You are on page 1of 13

Amalan Pembangunan Profesionalisme Dalam Kalangan Guru-guru Novis

Aziah Ismail (aziah@usm.my)


Noraini Haron & Abdul Ghani Kaneson
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Universiti Sains Malaysia

Abstrak
Artikel ini berkaitan dengan kajian tentang usaha-usaha pembangunan profesionalisme keguruan
yang diamalkan oleh guru-guru novis yang ditempatkan untuk bertugas di sebuah sekolah yang
baru beroperasi. Satu kajian kes telah dijalankan di sebuah sekolah yang baru beroperasi iaitu
bermula tahun 2002. Teknik temu bual dan analisis dokumen telah digunakan untuk
mengumpulkan data kajian. Seramai enam orang guru novis dan seorang Penolong Kanan
Pentadbiran telah dipilih sebagai responden kajian melalui kaedah persampelan bertujuan.
Kajian ini mendapati, guru-guru novis mempunyai kaedah dan cara tersendiri untuk
membangunkan profesionalisme keguruan mereka. Hal ini dilakukan untuk membantu mereka
meningkatkan keyakinan dan kebolehan mereka sebagai seorang guru. Walau bagaimanapun,
mereka berhadapan dengan beberapa masalah dan kekangan yang berpunca daripada pihak
sekolah atau pandangan serong individu di sekolah tersebut. Justeru dapat dirumuskan bahawa
keazaman guru novis dalam membangunkan profesionalisme mereka adalah didorong oleh sikap
mereka terhadap profesion guru walaupun ditugaskan di sekolah yang baru beroperasi dan
berhadapan dengan pelbagai kekurangan.
Abstrak
This article reports on a case study of professional development efforts practiced by a group of
novice teachers at a new school which just operated in 2002. Interview and document analysis
techniques was hired in data collection. A group of six novice teachers and an Administration
Asistant Principal (Penolong Kanan Pentadbiran) was chosen as respondents through purposive
sampling process. The findings showed that the novice teachers have their own methods and
strategies in developing their professionalism. These were their efforts in order to increase their
level of confidence and ability as teachers. However, they contended with some problems and
constraint which were caused by individuals in the school and/or the school system itself. The
findings, as a conclusion, portray that the novice teachers perseverance in developing their
professionalism was driven by their attitude towards teaching profession even though theyre
stationed in a newly operated school with various shortcomings.

Latar belakang Kajian


Perkembangan kerjaya perguruan merupakan satu proses yang berturutan bermula dengan
program latihan hingga ke tahap guru yang berpengalaman. Tahap perkembangan
profesionalisme guru merupakan satu proses peningkatan kemahiran keguruan seseorang guru.
Berliner (1995) membahagikan proses tersebut kepada lima peringkat. Pada peringkat pertama,
guru dirujuk sebagai guru novis dan mempelajari fakta bersifat peraturan umum yang sesuai
untuk semua konteks dan membina pengalaman. Tahun kedua dan ketiga dianggap peringkat
yang lebih maju. Guru-guru novis ini berusaha menyepadukan teori yang telah dipelajari dalam
amalan di bilik darjah. Selepas tiga hingga empat tahun berkhidmat, seseorang guru akan
mencapai tahap guru yang cekap dan mampu membuat pilihan yang tepat tentang tindakan guru
dalam menghasilkan pembelajaran yang efektif untuk pelajar. Seseorang guru akan mencapai
tahap guru mahir selepas lima tahun dan peringkat terakhir iaitu guru pakar setelah berkhidmat
lebih daripada sepuluh tahun (Berliner, 1995).
Fasa yang dianggap paling kritikal dalam tahap perkembangan profesionalisme guru adalah
antara tahun pertama hingga kelima perkhidmatan mereka. Seyfarth (2002) berpendapat pekerja
yang baru dilantik dalam semua bidang pekerjaan berkecenderungan menghasilkan prestasi kerja
yang kurang memuaskan kerana mereka mengalami fasa pendedahan kepada realiti sebenar
dunia pekerjaan.
Sehubungan itu, Glatthorn (1995) menyifatkan tahun pertama guru-guru novis sebagai peringkat
menyelamatkan diri (survival). Pada peringkat ini, guru-guru novis berada dalam keadaan
keliru, cemas dan tidak pasi tentang tuntutan kerjaya seorang guru. Jangkaan mereka tentang
realiti kerjaya seorang guru tidak mencapai tahap yang dijangkakan. Mereka mula menyedari
bahawa pelajar-pelajar tidak berminat untuk belajar. Guru-guru novis juga memperuntukkan
banyak masa untuk membuat persediaan yang dianggap membebankan dan mengganggu
kehidupan sosial mereka (Seyfarth, 2002).
Nolan (2004) pula berpendapat guru-guru novis berhadapan dengan pengalaman yang
mengejutkan tentang budaya sekolah yang sebenar. Kebanyakan guru-guru novis berasa
kebingungan dalam dunia yang dianggap asing bagi mereka. Tempoh ini dianggap sungguh
mencabar serta menyifatkannya sebagai a sink-or-swim situation secara sendirian tanpa
bimbingan daripada pensyarah. Menurut Nolan (2004) lagi, keadaan yang dihadapi oleh guru-
guru novis tidak sama dengan jawatan professional lain. Lazimnya golongan professional seperti
jurutera dan peguam tidak diberikan tugasan yang berat sebaik sahaja menjawat jawatan tersebut.
Sebaliknya, seseorang guru novis akan dipertanggungjawabkan dengan tugas yang sama dengan
rakan sejawat yang lebih lama berkhidmat di sekolah. Mereka akan diberi tugas dalam
jawatankuasa yang paling tidak disukai oleh guru-guru lama dan mengajar kelas yang paling
lemah. Hal ini menyebabkan mereka berasa sangat tertekan kerana terpaksa membuat
persediaan yang rapi, membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran serta tugas
perkeranian.
Masalah yang dihadapi oleh guru-guru novis menjadi semakin rumit apabila wujudnya
pengasingan (compartmentalization) mengikut bidang pengkhususan. Kebanyakan guru novis
mendapati hanya sebilangan kecil sahaja rakan sejawat yang memberi sokongan terhadap
mereka. Hal ini melemahkan semangat mereka untuk bekerja (McDonald & Elias, 1980).
Veenman (1984) mendapati antara kesukaran yang dihadapi oleh guru-guru novis adalah cara
mengawal disiplin dan memotivasikan pelajar, mengendalikan perbezaan individu, menilai kerja-
kerja pelajar, berinteraksi dengan ibu bapa, cara mengendalikan atau menguruskan kerja di kelas
serta pengetahuan tentang subjek yang diajar. Kecelaruan ini menyebabkan guru-guru novis
meninggalkan profesyen perguruan. Menurut Vennman lagi, kajian yang dijalankan terhadap
guru-guru novis di Amerika yang telah meninggalkan profesion perguruan menunjukkan Punca
utama mereka meninggalkan profesion ini adalah disebabkan oleh sikap pengetua yang kurang
memberi bimbingan kepada mereka dalam pengajaran di bilik darjah. Kajian tersebut mendapati
40% daripada responden menyatakan pengetua mereka tidak mewujudkan suasana yang dapat
membentuk mereka menjadi guru yang berkesan; 29% menyatakan pengetua tidak pernah
meminta pendapat mereka; 21% menyatakan pengetua tidak menghargai kerja mereka dan 15%
merasakan mereka tidak dilayani dengan baik di sekolah tempat mereka bekerja. Guru-guru
novis juga dilihat tidak dapat menunjukkan prestasi kerja yang baik kerana wujudnya perbezaan
antara pengetahuan yang dipelajari semasa mengikuti kursus pra-perkhidmatan atau latihan
perguruan dengan isi kandungan subjek yang perlu diajar di sekolah.
Justeru, Lawtorn (1987) berpendapat tiada satu kurikulum tertentu yang boleh menyediakan
seseorang guru dengan pengetahuan untuk menghadapi situasi pengajaran dan pembelajaran
untuk tempoh empat puluh tahun yang akan datang. Hal ini kerana iklim dan persekitaran
sekolah sentiasa berubah. Selain itu, latihan perguruan formal yang diikuti oleh guru-guru
pelatih masih kurang mencukupi. Menurut Yi dan Ma (1992), latihan formal hanya berupaya
melengkapkan sebahagian sahaja keperluan dan kemahiran professional untuk menjadi guru
yang berkesan manakala sebahagian daripada kemahiran tersebut perlu dikuasai semasa guru-
guru ini mengajar di sekolah. Tempoh minimum yang dicadangkan untuk latihan dalam
perkhidmatan di sekolah untuk guru-guru permulaan ini adalah tiga tahun.
Mohd. Hasani Dali (2007) berpendapat alasan guru-guru novis yang tidak dapat melihat
perkaitan pengetahuan yang dipelajari di universiti dengan situasi kerjaya mereka merupakan
helah bela diri. Hal ini kerana, sebagai pendidik dan agen sosialisasi, guru-guru novis perlu
sedar tentang tanggungjawab mereka mendidik generasi yang bakal menerajui negara. Justeru,
mereka mesti sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan tentang kaedah-
kaedah pendidikan dari semasa ke semasa agar pelajar-pelajar dapat memanfaatkan ilmu
pengetahuan dan kemahiran tersebut bagi menghadapi tuntutan dan cabaran pada masa akan
dating. Hal ini bermakna guru-guru novis perlu meningkatkan profesionalisme diri untuk
menjadi guru yang berkualiti.
Profesionalisme diri merupakan hasil daripada suatu proses pemikiran professional dan tindakan
dalam pembelajaran sepanjang hayat. Dalam proses tersebut guru menyemak semula,
memperbaharui dan melanjutkan komitmen mereka sebagai agen perubahan terhadap tujuan
pengajaran; mereka menguasai dan memperkembangkan secara kritikal pengetahuan, kemahiran
serta kecerdasan pelbagai yang diperlukan dalam pengajaran (Day, 1999).
Hakikat bahawa guru memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan kesan perubahan
yang signifikan ke atas pembelajaran pelajar memang tidak dapat disangkal. Pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah yang dihasilkan oleh guru yang berkualiti dan berkeyakinan
tinggi mampu meningkatkan pembelajaran pelajar (Wischkaemper, 2005). Kesannya akan lebih
ketara apabila terdapat peningkatan pencapaian pelajar terutamanya bagi mereka yang berlatar
belakangkan sosio-ekonomi yang rendah (Johnson, Kauffman, Liu & Donaldson, 2004).
Menurut Dato Dr. Abdul Shukor Abdullah, bekas Pengarah Pelajaran Malaysia, guru berkualiti
mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori, kaya ilmu, sentiasa berusaha, meningkatkan kualiti hasil
pengajaran, berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan pelajar-pelajar, melengkapkan diri
dengan kemahiran yang sejajar dengan keperluan semasa dan berupaya membentuk perwatakan
murid. Dengan kata lain, guru berkualiti selalunya mempamerkan tahap kecemerlangan dan
dimensi profesionalisme yang tinggi, menterjemah kurikulum, berkemahiran dan
berketerampilan, ketinggian peribadi dan sentiasa bersedia meningkatkan profesionalisme.
Pernyataan Masalah
Odell (2000) menyifatkan tempoh transisi antara latihan praperkhidmatan dengan perkhidmatan
penyesuaian atau tempoh percubaan ini dianggap sebagai the missing piece of the teacher
development continuum bagi guru-guru novis. Hal ini kerana guru novis mengalami satu
kejutan daripada status pelajar kepada guru (Mohd. Hasani Dali, 2007). Mereka mendapati ilmu
dan teori-teori yang dipelajari di universiti dan maktab perguruan tidak dapat dipraktikkan di
bilik darjah. Hal ini telah menjejaskan mutu pengajaran mereka kerana mereka terikut-ikut
dengan pengalaman sedia ada pada zaman persekolahan (McCormack & Thomas, 2003). Dari
segi kemampuan guru-guru baru ini mengajar, ramai sarjana mendapati mereka tidak mempunyai
pengetahuan dari segi isi kandungan dan kaedah mengajar yang sesuai dengan pelajarnya kerana
mereka baru masuk ke dalam kerjaya guru sebenar (Darling-Hammond, 1999). Implikasi
daripada masalah yang dihadapi oleh guru-guru novis perlu diatasi dengan segera untuk
mengelakkan timbulnya kesan yang negatif. Boles dan Troen (2002) menyatakan bahawa
pengalaman yang dilalui oleh seseorang guru novis dalam tahun pertama perkhidmatannya boleh
mempengaruhi tahap keberkesanan pengajaran dan sikap yang akan diamalkan dalam tempoh
perkhidmatannya. Pengalaman tersebut juga akan mempengaruhi keputusan untuk terus kekal
dalam profesion perguruan atau meninggalkan kerjaya ini. Justeru, sokongan daripada komuniti
yang mengamalkan budaya pembelajaran dan amat menghargai idea dan pengalaman semua
anggota masyarakatnya untuk membolehkan guru-guru novis melalui fasa penyesuaian dalam
tahap awal perkhidmatan dengan jayanya.
Stansbury dan Zimmerman (2002) berpendapat program induksi merupakan talian hayat (life
line) bagi membangunkan profesionalisme guru-guru novis di sekolah. Sekolah-sekolah di
negara barat menggunakan pendekatan sistem mentor untuk membimbing guru-guru novis dalam
merancang pengajaran, menguasai isi kandungan subjek yang diajar dan perkaedahan sesuatu
subjek, kemahiran menguruskan bilik darjah dan kemahiran interpersonal dengan ibu bapa.
Guru-guru novis dipertanggungjawabkan di bawah kawalan seorang mentor yang dilantik khas
berdasarkan kriteria iaitu memiliki kredibiliti mengajar, kemahiran berkomunikasi, menguasai
subjek yang diajar serta menguasai pelbagai teknik mengajar. Walau bagaimanapun, kesedaran
untuk membangunkan profesionalisme guru-guru novis tidak diberi penekanan dan program
untuk membimbing guru novis seperti program sistem mentor tidak dilaksanakan di Malaysia.
Akibatnya, penampilan guru-guru novis didapati rendah dan kurang meyakinkan.
Seyfarth (2002) mendapati guru-guru novis yang mendapat bimbingan teknik mengajar yang
betul daripada mentor akan mengekalkan penggunaannya berbanding dengan guru yang tidak
mendapat pendedahan tentang teknik tersebut. Tegas beliau, guru yang mendapat bimbingan
menunjukkan perubahan tingkah laku yang tinggi berbanding dengan guru yang mendapat
latihan yang sama tetapi tidak mendapat bimbingan. Namun demikian, Moir (2000) mendapati
keberkesanan bimbingan bergantung kepada kemahiran pembimbing, kerencaman tingkah laku
yang dipelajari dan penerimaan guru kepada perubahan.
Oleh itu, kajian perlu dijalankan untuk meneliti usaha guru-guru novis dalam membangunkan
profesionalisme mereka sebagai guru dalam situasi guru pembimbing mereka adalah bukan guru
pakar dalam subjek yang mereka ajar. Kajian juga perlu mencari jawapan kepada persoalan
adakah guru-guru di Malaysia berusaha untuk membangunkan profesionalisme mereka dan
apakah pendekatan yang digunakan.
Rogers dan Babinski (1999) berpendapat pembangunan profesionalisme guru-guru novis
akan dapat diatasi melalui perbincangan dengan rakan-rakan novis yang lain. Melalui
perbincangan tersebut mereka dapat berkongsi kegembiraan atau kekecewaan dan dapat mencari
jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Memandangkan kajian-kajian yang berkaitan
guru-guru novis di Malaysia menggunakan pendekatan kuantitatif, satu kajian kualitatif perlu
dijalankan untuk meneliti amalan pembangunan profesionalisme dalam kalangan guru novis di
Malaysia.
Objektif kajian
Kajian ini dijalankan untuk memenuhi objektif-objektif berikut:
i. Mengenal pasti sebab yang mendorong guru-guru novis membangunkan profesionalisme
keguruan mereka
ii. Meneliti usaha yang dilakukan oleh guru-guru novis untuk membangunkan
profesionalisme keguruan mereka
iii. Mengenal pasti masalah dan kekangan yang dihadapi oleh guru-guru novis dalam
membangunkan profesionalisme keguruan
Metodologi kajian
Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan kaedah kajian kes untuk
mengumpulkan data kajian. Menurut Mohd. Majid Konting (2005), kajian kes menekankan
kepada pemahaman tentang tingkah laku yang diamalkan dan perubahan tingkah laku responden
kesan daripada pemboleh ubah yang berkaitan. Kaedah ini lazimnya dipilih kerana berupaya
menghasilkan sesuatu kelainan kepada pembaca semasa mereka membaca cerita dan pengalaman
peribadian mereka (Stake, 1995). Dua teknik pengumpulan data iaitu teknik temu bual dan
analisis dokumen telah digunakan untuk mengumpulkan data kajian. Responden bagi temu bual
kajian ini terdiri daripada enam orang guru novis yang mempunyai pengalaman mengajar antara
satu hingga lima tahun di sebuah sekolah yang baru beroperasi. Sekolah yang menjadi unit
analisis dalam kajian ini mulai dibuka pada bulan Januari 2002. Seramai 14 orang guru yang
diterajui oleh seorang Pengetua telah ditempatkan pada peringkat awal pengoperasiannya.
Seramai tujuh daripada 14 orang guru adalah terdiri daripada guru-guru berpengalaman yang
telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun. Namun, sebilangan besar daripada guru yang
ditempatkan di sekolah ini kemudiannya adalah terdiri daripada guru-guru sandaran tidak terlatih
dan guru-guru sandaran terlatih yang baru menamatkan latihan perguruan daripada univeriti dan
maktab. Sehingga kini, daripada sejumlah 60 orang guru, 17 orang telah berkhidmat lebih
daripada 10 tahun, manakala selebihnya adalah terdiri daripada guru yang berkhidmat kurang
daripada 10 tahun. Namun hanya enam orang daripada guru-guru tersebut mempunyai
pengalaman mengajar kurang daripada 5 tahun (iaitu tertakluk pada tarikh kajian ini dijalankan).
Responden kajian ini dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan (purposive sampling)
iaitu berdasarkan pengalaman mengajar mereka iaitu antara satu hingga lima tahun serta
kejayaan dan pengiktirafan yang telah mereka peroleh daripada pihak sekolah. Selain itu, guru
Penolong Kanan Pentadbiran dan guru panitia juga ditemu bual bagi tujuan trigulasi data.
Manakala analisis dokumen dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti
pembangunan profesionalisme keguruan yang berkaitan dengan responden kajian dan bertujuan
untuk trigulasi data. Antara dokumen yang dianalisis adalah portfolio pengajaran responden,
buku rekod mengajar, laporan penilaian prestasi guru dan borang pencerapan guru.
Dapatan kajian
Pembangunan profesionalisme keguruan merupakan satu proses berterusan dalam garis hayat
profesion seseorang individu guru. Kajian ini mendapati, responden kajian mempunyai usaha-
usaha tertentu dalam meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Usaha-usaha tersebut
meliputi usaha daripada motivasi dalaman mereka sendiri dan sokongan daripada pihak-pihak di
persekitaran kerja mereka. Walau bagaimanapun, responden-responden kajian ini tidak
terkecuali menghadapi masalah dan kekangan dalam usaha meningkatkan profesionalisme
keguruan mereka.
Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat beberapa usaha yang dilakukan oleh responden-
responden kajian dalam usaha meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Usaha-usaha
tersebut meliputi langkah yang dilakukan secara individu juga secara berkumpulan. Usaha-usaha
ini diambil disebabkan oleh beberapa tujuan iaitu; a) meningkatkan kemahiran dan kefahaman
dalam kandungan subjek yang diajar; b) meningkatkan kemahiran dalam penyampaian
pengajaran dan pembelajaran (p&p); dan c) memahirkan diri dalam hal-hal lain seperti
pengurusan kokurikulum, kerja berkumpulan dan sebagainya.
i) Sebab-sebab yang mendorong guru novis berusaha meningkatkan profesionalisme
keguruan mereka
Kajian ini mendapati sebab utama yang mendorong guru-guru novis meningkatkan
profesionalisme keguruan mereka adalah berkaitan dengan kebimbangan mereka tentang
penguasaan isi kandungan subjek yang mereka ajar di sekolah. Berdasarkan temubual, kajian
mendapati semua responden kajian berusaha meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka
dalam subjek yang diajar. Hal ini kerana timbulnya masalah ketidakselarasan antara kandungan
kursus yang dipelajari ketika mereka di universiti dengan aras kandungan subjek yang perlu
diajar pada peringkat sekolah. Menurut Responden 6, saya rasa subject content di universiti
agak tinggi terlalu teknikal dan bersifat teori. Masa saya kerja di kilangpun, saya dapati ia tiada
perkaitan walaupun bidang saya adalah Fizik Industri. Saya perlu belajar macam mana nak
menjalankan conveyor belt macam tu tak payah pergi U. Kenyataan ini disokong oleh
Responden 2 yang menyatakan, Subjek content yang ada di u la ni terlalu tinggi untuk form 4
dan form 5. Untuk form 4 dan form 5 perlu study balik. Kaedah konstruk tidak sesuai dilaksana
sebab tak sempat habis silibus. Malahan penjelasan Responden 4 mengukuhkan pendapat
kedua-dua responden tersebut. Menurut Responden 4, topik tingkatan 4 dan 5 adalah pada
peringkat asas sahaja. Saya kena study semula. Kesukaran ialah bagaimana untuk susun isi
kandungan daripada peringkat yang paling asas. Jika pelajar tidak dapat kuasai unit 1 dan 2,
mereka tidak akan dapat selesaikan masalah seterusnya. Penjelasan ini menunjukkan responden
berasa bertanggungjawab untuk belajar semula isi kandungan subjek yang diajar pada peringkat
asas walaupun mereka mengkhusus dalam bidang tersebut. Tindakan ini bagi membolehkan
mereka menyampaikan isi pelajaran subjek tersebut dengan baik dan dapat difahami oleh para
pelajar.

Selain itu, ketidaksamaan antara bidang pengkhususan semasa di universiti dengan subjek yang
diajar di sekolah turut mendorong responden kajian ini meningkatkan kefahaman mereka
terhadap sesuatu subjek. Hal ini kerana kebanyakan responden kajian mengajar subjek yang
bukan bidang pengkhususan mereka. Responden 3 menyatakan, Pengalaman di universiti tidak
ada kaitan langsung dengan p&p sebab degree Kimia tapi ajar fizik dan matematik. Dari segi
subject content pula hanya lebih kurang 50% saja dapat membantu kerana belajar dan mengajar
adalah dua perkara yang berbeza. Masalah yang sama turut dialami oleh Responden 1 yang
menjelaskan, Di universiti subjek content terlalu tinggi, malah tiada kaitan dengan silibus
sekolah. Macam saya pengkhususan saya adalah bidang Mechanical Engineering. Saya
mendapat pendedahan kepada asas fizik di Universiti tetapi tiada pendedahan kepada subjek
matematik. Pendekatan bagi mengajar kedua-dua subjek ini adalah berbeza. Saya perlu
memperuntukkan masa yang lebih untuk kedua-dua subjek ini. Walaupun saya pernah mendapat
pendedahan dalam alam persekolahan saya, namun saya tidak dapat mengingatinya. Oleh itu,
saya perlu mula belajar tentang isi kandungan peringkat asas.

Temu bual juga mendapati, walaupun responden diberi pendedahan tentang kaedah-kaedah
pengajaran dan pembelajaran semasa mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI),
namun tempoh praktikum selama 10 minggu dirasakan sangat singkat bagi mereka
membangunkan kemahiran keguruan mereka terutamanya dari aspek p&p. Hal ini seperti yang
dinyatakan oleh Responden 1, .... tapi masa saya buat KPLI, ada pendedahan sikit. Tapi kurang
pengalaman kerana tempoh praktikum yang singkat. Responden 6 turut mengiyakan dengan
menyatakan bahawa, ... pengalaman di maktab tak dapat membantu sangat, sebab tempoh
praktikum selama 10 minggu itu saya rasa tak mencukupi. Pernyataan ini menunjukkan
responden mengharapkan tempoh pendedahan yang lebih panjang bagi mempersiapkan diri
mereka dengan kemahiran-kemahiran keguruan sebelum menjawat jawatan tersebut secara
rasmi.

Sebenarnya, masalah ketidakselarasan aras kandungan subjek yang mereka pelajari pada
peringkat universiti dengan yang diajar pada peringkat sekolah, subjek pengkhususan yang
berbeza dengan subjek yang diajar di sekolah serta kurangnya pendedahan tentang kemahiran
keguruan telah mewujudkan kebimbangan dalam diri responden kajian untuk mengajar. Hal ini
mendorong mereka berusaha membuat persediaan yang lengkap sebelum masuk mengajar.
Menurut Responden 5, ... memanglah ada rasa takut, jadi perlu prepare bahan takut dipandang
rendah sebab tak kuasai tajuk. Saya mesti bersedia. Saya rasa bimbang jika fakta-fakta yang
terdapat dalam buku teks tidak dapat disampaikan kepada pelajar.
ii) Usaha-usaha guru novis untuk meningkatkan profesionalisme keguruan mereka

Berdasarkan temubual yang dijalankan, kajian mendapati terdapat beberapa usaha yang
dilakukan oleh responden kajian untuk meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Antara
usaha tersebut adalah:

a) Merujuk buku dan internet

Kajian ini mendapati usaha permulaan yang dilakukan oleh responden kajian untuk kemahiran
dan kefahaman tentang subjek yang mereka ajar di sekolah adalah bermula dengan mencari
sendiri bahan-bahan pengajaran yang berkaitan seperti merujuk buku rujukan SPM dan internet.
Malahan kajian ini mendapati kedua-dua sumber ini menjadi rujukan popular responden kajian
bagi tujuan meningkatkan kefahaman mereka tentang isi kandungan subjek yang mereka ajar.
Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Responden 1, Saya rujuk buku SPM untuk atasi masalah isi
kandungan pelajaran yan diajar. Penggunaan buku rujukan SPM membantu pengajaran
responden menjadi lebih berfokus. Responden 4 menjelaskan, Pengajaran lebih berfokus
kepada kehendak peperiksaan. Saya lebih suka fokus kepada soalan, tidak meleret-leret.
Malahan ada responden yang lebih gemar merujuk buku memandangkan langkah tersebut lebih
mudah dilakukan berbanding penggunaan software yang dibekalkan oleh pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) dan rujukan internet. Pandangan ini seperti yang dijelaskan oleh
Responden 2, Saya rujuk buku. Software saya tak guna sebab perlu banyak masa. Bila saya
susah terang sesuatu konsep contohnya konsep graviti, barulah saya guna software dan rujuk
internet. Manakala, internet pula membantu mereka mengajar konsep-konsep yan sukar
kepada pelajar. Menurut Responden 6, Saya merujuk buku ulangkaji SPM. Selain itu saya
memang banyak ambil daripada internet. Saya selalu melayari You Tube sebab dalam tu ada
banyak konsep Sains terutama Fizik. Macam saya nak ajar tentang konsep tekanan yang abstrak
untuk pelajar. Saya dapatkan daripada laman itu dan saya tunjukkan kepada pelajar. Penjelasan
daripada responden menunjukkan bahawa mereka mempunyai rasa tanggungjawab untuk
menguasai dan memahami isi kandungan subjek sebelum disampaikan kepada pelajar.

b) Perbincangan dengan rakan sekerja

Kajian juga mendapati perbincangan dengan rakan sekerja turut membantu responden kajian
meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Tindakan merujuk dan berbincang dengan
rakan-rakan sekerja merupakan langkah kedua yang diambil oleh responden sekiranya masalah
yang mereka hadapi tidak dapat diselesaikan sendiri. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh
Responden 2, Saya usaha sendirilah cari bahan. Hmmm kalau saya tak faham, saya tanya
guru lain. Saya rujuk rakan yang duduk sebelah saya dulu. Rakan saya tu dulu mengajar
sekolah rendah dan baru graduate. Walaupun dia berbangsa Cina tapi cukup banyak
membantu. Selain itu, perkongsian maklumat dengan rakan sekerja dapat membantu responden
meningkatkan kompetensi mereka dalam proses p&p. Menurut Responden 5, Perbincangan
antara guru baru tentang meningkatkan prestasi selalu berlaku waktu antara kelas. Mesyuarat
panitia pun tak cukup bilangan 4 kali setahun . Dapatan temu bual juga menunjukkan
perkongsian maklumat antara guru baru dapat membantu mereka menyediakan bahan-bahan
pengajaran dan memudahkan proses p&p mereka. Menurut Responden 4, kami bincang tentang
kaedah pengajaran yang hendak diajarkan jika ada rakan yang ajar tajuk yang sama. Pada
pendapat saya, perbincangan akan tingkatkan kompetensi. Kebanyakan dibincang secara tidak
formal minit curai. Berkongsi buat modul dan modul yang dihasilkan adalah kerjasama
semua ahli. Kami hasilkan modul ikut format soalan SPM tak guna buku teks sebab tak semua
tajuk penting. Kami bahagi tugas untuk sediakan modul. Responden 5 menyokong dengan
menyatakan, Pada peringkat awal kami sedia masing-masing. Kini kami guna modul, buat nota
ringkas. Bila kami terangkan, pelajar isikan ruang kosong. Kami dapati sekarang lebih cepat
habiskan silibus. Pernyataan ini menunjukkan guru novis di sekolah kajian mengamalkan
kaedah kolaboratif dalam usaha mereka meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.

Kajian ini turut mendapati terdapat responden yang memperbaiki teknik pengajaran mereka
melalui pemerhatian terhadap rakan-rakan guru yang lain. Hal ini diakui oleh Respoden 5 yang
menyatakan, Saya selalu perhati rakan-rakan mengajar. Saya dapat idea macam mana nak ajar
sesuatu topik itu di kelas saya nanti. Saya juga dapat idea untuk guna pendekatan kaedah
mengajar berstesen yang digunakan oleh panitia sejarah. Saya dapati cara itu menarik dan boleh
mengelakkan kebosanan pelajar. Dapatan ini menunjukkan amalan kolaboratif antara guru
novis dalam memperbaiki kualiti p&p mereka.

c) Merujuk guru berpengalaman


Kajian mendapati, responden turut merujuk guru-guru berpengalaman sekiranya berhadapan
dengan masalah dalam proses p&p mereka. Antara guru berpengalaman yang dirujuki
responden adalah Ketua Panitia mereka. Menurut Responden 4, ... selain buku rujukan SPM
saya juga merujuk Ketua Panitia sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Hal ini diakui oleh
Guru Penolong Kanan Pentadbiran yang menyatakan, Ketua panitia kata responden 4 selalu
jumpa dengannya. Dia memang rajin dan selalu bertanya. Boleh dikatakan hampir setiap hari
dia akan tanya macam mana nak ajar topik tersebut. Kalau tak datang bersemuka dia telefon.
Namun, cara yang berbeza telah digunakan oleh Responden 6. Selain merujuk guru dan rakan
sekerja di sekolahnya, Responden 6 turut mengambil kesempatan mendapatkan pandangan dan
nasihat daripada guru berpengalaman dari negeri lain yang dia kenali ketika menghadiri kursus.
Jelas Responden 6, Ada juga saya rujuk guru berpengalaman dari sekolah lain. Semasa saya
hadir kursus, saya berkenalan dengan guru berpengalaman daripada negeri lain. Saya tanya
macam mana nak ajar. Dia bantu saya dan beri saya modul pengajaran yang dibuat oleh guru-
guru Fizik negeri Pahang. Puan Badariah hantar kepada saya melalui e mail.

Selain itu, Responden 6 turut meniru cara guru berpengalaman menyelenggara semua dokumen
yang berkaitan dengan p&p mereka. Menurut Responden 6 berkaitan hal ini, saya dapat idea
daripada calon guru pakar yang menyampaikan taklimat semasa mesyuarat guru. Sekarang saya
sedang kumpul bahan. Saya sedang berusaha ke arah itu nak jadi guru pakar. Saya usaha
sendiri. Cari bahan dan selalu rujuk guru pakar macam Cikgu Wahid dia guru pakar Fizik.
Mula-mula ajar dulu saya ajar semua topik, saya dapati tak cukup masa. Bila saya tanya dengan
dia, baru saya tahu hanya tajuk-tajuk tertentu sahaja yang perlu diberi penekanan. Cuba cikgu
tengok bahan yang saya sediakan. Saya dah sediakan powerpoint untuk hampir kesemua topik
tingkatan 4 dan 5. Sebab tu saya suka duduk dalam makmal, kalau saya duduk di Bilik Guru,
nanti saya bersembang. Lagipun, saya suka dengar muzik semasa saya buat kerja.
Kesungguhan Responden 6 ini turut diakui oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran dan
guru panitian sains sekolah tersebut. Menurut GPK Pentadbiran, masa saya mencerap dia, dia
buat persediaan rapi, dari segi bahan pengajarannya, tapi pengajaran nampak kaku dan agak
gementar, nampak kertas yang dia pegang terketar. Saya dapati dia sediakan powerpoint untuk
semua topik. Setiap topik akan disertakan dengan soalan-soalan SPM. Beliau juga menyediakan
fail meja guru Dia juga buat analisis peperiksaan bagi pelajar-pelajarnya. Fail peribadinya pun
lengkap dengan surat panggilan kursus, butiran diri, sijil dan senarai jawatan yang dipegang.
Saya puji tindakan dia dan suruh dia kemas kini maklumat ini yang saya rasa sangat berguna
untuk pencalonan guru cemerlang. Satu lagi, saya nampak dia kreatif, dia gabung bahan yang
dibekalkan oleh Kementerian dengan bahan yang dia sediakan sendiri. Perakuan ini
menunjukkan asas kepada peningkatan profesionalisme keguruan adalah terletak pada diri
individu guru novis itu sendiri. Pelbagai usaha yang mereka lakukan dapat membantu mereka
menjadi guru yang berkesan dan sistematik.

d) Mengikuti kursus di luar sekolah

Kursus yang diikuti oleh responden di luar sekolah turut dapat membantu responden
meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Menurut Responden 3 dan 5, kursus ETEMs
banyak membantu mereka dalam kaedah pengajaran subjek sains dan matematik. Namun,
kursus-kursus yang dianjurkan di luar tidak banyak yang berkaitan dengan p&p. Kebanyakan
kursus yang mereka hadiri adalah berkaitan dengan pentadbiran dan kokurikulum. Justeru,
mereka mencadangkan agar pihak-pihak berkaitan menganjurkan lebih banyak kursus yang dapat
membantu guru-guru novis meningkatkan kualiti pengajaran mereka.

iii) Masalah dan kekangan yang dihadapi oleh guru novis dalam usaha meningkatkan
profesionalisme keguruan mereka

Kajian ini mendapati terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh responden dalam usaha
mereka meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Antaranya adalah tiada guru
berpengalaman yang boleh dirujuk oleh mereka sekiranya mereka berhadapan dengan masalah
dalam pengajaran. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Responden 6 iaitu, Masa saya datang ke
sekolah ini, sekolah ini baru dibuka. Saya tidak ada sesiapa nak dirujuk sebab tak ada guru
berpengalaman di sini yang mengajar subjek fizik. Saya terpaksa membuat persediaan dengan
mengumpul sendiri bahan pengajaran. Sebab itu, saya selalu mengasingkan diri duduk di
makmal supaya saya boleh tumpukan perhatian untuk menyediakan bahan pengajaran. Selain
itu, responden kajian turut mengharapkan maklum balas yang membina daripada pihak
pengurusan tentang pengajaran mereka. Namun, lazimnya maklum balas yang mereka peroleh
adalah lambat atau tiada langsung. Menurut Responden 4, Badan pengurusan mencerap tapi
maklum balas lambat. Malahan mesyuarat panitia juga kurang membantu responden dalam
usaha meningkatkan profesionalisme mereka. Seperti yang dijelaskan oleh Responden 6,
Mesyuarat panitia adalah bincang tapi kebanyakannya bincang secara informal. Mesyuarat
panitia pun tak cukup 4 kali setahun. Selain itu, input yang diharapkan daripada kursus luar
yang diikuti turut kurang diperoleh. Menurut Responden 2, Program perkembangan staf
selalunya tak pernah minta pendapat guru. Ia berpusatkan kepada penceramah sahaja.
Competency based pula tiada kaitan secara langsung. Seperkara lagi, mungkin peningkatan
dalam bidang fizik boleh membantu saya dalam p&p. Hal ini menunjukkan guru-guru novis
memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak untuk meningkatkan profesionalisme keguruan
mereka.
Rumusan dapatan kajian
Pendedahan graduan kepada realiti sebenar dunia pekerjaan menyebabkan mereka
cenderung menghasilkan prestasi kerja yang kurang memuaskan. Justeru, dalam bidang
pendidikan, fasa yang paling kritikal dalam tahap perkembangan profesionalisme guru adalah
antara tahun pertama hingga kelima perkhidmatan mereka. Berdasarkan dapatan kajian ini,
dapat dirumuskan bahawa guru-guru novis berusaha meningkatkan profesionalisme keguruan
mereka melalui pelbagai kaedah dan cara walaupun ditugaskan di sekolah yang baru du buka dan
berhadapan dengan pelbagai beban tugas yang perlu dipikul bersama dengan guru-guru yang
berpengalaman. Usaha ini dilakukan kerana terdapat dalam kalangan guru novis yang
memandang serius terhadap kerjaya mereka dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap
bidang keguruan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir dalam kalangan mereka yang
bersikap sambil lewa dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Selain itu, dapat juga
dirumuskan bahawa walaupun guru-guru novis ini dilatih dengan latihan keguruan yang mantap,
mereka masih memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti guru berpengalaman sama
ada di dalam organisasi yang sama atau di luar organisasi, rakan sekerja yang turut sama baru
bertugas dalam organisasi tersebut serta sokongan organisasi. Sokongan ini akan dapat
membantu guru-guru novis untuk menghadapi kekangan dan masalah dalam usaha mereka
meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.

Rujukan

Berliner, D. C. (1995). Educational psychology an Australian and New Zealand perspective.


John Wiley: Brisbane

Boles, K.C. & Troen, V. (2002). Whos Teaching Your Children: Why the Teaching Crisis is
Worse Than You Think and What Can Be Done About It. New Haven: Yale University
Pres.

Darling-Hammond, L. (1999) Solving The Dilemmas of Teacher Supply,Demand and


Standards, Quality Teaching 9(1) hal. 3-24. New York: New York Press

Day, C. (1999). Developing teachers: The challenges of lifelong learning. London: Falmer
Press.

Glatthorn, A. (1995) Teacher development. In L Anderson (Ed.) International Encyclopedia of


Teaching and Teacher Education (2nd ed) New York : Pergamon.

Johnson, S., Kardos, S., Kauffman, D., Liu, E., & Donaldson, M. (2004). The Support Gap: New
teachers early experiences in high-income and low-income schools. Education Policy
Analysis Archives, 12 (61), 1-25.

Lawtorn, D.(1987) . The changing Role Of The Teacher: Consequences For Teacher Education
and Training . Prospects, Vol. XVII, No. I, 1987.
Mohd. Majid Konting (2005). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

McDonald,J and Elias,P. (1980) The problems of Beginning Teachers: A Crisis in Training
(Vol1), hal. 3-14. Princeton :NJ Educational Testing.

McCormack, A . & Thomas, K. (2003) Is Surviving Enough? Induction Experiences Of


Beginning Teacher WithinThe New South Wales Context . Asia-Pacific Journal Of
Teacher Education , 31(2), 125-128

Mohd. Hasani Dali (2007) Mengatasi Masalah Profesionalisme Guru Novis. Pendidik, Mei
2007, hal 20-28. Selangor: Widad Publication, Sdn. Bhd.

Moir, E. (2005) Supporting New Teachers During Their First Years of Teaching, The George
Lucas Educational Foundation diakses daripada http// www.edutopia.org pada 15
Oktober 2008.

Nolan, James (2004) Teacher supervision and evaluation theory into practice. New Jersey: John
Wiley & Sons, Ltd.

Odell (2000) Introduction : Leading the teacher profession toward quality mentoring. Dalam
S.J. Odell & L. Huling (Eds) Quality mentoring for novice teachers. Washingston. D.C :
Association of Teacher Education.

Seyfarth , J.T. (2002) Human Resources Management for Effective Schools . 3rd ed. Allyn &
Bacon, Boston.

Siti Zohara Yassin,(2005) Proses Sosialisasi Organisasi Guru Sandarn Terlatih (GST) dalam
Melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Sekolah Menengah Di Sarawak. Tesis
yang tidak diterbitkan. Universiti Kebangsaan Malaysia: Fakulti Pendidikan.

Stake, R.E. (1995). The art of case study research perspectives on practice. Thousand Oaks:
Sage Publications

Stansbury , K and Zimmerman , J (2002). Smart induction programs become lifelines for the
beginning teacher. Journal of Staff Development, Fall 2002 (Vol. 23, No.4), hal 11-25.
California: Wilmer Sdn. Bhd.

Veenmann, S. (1984) Perceived Problems of Beginning Teachers. Review of Educational


Research 54 (2) : 143-178. London: Pergamon Press.

Wischkaemper, K ( 2005) A Comparative Case Study of The Principals Role In New Teacher
Induction. Texas: Texas Tech University
Yi ,Y dan Ma,L.(1992) Teacher Education conductor by teacher community: A case of
mentoring in China paper presented at the annual of the American Educational Research
Association in San Francisco on 20 September 1992.

You might also like