You are on page 1of 18

BAB 2

KONSEP ILMU MENURUT ISLAM


Norakmal binti Abdul Hamid
Ahmad Jamil bin Jaafar
Nurul Asmida binti Saad

Pengenalan
Ilmu merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan
manusia. Peradaban dan kemajuan sesebuah bangsa banyak bergantung
kepada kemajuan ilmu dan pendidikan. Ini terbukti dalam agama Islam yang
mana sepanjang sejarahnya telah mampu membina tamadun yang
cemerlang dengan menitikberatkan ilmu pengetahuan.

Faktor kekuatan intelektual dan kesarjanaan yang menjadi


pemangkin kepada kecemerlangan Tamadun Islam adalah bermula daripada
penekanan terhadap menuntut ilmu seperti yang dinyatakan di dalam al-
Quran, sunnah Nabi Muhammad SAW dan melalui ajaran tokoh- tokoh
terdahulu dan sekarang. Ini jelas menunjukkan bahawa kedudukan ilmu
sangat penting dalam Islam. Ia bermula dari wahyu pertama yang diturunkan
kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Maksudnya: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu


yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia
dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha
Pemurah. Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.
Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Surah al- Alaq: 96: 1-5)

Seruan bacalah dan kalam jelas menunjukkan bahawa Islam


menganjurkan umatnya menuntut ilmu dan membaca adalah pintu
pembukaan segala ilmu. Ilmu pengetahuan boleh dicapai dan ditaakul
melalui proses tersebut. Melalui kalam atau pena dan tulisan, ilmu akan
tersebar dan berkembang luas. Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: Menuntut ilmu wajib ke atas setiap Muslim


(Riwayat Ibn Majah: 224)

Berdasarkan hadis di atas, tanggungjawab menuntut ilmu tidak


hanya terbeban ke atas lelaki sahaja bahkan juga perempuan yang beriman
kepada Allah SWT. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan
menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah agama yang
memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Tanpa ilmu,
manusia tidak akan mengenal Penciptanya, dirinya dan tidak memahami
tujuan sebenar penciptaannya sebagai khalifah di atas muka bumi.

Definisi ilmu

Perkataan ilmu berasal dari bahasa Arab iaitu alima, yalamu, ilman yang
bermaksud mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui
sesuatu dengan sebenarnya. Perkataan al-Ilmu berlawanan dengan
perkataan al-Jahl yang bererti ketidaktahuan atau kebodohan (ignorance).
Ilmu juga disepadankan dengan perkataan Arab yang lain iaitu marifah
(pengetahuan), fiqh (pemahaman) dan hikmah (kebijaksanaan). Daripada
perkataan alima terbit pula perkataan alim yang bermaksud berilmu dan
ulama iaitu orang yang berilmu. Sementara menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, ilmu adalah pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir,
batin dan lain- lain.

Dari segi istilah pula, ilmu merujuk kepada semua pengetahuan


atau kebenaran berkenaan sesuatu perkara yang bersumberkan risalah para
rasul yang diturunkan oleh Allah SWT dan alam ciptaan-Nya termasuk
manusia yang merangkumi aspek zahir dan batin.

Ilmu merupakan perkataan yang mempunyai makna yang luas.


Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian
mengenai sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah
dan metode tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu
yang berkait dengan bidang ilmu tersebut.

Pengertian Ilmu Menurut Tokoh.

Ibn Manzur dalam buku Lisan al- Arab telah memberikan empat huraian
berdasarkan akar kata al- ilmu.
1. al-Ilmu merujuk kepada sifat-sifat Allah SWT yang Maha
Mengetahui
2. al-Ilmu berlawanan dengan sifat al-Jahl, bermaksud tidak tahu
atau dungu.
3. al-Ilmu bermaksud mengetahui sesuatu, mengenali atau arafa.
4. al-Ilmu dengan pengertian al-alam bermaksud tanda atau
alamat.
Franz Rosenthal, seorang sarjana Barat memberikan pelbagai definisi
ilmu antaranya ilmu disama ertikan dengan proses menngetahui, kognisi,
proses memperoleh dan mencari serta proses penjelasan. Menurut beliau,
ilmu adalah sesuatu yang tidak mampu didefinisikan melainkan hanya
mampu diterangkan sifat istimewanya, maka salah satu sifat istimewa ilmu
adalah untuk membawa manusia kepada cahaya dan kebenaran.

Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas telah mendefinisikan


ilmu sebagai ketibaan makna ke dalam diri seseorang yang menyebabkan
berlaku perubahan ilmunya. Al-Attas telah membahagikan definisi ilmu
kepada dua bahagian. Pertama, ilmu adalah sesuatu yang berasal dari Allah
SWT, dan dari ilmu itu datangnya makna sesuatu ke dalam jiwa manusia.
Kedua, ilmu adalah sesuatu yang diterima oleh jiwa yang aktif dan kreatif
iaitu sampainya jiwa pada makna sesuatu.

Takrif tersebut dengan sendiri menjelaskan bahawa ilmu tidak sama


dengan fakta atau maklumat, walaupun ilmu tentunya memerlukan
maklumat. Maklumat tersebut pula hendaklah yang benar yang membawa
makna pemilikNya. Dapat disimpulkan bahawa ilmu berdasarkan maklumat
yang benar mampu membawa seseorang manusia itu mengenal Penciptanya
iaitu Allah SWT.

Menurut Osman Bakar (1996), ilmu itu adalah suatu pengetahuan yang
benar iaitu ilmu tauhid yang merangkumi hakikat ketuhanan. Beliau tidak
menafikan kepentingan ilmu- ilmu keduniaan yang lain walaupun ilmu- ilmu
tersebut bersifat sementara. Menurut beliau, sekiranya pengetahuan kita
mengenai sesuatu tidak menepati kedudukannya yang sebenarnya, maka
pengetahuan itu tidak wajar diiktiraf sebagai ilmu atau tidak boleh digelar
ilmu.

Sumber Ilmu Menurut Islam

Allah SWT ialah sumber segala sesuatu di alam ini termasuklah ilmu. Ilmu
dan kekuasaanNya meliputi langit dan bumi, yang nyata dan yang ghaib.
Secara umumnya, ilmu pengetahuan yang diiktiraf oleh Islam adalah
bersumberkan wahyu, ilham atau intuisi, pancaindera dan akal.

a. Wahyu iaitu al- Quran dan Hadis

Wahyu adalah kalam Allah SWT yang diturunkan kepada seorang nabi atau
rasul melalui perantaraan Jibril a.s. Al-Quran dan al- Sunnah adalah sumber
wahyu (naqli) yang juga merupakan sumber ilmu primer dalam Islam.
Sebagai sumber segala ilmu, seseorang muslim hendaklah mendapatkan
ilmu pengetahuan daripada wahyu, malah diperintahkan supaya mengikut
arahan dan ajaran yang terkandung di dalamnya.

i. Al- Quran

Kitab al- Quran ialah sumber primer ilmu dalam Islam. Al-Quran ialah
kalam Allah SWT sebagai mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi
Muhammad SAW. Dari segi bahasa, al- Quran berasal daripada perkataan
qaraa, yaqrau yang bererti bacaan. Dari segi istilah, al-Quran adalah kalam
Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di dalam bahasa
Arab yang disampaikan secara mutawatir dan membacanya suatu ibadah.

Segala isi dan ajaran dalam al-Quran adalah lengkap dan sempurna
yang mencakupi persoalan akidah, syariah (perundangan) dan akhlak
(tingkah laku) serta perkara- perkara ghaibiyyat. Manakala perundangan
Islam pula mencakupi seluruh sistem hidup manusia seperti aspek peribadi,
kekeluargaan, ekonomi, politik, sosial, undang- undang, hubungan
antarabangsa dan lain- lain yang menyentuh keperluan dan kepentingan
hidup manusia di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksudnya: Tiadalah Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab


al- Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan
kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)
(Surah al- Anam: 6: 38)

Segala hukum hakam atau perundangan Islam yang terkandung di


dalam al-Quran adalah wajib diikuti. Menolak al- Quran atau hukum-
hakamnya, menghina dan merendah-rendahkannya adalah kafir kerana
beriman kepada al-Quran adalah salah satu daripada rukun iman yang enam.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksudnya: Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat- ayatNya dan


rasulNya kamu selalu berolok-olok?Tidak perlu kamu meminta
maaf, kerana kamu menjadi kafir sesudah beriman. Jika (pun)
Kami maafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka
bertaubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain)
disebabkan mereka adalah orang yang (selalu) berbuat dosa.
(al-Taubah: 9: 65-66)

Ciri- ciri Khusus al-Quran.

1. Diturunkan di dalam bahasa Arab melalui perantaraan malaikat Jibril as,


maka segala bentuk terjemahannya atau tafsirannya tidak boleh
dinamakan al- Quran dan tidak boleh dijadikan hujah. (Dr Wahbah al-
Zuhayli, 1986, h.421).
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai
al- Quran yang dibaca dengan bahasa Arab supaya kamu
(menggunakan akal untuk) memahaminya.
(Yusuf: 12: 2)
2. Diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun, bermula dengan ayat
1-5 dari Surah al-Alaq dan berakhir dengan ayat 3 dari Surah al-Maidah.
3. Disampaikan kepada kita melalui riwayat yang mutawatir dan dengan
jalan penulisan.
4. Al- Quran mengandungi lebih 6200 ayat yang terkandung di dalam 114
surah.
5. Mukjizat dari Allah SWT yang paling agung kepada Rasulullah SAW.
6. Dijanjikan oleh Allah akan tetap terpelihara sehingga hari kiamat daripada
sebarang cubaan pengkhianat atau musuh-musuh Islam untuk mengubah
atau merosakkan ayat-ayat Allah. Perakuan ini dijelaskan melalui firman
Allah SWT, yang bermaksud:

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran,


dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
(al-Hijr: 15: 9)

7. Membaca al- Quran di dalam dan di luar sembahyang dikira ibadah dan
diberikan ganjaran pahala.

Nama-nama Lain Yang Diberikan Allah SWT Kepada Al- Quran:

1. Al-Kitab : Kitab
2. Al-Furqan : Pembeza antara yang hak (benar) dan batil (salah)
3. Al-Huda : Petunjuk
4. Al-Bayan : Penjelas
5. Al-Basyir : Yang memberitakan khabar gembira (syurga)
6. Al-Nazir : Yang memberitakan amaran dan peringatan keras
(neraka)
7. Al-Mawizah: Nasihat
8. Al-Kalam : Kata- kata Allah
9. Al-Syifa : Penawar

Sejarah Penurunan Al- Quran

Menurut ulama, sejarah penurunan al- Quran terbahagi kepada dua


peringkat;
1. Secara Jumlatan (sekaligus): Dari Luh Mahfuz ke Bait al-Izzah, dan dari
Bait al-Izzah ke Sama al-dunia (langit dunia) pada malam Lailatul
Qadar.
2. Secara Munajjaman: (berperingkat- peringkat): Diturunkan kepada Nabi
Muhammad SAW secara berperingkat- peringkat selama 23 tahun. 83
surah diturunkan di Makkah mengambil masa selama 13 tahun dan 31
surah diturunkan di Madinah selama 10 tahun.

Dalil atau bukti bahawa al- Quran diturunkan pada malam Lailatul
Qadar disebut di dalam Surah al- Qadar yang bermaksud:

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al- Quran


pada malam Lailatul Qadar.
(al-Qadar: 97: 1)

ii. Al-Hadis/ al-Sunnah

Hadis atau sunnah merupakan sumber ilmu kedua selepas al- Quran.
Dari segi bahasa, sunnah bermaksud: jalan atau cara, baik yang terpuji
ataau tercela. Dari segi istilah, ia bermaksud segala sesuatu yang
disandarkan kepada Rasulullah SAW baik dalam bentuk ucapan (qauli),
perbuatan (fili) mahupun pengakuan (taqriri). Manakala al- Hadis
maksudnya lebih spesifik kepada perkataan atau ucapan Nabi Muhammad
SAW sahaja.

Peranan al- Sunnah.

Hadis berperanan menerang dan memperincikan segala ajaran yang


terdapat di dalam al- Quran. Ia menjelaskan ayat- ayat al- Quran yang
bersifat mujmal (kurang jelas), mengkhususkan ayat- ayat umum dan
mengeluarkan yang tidak disebut secara khusus di dalam al- Quran.

Rasulullah SAW tidak berbuat atau menuturkan sesuatu melainkan


dengan bimbingan wahyu Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah


SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua
yang dilarangnya kamu melakukannnya maka patuhilah
larangannya (al-Hasyr: 59: 7)

Tiga bentuk al- Sunnah:

i. Sunnah Qauliyyah ialah sunnah yang disandarkan kepada


Nabi Muhammad SAW dalam bentuk perkataan. Iaitu sunnah
yang terdapat dalam hadis-hadis yang bersifat perintah dalam
bentuk ucapan baginda SAW.
ii. Sunnah Filiyyah ialah segala yang disandarkan kepada
Nabi Muhammad Saw dalam bentuk perbuatan. Sunnah ini
dapat ditemukan dalam hadis- hadis Nabi Muhammad SAW
yang memerintahkan sahabat untuk mengikut perbuatan
baginda.
iii. Sunnah Taqririyyah ialah persetujuan atau perakuan dari
Nabi Muhammad SAW terhadap apa yang diucap dan
dilakukan oleh para sahabat r.a atau diam baginda SAW.

b. Intuisi atau ilham

Ilham adalah satu cara penerimaan ilmu yang istimewa kerana


dianugerahkan oleh Allah SWT secara langsung. Ia adalah satu bentuk
pemahaman atau penghayatan ilmu dengan hati. Sebahagian manusia yang
terpilih mendapat ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam bentuk ilham
tanpa perlu belajar. Islam mengiktiraf kedudukan ilham sebagai sumber ilmu
berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan Kami (wahyukan) ilhamkan kepada ibu Musa,


Susuilah dia, dan apabila kamu bimbang terhadapnya, maka
jatuhkan lah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu bimbang
dan jangan (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami
akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah
seorang) dari para rasul . (al-Qasas:
28: 7)

Berdasarkan mafhum ayat di atas, terbukti bahawa ilham juga boleh


didapati oleh manusia biasa seperti kita dengan bimbingan dan dorongan
Allah SWT.

Contoh lain bagi ilham adalah kisah perjalanan Nabi Musa as dengan
Nabi Khidir as seperti yang termaktub di dalam Surah al-Kahfi ayat 60-82.
Kekuatan mata hati Nabi Khidir as yang mampu menanggapi realiti melalui
ilmu laduni telah mengatasi ilmu akal Nabi Musa as. Menurut hukum akal,
perbuatan Nabi Khidir as melubangi dan menenggelamkan perahu,
membunuh pemuda dan menegakkan kembali dinding yang hampir runtuh
dianggap aneh dan meragukan, sedangkan Nabi Khidir as melakukannya
dengan bersebab. (Ahmad Fauzi Hj Morad, 1997)

Intuisi pula adalah kemampuan seseorang untuk memahami sesuatu


tanpa melalui proses pemikiran tertentu. Ia adalah ilham akal, fikiran dan
jiwa kreatif. Intuisi juga disebut sebagai suatu proses datangnya
pengetahuan secara langsung atau tiba- tiba tanpa ada penjelasan
sebelumnya. Terdapat pelbagai istilah lain untuk intuisi seperti naluri, firasat,
basirah, kasyaf, gerak hati, deria keenam, mistik dan sebagainya.

Melalui intuisi, seseorang dikurniakan kemampuan untuk mengetahui


dan merasakan peristiwa yang akan terjadi. Contohnya, kemahiran meneka
sesuatu dengan tepat. Realitinya ia bukan tekaan bahkan fikiran atau
pengetahuan ini muncul dengan sendirinya. Terdapat kaedah tertentu yang
diperlukan untuk melatih intuisi yang tajam.

Bagi orang soleh dan wali Allah SWT, latihan (riadah) secara konsisten
(istiqamah) seperti zikir, puasa dan melatih minda yang positif dapat
memungkinkan mereka memperolehi intuisi iaitu anugerah dari Allah SWT.
Inilah yang dinamakan sebagai kasyaf. Kasyaf boleh berlaku jika jiwa
manusia itu bersih dan dapat mengawal nafsu dan emosi, bebas dari
pengaruh deria zahir dan batin. Apabila semua ini berlaku, jiwa yang
terdorong kearah kesucian akan berhubung dengan alam tinggi dengan
mudah dan menyediakannya menerima ilmu dari alam tinggi.

Namun pemerolehan sedemikian bukanlah tujuan utama manusia yang


beriman kepada Allah SWT. Melalui iman yang mantap, Allah SWT akan
mengurniakan cahaya kepada akal seterusnya mencetuskan daya kreatif dan
inovatif yang muncul dalam jiwa seseorang yang dinamakan intuisi. Intuisi
letaknya di dalam qalbu (hati batin) orang beriman sehingga pandangan
mata hati (bashirah) mereka memperolehi ketajaman minda dan fikiran.
Namun begitu, kewujudan kasyaf ini bukanlah menjadikan ia sebagai satu
sumber yang mutlak. Ini kerana seorang manusia itu juga mampu dikaburi
oleh nafsu dan syaitan sehingga mana merasakan segala intuisi yang dialami
merupakan kasyaf dari ilahi, terkadang manusia begitu obses dengannya
sehingga mengunakan ia sebagai hujjah bagi membenarkan segala dakwaan
dan pandangan mereka semata-mata tanpa merujuk kembali sumber primer
iaitu al-Quran dan Sunnah.

c. Akal

Akal berasal dari bahasa Arab aqala, yaqilu, aqlan yang bererti menahan,
mencegah dan melarang. Orang yang berakal (al-aqli) adalah orang yang
menahan dirinya dan menolak keinginan hawa nafsunya. Kajian mendapati
terdapat 49 kosa kata yang berakar kata aql dalam pelbagai bentuk di dalam
ayat al- Quran. Maksud kosa kata itu ialah faham dan mengerti. Firman Allah
SWT:
Maksudnya: Apakah kamu ingin benar agar mereka percaya
kepada kamu, padahal sesungguhnya telah ada segolongan dari
mereka yang mendengar Kalam Allah, kemudian mereka
mengubah- ubah sesudah mereka mengerti, padahal mereka
mengetahui?
(Surah al- Baqarah: 75)

Sebahagian besar ilmu pengetahuan yang diperoleh manusia adalah


dengan akal. Malah inilah perbezaan antara manusia dan haiwan. Hasil
tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal
manusia yang kreatif. Dengan akal, manusia dapat menimbang dan
membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun bukan bersifat
kebenaran mutlak namun memadai untuk mengatasi masalah kehidupan
seharian.

Akal merupakan penghargaan yang sangat tinggi diberikan Allah SWT


kepada manusia. Allah SWT menyuruh manusia menggunakan semaksima
mungkin daya akal dan pancaindera agar dapat mencapai pengetahuan
yang sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak
menekankan manusia untuk menggunakan akal dengan sebaik- baiknya
dengan menyebut konsep ulul-albab, tafakkur, takilun, tadabbur dan
sebagainya.

Sungguhpun akal diakui sebagai sumber ilmu, tetapi para ahli falsafah
dan ulama Islam mengakui kelemahan dan keterbatasan akal. Umpamanya
akal tidak dapat mengetahui perkara yang telah lalu dan perkara yang akan
terjadi pada masa hadapan. Akal masih terbatas terutama dalam perkara
yang berkaitan ketuhanan dan keagamaan, akhlak dan perkara ghaib seperti
roh dan kehidupan selepas mati. Sebijak dan sepintar manapun manusia, ia
tidak akan mampu memahami perkara tersebut tanpa dipandu oleh wahyu
Allah. (Sidek Baba, 2010)

d. Pancaindera

Ilmu boleh didapati melalui pancaindera manusia. Terdapat lima indera bagi
manusia normal seperti pendenganran melalui telinga, penglihatan melalui
mata, menghidu melalui hidung, merasa melalui mulut, dan menyentuh
melalui tangan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Oleh itu, bukahkah ada baiknya mereka mengembara


di muka bumi supaya dengan melihat kesan- kesan tersebut
mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka
dapat memahami, atau ada dengan dengan adanya mereka
dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembarapun
tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah
mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang
ada di dalam dada. (al-Hajj: 22: 46)

Ayat al- Quran di atas menjelaskan tentang keadaan manusia dan


pancaindera mereka supaya melihat, mendengar dan memahami kesan-
kesan peninggalan kaum terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT.
Namun sekiranya deria tersebut tidak digunakan sebaik mungkin tidak akan
datang hidayah juga kepada mereka yang kufur.

Menurut Imam al-Ghazali, pancaindera merupakan alat atau wahana


pertama dalam diri manusia sebelum ilmu pengetahuan diproses melalui
akal fikiran. Pancaindera berfungsi di tempatnya masing- masing dan
melaporkan penemuannya kepada akal. Maklumat yang diperolehi menerusi
pancaindera merupakan sumber pertama sebelum berlaku proses intelektual
yang lebih tinggi seperti pemikiran dan khayalan.

Pancandera yang paling dominan ialah penglihatan dan pendengaran.


Kedua- dua pancaindera ini menjadi fokus utama di dalam al-Quran
khususnya dalam tuntutan memikirkan fenomena-fenomena ciptaan Allah
SWT. Sebagai sumber ilmu, deria penglihatan dan pendengaran amat
diperlukan untuk mencerap ilmu pengetahuan berbanding deria yang lain.

Sebagaimana akal, pancaindera mempunyai kelemahannya sendiri.


Pancaindera kadangkala gagal memberikan gambaran atau penglihatan
tepat. Seperti contoh mata tidak dapat melihat saiz sebenar bulan dan
bintang jika dilihat dari bumi. Melalui pengkajian sains, didapati bahawa saiz
sebenar bulan dan bintang sebenarnya jauh lebih besar. Begitu juga dengan
telinga tidak boleh mendengar dengan jelas sesuatu bunyi yang sangat jauh,
frekuensi bunyi yang sangat rendah atau terhalang oleh ruangan tertentu.

e. Sumber- sumber lain.

Ilmu juga boleh didapati melalui sumber-sumber lain secara langsung dan
tidak langsung. Ilmu secara langsung didapati melalui pengalaman
seseorang, amalan, dan contoh teladan. Menurut Imam al- Ghazali, ilmu itu
bukan berbentuk pengetahuan sahaja malahan penting untuk dilaksanakan,
dipraktikkan atau diamalkan. Seperti kata mutiara hikmah Imam al-Syafie:

Maksudnya: Orang yang berilmu itu adalah orang yang berilmu


dengan perbuatannya, bukan berilmu dengan kata- kata dan
ucapannya.
Ada di kalangan sarjana yang berpendapat bahawa sumber ilmu juga
datang daripada sumber lisan, tulisan dan kajian sejarah. Ilmu yang
diperolehi melalui sumber lisan wujud dalam sistem pendidikan tidak formal
seperti ilmu kemahiran tertentu yang diwarisi secara tidak langsung
daripada keluarga dan masyarakat. Pengajaran secara lisan daripada tokoh-
tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan. Ilmu yang sumbernya dari
tulisan dapat dilihat seperti ilmu perubatan, matematik dan undang-undang
yang telah ditulis oleh sarjana dari pelbagai tamadun. Sementara ilmu kajian
sejarah pula diperoleh dari hasil kajian dan penulisan tentang peristiwa
sejarah yang telah berlaku.

Hierarki Ilmu

Pembahagian dan pengelasan ilmu merupakan salah satu kunci utama dalam memahami tradisi
pengintelektualan umat Islam. Seseorang perlu mengetahui hierarki ilmu agar ilmu itu dapat
dipelajari dan didalami mengikut acuan dan tatatertib yang betul.

Kategori Ilmu Berdasarkan Hukum Mempelajarinya

Menurut tradisi Islam, ilmu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori dan disusun mengikut
tatatingkat berdasarkan kepada hukum mempelajarinya. Antara kategori ilmu menurut ilmuan
Islam adalah seperti berikut:

1) Imam al-Ghazali membahagikan ilmu berdasarkan kepada tujuan mempelajarinya kepada dua
kategori iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Di bawah ilmu fardhu kifayah itu,
terdapat dua lagi kategori iaitu ilmu syariah dan ilmu bukan syariah.
2) Ibn Khaldun menyatakan ilmu terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu naqliyyah dan ilmu
aqliyyah. Ilmu naqliyyah pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu bersumberkan wahyu
seperti al-Quran dan al-Sunnah, dan ilmu bersumberkan selain wahyu seperti fiqh, usul fiqh,
tasawwuf dan ilmu kalam. Ilmu aqliyyah pula terbahagi kepada empat kategori iaitu
logik/mantik, fizik, metafizik dan ilmu pembelajaran. Ilmu aqliyyah ini merupakan hasil
daripada akal dan pemikiran manusia yang berkait rapat dengan kemajuan dan peradaban
manusia sesuatu zaman.
3) Ya`qub ibn Ishaq al-Kindi membahagikan ilmu kepada teoritikal dan praktikal. Ilmu yang berada
di dalam kategori teoritikal ialah ilmu fizik, matematik dan metafizik. Manakala ilmu dalam
kategori praktikal termasuklah akhlak, pengurusan rumah dan bandar.
4) Ibn Sina membahagikan ilmu kepada ilmu abadi dan ilmu sementara. Ilmu abadi merangkumi
ilmu sebagai tujuan dan ilmu sebagai alat. Ilmu sebagai tujuan dipecahkan kepada teoritikal dan
praktikal. Antara ilmu praktikal ialah ilmu fizik, matematik, metafizik dan universal, manakala
ilmu praktikal termasuklah ilmu akhlak, pengurusan rumah dan bandar. Ilmu sebagai alat pula
ialah ilmu logik/mantik.
5) Profesor Dr Sidek Baba menyatakan ilmu dalam Islam merupakan gabungan dua bidang ilmu
iaitu ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem. Ilmu mengurus diri adalah ilmu fardhu ain,
manakala ilmu mengurus sistem adalah ilmu fardhu kifayah.
6) Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan menjelaskan bahawa punca ilmu dalam Islam terbahagi
kepada dua; iaitu naqli atau wahyu, dan aqli atau akal.

Sumber Ilmu Berdasarkan Hukum Mempelajarinya

Sekiranya dilihat dari sudut sumber dan punca pemerolehan, ilmu dibahagikan kepada ilmu naqli
dan ilmu aqli.

1) Ilmu naqliyyah bersumberkan wahyu/revealed knowledge dan bersifat fardhu ain. Ilmu ini
membolehkan seseorang mendapat pengetahuan mengenai Allah SWT, peranan dan tujuan
penciptaan manusia. Oleh kerana itu, ilmu ini diwajibkan ke atas setiap orang Islam supaya
akidah, syariat, dan akhlak seperti rukun Islam, rukun iman dan sifat mahmudah serta
mazmumah dapat difahami dengan baik.
2) Ilmu aqliyyah pula bersumberkan akal/acquired knowledge dan bersifat fardhu kifayah. Ilmu ini
lebih bersifat keterangan dan menjadi penjelas kepada ilmu yang terkandung di dalam wahyu.
Ilmu ini dkenali juga sebagai ilmu kemahiran atau ilmu pengetahuan yang dicari. Ilmu ini
diperolehi hasil daripada pencapaian sendiri, daya usaha akal fikiran melalui pengalaman hidup,
penyelidikan dan pengkajian.

Hukum Mempelajari Ilmu Berdasarkan Kategori

Ulama bersepakat bahawa hukum mencari dan mempelajari ilmu adalah wajib atau fardhu ke
atas setiap orang Islam. Ilmu dapat dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut hukum
mempelajarinya, iaitu:

1) Ilmu fardhu ain; iaitu ilmu yang berkaitan dengan akidah dan ketuhanan termasuklah rukun
Islam dan rukun iman. Ini merupakan ilmu asas yang menentukan tatacara perhubungan individu
dengan Penciptanya, dan tatacara perhubungan antara individu dengan individu yang lain.
2) Ilmu fardhu kifayah; iaitu ilmu yang berhubung dengan keperluan penyempurnaan ibadah seperti
mendirikan masjid, sekolah, hospital dan seumpamanya yang berkaitan dengan keperluan
masyarakat.
3) Ilmu harus; iaitu ilmu yang tidak termasuk dalam keperluan darurat bagi masyarakat dan umat
Islam, seperti sastera, seni bina, seni sulam, seni jahit, seni foto dan sebagainya.
4) Ilmu haram; iaitu ilmu yang tidak bermanfaat, seperti sihir, astrologi, numerologi, kaedah
mencuri, teori sesat dan sebagainya.
Klasifikasi Ilmu Berdasarkan Fungsi

Imam al-Ghazali membahagikan ilmu berdasarkan kepada fungsi dan kegunaannya kepada tiga
kategori iaitu:

1) Ilmu terpuji/mahmudah: ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan diperlukan untuk kesejahteraan
hidup di dunia. Antaranya bidang kedoktoran, matematik, astronomi, pertanian, politik, undang-
undang dan sebagainya.
2) Ilmu harus/mubah: ilmu yang terdiri daripada kumpulan ilmu falsafah, sejarah, kebudayaan,
sastera dan sebagainya. Kesemua ilmu ini tidak mempunyai nilai negatif terhadapa jiwa dan
perilaku seseorang.
3) Ilmu tercela/mazmumah: ilmu yang mendatangkan kerugian dan kerosakan kepada pengamalnya
dan orang lain. Antaranya ilmu sihir, nujum, silap mata, beberapa cabang ilmu falsafah,
sebahagian ilmu kesenian dan seumpamanya. Ilmu ini boleh membawa kepada kerosakan nilai-
nilai moral dan kerohanian.

Profesor Dr Sidek Baba menyatakan ilmu dalam Islam merupakan gabungan dua bidang
ilmu iaitu ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem. Penjelasannya adalah seperti berikut:
1) Ilmu mengurus diri:
Ilmu mengurus diri ini berkaitan dengan ilmu akidah yang menghubungkan antara
manusia dengan Pencipta. Ilmu ini wajib/fardhu ain ke atas setiap Muslim untuk
dipelajari dan didalami supaya keimanan dan kepercayaan seseorang menjadi kukuh dan
mantap.
Tanpa ilmu akidah yang mantap, pelanggaran dan kesilapan dalam melaksanakan amanah
dan tanggungjawab mudah berlakunya, dan perkara ini akan membawa kepada sikap
melampaui batas, salah guna kuasa dan hilang budi bicara. Ilmu akidah merupakan asas
pedoman hidup yang mampu memelihara diri dari melakukan perbuatan yang melampaui
batas.
Ilmu akhlak pula menjadi faktor penting yang wajib dijadikan tonggak dalam kehidupan
manusia. Akhlak mempunyai hubungan langsung dengan perlakuan dan amalan
seseorang, dan bukan sekadar gambaran luaran seseorang itu sahaja. Hubungan seseorang
dengan Pencipta akan melahirkan sifat jujur, ikhlas, amanah, adil dan telus dalam semua
urusan kehidupan.
Ilmu tentang syariah pula menjadi faktor pengukuh dan penguat yang amat penting dalam
tradisi ilmu Islam. Ilmu syariah iaitu ilmu berkenaan hukum syarak dapat memberi
panduan dan memandu seseorang dalam memelihara agama, nyawa, akal, keturunan,
maruah dan harta. Ini merupakan maqasid syariah iaitu objektif pensyariatan sesuatu
perkara dalam Islam.
2) Ilmu mengurus sistem:
Ilmu ini bertujuan untuk mengurus sumber-sumber alam, sama ada yang berbentuk
manusia mahupun sumber lain, yang merupakan rahmat dan nikmat yang perlu diurus
tadbir dengan baik oleh manusia. Manusia perlu mempelajari ilmu sains, teknologi,
falsafah, sejarah, bahasa dan budaya kerana tanpa kesemua ilmu ini tidak mungkin
manusia mampu menguruskan sesuatu sistem dengan baik dan efisien. Ilmu ini fardhu
kifayah iaitu wajib dipelajari dan diaplikasikan oleh sebahagian anggota masyarakat
untuk menjaga kepentingan masyarakat Islam. Jika diabaikan atau tiada siapa pun yang
mempelajarinya, maka seluruh masyarakat tersebut berdosa.
Ibn Hazm menyatakan bahawa ilmu astrologi, iaitu ilmu ramalan yang berdasarkan
kepada bintang, walaupun sebenarnya tidak dianggap sebagai satu bidang ilmu, tetap
perlu dipelajari oleh sebahagian anggota masyarakat bagi melindungi masyarakat
daripada terpengaruh dengan ilmu yang salah. Namun begitu, seseorang itu mestilah
mempunyai dasar yang kukuh dalam bidang ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain.
Al-Zarnuji mengaitkan ilmu fardhu ain dengan ilmu al-hal, iaitu ilmu yang wajib dituntut
oleh seseorang mengikut keadaan semasa dan keadaan yang bakal dilaluinya. Ini
bermakna seseorang itu harus berusaha sepanjang hidupnya dalam menghubungkan ilmu
dan kerjayanya dengan tuntutan agama sebagai tanggungjawab seorang Islam.
Kedudukan Ilmu Menurut Islam

Ilmu mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam ajaran Islam. Hal ini dapat dibuktikan
dalam ayat-ayat al-Quran yang memandang kedudukan orang berilmu dalam posisi yang tinggi
dan mulia disamping terdapat hadis-hadis Nabi SAW yang banyak memberi dorongan kepada
umatnya untuk terus menuntut ilmu.

Di dalam al-Quran, kata ilmu telah di gunakan lebih daripada 780 kali. Ini membuktikan
bahawa ajaran Islam sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran sangat mementingkan akan
ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Allah meninggikan beberapa derajat (tingkatan) orang-orang yang beriman


diantara kamu dan orang-orang yang berilmu (diberi ilmu pengetahuan). Dan Allah Maha
mengetahui apa yang kamu kerjakan (al-Mujadilah: 58:
11)
Ayat di atas dengan jelas menunjukan bahawa orang yang beriman dan berilmu akan
memperoleh kedudukan yang tinggi. Keimanan yang dimiliki seseorang akan menjadi pendorong
untuknya menuntut ilmu. Manakala, ilmu yang dimilikinya pula akan memberi kesedaran
betapa kecilnya manusia dihadapan Allah, sehingga ilmu tersebut menjadi benteng kepadanya
daripada melakukan kemungkaran kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hamba- hambanya
hanyaklah ulama (orang berilmu) (al-Fatir: 35:
28)
Sepertimana yang kita ketahui, ilmu jelas merupakan perkara dasar bagi seseorang dalam
memahami berbagai urusan duniawi mahupun ukhrawi. Salah satu bukti yang nyata akan
kemuliaan ilmu dalam Islam adalah wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada
Nabi Muhammad SAW berhubungan dengan ilmu. Frman Allah SWT:

Maksudnya: Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah
menciptakan kamu dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang paling pemurah.
Yang mengajar (manusia) dengan perantara kalam. Dia mengajarkan kepada manusia
apa yang tidak diketahui (al- Alaq: 96: 1-5)
Ayat-ayat tersebut, jelas merupakan sumber motivasi bagi umat Islam untuk tidak pernah
berhenti menuntut ilmu. Ilmu yang dituntut akan melahirkan rasa takut kepada Allah dan
membawa manusia untuk senantiasa melakukan amal soleh. Dengan demikian, dapat
disimpulkan bahawa keimanan yang disertai denga ilmu akan membuahkan amal serta
membentuk pola kehidupan yang lebih kukuh.
Di samping ayat-ayat al-Quran, banyak juga hadis-hadis yang menerangkan tentang
kedudukan ilmu.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Orang-orang yang berilmu adalah ahli waris para nabi


(HR. Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Rasulullah SAW bersabda:


Maksudnya: Segala apa yang ada di langit dan bumi memintakan ampun untuk orang yang
berilmu.
(HR. Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Seutama-utama manusia ialah seorang mukmin yang berilmu. Jika ia
diperlukan, maka ia memberi manfaat. Dan jika ia tidak diperlukan maka ia dapat memberi
manfaat pada dirinya sendiri.
(HR. Al-Baihaqi)

Kesemua hadis ini menjelaskan bagaimana kedudukan dan keutamaan ilmu bagi
seseorang, dimana ia akan memberikan manfaat dan diperlukan oleh orang-orang disekitarnya.
Bahkan jika seorang yang berilmu dan ia terasing dari kehidupan sekitarnya, maka ilmu itu tetap
akan memberikan manfaat kepada dirinya sendiri, dan menjadi penghibur untuknya.
Kepentingan Ilmu
Islam adalah agama yang sangat menekankan tentang pentingnya konsep menuntut ilmu dan
pelaksanaanya dalam masyarakat Islam. Ini kerana ilmu pengetahuan merupakan kunci kejayaan
seseorang di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Allah menganugerahkan al-hikmah (kepahaman yang dalam tentang al-
Quran dan al-Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang
dianugerahi al-hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan
hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman
Allah)
(al-Baqarah: 2: 296)
Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan
dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru,
Islam mengingati tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah
SAW. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa
Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.
Baginda Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas
tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan. Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut
ilmu itu merupakan suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam.
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, dapat dirumuskan beberapa
kepentingan dan kelebihan ilmu, antaranya adalah:
a) Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang lebih tinggi di sisi Allah
SWT dan masyarakat. Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan
diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat
darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah SWT dan masyarakat. Firman
Allah SWT:

Maksudnya: Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan
orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu)
(al-Mujadalah: 58: 11)
b) Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf dalam kalangan manusia. Firman Allah
SWT yang bermaksud:

Maksudnya: Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang


mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? (al-
Zumar: 39: 9)
c) Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa
dan cintakan Allah SWT dan RasulNya. Dengan mengamalkan segala ilmu yang telah
dipelajari, manusia akan lebih bertamadun serta mempunyai jati diri yang tinggi dengan
memelihara diri daripada melakukan perkara yang mendatangkan kemudaratan. Firman
Allah SWT lagi yang bermaksud:

Maksudnya: Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata
serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya
yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-
hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi
Maha Pengampun. (al-Fatir: 35: 28)
d) Menjadikan manusia mengerjakan ibadah dengan sempurna, sama ada ibadah umum atau
ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah SWT di muka
bumi ini dengan sebaik-baiknya.

e) Ilmu akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang dari melakukan perkara-
perkara yang dilarang oleh syariah, dapat menolak kejahilan dan kebodohan. Selain
daripada itu, seseorang yang berilmu juga dapat membezakan antara yang hak dan batil.
Ilmu pengatahuan akan membawa manusia kearah kebahagian hidup di dunia dan di
akhirat. Hadis Nabi SAW:

Maksudnya: Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya
adalah takut kepada Allah. (Riwayat Ibn Hibban (9) dalam Raudhat
al-Uqala)
Hadis Nabi SAW:
Maksudnya: Kepala hikmat itu takut kepada Allah Azza wa Jalla.
(Riwayat al-Baihaqi (729) dalam Syuab al-Iman)
f) Ilmu dapat membantu menjana pembangunan Negara. Ilmu-ilmu seperti ilmu
kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian, ilmu kewangan dan sebagainya dapat
membantu manusia dalam membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia. Segala ilmu
keduniaan juga perlu dikuasai oleh manusia agar dapat bersaing dengan Barat dalam
memajukan Negara. Selain itu, ia dapat mengurangkan kebergantungan Negara terhadap
kepakaran dari luar Negara. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi
Ishak serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan
pandangan yang mendalam (memahami agamanya). (Saad: 38: 45)

Rujukan
Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali al-Tusi. Ihya Ulum al-Din. Beirut: Dar al-
Ma`rifah.
Ahmad Fauzi Hj Morad & Ahmad Tarmizi Talib. (1997). Tamadun Islam. Serdang: Universiti
Putra Malaysia.
Azhar Abdul Aziz (Dr). (2015). Tasawwur Islam. Shah Alam: Akademi Pengajian Islam
Kontemporari, UiTM Distributors.
Dr H.Muhammad Th. (1984). Kedudukan Ilmu Dalam Islam. Indonesia: Al-Ikhlas Surabaya
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (2016). Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu. Negeri Sembilan:
Pustaka Cahaya Kasturi.
Haron Din (2015). Manusia dan Islam. Batu Caves: PTS.
Mustafa Hj. Daud (1991). Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Pisol Maidin (Dr) et.al. (2011). Shah Alam: Penerbit Press Universiti Teknologi Mara.
Ramawan Ab. Rahman dan Mohd Yusof Yusak. (2012). Islam: Pengantar, Asas, Prinsip. Shah
Alam: Giga Wise Network Sdn. Bhd.
Sidek Baba (2010). Dari Jendela Islam. Kuala Lumpur: DBP.
Sulaiman Noordin (1995). Sains Menurut Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan
Pustaka.
Sulaiman Noordin (2008). Sejarah Pemikiran Buku 1. Johor: Jahabersa
Wan Mohd Nor Wan Daud (1988). Budaya Ilmu: Konsep Prasyarat Dan Pelaksanaan Di
Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise
Wan Mohd Nor Wan Daud (2007) Budaya Ilmu Satu Penjelasan. Cet 1. Singapore: Pustaka
Nasional Pte.Ltd.
Wan Rohani Sulaiman et. al. (2016). Islam dan Sains. Cheras: Mashi Publication Sdn Bhd

You might also like