You are on page 1of 3

Laporan Akhir

Sebagai pelajar PISMP semester 1, kami dikehendaki menjalankan Pengalaman


Berasaskan Sekolah(PBS) di sekolah pilihan sendiri dari 3 Ogos 2014 hingga 7 Ogos
2014.

Sehari sebelum saya menjalankan PBS di SJK (C) Chukai, saya telah
menyemak dan menyimpan segala maklumat, borang dan tugasan yang diperlukan
semasa PBS dalam satu fail. Malahan, saya telah merancang prosedur-prosedur
mendapat maklumat bersama tiga orang rakan saya yang lain.

Pada 3 Ogos 2014, saya bersama rakan yang lain telah melaporkan diri di bilik
Guru Besar pada pukul 7.00 pagi. Kami telah menyatakan tujuan kedatangan dan
tempoh PBS kami di sekolah ini. Kemudiannya, PK 1, Puan Lai Phaik Thooi telah
memberi taklimat ringkas agar kami dapat menyesuaikan diri dengan peraturan dan
budaya di sekolah ini. Pada pukul 7.45 pagi, kami menghadiri perhimpunan pagi di
dewan sekolah. Di sana, kami berpeluang mengenali guru-guru dan murid-murid di
sekolah ini. Sekolah ini mempunyai 40 orang guru dan 494 orang murid. Selepas
perhimpunan, kami mengadakan sesi temu bual dengan guru besar, PK 1, PK Hem dan
PKKK. Soalan yang berkaitan dengan bidang kerja mereka telah kami tujukan. Pada
masa yang sama, kami telah meminta maklumat seperti takwim sekolah dan takwim
kurikulum daripada guru besar. Semasa sesi temu bual dijalankan, kami membuat
catatan bertulis secara ringkas. Tidak kami lupa, kami mengambil gambar sepanjang
sesi temu bual dijalankan sebagai bahan bukti yang kukuh. Melalui sesi temu bual ini,
hubungan kami dengan guru besar dan semua PK menjadi erat dan baik.

Pada hari kedua, kami menemu bual mentor kami, Lee Sheng Yen. Beliau
merupakan guru panitia Sejarah. Dengan ini, kami cuba mengambil tahu pengalaman
beliau dalam mengajar mata pelajaran ini. Pengalaman ini penting sebagai panduan
kepada kami yang berperanan sebagai bakal guru Sejarah. Malahan, kami meminjam
buku teks dan buku kerja Sejarah untuk memahami sukatan pelajaran. Kami
kemudiaannya membuat pemerhatian di persekitaran sekolah lalu mengambil gambar.
Dengan ini, kami mendapati kemudahan asas sekolah ini adalah agak lengkap seperti
perpustakaan, bilik komputer, kantin dan bilik kaunseling. Kemudahan ini penting bagi
kebajikan pelajar. Perpustakaan yang sedia ada dapat memupuk tabiat suka membaca
dan seterusnya meluaskan ilmu pengetahuan mereka. Bilik komputer pula dapat
menyediakan pelajar untuk menghadapi dunia ICT. Selain itu, kami mendapati sekolah
ini amat mementingkan keselamatan, kebersihan dan keceriaan sekolah dengan
mengadakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dari semasa ke semasa.

Pada hari ketiga, 5 Ogos 2014, kami berpeluang memasuki kelas mentor untuk
memerhati proses pengajaran dan pembelajaran(PdP). Hasilnya, kami dapat
menghayati pendekatan yang digunakan oleh mentor sepanjang proses PdP. Jenis
pendekatan yang digunakan adalah penting dalam menjamin keberkesanan proses
PdP. Sesi soal jawab dan bercerita merupakan antara cara yang digunakan oleh
mentor. Cara ini membolehkan interaksi dua hala berlaku dalam kelas. Sebelum kelas
berakhir, kami mendapat kebenaran mentor untuk menemu bual dengan dua orang
pelajar. Dengan ini, kami dapat mengetahui perkembangan dan keadaan murid di
sekolah. Sementelahan, kami telah memerhati aktiviti kokurikulum pelajar pada sebelah
petang. Kami mendapati murid-murid sekolah ini melibatkan diri secara aktif dalam
pelbagai aktiviti.

Pada 6 Ogos 2014, kami mengadakan sesi temu bual dengan kakitangan
sekolah. Kami mendapati kebersihan dan keceriaan sekolah ini bukan sahaja
bergantung kepada usaha kakitangan yang bertugas, bahkan guru-guru dan murid-
murid di sekolah. Contohnya, gotong-royong dan Pertandingan Kelas Terbersih telah
diadakan dari semasa ke semasa untuk mengekalkan kebersihan dan keceriaan
sekolah. Selain itu, kami memerhati dan mengambil gambar sesetengah bilik yang tidak
sempat kami pergi pada hari kedua, 4 Ogos.

Pada hari terakhir, kami menyusun dan memastikan semua maklumat yang
diperlukan telah dikumpul. Kemudian, kami mengambil gambar bersama guru besar,
PK 1, PK Hem, PKKK dan mentor sebagai kenangan. Sebelum kami balik, kami
mengucapkan terima kasih kepada semua warga sekolah atas layanan yang baik yang
diberi.
PBS yang dijalankan selama lima hari ini banyak menyediakan ilmu
pengetahuan dan pengalaman yang baru kepada saya. Melalui PBS ini, baru saya
sedar bahawa kejayaan sebagai seorang guru merupakan kejayaan yang murni. Hal ini
dapat dibuktikan apabila guru-guru berjaya melahirkan pakar-pakar dalam pelbagai
bidang seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Sebagai bakal guru pada masa
depan, saya harus melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan
kemahiran dari semasa ke semasa. Saya menanti-nantikan PBS yang akan datang
pada semester depan untuk mendapat lebih banyak pengalaman yang berkaitan.

Disediakan oleh,

(NGU SIAW LING)

Guru Pelatih PISMP Semester 1, Pendidikan Sejarah

Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis

You might also like