You are on page 1of 2

AMALAN RUMAH TERBUKA

Rumah terbuka atau open house sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan
di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari
Raya Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka
sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah
rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. Kerajaan
Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau
agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat
kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri.Menyedari
kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional,
persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah
kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?
Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan
kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan
anggota masyarakat di negara kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat
memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka
memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai erti perpaduan
yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian
kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan
pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun
berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. Jadi, setiap kaum
seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah
terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu
dibimbangi. Sehubungan dengan itu, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat
mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. Tegasnya, konsep penyatuan antara
kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.
Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat
serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama
kaum memahami budaya kaum-kaum lain. Mereka hanya akan merayakan
perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan
juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-
kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam
dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. Sebagai contoh, orang-orang India,
Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama
dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat membantu mereka
mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga dapat
diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara
tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi
sekarang. Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui
amalan murni ini.

Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-


rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang
melancong di negara kita. Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk
melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami
dan memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini
semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. Kerajaan melalui
Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-
kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia
semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai,
Deepavali dan Krismas. Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan
yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari
bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus
dapat merancakkan industri pelancongan negara.Izharlah bahawa konsep rumah
terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing
kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung
keharmonian.
Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam
hubungan kekeluargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan
rumah terbuka ialah amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai
untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti
ini amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan
kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka,
hubungan silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan
seterusnya akan hilang kepada generasi akan datang yang semakin tidak
mengenali sanak-saudara mereka. Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka
akan beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan di samping mendapat
perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali
mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini.
Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan
hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.
Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak
membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat. Oleh itu, konsep rumah
terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini
tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan
atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi
seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah
terbuka. Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk
mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-
angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta
dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa
dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.

You might also like