You are on page 1of 3

Nama: Mujahid Agung

Tajuk Soalan: hiburan dalam Islam

Soalan: Assalamualaikum WBT...

seperti mana yang kita tahu sekarang, nasyid sudah dicemari dengan unsur2 cinta
kepada makhluk dan bukannya kepada yang sepatutnya. malah, ini dihiasi dengan
alatan muzik yang seperti yang telah sedia maklum akan rukhsahnya. melihatkan
fenomena ini, iaitu bagaimana nasyid seumpama ini telah diterima oleh pelbagai
pihak. oleh itu, seseorang telah dikurniakan ilham untuk mencipta beberapa lagu
yang bukan kategori nasyid (contoh: slowrock, balada, metal, world music) tetapi
mesejnya tidak lain hanya bertemakan cinta yang abadi yakni kepada Allah
(kebesaran-Nya, keindahan syurga, kedahsyatan neraka) tanpa berkompromi
dengan segala yang berkaitan dengan makhluk. oleh itu, apakah pendapat antum
tentang kedudukan nasyid yang bertemakan cinta kepada makhluk dengan lagu
yang telah dicipta oleh 'seseorang' tadi.

Wabillahi taufiq walhidayah,


wassalamualaikum warahamatullah..

Jawapan: Assalamu'alaikum..

Untuk menjawab soalan itu Saya sertakan artikel menarik dibawah tulisan Ustaz
Ahmad Fadhil b. Shaari dari KIAS...

Selamat membaca...

HIBURAN CARA ISLAM : SEJAUH MANA KUMPULAN NASYID MEMBUKTIKANNYA?

Ku pendamkan perasaan ini,


Kurahsiakan rasa hati ini,
Merindukan kasih yang berputik,
Tersembunyi di dasar hati…

Indah mengasyikkan hati. Bagi orang yang bercinta, mendengar rangkap-rangkap


lagu di atas tentunya membawa diri ke alam yang penuh dengan keindahan dan
pujuk rayu cinta yang tidak terbatas. Itulah dia mainan perasaan. Hanya yang
sedang melalui saat-saat indah bersama insan yang tersayang yang sudah
menempa janji sehidup semati saja yang mungkin dapat menghayati rangkap-
rangkap lagu di atas dengan sepenuh hati. Apa yang pasti, anda yang selalu
mengambil tahu perkembangan terkini tentunya dapat meneka dari kumpulan
manakah rangkap kata lagu di atas. Sekali imbas, rasanya tidak akan ada yang
mengira bahawa itu adalah satu nasyid.

Di sinilah sepatutnya kita berhenti seketika untuk merenung sejenak; ke manakah


sebenarnya halatuju yang ingin dibawa oleh kumpulan-kumpulan nasyid di negara
kita yang kini semakin rancak tumbuh satu persatu macam cendawan selepas
hujan? Benarkah slogan dan matlamat yang dilaung-laungkan selama ini ; berhibur
cara Islam? Atau sebenarnya menambahkan kelalaian masyarakat dan dihalalkan di
atas nama Islam?

Kita cuba undur sejenak ke belakang merenung sejarah yang panjang dalam arena
nasyid di negara kita Malaysia. Tidak keterlaluan untuk dinyatakan (dan rasanya
ramai yang sependapat dalam perkara ini), nasyid mula diminati oleh masyarakat
dengan kemunculan kumpulan Nada Murni sekitar tahun 1980-an. Pada masa itu, di
bawah naungan pertubuhan Darul Arqam, alunan-alunan nasyid yang dibawa oleh
kumpulan Nada Murni dan kemudiannya berganding bahu bersama kumpulan The
Zikr keseluruhannya berkonsepkan kepada perjuangan dan pengorbanan. Tentu
masih segar di dalam ingatan kita alunan-alunan yang menjadi dendangan
sebahagian anak-anak muda hinggalah ke masa kini. Lagu-lagu seperti Air Mata
Keinsafan, Berkorban Apa Saja, Sunnah Orang Berjuang dan sebagainya membawa
kita untuk merenungi kembali tugas sebagai seorang hamba di muka bumi ini.
Lebih jauh dari itu, ia sebenarnya terlalu mampu untuk menyuntik satu keinsafan.
Malah kadang-kadang, lagu-lagu seperti Kegelapan Malam, Cahaya di Ufuk Timur
dan yang seumpama dengannya sebenarnya membawa kita untuk merindui
kembali saat-saat indah ketika Islam berada di puncak kegemilangan. Serentak
dengan itu membakar jiwa dan semangat untuk memastikan kembali kegemilangan
Islam berlaku sekali lagi. Tidak dinafikan, pembawaan lagu-lagu nasyid pada era itu
kebanyakannya menjurus kepada menyokong ideologi pergerakan Al-Arqam atau
dalam erti kata lainnya mendorong kepada penantian kedatangan Imam Mahdi.
Namun, sekurang-kurangnya tidak ada unsur pemujaan kepada kekasih dan kaum
wanita seperti yang ditonjolkan di dalam syair-syair Arab Jahiliyah.

Kini, beberapa ketika selepas pengharaman Al-Arqam, bekas anak-anak didiknya


bertebaran ke seluruh pelusuk bumi Malaysia bergerak memajukan industri nasyid
Malaysia. Dengan kemunculan kumpulan Raihan yang berjaya menggegarkan
negara dengan jumlah jualan album sulungya, Puji-pujian yang mencecah angka
600, 000 unit, masyarakat mula menunjukkan minat dan kecenderungan untuk
mendekati lagu-lagu nasyid. Secara zahirnya, ia adalah satu perkembangan yang
cukup positif, namun ada harganya yang terpaksa dibayar. Selepas Raihan,
muncullah pula kumpulan-kumpulan ang lain yang dulunya adalah dari kelompok
yang sama. Mereka bergerak, berlumba-lumba dan kejar-mengejar dalam usaha
menambat hati masyarakat dengan lagu-lagu nasyid (sekaligus menambah
keuntungan?). Dan salah satu aktiviti yang dilakukan ialah berlumba-lumba
mencipta kontroversi dengan pembaharuan-pembaharuan (sesetengah orang suka
menyebutnya sebagai penyelewengan-penyelewengan) dalam lagu-lagu nasyid
yang dipopularkan. Siapa tidak terkejut dengan kemunculan Brothers yang mula-
mula merintis jalan menggunakan alat-alat yang selama ini dianggap asing dalam
lagu-lagu mereka menerusi album Teman Sejati. Kejutan-kejutan terus dilakukan
hingga ia tidak lagi merupakan kejutan. Paling menonjol ialah kemunculan Rabbani
dengan lagunya Pergi Tak Kembali yang lebih mirip kepada lagu-lagu rap KRU.
Mungkin Pergi Tak Kembali membawa makna tersesat jalan dan tidak mampu lagi
untuk kembali ke jalan asal..?

Penghujung tahun 2000, muncullah In-Team. Percubaan yang dibawa melalui lagu
Kasih-kekasih rupa-rupanya menepati target pasaran (dan sekaligus berjaya
mencipta kontroversi). Kali pertama lagu yang benar-benar memuja cinta dan
wanita dibawa di atas nama nasyid dan nampaknya ia diterima walaupun oleh
golongan yang berpendidikan agama. Tenggelamlah sudah era lagu-lagu
perjuangan dan rindukan syahid yang pernah menghiasi tema-tema nasyid sebelum
ini. Dan ia tidak mungkin timbul kembali kecuali motif untuk mencari keuntungan
diletakkan ke tepi. Kemunculan kumpulan nasyid Qutrunnada yang rasanya cuba
untuk mengembalikan nafas sebenar nasyid khususnya melalui lagu mereka Cinta
Agung nampaknya tidak berdaya untuk melawan arus. Apakah dayanya sebuah
kumpulan kerdil mahu bertarung dengan kumpulan-kumpulan lain yang lebih gagah
dan mempunyai nama yang lebih besar dalam industri muzik? Bagaikan Arab Saudi
melawan Jerman yang terpaksa menerima keputusan kalah 8-0.

Dan selepas album kedua In-Team, Impian Kasih yang membawa mesej yang
hampir sama dengan kemunculan sulung mereka, masyarakat mula diajar
menerima hakikat bahawa itulah nasyid. Tidak ada bezanya dengan lagu-lagu pop
yang lain. Rasanya apa yang membezakan kumpulan nasyid dan kumpulan lagu-
lagu rock atau pop ialah pakaiannya sahaja. Letakkan sahaja kopiah di atas kepala,
anda layakdigelarkan kumpulan nasyid! Itupun rasanya hampir dinafikan oleh
kumpulan nasyid Saujana yang muncul dengan gaya selamba bersama kemeja dan
seluar jean. Lalu, apa lagi yang tinggal kepada kumpulan nasyid selain Selawatnya?
Terbaru ialah kemunculan kumpulan UNIC yang rasanya membawa tempo yang
hampir sama (atau lebih berat) dari In-Team. Lahir daripada sulbi yang sama, UNIC
(You And I See) membawa lagu Hanya Tuhan Yang Tahu yang kedengarannya bisa
memikat hati orang-orang yang bercinta (atau baru belajar untuk bercinta).
Cubalah sekali mendengarnya, ternyata ia benar-benar direka khas untuk memikat
hati-hati yang sedang dibuai oleh cinta monyet. Sepatutnya kumpulan-kumpulan
nasyid mengambil satu inisiatif yang berharga ; sedarkan golongan ini agar kembali
menyedari hakikat kehidupan mereka di muka bumi ini sebagai seorang khalifah,
atau setidak-tidaknya memberikan satu suntikan semangat untuk meneruskan
pengajian. Namun sayang, nasyidlah yang seterusnya membuai dan membawa
golongan ang bercinta monyet ini meneruskan ‘kemonyetan’ mereka.

Benar, cinta adalah satu keperluan. Adalah berbohong jika mengatakan bahawa
kita tidak perlukan cinta dan kasih sayang dalam hidup, namun lebih berbohong
jika dikatakan bahawa cintalah perkara yang paling utama dalam hidup kita.
Lihatlah apabila kumpulan-kumpulan yang membawa mesej cinta seperti In-Team
mengadakan konsert dan persembahan, muslimah yang bertudung dan berjubah
labuhlah yang paling galak berada di depan. Kenapa? Tidak lain kerana tertipu
dengan lagu-lagu yang melalaikan yang direka di atas nama nasyid!

Kita tidak ingin mengatakan dengan mutlak bahawa mendengar lagu-lagu seperti
ini adalah salah, biarpun ramai ulama’ yang tidak mengharuskannya. Perbincangan
kita ini tidaklah ke arah itu sekalipun alat-alat muzik ang digunakan oleh kumpulan-
kumpulan nasyid pada hari ini sudah tiada bezanya dengan kumpulan-kumpulan
lagu-lagu pop rock. Cuma, sekurang-kurangnya kita perlu berfikir, jika inilah
halatuju kumpulan-kumpulan nasyid, kita perlu bersedia untuk kelahiran lebih
banyak lagi lagu-lagu cinta dan pemujaan terhadap wanita yang menggunakan
nama nasyid. Dan golongan yang akan terpedaya ialah kita ; golongan yang
berpendidikan agama! Alangkah baiknya jika masa muda yang ada dimanfaatkan
dengan sebaik mungkin mengukuhkan semangat dan membina jatidiri sebagai
seorang pejuang sejati. Masih banyak lagi perkara utama dalam hidup ini.

Alangkah rindunya kita kepada suasana ketika nasyid pernah memberikan


semangat kepada kita untuk berjuang….

(oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari, Jun 2002)

Dijawab Oleh: Ustaz Nuri Al-Amin


 

You might also like