You are on page 1of 25

1

UP1

BAHASA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN

PENGENALAN
Menurut J.A. Fishman (1972), sejak abad ketujuh, bahasa Melayu telah memiliki
persejarahan (historicity), etnisiti (ethnicity), autonomi (autonomy) dan daya tahan
(vitality). Kedudukan istimewa ini, sama sekali tidak dapat disangkal, malah bahasa
Melayu diperakui antara bahasa terpenting di dunia. Menurut Teeuw (1959) dalam
bukunya yang berjudul Pokok dan Tokoh 1, bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi
pada zaman kegemilangan kerajaan Sriwijaya. Malah bahasa Melayu pada ketika itu, turut
menjadi bahasa pengantar ilmu pengetahuan, kebudayaan, falsafah agama Buddha dan
tatabahasa Sanskrit. Peranan besar bahasa Melayu pada zaman dahulu, dapat dilihat
sehingga ke hari ini, khususnya dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu yang banyak
mengandungi kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit.
Menurut Awang Sariyan (2006), keutuhan bahasa Melayu sebagai agen pembinaan
negara bangsa di Kepulauan Melayu, tidak terputus selepas kejatuhan empayar Sriwijaya.
Melaka yang muncul sebagai kuasa besar pada ketika itu, telah mengangkat martabat
bahasa Melayu daripada bahasa istana, sehingga menjadi bahasa lingua franca. Selepas
kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, kedudukan bahasa Melayu semakin
kukuh apabila menjadi bahasa rasmi Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1963, bahasa
Melayu sekali lagi menjadi bahasa rasmi bagi negara baharu yang bernama Malaysia, hasil
gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, telah menjadikan bahasa tersebut sebagai alat perpaduan
dalam mengikat jiwa dan hati rakyat Malaysia.
Selain itu, menurut Ab Razak Ab Karim (2014), pemilihan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan di Malaysia, berkait rapat dengan jumlah penutur bahasa Melayu yang
ramai, khususnya di Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand. Sifat bahasa
Melayu yang mudah dipelajari berbanding bahasa Jawa, telah memberikan satu kelebihan
kepada bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rantau ini. Di samping itu, kedudukan
bahasa Melayu di Asia Tenggara juga sangat kukuh. Hal ini dikatakan demikian kerana,
bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia, malah turut menjadi
bahasa kebangsaan di Singapura, Brunei dan Indonesia. Dengan jumlah penutur melebihi
300 juta, adalah tidak mustahil bagi bahasa Melayu untuk menjadi bahasa rasmi bagi
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada masa akan datang.
Sehubungan itu, penulis berpendapat, apabila ditelusuri persejarahan (historicity)
dan entisiti (ethnicity) bahasa Melayu dari dahulu sehingga kini, aspek autonomi dan daya
tahan (vitality) yang dimiliki oleh bahasa Melayu sememangnya hebat dan kuat. Pada hari
ini, bahasa Melayu mempunyai nilai autonomi (autonomy) dalam Perlembagaan Malaysia,
melalui Perkara 152, serta pelbagai Akta Pendidikan yang jelas bertunjangkan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar. Manakala daripada aspek daya tahan (vitality), bahasa
Melayu yang ada di Malaysia pada hari ini, sepatutnya tidak perlu merintih dan berjuang
dalam mendaulatkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini dikatakan demikian
kerana, bahasa Melayu itu sudah mempunyai nilai autonomi sebagai bahasa rasmi negara.
Seandainya aspek ini tidak dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia, maka

Salinan Pelajar
2

jelas membuktikan pemahaman masyarakat terhadap konsep keluhuran perlembagaan,


yang tercatat dalam Rukun Negara, masih lemah dan longgar. Sehubungan itu, sebagai
warganegara Malaysia, penguasaaan bahasa Melayu yang baik akan menjadi kayu ukur
kecintaan kita terhadap Malaysia.

Asal Usul Bangsa dan Bahasa Melayu


Menurut Zafarina Zainuddin (2015), bangsa Melayu sebenarnya bukanlah suatu bangsa
yang hanya wujud di Malaysia, tetapi orang Melayu telah wujud sekian lama di Kepulauan
Melayu (Malay Archipelago). Kepulauan yang terletak di antara Lautan India dan Lautan
Pasifik ini, mengunjur sejauh 4,000 batu dari timur ke barat, dan 1,300 batu dari utara ke
selatan, dan merupakan kepulauan yang terbesar di dunia. Kepulauan Melayu dibentuk
oleh beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Borneo, Sumatera, Jawa,
Sulawesi, Filipina dan termasuk juga Semenanjung Malaysia. Sebelum berlakunya banjir
besar yang menenggelamkan Pentas Sunda dan tamadunnya lebih kurang 10,000 tahun
yang lalu, kumpulan pulau yang terletak di atas Pentas Sunda dipercayai bersambung
sebagai satu tanah besar yang memudahkan pergerakan dan interaksi manusia di atasnya.
Akibat daripada kejadian banjir besar ini, sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa
berhijrah dan mereka ini dipercayai telah memulakan penempatan baharu di Asia Timur
dan Kepulauan Pasifik.

Pentas Sunda
Sumber: https://grahamhancock.com/drsunilatlantis/

Manakala menurut Md. Salleh Yaapar (2014), kata nama Melayu sudah berkurun
lama digunakan sama ada sebagai rujukan kepada tempat, kerajaan, kelompok manusia
atau bangsa. Perkataan Melayu sudah diketahui sejak abad kedua, iaitu apabila Ptolemy
(90-168 Masihi) ahli geografi Mesir mencatatnya sebagai ‘Maleu-Kolon’ (Melayu barat
dalam bahasa Jawa). Kata nama ini merujuk kepada bahagian barat Semenanjung Emas,
iaitu Semenanjung Tanah Melayu, yang dibincang dalam karyanya Geographia. Kira-kira
dua abad kemudian, nama ‘Melayu’ tercatat pula dalam kitab Hindu Vayu Purana yang
dikarang sekitar 350 masihi. Kitab berbahasa Sanskrit itu dalam bab 48, mencatatnya

Salinan Pelajar
3

sebagai ‘Malayadvipa’ dengan maksud pulau bergunung, lagi sekali merujuk kepada
Semenanjung Tanah Melayu.
Anday (2001) dalam ‘Aceh's Contribution to Standards of Malayness’ mengatakan
pada sekitar 644/645 Masihi, telah wujud sebuah kerajaan yang dinamakan Melayu di
sekitar Jambi, Sumatera. Kerajaan ini pernah menghantar utusan ke negeri China. I Ching,
pengembara China yang melawat Asia Tenggara pada 688-697 Masihi pernah tinggal di
sana dan mencatatnya sebagai ‘Ma-La-Yu’. Sekitar 25 tahun kemudian, Kerajaan Melayu
telah dirangkum ke dalam sebuah kerajaan baharu yang lebih besar, iaitu Sriwijaya yang
diasaskan pada tahun 670 masihi di sekitar Palembang. Kehebatan kerajaan yang cukup
berkuasa di Sumatra dan Semenanjung itu, telah menyebabkan Kerajaan Chola di India
menyerang wilayahnya beberapa kali dalam abad kesebelas, khususnya sekitar 1044
Masihi.

Empayar Kerajaan Sriwijaya


Sumber: http://www.globalsecurity.org

Nama Melayu benar-benar melonjak tinggi dengan kekuasaan dan kemakmuran


Kesultanan Melayu Melaka, yang berpusat di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-
15. Walaupun kerajaan itu tidak dinamakan Melayu, tetapi Melaka menjadi ukuran atau
tanda aras untuk segala-galanya yang berkaitan dengan Melayu, terutamanya tentang
identiti atau pengenalan diri berasaskan bahasa Melayu, adat budaya Melayu, dan agama
Islam. Hal ini terpancar dengan jelas di dalam kisah-kisah yang ditampilkan dalam dua
buah karya agung Melayu, iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin. Dalam Hikayat
Hang Tuah, muka surat empat umpamanya, orang Melayu Melaka dianggap Melayu

Salinan Pelajar
4

sebenar (bukan kacukan) dan bahasa mereka dianggap bahasa Melayu sungguh atau
standard (Md. Salleh Yaapar (2014).

Manuskrip Hikayat Hang Tuah


Sumber: Jabatan Warisan Negara

Selain itu, terdapat juga teori yang mengatakan Melayu itu berasal dari Taiwan.
Teori Out of Taiwan yang diketengahkan oleh Peter Bellwood (2004) menyatakan bahawa
penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia
Tenggara sekitar 10,000 tahun dahulu dan membawa bersama mereka teknologi
penanaman padi. Memandangkan bahasa Melayu merupakan salah satu cabang bahasa
Austronesia, maka orang Melayu juga dianggap sebagai berasal dari Taiwan. Kepercayaan
bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan atau selatan negara China juga dipercayai
timbul daripada teori yang dikemukakan oleh Heine-Geldern pada 1940-an, yang
menyatakan bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal daripada kumpulan
manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan seterusnya ke Asia
Tenggara (arah pergerakan utara ke selatan).
Namun begitu, teori Out of Taiwan dan Teori Heine-Geldern telah disangkal oleh
Wan Hashim dalam syarahan umum yang bertajuk ‘Rumpun Melayu: Teori Migrasi dan
Diaspora’ pada 15 Januari 2013 di Universiti Sains Islam Malaysia. Menurut Wan Hashim
(2013), dapatan kajian ahli-ahli arkeologi menunjukkan bahawa manusia moden homo
sapiens telah pun berada di Alam Melayu jauh lebih awal di antara 35,000 SM sehingga
15,000 SM. Manakala kajian dalam kalangan 26 kelompok minoriti di wilayah Yunan
yang dijalankan pada 1994, mendapati tiada satu pun di antara kelompok ini tergolong
dalam rumpun Melayu dari segi budaya dan linguistik, lantaran membuat kesimpulan
bahawa selatan China bukanlah tempat atau wilayah asal rumpun Melayu.

Salinan Pelajar
5

Menurut Md. Salleh Yaapar (2014) berdasarkan penemuan terkini, jelas


menunjukkan bahawa nama ‘Melayu’ dan ‘Tanah Melayu’ bukan ciptaan baharu, tapi
sudah dikenali semenjak paling kurang abad kedua. Seterusnya, asal-usul orang Melayu
pula bukan dari Taiwan atau Yunnan seperti yang masih dipercayai oleh sebilangan sarjana
dan kebanyakan orang ramai sekarang. Sebaliknya, asal usul mereka ialah dari Kepulauan
Melayu sendiri. Dalam perkembangan sejarah, orang Melayu dari Kepulauan Melayu telah
tersebar sebagai satu rumpun bangsa besar dalam satu belahan dunia yang luas merentas
Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, iaitu dari Madagascar di barat hingga ke Rapa Nui (Easter
Island) di timur dan dari Taiwan di utara hingga ke New Zealand di selatan. Berasaskan
fakta-fakta ini, jelas bahawa pengenalan atau identiti Melayu pelbagai sifatnya dengan
definisi yang sedikit berbeza-beza. Pertama, mereka adalah Malayo-Polynesia yang terdiri
daripada banyak suku-kaum atau puak dalam konteks rumpun bangsa besar yang tersebut
di atas. Kedua, mereka adalah Melayu di Kepulauan Melayu sekarang, termasuk di Filipina
dan Melayu diaspora yang berhijarah ke Afrika Selatan, Sri Langka, barat Australia dan
lain-lain semenjak zaman penjajahan. Ketiga dan akhirnya ialah Melayu di Malaysia yang
identiti kemelayuannya ditentukan oleh perlembagaan negara.

Dunia Alam Melayu


Sumber: Md. Salleh Yaapar (2014)

Di Malaysia, definisi Melayu jelas menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan


Malaysia, iaitu orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat
budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari
merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah
bermastautin di Persekutuan atau Singapura. Walaupun perkara ini sering kali
dikaitkan dengan perkembangan sewaktu dan selepas zaman kolonial, asas sebenarnya
sudah terbina semenjak zaman Kesultanan Melaka lagi. Hal ini dikatakan demikian
kerana, Melaka telah menggariskan tanda-tanda definitif (definitive markers) identiti
Melayu bagi seseorang atau sesebuah komuniti, termasuk penggunaan bahasa Melayu
piawai (standard), beradat budaya Melayu dan beragama Islam. Sehubungan itu, dalam
konteks di Malaysia, orang Melayu dan bahasa Melayu amat istimewa kerana kedua-
duanya dilindungi oleh undang-undang negara. Namun begitu, status Melayu dan bahasa
Melayu tidak selamanya dilindungi, sekiranya orang Melayu itu sendiri tidak menjaga dan

Salinan Pelajar
6

melindungi bahasanya. Hal ini dikatakan demikian kerana, hilang bahasa hilanglah
bangsa.

Bahasa Melayu Sebagai Lingua Franca


Menurut Akmaijian et al., (1995), istilah lingua franca berasal daripada nama salah satu
masyarakat Jerman Kuno yang tinggal di sekitar Sungai Rhine, terutama di bahagian
selatan Perancis. Bahasa ini digunakan di bahagian timur wilayah Mediterranean, terutama
di pelabuhan pada Zaman Pertengahan sekitar tahun masihi 1000 sehingga abad ke-15 oleh
pedagang dan tentera perang Salib. Manakala Asmah (2007) mentakrifkan lingua franca
sebagai bahasa yang diketahui oleh kebanyakan penutur walaupun hanya pada peringkat
yang asas sahaja. Contohnya di Malaysia, terdapat berbagai-bagai bahasa seperti Cina,
Tamil, dialek-dialek di Sabah dan Sarawak, tetapi bahasa Melayu tetap berperanan sebagai
lingua franca yang utama.
Selain itu, menurut Holmes (2001), lingua franca adalah penggunaan sesuatu
bahasa untuk berkomunikasi di antara penutur yang bahasa pertama mereka berbeza satu
sama lain. Bahasa untuk berkomunikasi biasanya adalah bahasa yang paling banyak dan
kerap digunakan dalam kehidupan seharian. Contoh yang diberikan oleh Holmes ialah
bahasa di negara Tanzania. Di Tanzania, bahasa Swahili digunakan sebagai bahasa utama
apabila berkomunikasi dengan mereka yang datang daripada puak yang lain, yang
menggunakan bahasa mereka sendiri. Selain di Tanzania, Holmes juga melihat bahasa Tok
Pisin sebagai lingua franca di Papua New Guinea. Bahasa Tok Pisin telah mengambil alih
peranan 700 bahasa vernakular sebagai lingua franca.
Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah (2013), dalam konteks bahasa Melayu,
sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa terpenting sejak
zaman kegemilangan Sriwijaya. Selepas kejatuhan Sriwijaya pada kurun ketiga belas,
Kesultanan Melayu Melaka muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Melayu. Di samping
itu, menurut Ku Hasnita Ku Samsu, Adlina Ab Halim & Mohd Hafiz Sulaiman (2013),
bahasa Melayu telah mencipta kegemilangan yang luar biasa sekitar abad ke-13 iaitu pada
zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila bahasa Melayu berfungsi sebagai lingua franca,
iaitu bahasa perhubungan antara penduduk tempatan dengan para pedagang asing bagi
urusan perdagangan. Hal Ini bermakna, setiap pedagang dari seluruh pelosok dunia, yang
berhajat untuk singgah di perlabuhan Melaka atau menjalankan kegiatan perdagangan
mestilah pandai bertutur dalam bahasa Melayu.

Salinan Pelajar
7

Sumber: Mohd. Jamil Mukmin, 1994, Melaka Pusat Penyebaran Islam


di Nusantara, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur)

Menurut Ghulam (1997) bahasa Melayu pada zaman Melaka bukan sekadar berada
dalam lingkungan dunia Melayu tetapi turut tersebar sehingga ke negara China. Hubungan
perdagangan dan politik yang telah dijalinkan oleh Sultan Melaka, iaitu Parameswara
dengan Maharaja Cina, Yung Lo pada 28 Oktober 1403 merupakan perhubungan dengan
negara luar pertama pernah dibuat oleh seorang sultan dari Tanah Melayu. Laksamana
Yin Ching yang diutuskan oleh Maharaja Yung Lo dari Dinasti Ming menjadi pengutus
yang bertanggungjawab memeteraikan persetujuan dagangan dua hala itu. Catatan sejarah
juga menyebut, Parameswara (Sultan Iskandar Shah) merasa perlu menjalinkan
persahabatan dengan negeri China yang terkenal dengan kuasa besarnya bagi mengelakkan
negeri Melaka dari serangan negeri-negeri yang berhampiran.
Peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca tidak berakhir selepas Melaka
ditawan oleh Portugis pada tahun 1511. Menurut Asmah Haji Omar (2008), bahasa Melayu
terus digunakan dalam perhubungan antara pemerintah (penjajah) dengan rakyat,
barangkali dengan perantaraan juru bahasa. Jika tidak, komunikasi tidak mungkin berlaku
antara pemerintah (penjajah) dengan rakyat. Dalam konteks ini, bahasa Portugis dan
Belanda juga turut digunakan, namun secara terhad yang melibatkan urusan pemerintahan
sesama bangsa pemerintah (penjajah) itu sendiri.
Selain itu, menurut Illias Zaidi (2011), bahasa Melayu juga digunakan sebagai alat
surat-menyurat dalam kalangan raja Melayu di sekitar Selat Melaka dengan penguasa
Eropah. Ahli bahasa terkenal, W.G. Shellabear misalnya telah mengkaji dan menerbitkan
enam pucuk surat penting, termasuk surat tulisan Raja Acheh dalam bahasa Melayu pada
permulaan abad ke-17. Surat itu diutus kepada pejabat Belanda-Inggeris yang datang ke
Acheh kerana hendak mendapatkan keizinan raja untuk berdagang di daerah tersebut. Hal
ini jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu yang berperanan sebagai lingua franca turut
diberi pengiktirafan oleh penjajah sebagai bahasa rasmi dan pentadbiran.

Salinan Pelajar
8

Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia


Menurut Noresah Baharom (2015), penggunaan ungkapan bahasa Malaysia dan bahasa
Melayu sering menjadi pertanyaan dalam kalangan penutur bahasa Melayu, sama ada
penutur asli, penutur bukan Melayu di Malaysia mahupun pelajar asing di luar dunia
Melayu. Mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu ialah
bahasa kebangsaan negara Malaysia. Ungkapan ‘bahasa Malaysia’ tidak pernah
digunakan dalam perlembagaan, tetapi hanya digunakan oleh masyarakat Malaysia demi
menimbulkan rasa milik bersama bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa
rasmi, dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia.
Dari sudut kajian bahasa, pemilihan ungkapan bahasa Melayu sangat bertepatan
kerana bahasa Melayu memiliki sejarah yang panjang sejak abad ke-7. Penemuan batu
bersurat di daerah kepulauan Melayu membuktikan bahasa Melayu telah berkembang pesat
sebagai bahasa terpenting pada ketika itu. Menurut Nik Safiah Karim at. al (2014), terdapat
bekas-bekas tulisan telah dijumpai dan dipercayai bertarikh sejak tahun 683 masihi iaitu di
Kedukan Bukit Palembang, Talang Tuwo, Palembang (684 Masihi), Kota Kapur, Pulau
Bangka (686 masihi) dan Karang Brahi, Meringin, Hulu Jambi (686 Masihi). Kesemua
batu bersurat ini menggunakan bahasa Melayu.

Batu Bersurat Kedukan Bukit, Palembang


Sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Batu_Bersurat_Kedukan_Bukit

Berikut adalah antara isi kandungan bentuk bahasa Melayu yang terdapat pada batu
bersurat abad ketujuh yang juga merupakan batu bersurat tertua, yang dijumpai di Kedukan
Bukit, Palembang.

Swasti Shri Shakawarsatita 605 ekadashi


Shuklapaksa wulan Waishaka dapunta hiyang naik
Disambau mangalap siddhayatra di Saptami Shuklapaksa
Wulan Jyestha dapunta hiyang marlapas dari Minanga
Tamvan (Tamvar?) mamawa jang bala dua laksa dangan <...>
dua ratus tsyara disambau dangan jalan saribu
Tlu ratus sapuloh dua banyaknya.
Datang di Matajap (Mataya?)

Salinan Pelajar
9

Sukhatshitta.
Di pantshami shuklapaksa Wulan <...>
Laghu mudik datang
marwuat manua <...>Syriwijaya
jayasiddhayatra subhiksa.

Sumber: Nik Safiah Karim et.al. 2014.

Terjemahannya ke dalam bahasa Melayu moden adalah seperti berikut:

Selamat dan bahagia!


Dalam Syaka 605, pada sebelas
Hari bulan terang dari bulan
Waisyakha Baginda naik kapal
Mencari untungnya
Pada tujuh hari bulan terang dari bulan
Jyestha Baginda berangkat
Dari muara Tamvan (Tamvar?)
Membawa bala dua laksa dengan
Dua ratus pawang di kapal dengan yang jalan kaki seribu
Tiga ratus dua belas banyaknya
Datang di Matajap (Mataya?)
Sukacita
Pada lima hari bulan terang dari
Bulan…belajar mudik, datang
Membuat benua…Srivijaya
Kota yang jaya, yang bahagia, dan yang makmur.

Sumber: Nik Safiah Karim et.al. 2014.

Selain mempunyai susur galur dan sejarah yang panjang, kehebatan bahasa Melayu
pada abad ke-16 turut dirakamkan oleh sarjana Belanda Francois Valentijn (1858) sebagai
yang berikut:

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir


laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala
negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja
oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau latin di Eropah,
atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas
tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah
mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di
Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga
Kepulauan Filipina.”

Francois Valentijn (1858)

Salinan Pelajar
10

Sehubungan itu, sebagai bahasa yang mempunyai kedudukan yang tinggi, dihormati serta
mudah dikuasai, adalah wajar ungkapan bahasa Melayu digunakan berbanding ungkapan
bahasa Malaysia.

DASAR DAN KEDUDUKAN BAHASA MELAYU

Dasar Bahasa di Malaysia


Ab. Rahman Ab. Rashid dan Yap Kim Fatt (2002) menyatakan bahawa dasar bahasa
merupakan asas terpenting bagi perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Dasar ini
memenuhi konsep perancangan taraf bahasa. Dengan adanya dasar bahasa yang
menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, langkah-langkah berikutnya
barulah dapat dilakukan iaitu propaganda, pembinaan dan peluasan penggunaa bahasa. Di
Malaysia, Dasar Bahasa Kebangsaan dilaksanakan berasaskan undang-undang negara,
iaitu Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) dan Akta Bahasa Kebangsaan. Dalam
sistem pendidikan, bahasa Melayu turut diberi kuasa berkaitan dengan pelaksanaan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara
melalui Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Manakala pada tahun 1959,
Akta Dewan Bahasa dan Pustaka atau nama asalnya Balai Pustaka telah digubal
melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan kemudian Akta Dewan
Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Pindaan dan Peluasan 1995.
Menurut Awang Sariyan (2016), perancangan taraf bahasa melibatkan upaya
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Penetapan bahasa Melayu sebagai asas perancangan bahasa di Malaysia didasarkan pada
penerimaan kenyataan bahawa bahasa Melayu merupakan tonggak tamadun di alam
Melayu sejak zaman Sriwijaya dan kemudian pada zaman kesultanan Melayu di pelbagai
pusat tamadun Melayu di rantau Asia Tenggara. Perancangan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada dasar negara
yang dikenali sebagai Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan,
iaitu dua daripada beberapa dasar penting dalam proses pembinaan negara bangsa.
Sebagai maklumat asas, proses pembinaan negara diperlukan oleh negara yang baharu
mencapai kemerdekaan untuk membentuk acuan dan sifat kenegaraannya dalam pelbagai
bidang utama tamadun negara baharu itu.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan


Pada awal kemerdekaan, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan
Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan Persekutuan Malaysia pada 1963. Menurut Ku
Hasnan Bin Ku Halim (2012), pemilihan bahasa Melayu bertepatan dengan hasrat Tunku
Abdul Rahman untuk memiliki bahasa kepunyaan sendiri sesuai dengan status sebagai
sebuah negara merdeka. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bukan suatu perkara yang mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana, sejak
abad ke-19, bahasa Inggeris telah mendominasi semua urusan pentadbiran di Kepulauan
Melayu.

Salinan Pelajar
11

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj


Sumber: http://www.thefamouspeople.com/profiles/tunku-abdul-rahman-93.php

Selain itu, menurut Sharifah Darmia Sharif Adam (2010), pada awal tahun
kemerdekaan, terdapat dua cabaran besar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hal
ini dinyatakan oleh Tan Sri Syed Nasir Ismail (1966), Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
kedua iaitu

…pertama, masalah memodenkan bahasa Melayu sebagai bahasa


pentadbiran dan perundangan dalam negeri, kedua, tugas yang lebih rumit,
iaitu corak pemikiran orang ramai terhadap bahasa itu sendiri.

Walaupun bahasa Melayu berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk menjadi bahasa
kebangsaan di Malaysia, namun Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang secara rasmi
pemakaiannya pada 31 Ogos 1957, telah memberi makna baharu kepada bahasa Melayu.
Rincian Perkara 152 adalah seperti berikut:-

Bahasa kebangsaan 152


(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang
diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa


(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain
bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain;
dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan
penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Salinan Pelajar
12

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa
Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan
Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks
sahih.

(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya
yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan
(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh
Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala
prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah
Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris.

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak
bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak
perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh
Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan
keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, “maksud rasmi” ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama
ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa
maksud sesuatu pihak berkuasa awam.
Sumber: Undang-Undang Malaysia Perlembagaan Persekutuan Mengandungi
pindaan terkini - P.U.(A) 164/2009

Berpandukan perkara di atas, jelas bahasa Melayu mempunyai peranan besar


sebagai bahasa kebangsaan. Kebenaran untuk menggunakan bahasa-bahasa lain selain
dalam urusan rasmi, membuktikan sikap toleransi orang Melayu yang menjadi kaum
majoriti pada ketika itu. Manakala, bagi menangani sikap dan pemikiran orang ramai yang
masih belum yakin terhadap bahasa Melayu, bahasa Inggeris dibenarkan penggunaannya
di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta prosiding di semua mahkamah. Namun
begitu, selepas hampir enam dekad merdeka, adalah mustahil sekiranya masih ada
segelintir daripada rakyat Malaysia yang gagal menguasai bahasa Melayu. Hal ini
dikatakan demikian kerana, keupayaan menguasai bahasa Melayu dengan baik adalah
lambang jati diri rakyat Malaysia.

Salinan Pelajar
13

Akta Bahasa Kebangsaan

Perlembagaan Malaysia melalui Perkara 152 secara jelas menjamin kedudukan


bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsan di Malaysia. Bagi
mencapai status bahasa kebangsaan yang dihormati, pelbagai akta telah digubal untuk
melaksanakan Perkara 152. Antaranya, Penyata Razak yang merupakan cadangan
pendidikan yang ditulis pada tahun 1956, sebagai salah satu usaha bagi
membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Daripada laporan Penyata Razak 1956, Ordinan
Pelajaran 1957 telah digubal dan diguna pakai sehingga ke hari ini. Menurut penyata itu,
bahasa dan pendidikan dapat menjadi alat untuk meningkatkan perpaduan kebangsaan
dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak 1971) mula berkuatkuasa pada
April 1963. Akta ini mengandungi tiga seksyen, iaitu meliputi aspek-aspek tulisan,
bentuk, angka dan bahasa dalam borang rasmi kerajaan. Sepuluh tahun selepas
merdeka, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 diluluskan di Semenanjung Malaysa. Akta
tersebut kemudiannya disemak dan disatukan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963
menjadi Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Akta ini jelas memperuntukkan bahawa selepas
1 September 1967, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi
kecuali dalam beberapa kes tertentu seperti undang-undang yang sedia ada ditulis dalam
bahasa Inggeris, perhubungan dengan dunia luar dan sebagainya.
Dalam sektor kerajaan, bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi pentadbiran di
semua peringkat. Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam
semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat Kerajaan
Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Badan-Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa
Tempatan. Wacana lisan rasmi termasuklah mesyuarat, taklimat, ucapan, ceramah,
syarahan, perbincangan pentadbiran dan yang seumpama dengannya. Wacana tulisan
rasmi pula meliputi surat-menyurat pentadbiran, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas
cadangan, pekeliling dan sebagainya. Bahasa yang digunakan di tempat awam seperti pada
papan iklan, papan tanda dan premis perniagaan juga terangkum sebagai bahasa yang
digunakan dalam urusan rasmi.
Selain itu, bagi memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam,
beberapa surat pekeliling am telah dikeluarkan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan
dalam perkhidmatan awam. Antaranya Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006
bertajuk ‘Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Dalam Perkhidmatan Awam’. Surat Pekeliling Am ini bertujuan memaklumkan tentang
langkah-langkah untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul
dan santun, serta memperluaskan penggunaannya secara menyeluruh dalam Perkhidmatan
Awam, sesuai dengan perkembangan dan kemajuan negara yang pesat pada masa kini.

Salinan Pelajar
14

Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006


Sumber: Jabatan Perdana Menteri

Selepas tujuh tahun perkeliling tersebut berkuatkuasa, kerajaan telah mengeluarkan


satu pekeliling baharu iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 yang bertajuk
Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam. Pekeliling
Perkhidmatan ini bertujuan untuk memberi panduan mengenai penggunaan Bahasa
Kebangsaan bagi urusan rasmi dalam Perkhidmatan Awam. Dalam usaha kerajaan
memartabatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor-sektor utama negara,
Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh
YB Menteri Pelajaran. Sebanyak enam sektor utama telah dikenal pasti termasuklah sektor
Perkhidmatan Awam.
Susulan daripada itu, Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor
Perkhidmatan Awam telah ditubuhkan dan berperanan dalam:
a) melaksana penggunaan Bahasa Kebangsaan Perkhidmatan Awam;
b) memantau penggunaan Bahasa Kebangsaan Perkhidmatan Awam;
c) merancang program kebahasaan bagi mencapai matlamat pelaksanaan Bahasa
Kebangsaan di Kementerian dan Agensi masing-masing;
d) melapor tahap pencapaian penggunaan Bahasa Kebangsaan kepada Jawatankuasa
Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan; dan
e) melapor permasalahan pelaksanaan Bahasa Kebangsaan kepada Jawatankuasa
Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan.

Komitmen kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa


kebangsaan dalam perkhidmatan awam seharusnya diluaskan ke sektor swasta. Hal ini
dikatakan demikian kerana, pelaksanaan Akta Bahasa Kebangsaan di sektor swasta tidak
serata kerana terdapat pelbagai badan penguatkuasaan yang mempunyai kuasa autonomi
sendiri dalam penggunaan bahasa selain bahasa Melayu. Selain itu, bahasa Melayu belum
dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan orang bukan
Melayu. Hal ini telah didedahkan oleh Profesor Dr Teo Kok Seong dalam Berita Harian
bertarikh 31 Disember 2015, yang mengatakan bahawa belia dan remaja Cina rata-rata

Salinan Pelajar
15

tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa
kebangsaan negara.
Hal yang sama turut berlaku dalam kalangan pemimpin politik bukan Melayu,
sehingga ada yang menuntut untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam perbahasan di
Parlimen, seperti yang dilaporkan dalam Berita Harian, 24 November 2015. Tindakan
tersebut bukanlah suatu perkara yang bijak, tetapi amat memalukan, kerana menolak
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, samalah seperti menolak status kewarganegaraan
sebagai rakyat Malaysia. Desakan-desakan sebegini harus diatasi segera, supaya matlamat
kita untuk membina negara bangsa Malaysia, yang beracuankan sendiri, tidak dirosakkan
oleh pemikiran cauvanis semata-mata.

Akta Pendidikan

Pendidikan merupakan wadah terpenting dalam membentuk rupa, wajah dan identiti
nasional, yang akhirnya akan melahirkan konsep satu bangsa, satu negara dan satu bahasa.
Di Malaysia, bahasa Melayu telah diangkat martabatnya menjadi bahasa pengantar dalam
sistem pendidikan negara, sejak awal kemerdekaan lagi. Pemilihan bahasa Melayu amat
bertepatan dalam memenuhi keperluan bernegara, khususnya bagi masyarakat berbilang
kaum.
Kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, turut diperakui oleh L.J
Barnes dalam laporan yang dikemukakan oleh beliau kepada kerajaan Inggeris pada tahun
1951. Sebagai sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk, Malaysia memerlukan
sebuah sistem pendidikan yang menyeluruh, serta berteraskan kepada Falsafah Pendidikan
Kebangsaan, yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
negara. Dalam konteks keharmonian, bahasa Melayu sudah diperakui sebagai bahasa
pemersatu, dan bahasa perpaduan yang dapat menjadi tali pengikat, antara kaum yang
pelbagai di Malaysia.
Dari sudut sejarah pembentukan dasar pendidikan kebangsaan, kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah diperakui dan diiktiraf oleh Penyata
Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan
1996. Dalam usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di sekolah, pada awal
tahun 1957, bahasa Melayu telah menjadi mata pelajaran wajib di sekolah rendah dan
menengah. Penawaran mata pelajaran bahasa Melayu, menjadi syarat utama bagi sesebuah
sekolah, untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan. Namun begitu, kedudukan bahasa
Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan masih jauh ketinggalan. Hal ini dikatakan
demikian kerana, bahasa Inggeris masih menjadi bahasa pengantar utama di sekolah rendah
Inggeris. Hanya, pada awal tahun 1970-an, bahasa Melayu mula mengambil fungsi sebagai
bahasa pengantar, bagi pelajar darjah 1 di semua sekolah kerajaan.
Menurut Ramlah Adam (2014), proses transisi pendidikan kebangsaan, hanya
selesai pada tahun 1975, apabila kesemua sekolah rendah aliran Inggeris, berjaya ditukar
menjadi sekolah rendah kebangsaan. Biarpun bahasa Melayu belum menjadi bahasa
pengantar sepenuhnya di sekolah rendah kebangsaan, namun usaha ke arah matlamat
tersebut, dapat dilihat melalui perancangan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Antaranya, bahasa Melayu mula menjadi bahasa pengantar di Tingkatan 1 pada tahun
1976, bahasa pengantar bagi Tingkatan 5 pada tahun 1979, bahasa pengantar jurusan

Salinan Pelajar
16

sastera bagi pelajar tahun 1 di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada tahun 1980
dan bahasa pengantar bagi pelajar Tingkatan 5 aliran sains pada tahun 1981. Perlaksanaan
sepenuhnya dasar pendidikan kebangsaan yang berteraskan Penyata Razak, hanya dapat
disempurnakan pada tahun 1982, apabila bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama
di semua peringkat persekolahan.
Perkembangan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, tidak terhenti di peringkat
sekolah, namun dilanjutkan sehingga ke peringkat universiti. Menurut Radzuan Ghazali
(2000), pada tahun 1970, atas semangat pendidikan bahasa kebangaan, kerajaan telah
menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor. UKM
merupakan teras perjuangan politik bangsa Melayu, dalam mendaulatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu di peringkat pendidikan tinggi. UKM sehingga ke hari ini, telah
membuktikan kejayaan dalam melahirkan para sarjana, pemikir, pentadbir, pakar
perubatan, ahli sains dan ramai lagi, hasil daripada pendidikan dalam bahasa Melayu.
Manakala bagi IPTA-IPTA lain, bahasa Melayu hanya mula digunakan pada tahun 1983,
sebagai bahasa pengantar bagi semua kursus yang ditawarkan.

Universiti Kebangsaan Malaysia


Sumber: http://www.ukm.my

Dalam konteks pembinaan bangsa berilmu, bahasa Melayu sebenarnya sudahpun


menjadi bahasa ilmu tinggi di Kepulauan Melayu. Menurut Hassan Ahmad (2007), sejak
dasar bahasa kebangsaan selepas merdeka dilaksanakan, khususnya mulai tahun 1970-an,
dianggarkan lebih kurang lima juta pelajar dari semua kaum telah terdidik dalam bahasa
kebangsaan. Beratus ribu pelajar berjaya mendapat pendidikan di peringkat tinggi dalam
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Beribu orang sarjana, professor,
professor madya dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu dan professional lahir dari sistem
kebangsaan. Sebelum 1957, tidak ada seorang pun anak Melayu dan juga anak kaum lain
yang menjadi sarjana, professor dan ahli sains melalui pendidikan dalam bahasa Melayu

Salinan Pelajar
17

sejak peringkat sekolah rendah. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu
berkemampuan menjadi bahasa ilmu sama ada di sekolah mahupun di peringkat universiti.

BAHASA MELAYU DALAM PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA

Kepentingan bahasa dalam pembentukan negara bangsa sememangnya tidak dapat


dinafikan. Hal ini telah dibuktikan melalui hasil dapatan kajian yang dijalankan di
beberapa buah negara, termasuk yang terkini di Kanada pada tahun 2012. Dalam laporan
Canadian on Citizenship: The First National Survey on What it means to be a citizen in
Canada (2012), bahasa dan budaya menjadi prasyarat terpenting untuk menjadi
warganegara yang baik, khususnya bagi sesebuah negara yang mempunyai etnik yang
pelbagai dan terpisah. Dalam konteks Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah
menyentuh tentang kepentingan bahasa Melayu dalam pembentukan bangsa Malaysia.
Dalam ucapan beliau di London pada 10 September 1995, Tun Dr Mahathir menegaskan
bahawa untuk menjadi bangsa Malaysia, seseorang itu harus mudah dikenali daripada
bahasanya. Hal ini sangat bertepatan dan bersesuaian dengan konsep bahasa jiwa bangsa
dan bahasa menunjukkan bangsa. Justeru, untuk melihat kejayaan bangsa Malaysia sama
seperti bangsa Perancis, Jepun, Korea dan Indonesia, maka aspek bahasa harus diberi
keutamaan dalam semua bidang. Kegagalan kita memahami kepentingan bahasa dalam
pembinaan negara bangsa, akhirnya telah melahirkan generasi kiasi terhadap bahasa
Melayu.

Tun Dr. Mahathir Mohamed


Sumber: A Doctor In The House : The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad (2010)

Usaha untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan, bukan bererti kita


memperjuangkan bahasa orang Melayu atau bermaksud mahu menukar bahasa ibunda

Salinan Pelajar
18

kaum-kaum lain yang ada di Malaysia. Namun, perjuangan ini berasaskan Perlembagaan
Malaysia Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 1996.
Justeru, bahasa Melayu yang kita perjuangkan ini, adalah milik semua rakyat Malaysia,
tanpa melihat warna kulit dan kaum. Jika ada yang kurang senang atau tidak bersedia untuk
mematuhi perkara ini, maka perlu dikaji semula status kewarganegaraannya, agar konsep
kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan yang kita semat di dada, tidak
dicemari oleh segelintir manusia yang gagal memahami konsep bernegara. Hal ini penting
kerana, kegagalan kita memahami hasrat pembentukan bangsa Malaysia, yang berteraskan
bahasa Melayu, akan membawa kita semua ke arah pemikiran sempit dan ekstrimis. Jika
perkara ini dibiarkan dan diterima, hasrat untuk membentuk bangsa Malaysia yang
‘beracuankan sendiri’, seperti yang dihasratkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed, akan
terkubur dan gagal bersama konsep 1Malaysia yang diperjuangkan kini.
Merenung masa depan bahasa Melayu di Malaysia, ibarat melihat bintang kecil di
langit tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana, di luar alam dunia Melayu, bahasa
Melayu mula diajar dan dipelajari. Di Jepun, pengajian Melayu yang ditawarkan di
Universiti Bahasa Asing Tokyo, mendapat permintaan yang cukup tinggi dalam kalangan
pelajar prasiswazah. Minat untuk menguasai bahasa Melayu, banyak dipengaruhi oleh
faktor kebudayaan Malaysia yang pelbagai dan unik. Manakala di Universiti Bahasa Asing
Korea Selatan, bahasa Melayu bukan sekadar diajar untuk tujuan komunikasi, tetapi turut
mencakupi pengajaran sistem tulisan jawi. Menurut Prof Dr Kang Kyoung Seok dari
Universiti Bahasa Asing Korea Selatan, dalam akhbar MStar bertarikh 21 Februari 2016,
generasi muda Korea Selatan dilihat amat berminat dengan tulisan jawi, bahasa dan
kebudayaan Melayu. Perubahan minat generasi muda di Korea Selatan terhadap tulisan
jawi, telah menarik minat beliau untuk membina papan kekunci khas tulisan jawi. Selain
itu, di Universiti Bahasa Asing Beijing, bahasa Melayu terus mendapat permintaan yang
tinggi dalam kalangan pelajar, sehingga menarik minat Radio Antarabangsa China (CRI)
mewujudkan siaran radio berbahasa Melayu di Beijing.

Prof Dr Kang Kyoung Seok dari Universiti Bahasa Asing Korea Selatan
Sumber: www.utusan.com.my

Salinan Pelajar
19

Dalam aspek urusan perdagangan di luar Malaysia, bahasa Melayu telah diterima
sebagai bahasa urus niaga yang cukup menguntungkan, khususnya di Selatan Thailand, Ho
Chi Minh, Jeddah, dan Madinah (Dilah Tuah, 2015). Sifat bahasa Melayu yang mudah
dipelajari, menjadi aspek utama pemilihan bahasa tersebut dalam urusan perniagaan,
terutama yang melibatkan para peniaga bukan warganegara seperti dari Bangladesh,
Pakistan, Nepal dan India. Hal ini secara tidak langsung, membuktikan kebenaran catatan
sejarah silam tentang bahasa Melayu yang dikatakan pernah menjadi bahasa terpenting
(lingua franca) di rantau Asia Tenggara. Sehubungan itu, dakwaan sesetengah pihak yang
mengatakan bahasa Melayu tiada nilai di luar dunia alam Melayu, dapat diibaratkan seperti
katak di bawah tempurung, yang hanya melihat kedudukan bahasanya, dalam ruang
lingkup bangsanya sahaja.

PENUTUP
Pada hari ini, kepentingan bahasa dalam membina jati diri bangsa, telah menjadi
asas kepada pembentukan negara bangsa di seluruh dunia. Indonesia misalnya, telah
meletakkan bahasa Indonesia sebagai asas pembentukkan negara bangsa seperti yang
dilafazkan dalam Sumpah Pemuda pada tahun 1928. Manakala kesungguhan Thailand
dalam menjaga bahasa Thai, telah menyebabkan berlakunya asimilasi bahasa dan budaya,
dalam kalangan warganya (Abdul Aziz bin Mahmood, 2010). Begitu juga di Britain,
Perdana Menteri David Cameron, pada Januari 2016, telah mengingatkan komuniti Islam
yang menetap di Britain, supaya mempelajari bahasa Inggeris atau bersedia untuk
meninggalkan negara tersebut. Amaran keras daripada negara yang lantang
memperjuangkan hak asasi manusia ini, secara jelas membuktikan bahawa bahasa
sememangnya berperanan penting dalam membina negara bangsa.
Sehubungan itu, wajar bagi kita menilai semula usaha yang telah kita lakukan,
dalam memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana, sepanjang enam
dekad yang lalu, telah banyak kerancuan berlaku dalam dasar bahasa, sehingga bahasa
Melayu kini, diremeh dan diperlekehkan oleh bangsanya sendiri. Kita juga seharusnya
peka, bahawa senario yang berlaku pada hari ini, bukanlah disebabkan oleh kelemahan
bahasa Melayu itu sendiri, tetapi banyak dipengaruhi oleh sikap masyarakat kita, yang
gagal memahami keperluan bangsa dan bernegara. Kegagalan ini, telah menyebabkan
berlakunya pertembungan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dalam beberapa
peristiwa, bahasa Melayu sering kali menjadi kambing hitam, kepada kegagalan dasar
pendidikan kita, khususnya dalam memandaikan rakyatnya untuk berbahasa Inggeris.
Walhal, kaedah pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri, yang wajar dikaji semula, agar
dapat memenuhi keperluan bangsa Malaysia, tanpa menjejaskan keperluan bahasa Melayu
sebagai asas bernegara.
Menurut Awang Sariyan (2010) dalam ‘Pemartabatan Bahasa Kebangsaan dalam
Membina Negara Bangsa’, ibu segala masalah yang dihadapi dalam perlaksanaan dasar
bahasa, yang berkaitan erat dengan proses pembinaan negara itu ialah ketidaktekalan sikap,
pendirian dan perlaksanaan, yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor tidak atau kurang
memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas pembangunan. Hal ini dikatakan
demikian kerana, umumnya pembangunanan itu lebih dipertalikan kebanyakan orang
dengan pembangunan fizikal, sehingga faktor bahasa dan budaya, dianggap tidak penting
dalam membina sesebuah negara. Kemalasan masyarakat kita dalam menelusuri sejarah

Salinan Pelajar
20

bangsa, telah menyebabkan bangsa kita lupa, bahawa Malaysia pernah suatu ketika dahulu,
dibangunkan oleh Bapa Pembangunan Malaysia iaitu Tun Abdul Razak, melalui gabungan
aspek fizikal, bahasa dan budaya. Daripada dasar-dasar Tun Abdul Razak, maka lahirnya
Dasar Bahasa Kebangsaan, Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang
pada hari ini masih wujud, tetapi gagal dihayati dan diperkukuhkan perlaksanaannya.
Usaha pemerkasaan bahasa Melayu kini, perlu dilaksanakan dengan bersungguh-
sungguh, serta menuntut keazaman politik untuk mengembalikan roh kemerdekaan bahasa
Melayu, sebagai bahasa kebangsaan. Menurut Md. Salleh Yaapar, dalam ‘Persidangan
Kebangsaan Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka’, pada 27 dan 28 November 2012,
di Universiti Sains Malaysia, hanya dengan tindakan, kuasa dan azam politik baharulah
segala halangan dapat dibuang dan bahasa Melayu boleh dikembalikan semula sebagai
bahasa ilmu, bahasa pentadbiran serta bahasa kesatuan. Hal ini dikatakan demikian kerana,
tanpa keazaman politik, dasar-dasar yang berkaitan dengan bahasa Melayu tidak mungkin
dapat dilaksanakan. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab dan amanah, kepada
pemimpin-pemimpin Melayu, yang berada di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, untuk
bersatu hati dan jiwa dalam mendaulatkan bahasa Melayu, sesuai dengan tugas dan
peranannya.
Selain itu, pimpinan politik di negara ini juga harus sedar, suatu masa dahulu,
bahasa Melayu pernah menjadi alat yang ampuh dalam memperjuangkan kemerdekaan
tanah air daripada pihak British. Tanpa bahasa Melayu, semangat patriotisme dan
nasionalisme yang ditiup melalui akhbar dan karya kreatif pada tahun 1930-an, sudah tentu
tidak akan dapat menyedarkan dan memajukan bangsa Melayu yang mundur pada ketika
itu. Justeru, sebagai warga merdeka, tidak kira pemimpin atau rakyat biasa, kita seharusnya
bijak dalam mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa, di samping
mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, sebagai satu keperluan untuk kita
berinteraksi dengan dunia luar.
Di samping itu, pada pandangan penulis, dalam tempoh setengah abad ini, bahasa
Melayu tidak seharusnya berjuang bermati-matian untuk menjadi bahasa yang dominan di
Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana, perjuangan tersebut telah kita perolehi sejak
tahun 1957. Malah, melalui kuasa perlembagaan yang sedia ada, bahasa Melayu telah
diperakui dan diiktiraf sebagai bahasa rasmi tunggal negara. Selain itu, tugas perancangan
dan pengembangan bahasa Melayu yang diamanahkan kepada DBP, juga dilaksanakan
dengan jayanya. Oleh itu, secara dasar dan perancangannya, bahasa Melayu boleh
berkembang maju di Malaysia, seiring dengan kemajuan bahasa Indonesia dan bahasa
Thai. Namun demikian, semua usaha ini tidak akan berhasil, sekiranya minda dan jiwa
bangsa yang memiliki bahasa ini, masih terjajah dan terbelenggu. Benarlah kata bijak
pandai, kemerdekaan itu bukan sekadar slogan dan laungan, tetapi harus disertai dengan
komitmen, khususnya untuk menjunjung asas bernegara iaitu bahasa kebangsaan.

Salinan Pelajar
21

BIBLIOGRAFI

A. Teeuw. 1959. Pokok dan Tokoh 1. Djakarta. P.T Pembangunan.

Ab Razak Ab Karim. 2014. Bahasa Melayu Bahasa ASEAN: Realiti atau Mimpi. UPSI &
Universiti Fatoni.

Ab. Rahman Ab. Rashid & Yap Kim Fatt. 2002. Bahasa Kebangsaan. Petaling Jaya.
Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Akmajian, A., Demers, R. A. Farmer, A. K. & Harnish, R. M. (1995). Linguistik:


Pengantar bahasa dan komunikasi. (terj.). Aishah Mahdi & Azizah Hussein.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. (2007). Teori Linguistik Dan Aplikasinya Dalam Memartabatkan
Kajian Dialek Melayu. Kertas Kerja Seminar Dialektologi Melayu (SEDIA).
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 27 Disember 2007.

Asmah Haji Omar. 2008. Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka

Awang Sariyan. 2006. Memartabatkan Bahasa Melayu. Utusan Malaysia, 5 Mac 2006.
Dimuat turun dari
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0305&pub=Utusan_Mala
ysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Awang Sariyan. 2010. Pemartabatan Bahasa Kebangsaandalam Pembinaan Negara


Bangsa. Syarahan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur
dan IPG . ngku Ampuan Afzan,Kuala Lipis, Pahang pada 25 Februari 2010.
Dimuat turun dari
https://www.academia.edu/16504276/PEMARTABATAN_BAHASA_KEBANG
SAAN_DALAM_PEMBINAAN_NEGARA_BANGSA_Prof._Dr_Awang_Sariy
an

Awang Sariyan. 2016. Perancangan Taraf Bahasa Melayu. Dimuat turun dari
http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=491

Bellwood, P.(2004) “The Origins and Dispersals of Agricultural Communities in


Southeast Asia” in P. Bellwood, I. Glover (eds) Southeast Asia: From Prehistory
to History, pp.21-40. London. Routledge.

Canadians on Citizenship The first national survey on what it means to be a citizen in


Canada. 2012. Environics Institute, in partnership with the Institute for Canadian
Citizenship, Maytree Foundation, CBC News and RBC. Dimuat turun dari
https://www.icc-icc.ca/en/insights/docs/Canadians%20on%20Citizenship%20-
%20Final%20Report%20-%20Mar%201.pdf

Salinan Pelajar
22

Dilah Bin Tuah (2015). Mengangkat Martabat Nilai Ekonomi Bahasa Melayu Di
Sarawak. Dewan Bahasa, April 2015. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.

François Valentijn (1858). François Valentijn's oud en nieuw Oost-Indien, Volume 3. H.


C. Susan.

Ghulam Jie M Khan. 1997. Buku Rekod Malaysia Edisi Khas 1. Ainna's Publication.
Negeri Sembilan.

Hassan Ahmad. 2007. Sikap dan Pendidikan Bahasa Melayu. Berita Harian 15 Ogos
2007. Dimuat turun dari http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp3ogos7.pdf

Illias Zaidi. 2011. Pasang surut bahasa Melayu. Pelita Bahasa 23(06): 8-12.

J.A Fishman. 1972. Sosiolinguistics, a brief introduction. Rowley. Massachusetts.


Newbury House Publishers.

Ku Hasnan Bin Ku Halim. 2012. Membugar Harapan Pemersatuan Atau Menanti Masa
Ditalkinkan Atas Nama Bernegara? Dimana Bahasa Melayu Dalam Pemupukan
Jati Diri Bangsa Setelah 55 Tahun Merdeka. Dimuat turun dari
http://eprints.uthm.edu.my/3843/1/Kertas_Bahasa_Melayu_dan_Jati_Diri_Bangsa
_3.pdf

Ku Hasnita Ku Samsu, Adlina Ab Halim & Mohd Hafiz Sulaiman. 2013. Keupayaan
Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa. International Journal of the Malay
World and Civilisation. Dimuat turun dari
http://journalarticle.ukm.my/6393/1/IMAN1_4.pdf

Léonard Y. Anday. 2001. Aceh's Contribution to Standards of Malayness .


Archipel Année 2001 Volume 61 Numéro 1 pp. 29-68. Dimuat turun dari
http://www.persee.fr/doc/arch_0044-8613_2001_num_61_1_3612

Md. Salleh Yaapar. 2012. Bahasa Melayu dalam Bidang Pentadbiran dan Pendidikan:
Sebuah Refleksi Berasaskan Sejarah dan Puisi. Persidangan Kebangsaan Bahasa
Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka’, pada 27 dan 28 November 2012, di
Universiti Sains Malaysia.

Md. Salleh Yaapar. 2014. Peri Nama, Identiti dan Asal Usul Melayu: Ke arah
Pencerahan yang Dinantikan. Seminar Asal-Usul Melayu 2014; Dari Perspektif
Sains, Sejarah & Arkeologi bertarikh 11-12 Ogos 2014. Universiti Sains
Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Dimuat turun dari
http://eseminar.dbp.gov.my/dokumen/wacanafikrah_okt.pdf

Nik Safiah Karim et.al. 2014. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur. Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Salinan Pelajar
23

Noresah Baharom. 2005. Antara Bahasa Malaysia dengan Bahasa Melayu. Berita
Harian, 15 Ogos 2005. Dimuat turun dari
http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klik2ogos5.pdf.

Sharifah Darmia Sharif Adam. 2010. Perjuangan Dan Cabaran Pelaksanaan Bahasa
Kebangsaan, 1957-1966. Dimuat turun dari
http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/22926/097_113.PDF

Teo Kok Seong. 2015. Kaum Cina wajib kuasai bahasa Melayu. Berita Harian, 31
Disember 2015. Dimuat turun dari http://www.bharian.com.my/node/109757

Wan Hashim. 2012. Rumpun Melayu: Teori Migrasi dan Diaspora. Bandar Baru Nilai.
Penerbit USIM.

Zafarina Zainuddin. 2015. DNA dan asal usul Melayu. Utusan Malaysia Online. Dimuat
turun dari http://www.utusan.com.my/rencana/dna-dan-asal-usul-melayu-
1.163353.

Zaitul Azma Zainon Hamzah (2013). Nilai Ekonomi Bahasa Melayu. Dewan Bahasa,
Februari 2013. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Salinan Pelajar
24

LATIHAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA

Bahagian A

1. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di semua negara berikut kecuali


A. Filipina
B. Indonesia
C. Malaysia
D. Singapura

2. Kedudukan bahasa Melayu di Malaysia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia


dalam Perkara
A. 150
B. 152
C. 162
D. 163

3. Perkataan Melayu iaitu ‘Maleu-Kolon’ pernah ditulis oleh Ptolemy (90-168 Masihi)
ahli geografi Mesir dalam karyanya yang berjudul
A. Almagest
B. Geographia
C. Klaudios Ptolemaios
D. Tetrabiblos

4. Teori yang mengatakan orang Melayu berasal dari Taiwan (Out of Taiwan)
dikemukakan oleh
A. Heine-Geldern
B. Md. Salleh Yaapar
C. Peter Bellwood
D. Wan Hashim

5. Berikut merupakan tugas Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor


Perkhidmatan Awam kecuali
A. melaksana penggunaan Bahasa Kebangsaan Perkhidmatan Awam
B. memantau penggunaan Bahasa Kebangsaan Perkhidmatan Awam
C. melapor permasalahan pelaksanaan Bahasa Kebangsaan kepada Jawatankuasa
Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan
D. melapor tahap kecekapan penggunaan Bahasa Kebangsaan kakitangan awam
kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan

Salinan Pelajar
25

Bahagian B

1. Senaraikan DUA (2) buah universiti luar negara yang menawarkan kursus pengajian
Melayu.

a) __________________________________________________________________

b) __________________________________________________________________

2. Senaraikan DUA (2) akta yang menegaskan pengunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar dalam sistem pendidikan negara.

a) __________________________________________________________________

b) __________________________________________________________________

Salinan Pelajar

You might also like