You are on page 1of 16

CONTOH ESEI:JENAYAH SIBER

Dunia yang semakin maju pada hari ini menuntut bidang terknologi turut
berkembang. Internet mejadi suatu kemestian dalam kehidupan masyarakat
moden. Pelbagai faedah boleh diperoleh daripada penggunaan internet. Sebagai
contoh, pelbagai maklumat, informasi dan berita dapat diperoleh dengan
melayari internet. Sesuatu maklumat itu bukan sahaja boleh diperoleh dalam
beberapa saat sahaja malah hanya dengan sekali klik. Bagaimanapun, disebalik
manfaat internet ini masih terdapat sesetengah pihak menjadikan internet
sebagai medan untuk melakukan jenayah. Perbuatan jenayah di alam maya ini
dikenali sebagai jenayah siber.

Penipuan merupakan salah satu jenayah siber. Penipuan di alam maya berlaku
apabila seseorang memalsukan atau menciplak sesuatu maklumat tertentu.
Misalnya, terdapat pihak pihak yang mengambil kesempatan dengan menciplak
laman web perbankan. Penipuan siber ini cukup mudah kerana hanya
memerlukan internet dan perisian pelayar sahaja. Oleh itu, tidak hairanlah
penipuan melalui internet ini boleh mencecah jutaan ringgit nilainya.

Selain itu, perjudian secara maya juga merupakan satu jenayah. Tidak seperti
perjudian yang biasa, perjudian secara maya menjadi jenayah siber kerana tidak
berdaftar. Apabila hal ini terjadi maka risiko hilang wang pertaruhan dan
penipuan adalah tinggi.

Kecurian maklumat, lebih- lebih lagi maklumat peribadi boleh terjadi di alam
siber. Hal ini boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada bahaya. Kes
kecurian maklumat seperti ini terjadi apabila pengguna internet tidak berhati
hati dengan maklumat peribadi mereka.

Salinan data secara tidak sah kerap berlaku dalam alam maya. Apabila sesuatu
itu dilakukan secara tidak sah maka secara automatiknya perbuatan ini
diklasifikasikan sebagai jenayah. Kebenaran bagi menyalin data daripada sumber
internet adalah perlu dari segi undang undang. Sekiranya tiada kebenaran yang
diperoleh, maka perbuatan ini dianggap sebagai jenayah kerana menyalin data
tanpa kebenaran.

Pornografi turut dikelaskan sebagai jenayah siber. Malah, sebarang perbuatan


pornografi adalah dilarang dan melaggar undang undang. Hal ini disebabkan
pornografi tidak sesuai dengan masyarakat dan budaya Timur. Pornografi siber
berlaku apabila foto foto yang melampau seperti gambar bogel dimasukkan
dalam internet untuk paparan umum. Walaupun pemilik foto meletakkan gambar
tersebut dengan kerelaan hati namun tindakan ini tetap dianggap jenayah.
Bagaimanapun, dalam sesetengah kes foto foto pornografi ini dimasukkan
tanpa pengetahuan pemiliknya. Oleh itu, timbul pula isu penganiayaan.

Pengintipan berlaku apabila hak peribadi seseorang diceroboh dan perbuatan ini
dilakukan tanpa pengetahuan orang yang diintip. Pengintipan siber boleh
dilakukan dengan alat berteknologi tinggi. Kebiasaannya, pengintip adalah
seorang yang professional dan mahir dengan alat berteknologi canggih seperti
kamera litar tertutup.

Bagi mendapatkan talian internet atau memasuki sesuatu sistem, kadang kala
seseorang itu sanggup mendapatkan capaian yang tidak sah. Hal ini terjadi
apabila seseorang itu cuba memasuki sistem tanpa megikut prosedur yang
ditetapkan. Kebiasaannya, system seperti ini telah dipaten dan sah dari segi
undang undang. Oleh itu, sebarang perbuatan mendapatkan capaian secara
tidak sah adalah salah di sisi undang undang.

Mengganggu atau merosakkan sesuatu sistem juga merupakan jenyah siber. Hal
ini disebabkan perbuatan seumpama ini dianggap penganiayaan atau sabotaj
terhadap sistem yang sah. Gangguan atau kerosakan sistem akan
menhakibatkan sistem tersebut lumpuh dan seterusnya gagal untuk berfungsi.

Skim cepat kaya juga wujud secara maya. Skim seperti ini sangat licik dalam
menipu orang ramai. Tawaran hebat dan menarik menjadi aset untuk menarik
perhatian orang ramai. Oleh yang demikian, skim ini dianggap jenayah siber.
Penyebaran virus merupakan jenayah siber yang paling terkenal. Hal ini
disebabkan penyebaran virus dalam internet kerap berlaku. Pelbagai cara diambil
bagi mengatasi masalah ini seperti memperbaharui anti - virus. Bagaimanapun,
penyebaran virus juga sentiasa ada yang terbaru.

Di samping itu, penggodam juga merupakan jenayah siber yang sangat terkenal
dikalangan pengguna internet. Menggodam adalah memasuki sesuatu sistem
tanpa melalui kod keselamatan. Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh
seseorang yang mahir dan pakar tentang komputer dan internet kerana bukan
mudah untuk menggodam sesuatu sistem. Perbuatan ini boleh menjadi sesuatu
yang bahaya kerana penggodam bukan sahaja boleh mengetahui maklumat sulit
sesebuah syarikat malah maklumat sulit orang perseorangan.

Kesimpulannya, jenayah siber juga merupakan masalah sosial kerana berkaitan


dengan tingkah laku manusia. Bagaimanapun, perbuatan ini sukar dibendung
kerana kesukaran mengenal pasti penjenayahnya. Sungguhpun begitu, usaha
kerajaan dalam mengekang perbuatan ini dapat dilihat dengan penguatkuasaan
undang undang seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984.

ESEI CONTOH:JENAYAH
Mutakhir ini, masalah-masalah jenayah yang berlaku di negara ini kian menjadi-
jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kes-kes jenayah seperti
gengsterisme, vandalisme, bunuh, rogol, ragut, pengedaran dadah, rasuah,
pelacuran dan sebagainya kerap menghiasi dada-dada akhbar, majalah dan lain-
lain. Sebenarnya, kes jenayah dapat dibahagikan kepada enam kategori, jenayah
berat yang melibatkan senjata, jenayah ringan seperti gengsterisme dan
vandalisme, jenayah narkotik yang melibatkan kes pengedaran dan
penyeludupan dadah, jenayah komersial seperti kes maksiat, pelacuran dan
perjudian, jenayah perdagangan yang merangkumi isu rasuah dan korupsi serta
jenayah kolar putih yang melibatkan jenayah oleh golongan profesional. Pihak
kerajaan telah bertungkus lumus memerah otak untuk mencari mekanisme yang
lebih efektif dalam menangani masalah jenayah yang menular dalam kalangan
masyarakat hari ini, namun kes-kes jenayah dilaporkan semakin meningkat,
terutamanya jenayah berat seolah-olah dasar yang diambil kerajaan seperti
kurang berkesan. Justeru, langkah-langkah yang drastik perlu diambil bagi
mengelakkan masalah jenayah daripada berleluasa di negara kita.

Pada hemat saya, pihak kerajaan merupakan tonggak utama dalam usaha
membanteras masalah jenayah yang kian meruncing ini. Bermula dari aspek
pentadbiran, pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang yang
sedia ada dengan tegas. Selain itu, pindaan akta-akta yang sedia ada juga wajip
dilaksanakan berlandaskan kategori jenayah masing-masing. Bagi individu yang
terlibat dalam jenayah berat seperti membunuh, meragut, dan terlibat dalam
penggunaan senjata, harus dijatuhkan hukuman mati mandatori atau penjara
seumur hidup. Akta Dadah Berbahaya 1952 yang digubal oleh pihak kerajaan
bagi memperuntuk hukuman mati mandatori kepada pengedar dadah merupakan
salah satu undang-undang yang berat bagi meminimumkan jenayah narkotik di
negara kita. Langkah penguatkuasaan undang-undang dan penggubalan akta
yang bakal mengenakan hukuman setimpal terhadap pesalah narkotik akan
menyebabkan mereka takut untuk melakukan kesalahan jenayah dan hal ini
diyakini akan dapat menangani masalah jenayah di negara ini. Pendek kata,
penguatkuasaan undang-undang dan penggubalan akta yang baru harus
dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebagai cara terbaik untuk mengurangkan
masalah jenayah.

Sementelahan itu, Perdana Menteri yang menggalakkan pihak polis


meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko
tinggi juga merupakan cara efektif untuk mengawal kes jenayah yang sering
berlaku di Malaysia. Kes pembunuhan yang menimpa Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy, di bangunan MIC merupakan
penggerak utama kepada pelaksanaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV)
di negara kita. Mengikut ulasan pihak polis, mangsa dipercayai ditembak di
kening kiri dalam lift bangunan MIC. Malangnya, suspek utama tidak dapat
dikesan disebabkan ketiadaan CCTV di tempat kejadian. Realitinya, terdapat
banyak kes pembunuhan yang melibatkan pembunuh-pembunuh upahan yang
semakin berleluasa di negara kita dan tidak dapat dikesan. Sekiranya
dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun,
Australia, Singapura, China dan lain-lain, sudah tentu kes yang tidak mempunyai
jalan keluar ini dapat diselesaikan. Oleh yang demikian, pihak berkuasa
tempatan patut menempatkan CCTV di kawasan berisiko tinggi seperti bank,
kawasan perumahan, sekolah, taman permainan, dan banyak lagi. Hal ini
demikian supaya pihak polis dapat mengecam muka penjenayah, merakan
semula kejadian jenayah tersebu, serta membuat analisis secara terperinci yang
dapat membantu menyelesaikan kes jenayah sehingga tertangkapnya
penjenayah terbabit. Oleh itu, CCTV patut ditempatkan di kawasan berisiko tinggi
supaya masalah jenayah di negara kita dapat dikurangkan.

Tidak dapat disangkal bahawa pendidikan merupakan wahana penting dalam


usaha mencegah masalah jenayah yang berlaku di negara kita. Selain langkah
drastik, kerajaan turut menggunakan pendekatan psikologisebagai alternatif
dalam mengurangkan masalah jenayah, khasnya dalam kalangan remaja.
Walaupun pendorong kepada peningkatan jenayah berat merupakan golongan
dewasa seperti pembunuh upahan dan seumpamanya, golongan remaja juga
perlu disuntik dan ditanam dengan ajaran moral dan pegengan akidah yang utuh
untuk memastikan agar mereka tidak cenderung ke arah melakukan jenayah, bak
kata pepatah, melentur rebung biarlah dari rebungnya. Penerapan nilai-nilai
murni dalam mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam di peringkat
sekolah akan dapat mendedahkan para pelajar tentang norma hidup masyarakat
yang berkiblatkan kasih sayang dan perpaduan. Hal ini secara implisitnya dapat
menyemai nilai murni dan ajaran agama yang kukuh dalam jiwa pelajar agar
mengelakkan diri daripada terjebak dalam kes jenayah. Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) yang dilaksanakan sejak tahun 2004 oleh pihak kerajjan, yang
berobjektifkan melahirkan modal insan yang berintegriti juga merupakan langkah
yang efisien dalam memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan
generasi muda. Dengan adanya pendekatan psikologi ini, pelajar akan
meletakkan perpaduan dan keamanan negara sebagai keutamaan. Hal ini
penting dalam mengurangkan masalah jenayah dalam kalangan masyarakat.

Secara tuntasnya, masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi perlu diatasi


sebelum nasi menjadi bubur. Berleluasanya kes jenayah seperti pembunuhan
kejam adik Nurul Jazlin Jazimin, 8 tahun yang mati akibat didera secara seksual
dan fizikal serta kes kehilangan adik Sharlinie Mohamad Nasyar hanya akan
menggugat dan menjejaskan imej Malaysia sebagai negara yang aman dan
sejahtera. Justeru, rakyat perlu lebih proaktif dan berganding bahu dengan pihak
kerajaan bagi aur dengan tebing bagi membanteras jenayah di negara kita.

SOALAN LATIHAN :
Isu perdagangan manusia dikatakan semakin meningkat di Malaysia. Hal ini
sebanyak sedikit telah menjejaskan kedaulatan Malaysia. Bincangkan.

Sejak kebelakangan ini, isu pemerdagangan manusia menjadi isu global di


serantau negara. Pemerdagangan manusia boleh ditakrifkan sebagai bentuk
perhambaan pada masa kini. Malaysia dikatakan menjadi tempat paling strategik
untuk sindeket-sindeket memperdagangkan manusia. Contoh pemerdagangan
manusia yang sering berlaku adalah penjualan organ manusia, sindeket
pelacuran dan kerja tanpa gaji kepada buruh-buruh asing.

Penguatkuasaan undang-undang yang kurang berkesan merupakan punca


peningkatan pemerdagangan manusia ke negara Malaysia. Terdapat beberapa
lokasi strategi seperti lapangan terbang, pintu masuk sempadan atau pelabuhan
menjadi tumpuan agen-agen khas yang dilantik sindiket bagi berurusan dengan
pihak berkuasa meneruskan aktiviti penyeludupan manusia. Terdapat juga
segelintir pihak berkuasa yang diamanahkan untuk bertanggungjawab menjaga
sempadan seperti pihak polis dan pegawai kastam bertindak mengambil rasuah
daripada sindiket dan bertindak memandang sebelah mata sahaja. Sejak empat
tahun lepas, terdapat 416 kes penguatkuasaan pemerdagangan orang berjaya
direkodkan.

Selain itu, pendedahan yang kurang mengenai jenayah penyeludupan


manusia. Kebanyakkan warga asing mudah tertipu dengan agen-agen sindiket
yang membawa mereka masuk ke sini. Mereka dijanji dengan janji-janji manis
seperti peluang pekerjaan yang lebih lumayan dan keadaan ekonomi yang lebih
terjamin. Rakyat tempatan sendiri juga kurang memberi maklumat mengenai
kewujudan jenayah ini kerana mereka juga tidak tahu bahawa jenayah ini sudah
menjadi salah satu musuh negara yang berada di tahap yang agak
membimbangkan.

Di samping itu, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat juga merupakan


faktor tarikan pemerdagangan manusia berlaku di Malaysia. Permintaan guna
tenaga buruh asing yang tinggi di Malaysia oleh majikan tempatan disebabkan
faktor perbelanjaan yang murah. Terdapat pelbagai pekerjaan yang dilakukan
oleh mereka seperti perkhidmatan, perlombongan, perkilangan dan pertanian.
Rakyat asing yang kurang berpengetahuan mengenai jenayah ini tertarik untuk
datang ke Malaysia kerana dijanjikan peluang pekerjaan yang menghasilkan gaji
yang lumayan. Namun pada hakikatnya mereka ditipu dan diberi kerja sebagai
hamba, pelacur atau buruh paksa yang tidak dibayar gaji dengan setimpalnya.

Disebabkan masalah ini, jenayah ini telah mendatangkan pelbagai kesan


negatif yang turut menjejaskan kedaulatan Malaysia. Kesan utama yang menjadi
punca adalah mencemarkan nama baik Malaysia dalam arena antarabangsa.
Kedudukan Malaysia dalam senarai 16 negara berprestasi buruk dalam
mengekang isu pemerdagangan manusi bukanlah pencapaian yang patut
dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Malahan kedudukan ini menunjukkan negara
lemah dalam mentadbir negara dan memperkasakan undang-undang. Masalah
ini juga menjejaskan pertumbuhan ekonomi di Malaysia. Pelabur-pelabur asing
akan berasa ragu-ragu untuk melabur di negara ini kerana gagal menunjukkan
keprihatinan terhadap isu global ini.

Seterusnya, hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar juga akan turut
terjejas. Hal ini demikian kerana penyeludupan dan pemerdagangan manusia
melanggar hak sesebuah negara dan isu-isu yang berlaku dapat menjejaskan
sedikit sebanyak hubungan diplomatik antara negara. Isu-isu seperti penderaan
malahan pembunuhan pembantu rumah menimbulkan rasa tidak puas hati
antara negara yang terlibat. Terdapat segelintir majikan yang bertindak kejam
seperti diberi makan hanya sekali dalam sehari, dipukul dengan kuat dan tidak
diberi gaji kepada amah mereka bukanlah tindakan yang wajar yang patut
dilakukan

Kerja-kerja sukarela mendatangkan pelbagai manfaat kepada masyarakat.


Walaupun begitu, sesetengah anggota masyarakat kita kurang berminat untuk
menyertainya. pada pendapat anda, mengapakah mereka bersikap demikian?

"Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima". Ungkapan
ini sangat bermakna kepada semua orang. Sesuatu pemberian tidak semestinya
harus dengan wang. Kesukarelawanan ialah suatu konsep berkaitan dengan
sumbangan atau perkongsian masa, sumber, pengetahuan, kemahiran,
pengalaman dan sebagainya yang dilakukan atau dikongsikan secara sukarela,
yakni tanpa paksaan oleh sesiapa tanpa berbayar atau mengharapkan ganjaran
kewangan atau material. Kegiatan sukarelawan sebenarnya sudah lama
beroperasi di negara Malaysia tetapi tidak disedari ramai rakyat Malaysia
terutamanya golongan belia. Antara contoh kerja-kerja sukarela ialah memberi
bantuan kepada mangsa bencana alam, gotong-royong dan melakukan rondaan
pada waktu malam di kawasan kejiranan.

Antara manfaat kerja-kerja sukarela ialah dapat melengkapkan diri dengan


pelbagai ilmu pengetahuan terutamanya kepada golongan remaja. Seseorang
individu boleh belajar pelbagai kemahiran yang tidak dapat dipelajari di sekolah
mahupun di rumah. Antaranya ialah kemahiran berkomunikasi dengan
masyarakat sekelilng, pengurusan media dan mempelajari ertinya kerjasama.
Kesannya, kerja-kerja sukarela sebegini dapat melatih dan memupuk sifat
kepimpinan di dalam seseorang individu. Hal ini kerana mereka akan memberi
motivasi kepada masyarakat yang lain dan dapat menguruskan sesuatu
organisasi tentang sesebuah aktiviti kesukarelawanan. Tegasnya, seseorang
individu hendaklah mencuba sekurang-kurangnya sekali dalam aktiviti
kemasyarakatan seperti ini.

Selain itu, aktiviti kesukarelawanan juga adalah salah satu alternatif untuk
menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala negatif. Seseorang individu
akan banyak meluangkan masa melakukan aktiviti yang lebih berfaedah seperti
aktiviti kesukarelawanan daripada melakukan gejala sosial. Antara contoh gejala
negatif ialah mengamalkan budaya lepak bersama rakan sebaya, melakukan
vandalisme dan gangsterisme. Secara tidak langsung, remaja akan mempunyai
lebih ramai rakan yang mempunyai aura positif daripada negatif. Seseorang
individu juga akan lebih mengamalkan nilai-nilai murni akibat kesedaran yang
telah dilalui ketika melakukan aktiviti kemasyarakatan. Tuntasnya, remaja
haruslah aktif melibatkan diri dalam program kemasyarakatan agar gejala sosial
di negara dapat dikurangkan.

Meskipun aktiviti kemasyarakatan mempunyai pelbagai kebaikan, terdapat


segelintir masyarakat yang tidak berminat dengan program ini. Punca dominan
sesetengah masyarakat tidak berminat dengan aktiviti seperti ini ialah kurangnya
sikap kesedaran dengan masyarakat sekeliling. Sesetengah individu akan
menggunakan alasan 'sibuk' dan 'tiada masa' jika diajak untuk sertai. Kanak-
kanak juga lebih gemar bermain dengan gajet-gajet yang telah dibekalkan
kepada mereka. Laman-laman sosial seperti 'Instagram', 'Twitter' dan 'Facebook'
lebih menarik minat mereka berbanding dengan aktiviti kemasyarakatan yang
lebih mendatangkan faedah. Kesannya, anak muda akan lebih bersikap 'seperti
katak di bawah tempurung' yang tidak menghiraukan keadaan sekeliling dan isu-
isu semasa.

Selain itu, masyarakat yang bersifat kebendaan ataupun materialistik juga


merupakan salah satu faktor. Sesetengah individu tidak mahu terlibat dengan
aktiviti kemasyarakatan. Tidak dinafikan di dunia yang serba moden kita
memerlukan duit untuk meneruskan hidup. Kita hendaklah sedar akan ganjaran
yang kita tidak nampak di akhirat kelak. Secara realitinya, kita akan berasa lebih
lega daripada mendapat duit jika kita berjaya membuat seseorang itu gembira
dan tersenyum. Kesannya, duit yang dilaburkan untuk orang yang
berkemampuan akan menjadi lebih berkat dan lebih melimpah-ruah. Tegasnya,
kita hendaklah bijak membahagikan duit kepada yang lebih memerlukan dan
keperluan kita.

Seterusnya, masyarakat yang bersifat hedonistik dan individualistik juga punca


sesetengah masyarakat tidak menggemari aktiviti kemasyarakatan. Budaya
hedonistik ialah satu budaya atau cara hidup yang suka akan hiburan dan
keseronokan semata-mata tanpa menghiraukan perkara lain manakala
individualistik ialah suatu cara hidup yang mementingkan diri sendiri dan tidak
suka akan teguran atau pendapat orang lain. Segelintir individu yang memiliki
sikap ini, mereka tidak akan menghadirkan diri daripada menyertai aktiviti
kesukarelawanan. Mereka lebih suka hidup dalam dunia mereka sendiri seperti
melayari internet, membaca buku atau melakukan kerja rumah tanpa keluar dari
rumah. Tegasnya, masyarakat Malaysia sememangnya mudah terpengaruh
dengan budaya tidak sihat ini.

Kesimpulannya, kita hendaklah berganding bahu bagi memperkenalkan lagi


aktiviti kemasyarakatan ini. Kita tidak boleh mengharapkan satu pihak sahaja
untuk menggerakkan aktiviti ini. Sebagai amsyarakat yang prihatin, kita haruslah
peka akan program seperti ini dan sentiasa bersedia untuk melibatkan diri. Tidak
rugi malahan banyak manfaat jika kita sertai program seperti ini. Kepuasan yang
kita peroleh tidak akan kita dapat walaupun duit jutaan ringgit. Amalan yang
murni ini dapat dijadikan contoh kepada negara lain seterusnya meningkatkan
imej negara ke persada antarabangsa sebagai contoh negara yang prihatin.

Soalan Karangan:

Pada masa ini, timbul masalah rumah yang telah siap dibina tetapi belum dijual
oleh syarikat pemaju perumahan. Huraikan pendapat anda tentang punca yang
menyebabkan masalah tersebut berlaku dan kesan-kesannya.

Di Malaysia, fenomena rumah yang tiada pembeli semakin kerap dilaporkan di


media massa, tidak kira di bandar seperti Kuala Lumpur bahkan di pinggir kota
juga turut mengalami masalah yang sama. Perkara ini seolah-olah tiada
penyelesaian kerana semakin banyak perumahan baru muncul, bak cendawan
tumbuh selepas hujan. Tindakan yang diambil oleh pihak berwajib pula
bagaikan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Akibatnya, banyak perumahan yang
terbiar dan kosong tanpa penghuni yang boleh disalahgunakan oleh orang yang
tidak bertanggungjawab. Jadi, masalah ini seharusnya mendapat perhatian yang
sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab agar dapat diselesaikan
dengan segera. Sebenarnya, masalah ini bukannya berlaku dengan tiba-tiba
tetapi banyak faktor penyebabnya yang akhirnya memberikan kesan kepada kita.

Rumah yang tidak dapat dijual oleh pemaju kebanyakannya disebabkan oleh
ketiadaan Sijil Kelayakan Menduduki Rumah (CF). Sijil ini dikeluarkan oleh
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai tanda kelulusan atau
pemberitahuan bahawa sesebuah rumah selamat daripada bahaya dan boleh
diduduki oleh penghuninya. Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam
pemberian CF ini ialah kualiti bahan binaan yang digunakan dan ketahanan
bangunan tersebut untuk menampung penghuni. Kadang-kadang, CF lambat
atau gagal diberi, kerana ketidaksempurnaan kerja atau berlaku penipuan dalam
meluluskan projek perumahan ini. Hal ini akan menyebabkan pengguna tidak
mahu membeli rumah kerana mereka khuatir keselamatan dan nyawa mereka
akan terancam.

Selain itu, kos rumah yang terlibat seperti harga yang diletakkan oleh pemaju
terhadap rumah-rumah yang telah dibina itu tinggi dan mungkin terlalu mahal
untuk individu yang berpendapatan sederhana dan rendah. Hal ini berlaku
demikian kerana, bahan-bahan mentah yang digunakan seperti simen, rangka
besi, dan pasir dibeli dengan harga yang mahal berikutan pemborong
meletakkan harga mengikut pasaran semasa. Oleh itu, untuk mendapatkan
pulangan modal, pemaju terpaksa meletakkan harga yang bersesuaian dengan
kos pembinaan tersebut. Harga yang tinggi ini menyukarkan penduduk yang
berpendapatan sederhana atau rendah untuk memiliki sebuah kediaman untuk
mereka kerana khuatir bahawa perbelanjaan mereka melebihi anggaran yang
sepatutnya. Oleh hal yang demikian, pemaju perlulah meletakkan harga yang
berpatutan agar masyarakat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan
rendah mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Kawasan perumahan yang tidak strategik turut mempengaruhi penjualan


sesebuah rumah tersebut. Kebiasaannya, para pemaju perumahan akan
menjadikan tanah atau kawasan baharu yang terletak di pinggir kota atau jauh
dari bandar sebagai kawasan perumahan yang baharu. Hal ini berlaku demikian
kerana, di kawasan tersebut terdapat tanah yang lapang, luas dan tiada lagi
penduduk yang menghuninya. Walau bagaimanapun, kawasan perumahan yang
baru itu selalunya tidak mempunyai prasarana atau kemudahan infrastruktur
fizikal seperti jalan raya, pengangkutan awam, sekolah, kedai dan klinik. Selain
itu, jarak yang jauh dari kota atau tempat kerja meningkatkan ketidakinginan
masyarakat untuk membeli rumah itu. Akhirnya, kawasan perumahan baharu itu
terus menjadi projek gajah putih iaitu terbiar tanpa pembeli, sekali gus akan
merugikan pihak pemaju perumahan.

Masalah ini akan menimbulkan kesan terhadap masyarakat dan juga negara
amnya. Masalah tersebut ialah masalah sosial dalam kalangan warga tempatan
atau pun yang dilakukan oleh warga asing. Perkara ini disebabkan kawasan
perumahan yang banya rumah kosong dan terbiar lebih mudah disalahgunakan
oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti penagih dadah untuk
melakukan aktiviti mereka kerana tiada orang untuk mengawasi dan memantau
kawasan tersebut. Rumah-rumah kosong ini juga dijadikan tumpuan oleh pelajar-
pelajar yang ponteng sekolah. Di samping itu, kawasan perumahan tersebut
seolah-olah menggalakkan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat dijalankan tanpa
rasa segan silu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh itu,
jawatankuasa penduduk di kawasan perumahan berhampiran dengan kerjasama
pihak berkuasa tempatan terpaksa melakukan rondaan sebagai langkah berjaga-
jaga untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak elok daripada berlaku.

Hasil kutipan cukai oleh kerajaan turut terkena tempiasnya apabila rumah-rumah
tersebut tidak laku di pasaran kerana pihak pemaju tidak mendapat pulangan
yang disasarkan akibat rumah yang dibina itu tidak dapat dijual sepenuhnya.
Jadi, pihak pemaju tidak dapat membayar cukai keuntungan syarikat yang akan
digunakan untuk membangunkan negara dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat. Di
samping pendapatan kerajaan akan menguncup, terdapat juga pekerja
sesetengah syarikat perumahan yang terpaksa memberhentikan pekerjanya dan
hal ini sudah tentu menimbulkan masalah kepada pekerja yang diberhentikan itu.
Oleh itu, taraf hidup yang sepatutnya meningkat sejajar dengan peredaran
zaman berlaku penurunan dan impaknya akan dirasai oleh rakyat Malaysia.

Kesimpulannya, pembangunan sesuatu kawasan yang disokong oleh


pertumbuhan rumah-rumah baharu sepatutnya mampu dimiliki oleh penduduk
tempatan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak berlaku malahan jualan yang
disasarkan tidak dapat dicapai akibat kesilapan pihak pemaju itu sendiri yang
mengharapkan untung yang berlipat kali ganda. Harapan pemaju peruamahan
tidak menjadi kenyataan, malahan masalah-masalah lain pula yang berlaku. Oleh
hal yang demikian, pemaju perumahan hendaklah sentiasa memikirkan cara-cara
untuk menjalankan promosi yang bersesuaian agar dapat menarik minat pembeli
rumah untuk membeli produk mereka itu dengan kerjasama pihak kerajaan.
Diharapkan juga, pada masa akan datang tiada lagi rumah yang terbiar kerana
ketiadaan pembeli, dan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah mereka sendiri.
Kepentingan Rukun Negara dan Wawasan 2020

Proses pembangunan negara kita mengalami perubahan yang pesat sejak


kebelakangan ini. Pelbagai dasar dan program sudah dirangka bagi memacu dan
menjayakan pertumbuhan politik, ekonomi dan sosial negara supaya selari
dengan perkembangan dunia masa kini. Dalam usaha menjadikan Malaysia
sebagai negara maju dan moden, sektor pendidikan mempunyai kepentingannya
yang amat luas kepada pembangunan negara. Peranan pendidikan dapat
mengubah gaya dan corak masyarakat serta negara dalam konteks permodenan
dan perkembangan dunia masa kini. Tranformasi masyarakat berlaku daripada
pertanian kepada masyarakat industri, daripada masyarakat berpengetahuan
kepada masyarakat informasi maklumat sesuai dengan perkembangan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT) dewasa kini.
Persaingan di peringkat global telah menghasilkan satu gelombang baru dalam
perencanaan dasar dan program negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai
negara maju dan moden. Bertepatan dengan pembangunan pesat negara abad
ini, aspek perpaduan kaum tidak wajar diketepikan. Integrasi kaum perlu
dipupuk melalui pendidikan dan persekolahan (Abd. Rahim 2005). Pendidikan
harus memainkan peranan penting untuk mencapai Wawasan 2020 bagi
menjadikan Malaysia sebuah negara maju berdasarkan acuan sendiri. Intipati
kepada pertumbuhan pesat bagi mencapai halatuju pembangunan negara kita,
kandungan dan kefahaman berhubung dengan prinsip-prinsip Rukun Negara dan
Wawasan 2020 perlu dihayati setiap lapisan masyarakat di negara ini. Dengan
demikian, kemajuan negara dapat dicapai dan dikecapi dengan pantas oleh
masyarakat kita. Pembangunan mapan yang berasaskan
pengetahuan (knowledge), teknologi dan pengurusan perlu digandingkan
dengan perpaduan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan keturunan
supaya Malaysia terus maju dan berdaya saing di peringkat global.

Kepentingan Rukun Negara

Penggubalan Rukun Negara pada tahun 1970 adalah bersandarkan kepada


keperluan menimbulkan semangat dan identiti yang sama bagi semua rakyat
Malaysia. Rukun Negara yang disifatkan sebagai ideologi kebangsaan difikirkan
boleh mengeratkan perpaduan kaum memandangkan masyarakat akan
mempunyai fikiran, perasaan dan nilai-nilai yang sama. Di antara prinsip-prinsip
Rukun Negara ialah;
(i) Kepercayaan kepada Tuhan;
(ii) Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
(iii) Keluhuran Perlembagaan;
(iv) Kedaulatan Undang-undang; dan
(v) Ksopanan dan kesusilaan.
Sumber : Ranjit Singh Malhi, (1996)
Secara umumnya, kelima-lima prinsip ini bertujuan mewujudkan sebuah negara
Malaysia yang bersatu padu serta sebuah masyarakat Malaysia yang adil,
demokratik, liberal dan progresif, Berdasarkan prinsip yang pertama, iaitu
Kepercayaan kepada Tuhan di mana semua rakyat Malaysia harus mengakui
bahawa Tuhan melebihi sebarang kuasa lain. Islam yang dipilih sebagai agama
rasmi Persekutuan Malaysia telah menjadi rujukan dan panduan keseluruhan
umat manusia. Walau bagaimana pun, agama-agama lain boleh dianuti oleh
rakyat. Secara umumnya, seseorang yang patuh dan taat kepada ajaran
agamanya mempunyai budi perkerti yang mulia serta sifat-sifat yang terpuji.
Keteguhan imannya dan bersikap tolong menolong kepada orang yang susah
tanpa mengira kaum. Berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan yang Maha
Berkuasa rakyat Malaysia mempunyai sikap rendah diri dan sentiasa bersyukur
dan menghargai nikmat yang diberikan oleh Tuhan.
Prinsip kedua yang menekankan aspek Kesetiaan kepada Raja dan Negara
meletakkan Yang diPertuan Agong adalah lambang perpaduan negara kita.
Dalam konteks perhubungan rakyat dan Raja; rakyat harus mencurahkan taat
setianya kepada Raja manakala Raja atau pemerintah harus menyediakan
perlindungan kepada negara dan seluruh rakyat jelata. Hubungan timbal balas ini
meletakkan asas kesetiaan tidak berbelah bahagi dalam kalangan rakyat lantas
membentuk semangat kebangsaan yang boleh menyatupadukan rakyat semua.
Sebagai contoh, jika seseorang rakyat Malaysia yang berada di luar negara
menghadapi kesusahan, maka kedutaan negara kita sebagai wakil Yang
diPertuan Agong bertanggungjawab untuk membantunya (Siti Zuraina et.al.,
1992). Peribahasa Melayu berbunyi, di mana bumi dipijak, di situ langit
dijunjung seharusnya menjadi amalan rakyat Malaysia. Justeru, setiap rakyat
Malaysia sewajarnya mengetahui asal-usul masing-masing supaya tidak lupa aan
kedudukannya di mata pihak lain. Sikap rendah diri dan memahami akan
kepentingan orang lain dapat membentuk perpaduan dalam kalangan
masyarakat kita.
Keluhuran Perlembagaan mengkehendaki setiap rakyat menghormati dan
mematuhi Perlembagaan. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi
negara. Oleh yang demikian, setiap warganegara Malaysia seharusnya patuh
akan Perlembagaan supaya negara menjadi aman dan damai. Dalam konteks ini,
tiada individu yang terkecuali daripada mematuhi Perlembagaan. Perlembagaan
bertanggungjawab menjaga hak rakyat serta menjamin kemakmuran dan
perpaduan negara. Sebagai contoh, seseorang tidak boleh mempersoalkan
kesetiaan seseorang rakyat lain berdasarkan keturunan atau kaum. Pada
hakikatnya, Perlembagaan menentukan bentuk pentadbiran serta melindungi hak
asasi manusia secara keseluruhannya.
Prinsip Kedaulatan Undang-undang bertujuan menjamin keadilan dalam negara
Malaysia. Husin Mohd Tap et.al.,(2007) menegaskan undang-undang dapat
menjamin keadilan serta keamanan kerana setiap rakyat tertakluk pada
perlaksanaan undang-undang. Dengan kata lain, semua rakyat adalah sama di
sisi undang-undang. Sesiapa yang melanggar undang-undang negara akan
dihukum tanpa mengira bangsa dan kaumnya. Di Malaysia, undang-undang yang
sedia ada memang cukup baik dan relevan dalam membendung masalah seperti
jenayah,penipuan, penindasan dan sebagainya. Keadaan ini dapat dibuktikan di
mana kes-kes jenayah berada pada indek rendah berbanding dengan negara-
negara lain di rantau ini. Keadaan masih terkawal kerana setiap rakyat Malaysia
memahami situasi ini, aspek keamanan dan keselamatan harus dipelihara
selamanya.
Prinsip kelima bermakna bahawa rakyat Malaysia harus bertolak ansur,
bertimbang rasa dan berkelakuan baik. Pengamalan prinsp Kesopanan dan
kesusilaan ini boleh membawa kepada perhubungan yang harmoni dalam
masyarakat kita. Rakyat yang bersopan santun dan bertatasusila dapat
membentuk masyarakat yang bersatu-padu. Prinsip ini sangat penting untuk
mewujudkan masyarakat yang menghormati dan menghargai kepentingan kaum
lain. Sesuai dengan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, rakyat
harus menghormati dan sling memahami adat resam dan nilai hidup kaum lain
dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
Secara kesimpulannya, prinsip-prinsip Rukun Negara sangat penting dan wajar
dipraktikkan agar pembentukan masyarakat ke arah perpaduan, demokratik, adil,
liberal dan progresif dapat dicapai dengan mudah.

Kepentingan Wawasan 2020


Wawasan 2020 merupakan perancangan strategik jangka panjang yang berkaitan
dengan halatuju pembangunan negara Malaysia menjelang dekad akan datang.
Dalam tempoh masa ini kelak, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju
berdasarkan acuan sendiri (Malaysia, 2001). Dasar pembangunan mapan
memerlukan negara merangka pelan tindakan bagi mencapai matlamat menjadi
negara maju. Pembangunan negara yang bergantung kepada pengetahuan
teknologi, pengurusan dan sebagainya adalah kekunci kejayaan negara daam
meningkatkan kemajuan, kemakmuran dan pengagihan kekayaan dapat
dilakukan dengan lebih adil dan saksama.
Cetusan Wawasan 2020 oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu
Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu forum perniagaan pada 28 Februari, 1991
telah merencanakan sembilan cabaran yang bakal diharungi oleh negara bagi
menjadi sebuah negara maju pada masa itu. Di bawah ini tersenarai sembilan
cabaran Wawasan 2020, iaitu:

Cabaran1 Membentuk sebuah negara bangsa yan bersatu padu;


Melahirkan sebuah masyarakat yang bebas, teguh
Cabaran2
dan mempunyai keyakinan diri;
Membangunkan masyarakat demokratis yang
Cabaran3
matang;
Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh moral
Cabaran4
dan etikanya dan utuh nilai keagamaannya;
Mewujudkan masyarakat yang matang dan bersifat
Cabaran5
toleran;
Membentuk masyarakat yang bersifat sains serta
Cabaran6
progresif;
Mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya
Cabaran7
penyayang;
Menjamin pembentukan sebuah masyarakat yang adil
Cabaran8
ekonominya; dan
Cabaran9 Mewujudkan masyarakat yang makmur.

Sumber : Ramlah Adam et.al., (2003) m.s.220


Perpaduan merupakan asas kekuatan sesebuah negara yang sangat penting.
Melalui dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Pembanguanan Nasional, Dasar
Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan
Kebangsaan telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada perpaduan di
negara ini. Pelbagai lapisan masyarakat telah melibatkan diri dalam banyak
dasar ini bagi mencorak dan membentuk indentiti negara Malaysia yang bersatu
padu.
Bagi melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan
mempunyai keyakinan diri yang tinggi sewajarnya rakyat Malaysia berbangga
dengan pencapaian serta tabah menghadapi cabaran. Bangsa yang gagah dan
tabah adalah bangsa yang ingin berjaya dan sanggup berjuang mempertahankan
maruah negara. Setiap warganegara harus menyedari peranan masing-masing
selari dengan usaha memajukan negara ke persada dunia supaya Malaysia
sentiasa dikenali di seluruh dunia.
Masyarakat Malaysia yang demokratik perlu dipupuk dan dibina. Menurut
Ramlah Adam (2003) masyarakat yang demokratik memiliki kebebasan untuk
memlih kerajaan. Rakyat yang berfikiran matang akan menggunakan hak-hak
demokrasinya dengan sewajarnya. Segala perasaan tidak puas hati dan teguran
kepada kerajaan dan pemimpin perlu disalurkan melalui saluran-saluran yang
tertentu dalam keadaan yang mesra dan bersifat membina.
Dalam membentuk sebuah masyarakat yang kukuh moral dan etikanya, dan utuh
nilai keagamaannya perlu diseimbangkan. Sejajar dengan menjadi Malaysia
negara maju, rakyat harus kita mempunyai budi pekerti yang luhur, nilai-nilai
moral, etika, keagamaan dan kerohanian yang utuh sepanjang masa. Keadaan ini
membolehkan rakyat Malaysia bersaing di peringkat global sebagai bangsa yang
bertamadun dan berdaulat. Setiap warganegara tidak harus menafikan nilai-nilai
moral dalam hidup bagi bersaing secara kompetetif di peringkat global.
Keteguhan nilai-nilai yang positif wajar disemai di dalam jiwa masyarakat tanpa
mengira latar belakang, budaya dan agama supaya dapat kita memberi
komitmen sebagai bangsa Malaysia yang semerlang.
Dalam konteks masyarakat majmuk, proses mewujudkan masyarakat yang
matang dan bersifat toleran adalah Cabaran kelima dalam Wawasan 2020 yang
memberi fokus aspek perpaduan wajar dipupuk dalam segenap lapisan rakyat
Malaysia. Perpaduan akan memberi banyak kebaikan dalam perhubungan antara
kaum di negara ini. Sikap tolak ansur yang ada pada rakyat Malaysia dapat
melahirkan dan mengekalkan perpaduan kaum dalam jangka masa panjang dan
menjadi landasn kepada kerjasama seterusnya. Peristiwa sejarah hitam negara,
yakni 13 Mei, 1969 menjadi tanda penting akan kerapuhan perpaduan rakyat
sehingga menyebabkan bencan. Keadaan sangat merugikan negara Malaysia dan
masyarakat secara keseluruhannya, terutama golongan yang tidak berdosa.
Cabaran keenam ialah mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif serta
mempunyai wawasan hidup dapat menyerap segala perubahan persekitarannya
untuk membina bangsa Malaysia yang cemerlang. Masyarakat yang moden dan
peka dengan perkembangan teknologi dapat menjadi pemangkin kepada
perkembangan tamadun secara saintifik dan berteknologi tinggi. Dalam era
teknologi maklumat dan komuniasi (ICT) masa kini, kemajuan dan
kecemerlangan diikmati adalah hasil daripada usaha dan kesungguhan setiap
rakyat Malaysia yang tidak pernah putus asa. Banyak kejayaan yang dikecapi
selama ini dapat menjadi pemangkin dan ikhtibar kepada kita untuk terus
berjaya dan sentiasa berdaya saing di peringkat global.
Proses melahirkan masyarakat penyayang di Malaysia merupakan satu
tanggungjawab bagi memodenkan tanggapan dan pemikiran pelbagai peringkat
masyarakat di Malaysia. Masyarakat yang mengamalkan budaya penyayang
tidak individualistik tetapi berusaha mengukuhkan perhubungan sosial dalam
kalangan mereka agar nilai-nilai kasih sayang dapat dipupuk dan diamalkan
dalam perhubungan. Kasih sayang dalam kekeluargaan adalah bermula daripada
kasih sayang dalam keluarga itu sendiri. Hubungan yang mesra dan akrab dapat
membentuk jiwa anak-anak yang sayang akan ibu bapa mereka. Justeru,
penekanan kepada nilai-nilai berbudi dan penyayang ini wajar ditanam dalam
setiap benak generasi baru kini supaya sayang dan tidak memingirkan akan
orang tua mereka.
Dalam konteks ekonomi, cabaran kelapan Wawasan 2020 memberi fokus
terhadap jaminan pembentukan sebauah masyarakat yang adil dari segi
ekonominya. Dasar-dasar yang berkaitan dengan ekonomi seperti Dasar
Ekonomi Baru, Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan sebagainya memberi
nafas baru dalam pengagihan ekonomi secara adil dan saksama. Kelompok
rakyat yang miskin dan hidup melarat tidak wajar diketepikan kewujudan mereka
dalam sebuah negara maju seperti Malaysia. Pengagihan kekayaan secara adil
dan saksama dalam kalangan rakyat perlu diteruskan dengan lebih berkesan
agar setiap rakyat dapat menikmati buah kemerdekaan tanpa perasaan pilih
kasih.
Di samping itu, masyarakat yang makmur dapat dicirikan dengan kemewahan
hidup yang baik dan mempunyai taraf hidup yang tinggi. Pada masa yang sama
tiada ahli masyarakat kita yang melarat dalam kehidupan mereka. Masyarakat ini
ialah masyarakat yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi serta mampu
menghadapai segala masalah dan cabaran dengan baik. Nur Munirah (2002)
menyatakan masyarakat yang berdaya tahan dan saing adalah bangsa Malaysia
dapat menjamin keseinambungan tamadun bangsa dan negara pada masa
hadapan. Pendapatan isi rumah yang meningkat dan berada pada tahap yang
tinggi akan melahirkan kemewahan dalam kalangan masyarakat Malaysia agar
mampu bedaya saing dan tabah dengan segala cabaran.
Sesungguhnya, Wawasan 2020 hanya akan menjadi kenyataan sekiranya setiap
lapisan masyarakat Malaysia sentiasa berganding bahu dan sanggup memikul
tanggungjawab yang berat ini bagi meneruskan kesinambungan bagi menjadikan
Malaysia sebagai negara moden dan maju pada masa akan datang.

Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan
baik oleh manusia.
Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan
sungai dalam kehidupan.
Beribu-ribu ekor ikan terapung-apung di permukaan sungai
sungai di Pahang telah teruk dicemar.
Begitulah tajuk-tajuk berita yang acap kali menghiasi dan menguasai dada
akhbar-akhbar tempatan. Berita dan paparan media umpama ini bukan sahaja
menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan, isu ini juga
sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan persidangan utama
dunia.
Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke
bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran
sungai sudah menjadi berita basi. Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen
seperti Cintailah Sungai Kita tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada
segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan
meningkatnya kes ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, pernahkah terlintas
dalam benak anda apakah yang dimaksudkan dengan pencemaran sungai?
Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat,
pencemaran sungai dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan
sungai yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara. Fenomena yang
terjadi ini pasti ada sebab-sebab yang munasabahnya kerana kalau angin tidak
bertiup, masakan pokok bergoyong? Tahukah anda faktor-faktor yang
menyumbang kepada pencemaran sungai? Segalanya bakal terhurai tirai bicara
dibuka.
Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah
pembuangan sampah sarap oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh
masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai. Mereka membuang apa-
apa sahaja sampah sarap yang mereka ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh
dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman
globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai sebagai sebuah tong
sampah yang besar.Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan
Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang
membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada
jauh dari tempat tinggal mereka. Mereka malas untuk membuang sampah sarap
tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada kerana perlu memakan masa
yang banyak dan meletihkan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan
mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang
jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh. Sampah sarap yang
terapung-apung di permukaan sungai itu mempunyai bahan kimia yang akan
menyumbang kepada pencemaran sungai.
Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-
kilang ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan
mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai
yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan hidupan akuatik. Hal ini
dikatakan demikian kerana jikalau seseorang meminum air sungai yang pH
rendah, kesihatan seseorang itu mungkin terjejas dan yang memburukkan
keadaan lagi ialah mendatangkan kematian yang tidak diingini sama sekali.
Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang
tercemar tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Statistik yang sahih lagi tepat
yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Air Malaysia pada tahun 2008 jelas
menunjukkan kebanyakan kilang yang membuang sisa toksik ke dalam sungai
ialah kilang-kilang besar. Ketika ditanya tentang sebab mereka mengalirkan sisa
toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada
pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai tanpa
memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri ibagai
enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi
kepentingan bersama.
Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini
telah lama berlaku di dalam negara kita. Mengapakah hal ini akan berlaku?
Sebabnya ialah tong yang mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor
ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di
permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran bagi tumbuh-
tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak
tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-
tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses
tumbesaran tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan
proses pemhasilan makanan. Di negara lain seperti Jerman dan Australia,
masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku dalam negara tersebut
kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik
sekali.
Apakah kepentingan sungai dalam kehidupan seharian kita? Tidak dapat
dinafikan bahawa sungai memang mempunyai kepentingan tertentu dalam
kehidupan seharian kita. Kepentingan utamanya ialah sungai memainkan
peranannya sebagai medium pengangkutan dan penghubungan. Berbalik kepada
sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah memendekkan jarak perjalanan
antara Timur dan Barat. Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan
perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya dapat
dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan
sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat,
pengangkutan udara dan juga pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat
negara kita agar visi kudsi Wawasan 2020 dapat direalisasikan dan menjadi bumi
Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara gergasi
yang lain di persada dunia.
Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein
kepada manusia. Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang
dari air sungai. Jikalau air sungai telah tercemar, air sungai tersebut perlu
dibersihkan melalui proses yang merumitkan dan memakan kos seperti yang
berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan
akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Tanpa air sungai, manalah datangnya
ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari ini? Ikan, ketam dan udang
membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan
yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat
dalam ikan, ketam dan udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Peribahasa ini
mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan
habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang
akan membahagiakan kita pada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari
kemudiannya.
Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat ke bukit
sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengatasi kemelut pencemaran air
yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan
negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam negara
kita. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran dan bergelar insan
kamil, kita bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan anugerah
Tuhan yang amat bernilai ini. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan
mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena sudah terhantuk baru
tengadah. Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi
wawasan 2020. Cintailah Sungai Kita.

You might also like