You are on page 1of 19

Pengurusan kolam ternakan

March 15, 2010


1.0 Pendahuluan.

Pengurusan kolam merupakan aktiviti yang penting dalam bidang akuakultur.


Pengurusan kolam bermula dari benih ikan mula dilepaskan sehinggalah ikan-ikan yang
diternak mencapai saiz pasaran dan kerja-kerja mengutip hasil dijalankan. Pengurusan
yang baik akan menentukan kejayaan dalam bidang ternakan ikan, projek dapat
diteruskan dan memberi keuntungan kepada penternak.

2.0 Langkah-langkah yang perlu diberi perhatian dalam pengurusan kolam.

2.1 Perlepasan benih.

2.1.1 Saiz benih.

Saiz benih yang sesuai untuk dilepaskan ke dalam kolam ternakan adalah bergantung
kepada jenis ikan seperti berikut:-

Lampam Jawa 2.5 cm


Tilapia Merah 5.0 cm
Keli 5.0 cm
Jelawat 10.0 cm
Kap Rumput 10.0 cm
Patin 5.0 cm

2.1.2 Kadar perlepasan.

Kebiasaannya ternakan secara monokultura diamalkan oleh penternak. Penentuan


kadar perlepasan adalah ditentukan oleh perkara-perkara berikut:

Jenis dan kelakuan ikan.


Saiz pasaran yang dikehendaki.
Keadaan alam sekitar yang disediakan untuk ikan hidup dan membesar.
Kemampuan penternak untuk menyediakan makanan.
Kadar perlepasan adalah seperti berikut :-

Lampam Jawa 5 ekor/m2


Tilapia Merah 5 ekor/m2
Keli 50 ekor/m2
Jelawat 3 ekor/m2
Kap Rumput 3 ekor/m2
Patin 5 ekor/m2

2.1.3 Masa untuk melepaskan benih.

Masa yang sesuai untuk melepaskan benih ikan adalah pada waktu pagi dan lewat
petang. Elakkan melepaskan benih pada waktu tengahari di mana pada saat itu cuaca
panas dan suhu air kolam terlalu berbeza dengan suhu air dalam bekas ikan. Suhu yang
terlalu berbeza akan menyebabkan benih yang dilepaskan akan mengalami ketegangan
dan boleh mengakibatkan kematian yang tinggi semasa benih dilepaskan ke dalam
kolam.

2.1.4 Tindakan-tindakan sebelum benih dilepaskan.

Benih yang diterima dari pembekal lazimnya dibungkus dalam beg plastik yang
mengandungi gas oksigen. Semasa dalam perjalanan dari hatcheri ke kolam, suhu air
akan berubah. Oleh itu sebelum benih dilepaskan, rendamkan beg plastik ke dalam
kolam selama 15 minit atau sehingga suhu air dalam beg plastik sama dengan suhu air
kolam.

Kadangkala benih juga diangkut dengan lori khas. Biasanya benih ditempatkan di dalam
tangki yang dimuatkan di dalam lori dan dibekalkan dengan pengudaraan. Dalam kes
begini, penternak harus terlebih dahulu menyukat suhu dari dalam tangki dan suhu air
kolam dan bandingkan. Sekiranya suhu air dalam bekas lebih tinggi dari suhu air kolam,
maka penternak perlu menambah air batu ke dalam tangki supaya suhu air menurun
sehingga ke paras yang sama dengan suhu air kolam. Sekiranya suhu air kolam lebih
tinggi dari suhu air dalam bekas benih maka tindakan untuk menjemur tangki perlu
dilakukan sehingga suhu air meningkat dan sama dengan suhu air kolam.
2.1.5 Kaedah perlepasan benih ikan.

Bagi benih yang dibungkus di dalam beg plastik, penternak memastikan terlebih dahulu
bahawa suhu air dalam beg plastik dan suhu air kolam adalah sama.Setelah suhu sama,
buka ikatan beg plastik dan masukkan air kolam sedikit demi sedikit ke dalam beg plastik
dan biarkan benih keluar sendiri dari beg plastik.

Bagi benih yang diangkut dengan lori, tangkap benih dan bubuh di dalam bekas. Bawa
bekas tersebut di tebing kolam dan masukkan air kolam ke dalam bekas sedikit demi
sedikit dan kemudian biarkan benih berenang keluar dari bekas.

2.2 Kawalan pertumbuhan plankton.

Kekeruhan air yang disebabkan oleh fitoplankton dan zooplankton tidak akan
memudaratkan ikan secara langsung. Fitoplankton bukan sahaja mengeluarkan oksigen
semasa proses fotosintesis malahan menjadi makanan kepada zooplankton dan
beberapa spesies ikan seperti kap perak. Fitoplankton juga akan menggunakan
ammonia yang dikeluarkan oleh ikan sebagai sumber nutriennya. Zooplankton pula
merupakan makanan semulajadi yang utama kepada benih ikan. Para penternak harus
memastikan bahawa tidak terdapat terlalu banyak plankton di dalam kolam kerana
plankton akan menggunakan sumber oksigen terlarut yang sedia ada untuk proses
pernafasan pada waktu malam. Selain dari itu, pertumbuhan plankton yang keterlaluan,
dikenali sebagai ledakan ( bloom ) akan menyababkan kekurangan oksigen dalam air
secara mendadak. Keadaan ini berlaku apabila fitoplankton itu mati. Para penternak
perlu mengawasi kandungan oksigen terlarut dalam kolam ternakan. Perbezaan
kandungan oksigen terlalrut yang besar antara waktu siang dan malam akan
menyebabkan kekurangan oksigen yang serius.

Untuk mengatasi masalah di atas, penternak perlu mengeluarkan lima puloh peratus air
kolam sediada dan gantikan dengan air bersih. Selain dari itu pastikan semua makanan
yang diberi habis dimakan oleh ikan dan tiada sisa yang boleh menyebabkan kesuburan
kolam meningkat. Ikan kap perak boleh dilepaskan untuk mengawal pertumbuhan
plankton yang melampau.
2.3 Pertukaran air.

Dalam tempoh ternakan, mutu air perlu diperiksa dari masa ke semasa. Ini bertujuan
untuk memastikan mutu air sentiasa berada pada tahap yang baik dan sesuai untuk ikan
hidup dan membesar. Walaubagaimanapun pada keadaan tertentu, air perlu ditukar atau
diganti. Kebiasaannya air kolam sediada dibuang sebanyak 50 peratus dan kemudian
dimasukkan air baru. Keadaan ini akan meningkatkan kualiti air. Bagi sistem tertutup,
biasanya air dialirkan sepanjang masa dan jumlah pertukaran air berlaku antara 50
100 peratus.

2.4 Pemakanan Ikan.

2.4.1 Jenis-jenis Makanan.

a. Makanan semulajadi.

Makanan semulajadi adalah terdiri dari makanan asasi seperti plankton yang terdiri dari
fitoplankton dan zooplankton. Makanan ini penting bagi benih ikan diperingkat asuhan.
Makanan ini dihasilkan melalui ternakan makanan hidup. Di antara makan hidup yang
mudah dihasilkan ialah moina, rotifer, cladosera, daphnia dan sebagainya. Ikan seperti
kap perak dan kap kepala besar hanya memakan makanan semulajadi sepanjang
hayatnya.

b. Makanan tambahan.

Makanan tambahan adalah terdiri dari bahan-bahan dari alam semulajadi dan sisa
pertanian. Makanan tambahan adalah terdiri dari

i. Daun tumbuhan seperti daun ubi, kangkong dan pisang.

ii. Sisa sayuran.

iii. Dedak padi, gandum dan barli.

iv. Ikan baja.


c. Makanan rumusan.

Makanan rumusan adalah merupakan makanan yang lengkap dan seimbang. Ia terdiri
dari campuran karbohiderat, protin, lemak, mineral dan vitamin. Sumber campuran
tersebut adalah terdiri dari bahan-bahan berikut:

i. Sumber protin terdiri dari:

Fish meal.
Hampas kacang soya.
Hampas kacang tanah.
Serbuk bulu

ii. Sumber karbohiderat.

Dedak padi.
Dedak gandum
Dedak barli.

iii. Sumber lipid.

Minyak ikan.

Makanan rumusan biasanya dalam bentuk basah dan kering. Makanan rumusan kering
yang dipanggil pelet lebih digemari oleh penternak kerana ia mudah didapati di pasaran
dan mudah disimpan. Ada pelet yang tenggelam dan ada yang timbul. Pelet timbul lebih
digemari oleh penternak kerana penternak dapat memberi makanan sedikit demi sedikit
dan dapat menganggarkan makanan yang diperlukan oleh ikan. Keadaan ini dapat
mengelakkan pembaziran makanan.

Makanan rumusan atau pellet terdiri dari 3 kategori iaitu

i. Pelet Starter

Merupakan makanan permulaan yang diberikan kepada benih yang baru dilepaskan ke
dalam kolam ternakan sehingga berumur 1 2 bulan. Biasanya mengandungi protin
melebihi 32 peratus dan bersaiz kecil ( kurang dari 1.0 mm ).

ii. Pelet grower.

Merupakan makanan untuk tumbesaran. Mengandungi protin melebihi 20 peratus.


Saiznya lebih besar dari pellet starter. Di beri kepada ikan yang berumur melebihi 1 2
bulan hingga berumur
4 5 bulan.

iii. Pelet finisher.

Merupakan makanan penamat. Mengandungi protin antara 18 24 peratus. Saiznya


lebih besar dari makanan tumbesaran. Diberi kepada ikan yang berumur melebihi 4 5
bulan sehingga mencapai saiz pasaran.

d. Kadar pemberian makanan.

Kadar pemberian makanan bermaksud jumlah makanan yang perlu diberi kepada ikan
berdasarkan berat makanan dan umur ternakan bagi setiap hari sepanjang tempoh
ternakan. Kadar pemberian makanan yang disyorkan adalah seperti berikut :

Umur ikan ( Bulan ) % / Berat badan ikan.

1 10
27
35
43
52
62

e. Kadar penukaran makanan ( Food Conversion Rate )

Kadar penukaran makanan ( Food Conversion rate FCR ) bermaksud keupayaan


sesuatu jenis ikan menukar beberapa kilogram makanan kepada 1 kilogram berat badan
dalam suatu tempoh ternakan.Contohnya :

FCR 2 : 1

Nisbah di atas bermaksud 3 kilogram makanan diperlukan untuk menghasilkan 1


kilogram ikan.

f. Menganggarkan jumlah makanan yang diperlukan oleh ikan ternakan bagi satu jangka
masa ternakan.

Untuk menentukan jumlah makanan yang diperlukan oleh ikan bagi satu jangka masa
ternakan, kerja-kerja penyampelan perlu dilakukan ke atas ternakan. Biasanya kerja-
kerja ini dilakukan dengan kekerapan sekali bagi setiap dua minggu. Contohnya,
sekiranya ternakan itu dijalankan selama 6 bulan ini bermakna kerja-kerja penyampelan
dijalankan sebanyak 11 kali. Kerja-kerja penyampelan dilakukan dengan menangkap
ikan dari sesuatu kolam secara rawak menggunakan jala. Sebanyak 50 100 ekor ikan
akan ditangkap dan ditimbang berat serta diukur panjang dan direkodkan. Kirakan purata
berat dan anggarkan bilangan ikan yang masih ada di dalam kolam. Darabkan berat
purata dengan jumlah ikan yang terdapat di dalam kolam berkenaan untuk mendapatkan
jumlah berat ikan. Kemudian darabkan jumlah berat badan dengan peratus makanan
yang dicadangkan dari berat badan.

Contoh :

Berat purata ikan - 50 gram.


Jumlah ikan - 5,000 ekor.
Kadar pemberian makanan - 10 % dari Berat Badan
Jumlah berat ikan - 50 gram x 5,000 ekor
= 250,000 gram
= 250 kg.

Jumlah makanan yang diperlukan = 250 kg x 0.1 %


= 25.0 kg

Ini bermakna jumlah makanan yang perlu diberi kepada ikan dalam kolam ternakan
berkenaan adalah sebanyak 25 kg setiap hari selama 14 hari berikutnya. Ualngi proses
penyampelan ini sehingga ke 14 hari terakhir sebelum kutipan hasil dimulakan.

2.4.2 Kaedah pemberian makanan.

a. Cara tabur.

Kaedah ini biasa digunakan oleh penternak kecil. Makanan dimasukkan ke dalam bekas
seperti baldi dan penternak akan membawa makanan tersebut ke sekeliling kolam
sambil menabur makanan. Kaedah ini di dapati sesuai bagi kolam-kolam kecil
terutamanya kolam konkrit.

b. Menggunakan petak makanan.

Petak makanan berbentuk segiempat dan diperbuat dari buloh atau batang paip PVC
yang boleh timbul dipermukaan air. Tambatkan petak makanan berkenaan pada jeti
supaya ia tidak dihanyutkan oleh air dan tiupan angin. Makanan akan dicampakkan ke
dalam petak makanan dan timbul dipermukaan. Ikan akan datang berbondong-bondong
untuk mengambil makanan tersebut. Kaedah ini sesuai bagi makanan yang boleh timbul
seperti pellet dan daun tumbuh-tumbuhan. Melalui cara ini jadual pemberian makanan
harian perlu ditetapkan dan sebelum makanan diberi buat isyarat memanggil ikan seperti
mengetuk pelantar beberapa kali untuk menarik perhatian ikan. Jika masa makanan
diberi ditetapkan setiap hari misalnya jam 10.00 pagi, ikan-ikan dengan sendiri
berkumpul dipetak makanan pada jam 10.00 pagi untuk menerima habuan mereka.

c. Menggunakan mesen penyembur makan.

Mesen penyembur makanan adalah modifikasi dari mesen fogging yang digunakan
untuk menyembur racun serangga. Injin mesen ini menggunakan sumber tenaga dari
petrol. Pelet dimasukkan ke dalam tabung makanan dan penternak menyemburkan
makanan ke dalam kolam dari tebing. Kaedah ini sangat baik kerana makanan dapat
diberi keserata kolam dan ikan atau udang mendapat makanan di mana sahaja mereka
berada dalam kolam. Alat ini sesuai digunakan di kolam yang bersaiz besar atau yang
melebih 0.2 hektar.

d. Demad Feeder
Alat ini tediri dari tabung makanan, injap dan padel yang terendam di dalam air kolam.
Alat ini dipasang ditebing kolam. Makanan dimasukkan ke dalam tabung makanan
berbentul silo dengan bahagian bawahnya berbentuk kun dan dipasang injap. Injap ini
akan terbuka sekiranya padel digerakkan. Apabila hendak makan ikan-ikan akan
menyentuh padel dan pergerakkan ini akan membuka injap dan makanan akan jatuh ke
dalam kolam. Ikan-ikan akan merebut makanan tersebut. Penternak perlu memeriksa
tabung makanan dan mengisinya semula apabila makanan di dalam tabung itu habis
dimakan ikan.Proses ini akan berulangan sehinggalah semua ikan sudah kenyang.

Kaedah ini merupakan kaedah yang terbaik kerana ikan akan mengambil makanan
secukupnya sehingga kenyang. Ini bermakna ikan sentiasa mendapat makanan yang
mencukupi dan berterusan. Keadaan ini akan mempercepatkan tumbesaran ikan.

e. Automatic Feeder .

Alat ini terdiri dari bekas makanan, injap saluran keluar makanan dan alat penggera
automatik. Makanan diisi kedalam bekas makanan. Alat penggera ini boleh diset
mengikut waktu yang diperlukan. Apabila sampai waktunya alat penggera akan
berbunyi,ikan akan berkumpul di bawah alat ini, injap terbuka dan makanan akan jatuh
kedalam kolam mengikut jumlah yang telah ditentukan.

2.5 Kawalan pesaing dan musuh.

2.5.1 Pesaing.

Pesaing kepada ikan ternakan adalah terdiri dari ikan-ikan liar, berudu katak dan
tumbuh-tumbuhan air. Pesaing berkenaan akan bersaing dengan ikan yang diternak
untuk menggunakan ruang tempat tinggal, berebut makanan, bersaing menggunakan
oksigen terlarut dan sebagainya.

Pesaing-pesaing berkenaan perlu dihapuskan agar tumbesaran ikan tidak terganggu.


Biasanya ikan liar akan memasuki kolam melalui punca air. Untuk mengatasi masalah ini
pastikan salauran air masuk dipasang penapis untuk mengelakkan telur dan benih ikan
liar memasuki kolam. Untuk mengelakkan katak bertelur di dalam kolam, pastikan
kawasan sekitar kolam sentiada besih dan tidak menjadi tempat katak berlindung.
Pemeriksaan kolam perlu dilakukan dari masa ke semasa. Sekiranya terdapat telur
katak, keluarkannya dari kolam dengan menggunakan penyauk.

Tumbuh-tumbuhan air seperti hydrilla, rumpai dan sebagainya perlu dikeluarkan dari
kolam. Selain dari itu ikan kap rumput boleh dilepaskan untuk memakan tumbuh-
tumbuhan berkenaan.

2.5.2 Musuh.

Musuh ikan ternakan terbahagi kepada tiga kategori seperti berikut:

a. Musuh di daratan.

Di antara musuh di daratan ialah


Biawak.
Memerang

Biawak akan menyerang ikan pada waktu siang manakala memerang pula menyerang
ikan pada waktu malam. Untuk mengatasi masalah biawak, kawasan kolam boleh di
pagar dengan zing. Biawak tidak berkeupayaan untuk memanjat zing. Memerang boleh
dikawal dengan memagar kawasan ternakan.

b. Musuh di dalam air.

Di antara musuh ikan di dalam air ialah

Ular.
Belut.
Serangga air ( musuh kepada benih ikan )

Ular air dan ular sawa merupakan musuh ikan yang sukar dikesan. Untuk mengelakkan
ular berada di dalam kolam, pastikan kawasan ternakan sentiasa bersih. Jika terdapat
ular di dalam kolam, usaha untuk menghapuskannya perlu dilaksanakan. Biasanya belut
hidup di dalam lumpur didasar kolam. Dianggap musuh di dalam selimut. Belut akan
memakan benih ikan yang dilepaskan. Untuk memastikan belut tidak berada di dalam
kolam, kerja-kerja mengapur kolam perlu dijalankan dengan teliti semasa penyediaan
kolam. Dasar dan ban kolam yang berlubang perlu dikapur dengan betul supaya telur
dan benih belut dapat dihapuskan. Serangga air seperti dragon fly nymph merupakan
musuh utama benih ikan. Larva ini mesti dihapuskan dengan cara meminyak kolam.

b. Musuh di udara.

Musuh di udara terdiri dari

i. Burung Lang

Burung lang menyerang ternakan pada waktu siang. Ikan yang besar dan telah
mencapai saiz pasaran menjadi sasarannya. Serangan lebih berkesan terhadap kolam
yang airnya jernih dan ikan mudah dikesan dari udara.

Bagi mengelakkan burung lang mengerang ternakan pastikan air kolam sentiasa hijau
agar dapat melindungi ikan dari pandangan burung helang. Kaedah lain ialah tutup
kawasan ternakan dengan jarring agar helang tidak dapat menyerang ikan.

ii. Burung Raja Udang atau Pekaka

Burung raja udang menyerang mangsa pada waktu siang. Burung ini akan hinggap pada
pokok yang berhampiran dengan kolam untuk mengesan ikan sebelum menyambar
mangsa. Mangsa tumpuannya adalah benih ikan yang masih kecil. Burung ini tidak
mampu menyerang ikan-ikan besar.

Bagi mengatasi masalah serangan dari burung ini, pastikan tiada pokok atau tiang
berhampiran kolam yang boleh menjadi tempat untuk hinggap bagi burung ini. Selain
dari itu kawasan ternakan perlu dipagar untuk mengatasi masalah ini.

iii. Burung Gagak


Burung gagak menyerang mangsa pada waktu siang. Mangsanya tertumpu kepada
benih ikan yang masih kecil dan ikan-ikan yang lemah berenang dipermukaan air.

Kaedah untuk mengatasi masalah ini ialah hapuskan burung ini kerana ia banyak
membawa masalah kepada alam sekitar. Hapuskan tempat burung ini bertenggek
semasa hendak mengesaan mangsa.

iv. Burung Hantu

Burung hantu menyerang mangsa pada waktu malam terutamanya pada waktu tengah
malam. Biasanya pada masa ini kandungan oksigen larut mula menurun di bahagian
dasar kolam tetapi kandungan oksigen terlarut agak tinggi di permukaan air. Oleh itu
ikan-ikan akan berada di permukaan air untuk bernafas. Semasa ini burung hantu
mudah menyerang ikan.

Kaedah untuk mengatasi masalah ini ialah pastikan air kolam sentiasa hijau dan
kandungan oksigen larut sentiasa tinggi. Selain dari itu tutup kawasan ternakan dengan
jaring.

2.6 Pengutipan Hasil.

2.6.1 Masa ternakan.

Masa atau tempoh ternakan adalah bergantung kepada jenis dan saiz benih ikan yang
dilepaskan seperti berikut :

Tilapia merah - 4 - 6 bulan


Keli - 3 - 4 bulan
Patin - 4 - 6 bulan
Lampam Jawa - 8 - 10 bulan
Kap Rumput - 10 - 12 bulan
Jelawat - 8 - 10 bulan

2.6.2 Kaedah kutipan.


Biasanya dua kaedah kutipan hasil dijalankan iaitu

a. Kutipan secara berperingkat.

Melalui kaedah ini, hasil ternakan ditangkap secara berperingkat-peringkat


menggunakan jala atau pukat tarik. Ikan yang ditangkap disimpan dalam tangki
simpanan sementara dan ikan dijual secara runcit . Cara ini ikan dipasarkan secara
hidup-hidup. Setelah 90 peratus hasil ditangkap kolam akan dikeringkan dan ikan akan
ditangkap ke semuanya.

b. Kutipan sekali gus.

Melalui kaedah ini ikan ditangkap dengan pukat tarik dan operasi ini memerlukan tenaga
kerja yang ramai dan mahir. Kemungkinan ikan dipukat beberapa kali dan seterusnya
kolam dikeringkan. Ikan-ikan yang ditangkap diangkut dengan lori samada hidup atau
mati dan dibawa ke pusat pengumpulan untuk dipasarkan.

2.6.3 Teknik kutipan.

a. Menggunakan pukat tarik.

Menangkap hasil ternakan menggunakan pukat tarik merupakan teknik yang biasa
digunakan terutamanya di kolam ternakan. Bagi kolam seluas 0.2 hektar, sebidang pukat
berukuran 100 meter panjang dan 4 meter lebar dengan mata pukat 2.5 cm digunakan
untuk menangkap ikan.Pukat ini dilengkapi dengan pelampung pada tali kajar atas dan
pemberat pada tali kajar bawah. Seramai 6 orang pekerja diperlukan untuk menjalankan
operasi ini. Ikan yang terperangkap di dalam pukat dikumpulkan dan pemilihan atau
grading dilakukan sebelum hasil dipindahkan ke tangki simpanan.

b. Mengeringkan kolam.

Kaedah ini biasa digunakan apabila jumlah ikan yang terdapat dalam kolam adalah tidak
banyak dan ikan sukar ditangkap kerana sudah liar. Walaubagaimanapun teknik ini
sering digunakan untuk menangkap udang dan ikan keli. Melalui kaedah ini hasil dapat
dipungut 100 peratus.
c. Menggunakan kesan kandungan oksigen terlarut.

Kaedah ini sering digunakan di dalam sistem ternakan tertutup seperti ternakan dalam
kolam lucas dan kolam konkrit. Tutup suis kincir air dan saluran air masuk pada awal
pagi. Apabila kandungan oksigen terlarut berkurangan ikan akan mula mencari tempat
yang mengandungi oksigen terlarut yang tinggi. Bila berlaku keadaan sedemikian, buka
ruangan tempat memungut hasil dan buka suis alat pengudaraan. Ruangan tempat
memungut hasil akan mengandungi oksigen terlarut yang tinggi dan ikan akan berpusu-
pusu ke tempat itu untuk mendapatkan oksigen terlarut. Apabila tempat tersebut penuh
dengan ikan, tutup pintu dan ikan dipunggah dan dipindahkan ke tangki simpanan.

2.6.4 Pengendalian lepas tuai.

Selepas hasil dituai, ikan-ikan tersebut jika perlu dinyah bau untuk menghilangkan bau
hanyir dan lumpur. Ikan-ikan yang telah bersih boleh dipasarkan sama secara hidup atau
mati. Ikan yang hidup dihantar ke pasar dengan menggunakan lori. Ikan-ikan tersebut
dimasukkan ke dalam tangki yang ada bekalan air bersih dan lengkap dengan alat
pengudaraan. Bagi mengurangkan aktiviti ikan tersebut suhu air perlu direndahkan
dengan menggunakan air batu.

Bagi ikan yang dipasarkan secara mati, masukkan ikan-ikan tersebut ke dalam bekas
yang ada ais supaya ikan tersebut sentiasa segar sehingga dibeli oleh pengguna. Selain
dari itu ikan-ikan tersebut boleh disejukbeku sebelum dipasarkan. Kaedah ini sesuai
untuk tujuan pemperosesan.

2.7 Pemasaran.

2.7.1 Harga.

Biasanya ada tiga kategori harga untuk memasarkan ikan iaitu

a. Harga Ladang.
Harga di ladang ditentukan oleh kos pengeluaran bagi setiap kilogram ikan yang
dihasilkan dan dicampur dengan keuntungan yang bakal diperolehi oleh penternak. Di
samping itu harga di ladang juga ditentukan oleh permintaan dan penawaran di
pasaran.

b. Harga borong.

Harga borong adalah harga yang ditentukan oleh pemborong. Harga ini meliputi harga
ladang campur kos pengendalian, kos pengangkutan dan keuntungan yang bakal
diperolehi oleh pemborong. Biasanya harga borong lebih tinggi dari harga di ladang.

c. Harga runcit.

Harga runcit merupakan harga yang akan dibayar oleh pengguna. Harga ini jauh lebih
tinggi dari harga borong. Harga runcit meliputi harga borong campur dengan beberapa
kos yang ditanggung oleh peruncit seperti kos upah, kos menyimpan, kos sewa,
keuntungan dan sebagainya.

Sekiranya penternak menjual sendiri hasilnya secara runcit, maka keuntungan yang
diperolehi adalah lebih lumayan berbanding dengan menjual hasil kepada pemborong.
Namun begitu tidaklah mudah untuk memasarkan hasil yang banyak secara runcit oleh
penternak kerana banyak faktor yang perlu dipenuhi.

2.7.2 Pasaran.

Biasanya ikan dipasarkan dalam dua kategori iaitu

a. Pasaran tempatan.

Pasaran tempatan terbahagi kepada dua iaitu

i. Pasar awam.

Ikan-ikan yang dijual di pasar awam adalah dalam dua bentuk iaitu ikan yang dijual
secara segar seperti ikan hidup atau ikan basah dan ikan yang disejukbeku. Ikan hidup
yang dijual ditempatkan di dalam tangki atau bekas yang diberi bekalan oksigen.
Biasanya ikan ini mendapat permintaan yang tinggi dan harga yang ditawarkan agak
tinggi berbanding dengan ikan yang disejukbeku.

ii. Pasaraya.

Ikan yang dijual di pasaraya biasanya dalam bentuk sejukbeku dan ikan yang telah siap
dibersihkan. Ikan-ikan tersebut dibungkus dengan teliti dan kelihatan cantik untuk
menarik minat pengguna. Terdapat juga pasaraya yang menjual ikan yang telah diproses
seperti fillet ikan yang siap sedia untuk dimasak. Selain dari itu terdapat juga pasaraya
yang menjual ikan hidup seperti ikan keli dan tilapia merah.

b. Pasaran Luar Negara.

Sebahagian dari ikan yang dihasil di negara ini dipasarkan ke luar negara. Ikan hidup
dipasarkan ke Singapura. Ikan-ikan tersebut diangkut dengan lori dan dihantar ke
Singapura. Selain dari ikan hidup, ikan yang disejukbeku dan juga ikan yang telah
diproses menjadi fillet dieksport ke luar negara.

2.8 Catatan dan Penyimpanan Rekod.

Pengurusan kolam yang baik adalah factor penting dalam mencapai kejayaan dalam
bidang akuakultur. Pengurusan yang lemah akan menyebabkan projek akuakultur
menemui kegagalan. Pengalaman masa lepas sangat berguna dan berharga dalam
merancang projek yang akan datang. Oleh itu, untuk menggunakan sepenuhnya
pengalaman yang telah diperolehi, penternak perlu membuat rujukan. Oleh itu demi
masa depan penternak perlu menyediakan rekod yang berkaitan dengan aktiviti
pengurusan kolam. Rekod yang dimaksudkan adalah seperti berikut :

2.8.1 Rekod pengurusan kolam.

Di antara rekod pengurusan kolam yang perlu disediakan ialah


a. Rekod perlepasan benih ikan.

Rekod ini mestilah mengandungi perkara-perkara berikut:


No. Kolam.
Saiz kolam.
Jenis benih yang diternak.
Kadar perlepasan.
Jumlah ikan yang dilepaskan.
Tarikh benih dilepaskan.
Jangka masa ternakan.
Tarikh ikan dihasilkan.

b. Rekod makanan ikan

Dua jenis rekod yang berkaitan dengan makanan perlu diadakan seperti berikut :-

i. Rekod Stok makanan.

Rekod ini berbentuk buku stok. Segala makanan yang dibeli mesti
direkod di dalam buku ini yang meliputi

Tarikh pembelian.
Nama pembekal
Jumlah beg makanan
Rekod masuk
Rekod Keluar
Rekod Baki
Tandatangan pegawai berkaitan.

ii. Rekod pemberian makanan harian.

Rekod ini perlu disediakan bagi setiap kolam ternakan. Rekodkan jumlah makanan
harian yang diberi kepada ikan bermula dari benih dilepaskan sehinggalah dua hari
sebelum kutipan hasil dijalankan. Rekodkan juga data-data sampling untuk menentukan
jumlah makanan yang perlu diberi untuk tempoh dua minggu selepas sesuatu sampling
dijalankan.
2.8.2 Rekod penyampelan.

Rekod penyampelan perlu disediakan dan disimpan dengan rapi untuk rujukan di masa
hadapan. Rekod penyampelan ini meliputi perkara berikut :

a. Tarikh dan masa penyampelan dilakukan.


b. Bilangan ikan yang disampel.
c. Bacaan berat ikan.
d. Bacaan panjang ikan.
e. Jantina ikan.
f. Umur ikan.

2.8.3 Rekod pembelian input/stok.

Pembelian input untuk operasi ternakan perlu direkodkan supaya input yang diperlukan
sentiasa mencukupi untuk menjalankan ternakan. Rekodkan jenis input, tarikh dibeli,
harga, nama pembekal dan bilangan di dalam buku stok. Urusan keluar masuk input
mestilah direkodkan untuk memudahkan semakan dan verifikasi stok. Stok yang
berkurangan boleh dirancang untuk pembelian input baru.

2.8.4 Rekod jualan.

Rekod jualan perlu diadakan agar penternak tahu dimana hasil musim lalu dipasarkan.
Rekod ini meliputi tarikh kutipan hasil dijalankan, kepada siapa ikan dijual, harga jualan
dan kuantiti hasil yang telah dijual. Rekod ini penting untuk membuat akaun untung rugi
dan perancangan masa hadapan.

2.8.5 Rekod pengeluaran.

Rekod pengeluaran bagi setiap kolam perlu disediakan. Ia meliputi jenis ikan yang
diternak, tarikh perlepasan benih, kadar perlepasan, jumlah benih, tempoh ternakan,
kadar hidup dan jumlah pengeluaran. Rekod pengeluaran keseluruhan ladang setiap
tahun juga direkodkan dan bandingkan dengan pengeluaran keseluruhan tahun-tahun
sebelumnya untuk mengetahui samada pengeluaran tahun semasa meningkat atau
sebaliknya.

3.0 Penutup.

Amalan pengurusan kolam yang baik disamping mengamalkan Kod Amalan Baik
Akuakultur boleh menjamin kejayaan seseorang penternak dalam bidang akuakultur.
Berdasarkan kepada rekod-rekod yang disediakan seseorang penternak mampu
membuat analisa keatas ladangnya dan mampu membuat perancangan yang lebih rapi
dan teliti. Melalui data dan pengalaman yang diperolehi pada musim-musim ternakan
terdahulu memberi pengajaran dan pengalaman yang berguna kepada penternak untuk
berjaya di masa hadapan.

You might also like