai urusan pendaftaran, aku meninggalkan backpack dan keluar daripada hostel untuk
melihat keadaan sekeliling. Membeli beberapa plastik buah-buahan yang dijaja, dan
meneruskan langkah ke pantai yang cuma sedepa sahaja jaraknya dari kota.
Pantai yang terdekat dengan kawasan pekan Sihanoukville ini adalah Pantai Serendipity.
Kerumunan manusia yang terdiri daripada pengunjung lokal dan luar negara berkumpul
disitu. Mandi-manda atau sekadar tertawa. Ada yang bersama teman, ada yang bersama
keluarga. Semuanya gembira, bahagia.
Selayaknya latar suasana untuk sebuah pantai dan lautan yang bersahabat.
Deretan restoran dan bar di sepanjang pesisir pantai ini sudah cukup untuk membuktikan
betapa meriahnya pesta pada waktu hujung minggu disini.
Pantai dan lautan. Selalu indah dan menghidupkan harapan.
Tetapi sayang, manusia sering sekali memegang watak antagonis dalam kisah percintaan
pantai dan lautan. Tangan-tangan manusialah yang menjahanamkan keindahan tempat ini
dengan sampah dan pencemaran. Lihatlah dihujung sana, mereka malah tidak segan-segan
membuang sisa makanan di laluan ini. Menyedihkan.

Aku berlari daripada kerumunan manusia. Berjalan di sepanjang pesisir pantai itu
sehinggalah aku bertemu batasnya.
Di situ, aku duduk melepaskan lelah berjalan. Mengarang satu dua puisi dalam kepala.
Menikmati keindahan dan tertawa. Angin pantai menampar-nampar lembut pipi, air laut tanpa
segan silu mencumbu hujung kakiku, awan mendung telah berarak meninggalkan kehangatan
sang mentari petang yang bersahabat.
Aku terdiam.
Macam dalam mimpi.
Aku kembali ke hostel untuk menunaikan solat zohor dan asar secara jama. Usai
menunaikan solat aku keluar semula daripada hostel untuk ke Pantai Otress. Kata orang,
pantai itu lebih dara daripada Pantai Serendipity.
Aku merancang untuk menyewa basikal untuk ke sana. Sekitar tujuh kilometer, bukanlah satu
masalah besar buat orang muda sepertiku.
Tetapi rezeki datang mendahului segalanya. Aku ditawarkan khidmat penghantaran
menggunakan motorsikal dengan harga USD2 untuk pergi dan balik. Bezanya cuma USD1
jika aku menyewa basikal, sudah tentu pilihan ini lebih baik.
Benar, bukan khabar angin. Pantai Otress ini jauh berbeza daripada pantai yang terletak
berdekatan dengan kota sana. Dara sunti, belum tercemar dan suci daripada kerumunan
manusia. Aku menikmati tamparan-tamparan angin dan jernihnya laut disitu. Mengelamun
beberapa ketika sebelum kembali berjalan di pesisir pantai putihnya.
Dalam perjalanan ini, kita mulai melihat setiap perkara itu daripada sisi yang berbeza. Sisi
yang jarang sekali kita punya waktu untuk melihat sewaktu kita pegun di kampung kita. Sisi
yang kadangkala kita malu dan tidak punya peluang untuk memanfaatkannya. Sisi yang tak
dimengertikan sesiapa.
Dan malam itu, sekonyong-konyong; Tuhan mengajarkanku tentang agama. Mengajarkanku,
bahawa sebenarnya aku tidak tahu apa-apa. Menyedarkanku, imanku tidak lebih daripada
sekadar iman yang pura-pura.
"Boleh minta air panas? Saya nak buat mi segera," aku memulakan pertanyaan kepada
pekerja hostel.

"Tentulah boleh! Jadi ini makan malam kamu?" Pekerja itu membalas dengan santun bersama
senyum yang tak pernah lekang daripada wajahnya.
"Yup."
"Kamu muslim?"
"Ya. Saya boleh makan seafood dan vegetarian food, tapi saya nak jimat," dengan senyum
aku membalas kembali pertanyaannya.
"Boleh minum (arak)?"
"Tak boleh. Lagipun arak membahayakan kesihatan," klisye.
Jeda beberapa saat.
"Apa yang agama islam ajar?"
Inilah soalan yang paling aku takut sebenarnya, aku terdiam beberapa saat sebelum
menyambung.
"Tentang kebaikan,"
"Seperti agama Buddha, mengajar tentang kebaikan dan kebajikan,"
"Semua agama mengajar tentang kebaikan," Aku membalas dengan jawapan selamat.
"Jangan marah, tetapi saya takkan masuk agama kamu. Saya mahu minum (arak)."
Aku membalas dengan senyuman. Tetapi dalam senyuman itu ada pahit yang perlu aku telan.
Saat itulah aku tersedar betapa sedikitnya fahamku tentang agama ini sehingga tidak mampu
menerangkannya kepada orang lain.
Maafkanku Tuhan.

------

Sebelum ke Led Zephyr untuk menunggu tuk-tuk seperti dijadualkan aku sempat bertanyakan
kepada pekerja hostel tiket untuk ke Kampot. Aku punya beberapa pilihan untuk ke Kampot
dan cara yang paling murah adalah dengan menaiki bas mini atau van persiaran. Van
dijadualkan bergerak dua kali setiap hari iaitu di sebelah pagi dan petang.
Andai Sihanoukville ini bandar terkenal kerna pantai dan lautan, maka Kampot pula terkenal
kerna sungainya. Penutup yang sempurna sebelum aku melangkah ke negara jirannya.
Penutup yang melengkapkan perjalanan daripada tanah penuh sejarah melalui ibu negara
sehingga ke pekan indah yang dikelilingi lautan dan penutupnya, tanah subur di muara
sungai. Sempurna.
Aku merancang untuk bermalam selama sehari di Pulau Koh Ta Kiev, kemudian ke
Sihanoukville semula dan meneruskan perjalanan ke Kampot. Untuk mengelakkan risiko
kerugian terlepas bas, aku memilih untuk tidak membeli tiket terlebih dahulu. Manalah tahu
terjatuh hati dengan pulau itu sehingga terpaksa bermalam berhari-hari disitu.
Penantian, benarlah satu penyeksaan.
Sejam lamanya aku menanti, tuk-tuk masih belum memunculkan diri. Hampir dua jam
melebihi masa yang ditetapkan barulah tuk-tuk tiba di Led Zephyr untuk membawaku ke
Pantai Otress bersama dua lagi backpacker dari Sepanyol.
Perancangan berubah.
Bot tidak akan berlepas dari Pantai Otress seperti yang diberitahu kepada kami. Kami perlu
menaiki sebuah lagi tuk-tuk untuk ke jeti yang letaknya kira-kira sejam dari Pantai Otress.
Mengkhinati masa dan janji adalah sifat semulajadi majoriti masyarakat disini.
Dalam perjalanan dari Pantai Otress ke jeti, Kim bersama dengan kami. Kim, gadis berumur
25 tahun yang mewarisi wajah manis ibu dan ayahnya yang berasal dari Korea. Sepanjang
perjalanan ke jeti, kami berbicara tentang hal-hal sederhana. Kim sedang melakukan kembara
panjang dan jauh selama setahun meliputi puluhan negara, dari asia sehinggalah ke eropah.
Di daerah antah-berantah seorang diri! Kagum.
Di jeti kami berpisah. Kim dan dua orang lagi backpacker dari Sepanyol akan menginap di
tempat yang berbeza. Aku menginap di bahagian timur, manakala mereka pula menginap di
bahagian barat pulau itu.

Ombak mengganas petang itu. Bot nelayan yang aku naiki terhuyung-hayang dipukul ombak.
Jaket keselamatan cuma pameran yang bergantungan. Apalah yang hendak ditakutkan dengan
mati, sedang hidup ini pun sudah cukup menyakitkan; begitulah agaknya apa yang bermain di
fikiran pemandu bot dan pembantunya ini.
Aku tersenyum melihat kegigihan mereka.
40 minit kami bergusti dengan lautan, akhirnya kami sampai ke pulau yang dituju : Pulau
Koh Ta Kiev.
Langit biru nan bersahabat bersama adiknya kapas-kapas awan yang setia. Matahari petang
berjanji untuk menghangatkan kami. Pantai putih yang bersih dan masih dara. Air jernih yang
tidak malu-malu memperlihatkan hidupan di dasarnya. Ah, SYURGA!
Sauh dilabuhkan.
Enjin dimatikan.
Kami sudah selamat sampai!
Menyentuh tanah ini untuk pertama kalinya adalah satu memori yang tak terlupakan. Benar,
semua yang digambarkan oleh mereka itu benar sekali. Pulau ini dara sunti! Ah berapa kali
sudah aku bilang padamu kawan.
The Last Point. Tulisan yang terukir pada papan yang digantung senget di meja kecil
penyambut tamu merangkap kafe itu. Sederhana. Semuanya sederhana disini. Tanpa elektrik,
internet dan kenderaan, pulau ini memang eksotis. Mengembalikan manusia yang tidak
pernah berhenti mencari dunia untuk berehat sebentar. Memberi ruang buat manusia untuk
menjadi manusia semula. Menganugerahkan apa yang telah kehilangan daripada ramai umat
manusia pada hari ini : masa.
Izzy menyambutku dengan ramah bersama senyum yang melebar sehingga ke telinga. Aku
membatalkan niat untuk tinggal di dalam khemah disebabkan cuaca yang tidak menentu dan
memilih untuk tinggal di dorm.
Dan sayangnya hari itu bukan hari minggu kata Izzy. Cuma aku seorang sahaja pengunjung
yang mendaftar masuk pada hari ini. Dan jika dijumlahkan semua yang ada di The Last Point
hari ini, jumlahnya tidak melebih 10 orang pun, lebih tepat lagi 8 manusia sahaja. Ditemani
dua ekor anjing, 3 ekor lembu dan beberapa ekor ayam, tempat ini memang mengembalikan
manusia kepada temannya yang paling setia, alam.

Setelah puas berenang dan menyelam melihat indahnya lukisan Tuhan, aku kembali ke
daratan. Menemani dan berjabat tangan dengan waktu, menikmati setiap detik dan hembus
nafasku di pulau ini. Dibuai ayunan buaian yang tergantung di pohon gergasi, bersama lagu
nyanyian ombak yang diselangi dengan kesunyian, berlatarkan keindahan tak terkisahkan, ah
wujud lagi rupanya tempat seumpama ini di dunia ini.

***
POM!
Bunyi dahan pohon yang patah menimpa bumi itu mengejutkan aku daripada lamunan
panjang. Hujan hari ini luar biasa lebatnya, angin pun tidak mendayu malah keras tak
berlagu. Tegang.
Aku memandang titis-titis hujan yang hari itu dan tersenyum memandang daun-daun yang
berguguran teringatkan pesan seorang pakcik tua,
Segala yang terjadi atas muka bumi ini, semuanya Allah tahu. Hatta, sehelai daun yang jatuh
ke tanah ini pun dalam pengetahuan Allah. Bila, mengapa, dimana dan apa sahaja persoalan
yang terlintas di fikiran kita semuanya dalam pengetahuan Tuhan yang mencipta.

***
Ada waktu kita akan kehilangan sifat ramah, yang kita mahu cuma diam membisu.
Memandang pada takdir dan tersenyum. Melihat kisah-kisah lampau dan ketawa.
Memandang memori-memori semalam sambil mengesatkan air mata.
Saat bersendiri di pulau ini, aku jadi mengerti satu perkara. Tentang betapa bernilainya
hubungan setiap insan. Dengan keluarga, kawan atau orang yang sekali dua hadir dalam
hidup kita. Tidak ada satu pun yang tak bernilai. Semuanya menjadi sebahagian daripada
memori hidup yang tak terlupakan. Dan keseorangan ini, membuatkan aku ditimpa sakit
rindu. Dan untuk menahan sakit ini cuma satu sahaja ubatnya : air mata.
Tapi lelaki tak boleh menangis.
Jadi aku tertawa. Tertawa sambil menari dalam gerimis hujan dan perasaan.
------

Usai solat subuh aku turun keluar daripada dorm dan menghempaskan badan di atas buaian
gergasi . Masih terlampau awal untuk berjalan di pesisir pantai. Matahari masih bersembunyi,
belum waktunya untuk memunculkan diri. Bulan masih disitu, setia menemani manusia.
Bunyi ombak menghempas pantai, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Aku memejamkan mata, menikmati keindahan yang tak mungkin aku rasakan di kota.
Perlahan-lahan, fajar pun menyingsing. Bersama dengan senyumannya yang menghangatkan.
Siapa sahaja yang tidak jatuh cinta dengan matahari pagi? Bahkan orang gila pun barangkali
jatuh cinta saat melihat matahari terbit.
Buaian itu terletak di posisi yang sempurna. Benar-benar berhadapan dengan posisi terbitnya
sang matahari. Nun di hujung penglihatan sana, bot nelayan teroleng-oleng dibuai ombak. Di
sebelah sini deruman enjin bot nelayan memecahkan kesunyian. Tak terbayangkan situasi ini
kawan. Seperti dalam novel-novel fiksi yang dikarang Faisal Tehrani. Lebih puitis daripada
puisi-puisi Sapardi Djoko Damono, malah mengatasi indahnya kata-kata hikmah Robin
Sharma.
Aku membunuh waktu dengan berjalan menyusuri pesisir pantai nan indah ini. Ragu-ragu
sama ada harus memanjangkan tempoh untuk tinggal disini atau kembali ke Sihanoukville
untuk ke Kampot. Pilihan, selalu sahaja menyesakkan.

***
Kau kena ingat, kita manusia. Ada masa kita betul, ada masa kita salah. Ada masa kita
menang, ada masa kita kalah. Ada masa kita kuat, ada masa kita lemah, sunyi, cuma
cengkerik sahaja yang sudi menyanyi.
Waktu kita salah tak ada cara lain selain minta maaf. Waktu kita kalah tak ada cara lain
selain menerima. Waktu kita lemah tak ada cara lain selain muhasabah, malam itu bulan
penuh tetapi nasihat ini malah lebih mempesona dari bulan purnama.
Sebab kita manusia. Kita tak sempurna.

***

Aku turun daripada buaian dan melayangkan kaki mengikut perasaan. Sesat? Takkan
mungkin di pulau sekecil ini. Anjing berlari riang, dan kawanan ayam mengais-ngais pasir
mendambakan rezeki tuhan : seekor cacing.
Aku kembali ke kaunter penyambut tetamu, tekad sudah dibulatkan, aku akan kembali ke
Sihanoukville hari ini. Izzy mengangguk-angguk faham. Bot akan datang jam sembilan, atau
mungkin sebelas mengikut jam kita kata Izzy.
Aku kembali ke dorm, mengemas barang-barang yang telah aku punggah. Selesai mandi, aku
turun semula untuk sarapan pagi di kafe (kafe dan kaunter penyambut tetamu adalah tempat
yang sama). Aku berborang panjang dengan Izzy sementara menunggu bot yang tak kunjung
hadir.
Izzy. Sudah dua tahun mengembara. Sudah empat bulan menikmati indahnya pulau ini.
Syurga, pulau ini, tempat ini adalah syurga kata Izzy. Aku mengangguk mengiakan kata Izzy,
indahnya bukan khabar angin kawan.
Gadis berketurunan inggeris ini berhenti belajar di universiti dan membulatkan tekad untuk
mengembara melihat dunia. Menjadi pelayan restoran di Itali, membina sekolah di pedalaman
Kemboja, menyelam di Krabi dan menjadi pekerja tanpa gaji disini. Ah, apa sahaja yang
belum dilakukan gadis ini? Dadanya sudah penuh dengan pengalaman. Tentang manusia,
alam dan yang paling utama tentang kehidupan.
Dalam banyak-banyak perkara yang kami bualkan, ada satu bahagian yang takkan aku
lupakan, mudah-mudahan sampai mati dengan izin Tuhan.
Aslam, kau tahu kenapa aku lakukan semua ni? mendatar, intonasi suaranya mendatar tak
beriak dan sukar ditebak.
Aku tersenyum dan membalas, Kenapa?
Kerana inilah mimpi-mimpiku. Ini adalah cita-cita aku. Aku mahu mengembara ke seluruh
dunia sebelum berkahwin. Nanti bila dah tua, aku akan duduk dengan anak-anak atau
barangkali cucuku sambil menunjukkan gambar-gambar aku sepanjang pengembaraan
panjang ini. Aku akan ceritakan setiap butir pengalaman yang aku kutip sepanjang
perjalanan, matanya bercahaya. Besar sekali impiannya.
Semua orang ada mimpi saat melihat kita. Ibu dan ayah kita meletakkan mimpi mereka ke
atas kita. Keluarga, kawan dan semua manusia ada mimpi ke atas kita. Tapi kau kena ingat,

kita tak hidup untuk menunaikan mimpi orang lain. Kita hidup untuk berjuang menunaikan
mimpi kita.
Senyum. Sungguh kematangan itu tidak seharusnya diukur dengan umur semata-mata.
Aku mahu ke Malaysia. Kata orang, makanan disana sedap!
Malaysia dan makanan seperti menara Eiffel dan cinta, tak terpisahkan kawan.
Dalam jam sebelas baru bot yang dijanjikan tiba. Aku melambai-lambai Izzy, moga suatu hari
nanti Tuhan mempertemukan kita kembali.
Aku ke One Stop Hostel semula untuk menempah tiket van ke Kampot. Van akan mengambil
aku lebih kurang jam satu, satu jam daripada sekarang. Mujur sempat!
Dari Sihanoukville ke Kampot jaraknya tidaklah jauh, cuma sekitar dua ke tiga jam
perjalanan. Sepanjang perjalanan, laluannya dihiasi dengan tanaman-tanaman padi yang
menghijau. Luas, seluas mata memandang. Dibataskan dengan bukit-bukau yang angkuh
menjulang. Gagah sekaligus misteri.

***
Apa warna kegemaran mama? pertanyaan polos anak kecil yang baru bersekolah darjah
satu.
Hijau, dengan senyum mama membalas pertanyaan aku.
Kenapa?
Sebab hijau ni warna yang menenangkan. Rasa sejuk je bila tengok warna hijau ni.

***
Kalau semalam aku bermalam di pantai, malam ini aku memilih untuk bermalam di muara
sungai. Di rumah yang dibina daripada buluh dan papan. Aku benar-benar dilatih untuk
menjadi manusia disini. Mengeluh? Tak pernah sekali kawan, semua ini adalah anugerah
bagiku. Nikmat dan kesempatan yang tak mungkin aku keluhkan.

Aku menempah bilik dan motor untuk melihat kawasan sekeliling. Ada beberapa perkara
yang ingin aku lakukan disini dan motor adalah pengangkutan paling sesuai dan murah saat
ini.
Aku menunggang motor dari tempat penginapanku untuk mencari masjid. Nasi, aku rindu
nasi...dan ayam. Berpandukan peta, aku bertemu dengan sebuah masjid yang agak besar. Di
sebelah masjid, ada madarasah untuk anak-anak kampung barangkali. Berdekatan dengan
pintu masuk, ada gerai dengan meja-meja warung yang disusun cantik dan kemas.
NASI AYAM GORENG!
Mimpiku menyala-nyala. Harapanku meletup-letup. Mudah-mudahan ada nasi dan ayam
disini.
Pelajar-pelajar di madrasah itu sedang sibuk beriadah di kawasan lapang berhadapan masjid.
Sebaik turun daripada motor, aku disambut oleh pemilik kedai ini dengan senyum lebar
sehingga ke telinga.
Dari mana? persoalan pertama yang keluar daripada mulutnya.
Malaysia, jawabku perlahan.
Malaysia! Sebentar saya panggilkan ustaz. Ustaz lagi pandai cakap Malaysia. Sebentar ya,
duduk dulu, aku tercengang. Eh, tak mengapalah pakcik, tak usahlah susah-susah begini.
Aku cuma mahu mencari sepinggan nasi dan seketul ayam untuk mengisi perut yang
kelaparan sedari tadi.
Pak cik itu sudah hilang daripada pandangan mata. Tenggelam di balik tembok batu madrasah
yang terletak di sebelah sana.
Aku memerhati sekeliling. Ah, ini bukan gerai makan rupanya. Tidak ada goreng-gorengan.
Yang ada cuma, mi segera, air dan jajan. Apalah nasibku kawan.
Beberapa ketika, Ustaz pun datang menyertai aku.
Apa urusanmu ke sini? Berjalan-jalan atau ada urusan lain?
Cuma berjalan-jalan ustaz. Sekarang sedang cuti, jadi sekadar menggunakan waktu ini untuk
mencari pengalaman.

Ustaz pernah menuntut di sekolah pondok di Malaysia. Pernah khidmat di Masjid Petaling.
Dan rupa-rupanya, masjid yang aku kunjungi itu adalah markas tabligh untuk kawasan
Kampot. Padanlah besar, gumamku sendiri.
Setelah berborak beberapa lama, aku kembali ke tujuan asalku kemari,
Dekat mana ya ada restoran yang jual makanan halal? Nasi dan ayam atau daging?
Oh! Kamu cari tempat makan. Sekejap saya tanyakan restoran kawan saya, tapi rasanya dah
tutup ni. Dah lewat petang. Biasa pukul lima dia dah tutup.
Jeda beberapa minit.
Kawan saya dah tutup kedai. Takpe, macam ni lah. Kamu duduk disini dan solat maghrib
disini. Lepas solat maghrib kita makan sama-sama. Saya akan masak untuk kamu. Boleh?
Pucuk dicita ulam mendatang. Tanpa bantahan aku mengangguk dan tersenyum. Kelaparan
seringkali mematikan rasa malu.
Okey. Saya beredar dulu ya. Nak pergi cari ayam.
Tiga puluh minit lagi sebelum azan maghrib berkumandang, aku mengisi masa lapang ini
dengan mengajar anak-anak kecil disini menyebut nombor dalam bahasa Malaysia. Anakanak kecil ini terhibur dan begitu juga aku.

***
Azwan cepat hafal sifir enam ni.
Dah hafal dah.
Lancarkan. Lepas ni kalau salah abang rotan.
Ok, dah hafal.
2 X 6?
6...12!
3 X 6
6...12...18!

9 X 6
Err...48...eh...50...52!
SALAH!
Azwan ni salah seorang daripada kanak-kanak yang tinggal di Ar-Rayyan. Satu hari dia
menangis sebab rindu kan maknya bukan sebab rotan yang aku kenakan.

***
Usai solat maghrib aku disantuni dengan makanan yang enak hasil masakan ustaz. Nasi
bertambah tanpa segan. Kenyang yang tak terkata.
Usai makan, aku meminta diri untuk pulang. Rintik-rintik sudah mula singgah, petanda
malam ini sejuknya mengigit tulang. Terima kasih aku layangkan atas layanan yang begitu
besar nilainya untuk seorang manusia yang tak punya apa-apa. Yang tak memberi apa-apa
dan tak bernilai apa-apa kepada mereka.
Kita sesama islam adalah saudara, teringat sebaris kata yang selalu dipesan. Mungkin inilah
nilaiku buat mereka.
Sebenarnya, dalam perjalanan ini kau akan punya waktu untuk berfikir. Untuk berhenti
sejenak daripada apa sahaja yang kau lakukan untuk bersyukur atas setiap perkara yang
Tuhan kurniakan. Walau atas sekecil-kecil pemberian yang kita lekehkan. Walau atas
seringan-ringan kenikmatan yang kita remehkan. Ketahuilah kawan, setiap apa yang Tuhan
berikan, nilainya tak ternilaikan. Cuma manusia seperti kita yang sering terlupa.
Bila kita dapat rasa yang nikmat itu berharga?
Bila Tuhan tarik kembali apa yang dia pinjamkan.
Untuk itu, sentiasalah hidup dengan kesyukuran. Untuk sentiasa bersyukur sentiasalah hidup
dengan merasa cukup atas nikmat yang Tuhan pinjamkan. Dan untuk merasa cukup,
senantiasalah bergaul dan membantu mereka yang memerlukan.
Dan hasil daripada ini semua adalah kebahagian. Kebahagiaan yang tak terucapkan.

------

Pagi itu sebelum ayam berkokok lagi aku sudah menyiapkan diri apa adanya. Aku merancang
untuk menyambut kepulangan ayah-ayah yang gagah berjuang demi keluarga. Sekadar
melihat dan tersenyum dengan kepulangan mereka daripada wilayah laut antah berantah
setelah diterajang ombak dan dicengkam dinginnya udara malam. Sekadar mengambil
hikmah daripada tatapan mata mereka yang bersinar-sinar dengan nyalaan api semangat dan
kecekalan.
Bilik atau boleh juga dipanggil pondok yang aku tinggal ini terletak di tingkat yang paling
atas. Aku perlu menuruni anak-anak tangga itu dengan penuh hati-hati. Kecuraman tangga
yang dibuat daripada buluh ini bukan main. Tersilap satu langkah sahaja, berdentumlah ke
bawah.
Motorsikal yang aku sewa dengan nilai 20 ringgit itu masih tergeletak di hujung sana.
Melihatkah kau kawan? Di barisan panjang motorsikal-motorsikal yang besar dan gagah,
motorsikalku di hujung sekali. Skuter 100cc buatan Jepun yang meternya pun sudah
berantakan, tidak lagi memaparkan maklumat yang benar.
Kunci.
Deretan motorsikal itu dirantai oleh pekerja tempat penginapan ini. Aku jenguk ke bilik
pengawal keselamatan yang terletak berhadapan dengan deretan motor ini, sunyi. Barangkali
mereka pun sudah tidak berkuasa melawan godaan ngantuk yang mempesona.
Aku ke ruang penyambut tamu, beberapa pekerja wanita tersenyum kepadaku. Harapan
masih ada, aku mendesis sendiri.
Tapi sayang, harapan tak selalunya dikabulkan Tuhan. Tiada pekerja yang bertugas di meja
penyambut tamu, barangkali terlampau awal untuk memulakan hari. Pekerja-pekerja wanita
yang aku temui tadi pula langsung tak pandai berbahasa inggeris.
Patah hati. Pagi ini bukan rezekiku untuk menyambut kepulangan para nelayan yang gagah
itu.
Aku memanjat tangga semula, dengan langkah yang disusun penuh tertib dan hati-hati.
Anjing chalet di depan pintu itu memandangku dengan ragu. Hendak menyalak, tak mungkin

lelaki sekacak itu adalah penceroboh. Hendak bermanja, lelaki di hadapan aku ini malah
kelihatan takut sekali. Barangkali itulah apa yang berada dalam pemikiran anjing itu.
Anjing. Bagi aku, anjing adalah haiwan yang istimewa. Pengawal yang paling kasar
hukumnya, penjaga yang paling ketat kawalannya, sahabat yang plaing setia, peliharaan yang
paling manja. Iya, aku tak menafi sebagai muslim, ada pelbagai pendapat yang berdiskusi
tentang hal menjaga dan membela anjing, tetapi hikmah yang diajar anjing itu bisa
dimanfaatkan oleh sesiapa. Tak ke?
Embun pagi masih tersisa. Sesekali embun itu diam-diam mencerobohi susun-susun cantik
atap nipah dan menitis tepat ke muka. Aku duduk di atas katil sambil mencatat perancangan
untuk hari ini dan hari-hari mendatang.
Hari ini hari terakhir aku di Kemboja.

***
Kata pujangga, hujan itu adalah air mata penduduk syurga yang menangis mendengar kisah
manusia. Pujangga, selalu benar menghiburkan kita dengan kisah-kisah puitis mereka.
Tapi petang itu diam-diam aku hampir percaya dengan kata pujangga.
Kertas Biologi, kertas terakhir yang menjadi penutup untuk perjuangan bertahun-tahun
lamanya kami disini. Lima tahun tinggal di asrama tentulah banyak yang aku belajar. Dari
sekecil-kecil perkara seperti membuang sampah di tempatnya hinggalah sebesar-besar
perkara tentang cinta. Sekolah, tidak hanya mengajarkan kita menjawab peperiksaan sematamata.
Saya nak kamu pegang benda ni sampai bila-bila. Dalam hidup ni kalau kamu nak sesuatu
yang besar, kamu kena korbankan banyak perkara-perkara yang kecil, tingkat suara Cikgu
Norihah naik seoktaf melihat kami yang sebahgiannya tertidur dan tertawa sewaktu kelas
Biologi.
Kalau kamu nak dapat straight As dalam SPM nanti, ada banyak benda yang kamu kena
korbankan. Tidur kamu, gelak ketawa kamu, borak kosong kamu dan benda-benda lain yang
tak berfaedah, sunyi. Yang tertidur sudah terjaga, yang tertawa berubah serius.
Pengorbanan.

Resipi rahsia untuk sebuah kejayaan.

***
Aku tersedar daripada lena. Dhuha sudah mengetuk pintu-pintu langit. Aku menjengah ke
bawah, rantai motorsikal sudah dibuka kuncinya. Aku merancang untuk ke Bokor National
Park yang terletak lebih kurang 10KM dari tempat penginapan ini. Dari Bokor aku akan ke
Sungai Kampot, makan tengahari dan kemudiannya kembali semula ke sini untuk menunggu
tuk-tuk menghantar aku ke tempat perhentian bas, itu pun kalau tiket untuk ke Ho Chi Minh
masih ada.
Dalam google map, hasil carian untuk Bokor National Park adalah no route found.
Bermaksud aku cuma boleh teka sahaja jalan ke sana dan dengan bantuan mulut daripada
manusia. Kebarangkalian untuk sesat itu ada, tetapi apalah ditakutkan kesesatan andai dalam
kesesatan itu kita bertemu sesuatu.
Berpandukan petunjuk yang diberi oleh pekerja, aku menunggang motosikal dengan penuh
hati-hati. Helmet comel tanpa visor ini kadangkala membuatkanku memicingkan mata,
mengelak pencerobohan debu ke ruangan yang paling sensitif dalam bahagian muka
manusia : mata.
Untuk ke kaki bukit Bokor itu mengambil masa lebih kurang 20 minit. Dan untuk mendaki
sehingga ke puncak tertinggi pula memakan masa hampir 45 minit. Itu menurut hasil carian
yang aku baca malam tadi.
Perjalanan ke kaki bukit Bokor ditemani pemandangan indah tak terjangkakan. Di latari
padang-padang hijau yang ditumbuhi padi yang tunduk menyembah bumi dan alir-alir sungai
yang tak jemu mengaliri setiap kelok dan laluan. Tak jauh daripada semua itu, ada kawanan
lembu yang sedang bermain riang, ayam dan itik berkongsi kasih tidak bermusuhan. Burungburung mendepakan sayapnya, terbang rendah menyambut manusia yang sudi melawat
habitat semulajadi mereka.
Bukan sekali aku berhenti untuk menikmati pemandangan ini. Kerna jarang sekali aku dapat
melihat lukisan Tuhan yang belum dirosakkan tangan-tangan manusia rakus yang seringkali
mengkhianati bumi.

Pendakian untuk sampai ke puncak Bokor ini mudah. Walau sesekali dihimpit dengan lori,
van dan kereta yang menjadi raja jalanraya, skuter ini gagah membawa aku ke puncaknya.
Dalam setiap selekoh-selekoh tajam dan berbahaya, aku teringat akan tulisan Riduan A.
Dullah dalam bukunya (Goji Bundy),
Dan sepanjang perjalanan, aku tenang bersama janji Tuhan, walau sekadar dengan satu janji
kematian.
Di puncak bukit ini, aku bisa menggapai awan. Benar kawan, bukan mainan dan khayalan.
Aku bernafas dalam kabus awan. Di sebelah sini hampir hujan tetapi di sana panasnya tidak
kasihan. Di puncak ini terdapat beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dan aku
tak merancang untuk ke semua tempat. Aku cuma mahu jatuh cinta dengan setiap tempat
yang aku lawati, jadi aku berkongsi masa dengan setiap tempat itu. Untuk bercerita harihariku, kisah manis dan pahitku, gembira dan sedihku, sisi malaikat dan syaitanku. Bukankah
cinta itu menuntut kita untuk berkongsi segalanya?
Teringin sekali aku untuk jatuh cinta dengan alam ini.
Selepas bertemu dan bersapa dengan kerumunan manusia dengan patung Buddha yang baru
siap dibina, aku meneruskan perjalanan ke kuil Buddha yang terletak cantik di puncak bukit
ini. Aku tersenyum dan menyapa beberapa sami dan orang-orang muda yang sedang dalam
proses penyucian diri yang tinggal di kuil ini. Mereka membalas senyumku dan menerima
sapaanku ramah tanpa curiga. Alangkah indahnya berbeza kepercayaan tapi saling
menghormati.
Di bahagian belakang kuil ini terhampar pemandangan hijau yang tidak bertepi, diselangi
titik-titik bangunan ciptaan manusia yang kelihatan kecil sekali. Aku berlama-lama duduk di
salah satu batu besar, berbual dengan alam dengan bahasa yang tidak pun difahami sesiapa.
Kemudian aku meneruskan perjalanan mencari 100 rice fields, tapi sayang tak bertemu.
Berpandukan peta besar yang aku temui, aku menghala ke Bokor Hill Station. Sebuah istana
terbiar yang hampir-hampir musnah. Tapi dalam kemusnahan itu, masih tersisa bekas-bekas
dandanan indah hasil tinggalan arkitek dan jurutera dari Perancis.
Air terjun Popokvill menjadi penutup untuk pengembaraan aku di Bokor National Park ini.
Tidak ada yang lebih sempurna daripada menamatkan pengembaraan di sebauh bukit
melainkan dengan menikmati indahnya air yang berlumba-lumba untuk terjun menyimbah
bumi.

Tapi sayang kawan, ekspektasi kita tak sentiasa terpenuhi.


Mimpi tak semestinya cocok dengan realiti.
Jangkaan tidak pula wajib untuk dikabulkan Tuhan.
Air terjun mengalir lesu. Dan tiadalah yang lebih mengecewakan daripada melihat air terjun
yang telah dicemari ini, tidak jernih bahkan berbau. Ini tidak lebih daripada pemandangan
sebuah loji. Alam yang telah dicemari.
Penutup yang aku jangkakan sempurna itu tidak lebih daripada sekadar penutup yang
menghambarkan. Seperti desert yang seharusnya manis tapi bahkan terasa pahit. Tapi oleh
sebab pemandangan, bangunan serta manusia-manusia yang aku temui sepanjang berada di
puncak bukit ini adalah satu keindahan yang tak terucapkan, hal air terjun itu cuma seperti
titis hitam kotoran dalam lautan air jernih.

***
Tuan-tuan yang mulia, iman para sahabat sangat kuat. Tak terkesan dengan suasana malah
iman mereka mengubah suasana, sunyi.
Hari ini iman kita terkesan dengan suasana. Andai kita berada dalam suasana kotor, iman
kita menghilang tah ke mana. Sebab itu keluar di jalan Allah, tidur di rumah Allah, belajarbelajar hidupkan sunnah Rasulullah, supaya iman itu hadir kembali. Supaya iman kita jadi
kuat semula, terkesan. Kata orang, apa yang disampaikan daripada hati itu akan menyentuh
jiwa.

***
Aku menuruni bukit Bokor perlahan-perlahan, penuh hati-hati. Benar kata orang, turun bukit
kadangkala lebih payah daripada mendaki.
Sampai di kaki bukit aku terus menghala ke Sungai Kampot. Tak lain sekadar menikmati
indahnya alam, melihat anak-anak kecil ketawa dan membunuh waktu yang tersisa - beberapa
jam sebelum aku meninggalkan Kemboja untuk ke negara kedua dalam senarai perjalanan
ini.

Azan zohor berkumandang tak lama kemudian. Musim hujan sebegini, hujan turun tak kira
masa dan keadaan. Mujur ada baju hujan yang dibekalkan tuan empunya motor ini. Azan
sayup-sayup kedengaran. Ah, tak sukar mencari masjid atau surau di Kampot ini.
Usai menunaikan solat, aku disapa seorang ustaz. Boleh berbahasa melayu walau kosa
katanya terbatas.
Saya masuk pertandingan baca Al-quran. Satu (Juara) dihantar mengaji islam ke Malaysia.
Dua (Naib juara) dihantar mengaji islam ke Thailand. Tapi saya boleh bercakap siki-sikit
Bahasa Malaysia. Belajar sendiri.
Daripada masjid, ustaz membawa aku ke restoran yang terletak tak jauh daripada situ.
Suaminya tinggal di Malaysia. Pahang. Kamu tinggal di mana?
Selangor dekat-dekat dengan Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur? Bandar besar. Bagus! Cantik!
Aku tersenyum. Benar kata orang, berkawanlah dengan orang yang lebih bawah tingkatnya
daripada kamu dalam hal-hal dunia, nescaya kamu akan sentiasa merasa bersyukur dengan
apa yang telah Tuhan berikan.
Umur kamu berapa? Sudah berkahwin? ustaz melontarkan persoalan sambil menatap skrin
telefon bimbitnya.
21. Belum, masih bujang.
Saya ada anak perempuan. Sekarang mengaji di Malaysia. Umurnya 19 tahun. Ini gambar
dia.
Aku mengangguk perlahan, sudah beberapa kali ustaz terangkan perihal anak-anaknya.
Kahwinlah dengan orang Kemboja. Orang kemboja baik-baik!
Ketawa meletus tiba-tiba. Ah, ternyata topik inilah yang bermain-main di fikirannya sedari
tadi.
Masih muda ustaz. Masih banyak yang perlu saya belajar sebelum berfikir nak kahwin,
jawapan selamat.
Aku kembali ke tempat penginapan untuk menungguk tuk-tuk menjemput aku dan dua lagi
backpacker yang menuju ke Sihanoukville. Dalam perjalanan ke tempat perhentian bas, kami

berkongsi tentang cerita-cerita perjalanan kami. Tidak lama kemudia, tuk-tuk berhenti dan
mengambil tiga lagi penumpang. Bayangkanlah, enam manusia bersama enam backpack
besar berpadat-padat dalam ruangan yang besarnya 1X1 meter.
This is worse. I cant believe this! Gumam pemuda yang duduk bersebelahanku dan kami
yang lain mengangguk bersetuju.
Dari Kampot ke Ho Chi Minh akan melalui perbatasan Ha Tien. Dari Kampot akan singgah
terlebih dahulu di Kep kemudian baru ke Ha Tien. Di sempadan Ha Tien, penumpang akan
turun dan bertukar bas.
Di sepanjang perjalanan, kau akan sedar yang Tuhan ni Maha Penyayang. Dalam kesulitan,
kau akan sentiasa bertemu jalan keluar. Dalam kerumitan kau akan dipimpin bertemu solusi
paling akbar. Dan hari itu, dalam kerunsingan aku memikirkan bermacam-macam perkara,
Tuhan menghantar seorang kenalan, untuk memeberikan bantuan.
Van masih menanti penumpang untuk memenuhi ruangan. Tiba-tiba dari kejauhan aku
melihat wanita bermata sepet itu. Aku kenal dia. Aku pernah berborang dengannya. Kim!
Wanita Korea yang aku temui di Sihanoukville beberapa hari lepas, dia juga dalam perjalanan
ke Ho Chi Minh untuk menyambut keluarganya.
Imigresen kedua-dua negara di sempadan ini longgar. Kelonggaran itu bukan sahaja
disebabkan sistemnya, tapi disebabkan petugas-petugas yang tidak bermaya. Ah, selepas 8
jam bekerja siapa sahaja yang masih bertenaga?
Selesai proses mengecop passport, kami menanti van yang akan membawa kami ke tempat
perhentian bas. Dan disana kami akan mengambil sleeper bus menuju ke Ho Chi Minh. Di
situ aku berkenalan dengan Huong, pelancong yang berasal dari Vietnam dan menetap di Ho
Chi Minh. Beberapa masalah terjadi, pertama aku belum tempah hostel atau guesthouse di Ho
Chi Minh, kedua aku masih belum punya wang Vietnam, ketiga aku tak punya sim card.
Dengan bantuan Kim, aku menukar wang USD ke Vietnam Dong di sebuah restoran
berdekatan walau dengan tukaran yang kurang setimpal. Sampai di perhentian bas, Huong
membantu aku mencari sim card tapi kedai yang menjual sim card itu tidak mempunyai
pemotong sim. Masalahnya bas ini akan tiba di Ho Chi Minh pada jam dua pagi, di stesen bas
lokal yang tak ramai manusia boleh berbahasa Inggeris menurut Huong.
Huong menepuk bahu aku perlahan sambil berkata, Dont worry, you can stay in my house.

Aku tersenyum, semua masalah selesai dengan jemputan itu.

Part 2

Jarum pendek hampir-hampir bercumbu dengan angka tiga. Langit gelap cuma diterangi
samar-samar cahaya rembulan yang setia. Bintang tiada, merajuk dengan manusia. Angin
sejuk bertiup tak tentu hala. Deruman enjin bas yang bersaing dengan pekikan suara daripada
kerumunan manusia menafikan kesunyian malam ini.
Kata Huong, rumahnya tak jauh daripada sini. Tapi sebelum ke rumahnya, kami perlu ke
rumah orang tuanya dahulu untuk mengambil motornya. Untuk ke rumah orang tuanya, kami
menaiki teksi motor yang entah sakti apa digunakannya boleh memuatkan tiga orang dewasa
bersama sebuah backpack besar.
Motor diberhentikan tiba-tiba di tepi jalan.
Duduk. Kamu duduk sahaja di atas motor! Pesan Huong sambil turun daripada motorsikal
dan berjalan kaki entah ke mana. Motorsikal berhenti kira-kira 400 meter dihadapan. Huong
naik semula dan perjalanan diteruskan ke rumah ibunya.
Apa yang berlaku? Aku separuh keliru, tidak faham dengan situasi yang berlaku.
Oh, tak nampak ke tadi ada polis? Di sini, motorsikal cuma untuk dua orang, kalau bertiga
kena tahan, aku mengangguk perlahan sambil tersenyum. Sukar ya menjadi rakyat, sudahlah
wang tiada, nasib pun tak terbela.
Aku sampai di rumah Huong sejam sebelum azan subuh berkumandang. Rumah Huong
adalah kediaman sederhana yang kemewahannya cumalah kebaikan yang tidak bertepi.
Huong sudah berkahwin, cuma isteri dan anaknya berada di kampung sewaktu kami tiba.
Rumah ini kalau diukur dengan saksama barangkali lebih kecil daripada flat kos rendah yang
dibahagi dua atau barangkali tiga. Di ruangan yang besarnya tidak lebih daripada 1/3 saiz
rumah flat di Malaysia, apa yang bermain di fikiranmu kawan? Lebih banyak peluh dan air
mata yang tumpah ke tanah disini berbanding tanah air kita.
Motorsikal dimasukkan ke dalam rumah. Di luar cuma lorong sempit yang muat dilalui dua
biji skuter, yang tidak memungkinkan pemilik motor meletakkan motornya di luar rumah.

Selesai menyapu dan menyiapkan ruang tamu sebagai tempat tidurku, Huong menepuk
bahuku sambil berkata, Tidurlah kawan. Jangan risau, pagi nanti aku akan kejutkan kau.
Aku mengambil wudhu untuk menunaikan solat jama maghrib dan isyak. Selesai solat
subuh, aku melelapkan mata, bermimpi tentang kebaikan-kebaikan manusia yang aku temui
sepanjang hidupku. Ah, tiba-tiba aku teringat pesan Dumbledore kepada Harry Potter, In
dreams, we enter a world that's entirely our own.
Aku dikejutkan dengan bunyi derapan kaki manusia yang menuruni tangga.
Good morning Amirul! I have to go to work, do you want me to send you anywhere or you
just want to stay home?
Good morning! Could you please send me to Pham Ngu Lao st. I need to find room there,
rasa tak manis pula untuk bertandang lebih lama kerana mungkin isteri dan anaknya akan
pulang hari ini.
Eh? Tinggal sahaja disini. Nevermind. Dont worry about me. Im glad to have you here, di
rumah sesederhana ini, apa yang perlu untuk meneruskan kehidupan cumalah kasih sayang,
persahabatan dan kebaikan.
Tidak mengapalah Houng, sudah terlampau banyak kebaikan kamu yang saya nikmati, aku
menolak dengan senyuman yang paling ikhlas.
Dalam perjalanan ke Pham Ngu Lao st. Huong memberhentikan motornya di hadapan sebuah
masjid.
I saw you pray last night. Kamu muslim? Sunni atau syiah?
Sunni.
Ah, jadi mungkin kamu mahu berkenalan dengan muslim disini. Just say hi to them.
Aku menghadiahkan senyum kepada beberapa batang tubuh yang ada dihadapanku, teringin
sekali untuk turun bersalam dan berborak bersama mereka tapi aku bimbang Huong terlambat
ke tempat kerjanya.
Kebaikan.
Aku percaya kebaikan tu bukan hak milik mutlak sesuatu agama, bangsa atau negara.
Kebaikan itu adalah pilihan yang boleh dan berhak dipilih oleh sesiapa sahaja. Yang

beragama atau tidak, yang berkulit cerah atau gelap, rakyat dari negara maju atau mundur,
semua punya pilihan untuk menjadikan kebaikan sebagai jalan hidup mereka. Tak ke?

***
Namanya Abdullah Sani atau barangkali Abdullasani. Tanah lahirnya, Temasek atau
seringkali anak-anak muda menggelarnya Singapura. Wataknya sederhana, fizikalnya
sederhana, rumahnya sederhana, keretanya sederhana, semuanya sederhana melainkan
hatinya. Hatinya luar biasa luasnya.
Ku gelarnya Atuk. Semua menggelarnya Atuk.
Atuk suka tengok orang makan. Sebab tu, atuk suka ajak kamu makan, aku ketawa.
Umurku masih mentah saat itu, aku tak faham bagaimana nikmatnya sebuah pemberian.
Dan saat menulis tentang kebaikan aku jadi teringat tentang atuk, tempat aku berteduh
menumpang hangat dan kasihnya seorang bapa daripada keluarga yang berbeza. Kata mama,
Dia orang baik. Sebab tu Allah ambil nyawanya di tanah suci, selepas menunaikan haji.
Moga kau ditempatkan dalam golongan para solihin wahai Haji Abdulasani. Al-fatihah.

***
Pham Ngu Lao st adalah syurga backpackers. Hostel dimana-mana, restoran bergelimpangan,
Ben Tanh Market jauhnya lontaran batu cuma. Pagi itu aku manfaatkan seluruhnya untuk
mengumpul cebis-cebis tenaga yang tersisa. Perjalanan panjang yang melelahkan malam tadi
benar-benar memerah seluruh tenaga.
Dengan bantuan peta, aku keluar daripada hostel dan menuju ke masjid yang terdekat. Dua
kilometer jaraknya dari hostel.
Hey you! Motorbike? aku memandang beberapa pemandu teksi motor yang menawarkan
khidmatnya. Benarlah kata orang, orang-orang Vietnam ini agak kasar tingkah dan bicaranya.

Nevermind, aku menolak dengan isyarat tangan dan senyuman, tapi mereka malah
memarahi aku. Barangkali inilah kesannya kesempitan hidup. Di bandar besar yang pesat
membangun ini, wang adalah raja, wang adalah segala-galanya.
Dalam perjalanan menuju ke masjid, aku sempat singgah di Jalan Malaysia untuk menikmati
kopi Vietnam yang dicanang-dicanang keenakannya. Aku sisip kopi itu perlahan-lahan, air
mengalir melalui tenggorokoan, menyentuh lelangit sebelum mencium tekak. Enaknya bukan
khabar angin kawan, enaknya bukan tandingan!
Masjid sunyi, hanya ada beberapa kanak-kanak yang bermain di perkarangan masjid. Masih
panjang waktunya sebelum matahari bergeser hampir ke bumi untuk memberitahu sudah
gilirannya untuk manusia menunaikan solat asar. Beberapa jam tersisa sebelum manusia
boleh berehat beberapa minit, menyembah dan mengagungkan yang Maha Esa setelah
seharian berusaha dan berfikir hal-hal yang berkaitan dengan dunia.
Selepas menunaikan kewajipan agama, aku ke Saigon Central Post Office. Pejabat pos yang
terkenal dengan senibinanya yang memukau mata. Hasil pengaruh senibina Gothic dan
Perancis, bangunan ini tersergam indah berhadapan dengan gereja terkenal Notre Dame yang
tak kalah menawan.
Orang seni, bicaranya tanpa kata. Tulisannya tanpa perkataan. Keindahannya bukan
bangunan. Tapi cinta dan keghairahan yang mereka sematkan. Hingga beratus bahkan ribuan
tahun pun masih dikenang dan dikagumi hasil kerja mereka.
Aku meloloskan diri dalam kerumunan manusia. Hingar-bingar pelancong yang datang
berbondong-bondong seketika membuatkanku tenggelam dalam keamanan. Di hujung sana,
beberapa orang gadis sedang tekun menulis, entah poskad atau surat. Di atas tangga itu, anakanak kecil sedang berlari. Ada bayi yang sedang menangis, barangkali merasa tidak selamat
di tempat seperti ini.
Aku keluar.
Menghadap tepat patung Jesus yang dibina di hadapan gereja. Di hadapannya ada seorang
lelaki tua yang mengumam hajat tanpa suara. Di sebelah kirinya seorang wanita menutup
mata, bibirnya bergerak ke atas dan ke bawah - juga tanpa suara, tapi membawa harapan agar
Tuhan mengabulkan doanya.

Agama, seringkali memberikan harapan kepada manusia. Dan harapan, seringkali


membuatkan manusia terus cekal meneruskan kehidupan.
Aku berpatah arah menuju ke Ben Tanh Market semula. War Remnants Museum dan
Independence Palace akan aku lawati esok, kalau Tuhan izinkan.
Dalam perjalanan itu, aku sempat mengagumi indahnya Saigon Opera House yang juga
dibina oleh Perancis sewaktu penjajahannya. Penjajahan, sebuah memoir pahit yang
kadangkala ada juga sisi manisnya.
Matahari hampir terbenam sepenuhnya saat aku sampai di Ben Tanh Market. Peniaga sedang
sibuk menyiapkan tempat, pelancong sudah mula meramai, kenderaan sudah mula
diharamkan melalui jalan yang telah diwartakan sebagai pasar malam itu. Bapa-bapa ayam
sudah mula keluar daripada tempat persembunyian, penjaja juga tidak terkecuali. Semuanya
bersaing demi sesuap nasi esok hari.

-----

Hampir-hampir aku putus asa pagi itu. Yang dicari tak jumpa sedang waktu menghimpit dan
mentertawakanku. Aku keluar daripada hostel untuk mencari tempat penginapan baru. Hostel
ini kurang selamat menurut fikiranku, biliknya tak boleh berkunci, kunci lokernya boleh
membuka semua pintu. Itu pun aku sedar lepas loker aku diceroboh malam tadi.
Banyak sebenarnya hostel, hotel dan guesthouse sekitar kawasan ni. Tapi untuk mencari
tempat penginapan yang murah, selesa dan selamat perlukan sedikit usaha. Setelah
menghabiskan masa hampir sejam mencari, aku ke tempat berkumpulnya pelancong yang
akan ke Mekong day tour. Backpack aku tinggalkan di pejabat syarikat yang menjual pakej
tour, aku akan mencari tempat tidur sekembalinya ke sini.
Aku pelancong terakhir yang menaiki bas yang memuatkan kapasiti 40 jasad manusia.
Rupanya pelancong-pelancong dalam bas itu dibahagikan kepada dua kumpulan, yang
dibahagian hadapan adalah pelancong-pelancong yang boleh berbahasa inggeris dan yang
dibahagian belakang adalah pelancong-pelancong dari Jepun. Tapi sialnya, hari itu nasib tak
menyebelahiku. Cuma ada satu tempat kosong, di belakang sekali bersama pelancongpelancong dari Jepun.
Aku cuba memasang senyum tapi tak dihirau oleh mereka. Dihimpit dengan orang-orang tua
yang sudah hilang sifat ramahnya membuatkan perjalanan itu tidak lagi menyeronokkan.
Perjalanan itu menghampiri daerah hitam putih tanpa warna dan yang lebih menyebalkan,
tanpa suara.
Turun daripada bas, kami diasingkan. Ah, akhirnya!
Tidak banyak yang aku boleh aku ceritakan untuk hari ini. Ah, serasa mengikuti trip seperti
ini bukanlah jiwaku. Aku boleh menulis panjang tetapi nanti tulisan itu tak bernyawa,
membosankan dan penuh penipuan.

Untuk aku, hari ini adalah hari yang membosankan. Ya, cuma dalam kebosanan itu dapatlah
merasa menaiki sampan dan kapal besar menyusuri Sungai Mekong yang luar biasa
panjangnya mengairi beberapa negara. Dan dalam kebosanan itu, aku dihidangkan dengan
nasi yang berlaukkan daging babi walau dari awal sudah aku minta makanan vege. Dalam
perjalanan pulang, kami dibawa ke sebuah kuil Buddha yang aku lupa namanya. Tapi melihat
kepada indah dan halusnya setiap ukiran dan binaan itu, aku yakin tempat suci ini terkenal di
mata dunia.
Aku pulang.
Sampai di bandar Ho Chi Minh, aku terus ke masjid untuk menunaikan solat jama zohor dan
asar. Di hampir-hampir hujung waktu yang tersisa sebelum azan maghrib berkumandang
cuma terperap dalam ruang masjid yang sederhana. Tidak seperti di Malaysia, azannya
bergema sehingga ke angkasaraya.
Selesai menunaikan solat, aku ke pejabat syarikat travel and tour itu semula untuk mengambil
backpack dan mencari tempat tidur. Oleh sebab penat yang teramat, aku terus ke hostel yang
letaknya berhadapan dengan pejabat ini. Harganya murah, walau biliknya tidak boleh dikunci
tapi lokernya selamat. Ah, saat-saat begini keselamatan adalah prioriti, keselesaan tidur itu
adalah perkara kedua, ketiga atau kesepuluh dalam senarai panjang prioriti sepanjang
kembara.
Dalam hostel, 3,4 katil sudah terisi. Aku memilih untuk di hujung sekali betul-betul
berhadapan dengan kipas. Selang satu katil ada wanita dari China, yang aku tak sempat
berkenalan pun dengan dia. Berhadapan dengan katilnya adalah seorang pemuda dari United
Kingdom, pelajar master yang menamatkan pengembaraan dua bulannya disini. Esok dia
akan kembali ke tanah air nya semula, menyambung pelajaran dan meneruskan kehidupan.
Dia berkongsi cerita perjalanannya beberapa ketika. Berkongsi maklumat dan segala memori
berbulan-bulan lamanya di Asia Tenggara. Satu pesannya kepada aku,
Waktu muda adalah waktu untuk kita mengembara sejauh-jauhnya. Carilah pengalaman
sebanyak-banyaknya. Nanti bila dah tua, sekurang-kurangnya kita ada modal nak bercerita
dengan cucu-cucu kita.
Aku tersenyum. Dia meminta diri untuk kembali ke katilnya, esok penerbangannya awal
pagi, dia perlukan rehat secukupnya. Terbantut hasrat untuk mengajak dia keluar makan

malam bersama, pertemuan yang Tuhan takdirkan, barangkali diletakkan sekali dengan waktu
luput atau waktu tamatnya.
Di jalan Malaysia, deretan restoran-restoran halal bersedia menerima pengunjung. Perjalanan
masih panjang, poket perlu dijaga tebal kempisnya. Selain daripada deretan restoran yang
menghidangkan beriyani, ada satu gerai yang menjual roti Vietnam. Ya, macam sandwich.
Harganya pun berpatutan.
Malam itu, aku menikmati makan malamku di taman yang terletak berhadapan dengan Ben
Tanh Market. Meriah. Di hadapan aku, anak-anak kecil bermain roller blade, di tepi sana
beberapa orang pemuda bermain sepak bulu ayam dan di hujung penglihatan sana,
sekumpulan penari menghiburkan kami.
Padanlah orang-orang Vietnam tak ada yang buncit! gumamku sendiri.

-----

Usai menunaikan solat subuh, aku menghenyakkan kembali tubuh ke katil. Jari ligat menari,
melorot setiap inci skrin telefon bimbit, mengamati pesan-pesan daripada keluarga dan
teman. Sesekali aku membuang pandang ke jalanan sepi, yang masih berbalut kegelapan dan
kesunyian nyaman tanpa kenderaan.
Ting!
Lelapku terganggu dengan bunyi notifikasi daripada telefon bimbit, ada pesanan yang baru
diterima. Matahari sudah berdiri teguh, sedia berkongsi cahaya dan menghangatkan seisi
bumi. Aku menyemak notifikasi bar, meloroti setiap notifikasi yang baru dan yang lama.
Antaranya,
Okay, aku dah dalam kapal. See you soon.
Khairiel. Akhirnya Tuhan mencantumkan semula mimpi kami yang tercerai seketika. Yang
buat seketika dahulu, bikin gundah dan resah. Yang ada waktunya, kelihatan mustahil untuk
tercantum semula. Tapi Tuhan selalu sahaja bekerja dalam rahsia.

***
Hari ni rasanya dah boleh discharge dah.
Alhamdulillah. Nanti dah konfem nak beli tiket bagitahulah tarikh.
Orite.
Jeda beberapa jam.

Salam aslam. Bad news. Ada bad news. Parents aku tak bagi pergi. Sampai ke nenek pun tak
bagi pergi.
Sejauh mana kaki melangkah, sehebat mana jangkaan ditelah, serapi mana rancangan
dipasang, takdir selalu sahaja meletakkan kita di tempatnya, pada waktunya, pada situasinya.
Buktinya? Ini.

***
Backpack aku tinggalkan, beberapa barangan berharga aku kuncikan dalam loker. Aku keluar
daripada hostel untuk ke lapangan terbang. Tempat laluan bas ke Lapangan Terbang letaknya
lebih kurang satu kilometer dari hostel ini.
Dengan berbekalkan panduan daripada Google Maps dan keyakinan diri yang menggunung,
aku berdiri di hadapan sebuah bank. Di situlah bas akan berhenti untuk mengambil dan
menurunkan penumpang. Selang beberapa minit, bas yang sepatutnya aku naiki, melintas tapi
tak berhenti. Eh?
Aku menoleh ke belakang, pengawal keselamatan yang berjaga di hadapan pintu bank itu
bertukar senyum denganku. Aku memulakan bicara, bertanya betulkah bas akan berhenti
disini.
No. English no.
Argh!
Sebuah lagi bas melintas, aku nekad mengejar bas itu. Dan kalau kau melihat babak ini
kawan, pasti kau akan tertawa sambil menekan-nekan perutmu. Pernahkah kau melihat
manusia mengejar kenderaan yang bergerak? Manusia siuman maksudku. Dan yang dikejar
itu adalah sebuah bas, dengan muatan penuh 44 manusia yang terpandang-pandang
kehairanan.
Bas berhenti, tapi bukan kerana kasihan kepadaku melainkan kerana lampu isyarat bertukar
merah. Aku mengetuk pintu minta simpati, tapi ditenung tajam bahkan dihalau sang
pemandu.
Kembali ke hadapan bank itu semula. Aku tidak punya pilihan melainkan bertanya dengan
pengawal keselamatan yang tersenyum-senyum melihat tingkahku mengejar bas sebentar

tadi. Ku suakan telefon bimbit, memberitahu aku sedang menunggu bas. Ku tunjukkan
gambar perhentian bas, barulah difahami dan ditunjukkannya tempat perhentian bas yang
sebetulnya. Akhirnya.
30 minit berselang, bas berhenti betul-betul di hadapan pintu ketibaan antarabangsa. Dalam
kerumunan manusia itu, Khairiel pun muncul dengan backpack 30ltr, sling bag dan kamera
barunya.
Selang beberapa ketika, pemandu bas pun datang dan menghidupkan enjin. Dan tanpa dia
ketahui, dia juga telah menghidupkan harapan kami untuk melihat negeri yang menyimpan
berjuta misteri ini.
Kami memilih untuk turun di perhentian bas yang terletak berhadapan dengan Ben Tanh
Market. Kaki melangkah ke hostel, tempat aku menginap semalam. Aku harus mengemas
untuk berpindah tempat. Oleh sebab, hostel ini tidak memberikan harga bilik seperti yang
ditawarkan semalam, sebelum ke lapangan terbang aku mendapatkan sebuah bilik yang lebih
selesa di sebuah guest house yang letaknya tidak jauh dari situ. Di jalanan yang sama.
Saat aku ingin menyerahkan kunci, eh si pekerja yang tadi pagi berlaku sombong kepadaku
mulai meramah. Ditanya, sudahkah aku mendapatkan penginapan yang baru. Ku balas :
sudah, ditanya pula : berapa harganya? Ku balas : sekian-sekian, eh ditawarnya harga yang
lebih murah. Ku balas dengan senyuman dan lambaian, semuanya telah terlewat.
Hampir 20 minit mencari guest house yang sepatutnya kami diami masih tak bertemu. Ke
sana, ke sini. Sehingga ke hujung jalan, berpatah semula masih tidak bertemu. Masuk ke
lorong ini, bukan! kataku. Guest house itu letaknya di pintu masuk lorong, tidak terlalu
dalam kataku penuh yakin. Khairiel mengalah, aku lebih tahu.
Kaki melangkah lagi, masuk ke lorong selepas itu. Bukan juga kataku. Lorongnya bukan
seperti ini. Seharusnya ada kedai makan di hadapan guest house, dan sebelum bertemu guest
house itu ada rumah urut.
Melangkah terus semakin jauh daripada jalan utama, aku tahu ini bukan jalannya. Terlalu
jauh rasanya kaki melangkah, kataku dalam bahasa yang lebih murni.
Bukan kat sini. Tak mungkin dekat sini.
Baru sampai dah sesat.

Kami berpatah arah. Memasuki lorong pertama yang kami temui tadi. Saat aku dengan penuh
yakin berkata bukan! itu. Guest house itu sebenarnya sedikit ke dalam. Jika sahaja kami
masuk lebih dalam sebentar tadi.
Beberapa meter yang tidak terlihat itu membuatkan tenaga kami hampir habis. Semangat
kami rentung dibakar matahari yang terik tidak kasihan. Tapi kami lega, sekurang-kurangnya
kami berjumpa.
Sebelum masuk ke bilik untuk meletakkan beg, kami menempah half day trip ke Cu Chi
Tunnel. Tempat bersejarah yang dibangga-banggakan rakyat Vietnam. Bukti kebesaran
mereka, bukti bahawa mereka adalah bangsa kuat tak terkalahkan dengan meriam dan peluru.
Juga menjadi inspirasi bahawa dengan usaha tidak ada satu perkara pun yang mustahil di atas
dunia.
Cerita tentang sesat itu masih belum hilang daripada memori. Tawa masih tersisa, masingmasing saling menyalahkan, tentu sahaja sebagai gurauan penghilang penat.
Makan tengahari kami hari itu adalah sepinggan nasi beriyani yang dihidangkan oleh rakyat
Malaysia. Ahhhhhh. Nikmatnya merasa butir-butir nasi pertama yang disaluti aroma rempah
istimewa daripada tanah India, dikunyah perlahan, melalui tenggorokan dan akhirnya
memenuhi perut yang kelaparan. Bukankah kita mula menghargai sesuatu tatkala kita sukar
untuk mendapatkannya dan terlebih sering saat kita kehilangannya?
Pulang semula ke bilik untuk menunaikan solat jama zohor dan asar sebelum berangkat
mengikut trip ke Chu Chi Tunnel. Gopoh-gapah mengejar masa kerana jarum jam hampirhampir bercumbu dengan angka 12. 30 minit lagi sebelum kami dijemput oleh staf syarikat
yang mengendalikan trip itu. Sampai di bilik, barulah kami sedar; kami sedang berada di
Vietnam sedang jam itu masih patuh mengikut aturan masa Malaysia yang cepat sejam. Dan,
masa pun menertawakan kebodohan kami berdua.
Puas ketawa, perut aku terasa sakit. Ngilu, seperti dihiris oleh kekaca tajam. Pedih, yang
selayaknya aku merintih. Aku menyentuh kawasan itu dan tersedar baju yang dipakai telah
terkoyak lebih kurang 10cm ukurannya. Ku selak bajuku, ternyata ada garis-garis luka
panjang akibat dilanggar motosikal semasa dalam perjalanan ke kedai makan tadi.
Uishhhh. Mesti sakit!
Tak, aku tenang sambil tahan sakit. Hilanglah sifat kejantanan kalau aku mengaku sakit.

Selesai solat jama zohor dan asar, kami turun ke bawah untuk trip ke Chu Chi Tunnel. Ikut
kata apek yang jaga guest house ni, staf daripada syarikat tour tu akan datang dan bawa kami
ke tempat berkumpul.
Sementara menunggu tu, kami bincang tentang perjalanan ke beberapa tempat sebelum
Hanoi. Ikut apa yang dah kami bincangkan, sebelum sampai ke Hanoi, kami akan singgah ke
Mui Ne, Hoi An, Danang dan baru lah ke Hanoi. Jadi, pengangkutan yang paling murah
untuk perjalanan ni adalah open sleeper bus.
Open sleeper bus ni ditawarkan oleh banyak syarikat tour di sekitar kawasan Pham Ngu Lao
St. Dan kebiasannya di guest house pun ada tawarkan, jadi kami tanyakan harga dekat apek
tadi, tapi mahal. Julat harga dia daripada 700,000 dong sampai 1,200,000 dong. Malam
sebelumnya aku dah survey beberapa kedai, dan yang termurah adalah 700,000 dong. Tapi
apek ni tawarkan harga 900,000 dong, jadi kami tak ambil daripada dia.
Beberapa minit kemudian, staf daripada syarikat tour tu pun sampai dan menjemput kami
dengan senyuman. Ok, tak. Aku tipu. Tanpa senyuman. Dan jemput lagi beberapa orang
daripada guesthouse berdekatan yang akan mengikuti trip yang sama.
Perjalanan ke Chu Chi Tunnel boleh tahan jauh, ditemani oleh pemandu pelancong wanita
yang aku kira berjuang sehabis tenaga untuk menterjemah setiap butir kata. Bayangkanlah
kawan, untuk mengulang ingat fakta-fakta sejarah beberapa tempat, keunikannya, namanya
dan akhirnya menerjemahkan setiap maklumat itu dalam bahasa asing. Katanya, dia cuma
menggantikan pemandu pelancong yang tiba-tiba terlibat dengan hal kecemasan. Bahasa
inggerisnya boleh dipuji, boleh difahami.
Bersama dalam perjalanan itu adalah beberapa kumpulan daripada Filipina, United Kingdom,
Poland dan tentulah delegasi Malaysia yang diwakili oleh dua kanak-kanak yang sederhana
tingginya.
Chu Chi Tunnel adalah kebanggaan rakyat Vietnam. Perjuangan darah dan nyawa. Keringat
serta air mata. Semangat dan kecekalan. Bukti-bukti kebijaksanaan mereka sehingga mampu
hidup dan meneruskan perjuangan di bawah lorong-lorong sempit yang gelap tanpa
kehidupan.
Bayangkan kawan, membina saliran udara sehingga ke bawah tanah. Membina cerobong
asap, tanpa berjaya dihidu anjing-anjing musuh. Mengubah senjata-senjata Amerika, sehingga
akhirnya senjata itu menikam tuannya kembali.

Ratusan hari mereka bertahan di bawah tanah, bersama teriakan anak-anak kecil yang lahir di
habitat cacing dan tikus. Pahlawan-pahlawan tak terkalahkan sesekali muncul daripada
terowong-terowong yang tak tersangka oleh musuh. Menembak, menghancurkan dan
memusnahkan kubu lawan tanpa kasihan kemudian kembali berselindung melalui terowongterowong yang tidak mampu dikesan oleh tentera Amerika.
Dan akhirnya, berkat perjuangan mereka. Amerika mundur. Rancangan untuk membasmi
komunis gagal. Sebuah peperangan yang mengajar kita, semangat itu lebih utama daripada
senjata.
Pemandu pelancong wanita itu tersenyum ke arah kami berdua. Kami antara yang paling
bersemangat memasang telinga.
Di tengah perjalanan, kami dibawa ke lapangan senjata. 350,000 dong terbakar oleh pelurupeluru senapang yang terhala entah ke mana. Ah, apalah dihiraukan wang, bukankah
pengalaman itu yang lebih utama?
Kemudian ditunjukkan kepada kami, perangkap-perangkap gila yang dibina oleh nenekmoyang mereka. Yang terkena, bersiaplah untuk paling tidak cacat anggota. Itu pun kalau
bernasib baik tetapi terlebih sering nyawalah yang terkorban dalam setiap perangkap dan
jerangkap yang dibina dengan tangan manusia yang cintakan negara mereka.
All built by man power, no machine! Ini semua dibina oleh manusia, tanpa mesin!
Berkobar-kobar pernyataan ini diluahkan oleh si pemandu pelancong. Jelas terpancar
semangat daripada matanya yang menyala-nyala dan bibirnya yang tersenyum bangga.
Di akhir perjalanan, kami dihiburkan dengan ubi kayu bersama teh manis, makanan ruji
nenek-moyang mereka sewaktu berjuang demi negara yang tercinta. Juga makanan ruji
nenek-moyang kita di Malaysia suatu ketika dahulu, masihkah kau ingat sejarah kita kawan?
Sesekali terdetik, sebegini patriotik kah mereka? Apa semua rakyat Vietnam berbangga dan
menyokong penuh pimpinan Ho Chi Minh melawan Amerika?
Kalau ya, tentulah berbeza sekali dengan kita orang-orang muda di Malaysia. Sejarah cuma
sebuah subjek membosankan yang teksnya dihafal dan dikunyah kerna merupakan antara
subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia.

Bangga? Ahhhhh, kita malahan tertidur saat guru menceritakan perihal Tok Janggut dan Dato
Bahaman yang melawan penjajah. Bahkan, saat mendengar perkataan sejarah itu pun kita
sudah mencebik dan menarik nafas panjang.
Kita orang muda, terlampau sering terleka.
Dalam perjalanan pulang, aku duduk disamping Jasper, pelancong dari Filipina. Sakan
boraknya, melihat gambar-gambar pengembaraannya di Macau, Hong Kong, Malaysia dan
beberapa lagi negara. Kemudian bertukar-tukar Facebook dan emel sebelum terpisah kembali
di titik awal perjalanan kami. Pertemuan, tidak pernah ada yang kekal, pasti ada noktahnya.
Kami pulang semula ke guest house untuk menyiapkan diri dan berehat sebentar sebelum
mula menapak ke tempat-tempat menarik yang terjangkau oleh kaki.
Menjejak kaki ke luar, gerimis juga mulai mengintai. Tapi kami tak peduli, kami meneruskan
langkah dengan berani, kerna ini sahaja masa yang kami punya untuk melawat tempat-tempat
menarik di Ho Chi Minh. Esok pagi kami merancang untuk mengambil bas ke Mui Ne,
negeri pesisir pantai yang terkenal dengan White dan Red Sand Dunes.
Sebelum itu, kami singgah terlebih dahulu di syarikat tour yang menawarkan harga tiket open
sleeper bus termurah berdekatan dengan Ben Tanh Market. Puas meminta harga yang seperti
dijanjikan sebelumnya, terdetik pula rasa tidak percaya dalam diri kami. Mungkin bas yang
bakal kami naiki itu bukan jenis sleeper bus sebab itu harganya murah, atau barangkali
keadaan bas itu teruk dan bermacam-macam perkara yang kami bincangkan yang awalnya
bermula dengan sepotong ayat keraguan,
Entah-entah dia tipu kita.
Tapi akhirnya, staf syarikat itu berjaya meyakinkan kami. Kami pun membayar senilai
USD35, untuk perjalanan panjang dari Ho Chi Minh atau Saigon ke Hanoi.
Selesai urusan pembayaran dan penyerahan tiket, staf syarikat itu yang dari awal tadi
berbicara dalam bahasa inggeris bertanya kepada kami, Dari Malaysia ke?
Ahhhhh, rupa-rupanya si penjual tiket ini adalah rakyat Malaysia yang bermastautin di bumi
Vietnam. Sudah tiga tahun lamanya disini, barangkali ini adalah syarikat keluarganya.
Weh, maksudnya dia faham lah yang kita cakap dia nak tipu kita tadi?
HAHAHAHA. Takpe, memang hak kita lah nak rasa tak percaya, kita kan customer.

Di Ben Tanh Market, kami tidaklah bernafsu untuk membeli barang-barang murah yang
diniagakan kerna perjalanan baru sahaja bermula. Sekadar membeli fridge magnet dan
sebatang payung untuk melindungi kamera baru yang masih tercium bau kedai daripada
badannya.
Kami berhenti sejenak, berehat di Jalan Malaysia sambil menikmati kopi Vietnam. Tapi
sayang, bersulam jugalah rasalah kecewa kerna malam ini gerai yang menjual sandwich
Vietnam yang halal tidak dibuka.
Tapi tak mengapa, perjalanan diteruskan ke War Remnants Museum, Saigon Central Post
Office, Notre Dame, Saigon Opera House dan akhir sekali ke tugu Ho Chi Minh. Semuanya
tempat-tempat biasa yang menawarkan latar indah untuk dibekukan dalam sekeping foto.
Sepotong ayat yang aku ingat daripada Khairiel,
Cantik. Tempat ni cantik kan? Mana ada dekat Malaysia. Cuma kau kena buka mata dan
tengok kecantikan dia.

Pulang ke guest house, pagar sudah berkunci. Maafkanlah dua anak muda yang menganggu
tidurmu wahai apek budiman. Impian kami untuk menikmati semangkuk maggi terpaksa
kami lupakan, tak sanggup mengejut apek sekali lagi semata-mata untuk mendidihkan air
buat kami.

-----

Letih adalah candu paling kuat yang membuatkan kita terus terlena. Ditambah hasutanhasutan syaitan yang menggoda, kami sedikit terlewat menunaikan solat subuh tapi masih
dalam waktunya. Usai subuh, kami bergaduh tentang siapa yang sepatutnya mandi dahulu.
Bas ke Mui Ne dijadualkan berlepas pada jam 8:00 pagi dan dijangka tiba jam 1:00 petang.
Kalau ikutkan mata, memang sewajibnya tidur lepas solat subuh tapi disebabkan mengikut
akal, maka bersengkang mata lah kami melawan ngantuk dengan mandi. Disebabkan malam
semalam perut tak terisi, maka kami merancang untuk makan semangkuk maggi sebelum
bertolak ke Mui Ne.
Maafkan kami lagi sekali wahai apek, terpaksa menganggu tidurmu seawal ini.
Setelah proses demokrasi berlangsung, aku terpilih untuk turun ke bawah, mengejutkan apek
dan meminta air panas. Di bawah, seorang wanita berkulit putih sedang khusyuk membaca
buku, dan aku cuma berbasa-basi menegurnya.
Dalam pukul 8:00 pagi, kami bergerak ke kedai yang menjual tiket bas semalam. Melalui
lorong-lorong yang baru terjaga daripada lena dan melihat wajah-wajah yang sudah lali
dengan kasarnya dunia. Bolehkah aku bisik ke telinga mereka kata-kata hikmah, agar mereka
terus tidak berhenti berharap dengan rahmat yang Maha Esa?

Kedai penuh dengan puluhan manusia yang majoritinya adalah manusia-manusia yang tinggi
fizikalnya, besar tubuhnya dan cerah kulitnya. Terselitlah dua anak muda, yang tingginya
cuma daripada mereka, terpisat-pisat dalam kerumunan manusia.
Beberapa minit menanti, akhirnya kami dibawa ke bas yang menuju ke Mui Ne. Sebelum
menaiki bas, sempatlah kami menikmati gelagat manusia di taman itu. Melihat perbarisan
oleh polis-polis pelancong yang siap menjalankan amanah menjaga manusia-manusia yang
tidak pun sebangsa dengan mereka.
Perjalanan dari Ho Chi Minh ke Mui Ne ibarat dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Dalam 4
hingga 5 jam perjalanan dengan kelajuan sederhana. Ahh, masa bukan lah komoditi berharga
di negara-negara yang terhimpit dengan ekonomi yang tidak menentu ini.
Melirik masuk ke negeri Mui Ne, aku terjaga daripada lena. Pesisir pantai yang terhias
dengan pasir putih dan air yang biru. Berpuluh-puluh hotel mewah tersedia, tetapi sayang
bukan untuk aku. Jalannya pun tidak sibuk, cuma sesekali terusik dengan bas-bas pelancong
yang sarat dengan manusia.
***
Apa maksud kaya bagi kau? dia dah mula dah dengan soalan random dia semacam biasa.
Kaya? Banyak duit, banyak harta, banyak aset, positive cashflow yang berlambak setiap
bulan, jawapan klisye, apa lagi yang nak difikirkan bila orang sebut kaya, tak ke?
Seriuslah itu yang kau rasa pasal kaya?
Habis apa lagi yang nak difikir bila sebut pasal kaya? Yang kau tanya ni, kira kaya atas
dunia kan?
Iya. Habis kalau orang tu ada harta banyak tapi ditarik segala nikmat yang dia ada, kita
consider dia sebagai kaya lagi ke macam mana? Cuba kau lah, aku bagi kau sejuta, tapi dalam
masa yang sama kau hilang keluarga kau. Kau rasa diri kau kaya ke?
Kaya, tapi aku takde keluarga lah.
Muka dia makin berkerut.
Entahlah, tapi aku rasa aku ada fikir sesuatu pasal kaya ni? Bila tengok kisah-kisah orang
kaya yang bangga dengan apa yang dia ada. Pak-pak menteri yang dibenci oleh rakyat jelata.
Manusia-manusia yang ada berjuta-juta duit dalam akaun tapi ditarik pula bermacam-macam

nikmat. Aku rasa kaya ni bukan tentang harta, tetapi seluas mana ruang yang diberi Tuhan
untuk kita membuat pilihan.
Hm. Tapi tadi yang kau kata nak bagi sejuta kat aku tu betul-betul kan? Kalau tak sejuta pun
takpe, kau belanja aku KFC pun aku dah kira kaya.
Susah dapat kawan yang tak pernah serius.

***
Bas berhenti betul-betul di tepi laut. Laut, bukan pantai.
Angin mendayu-dayu menyambut kedatanganku, mentari tersenyum hangat, ombak berlarilari riang. Aku membalas segala keramahan itu dengan senyuman, senyuman paling indah
buat alam.
Tak jauh daripada tempat bas berhenti, ada sebuah guest house merangkap restoran dan
tempat menjual tiket bas. Oleh sebab kami bercadang untuk mengambil bas ke Hoi An pada
hari esok, jadi kami bersetuju untuk menetap disitu. Biliknya lumayan selesa, lengkap serbaserbi dengan harga yang sangat murah, RM38.
Petang ini cuaca kelihatan berpihak kepada kami. Jadi kami siapkan rancangan untuk ke
White Sand Dunes dan Lotus Lake yang terletak kira-kira 40 minit daripada guest house
dengan motosikal. Dapatkah kau bayangkan kawan, dengan kehangatan yang bersahabat,
melalui pesisir pantai dan lautan untuk bertemu dengan bunga teratai yang kembang indah di
latari padang pasir yang memutih. Dibayangkan sahaja sudah indah, apatah lagi
menikmatinya.
Lama juga kami menanti motosikal untuk disewa sambil ditakut-takutkan dengan pekerja
disitu tentang kemungkinan polis akan menahan dan kemungkinan disaman, yang sebenarnya
tujuan mereka adalah untuk menawarkan kami trip ke White Sand Dunes menggunakan
kenderaan pacuan empat roda, dengan harga yang tentulah tak terjangkau olehku.
Kami menolak. Kami orang-orang berani yang tak terkalahkan dengan ketakutan-ketakutan
yang dicipta mereka.
Semasa mengisi minyak motor, kami disapa oleh traveller dari China. Sederhana orangnya,
dengan bahasa inggeris yang terbatas. Cukup terbatas. Setelah menerangkan destinasi kami,

dia bersetuju untuk ikut serta. Pucuk dicita, ulam pun datang. Tentulah kami buka seluasluasnya pintu hati kami menyambut kesudiannya.
Motosikal ditunggang dengan kelajuan sederhana. Kamera SJCam siap sedia untuk merakam
detik-detik indah perjalanan ini. Semuanya sempurna, tanpa sedikit pun cela. Sehinggalah
tiba saat itu, saat dimana tingginya bukit memerah segala tenaga motosikal (skuter) yang
kami sewa dan akhirnya termati di tengah-tengah perbukitan itu.
Disebabkan masalah itu, aku menjadi tertekan. Ku maki hangatnya mentari. Tanpa berfikir
panjang, aku menolak motosikal entah untuk apa.
Mujur ada manusia yang lebih tenang yang merasionalkan tindakan aku.
Weh, macam ni. Kita patah balik tempat tadi lah. Minta motor baru. Tapi takkan nak naik
satu motor tiga orang?
Takpe, aku tunggu motor ni dekat sini. Korang pergi lah patah balik.
Cantik benar susunan Tuhan dalam tiap sesuatu.
Selesai urusan penukaran motor, kami pun bergerak ke White Sand Dunes dengan kelajuan
yang lebih laju. Awal perjalanan, latarnya adalah laut biru. Di tengah perjalanan, jalan-nya
masih bertar, sunyi dan berlukiskan gumuk pasir yang kemerah-merahan, tapi di penghujung
perjalanan sebelum bertemu dengan White Sand Dunes, jalannya mencabar keimanan.
Jalannya tidak berturap, batu-batu putih dan pasir membaluti jalanan. Lebih menyebalkan,
kami terpaksa bertarung dengan raksasa-raksasa jalanraya yang membawa muatan binaan
melalui jalan yang sama. Alhamdulillah, kami selamat tiba.
Indah, seperti tiupan khabar angin mereka-mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sini.
Sesaat aku terlupa yang aku masih lagi di sebuah negara yang letaknya di Asia Tenggara
bukan negara di bahagian Timur Tengah.
Cubalah kau bayangkan kawan, kau berdiri di tengah-tengah padang pasir yang terbentang
luasnya. Ramai, tapi kau merasa sendiri. Sunyi, tapi kau merasa terhibur. Di hujung sana,
kelihatan tasik yang tidak beriak. Ditumbuhi bunga-bunga teratai yang mekar asal musimnya.
Kami tertawa, terhibur dengan sifat pemurahnya Tuhan, untuk sebuah pengalaman yang tak
terlupakan.

Perlahan-lahan, langit beransur gelap. Awan tebal mula berarak. Di belahan langit sana, titistitis hujan sudah mencium tanah. Sayang, tak lama Tuhan pinjamkan keindahan ini buat
tatapan kami bertiga.
I want to be like you guys.
What?
Dark and brown, like Superman!
Mujur skuter yang disewa punya kelengkapan baju hujan untuk dua orang. Selesai menuntun
motosikal keluar daripada tempat letak motosikal, hujan pun mulai memberi salam kepada
bumi. Lebat, tanpa kasihan.
Iya, tentu sahaja kami cemas. Kamera baru yang paling dibimbangkan. Bukan Khairiel yang
risau, tapi aku. Kau, kalau nak belajar tentang tenang kau boleh belajar daripada Khairiel.
Selagi sesuatu perkara itu tidak perlu untuk dirisaukan, buat apa nak risau, tak ke?
Untuk keluar daripada tempat itu, sekali lagi kami terpaksa bertarung dengan raksasa-raksasa
jalanraya, sesekali menghunjam lopak-lopak besar yang digenangi air, hampir tergelincir
disebabkan batu-batu tanpa turapan, akhirnya kami bertemu dengan jalanraya yang bertar
sempurna. Kawan baru kami setia di belakang, sesekali aku memperlahankan kelajuan,
menunggu dia mengejar.
Perjuangan masih belum selesai. Ada lagi 40 minit sebelum kami bertemu semula dengan
guest house yang tercinta.
Matahari melambai, memberi ruang untuk bulan muncul dalam gelapnya langit malam. Tapi
cahaya rembulan tak cukup untuk menerangi malam yang gelap. Dan lampu motosikal pula
rosak! Dapatkah kau bayangkan kawan, hujan lebat tanpa kasihan, motosikal tanpa lampu
(cuma lampu isyarat yang berfungsi) dan tiga orang asing yang tidak pasti benarkah jalan
yang mereka tempuhi.
Tetapi kepercayaan dan harapan, membuatkan kami tertawa dengan ujian. Kan Tuhan
menguji sesuai dengan apa yang mampu ditanggung hambaNya.
Dalam ketidakpastian itu, akhirnya kami sampai semula di guest house. Di hadapan guest
house, restoran seafood memanggil kami dengan frekuensi yang tidak didengari oleh manusia
lainnya. Cuma perut kami yang bisa mendengar panggilan itu.

Usai menunaikan solat, traveller dari China itu mengetuk pintu bilik untuk menikmati makan
malam bersama. Terngiang-ngiang pesan Ustaz di Kemboja,
Kalau seafood insyaallah halal. Yakin.
Dengan hidangan 3,4 macam jenis makanan laut, air kelapa seorang sebiji dan sepinggan nasi
setiap seorang (dan nasi tambahan), itu lah hidangan terbaik sepanjang aku berada di negara
ini. Setelah dihitung, kami cuma membelanjakan beberapa belas ringgit untuk makan malam
mewah yang ditemani bunyian ombak dan hembusan bayu yang membelai.
Malam itu, Google Translate menjadi penerjemah rasmi perbualan kami.
Terima kasih Tuhan, untuk satu hari yang pastinya akan aku kenang sampai mati.

------

Selesai subuh, kami bermalas-malasan di atas katil. Cuma ada dua pilihan, teruskan tidur atau
melihat matahari terbit di puncak Red Sand Dunes. Tetapi pada akhirnya kami memilih yang
ketiga : menyusuri sungai Fairy Stream, untuk menyaksikan keindahan mini Grand Canyon
yang letaknya tak jauh daripada guest house kami.
Skuter ajaib yang semalam berubah menjadi jet ski, tergeletak di hujung sana. Menampakkah
kau kawan? Dikawal selia beberapa ekor anjing garang yang penglihatannya boleh tembus
langsung ke hati, melihat niat si pencuri.
Selesai berehat seminit dua, kami bergerak ke Fairy Stream. Sesaat aku keliru, benarkah
disini wujud keindahan, atau semua yang telah aku baca itu cuma sekadar penipuan yang
ditulis bangsa mereka untuk meraih keuntungan?
Tenanglah kawan, tak elok jika menilai sebuah buku hasil daripada bacaan satu perenggan di
muka suratnya yang pertama.
Kami turun daripada tempat letak motosikal, menyusuri sungai sehingga akhirnya bertemulah
tatapan mata kami dengan Grand Canyon Asia Tenggara itu. Sakan tingginya bukit-bukit

pasir dan batu-batu merah itu, tempat yang sempurna barangkali untuk ketikan-ketikan
kamera amatur dan professional.
Tapi sayang, dalam momen-momen yang sepatutnya dirai itu, ada beberapa manusia yang
mencemarkannya dengan penipuan dan pemerasan. Hati-hatilah kawan, jika suatu hari nanti
kau ke mari. Jangan pernah percaya dengan manusia yang menawarkan bantuan untuk
menunjukkan jalan, kerna akhirnya mereka akan memeras wang kita semahu mereka. Itu lah
yang terjadi kepada pasangan di hadapan kami.
Sungai masih panjang, tapi kami meletakkan noktah di pertengahan jalan. Tidaklah terlampau
menakjubkan pada pandangan mata kami, tetapi cukuplah untuk sekadar mengisi masa kami
yang terluang pagi itu.
Kami berpatah semula ke guest house untuk menjemur kasut dan pakaian yang basah kuyup
akibat peristiwa tak terjangkakan semalam. Selesai menjemur pakaian, kami melepas lelah
duduk di restoran di hadapan guest house untuk mengisi semula tenaga dengan secawan kopi.
Kopi, satu-satunya kepahitan yang membuatkan manusia tersenyum.
Seperti yang telah dirancang, kami akan menunaikan rukun Mui Ne yang kedua : sandsliding
di Red Sand Dunes.
Perjalanan dari guest house ke Red Sand Dunes cuma 20 minit. Bahang kepanasan yang
dibawa mentari dan dipantulkan oleh lautan yang mengelilingi negeri ini, cukup untuk
membuatkan kami merasa terpanggang tanpa arang. Panas yang bukan mainan.
Kehadiran kami disambut tiga anak kecil yang menawarkan papan gelongsor yang dibuat
daripada plastik PVC.
Please, please. Rent from me.
Tiga anak kecil yang cukup untuk membuatkan kami terlupa tentang kantung duit yang
menipis dengan rayuan dan tawaran mereka.
Kami bersetuju menyewa daripada dua budak lelaki yang datang terlebih dahulu. Tapi
melihatkah kau kawan, betapa kecewanya budak perempuan yang sedikit terlambat itu.
Kami tersenyum.
Dont worry. Look at our motorcycle for a while. We will pay you for that. Ok?
Senyum.

Kami katakan ini sempurna. Waktunya, tempatnya, suasananya, cuacanya, semuanya


sempurna.
Gumuk pasir ini perlu didaki, ditawan dan ditaklukkan. Kerna bahagian yang paling indah itu
terletak di puncaknya. Puncak yang sentiasa menanti jiwa-jiwa yang kehausan dan
ketandusan akan keindahan.
Nun di hujung sana, ada keluarga yang bersorak-sorak berlumba siapakah yang lebih pantas
kelajuannya meluncur menuruni bukit itu. Di sebelah sana, beberapa anak muda sedang
tersenyum, menanti ketikan-ketikan kamera rakan mereka. Dan di mana-mana terlihat wajah
beberapa manusia yang tidak pernah putus asa mencari pelanggan untuk menyewa papan
gelongsor mereka.
Kami meminta maaf kepada mereka tapi tak pernah dengan bait-bait kata. Kami cuba
menjauhi, tapi mereka malah semakin mendekat. Ah, apa mereka fikir setiap yang masuk ke
negeri ini membawa seguni emas, yang bisa diagihkan dengan saksama kepada semua?
No, I just want to help you.
Fikir kami percaya?
We dont have money. We will go back soon, so we dont have any money to give to you,
kami cuba menyelamatkan diri.
No dong? Peso also can, serius? Mereka fikir kami dari negara Pangako Sayo.
We are from Malaysia. We dont use peso.
Peso please.
No money. No money, sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dan akhirnya mereka
berputus asa, melangkahkan kaki, tapak demi tapak mninggalkan kami.
Ahhh, lega.

***
Hari ini tuan-tuan, kita tidak lagi menyembah berhala secara nyata. Kita tidak memahat batu
kemudiannya menyembah mereka. Tapi hari ini, kita menyembah wang dan harta.

Ini kali pertama aku melihat berkumpulnya lelaki muslim seramai itu. Yang sanggup tinggal
di bawah khemah-khemah tanpa dinding, tidur beralaskan tikar sekadarnya, makan bersama
tanpa meremehkan rezeki yang ada, tekun mendengar tanpa banyak bicara.
Hari ini, kita merasakan wang itu berkuasa. Kita fikir, tanpa duit kita tak boleh buat apa-apa.
Kita rasa betapa perlunya duit dalam hidup kita, setiap butir bicara maulana yang berbahasa
urdu itu diterjemah kembali dalam bahasa ibunda kita.
Sedang duit itu juga makhluk. Makhluk, tak berkuasa tuan-tuan. Allah berkuasa, makhluk
tak berkuasa.
Sunyi. Tenggelam menghayati setiap patah bicara pemberi bayyan.

***
Weh, rekod satu video kita turun sekali jom.
Nak pakai satu ke dua papan ni?
Satu cukup kot, dua macam tak jadi je nanti.
Kemudian kami memilih tempat yang paling tinggi dan sesuai untuk meluncur, yang
tanahnya tidak terlampau teruk diperkosa oleh luncuran manusia.
Kamera SJCam siap sedia merakam peristiwa yang pasti tak kan kami lupakan sampai mati.
1...2...3, fiu. Papan meluncur sempurna pada awalnya. Hampir sampai di penghujung, tempat
pemegang papan gelongsor itu tercabut daripada badannya. Kami tergolek, kamera tercampak
dan papan itu retak. Ketawa meletus.
Padanlah makcik tu kata no good waktu kita nak guna satu papan je tadi.
Hahahaha. Mati lah kita kena ganti benda ni.
Mati, mesti dia cas kita kaw-kaw ni. Kita lari je lah kejap lagi. Kau ambil motor, aku jalan
lambat sikit. Kau ready siapkan motor tepi jalan semua.
Lepas tu?
Lepas tu, aku pulangkan benda alah ni cepat-cepat, naik motor dan kau pecut. Amacam?
Deal.

Satu perancangan dajjal siap dirancang.


Selesai bermain papan gelongsor, kami berjalan menikmati dan membekukan setiap memori
dalam sekeping gambar. Di puncak gumuk pasir ini, penglihatan kita bisa sampai ke daerah
paling indah : lautan.
Oleh sebab masa tidak bersahabat dan setiap perancangan yang terbuku telah kami lunaskan,
kami bersetuju untuk pulang ke guest house. Selepas zohor nanti, bas kami akan bertolak ke
Hoi An, negeri yang terkenal dengan julukan bandar pelabuhan. Sebelum sampai di Hoi An,
kami akan singgah di Nha Trang untuk bertukar bas. Dari Mui Ne ke Nha Trang memakan
masa sekitar 5 jam, kemudian dari Nha Trang ke Hoi An memakan masa sekitar 12 jam.
Total, 17 jam. Fiu.
Perancangan untuk lari daripada mengaku salah berjalan seperti dirancang. Aku mendahului,
pergi ke motorsikal dan menghulurkan 20,000 dong kepada budak perempuan yang menjaga
motor kami.
Tak jauh daripada situ, dua budak lelaki itu memandang aku dan bertanya di mana papan
gelongsor mereka. Jari ditelunjukkan kepada Khairiel yang sedang berjalan menghampiri.
Aku siap sedia menghidupkan motor, dan bersedia untuk memecut.
Tapi dalam sisi syaitannya kami, masih ada sisi malaikatnya.
Rancangan itu tak berhasil. Kami mengaku salah sewaktu memulangkan papan itu, budak
lelaki itu dengan riak wajah terkejut yang tidak dibuat-buat meminta ganti rugi 50,000 dong.
Lebih kurang sepuluh ringgit Malaysia.
Asal tak jadi lari?
Tiba-tiba aku terfikir, perjalanan kita ni jauh lagi. Kalau kita buat benda macam ni, mana
tahu jadi benda buruk dalam perjalanan kita.
Aku mengangguk setuju. Kan dua kepala lagi baik daripada satu.
Sampai di guest house kami mengemas sekadarnya. Pakaian sudah kering, setiap butir air
telah disejat oleh hangatnya mentari. Cuma kasut masih beum kering sepenuhnya. Lembab
dan sedikit berbau.
Sedang sibuk menyiapkan diri, pintu bilik diketuk perlahan.

Traveller dari China hendak mengucapkan salam perpisahan. Dia akan bergerak menuju ke
selatan, manakala kami akan meneruskan perjalanan ke utara. Pertemuan pasti diakhiri
dengan perpisahan. Kami bersalaman dan berbual seketika, sebelum waktu memisahkan kami
bertiga.
Tidak lama selepas itu, giliran kami pula untuk meneruskan perjalanan ke Hoi An. Selamat
tinggal Mui Ne, kami pasti merinduimu.

-----

Weh, bangun. Dah nak sampai dah ni.


Sebelum sampai di Hoi An, bas berhenti di sebuah pam minyak. Hampir semua penumpang
keluar daripada bas untuk meregangkan urat-urat dan sendi-sendi yang berhimpit statik
belasan jam lamanya.
Lebih kurang jam lapan, kami sampai di perhentian bas Hoi An. Hotel? Trivago! Tak. Tak
sempat nak bandingkan harga di Trivago, atau buat tempahan melalui Agoda, kami
merancang untuk redah ke mana-mana hotel atau guesthouse murah yang ada disitu.
Perkara pertama yang kami lakukan setelah menjejakkan kaki di Hoi An adalah mencari agen
syarikat open bus yang kami naiki untuk menempah tempat ke destinasi berikutnya, Hue.
Penjual tiket bas disitu memaklumkan bahawa kami tidak boleh membuat tempahan disitu

dan memberikan kami petunjuk untuk ke kedai agen bas yang letaknya di pekan. Walau
setiap petunjuk yang diberikan itu tidaklah meyentuh korteks serebrum kami yang baru
terjaga daripada alam mimpi, kami tersenyum dan menghargai setiap butir bantuannya
dengan terima kasih.
Senyum dan terima kasih, dua bahasa universal yang digunakan dan difahami semua
manusia. Tak ke?
Nak cari hotel dekat area mana ni?
Aku pun tak tahu sangat. Nak jalan kaki cari ke? Tapi dengar orang tu cakap tadi macam
jauh je pekan dari sini.
Kita ikut je lah minah yang offer hotel dia tu. Senang sikit, tak payah fikir dan penat-penat
nak cari. Harga pun macam ok je.
Kami menghampiri seorang wanita yang sibuk mempromosikan hotelnya. Beberapa minit
kemudian, setelah jumlah pelancong yang dikehendaki mencapai sasarannya, kami semua
diminta menaiki van persiaran untuk ke hotel itu.
Hotelnya sederhana, tak ada apa yang istimewa. Ya, ada kolam, tapi tak ada yang berenang.
Pintu bilik airnya tak boleh berkunci dan suis utama untuk pendingin hawa setiap bilik
letaknya di kaunter daftar masuk. Maksudnya? Maksudnya, mereka boleh matikan pendingin
hawa sesuka hati mereka pada bila-bila masa.
Takpelah, dah sampai dah pun. Lagipun, satu malam je kita kat sini.
Mandi, solat dan makan. Tiga perkara penting yang perlu kami lakukan sebelum mencari
motosikal untuk disewa.
Where can I get hot water for this? sambil menunjuk bekas mi segera kami.
Pekerja itu menunjuk ke arah bahagian belakang hotel, berhampiran dengan kolam renang.
Air ni kita kena masak sendiri ke?
Haha. Ye lah kot. Nak buat macam mana, hotel murah. Layan diri je lah.
Setelah suhu air mencapai takat didih, kami mematikan api. Perlahan-lahan air dituang ke
dalam mangkuk sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang mak cik cleaner yang datang
entah daripada mana.

Senyum.
Which water do you use?
Kami pun menunjuk ke arah air paip. Jawapan kami disambut dengan tepukan dahi kecewa
oleh mak cik itu sebelum dia mula bersuara memuntahkan kekecewaannya,
Not good. Use this water, sambil menunjuk ke arah penapis air yang tergeletak
bersebelahan kami.
Tak perasan doh ada benda ni tadi, apa barangkali lapisan korteks serebrum kami masih
belum berfungsi sepenuhnya? Mungkin.
Selesai menyiapkan diri, dan merancang untuk ke beberapa tempat, kami turun ke bawah
untuk menyewa motosikal. Berseberang sahaja dengan hotel itu, terpisah oleh sebatang
jalanraya, berderet motosikal menanti tuan sementara mereka.
Tuan punya motosikal bersetuju untuk memanjangkan tempoh sewa kami. Sepatutnya setiap
motor yang disewa perlu dipulangkan sebelum jam enam, tapi setelah proses negosiasi, dia
bersetuju untuk membenarkan kami memulangkan motosikal itu pada jam sembilan.
Sebelum meneruskan perjalanan, kami menempah tiket perjalanan ke Hue pada keesokan
harinya. Pada awalnya, Hue tak termasuk dalam senarai negeri yang ingin dilawati. Kami
bercadang dari Hoi An, terus ke Hanoi. Kemudian di Hanoi, kami akan menaiki tren untuk
menyaksikan pemandangan indah tak terbayangkan di Sapa. Kemudian berpatah semula,
untuk tidur berlantaikan lautan dan berbumbungkan bintang-bintang di Ha Long Bay. Iya,
tapi tak semua yang dirancang itu terkabul menjadi kenyataan.
Disebabkan masa yang menjerut-jerut leher kami, kami bersetuju untuk memilih cuma satu
sahaja tempat untuk dilawati di Hanoi nanti. Kerna jika kami masih mengikuti perancangan
awal itu, masa kami banyak dihabiskan di dalam bas sahaja. Rugi.
***
Kau tak terfikir ke yang manusia ni banyak buat benda-benda yang ironi dengan apa yang
dia fikir atau cakap? Pertanyaan random daripada planet fikiran entah-mana dah mula keluar
daripada mulut dia.
Kau nak buka kitab Socrates ke Plato ni?
Hahaha. Jauh sangat tu. Buka Quran je lah senang.

Hm?
Benda ni aku pun buat, tapi aku baru terfikir malam ni tentang ironinya benda ni. Macam
kita baca surah Al-Asr waktu solat tapi sebenarnya untuk pendekkan masa solat tu. Ye lah, alAsr kan surahnya pendek.
Jadi?
Tapi kalau baca terjemahan al-Asr ni, kan cerita pasal masa. Tentang ruginya semua manusia
kecuali yang beriman dan beramal soleh. Tapi kita baca surah ni, sori mungkin bukan kita
tapi aku. Aku baca surah ni untuk pendekkan masa solat aku, untuk kejar dunia ni. Tak ke
ironi tu?
Cengkerik menyambut pertanyaan dia, dan aku terdiam bersandar menggaru-garu kulit
kepala yang tidak gatal. Diam sebab aku pun buat benda yang sama, tapi tak pernah fikir apa
yang dia fikir.

***
Danang dan Hoi An tidak jauh, cuma 30KM mengikut peta maya. Danang. Orang kata
kotanya lebih indah, di sebelahnya pantai, punya perbukitan memikat, juga tasik dan gua
yang bersahabat.
Antara negeri yang paling aku tidak sabar untuk pergi, jatuh cinta dan akhirnya saat kami
berpisah nanti pasti aku ditimpa sakit rindu. Cinta, kesakitan yang ditagihkan seluruh
manusia. Walau kesannya adalah luka yang tak tersembuhkan dengan air mata.
Di Danang, kami merancang untuk ke Ng Hnh Sn (Five elements mountains) atau lebih
dikenali sebagai Marble Mountains, Lady Buddha dan menutup memoir indah kami di
Danang dengan berenang dan menghabiskan petang di pantainya.
Marble Mountains, seperti namanya, terkenal dengan marmarnya. Ditarah, kemudian diukir
oleh tangan-tangan manusia yang dianugerahkan bakat semulajadi oleh Tuhan. Terdapat
banyak pintu masuk untuk ke gua-gua dan terowong-terowong yang menyimpan patungpatung Buddha disini, dan untuk masuk, tentulah tidak percuma.
Sakan tingginya gua-gua disini, sehingga ada puncak yang disediakan lif untuk naik ke
atasnya. Dapatkah kau bayangkan kawan? Iya, tentu sahaja tidak percuma.

Kami menikmati setiap inci gua yang kami jelajahi. Patung-patung yang diukir teliti. Menaiki
anak-anak tangga kecil yang muatnya cukup-cukup untuk satu kaki. Menikmati
pemandangan daripada puncak gua, menyebarkan pandangan sehingga ke negeri samudera,
dan akhirnya kembali melihat diri aku sendiri, yang tersenyum tanpa sebab.
Sesekali angin menampar pipi, kulit terbakar oleh hangatnya mentari, tenaga diperas
sehingga ke peluh yang terakhir. Ah, aku tak peduli.
Dahulu, mereka tarah bukit-bukit disini untuk diukir menjadi hasil seni yang indah. Tapi tidak
lagi hari ini, menarah bukit untuk mendapatkan marmar adalah satu kesalahan yang pasti
dihukum penjara oleh sang penguasa. Semuanya demi kelestarian alam, kata mereka.
Penat berjalan dan mendaki, kami melepaskan lelah di bangku-bangku kecil berhampiran lif.
Aku dengar macam bunyi azan.
Haha. Aku pun dengar benda yang sama, tapi bukan.
Di kampung mana pernah kita nak hargai saat-saat berkumandangnya azan. Istimewa? Mana
mungkin kita merasa istimewa dengan seruan yang diulang-ulang lima kali sehari dengan
lantang.
Tapi disini, perkara-perkara biasa itu lah yang kita rindu. Yang kita harapkan ada, yang kita
tagihkan ia. Manusia.
Di tempat letak motosikal, ada beberapa batang tubuh manusia berseragam seperti polis
menanti. Ah, sudah.
Segala pesan tentang saman dan ditahan polis akibat tidak mempunyai lesen memandu
Vietnam atau antarabangsa bermain di minda. Mati.
Dengan wajah yakin yang dipasang teguh dan muka yang berkerut, kami berjalan laju menuju
ke arah motosikal. Al-maklum, kami tak punya banyak pilihan. Antara mengambil risiko dan
membuang masa, kami memilih untuk mengambil risiko.
Pandangan tegak ke atas jalanraya, langsung tidak bertemu dengan pandangan anggota yang
berpakaian seragam itu. Syukur, wajah asia ini telah menyelamatkan kami.
Kami bergerak menuju Lady Buddha yang terletak di atas bukit yang lebih tinggi. Tidak jauh,
tidak juga dekat. Sepelaung gema suara mungkin bisa terdengar sehingga ke sana kalau diizin
Tuhan.

Sebelum sampai di kaki bukit yang menampung patung besar Lady Buddha itu, mata kami
dijamu dengan pemandangan indah, lautan. Nelayan sedang bersama bot-bot berbentuk bulat,
anak-anak kecil riang bermandi-manda, yang dewasa sibuk bermain dan bercanda. Seperti
kebiasannya sebuah pantai dan lautan, pasti ada bahagia.
Dan kami membalas jamuan itu dengan sebuah janji. Sejurus kami turun daripada melihat
patung itu, pasti kami akan kesini. Kami sampaikan pesan itu melalui angin, yang akhirnya
dibalas dengan ombak dengan anggukan tanda termeterainya sebuah perjanjian.
Mendaki bukit dengan skuter tidak pernah mudah, kerna kita cuma bisa mengawal pulasan
pendikitnya sahaja. Sedikit demi sedikit kami mendaki, dan tiba-tiba kami bertemu dengan
kawasan indah yang tidak wujud dalam perancangan.
Tuhan, selalu sahaja bekerja dalam rahsia.
Jalannya berbatu, tapi entah kenapa kami bersetuju untuk ke situ. Walhal tidak ada yang
menjemput kami dengan ramah-tamah mereka, cuma beberapa motosikal yang elok
tergeletak, tanda ada manusia yang sedang menikmati alam disitu.
Terkelu lidah kami kawan. Di hadapan kami, ada tasik yang berlatarbelakangkan lautan.
Alihkan lehermu ke kanan sedikit sahaja kawan, akan kau saksikan tasik itu bertukar latar
belakangnya menjadi perbukitan indah - hijau yang menawan.
Barangkali aku sudah jatuh cinta sebelum tiba waktunya. Dan rindu pula sudah mula
menikam dadaku, walau aku dan dia belum lagi terpisah oleh ruang dan waktu.
Sebutlah apa sahaja agama, daripada Kristian yang mempunyai bilangan penganut terbesar,
atau Islam yang mencatat jumlah manusia yang berkumpul demi agama paling ramai setiap
tahun, atau fahaman-fahaman yang jarang disebut seperti Mazdakism, Asatru dan
Cheondoism, semua penganutnya membina tempat peribadatan dan penyembahan Tuhan
yang indah-indah. Begitu juga penganut agama Buddha, disini tempat-tempat pemujaan
didirikan di atas bukit dan gunung-ganang, demi mencipta keindahan itu.
Lady Buddha, letaknya menghadap lautan, diatas sebuah puncak bukit yang dikelilingi
kehijauan. Dapatkah kau bayangkan kawan?
Sesekali terasa sangat hampir dengan awan, juga rasa dekat dengan lautan, rasa seperti
bersahabat dengan bayu yang mendayu, berkasih dengan hangatnya mentari, berjabat dengan

pepohon hijau saujana mata memandang. Wahai Tuhan, beritahulah kami; bagaimana
indahnya syurga andai dunia ini tidak persis sedikit pun dengannya?
Dalam perjalanan turun, kami singgah semula ke tasik itu untuk solat jama asar dan zohor.
Kemudian meneruskan perjalanan, menunaikan janji yang telah dimeterai dengan ombak dan
lautan. Ah, kami pasti datang!
Apa yang lebih menyedihkan daripada kehilangan?
Semua gajet yang kami bawa untuk merakam gambar, kehilangan kuasa. Mungkin Tuhan
ingin memberikan ruang buat kami bermesra dengan lebih dekat lagi bersama alam tanpa
gangguan orang ketiga.
Kami menikmati petang itu dengan saksama. Menghabiskan waktu dengan mandi-manda,
melayan hempasan ombak dan terbenamnya mentari. Dan dengan berbisik, bulan berbicara
dengan kami, menasihati kami untuk pulang kerna sudah tiba saatnya untuk bulan mengambil
tempat mentari.
Menurut dengan hikmah nasihat bulan, kami pun pulang.
Takyah salin baju lah. Pakai je baju ni basah-basah, naik motor nanti kering lah.
Kembali ke Hoi An, kami masih merindui makanan laut di Mui Ne. Puas bertanya, pekerja
hotel memaklumkan, makanan laut yang murah dan sedap cuma di Danang. Tapi kami tak
putus asa. Setia mencari makanan laut sehingga tersesat di kampung yang dipenuhi anjinganjing jalanan. Dan cuma itulah yang membuatkan kami berhenti mencari.
Akhirnya kami mengambil keputusan untuk ke Pasar Malam Hoi An. Menikmati malam ini
di pesisir sungai yang meriah dengan hilai tawa manusia. Dengan beratus lilin cahaya yang
dihanyutkan ke sungai, tanglong-tanglong yang tergantung dan bayu yang menyambut.
Cantik, tapi tak bisa menenteramkan perut yang lapar ini.
Kami tak punya banyak pilihan melainkan untuk makan di kedai yang menyediakan makanan
laut, dengan harga yang sedikit mahal bagi aku. Tapi demi perut yang kesunyian, ku sanggupi
jua.
Lama. Terasa waktu bergerak perlahan, sehingga tidak sedar, jarum jam sudah melewati
angka sepuluh.

Tu bukan auntie yang kita sewa motor tu ke?daripada jauh kelihatan susuk tubuh wanita
yang menyewakan motosikalnya kepada kami.
HEY! Where do you go? Now, already 10PM. I said until 9PM. You have to pay me more
for that!
Sorry. We go to eat and forgot to return your motorcycle, ceh. Sebenarnya memang dah
dalam perancangan nak pulangkan motor ni lewat.
You have to pay me 50,000 dong!
Okay, sambil senyum dan ketawa.
Follow me, marahnya semakin reda.
Malam itu, kami terpaksa berjalan kaki dari rumah pemilik motor itu ke hotel kami. Tapi tak
mengapa, jauhnya tak terasa kerna dihiasi dengan gelak tawa mengenangkan segala kejadian
hari ini.

-----

Hue. Apa yang kami bisa nikmati disini?


Hue tak tergolong dalam negeri yang ingin dilawati dalam perancangan awal kami tetapi
setelah berbincang dan memikirkan baik buruknya, kami singgah di Hue terlebih dahulu
sebelum ke Hanoi. Di Hanoi, kami akan ke Ban Gioc Waterfall yang bersempadan dengan
China atau mungkin ke Halong Bay, kedua-duanya istimewa. Sapa mungkin cuma tinggal
sekadar perancangan yang tak terkabulkan kali ini, mungkin akan datang aku akan ke sana,
kemudian menyebarang ke China, Mongolia, negara-negara Stan dan berakhir di India.
Mimpi itu kan percuma.
Awal pagi lagi kami sudah bergerak ke kedai agen yang menjual tiket bas ini. Menanti,
seperti biasa melewati waktu yang senantiasa cemburu.

Perjalanan dari Hoi An ke Hue cuma sekitar lima jam. Singkat. Cukup singkat jika
dibandingkan dengan perjalanan dari Mui Ne ke Hoi An yang memakan masa hampir tujuh
belas jam.
Perjalanan yang indah. Dilatari lukisan-lukisan alam yang membuatkan aku takjub dan
terkesan. Gunung, bukit, awan, matahari pagi, lautan - semua, semuanya sekali sempurna.
Dan perlahan-lahan, mata ditutup. Meminjam keindahan alam untuk dibawa ke alam mimpi.
Kami adalah antara penumpang yang terakhir turun daripada bas, barang-barang yang
diletakkan di bahagian bawah bas semuanya sudah dipunggahkan daripada perut bas.
Backpack selamat, tapi mana beg plastik yang terisi dengan kasut aku? Mungkin tercicir di
dalam perut bas.
Aku meminta agar pemandu bas membuka kembali bahagian itu, tapi nihil. Kosong.
Semuanya telah dikeluarkan. Yang tinggal cuma debu-debu dan penyesalan.
Kau tadi tak ikat beg plastik kau tu dengan backpack ke?
Tak. Tapi aku letak atas beg, aku membalas dengan nada kecewa yang melirih-lirih.
Hm. Aku macam ada rasa lain macam jugak tadi, nak cakap tapi tak tercakap. Biasa kalau
ada terasa ni yang ter-jadi tu.
Aku diam. Muka berkerut berfikir pasal kasut.
Cari kedai agen bas ni lah jom, tu macam ada kedai bas, topik beralih. Perjalanan perlu
diteruskan. Takkan sebab kasut hilang, nak duduk menangis dekat situ tak berganjak.
Kaki menapak ke kedai yang terletak tak jauh daripada tempat bas berhenti.
Tutup doh.
Melihatkan kami yang sedikit terpinga-pinga dihadapan kedai itu, beberapa orang ulat tiket
yang mencari mangsa menghampiri kami.
No, we already got the ticket. Do you know where is this place? Sambil menunjukkan
alamat kedai agen bas yang tertera di tiket bas. Mungkin ulat-ulat tiket ini boleh membantu.
Mulut aku masih lagi terkunci, fikiran aku masih lagi berfikir tentang kasut yang hilang.
Tiba-tiba, muncul seorang lagi kawan mereka entah dari mana.
Kasut aku! Weh, dia pakai kasut aku!

Tak kot, kasut macam kau bukan ada satu je atas dunia. Mungkin tu kasut dia
Aku kenal, tu kasut aku! Aku baru basuh semalam kot, tapi ada part yang aku tak sental.
Tapi apa yang boleh dilakukan? Di negeri asing ini, barangkali yang ditindas ini lah yang
akan didakwa.
Kita rileks kejap lah. Minum kopi dalam kafe tu, lepas tu kita cari kedai nak tempah tiket
dan hotel. Okey?
Berjalan kaki sejauh lebih kurang 2KM sebelum bertemu dengan kedai agen syarikat bas
adalah satu keletihan tak terbayangkan. Dengan selipar jepun yang dah uzur, matahari yang
menyengat, beg yang berat, kasut yang hilang, aku membenci Hue, daripada saat pertama aku
disini.
Mujur, kedai itu terletak di kawasan tumpuan pelancong. Hotel-hotel murah bertaburan di
setiap penjuru pekan. Kami memilih hotel yang sedikit cantik bangunannya, mungkin tempat
penginapan yang selesa cukup untuk merawat luka kebencian ini.
Soalan pertama, harga.
Kami meminta bilik yang paling murah, standard room dengan sarapan pagi percuma.
Harganya tidak melebihi bajet yang aku peruntukkan selayaknya. Tetapi mungkin Tuhan
ingin membahagiakan kami berdua, pekerja hotel dengan baik hatinya menawarkan kami
bilik deluxe dengan harga bilik standard.
Pucuk dicita, ulam pun tiba. Kebaikan, tidak elok ditolak.
Kami menyambut tawaran itu dengan senyuman paling manis. Masuk ke dalam bilik,
gembira bukan kepalang kerna inilah bilik yang paling selesa, cantik dan nyaman pernah aku
duduki sehingga ke hari ini. Katilnya berhias dengan taburan bunga-bunga mawar
mempesona, serba-serbi cukup seperti bilik hotel bintang tiga.
Akhirnya, ini lah satu-satunya bilik hotel kita yang bilik airnya boleh dikunci.

***
Macam mana kau boleh yakin untuk drop out? Takde perasaan takut ke risau ke? Petang itu
aku bertemu dengan Afiq. Kali pertama, bertemu dengan manusia yang memutarkan stereng

kehidupannya, daripada hampir terjerumus ke dalam bidang perubatan, memilih haluan untuk
menceburi bidang perfileman.
Awal-awal tu, mestilah ada rasa risau dan takut. Tapi bila fikir-fikir balik, buat apa nak risau,
kalau rasa nak buat sesuatu, buat. Jangan lama sangat fikir. Nak fikir itu, nak fikir ini last-last
tak jadi. Selagi tak perlu risau, jangan risau, sambil menikmati suapan nasi terakhirnya.
Dan aku pun berfikir, yang mungkin kita terlampau banyak berfikir perkara yang tidak perlu.
Merisaukan hari-hari mendatang yang tidak pun sepatutnya kita risaukan. Menakutkan diri
sendiri dengan perkara-perkara yang belum pun terjadi. Yang akhir sekali membuatkan kita
mengorbankan mimpi-mimpi kita, melupakan prinsip-prinsip kita dan memusnahkan
perjuangan-perjuangan kita yang baru sahaja hendak bermula.
Buatlah! Selagi tak perlu risau, jangan risau.

***
Selepas puas merehatkan badan, memulihkan tenaga dan mengisi perut yang kelaparan, kami
turun ke bawah untuk menyewa motosikal. Oleh sebab bas pada hari esok akan bertolak
lewat petang, jadi kami cuma merancang untuk ke satu destinasi sahaja petang ini, menikmati
dan mengutip keping-keping memoir di kota penuh bersejarah ini.
Imperial City, Hue.
Namanya sahaja sudah cukup untuk menggetarkan jiwa, menggegarkan hati. Kota Imperial
yang dibangunkan oleh Maharaja Gia Long ini adalah untuk menunjukkan kekuatan serta
kebesaran Dinasti Nguyn yang menjadi dinasti terakhir yang wujud di bumi Vietnam.
Dengan kekuatan beribu manusia, kota ini dibangunkan dengan penuh teliti. Di dalam kota
ini tersimpan Purple Forbidden City (kota larangan), enam kuil dan rumah ibadat, empat
belas inner courts (tempat tinggal maharaja dan keluarganya), empat outer courts (untuk
majlis-majlis rasmi), enam pintu masuk, sebuah taman dan dua pavillion.
Tapi peperangan telah menghancurkan bangunan-bangunan yang dibina dengan penuh citacita dan cinta ini. Daripada 160 bangunan yang tersergam indah, 150 daripadanya terkena
bedilan bom dan senapang, yang juga punya misi yang sama dengan terbangunnya kota ini :
kuasa.

Kerajaan Vietnam telah dan sedang membelanjakan USD61 juta untuk memulih serta
membangunkan kembali bangunan-bangunan yang rosak teruk akibat peperangan. Replika.
Cuma sebagai tanda, bahawa suatu hari dahulu pernah berdiri kota sebuah empayar yang gah
disini.
Tapi entahlah, aku tak dapat mengagumi kesemua bangunan itu. Fikiran aku masih
memikirkan tentang kasut yang hilang. Penyesalan masih tersisa. Kenapa tidak itu, kenapa
tidak ini persoalan-persoalan yang menyesakkan dada masih menghimpit. Aku terlepas,
terlepas untuk menikmati dan jatuh cinta dengan bumi Hue, sepertimana aku jatuh cinta
dengan negeri-negeri lain sebelum ini.
Lewat petang itu, usai melakukan pusingan ke seganap pelusuk kota imperial itu, kami
menikmati momen-momen terbenamnya matahari dengan segelas air tebu bersama perahan
limau kasturi, dan sesudu kesunyian. Memandang dalam-dalam ke hati dan bertanyakan
kembali, untuk apa aku lakukan semua ini?

-----

Barangkali satu-satunya perkara yang akan aku rindui tentang Hue adalah hotelnya. Aku
menikmati setiap saat berehat di dalam bilik ini, daripada menonton filem sehinggalah ke
sekecil-kecil perkara seperti bancuhan kopi percuma yang tersedia.
Usai menyiapkan diri, kami keluar untuk menyambung kutipan-kutipan sejarah yang tersisa.
Negeri ini, negeri yang kaya dengan sejarahnya. Bermula daripada zaman dikuasai oleh
dinasti-dinasti China, melalui luka perang terbesar tanah air dan masih lagi berdiri teguh,
menjunjung semangat komunisme Ho Chi Minh sehingga ke hari ini.
Kami menggariskan beberapa tempat yang indah mengikut kata mereka yang pernah sampai
ke sini. Semua perancangan dilakukan sewaktu kaki kami melangkah ke tanah ini. Tanah
yang membuatkan aku terhiris terluka dengan kebiadapan si pencuri, menyesali dan
merenung kebodohan diri sendiri dan akhirnya bertemu dengan manusia-manusia yang baik
hati yang menawarkan tempat tinggal sesempurna ini. Benarlah kata orang-orang tua,

kebaikan itu adalah pilihan setiap manusia. Andai lahir dan tinggal di tempat paling suci
sekalipun di atas dunia ini tetapi memilih untuk melakukan kejahatan, maka jahatlah ia.
Kebaikan, kejahatan : dua pilihan yang saksama buat manusia.
Kami merancang untuk ke tiga tempat, Imperial Tomb of Dong Khanh, Thien Mu Pagoda dan
Perfume River. Mendengarkah kau kawan? Sungai yang airnya berbau harum dan segar, tak
terbayangkan dek kita.
Skuter masih di hadapan hotel. Senyuman pekerja hotel menyambut kami yang baru turun
untuk keluar mengembara. Kami mendaftar keluar lebih awal daripada yang masa yang
ditetapkan. Bas ke Hanoi akan bertolak lebih kurang jam enam, masih banyak waktu yang
tersisa untuk kami menikmati indahnya negeri ini.

***
Kadang-kadang, aku malu dengan Tuhan, dia memulakan bicaranya sederhana. Antara kuat
dan perlahan suaranya terlantun-lantun melawan bunyi bising kenderaan.
Hm?
Atas segala yang dah dia bagi, sedikit je yang aku sedar dan hargai. Banyak yang aku tak
sedar, sampailah benda tu Dia ambil kembali, ayatnya mengalir tenang, setenang air tasik di
hadapan kami.
Bila Dia dah ambil nikmat yang Dia bagi, aku pun tak tahu mana satu aku kena buat dulu,
syukur ke redha dulu, sebab masa Dia bagi dulu aku tak sedar pun tu nikmat lagi lah nak
hargai, suaranya masih tenang dibawa angin menampar gegendang telingaku.
Sabar, cuma itu yang aku mampu ungkap untuk menenangkan hati dia yang baru
kehilangan kedua orang tuanya.
Dia tersenyum lalu membalas,
Benda macam ikhlas, syukur, sabar ni semua nampak macam mudah, tapi hakikatnya payah
kot nak buat. Tak ke?
Aku terdiam. Aku tidak berada di tempatmu kawan, moga engkau tetap kuat menghadapi
ujian Tuhan.

***
Sebelum meneruskan perjalanan ke Thien Mu Pagoda, kami menikmati suasana pagi di pekan
Hue. Sederhana, tidak sesibuk Saigon, tetapi tidak pula seaman Mui Ne. Cantik, tetapi tidak
secantik Danang dan tidak semenarik Hoi An. Atau cuma mungkin aku yang gagal menafsir
segala kebaikan yang tersimpan disini, entah.
Minyak petrol disini mahal, seliter nilainya RM4, lebih dua kali ganda daripada harga minyak
petrol di negara kita. Salah satu sebabnya adalah kerana Vietnam bukanlah tergolong dalam
negara-negara pengeluar minyak seperti negara kita. Mungkin sebab tu juga orang yang
bermotosikal disini dianggap sebagai orang yang berada di kelas sederhana yang hampir
menyertai kasta orang kaya menurut pemandu pelancong di Saigon tempoh hari.
Thats why I dont have any girlfriend. I dont have motorcycle, so nobody want me.
Kami meneruskan perjalanan ke Thien Mu Pagoda. Pagoda yang mempunyai tujuh tingkatan
ini merupakan rumah ibadat tertinggi di Hue. Tidak terhenti disitu, rumah ibadat ini turut
dipuja oleh si penyair dan pemuisi rakyat Vietnam. Kata mereka, ini lah lambang agungnya
negeri ini, negeri yang pernah menjadi pusat pentadbiran dinasti terakhir yang menguasai
Vietnam.
Di hadapannya, Perfume River mengalir tenang. Kata orang, pada musim bunga, bungabunga daripada pepohon yang tumbuh di hulu sungai ini akan gugur, dibawa mengalir
sehingga mengharumkan seluruh negeri ini.
Tapi sayang, kami tidak berkesampatan mencium aroma indah itu.
Setiap senibina yang lahir daripada cinta akan menyentuh hati kita. Mungkin pagoda ini salah
satu binaan yang terhasil daripada keikhlasan hati seorang hamba yang cuba berbuat baik
demi Tuhannya. Agama dan Tuhan, perkara yang tidak pernah akan terhenti meniti di bibir
kita.
Tebu dan perahan limau kasturi menjadi minuman merangkap makan tengahari kami.
Barangkali negeri ini memang terkenal dengan minuman ini fikirku.
Setelah beberapa lama membelek peta, kelihatan sebuah tasik yang dikepungi perbukitan
tidak jauh daripada pagoda ini. Yang lantas membuatkan kami gembira sehingga hampir
melompat dan tertawa. Dapatkah engkau membayangkan kawan, berdiri di tepian tasik yang
berlatarbelatangkan bukit-bukit yang menghijau? Ah, sungguh bahagia.

Kami menghidupkan motor dan memulakan perjalanan ke sana dengan penuh harapan,
semoga apa yang kami harapkan itu menjadi kenyataan. Tempat itu tidak bernama, tidak
boleh dinavigasi menggunakan peta telefon pintar. Tetapi mujur ada pemandu arah yang
mampu membaca peta dengan sempurna. Bukankah telah aku bilang, dua kepala lebih elok
berbanding satu.
Perbukitan indah itu melambai-lambai kami masuk ke daerah yang sunyi, yang jarang sekali
menerima tetamu. Di kiri dan kanan kami sawah terbentang menghijau, di hadapan kami
bukit-bukit tersenyum saujana mata memandang, angin menampar lembut muka-muka
kami dan matahari menyengat sehingga ke tulang yang paling dalam.
Penduduk kampung memasang wajah pelik melihat dua pemuda yang datangnya entah dari
mana ini membuat lawatan tidak rasmi ke kampung mereka. Untuk apa? Apa yang terjadi?
Tersesatkah mereka? Mungkin itu lah dalam fikiran mereka.
Kami cuma tersenyum dan terus mampir ke arah destinasi kami. Masuk ke dalam semaksemak, jalan yang tidak bertar cuma dilapisi batu dan tanah, kemudian mendaki sedikit
sehinggalah kami sampai ke tempat yang dituju.
Tapi sayang, seperti yang telah aku tuliskan. Tidak setiap perkara yang kita impikan itu
dikabulkan Tuhan. Tasik yang kami bayang dan harapkan itu tidak lebih daripada sekadar
empangan, takungan air besar untuk mengairi negeri ini.
Empangan? Hahahahaha!
Betapa manisnya sebuah perjalanan, bahkan kesilapan pun bisa membuatkan kita tersenyum
dan bahagia.
Kami meneruskan perjalanan ke Imperial Tomb of Dong Khanh. Makam Maharaja Dong
Khanh yang merupakan maharaja ke-sembilan Dinasti Nguyen. Pada tahun 1955 sehingga
1963, cucu cicit daripada keturunan ini telah menjadi First Lady of Vietnam yang dikenali
dengan nama Madame Nhu.
Tinggi, entah dimana letaknya pemakaman ini. Tetapi menurut khabar angin, makam ini
merupakan antara makam di-raja yang tercantik disitu. Cantik. Setiap orang terobsesi dengan
perkataan itu. Biarpun sengsara dan terluka, keinginan untuk bertemu dan menjamah
kecantikan itu bisa merawat segalanya.

Naik turun bukit, bergusti dengan raksasa-raksasa jalanraya yang menakutkan dan tiba-tiba
muncul satu lagi ketakutan yang luarbiasa; minyak. Ku titip pandangan mataku perlahanlahan ke arah jarum meter minyak yang dalam ketidak-sedaran kami, hampir bercium dengan
huruf E empty!
Tapi kami kuatkan semangat, debu-debu yang dihadiahkan lori dan kereta telah kami telan
kesemuanya. Ketakutan kehabisan minyak di tengah perjalanan aku pendam, biar cuma aku
yang tahu perkara ini.
Dengan izin Tuhan yang membenarkan Musa membelah lautan, kami selamat tiba di Imperial
Tomb of Dong Khanh dengan selamat. Alhamdulillah, lega!
Benarkah ini makam? Mengapa dibina seindah ini kuburan orang yang sudah tiada? Patungpatung ini untuk apa? Bangunan ini untuk siapa? Memang dibina untuk tatapan kami
pelancong-pelancong dari negeri asing yang langsung tidak bersangkut-paut dengan sejarah
ke-dinastian ini kah?
Berpuluh soalan merusuh akalku. Barangkali dek terpesona dengan setiap inci keindahan dan
ketelitian si pembina dan pengukir pemakaman ini. Atau mungkin, soalan-soalan ini memang
teraju di setiap benak manusia yang menjejakkan kaki ke sini. Entah.
Menaiki tangga, berfoto dan akhirnya kami berlindung di dalam bangunan yang dibina khas
untuk mengingati sang maharaja ini. Daripada dalam bangunan itu, aku buangkan pandangku
ke luar jendela. Sekali lagi aku bertanya tanpa suara, benarkah ini makam atau sebenarnya ini
istana?
Sejuk mata memandang lautan hijau yang terbentang. Walau tiket masuknya mahal, namun
tentulah kami berpuas hati untuk pengalaman ini. Terdetik juga di hati, hebat benar sang
maharaja, sehingga makamnya saja terbina seindah ini dan di lokasi sebagus ini, tetapi entah
apa lah nasibmu disana. Di dunia yang wang, harta dan kuasa tidak lagi ada nilainya.
Turun untuk pulang, keletihan disebabkan bahang matahari yang tidak punya kasihan.
Sehingga kering air liur kami disejat sang mentari, terpaksalah kami membeli minuman di
kedai berdekatan. Bahkan ditipu harganya, dinaikkan sesuka hati; tetapi apa lah yang bisa
dibuat dua pemuda keletihan dan kehausan ini. Ambillah, ambillah seberapa banyak pun duit
yang engkau mahu, asal sahaja engkau berikan kami minuman itu.

Dengan melalui jalan yang sama, kami pulang kembali ke pekan. Fokus utamanya adalah
untuk mencari pengganti kasutku yang disambar orang. Kedua, tidak ada apa-apa. Cuma
badan kami barangkali sudah tidak berdaya melawan hangatnya mentari.
Bas ke Hanoi akan bertolak lewat petang nanti. 13 jam lagi perjalanan yang bakal kami
tempuh. Barangkali badan kami pun telah terimunisasi oleh perjalanan jarak jauh
sehinggakan 13 jam itu terasa dekat sekali.
Selamat tinggal Hue, mungkin satu hari nanti, saat luka kehilangan ini telah dirawat oleh
waktu, aku akan jatuh cinta kepadamu. Sama seperti aku jatuh cinta kepada Saigon, Mui Ne,
Hoi An dan Danang. Sampai waktu itu, tunggulah aku kembali.

-----

Nampak macam mendung nak hujan je ni, aku bersuara memecahkan kesunyian. Khairiel
telah sedia duduk di sebelah.
Aah. Fogging pulak tu, lemah tak bermaya.
Hm.
Semalam aku muntah.
Haa? Bila? Time kau pergi tandas tu ke?
Aah. Perut aku meragam. Kepala pun pening-pening sikit, tapi sekarang macam dah ok sikit.
Mungkin sebab kita barang macam ni kot.

Panas doh badan kau.

***
Entah kenapa, petang itu berat rasanya kepala melayani kerenah manusia. Solat zohor pun
terhuyung-hayang, seakan-akan terbang di awangan. Aku bertanya, adakah ini kifarah dosa
atas perbuatan aku mentertawakan manusia?
2,3 hari masih begitu, demamku tak kebah malah bertambah. Suhu badan makin meningkat,
panadol kali ini tidak lagi mampu melawan virus yang menyerang tubuh, pil-pil ubat semua
telah ku telan; tapi hasilnya nihil, tidak berkesan. Entah apa sebabnya, sehinggalah aku
dimasukkan ke hospital, dimandatorikan tidur di dalam wad yang sesak dengan manusia (jika
kau ke Hospital Kajang, tahulah kau sesaknya bagaimana) dan rupa-rupanya Tuhan hendak
mengajarkan aku sesuatu tentang kehidupan.
Bro, kenapa masuk hospital,susuk tinggi dan besar dihadapan katilku memulakan bicara
dengan wajah yang ganas.
Denggi. Kau kenapa?
Entahlah, aku pun tak tahu apa sebabnya. Hahaha. Mungkin suspek denggi jugak ni, harapharapnya tak kena betul lah.
Haha. Sama lah.
Tapi, kadang-kadang tu lah. Kita pun tak tahu benda yang nak jadi. Benda yang kita tak
expect nak jadi pun boleh jadi. Tapi baguslah jugak duduk hospital ni, ingat sikit mati,kali
ini dia tersenyum, entah apa yang dikenangkannya.
Betul,aku membalas pendek sekadar memanjangkan perbualan.
Kau nanti dah ada anak, sayang anak kau betul-betul. Jaga dia baik-baik,entah perasaan
kesal atau apa yang sedang bermain di mindanya.
Insya-Allah,aku membalas perlahan, antara dengar dan tidak.
Dua hari yang membuat aku bersyukur dengan banyak perkara. Sakit, boleh jadi salah satu
cara untuk Tuhan mengajar kita sesuatu tentang kehidupan. Tentang nikmatnya kesihatan,
dekatnya kematian dan hari itu tidak sekadar dua perkara itu, tetapi untuk tidak menilai

manusia itu daripada paras rupa mereka, tetapi daripada hati. Bukankah hati itu raja bagi
tubuh manusia?

***
Aduh, mamat ni macam bawak jalan pusing-pusing je. Masaklah nak membayar ni kejap
lagi,meter teksi meningkat setiap saat. Ditambah dengan kesesakan pagi di Hanoi, kami
tinggal berharap meter teksi itu tidak menjangkau nilai yang terlampau tinggi.
Nak buat macam mana, kalau cakap pun bukan dia nak dengar cakap kita.
Perjalanan kurang 5KM itu berharga 150,000 dong. Ah, apa lah dirisaukan harga pada saatsaat seperti ini.
Kami masuk ke Central Backpackers Hostel. Murah, harga tipikal sebuah hostel. Cuma
masalahnya, kami cuma dibenarkan mendaftar masuk pada jam 11:00 sedangkan jarum jam
baru menunjukkan pukul 7:00.
Cari tempat lain lah, kau demam mesti nak rehat. Nak tunggu empat jam lagi, masak jugak
ni.
Berselang dua tiga buah kedai, kami mendapatkan sebuah bilik yang terjangkau dengan poket
kami yang semakin menipis. Kami tak perlukan sarapan percuma, atau apa pun, yang kami
perlukan cuma tempat untuk tidur dan berehat untuk hari itu.
Kami merebahkan tubuh ke katil dan memejamkan mata, melupakan betapa kasarnya dunia
di sebelah sini. Yang letaknya tidak pun jauh dari negara kita, yang mukanya masih punya
iras dengan kita. Dengan pejaman itu dalam diam aku kirimkan syukur kepada Tuhan, untuk
sebuah negara yang harmoni, aman dan dirahmati. Bukankah kita dianjur bersangka baik
dengan Tuhan?
Selang beberapa jam menikmati tidur yang mengasyikkan, aku dikejutkan oleh kelaparan.
Khairiel masih terlena dan suhu badannya kian meningkat.
Aku keluar cari makan jap eh.
Weh, sorry tau. Kau kalau nak keluar jalan-jalan pergi je. Aku ok je duduk sini.
Okay, takpe.

Seharian aku habiskan dengan menonton televisyen dan terbaring di atas katil. Cuma keluar
untuk membeli makanan di restoran halal yang terletak tak jauh dari situ.
Bubur takde, yang ada nasi beriyani je.
Haha, okay je apa-apa.
Betapa kuatnya untuk kita tetap tersenyum dalam kesakitan. Usai menghabiskan sepinggan
nasi beriyani, terdengar lagi pesan yang sama,
Kau kalau nak keluar jalan-jalan pergi je. Aku ok je duduk dekat bilik.
Aku ada beli kool fever kat dalam fridge tu. Lepas mandi nanti kau pakai lah.
Kalau waktu gembira kita sama-sama, takkan waktu sakit aku nak tinggalkan kau sorangsorang.

-----

Lam bangun. Ha Long Bay jom?


Kau dah okay ke demam? Kalau belum kita lepak bilik je lah.
Aku dah sihat dah ni, dah tak demam. Badan pun dah tak panas, dah okay dah ni kalau nak
gerak pi Ha Long Bay.
Aku bergegas turun untuk menempah pakej ke Ha Long Bay,
USD80 for one person.
Oh okay, wait for a while, aku keluar daripada hostel untuk seketika. Semalam dalam
perjalanan mencari kedai makan, aku ternampak beberapa syarikat pelancongan yang

menawarkan harga serendah USD55 untuk pakej dua hari satu malam ke Ha Long Bay tapi
sayang semua kedai masih tutup. Beberapa minit kemudian aku masuk kembali,
My friend went to Ha Long Bay with the Central Backpackers Hostel for only USD60, can
you give me that price? sebenarnya kawan Khairiel mengambil pakej yang sama dengan
harga USD60 daripada Central Backpackers Hostel.
I can offer you USD60.
Senyum.

***
Apa yang kau senyum? Dahlah tak pergi maghrib kat surau, korang buat apa haa?! Oktaf
suaranya naik setakah, cukup untuk mengegarkan hati empat rakan sebilik yang baru sahaja
terjaga daripada tidur.
Sori bang, kitorang tertidur, balas salah seorang daripada kami perlahan, tapi cukup untuk
menyentuh gegendang telinga mereka berdua.
Takde sori-sori. Sekarang, aku nak kau pergi surau solat maghrib. Lepas tu, sebelum pergi
prep kau pergi jumpa ketua LDP dekat kelas 503. Faham?!
Faham.
Lima tahun tinggal di asrama banyak mengajar aku tentang kehidupan. Kena pukul, kena
marah, kena tampar, kena tembak dengan pistol air, dikejut subuh dengan sebaldi air sejuk,
kena rotan dan lari keliling padang sebab ponteng prep, kena tengking sebab keluar awal
solat hajat. Semuanya, yang suatu ketika dahulu membuatkan aku bertanya kepada Tuhan
mengapa aku yang harus dibebani dengan semua kesialan ini, tapi hari ini, semua perkara itu
justeru membuatkan aku tersenyum dan tertawa.
Benar, waktu adalah penawar untuk segalanya. Masa lalu yang pahit seperti hempedu pun
boleh berubah menjadi manis seperti madu. Dan semoga masa lalu itu terus hidup dalam
kitab-kitab kenangan yang Tuhan pinjamkan.

***

Lapar doh, jom beli makanan nak? Biskut ke apa ke yang ada dekat kedai ni, van persiaran
yang membawa kami dan beberapa penumpang lain berhenti berehat di sebuah R&R
sederhana.
Hm. Tapi semua mahal ni. Coklat ni pun harganya 50,000 dong!
Biskut ni macam ok je harganya, sekotak biskut sayuran yang tertera cop halal dikotaknya
diambil daripada rak makanan.
Hm. Okay lah kot ni. Siap ada cap halal lagi.

You might also like