You are on page 1of 4

1 Teori Pemprosesan Maklumat R. M.

Gagne
Robert M. Gagne dalam bukunya Essentials of Learning for Instuction ( 1975 )
mengemukakan satu teori mengenai bagaimana manusia memperoleh maklumat
dalam sesuatu proses pembelajaran. Mengikut teorinya, ransangan-ransangan dari
persekitaran luar akan diterima dalam sistem saraf melalui deria-deria manusia.
Maklumat ini akan ditafsir dalam stor ingatan, kemudian dihantar kepada stor
ingatan jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui
sistem saraf.
Mengikut Gagne, pengalaman-pengalaman yang disimpan dalam stor ingatan
jangka panjang adalah penting bagi manusia untuk mengaitkannya dengan
pengalaman-pengalaman baru demi memudahkan proses pembelajaran berlaku.
Gagne mengenal pasti dan menyarankan lapan fasa yang biasa dialami oleh
manusia dalam sesuatu pembelajaran, iaitu fasa motivasi, fasa kefahaman, fasa
penyimpanan, fasa penahanan, fasa ingatan kembali, fasa generalisasi, fasa
prestasi dan fasa maklum balas.

a) Fasa Motivasi- Jangkaan


Fasa motivasi ialah fasa pertama yang berlaku dalam sesuatu proses
pembelajaran. Lazimnya, manusia belajar kerana didorong oleh motivasi tertentu.
Tanpa motivasi, proses pembelajaran tidak akan bermakna dan berkesan. Oleh itu,
motivasi memainkan peranan yang penting dalam mana-mana proses
pembelajaran.
Manusia berusaha belajar kerana mempunyai motif tertentu. Motivasi merupakan
tindakan yang menimbulkan motifnya supaya belajar. Jadi motivasi digunakan
untuk menggalakkan murid-murid supaya berusaha belajar.

b) Fasa Tanggapan Perhatian


Fasa ini melibatkan aktiviti pemerhatian dan pemilihan rangsangan yang tepat dan
relevan. Di dalam fasa ini, seseorang akan menumpukan perhatian terhadap
sesuatu rangsangan yang dimotivasikan dan memilih serta membezakan
rangsangan-rangsangan melalui organ derianya.
Contohnya, semasa belajar di bilik darjah, seorang murid menumpukan perhatian
terhadap aktiviti pengajaran guru dan menolak gangguan yang lain seperti bunyi
perbualan daripada rakan sekelas yang lain.

c) Fasa Penyimpanan- Kod


Apabila seseorang telah berjaya memilih rangsangan yang relevan dan
mempersepsikannya denga tepat, maka rangsangan itu akan dibawa oleh sistem
saraf ke dalam stor ingatan jangka pendek. Di situ, rangsangan tersebut akan
dikodkan dengan suatu cara yang ringkas dan tersendiri seperti merekodkan isi-isi
penting dalam bentuk yang mudah disimpan.

d) Fasa Penahanan- Stor Ingatan


Selepas rangsangan yang dipilih dan dikodkan dalam stor ingatan jangka pendek,
sebahagian atau keseluruhanya akan disalurkan dan disimpan dalam stor ingatan
jangka panjang. Kod-kod yang disimpan dalam stor jangka panjang akan
ditransformasikan dan disusun semula dengan satu sistem yang lebih kekal dalam
ingatan dan lebih mudah dikeluarkan. Fasa ini dinamakan fasa penahanan, iaitu
menyimpan maklumat, peristiwa atau pengalaman yang diperoleh dengan cara
yang sistematik.
e) Fasa Mengingat Kembali- Mencari
Fasa mengingat kembali merupakan tindakan mencari maklumat atau pengalaman
yang telah disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Tindakan ini biasanya
digerakkan oleh rangsangan luaran atau motif dalaman. Misalnya seorang murid
berusaha mengingat kembali apa yang telah dipelajarinya untuk menjawab soalan
guru.

f) Fasa Generalisasi- Pindaan


Fasa generalisasi ini merujuk kepada fasa pemindahan pembelajaran atau fasa
aplikasi di mana seseorang individu boleh mengingat kembali maklumat dalam
stor ingatan jangka panjang dan menggunakannya untuk situasi yang sama atau
serupa.
Misalnya, seorang murid telah mengetahui bentuk segiempat tepat, segiempat
sama sisi, rombus yang masing-masing mempunyai empat sisi, maka murid itu
akan membuat generalisasi bahawa bentuk-bentuk tersebut boleh diklasifikasikan
dalam kategori sisiempat.

g) Fasa Prestasi- Gerak Balas


Fasa prestasi juga dikenali sebagai fasa perlakuan. Mengikut Gagne, fasa ini boleh
diperlihatkan dan diukur daripada perubahan tingkah laku seseorang dalam
proses pembelajaran. Fasa prestasi berlaku apabila seseorang bertindak balas
dengan perubahan tingkah lakunya sebaik sahaja isyarat ransangan diberikan.
Misalnya, murid bertindak balas dengan menjawab soalan guru secara lisan.

h) Fasa Maklum Balas-Peneguhan


Fasa ini merupakan fasa terakhir dalam sesuatu proses pembelajaran. Fasa
maklum balas ini berlaku selepas seseorang individu telah bertindak balas dengan
prestasi atau perubahan tingkah laku yang tepat.
Tindakan maklum balas mempunyai fungsi peneguhan seperti memberi galakan
kepada orang yang telah menunjukkan prestasi yang tepat. Contohnya, seseorang
murid yang dapat memberi jawapan yang harus diberikan pujian oleh guru.

Berdasarkan Model Pemprosesan Maklumat yang dikemukakan Gagne, beberapa


aspek utama dapat dikenal pasti dalam fasa proses pembelajaran. Di antaranya
ialah kesediaan, motivasi, pengamatan, ingatan dan lupaan serta pemindahan.

2 Teori Pengajaran Burner

Bruner ( 1973 ), mengemukakan Teori Pembentukan Konsep melalui proses


pengkategorisasi iaitu proses pengamatan. Mengikut beliau, dengan
mengkategorikan perkara-perkara dan benda yang mempunyai ciri yang sama
dalam beberapa kelompok, maka kita akan dapat menjadikan pelajaran dengan
lebih sistematik, teratur dan mudah.
Selain itu, dalam mengelaskan haiwan-haiwan yang pelbagai jenis kepada
kelompok-kelompok mengikut habitat mereka akan memudahkan murid-murid
mengamati ciri-ciri haiwan dalam pelajaran di sekolah. Sehubungan dengan itu, di
dalam teori pengajarannya, Bruner menyarankan bahawa :
a) Teori Pengajaran harus menetukan butir-butir pengetahuan sedia ada yang
digunakan sebagai motivasi pelajar.
b) Bahan-bahan pembelajaran harus distukturkan secara sistematik supaya mudah
dipelajari.
c) Teori Pengajaran harus menentukan cara yang palin berkesan untuk
mengorganisasikan bahan-bahan pengajaran supaya mudah dipersembahkan dan
mudah dipelajari.
d) Teori Pengajaran harus menentukan ganjaran dan denda selepas penilaian
akiviti pembelajaran supaya pelajar mendapat kepuasan dalam pelajaranya.

3 Model Taba : Pembentukan Konsep

Mengikut Taba, konsep boleh dibentuk dengan tepat melalui penyusunan banan-
bahan pengajaran dalam suatu sistem yang sesuai. Dalam hal ini, Taba
mencadangkan satu model yang mengaitkan pembentukan konsep dengan
pemilihan dan memeringkatkan isi pelajaran dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Mengikut Taba, pembentukan sesuatu konsep haruslah dilakukan
melalui empat peringkat utama iaitu :

a) Peringkat Penyusunan Data


Menyusun fakta-fakta dengan memerhatikan ciri-ciri persamaan dan perbezaanya.
b) Peringkat Pembentukan Konsep
Menggolongkan dan mengelaskan fakta-fakta berdasarkan ciri-ciri persamaan
supaya menjadi kategori tertentu.
c) Peringkat Membentuk Hukum
Membuat kesimpulan atau generalisasi berdasarkan hubungan-hubungan di antara
kategori-kategori yang dibuat dalam peringkat sebelumnya.
d) Peringkat Aplikasi
Penggunaan generalisasi atau kesimpulan baru
Model Pengajaran Taba mengaitkan stuktur pengetahuan dengan proses
perancangan dan pembelajaran. Semasa proses perancangan pelajaran, perkara-
perkara yang hendak dipertimbangkan ialah penyusunan data, pembentukan
konsep dan membuat generalisasi atau prinsip dari konkrit kepada abstrak. Di
dalam proses pembelajaran, teknik meningkatkan daya pemikiran pelajar adalah
penting untuk memperoleh dan menguasai generalisasi atau prinsip yang abstrak.

4 Model Inkuiri

Kaedah inkuiri merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan


jawapan atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti soal selidik ini
memerlukan murid mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis,
merancang aktiviti kajian, menjalankan siasat dan membuat rumusan atau
mendapatkan jawapan. Kaedah inkuiri boleh dikendalikan berdasarkan salah satu
daripada tiga model berikut :
a) Model Inkuiri Sains
Digunakan untuk mengkaji prinsip, fenomena dan ciri-ciri unsur sains. Prinsip
kajian adalah berlandaskan kepada lima langkah aktiviti soal selidik yang
dihuraikan dalam Model Dewey ; mengenal pasti masalah, mencari maklumat
rumusan, membentuk hipotesis, menguji hipotesis dan menilai serta membuat
rumusan.
Proses mengenal pasti masalah melibatkan aktiviti memahami dan mengenal
pasti aspek-aspek penting yang terkandung dalam masalah. Peringkat mencari
maklumat melibatkan aktiviti mengumpul bahan-bahan atau fakta-fakta yang
berkaitan dengan penyelesaian masalah. Peringkat membuat hipotesis merujuk
kepada cadangan strategi dan cara menyelesaikan masalah. Peringkat menguji
hipotesis merupakan proses perlaksanaan strategi dan aktiviti penyelesaian,
manakala peringkat menilai dan membuat rumusan merujuk kepada aktiviti
penilaian dan membuat rumusan terhadap teknik penyelesaian yang telah
digunakan dalam proses penyelesaian masalah.

b) Model Inkuiri Sosial


Digunakan untuk mengkaji topik-topik yang berkaitan dengan bidang kemanusiaan
dan kemasyarakatan. Proses kajian adalah berlandaskan kepada aktiviti
pemerhatian , temubual atau soal selidik. Model inkuiri sosial menegaskan proses
interaksi sosial. Model ini merangkumi enam langkah iaitu ; pembentukan masalah
oleh pengajar, pembentukan hipotesis oleh pelajar, menemtukan definisi untuk
hipotesis, perbincangan kesahan hipotesis, mencari sokongan untuk hipotesis dan
membuat rumusan atau kesimpulan.

c) Model Inkuiri Juris Prudential


Digunakan untuk mencari kebenaran dan ketepatan isu-isu seperti belajar Sains
lebih berguna daripada belajar Sastera. Proses inkuiri ini adalah berlandaskan
kepada aktiviti perdebatan.
Di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, terdapat dua jenis teknik inkuiri
iaitu inkuiri terbimbing dan inkuiri terbuka. Inkuiri terbimbing memerlukan guru
membimbing murid-murid menjalankan segala proses kajian. Inkuiri jenis ini
sesuai digunakan pada peringkat sekolah rendah dan juga sekolah menengah.
Dalam inkuiri terbuka, murid-murid tidak diberi sebarang bimbingan. Segala proses
kajian dijalankan oleh murid sendiri. Inkuiri jenis ini sesuai digunakan pada
peringkat sekolah menengah atasa dan peringkat lebih tinggi.

d) Model Inkuiri Suchman


Model ini diperkenalkan oleh Richard Suchman berlandaskam andaian bahawa
strategi-strategi yang digunakan oleh ahli sains untuk menjalankan kaji selidik
boleh juga digunakan sebagai model pengajaran dalam matapelajaran khususnya
sains.

Secara berpasangan dan setelah membaca teori-teori berkaitan Model-Model


Pemprosesan Maklumat, bincang dan tuliskan satu rumusan yang dapat
menunjukkan perbezaan atau pun persamaan tentang Model-Model Pemprosesan
Maklumat yang anda telah fahamkan.

Muat naik rumusan anda di ruang yang disediakan, saiz fail anda tidak melebihi 2
MB. Namakan fail anda sebagai rumusan dan gunakan samada Ms Words atau Ms
Power Point untuk tujuan ini

Available from: Friday, 8 March 2013, 03:05 PM

Due date: Friday, 29 March 2013, 11:55 PM

Upload a file 5318 269

You might also like