You are on page 1of 4

System pemerintahan di Asia tenggara sebelum kedatangan pengaruh barat adalah

dipengaruhi tiga pengaruh utama. Bincangkan kepentingan ketiga-tiga pengaruh tersebut


terhadap pembentukan system pemerintahan di asia tenggara dan setakat manakah ia
mampu menjamin keutuhan Negara di Asia Tenggara.

Kesan Politik

Konsep asas yang menjadi teras sistem politik berbentuk Hindu-Buddha ialah politi galaktik,
satu istilah yang telah dicipta oleh Stanley Jeyaraga Tambiah (1976). Asas politi galaktik
ialah kepercayaan bahawa keselarian wujud antara makrokosmos dan mikrokosmos, iaitu
antara alam semesta dan alam manusia. Menurut kepercayaan ini, nasib manusia tetap
dipengaruhi oleh kuasa-kuasa kosmik. Kuasa-kuasa ini boleh membawa kemakmuran atau
bencana berlandaskan sama ada sesuatu masyarakat, terutama raja, berjaya menjalankan
kegiatannya dalam corak berharmoni dengan dunia semesta. Kesejahteraan sesuatu negara
boleh dicapai dengan menyusunkannya dalam bentuk yang serupa dengan dunia semesta
(Heine-Geldern, 1958:1).

Dalam dokterin Hindu (Brahmin) mahupun Buddha, dunia ini digambarkan dalam
bentuk bulatan-bulatan sepusat dengan Gunung Meru di tengah-tengahnya. Dalam alam
duniawi pula, kerajaan dan ibu kota, sebagai mokrokosmos, perlu meniru bentuk kebulatan
itu dengan istana atau kuil sebagai Gunung Merunya di peringakt mikrokosmos. Seringkali
pula pusat mikrokosmos ini didirikan di tempat yang tinggi sedikit. Pengesahan kuasa raja
dipertalikan juga dengan taraf baginda sebagai penghuni istana atau pusat mikrokosmos itu.
Hakikat ini menyebabkan sesiapa yang berjaya menduduki pusat ini akan berupaya menjadi
penguasa yang sah. Faktor ini menyebabkan ramai raja Burma dan Thai enggan
meninggalkan istana mereka kerana takut kehilangan kuasa ataupun jatuh mertabat sebagai
wakil pusat cekerwala (makrokosmos) yang penuh kesucian. Natijahnya kerap kali raja-raja
tidak menerima gambaran yang tepat tentang kedudukan dalam negeri kerana segala
maklumat tersebut disampaikan oleh pihak lain yang mungkin mempunyai muslihat tertentu.

Satu lagi prinsip kosmologi Hindu-Buddha yang menyusun atur negara dan amalan
pihak pemerintahan ialah pegangan kepada angka 33 yang mewakili dewa yang mendiami
syurga di puncak Gunung Meru. Justeru itu, kerajaan-kerajaan di Tanah Besar Asia Tenggara
terutamanya sering dibahagikan kepada 32 wilayah dengan 32 pembesar dan raja, sebagai
Indra, akan menepati jumlah 33 dewa tersebut. Kerajaan Mon (Burma) misalnya dibahagikan
kepada tiga wilayah dan setiap wilayah ini mengandungi 32 pekan dengan satu satu pekan
utama (ibukota wilayah) menjadikan selari dengan skema 33 dewa makrokosmos. Skema ini
juga dibayangkan dalam amalan diraja seperti raja utama yang diiringi oleh 32 orang putera
raja, pengambilan 33 permaisuri daripada 33 keturunan yang berlainan, pemilikan 33 ekor
gajah putih dan sebagainya (Tambiah, 1976: 108-109).

Prinsip gandaan empat (yang disubkan lagi kepada 8, 16, 32) yang mewakili empat
arah utama (mata angin) dalam fahaman Kosmologi India juga diterapkan dalam sistem
berkerajaan.. Prinsip ini dijelmakan dalam susun atur ibu kota dan juga dalam hierarki
pemerintahan. Contohnya raja sering mempunyai empat orang permaisuri utama dan empat
permaisuri rendah; dan melantik empat orang menteri utama, diikuti hirarki lapisan bawah
yang disubkan kepada pembesar-pembesar 8, 16 dan 32 (Heine-Gelden, 1958: 5). Prinsip ini
terjelma dalam empat ketua menteri (wun-gyi) dalam kerajaan Burma. Di Thailand wujud
juga empat menteri (senabodi) sahaja, iaitu kalahom, mahatthai, phraklang dan krom muang
yang berkuasa ke atas wilayah-wilayah tertentu daripada kesemua enam menteri utamanya
(Steinberg, 1985: 61-63)

Satu lagi aspek utama politi galaktik ialah konsep devaraja atau divine kingship iaitu raja
adalah jelmaan tuhan (dewa). Seringkalai dewa Siva menjadi pilihan jelmaan raja-raja di
Jawa dan Kampuchea. Amalan ini ditentang oleh ajaran Buddha Theravada yang memberi
keabsahan kepada penganugerahan mertabat raja kepada seseorang berdasarkan karma dan
jasa-jasa agama mereka dalam kehidupan-kehidupan sebelumnya (Heine-Geldern 1958: 7-9).
Sebagai pengantara antara makrokosmos dan mikrokosmos dan sebagai dhammaraja maka
tugas utama raja menurut ajaran Buddha ialah memelihara ketenteraman dan mencegah
bencana sosial seperti wabak, kemarau dan banjir. Tugas ini dilakukan dengan memenuhi
pelbagai upacara serta pengumpulan pahala (merit) yang dipanggil hpon di Burma dan bun di
negara Thai. Dengan itu raja berberkewajipan sebagai penaung dan pengembang agama serta
menjamin pengekalan adat resam. Raja yang mempunyai banyak pahala akan mendatangkan
keamanan dan kesuburan kepada negaranya, menafaat seperti ini yang dinikmati oleh rakyat
jelata akan memberi pengesahan kepada pemerintahannya (Abu Talib, 1991: 22). Namun
demikian kemutlakan kuasa raja yang disandarkan kepada konsep devaraja ini tidak pula
bermakna kuasa raja tidak boleh dicabar. Sesaorang yang mahu merampas kuasa juga boleh
mempergunakan konsep devaraja ini untuk mewajarkan tindakannya merampas kuasa. Huru-
hara, bencana alam dan penyakit dianggap sebagai tanda-tanda bahawa raja tidak mempunyai
moral yang tinggi atau keupayaan memerintah. Dalam keudukan ini, pemberontakan oleh
rakyat adalah diwajarkan dan oleh sebab itu gerakan millenarian sering muncul (Tambiah
1976 : 122). Tambahan pula sesaorang penyerobot juga boleh mempergunakan konsep
devaraja ini untuk mewajarkan tindakannya merampas kuasa.

Selain daripada itu, ialah peranan raja sebagai cakkavatti atau raja sejagat yang didakwa
sebagai pemerintah yang ulung di dunia atau jesteru itu semua manusia harus patuh kepada
baginda. Cakkavatti juga perlu membuktikan kehandalannya sebagai penakluk dunia melalui
kemenangan ketenteraan yang berterusan (Taylor 1987: 57).

Selain daripada itu, ajaran Buddha menganjurkan raja sebagai cakravatin atau raja
sejagat yang memerintah di dunia atas apa juga kekuatan sama ada agama atau ketenteraan
(politik) atau ekonomi. Sebagai cakravatin raja akan mudah terbawa-bawa oleh kehebatannya
dan bagi menyederhanakan kemutlakan raja adalah tanggungjawab golongan rahib (sangha).
Pengetahuan luas dan mendalam golongan rahib dalam ajaran agama dan kosmologi menjadi
aset utama untuk mempengaruhi seseorang raja dan politik sesebuah kerajaan. Mereka juga
mempunyai pengaruh di kalangan rakyat jelata. Keadaan ini kadangkala mencetuskan
pertentangan antara raja yang terbawa-bawa oleh kenutlakannya dengan golongan rahib yang
memperjuangkan keadilan umumnya atau pihak rakyat yang teraniaya selalunya.

Ciri ketiga politi galatik ialah konsepsi bahawa wilayah di bawah penguasaan
seseorang raja merupakan sebuah mandala, namun hujah ini tidak dibincangkan oleh Heine-
Geldern. Mandala ini biasanya mengandungi tiga bulatan sepusat yang mewakili wilayah-
wilayah yang menerima darjah penguasaan yang berlainan. Di tengah-tengah mandala ialah
ibu kota dan kawasan di bawah penguasaan yang berlainan. Di tengah-tengah mandala ialah
ibu kota dan kawasan di bawah penguasaan langsung raja, di sekelilingnya ialah wilayah-
wilayah yang diperintah oleh putera-putera dan gabenor-gabenor yang dilantik oleh raja, di
sekeliling wilayah-wilayah ini pula ialah jajahan-jajahan takluk yang diikat kepada kuasa
pusat melalui hubungan penguftian. Jelas bahawa penguasaan raja terhadap wilayah-wilayah
ini semakin lemah dengan jarak yang semakin jauh antara wilayah itu dengan ibu kota.
Konsep mendala ini adalah secocok dengan konsep bahawa kuasa diraja berpancar dari
sesuatu pusat, iaitu istana atau ibu kota dan oleh sebab itulah kerajaan-kerajaan zaman
tradisional dinamakan mengikut ibu kotanya (Tambiah, 1976: 112).
Sehubungan dengan konsep mandala ini didapati kerajaa-kerajaan ini tidak mempunyai
birokrasi yang kukuh, terutamanya untuk menguruskan hal-hal wilayah. Walaupun wujud
susunan kementerian mengikut tugas, pembahagian tugas itu tidak begitu jelas atau ketat.
Aspek yang lebih menonjol ialah penguasaan wilayah-wilayah tertentu oleh putera-putera
raja atau pembesar-pembesar. Umpamanya, di negara Thai walaupun mengikut pembahagian
tugas, kalahom bertanggungjawab untuk hal-hal tentera sementara Mahatthai
betanggungjawab untuk hal-hal awam, mereka lebih dikenali sebagai ketua wilayah untuk
bahagian selatan dan bahagian utara masing-masing. Oleh itu sering tercetus ketegangan
dalam hubungan antara pusat dan wilayah, terutamanya apabila putera-putera raja atau
pembesar-pembesar ini menggunakan asas kekuatan mereka di wilayah untuk mencabar
kuasa pusat. Faktor ini merupakan salah satu faktor dalaman yang utama kepada mantap atau
runtuhnya sesebuah kerajaan.

Walaupun pada teorinya raja memiliki semua tanah, mempunyai hak memungut cukai dan
memegang kuasa pengadilan terulung, dari segi amalan, corak penguasaan kuasa, pengerahan
tenaga manusia , pungutan cukai dan ganjaran untuk pembesar-pembesar bermakna bahawa
sistem sebenarnya yang wujud itu tidak bersifat terpusat atau birokratik (Tambiah, 1976:
123). Tambahannya, dinamika-dinamika organisasi politik ditentukan oleh perikatan yang
pasang-surut, penguasaan wilayah yang berubah dan perebutan takhta serta pemberontakan
yang kerap. Ibu kota dan istana yang berubah itu bukanlah merupakan pusat-pusat yang
mempunyai sempadan yang tetap (atau jelas) tetapi sebaliknya merupakan kawasan yang
berkembang atau mengecil penguasaannya. (Tambiah sperti dipetik pleh Abu Talib, 1991:
6). Pendeknya, walaupun retorik dan ideologi menegaskan kemutlakan kuasa raja, k
enyataannya ialah kewujudan pusat-pusat kekuasaan yang bertandingan, kemajmukan serta
ketegangan yang berhasil daripadanya.Keupayaan raja - raja mengawal sumber - sumber
ekonomi dan mengumpul kekayaan untuk pengagihan semula kepada para pembesar dan
pengikut merupakan jentera utama untuk mengekalkan ketaatan mereka dan selanjutnya
menjamin perpaduan negara (Kathirithamby - Wells 1990: 12)

You might also like