You are on page 1of 9

PROGRAM EKSEKUTIF SARJANA PENDIDIKAN

PENDIDIKAN KHAS
PERBEZAAN INDIVIDU & PENGURUSAN BILIK DARJAH
KPP6034

STRATEGI PENGURUSAN BILIK DARJAH

DISEDIAKAN OLEH:

NAMA NO MATRIK

MELYNA HANI BINTI FUAAD M20152002568

FATIHA BINTI AHMAD ZAINUL PARHI M20152002564

NOOR KAMARIAH BINTI


KANDUNGAN

1.0 PENDAHULUAN

Model pengurusan bilik darjah yang berkesan sebenarnya telah lama bermula sekitar tahun
1970an dan 1980an.Bilik darjah yang baik memerlukan gabungan elemen fizikal, emosi dan
sosial. Bilik darjah bersifat multidimensi kerana dipenuhi oleh murid yang menjalankan
pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid di dalam bilik darjah mempunyai
pelbagai tahap pemikiran yang berbeza. Guru perlu tahu untuk membentuk suatu
persekitaran dan pengurusan bilik darjah yang cekap dan berkesan yang dapat memberikan
manfaat kepada semua murid.
Perbezaan dan kepelbagaian yang wujud pada manusia menjadikan setiap murid itu
unik. Kita dapat melihat kepelbagaian ini di sekolah dimana murid ini tidak dapat mengikuti
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah biasa. Murid ini mungkin
menghadapi masalah ketidakupayaan seperti penglihatan, pendengaran ,masalah
komunikasi, hiperaktif, pintar cerdas, masalah emosi dan tingkah laku. Murid ini dikenali
sebagai murid berkeperluan khas pendidikan khas.
Sebagai seorang guru, kita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu
pengetahuan agar dapat diaplikasi dalam pelbagai situasi bilik darjah. Guru perlu tahu
strategi mengurus, merancang dan melaksana aktiviti di dalam bilik darjah.

2.0 DEFINISI PENGURUSAN BILIK DARJAH

Bilik darjah merupakan tempat di mana melibatkan guru, tugasan , ruang, murid,
masa dan bahan pembelajaran. Manakala pengurusan bilik darjah ditafsirkan sebagai cara
yang digunakan untuk mengurus aktiviti, pengajaran, susunan fizikal dan keadaan
psikososial di dalam bilik darjah bagi memastikan penggunaan masa yang efisien dan juga
mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra iaitu mengurangkan tingkah laku.
Menurut Hall (2000), pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah satu usaha yang
berterusan dan menjadi proses orientasi berterusan. Pengurusan bilik darjah yang efektif
haruslah bersifat proaktif, responsif dan disokong. Pengurusan bilik darjah yang berkesan
dapat membantu mencapai matlamat seperti menggalakkan tingkah laku murid yang sesuai,
membentuk suasana pembelajaran yang positif, menjalinkan hubungan interpersonal antara
guru dengan murid serta murid dengan murid, mengurangkan masalah disiplin, pengurusan
rutin yang berkesan dan banyak lagi.
Faktor utama yang menyumbang kepada pengurusan bilik darjah yang berkesan
ialah strategi pengurusan bilik darjah yang diaplikasikan oleh guru. Strategi pengurusan bilik
darjah boleh didefinisikan sebagai proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik
darjah serta galakan komunikasi dan interaksi antara murid.
Guru perlu bijak dalam menguruskan bilik darjah dengan strategi-strategi yang baik
agar objektif pembelajaran dapat dicapai dan tingkah laku murid yang baik dapat dibentuk.

3.0 STRATEGI PENGURUSAN BILIK DARJAH

Terdapat pelbagai strategi pengurusan bilik darjah yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam
memastikan matlamat pembelajaran dapat dicapai. Strategi pengurusan bilik darjah
melibatkan kepercayaan guru, gaya mengajar dan teknik mengurus bilik darjah.

3.1 TEKNIK MENGURUS BILIK DARJAH

Kerjasama antara ahli di dalam bilik darjah diperlukan bagi memastikan aktiviti dapat
berjalan dengan lancar dan berkesan. Hubungan yang baik antara guru dan murid perlu
dibina bagi mendapatkan kerjasama yang baik yang dibina atas dasar kepercayaan antara
satu sama lain. Elemen kerjasama ini boleh diterapkan semasa memilih bahan bantu
mengajar, jangkaan prestasi, mencapai objektif pembelajaran dan membina kontrak tingkah
laku.
Teknik kedua ialah tentang pengurusan masa. Untuk menguruskan proses
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, perancangan dan penggunaan masa yang
cekap diperlukan. Pembelajaran murid akan meningkat dengan perancangan dan
penggunaan masa yang berkesan di dalam bilik darjah. Guru yang merancang masa yang
baik,membolehkan murid bersedia untuk belajar dan memproses makumat dengan
sempurna.
Teknik ketiga ialah adanya peluang pembelajaran. Guru perlu mengenali personaliti
setiap murid agar semua diberi peluang untuk belajar dan melibatkan diri di dalam aktiviti
bilik darjah. Guru perlu memberi kesedaran kepada semua murid agar sentiasa melibatkan
diri di dalam setiap aktiviti bilik darjah.
Teknik keempat ialah persekitaran bilik darjah. Persekitaran bilik darjah yang positif
tercapai apabila murid dapat melalui proses pembelajaran dengan baik. Guru perlu
mengadakan peraturan bilik darjah yang berkesan untuk menangani tingkah laku murid.
Peraturan yang dibuat perlulah jelas, mudah difahami, dan diterima oleh murid. Ruang
pembelajaran perlu menarik dan menyokong aktiviti pembelajaran. Ruang pembelajaran
ialah perancangan fizikal ke atas ruang yang terdapat dalam bilik darjah. Panduan dalam
membina ruang pembelajaran yang baik ialah guru perlu mengenal pasti ruang
pembelajaran dan rancang mengikut spesifikasi ruang, tempat penyimpanan alat bantu
belajar perlu mudah diambil, bilik darjah yang nyaman serta bersih, susunan peralatan yang
memudahkan guru memantau murid dan perlu fleksibel.
Teknik kelima ialah pengurusan kendiri iaitu mempunyai kebolehan menguruskan diri
sendiri. Membina sifat pengurusan kendiri dalam kalangan murid memerlukan usaha yang
gigih dan masa tetapi guru dapat membentuk murid yang tahu menguruskan keperluan
mereka sendiri.
Teknik keenam ialah komunikasi yang berkesan. Komunikasi yang berkesan dapat
menghasilkan iklim pembelajaran yang kondusif dan membolehkan murid memahami apa
yang disampaikan oleh guru dengan baik. Komunikasi berkesan penting dalam sebuah
hubungan kerana penyampai dapat menyampaikan mesej dengan jelas dan difahami oleh
penerima.
Kesimpulannya bagi mendapatkan pengurusan yang berkesan, guru perlu
mengambil kira pelbagai aspek dari segi perancangan yang sistematik dan fleksibel.

3.2 KEPERCAYAAN GURU

Strategi pengurusan bilik darjah bukan sahaja melibatkan kaedah pengajaran yang
digunakan oleh guru tetapi juga melibatkan strategi bagaimana guru menguruskan bilik
darjah tersebut. Guru berperanan sebagai pengurus, perancang, pengarah dan pengawal.
Guru berperanan penting sebagai perancang bagi menggerakkan atau
menghidupkan suasana bilik darjah bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Guru terlibat
dalam beberapa peringkat perancangan iaitu berbentuk jangka panjang dan jangka pendek.
Perancangan guru perlu menepati kurikulum sedia ada yang dapat dipindahkan kepada
aktiviti, tugasan dan pengalaman pembelajaran. Perkara asas yang perlu dipertimbangkan
dalam membuat perancangan iaitu kemahiran dan konsep yang perlu dipelajari oleh pelajar
dan bentuk aktiviti yang terbaik bagi membolehkan murid menguasai kemahiran dan konsep
tersebut (Everston,C.,Emmer,E.,&Worsham,M.E(2000)).
Selain merancang, guru juga perlu bijak mengelola perjalanan bilik darjah kerana
perancangan yang baik dan teliti belum menjamin pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan. Tujuh perkara yang perlu dikelola oleh guru ialah aktiviti murid, bahan atau
sumber, penilaian, rutin bilik darjah, disiplin, kemudahan dan keadaan fizikal serta tugas-
tugas lain.
Sebagai pengurus bilik darjah, guru perlu bertindak sebagai pengarah di dalam
kelasnya. Guru menjadi pengarah kepada murid bagi menjalankan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran seperti berbincang, membaca, mengira serta membuat latihan.
Selain itu guru juga berperanan sebagai pengawal. Guru perlu bijak mengawal murid
bagi menjadikan suasana bilik darjah kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
Biasanya guru akan mengawal disiplin murid.
Selain merancang, mengawal, mengarah dan mengurus, guru juga perlu kenal gaya
mereka di dalam bilik darjah. Adakah guru bersifat authoritarian, laissez-faire, authoritative
atau indifferent. Seseorang guru yang mengetahui bagaimana strategi yang mereka
gunakan untuk menguruskan tingkah laku membolehkan mereka menguruskan masalah
tingkah laku di dalam bilik darjah dengan mudah. Terdapat beberapa strategi bagaimana
guru menguruskan bilik darjah berdasarkan kepercayaan mereka,antaranya ialah:
I. authoritarian
Guru authoritarian seorang yang tegas dan mengawal keseluruhan kelas. Murid akan
duduk di tempat duduk masing-masing sepanjang tempoh pengajaran guru. Keadaan di
dalam bilik darjah adalah tenang, dan murid tidak dibenarkan mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran. Guru authoritarian gemarkan keadaan bilik darjah yang
berdisiplin dan mahu murid mengikuti arahan tanpa sebarang pilihan.
II. Laissez-faire
Guru laissez-faire kurang memantau tingkah laku murid di dalam bilik darjah. Guru
tidak menyakiti dan jika murid mengganggu perjalanan proses pengajaran dan
pembelajaran, guru beranggapan murid tersebut kurang diberi perhatian.
III. authoritative
Guru authoritative meletakkan had dan kawalan kepada murid tetapi pada masa
yang sama memberikan kebebasan kepada murid. Guru sentiasa menerangkan sebab
disebalik peraturan dan keputusan yang dibuat. Jika ada murid mengganggu semasa proses
pengajaran dan pembelajaran, guru akan menegur murid tersebut dengan baik tetapi tegas.
Guru bersifat authoritative ini membolehkan komunikasi berlaku antara guru dengan murid
semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
IV. indifferent
Guru indifferent tidak campur tangan di dalam bilik darjah dan mengamalkan sikap
acuh tidak acuh. Guru jenis ini tidak mempunyai kemahiran,keyakinan atau keberanian
dalam mengurus disiplin murid.
Kesimpulannya, guru perlu tahu untuk merancang, mengawal, mengurus dan
mengelola bilik darjah dengan baik. Guru juga perlu kenal diri mereka dalam mengurus bilik
darjah.

3.3 STRATEGI MENGURUS MURID BERKEPERLUAN KHAS

Kanak-kanak berkeperluan khas pendidikan khas memerlukan bantuan atau sokongan


tambahan disebabkan masalah perubatan, emosi ataupun masalah pembelajaran di
sekolah. Salamanca Statement UNESCO menyatakan bahawa pendidikan adalah untuk
semua dan pendidikan inklusif seharusnya menjadi kebiasaan di sekolah. Sekolah perlu
menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas tanpa mengira sama ada
masalah tersebut terdiri daripada fizikal, kognitif, sosial, emosi, bahasa atau masalah lain.
Guru memainkan peranan yang penting dalam mengurus bilik darjah yang
melibatkan murid-murid berkeperluan khas ini. Pendekatan yang berbeza perlu digunakan
dalam mengurus murid yang bermasalah penglihatan, masalah pendengaran, terencat akal,
masalah pembelajaran, autisme dan banyak lagi.
I. Strategi mengurus murid terencat akal
Antara startegi yang boleh digunakan oleh guru jika mempunyai murid terencat akal
minimum di dalam bilik darjah ialah guru perlu memahami kadar pembelajaran murid ini
lambat dan memerlukan masa yang lebih untuk menyiapkan tugasan. Arahan yang
diberikan perlu jelas dan langkah-langkah harus dinyatakan dalam urutan yang logikal. Guru
juga perlu mengulang kemahiran-kemahiran yang baru diajar. Paling penting dalam
pendidikan khas ialah guru perlu menyediakan rancangan pengajaran harian untuk
memenuhi keperluan murid tersebut.
II. Startegi mengurus murid masalah penglihatan
Masalah penglihatan merujuk kepada kerosakan visual yang boleh menjejaskan
pembelajaran di dalam bilik darjah. Sebahagian besar pengajaran di dalam bilik darjah
bergantung kepada bahan bantu yang bersifat visual. Guru perlu memastikan susunan di
dalam bilik darjah adalah konsisten agar murid tahu kedudukan bahan. Perabot yang
mungkin menghalang pergerakan murid harus diletakkan di tempat yang sesuai. Bahan
bacaan yang berkualiti perlu disediakan, dan murid perlu didedahkan dengan sistem Braille.
III. Startegi mengurus murid masalah pendengaran
Masalah pendengaran boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu separa pekak dan pekak.
Separa pekak bermaksud penggunaan alat pendengaran akan membolehkan murid
menerima pendidikan secara audio, manakala pekak didefinisikan sebagai kerosakan
pendengaran yang menghalang seseorang memproses maklumat linguistik walaupun
dengan bantuan pendengaran. Guru perlu memberikan murid ini tempat duduk di barisan
hadapan supaya dapat melihat guru dengan jelas. Semasa mengajar, guru perlu
memberikan arahan dengan jelas, memandang murid dan tidak membelakangkan bilik
darjah. Guru perlu menggalakkan buddy system supaya seorang rakan boleh membantu
menyampaikan maklumat tentang aktiviti bilik darjah. Guru juga perlu melatih murid
membaca ucapan (lip reading) dan menggunakan bahasa isyarat. Selain itu, penggunaan
teknologi seperti komputer digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.
IV. Startegi mengurus murid autisme
Individuals With Disabilities Education Act (IDEA) mendefinisikan autistik sebagai masalah
perkembangan yang mengakibatkan masalah komunikasi lisan dan bukan lisan serta
interaksi sosial seseorang individu. Guru perlu menyediakan murid lain untuk menerima
kehadiran murid autistik. Penjelasan guru tentang tingkah laku yang mungkin berlaku dalam
bilik darjah serta mengharapkan kerjasama semua murid agar menerima murid ini. Guru
perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang berstruktur kerana murid ini biasa
dengan rutin. Guru perlu menggunakan strategi pengurusan tingkah laku, iaitu guru
menyediakan peluang untuk kejayaan dan memberikan ganjaran untuk tingkah laku positif
yang ditunjukkan.
V. Strategi pengurusan bilik darjah murid masalah pembelajaran
Masalah pembelajaran ialah masalah neurologi yang boleh mengganggu kemahiran asas
seperti membaca, menulis, mengira dan juga kemahiran aras tinggi seperti menaakul,
mengingat atau mengorganisasi maklumat. Strategi yang boleh digunakan oleh guru ialah
mengajar murid ini cara belajar dan memproses maklumat, melibatkan mereka secara aktif
dalam pembelajaran, serta menyediakan perkhidmatan khas untuk murid misalnya
bimbingan satu ke satu, meminta bantuan guru resos atau menggunakan pengajaran
berbantukan komputer.
VI. Strategi pengurusan bilik darjah murid Hiperaktif
Bagi murid dengan masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), tingkah laku
murid yang ditunjukkan adalah lebih kerap dan pada tahap yang serius. Strategii yang boleh
digunakan oleh guru ialah memberikan pertimbangan khas semasa memilih tempat duduk
bagi memastikan tiada banyak perkara yang boleh mengalihkan perhatian mereka. Guru
perlu menjelaskan kepada murid tentang peraturan dan prosedur di dalam bilik darjah. Guru
menyediakan peluang untuk murid-murid ini terlibat dalam aktiviti yang aktif di dalam bilik
darjah. Selain itu, guru juga boleh memberi murid ini arahan, tugasan atau masalah yang
ringkas dan memberitahu kepada mereka akibat jika tidak menyiapkan tugasan tersebut.
VII. Strategi pengurusan bilik darjah murid masalah tingkah laku
Avramidis, Bayliss & Burden (2000), menyatakan bahawa murid -murid yang mempunyai
masalah emosi dan tingkah laku amat sukar diajar di dalam kelas biasa dan merupakan
perkara yang amat dikhuatiri oleh bakal guru (Woolfolk,2004). Startegi serta pendekatan
yang boleh digunakan oleh guru untuk membantu murid-murid bermasalah emosi dan
tingkah laku ialah biofizikal iaitu guru perlu memantau kesan ubat kepada murid. Behavioral
iaitu modifikasi tingkah laku dengan aplikasi pemberian ganjaran dan peneguhan.
Psikodimanik iaitu kaunseling khususnya dengan keluarga murid , terapi main dan refleksi.
Sosiologi iaitu mengajar murid kemahiran menyesuaikan diri dengan persekitarannya.
Ekologi iaitu menggunakan peraturan di dalam bilik darjah dengan memberikan maklum
balas kepada murid serta menyediakan persekitaran fizikal bilik darjah yang sesuai.

4.0 KESIMPULAN

Pengurusan bilik darjah memerlukan kreativiti seorang guru bagi memastikan perjalanan
bilik darjah berjalan dengan lancar. Guru sebagai seorang perancang, pengelola, pengurus
dan pengawal perlu bijak mengaplikasikan ilmu serta pengalaman mereka dalam
menghasilkan keadaan bilik darjah yang kondusif. Guru juga perlu kenal dengan diri mereka,
adakah mereka seorang yang bersifat authoritarian, authoritative, indifferent atau laissze-
faire. Selain itu, guru perlu sedar bahawa strategi pengurusan bilik darjah yang digunakan
untuk murid biasa adalah kurang sesuai untuk murid berkeperluan khas. Pengurusan bilik
darjah yang melibatkan murid berkeperluan khas memerlukan guru membentuk semangat
komuniti yang dapat menerima kepelbagaian dalam kalangan murid dan membina
persekitaran yang dapat memberikan perhatian kepada semua murid.
Guru perlu peka dengan persekitaran bilik darjah yang kurang menyenangkan.
Kreatif dan proaktif perlu ada dalam diri guru dalam membina persekitaran yang ceria dan
kondusif supaya masalah disiplin dapat diatasi.

Rujukan
Haliza Hamzah,Joy Nsamalar Samuel.(2016).Siri Pendidikan Guru:Pengurusan Bilik Darjah
dan Tingkah Laku.Shah Alam:Oxford Fajar Sdn.Bhd.

Shahabuddin Hashim,Rohizani Yaakub,Mohd Zohir.(2007).Pedagogi:Strategi Dan Teknik


Mengajar Dengan Berkesan.PTS Publishing

You might also like