You are on page 1of 13

PENGENALAN

Sabah merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan kebudayaan yang pelbagai.
Sabah mempunyai keluasan 73.711 kilometer persegi terletak di Utara Pulau Borneo
( Ismail Bungsu,1988). Terdapat lebih kurang 30 kumpulan etnik di Sabah dengan tidak
kurang 50 kumpulan bahasa dan 90 dialek, yang mana lebih 30 daripada bahasa itu
dimiliki oleh kaum bumiputera seperti Murut, Bajau, Rungus lotud dan Sungai.

Kadazandusun merupakan kumpulan etnik (bumiputera) yang terbesar di


Negeri Sabah. Masyarakat ini merupakan golongan petani, tetapi dengan
perkembangan sosio- ekonomi yang dicapai oleh negara Malaysia sekarang,
masyarakat ini beransur-ansur beralih ke bidang perkhidmatan, perniagaan dan
pertanian moden. Sebelum Sabah merdeka melalui Malaysia, masyarakat
Kadazandusun dikenali sebagai Dusun, iaitu nama yang diberi oleh orang luar kepada
mereka. Setelah mencapai kemerdekaan, mereka menggunakan nama "Kadazan"
secara rasmi sebagai identiti mereka. Tetapi, oleh 'kerana masih terdapat etnik dari
pedalaman yang berpendirian mendukung identiti "Dusun", istilah "Kadazan" dan
"Dusun" dipersatukan menjadi "Kadazandusun" untuk memupuk dan menyatupadukan
semangat "kesatuan" di kalangan mereka.

Menurut Dayu (2008), bahasa Kadazandusun terdiri daripada tiga kelompok,


iaitu bahasa keluarga Paitan, Murut dan Dusun. Suku-suku lain ialah Bajau, Brunei,
Suluk, Iranun dan Kedayan. Dalam kalangan suku ini, terdapat persamaan dan
perbezaan dari segi bahasa, agama, adat istiadat dan pegangan hidup termasuk
kebudayaan mereka. Kaum Kadazan-Dusun merupakan nama kaum bumiputera asli
yang terbesar di Sabah. Kaum ini juga dikenali sebagai "Momogun" atau "Mamasok"
yang masing-masingnya bermaksud "orang kebudayaan dan adat resam tradisional.
Menurut Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) dan di dalam
perlembagaanya, Kadazandusun merujuk kepada empat puluh etnik seperti Bonggi,
Lingkabau, Nabai, Tatana, Bundu, Liwan, Paitan, Tangara, Dumpas, Lobu, Pingas,
tidong, Gana, Lotud, Rumanau, Tindal, Garo, Lundayo, Rungus Tobilung, Idaan,
Makiang, Sinobu, Tolinting, Kadayan, Malapi, Sinorupu, Tombonuo, Kimaragang,
Mangkaak, Sonsogon, Tuhawon, Kolobuan, Minokok, Sukang, Tutung,Kuijau, Murut,
Sungai, Bisaya Kesemua etnik ini mempercayai bahawa mereka berasal dari Nunuk
Ragang,iaitu satu petempatan awal Kadazandusun yang terletak di kawasan
perkampungan Tompios dalam daerah Ranau.

Kadazan atau Dusun ?

Perbalahan tentang identiti 'Dusun' dan 'Kadazan' ini pernah terjadi di negeri Sabah.
Penduduk di daerah Penampang dan Papar memilih nama 'Kadazan' untuk suku
mereka, manakala penduduk di daerah Keningau, Tambunan, Ranau, dan Kuala Penyu
mengekalkan identiti 'Dusun' . Penghuni-penghuni di lembangan sungai pula merujuk
suku mereka sebagai 'Orang Sungai.

Krisis identiti suku (sama ada suku 'Dusun' atau 'Kadazan') ini telah lama
tercetus di kalangan orang-orang Dusun di Sabah. Pada zaman pemerintahan penjajah
Inggeris, tidak ada usaha membetulkan krisis tersebut kerana polisi 'Pecah dan
Perintah' pihak penjajah adalah berlandaskan dasar pengasingan kaum. Pada tahun 1
950-an, Tun Fuad Stephens dan Dato' Peter Mojuntin berusaha menyatukan berbagai-
bagai kelompok etnik di Sabah di bawah satu nama, iaitu 'Kadazan' tetapi tidak
berjaya. Usaha mereka gagal kerana istilah 'Kadazan' merupakan satu autonim yang
hanya digunakan oleh penutur- penutur bahasa Dusun di daerah Papar dan
Penampang

Istilah 'Kadazan' sebagai autonim mula tersebar selaras dengan pendaftaran


secara rasmi masyarakat Kadazan pada tahun 1 953 Sebilangan besar anggota
masyarakat Kadazan itu ialah individu-individu dari daerah Papar dan Penampang di
Sabah. Organisasi tersebut bertujuan meningkatkan kebajikan dan taraf pendidikan
kaum peribumi di seluruh Sabah (Malakun. 1 981: 140). Salah seorang pengasasnya
ialah Tun Fuad Stephens. Walau bagaimanapun, suku Rungus dan beberapa suku
dusun masih mahu mengekalkan identiti asal mereka, iaitu 'dusun'. Beberapa kaum di
Sabah beranggapan istilah 'Kadazan' hanyalah satu tanda keterangan diri kepada satu
kelompok etnik di Papar dan di Penampang. Istilah 'Kadazan' yang bertujuan
menyatukan semua kelompok etnik di bawah satu naungan dianggap sengaja
memberi keistimewaan kepada kelompok yang mengakui diri mereka sebagai
'Kadazan',( Appell, G. N, 1968).
Asal usul kadazandusun

Terdapat suku kaum Dusun di Sabah yang dikenali dengan nama 'Kadazan'. Pada
mulanya 'Kadazan' turut diklasifikasi sebagai bangsa yang sama serumpun dengan
'Dusun'. Apabila dimensi politik dilibatkan untuk mengelaskan suku-suku tersebut,
keadaan menjad itidak menentu. Bangsa Kadazan dan Dusun berkongsi bahasa dan
budaya serupa, meskipun dengan perbezaan dalam dialek. Hal yang membezakan
bangsa Kadazan dan Dusun adalah disebabkan faktor kedudukan geografi tempat
tinggal mereka. Bangsa Kadazan, menduduki tanah delta yang landai, yang sesuai
untuk sawah pertanian,manakala bangsa Dusun pula, biasanya menduduki kawasan-
kawasan berbukit dan bergunung-ganang di pendalaman Sabah.

Perkataan "Kadazan" bermaksud "Kedai". Ini mengambarkan bahawa bangsa


Kadazan ini menghuni dikawasan bandar-bandar, yang terdapat kedai-kedai, pendek
kata kaum Kadazan dusun ialah bangsa "Dusun" yang hidup didalam bandar. Dalam
sebutan bahasa Malaysia ia disebut "Kekedaian" ataupun "Kekedazan" dalam bahasa
dusun. Secara teorinya kaum ini sepatutnya hanya dipanggil bangsa "Dusun" dan
bukannya Kadazan dusun, memandangkan mereka ini adalah dari suku kaum yang
sama dan Dusun berkongsi bahasa dan budaya serupa, meskipun dengan perbezaan
dalam dialek.

Masyarakat Kadazandusun merupakan penduduk Sabah yang asli dan


dipercayai kumpulan yang terawal datang ke negeri Sabah (Rutter, 1922:54; Whelan,
1970:24). Menurut Dr. Jacqueline (dipetik Prof. Mohd. Taib Osman, 1987) Alliston
melaporkan mubaligh-mubaligh Roman Katholik mula-mula sekali mendapati nama
kadazan digunakan di kalangan Dusun Laut. Istilah ini dikatakan berasal daripada
perkataan "kakadazan" atau " kakadayan" yang bererti bandar atau penduduk bandar
dan perkataan ini luas digunakan apabila timbulnya parti-parti politik tempatan pada
tahun 1960an manakala Melayu Brunei dan Bajau menggunakan istilah Dusun untuk
penduduk bumiputera yang mengamalkan penanaman padi secara besar-besaran
daripada memburu dan berhimpun menurut Dr. Jacqueline (dipetik Prof. Mohd. Taib
Osman, 1987).

Pada mulanya Tun Fuad Stephens, Huguan Siou (Pemimpin Agung) pertama
Kadazan mencadangkan istilah Kadazan digunakan bagi menyatukan 14 suku kaum
yang berkongsi kumpulan bahasa bagi memberikan mereka suara yang lebih besar. Ini
dipersetujui oleh ramai, tetapi sesetengah orang Dusun mahukan atonomi lebih besar,
dengan itu istilah Kadazan-Dusun dipilih sebagai tolak-ansur.

LAGENDA NUNUK RAGANG

Catatan yang lengkap mengenai Nunuk Ragang sudah lama hilang namun apa yang
masih tinggal hanyalah teori-teori para ahli Sains Sosial dan cerita legenda. Nunuk
Ragang merupakan satu kaitan yang rapat dalam membuka lembaran sejarah yang
dikaitkan dengan masyarakat KadazanDusun. Melalui beberapa kajian yang dilakukan
oleh beberapa pengkaji budaya, telah berjaya membongkar asal usul masyarakat
KadazanDusun. Masyarakat KadazanDusun mempercayai bahawa nenek moyang
mereka berasal dari satu tempat yang bernama Nunuk Ragang yang bermakna Pohon
Ara berwarna merah. Tempat tersebut terletak di satu kawasan hulu Labuk yang pada
masa sekarang terletak di Daerah Ranau.

Nunuk Ragang dikatakan mempunyai dua buah sungai iaitu Sungai Liwagu dan
Sungai Gelibang. Sungai-sungai ini mengalir ke arah timur Ranau dan juga Tambunan.
Sungai-sungai ini memainkan peranan penting sebagai laluan utama perpindahan
beramai-ramai masyarakat KadazanDusun ke seluruh pelosok tempat di Sabah.
Menurut sumber cerita lisan yang diperolehi daripada masyarakat KadazanDusun itu
sendiri, pokok atau pohon Ara tersebut adalah sebesar enam depa lingkungan tangan
yang memeluknya, daun-daun yang merimbun pula dapat melindungi di bawahnya
sebanyak tujuh buah pondok kecil masyarakat KadazanDusun dahulu kala yang
bersaiz 240 kaki persegi. Pada mulanya, nenek moyang mereka hidup bebas dan
menikmati limpahan rezeki yang ada di sekeliling mereka. Tetapi lama-kelamaan
apabila penduduk tempat itu semakin ramai, serta pencarian makanan pun bertambah
sukar, ketua mereka telah memerintahkan pahlawan-pahlawannya pergi mengembara
dan mencari kawasan-kawasan penempatan baru yang lebih sesuai dan mempunyai
sumber makanan yang lebih banyak.

Ekoran daripada pengembaraan yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan inilah,


mereka akhirnya telah menemui pelbagai tempat dan terus menceritakan tentang
penemuan yang telah mereka perolehi. Maka, berlakulah penghijrahan secara beramai-ramai
dan dalam beberapa kumpulan yang diketuai oleh pahlawan-pahlawan tadi dan
sekaligus menjadi penyebab terjadinya pemisahan dan penyelerakan orang-orang
KadazanDusun seperti mana yang ada pada masa sekarang. Sebenarnya, jika dilihat
daripada konteks masyarakat, Nunuk Ragang ini adalah satu tanda kemunculan kaum
KadazanDusun yang ada di Sabah ini dan secara tidak langsung menjadikan budaya
ini begitu unik sekali. Ini hanya disebabkan oleh sebatang pohon ara yang besar yang
dijadikan sebagai tempat berlindung dan akhirnya telah berkembang dan terciptanya
sebuah kaum yang besar dan kaya dengan pelbagai seni kebudayaan yang tersendiri iaitu
kaum KadazanDusun. Seharusnya sejarah kemunculan awal kaum KadazanDusun ini
dipelihara rapi dan perlu diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang lain.
Perspektif masyarakat kini terhadap lagenda Nunuk Ragang adalah pelbagai.

Namun, perpecahan ini bukanlah menjurus kepada perpecahan yang negatif


tetapi ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada kewujudan kepelbagaian
cara hidup dan juga bentuk etnik yang berlainan dalam kaum KadazanDusun itu
sendiri. Bagi perspektif golongan muda pula, mereka ini kurang didedahkan dengan
cerita-cerita Nunuk Ragang mahupun cerita lagenda yang lain. Golongan muda kini
tidak begitu mengenali ataupun mengetahui lagenda yang ada di Sabah. Hal ini
berlaku disebabkan pendedahan yang amat terhad oleh golongan tertentu selain
daripada kurangnya minat dari golongan muda itu sendiri. Oleh itu, adalah menjadi
tanggungjawab bersama untuk memperkenalkan cerita dan juga lagenda Nunuk Ragang
ini kepada mereka. Jika diamati keseluruhan cerita Nunuk ragang ini, secara simboliknya ia
menyampaikan mesej yang positif dari segi pembentukan perpaduan dikalangan
masyarakat KadazanDusun.

Persamaan Masyarakat Kadazan dan Dusun

1. Asal usul

Pada asasnya asal usul masyarat Kadazan dan Dusun adalah sama. Apabila ditelusuri
asal usul suku Kadazandusun di Sabah, terdapat beberapa teori yang dikemukakan
oleh para sarjana, sejarawan dan penyelidik. Ada yang mengatakan masyarakat
Kadazandusun berasal dari kepulauan Filipina dan ada yang menyatakan suku ini
berasal dari China. Namun, ada pengkaji yang menyatakan bahawa suku
Kadazandusun merupakan campuran bangsa Cina dengan penduduk peribumi di
Borneo. Selain dikaitkan dengan bangsa Cina, ada juga pendapat yang menyatakan
suku ini berasal dari Amman (Jordan) melalui proses migrasi. Berdasarkan sumber
lisan pula, suku Kadazandusun di Sabah dikatakan berasal daripada keturunan
Kinoingan (Ketua Dewa Kadazandusun). Menurut mitos, Kinoingan dan isterinya telah
mencipta semua yang ada di bumi.

Perayaan

Masyarakat Kadazan dan Dusun mempunyai persamaan dari segi perayaan. Kedua-
dua masyarakat ini menyambut Pesta Kaamatan (Menuai) sebagai meraikan tuaian
baik. Pesta Kaamatan disambut sepanjang bulan Mei walaupun perayaan ini hanya
pada 30 dan 31 Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik atau
unduk ngadau, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan
oleh Bobohizan "ketua pendita"

Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan dan Dusun juga dikenali sebagai 'Tadau
Ka'amatan' dalam bahasa Kadazandusun. Mereka percaya kepada makhluk halus dan
dipercayai terdapat lima makhluk halus: Kinoringan(Ketua makluk halus & Pencipta),
Rusod(semangat semua benda hidup kecuali manusia), Koududuwo (semangat
manusia), Tombiruo (semangat orang yang telah meninggal), dan Rogon (semangat
jahat). Menurut kepercayaan Kadazandusun, semangat padi
merupakan Kinoingan (Kinorohingan dalam dialek Dusun) yang dikenali
sebagai Bambaazon, disembah sebagai pencipta dan berkuasa sumber kepada
kewujudan. Semangat padi Bambaazon dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi.
Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."

Bahasa
Bahasa ialah satu wahana perhubungan dan komunikasi antara manusia. Sebagai
keperluan sosial, bahasa adalah alat penting untuk menyampai maksud, ia juga
sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan manusia sebagai alat untuk
berhubung manakala dialek ialah satu variasi bahasa yang ditentukan mengikut
wilayah dan ditutur bergantung kepada tempat seseorang itu dilahirkan (S.Nathesan,
1995). Menurut Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987) keluarga Dusun menggunakan
empat belas bahasa pertuturan. Antara bahasa Dusun ialah Liwan, Tagas, Dusun
Tambunan, Tuhauwon dan Kuruyou. Bahasa Dusun Liwan tertumpu di daerah Ranau.
Bahasa atau loghat adalah perbezaan utama yang boleh dilihat dalam kalangan
masyarakat Kadazan dan Dusun. Bahasa Dusun hampir menyerupai bahasa
Kadazan tetapi ada sedikit perbezaan terutamanya dari segi ejaan dan sebutan.
Misalnya "sembilan" yang disebut "siam" dalam bahasa Dusun dan "sizam" dalam
bahasa Kadazan. Akan tetapi, terdapat pula perkataan yang berbeda tetapi maksud
yang sama misalnya "dimana" yang disebut "hinonggo" dalam bahasa Dusun dan
"hinombo" dalam bahasa Kadazan atau "rumah" yang disebut "walai" dalam bahasa
Dusun dan "hamin" dalam bahasa Kadazan.

Persamaan dan perbezaan sebutan dan makna dialek Kadazan dusun

Disebabkan penutur bahasa kadazandusun tinggal berjauhan, terdapat persamaan


dan perbezaan antara sama lain dari segi sebutan dan makna perkataan. Sebagai
contoh Keluarga bahasa Dusun dialek Rungus berbeza daripada bahasa Dusun dialek
Tatana di Beaufort. Bahasa Dusun dialek Tanggara di Penampang juga berbeza sedikit
daripada bahasa Dusun dialek Tatana dan Bundu di Kuala Penyu. Dialek Tanggara
atau Kadazan di Penampang juga berbeza sedikit daripada dialek Liwan, Tegahas,
Tindal, dan Tedong di Ranau dan Tambunan. Malah, dialek Kadazan di Penampang pun
berbeza dengan dialek yang dituturkan di Inanam, Menggatal, Telipok, dan Papar dari
segi sebutan dan cara pengucapan. Dialek Kadazan di Penampang dan Putatan juga
berbeza sedikit daripada dialek Kadazan di Kinabatangan dan Papar dari segi sebutan.

Perbezaan dialek itu telah menyebabkan timbulnya masalah dalam pemilihan


bahasa standard atau bahasa baku dalam bahasa rumpun Dusun yang kini dikenali
sebagai bahasa Kadazandusun. Walaupun terdapat perbezaan dialek daripada ketiga-
tiga keluarga bahasa Kadazandusun, tetapi mereka saling memahami juga antara
satu sama lain. Orang Kadazan di Papar, misalnya, dapat berkomunikasi dengan
lancar dengan orang Kadazan di Penampang dan Putatan kerana dialek mereka
banyak persamaannya. Orang Kadazan di Penampang juga dapat berkomunikasi
dengan baik dengan penutur bahasa Dusun di Ranau, Tambunan, Tandik, Kuala Penyu,
Telupid, dan Beluran. Kadang-kadang, orang Kadazan di Penampang yang bertutur
dalam dialek Kadazan sebagai bahasa pertuturan hariannya dapat mengubah
dialeknya atau loghatnya apabila berkomunikasi dengan orang Dusun di Ranau atau
Tambunan yang menggunakan bahasa Dusun dialek Liwan, Tagahas, atau Tindal.

Kedudukan Geografi

Kadazan dan Dusun sebenarnya berkongsi bahasa dan budaya yang sama walaupun
terdapat perbezaan dari segi dialek . Ramai yang menganggap perbezaan utama
antara kedua-dua kumpulan etnik ini adalah dari segi untuk kedudukan geografi
mereka. Masyarakat Kadazan tinggal di kawasan lembah delta yang rata dan sesuai
untuk penanaman padi, manakala Dusun secara tradisi telah tinggal di kawasan-
kawasan pergunungan di kawasan pedalaman di Sabah. Kebanyakkan masyarakat
kadazan tertumpu di daerah Penampang dan Papar manakala masyarakat dusun
banyak mendiami kawasan pedalaman seperti Tambunan dan Ranau.

Tarian Tradisional

Tarian Sabah mempunyai tiga puluh dua jenis etnik, lima puluh lima jenis bahasa dan
kira-kira seratus dialek. Setiap etnik mempunyai kebudayaan, tradisi dan adat
resamnya yang tersendiri. Mereka menunjukkan cara hidup mereka melalui muzik dan
tarian. Antara jenis tarian suku kaum Kadazandusun di Sabah adalah sepeti berikut;

Menangkuk
Tarian ini dipersembahkan oleh kaum Dusun Kota Marudu di utara negeri Sabah. Ia
biasanya ditarikan semasa perkahwinan dan upacara-upacara lain. Penari akan
mempersembahkan tarian ini dengan menggunakan piring yang diletakkan di atas
telapak tangan. Tarian ini ditarikan dengan melenggangkan punggung tanpa
menjatuhkan piring. Sekiranya piring itu jatuh, ianya menunjukkan petanda yang
buruk, terutamanya semasa tarian ini dipersembahkan semasa hari perkahwinan.
Kadang-kadang lilin yang dinyalakan akan letakkan diatas piring tersebut untuk
membuatkan tarian itu lebih menarik.

Mogunatip
Mogunatip adalah tarian yang dipersembahkan oleh kaum asli dari pedalaman Sabah
termasuk kaum Kadazandusun dari Tambunan, Kwijau Dusun dari Keningau dan
beberapa kumpulan daripada suku kaum Murut. Mogunatip diambil daripada
perkataan "atip" yang bermaksud menekan antara dua permukaan. Penari mogunatip
memerlukan kemahiran dan ketangkasan yang baik untuk menari melintasi buluh
yang dipukul serentak untuk menghasilkan bunyi dan irama tarian tersebut. Tarian ini
merupakan tarian yang dipersembahkan semasa upacara-upacara yang tertentu
untuk menghormati tetamu.

Mongigol Sumundai
Mongigol Sumundai adalah tarian daripada daerah kudat dan Pitas yang
dipersembahkan oleh suku kaum Rungus . Kedua-duanya dipersembahkan oleh suku
kaum Rungus. Kedua-duanya dipersembahkan sekaligus semasa perayaan dan
upacara pemujaan semangat. Tarian ini ditarikan oleh 3 hingga 8 orang penari
perempuan dan diketuai oleh penari lelaki. Penari perempuan akan merapatkan bahu
antara satu sama lain dan menggerakan pergelangan tangan dengan langkah-langkah
yang perlahan dan lembut. Pakian yang digunakan oleh penari perempuan adalah
pakaian tradisional suku kaum Rungus. Tarian ini diiringi dengan 4 gong dan gendang
yang dinamakan ' Tontog'.

Paina
Paina merupakan tarian suku kaum Kadazandusun dari daerah Membakut. Ianya
dipersembahkan semasa upacara kesyukuran terhadap semangat padi. Ia biasanya
dipersembahkan oleh sekumpulan lelaki dan perempuan. Pakaian yang dipakai oleh
penari perempuan adalah serba hitam dengan dihiasi butang yang terang dan
menyerlah manakala penari lelaki pula memakai ' sigar ' di kepala dan ' sandai ' yang
tergantung dari leher.

Sumayau ( Mongigol Tuaran )


Tarian ini merupakan tarian pemujaan semangat oleh suku kaum Dusun Lotud di
daerah Tuaran. Ia biasanya dipersembahkan semasa Upacara ' Rumaha ' ( Upacara
memuja tengkorak kepala ), ' Magahau ' ( Upacara pemujaan semangat Tajau ).
Sumayau dipersembahkan lebih daripada 8 orang pasangan yang berpakaian serba
hitam dengan lengan panjang dan selendang yang panjang mengelilingi leher. Penari
perempuan pula memakai bulu burung di bahagian kepala yang digabungjalinkan
sementara penari lelaki memakai ' sigar '. Penari perempuan menggerakkan tapak
kaki mereka dengan perlahan , sementara penari lelaki berdiri dan menggoncangkan '
giring ' atau loceng kecil ang dilekatkan pada pakaian mereka.

Sumazau Papar
Tarian ini berasal dari daerah Papar, Sabah. Ianya biasa ditarikan oleh gabungan
penari lelaki dan perempuan. Keunikan pergerakan tapak kaki penari perempuan,
tumit bertemu tumit, ibu jari bertemu ibu jari. Ini membuatkan tarian ini lebih unik dan
serta menarik. Penari perempuan memakai pakaian tradisi suku kaum Kadazandusun
dari daerah Papar, dengan ' seraung' yang diletakkan atas kepala dan bulu berwarna-
warni atas ' seraung ' yang dipanggil ' senaundung '. Penari lelaki pula memakai ' siga
' pada kepala mereka dan juga skaf / selendang yang dikenali sebagai ' sandai '.

Sumazau Penampang
Sumazau Penampang adalah tarian tradisional suku kaum Kadazandusun. Tarian ini
biasanya dipersembahkan semasa perayaan dan juga upacara pemujaan semangat
padi ( Bambaazon ). Penari mempersembahkan tarian mereka secara berpasangan.
Kedua-dua penari lelaki dan perempuan mula menari dengan irama yang lembut dan
perlahan mengikut paluan gong. Dengan ' pangkis ' dari penari lelaki biasanya, ini
menandakan pertukaran corak tarian akan dilakukan. ' Pangkis ' dari penari lelaki ini
akan lebih memeriahkan lagi suasana tarian ini. Pakaian yang dipakai oleh penari ini
ialah pakaian serba hitam dengan jalur kuning emas. Penari perempuan memakai '
tangkong ', ' tinggot ', dan ' Himpogot '. Penari lelaki pula memakai ' sigar ' di kepala.
Tarian ini biasanya diiringi oleh paluan gong atau pun ' togunggu '.

Pakaian Tradisional
Perbezaan yang ketara antara masyarakat Kadazan dan Dusun adalah dari segi
pakaian tradisional. Contohnya pakaian tradisional Kadazan di Papar menggunakan
baju fabric baldu hitam berhias renda kuning. Lelaki memakai pakaian kepala sigal
dari kain destar dan wanita memakai suing dari anyaman buluh halus bermotifkan
geografi etnik Sabah. Perhiasan diri gelang tangan dan tali pinggang syiling perak
trade dollar. Manakala masyarakat dusun tindal di Kota Belud misalnya menggunakan
blaus lengan panjang (sinipak ) berwarna hitam. Corak renda dijahit tangan pada
blaus lengan, lengan blaus di atas siku ke tangan dipotong kain terbuka dan dijahit
dengan corak yang berlainan renda, kain hitamyang berlapis-lapis dengan renda
keemasan yang diadakan di sebelah kanan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sememangnya masih ramai lagi masyarat yang keliru tentang


penggunaan konsep Kadazandusun atau kadazan dan dusun. Ini kerana kedua-dua
kaum ini berkongsi banyak persamaan daripada perbezaan. Hampir sukar untuk
membezakan antara kadazan dan dusun kecuali dengan mendengar loghat atau
bahasa kerana hanya faktor bahasa yang dapat membezakan kedua dua kaum ini.
Perbalahan tentang identiti 'Dusun' dan 'Kadazan' ini pernah terjadi di negeri Sabah
suatu ketika dulu seharusnya dielakkan kerana pada masa sekarang isu ini tidak lagi
timbul kerana mereka telah dapat menerima penggabungan ini dengan baik.
Penduduk di daerah Penampang dan Papar kebannyakkan adalah dari suku kaum
Kadazan manakala penduduk di daerah Keningau, Tambunan, Ranau, dan Kuala Penyu
kebanyakkan terdiri daripada mereka yang berbangsa dusun.

Rujukan

Appell, G. N. (1968). The Dusun languages of Sabah: The Rungus Dusun related
problems. Oceanic Linguistics, 7, 131-147

Dayu Sansalu, 2008. Kadazandusun di Sabah: Pendidikan dan Proses Pemodenan


1881-1967. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987). Muzik Instrumental Dan Alat-alat Muzik Dusun
Tambunan. (Prof. Dr. Mohd. Taib Osman, Editor 1987). Muzik dan Puisi Rakyat
Malaysia Kumpulan Kertas-Kerja Seminar. Kota Kinabalu: Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan Negeri Sabah

Ismail Bungsu (1988), Beberapa Muzik Sabah. Kota Kinabalu: Jabatan Cetak Kerajaan
Datuk Liew Sak Siong, Penceak Kerajaan Negeri Sabah.

Malakun, C.D.B. (1981). Political Development in Sabah, 1881-1981 in Anwar


Sullivan & Cecilia Leong [eds]. Commemorative History of Sabah, 1881-1981. Kuala
Lumpur: The Sabah State Government.

Mohd.Taib Osman dan Wan Kadir Yusof (1986). Kajian Budaya dan Masyarakat Di
Malysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Kementerian pelajaran
Malaysia.

S.Nathesan (1995) Laras Bahasa. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka &
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rutter, O., (1922). British North Borneo: An account of history, resources, native
tribute and native tribes. London: Constable and Company Ltd.

Whelan, F.G., (1970). A history of Sabah. Singapore: MacMillan And Co. (S). Ltd.

You might also like