You are on page 1of 4

bicara agama

ARKIB : 23/09/2001

Mengapa kita pilih mazhab Syafie?


Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian
Islam)
SOALAN: Mengapa umat Islam di Malaysia memilih mazhab Syafie,
sedangkan dalam Islam ada empat mazhab yang semuanya harus
diikuti. Bolehkah saya tukar mazhab saya dengan mazhab-
mazhab selain Syafie atau saya terus mengikut al-Quran dan
hadis tanpa terikat kepada mana-mana mazhab.
Dalam sesetengah mazhab, dikatakan ada masalah yang
dikatakan pelik atau ganjil, misalnya air kencing unta suci dan
boleh diminum sebagai ubat, harus makan sesetengah haiwan
yang haram dimakan menurut mazhab Syafie seperti tupai dan
lain-lain. Mengapa kita dilarang menyebar pendapat-pendapat ini.
Bukankah semua mazhab itu betul dan boleh diamalkan. -
ZUMASNI, Banting, Selangor.
Jawapan:
Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana puan menunjukkan
minat yang cukup tinggi untuk mendalami pemikiran ulama dan mazhab-
mazhab fikah dalam Islam. Justeru keterbatasan ruangan, saya hanya
mampu memberi maklum balas secara ringkas. Selebihnya puan disaran
mengkaji buku-buku berkenaan sejarah perkembangan mazhab dan fikah
Islam.
Sebaik-baiknya puan berusaha melanjutkan pelajaran secara formal
hingga ke pringkat yang lebih tinggi dalam bidang-bidang seperti al-Quran
dan al-hadis atau fikah perbandingan dan usul fikah di jabatan-jabatan
berkenaan di universiti. Saya yakin kemusykilan puan akan terungkai
dengan lebih banyak pendedahan dalam seminar dan perbincangan
dalam bilik-bilik darjah dengan pensyarah-pensyarah berkenaan.
Bagaimanapun saya cuba berkongsi pendapat secara terbuka, tetapi tidak
dapat memberi kata putus dalam sesuatu isu, seperti yang dicadangkan
oleh Saudara Ibn Idris dari Kuala Lumpur dalam tulisannya dalam Utusan
Melayu pada 27/8/2001. Saya mempunyai beberapa pandangan seperti
berikut:
Pertama: Mazhab fikah dalam Islam tidak hanya terbatas kepada mazhab-
mazhab Hanafi, Syafie, Hambali dan Maliki sahaja. Banyak lagi mazhab
yang tersebar luas pada suatu ketika terdahulu seperti mazhab al-Layth
Ibn Sa'd (94-175H.), Sufyan al-Thauri (97-161H.), al-Awza'i (88-157H.),
Zaid Ibn Ali (80-122H.), Abu Ja'far Muhammad Ibn Ali (57-114H.), Ja'far al-
Sadiq (80-148H.), Ibn Jarir al-Tabari (245-310H.) dan lain-lain. Mereka
terkenal sebagai pemimpin mazhab pada suatu ketika terdahulu,
kemudian berlaku ketandusan pengikut bagi mazhab mereka.
Sebelum tokoh-tokoh yang disebutkan, ramai juga yang disebut-sebut
sebagai ahli fikah tabi'i yang terdiri daripada tokoh-tokoh seperti Sa'id Ibn
al-Musayyab (13-94H.), Tawwus (33-106H.), `Ata (27-114H.), Ikrimah (25-
105H.), dan lain-lain yang pernah mendapat didikan daripada madrasah
Al-Sahabah (sekolah sahabat nabi). Mereka ini merupakan generasi yang
menimba ilmu daripada sumber-sumber mata air yang jernih dan paling
dekat dengan sumber wahyu, iaitu Nabi s.a.w. Bahkan sebelum tabi'in,
nama-nama sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Aisyah dan lain-
lain juga merupakan pemimpin mazhab yang tidak boleh dipandang
remeh.
Kedua: Imam-imam Hanafi, Syafie, Hambali dan Maliki secara khusus,
tidak pernah mengajak orang bertaklid kepada mazhab mereka,
sebaliknya mengajak supaya kembali kepada al-Quran dan hadis sahih,
mereka kerap mengingatkan orang yang berminat dengan pemikirannya
supaya mengikuti hadis yang dijadikan dalil, iaitu apabila berlaku
pertentangan antara hadis dan mazhab mereka. Peringatan ini bermakna,
mereka tidak pernah mendakwa pemikiran atau mazhab mereka sebagai
kebal dan tidak mungkin berlaku silap, atau dengan kata lain mereka tidak
pernah mendakwa sebagai ma'sum (terpelihara) daripada salah silap.
Sepanjang yang diketahui, mereka adalah mujtahid yang mencari
kebenaran setakat termampu. Jika benar dapatan yang mereka cari,
mereka dijanjikan dua pahala, sebaliknya jika salah, mereka akan diberi
satu pahala. Justeru mereka sebagai mujtahid, mereka kerap menarik
balik pendapatnya, apabila ternyata kelemahan atau didapati hadis-hadis
sahih menyatakan sebaliknya.
Beberapa pendapat
Atas dasar ini juga kita dapati, seorang imam mazhab mempunyai
beberapa pendapat dalam satu-satu masalah. Imam Syafie sebagai
contoh mempunyai dua mazhab, iaitu qadim (lama) ketika dia menetap di
Iraq dan jadid (baru) setelah dia berpindah ke Mesir. Malah tidak ada
suatu masalah fikah yang agak penting, kecuali ada beberapa riwayat
daripada imam yang berijtihad dalam masalah itu. Imam Abu Hanifah juga
dikatakan pernah menarik balik sebahagian pendapatnya beberapa hari
sebelum beliau meninggal dunia. Demikian juga dengan Umar seperti
yang dilaporkan, pernah mengeluarkan fatwa, kemudian mengeluarkan
fatwa yang lain pada tahun berikutnya.
Imam Abu Hanifah mempunyai sahabat-sahabat yang dijadikan sebagai
ahli mesyuaratnya, mereka sering berbeza pendapat dan fatwa, kerana
ada dalil yang mendorong mereka berpegang kepadanya dan bukan
dengan bertaklid kepada imam, atau mereka berbeza pendapat, kerana
berbeza muslihat yang berlaku selepas kewafatan seseorang imam.
Sesetengah penyelidik menyebutkan perbezaan seperti itu bukan
sebenarnya berbeza mazhab, tetapi berbeza zaman dan suasana. Sedang
dalilnya tetap dan tidak berubah.
Kerap kita dapati sesetengah ulama mazhab akur kepada pendapat
sahabatnya, setelah ternyata dalil-dalil yang kuat, sebagai contoh, Imam
Abu Yusuf, salah seorang sahabat Abu Hanifah yang ulung, pernah
bertemu Imam Malik tokoh mazhab dan imam Dar al-Hijrah atau Maindah.
Mereka berbincang tentang kadar gantang bagi pengeluaran zakat dan
masalah Ahbas (hartanah wakaf) dan zaklat al-khadrawat (sayur-sayuran).
Imam Malik menyatakan sebagaimana yang ditemuinya dalam hadis, lalu
Abu Yusuf menjawab: Saya tarik balik pendapat yang pernah saya
fatwakan sebelum ini, sambil menegaskan: Jika sahabat saya Abu Hanifah
mengetahui hadis ini, nescaya beliau juga turut menarik balik fatwanya.
Demikianlah keikhlasan terhadap ilmu dan ijtihad kerana mencari
kebenaran, bahkan semua pendapat tokoh-tokoh mazhab mengakui
hakikat ini. Imam-imam dan ulama mujtahid lazimnya akur kepada hadis
sahih yang ditunjuk kepada mereka, pengakuan Imam Abu Hanifah jelas
menunjukkan keikhlasan beliau, apabila menyatakan pada akhir masalah
yang diputuskan, katanya: Ini pendapat saya, jika ada pendapat lain yang
lebih baik, kita terima yang lebih baik itu.
Imam Malik juga menyatakan pengakuan yang serupa, katanya: Saya
adalah insan biasa, pendapat saya mungkin benar dan mungkin salah.
Pamerkan pendapat saya pada al-Quran dan al-Sunah. Jika ia
bertentangan, maka ambillah al-Quran dan hadis dan tolakkan pendapat
saya. Berkata al-Syafie: Jika sebuah hadis itu sahih, padahal ia
bertentangan pendapat saya, maka buangkan pendapat saya ke tepi
dinding. Sebaliknya jika hujah kelihatan jelas, ambillah hujah itu dan
anggaplah hujah itu pendapat saya juga.
Kata-kata Syafie ini membuka satu ruang baru bagi pengikut-pengikut
mazhab Syafie, iaitu jika mereka kembali kepada hadis sahih, mereka
masih juga bermazhab Syafie. Tidak ada pertentangan sebenar antara
Syafie dan hadis sahih.
Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh bertukar mazhab, jika kita
mempunyai pengetahuan yang cukup tentang al-Quran dan hadis, kira-
kira dapat menilai antara mazhab yang ada, mana yang kuat dan mana
yang lemah berpandukan dalil dan pertimbangan yang ikhlas, malah kita
boleh berijtihad sendiri dan mengamalkan hasil ijtihad kita. Para imam
ada membuat pengakuan bagi mazhab masing-masing, kata mereka:
Pendapat saya adalah kebenaran yang mungkin salah, pendapat orang
lain pula kesalahan yang mungkin betul. Pengakuan ini menunjukkan tidak
wajib kita mengikut mazhab-mazhab tertentu atau sesuatu mazhab itu
istimewa daripada yang lain.
Ketiga: Sesetengah orang berpendapat, wajib bertaklid atau mengikut
mana-mana imam daripada salah seorang imam antara empat imam itu.
Saya berpendapat, pendapat ini tidak tepat. Alasan-alasan berikut boleh
dikemukakan.
a. Allah hanya mewajibkan taat kepada Allah dan rasul-Nya sahaja, tetapi
tidak mewajibkan mereka mentaati orang tertentu selain nabi,
termasuklah pemimpin mazhab. Ini kerana selain nabi, tiada yang
dilindungi daripada dosa atau ma'sum (terpelihara). Justeru, Imam Malik
menyatakan: Semua orang boleh diterima atau ditolak pendapatnya,
kecuali Rasulullah s.a.w.
b. Imam-imam atau pemimpin mazhab itu sendiri melarang orang
mengikut atau bertaklid kepada mereka secara membuta tuli. Saya fikir
mereka tidak pernah menduga pada masa hayatnya, pada suatu hari
nanti pendapatnya diikuti orang sehingga beratus-ratus juta manusia,
seperti yang kita saksikan hari ini.
Imam-imam mazhab sering mengingatkan orang ramai supaya belajar
dan belajar sehingga dapat membezakan antara pendapat mana yang
lemah dan mana yang kuat. Kata Imam Syafie, bandingan orang yang
mencari ilmu tanpa dalil (pegangan), samalah dengan pencari kayu api
dalam belukar, jangan-jangan ada ular sedang menunggu, sedangkan ia
tidak mengetahuinya.
c. Bertaklid kepada mana-mana mazhab atau bertaksub kepadanya
adalah suatu amalan yang bertentangan dengan yang pernah diamal oleh
ulama salaf dalam beberapa abad pertama, mereka menerima atau
menolak sesuatu pendapat berpandukan hujah dan alasan, sama ada
hadis atau pendapat sahabat yang pernah menyaksi amalan Nabi s.a.w.,
mereka sebagai contoh, pernah menerima pendapat Umar Ibn al-Khattab,
kemudian dalam masalah yang lain pula menerima pendapat Ali dan
menolak pendapat Umar. Hal ini tidak menjadi suatu kekurangan pada
mereka.
Ini bermakna tidak ada sekatan mazhab dalam syariat ini, asalkan kita
dapat merujuk dengan baik kepada al-Quran dan al-Sunah. Kita tidak
menimbangkan kebenaran itu kerana tokoh, tetapi tokoh itu ditimbang
kerana alasan dan kebenaran pada pihaknya. Pertimbangan dengan
melihat tokoh, hanya berlaku setelah malapnya cita-cita memperkayakan
diri dengan ilmu, dengan itu tumpuan kepada ilmu sudah begitu malap
dan tidak lagi berwibawa.
Keempat: Menolak pendapat atau menyalahi pandangan umum bagi
empat mazhab ini, tidak boleh dianggap suatu kecacatan berlaku dalam
sesuatu pegangan mazhab, tidak pula menjatuhkan kedudukan mereka
sebagai mujtahid. Jika Imam Malik dan Imam al-Layt pernah mengungkap
bahawa para sahabat ada kemungkinan tersalah, maka apa lagi dengan
mujtahid dan imam-imam selain sahabat.

You might also like