You are on page 1of 3

4.

0 Cabaran Penghayatan dan Amalan Nilai Murni

Ramai yang lebih suka menunding jari kepada murid setiap kali mereka terlibat dengan
gejala sosial yang memudaratkan masyarakat. Namun begitu, berapa ramaikah antara kita yang
bersedia untuk menilai kelemahan diri sendiri yang turut menjadi punca kepada keruntuhan moral
remaja dan kanak-kanak tersebut? Sama ada mahu diakui atau tidak, terdapat banyak elemen
yang menjadi cabaran kepada penghayatan nilai murni di sekolah. Antaranya ialah kegagalan
fungsi keluarga.

Kemampuan dan sikap negatif pada pelajaran di kalangan ibu bapa menjadi faktor
pertambahan kepada keadaan tatatertib yang tidak baik. Ini disebabkan kanak-kanak yang
datang daripada keluarga dan persekitaran yang miskin tidak mempunyai kawalan keluarga yang
teratur. Bagi segelintir keluarga yang mewah pula, mereka membantah keras langkah
kementerian mengetatkan disiplin murid dan ini sedikit sebanyak mendorong ke arah
kemerosotan disiplin murid (Utusan Malaysia, 1987)

Dalam beberapa keadaan, ada juga guru yang tidak mengambil peduli tentang tingkah
laku pelajar. Label guru pada golongan murid tertentu turut mempengaruhi layanan mereka
kepada murid-murid bermasalah. Cara guru yang sedemikian rupa memberi kesan negatif dan
melahirkan perasaan bahawa mereka tidak dilayan secara adil. Seterusnya, ia turut menimbulkan
kebencian murid kepada guru.

Di kebanyakan sekolah di Malaysia, murid-murid dibahagikan kepada kelas-kelas tertentu


mengikut pencapaian pada akhir tahun pengajian mereka. Psikologi mengatakan seseorang guru
apabila mengajar di kelas-kelas terbaik, mereka berasa lapang hati. Sementara guru yang
mengajar di kelas tercorot pula berasa bosan dengan gelagat murid yang kurang sopan dan
lemah dalam pelajaran. Keadaan ini menyebabkan hubungan yang kurang mesra antara guru
dan murid dan kurangnya rasa hormat terhadap guru itu sendiri.

Murid juga mendapat pendedahan keterlaluan daripada media cetak dan media elektronik.
Pada era siber ini, murid mudah mendapat pengaruh yang tidak sihat melalui internet, televisyen,
video dan lain-lain. Ketidakterbatasan pendedahan ini mempengaruhi tingkah laku murid itu
sehari hari. Golongan pelajar adalah golongan yang mudah terdedah dan mereka menurut apa
yang dilihat dan ditonton melalui media itu. Mereka cuba mempraktikkan seperti apa yang mereka
lihat.
Rakan sebaya mempunyai nila-nilai yang tersendiri. Rakan sebaya di sekolah
sememangnya dapat mempengaruhi disiplin murid. Sekiranya nilai-nilai rakan sebaya tidak
mementingkan ketekunan, tanggungjawab dan mematuhi peraturan, begitulah juga sikap murid
berkenaan. Cara berpakaian, hobi, aktiviti-aktiviti sosial dan jenis permainan turut membentuk
konsep diri murid. Walau bagaimanapun, jika kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat
nakal, maka murid tersebut pasti terpengaruh untuk menjalankan aktiviti tidak sihat.

Aspirasi, harapan dan nilai sesebuah masyarakat dapat mempengaruhi pembentukan


personaliti seseorang individu. Masyarakat kebendaan menegaskan betapa pentingnya
kekayaan dan harta benda. Nilai-nilai murni sudah tidak menjadi keutamaan. Dengan itu, kanak-
kanak membesar menjadi individu dan murid yang sanggup menipu dalam peperiksaan,
bergaduh, mencuri dan mencederakan guru. Hal ini juga selaras dengan pendapat Zainal Abidin
Ahmad (1993) bahawa masyarakat yang mengabaikan tanggungjawab sama ada secara sengaja
atau tidak, menyediakan suasana dan persekitaran dalam pembentukan sahsiah pelajar yang
tidak sihat. Keadaan ini menunjukkan dengan jelas bagaimana nilai masyarakat yang rendah
menghalang nilai murni dipraktikkan di sekolah.

Faktor agama adalah aspek terpenting dalam membentuk sahsiah manusia. Tanpa
pegangan agama yang kukuh, maka sukar untuk para remaja membentuk akhlak mulia dalam
diri mereka. Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya
(PMAPIUM) beranggapan punca sebenar kurangnya penghayatan nilai mora terutamanya dalam
kalangan pelajar Muslim adalah disebabkan kurangnya didikan agama yang dberikan kepada
mereka (Utusan Malaysia, 2000)

Selain itu, elemen yang mencabar penghayatan nilai murni di sekolah adalah dasar
pendidikan itu sendiri. Situasi pembelajaran hari ini yang lebih mementingkan peperiksaan
memberi ruang yang begitu sempit bagi penerapan nilai kemanusiaan. Para pelajar didesak untuk
menguasai akademik semaksimum mungkin tetapi seolah olah tidak terfikir tanpa imbangan
akhlak yang mulia, mereka pasti rosak. Kognitif yang tinggi tanpa iringan efektif yang terpuji hanya
menimbulkan krisis keruntuhan akhlak.

Selain itu, pihak sekolah yang kurang bekerjasama dengan agensi penguatkuasa turut
menyumbang kepada sukarnya menyuburkan amalan murni dalam kalangan murid di sekolah.
Seharusnya, langkah memperkenalkan kuasa polis tambahan atau ‘auxiliary police power’ (AP)
yang dahulunya hanya diperkenalkan di sekolah yang berisiko tinggi, perlu diperluaskan di semua
sekolah di seluruh negara. Melalui konsep ini, guru disiplin berhak menyoal siasat pelajar yang
disyaki tanpa memerlukan sebarang bukti. Jadi kerjasama erat dengan pihak polis dapat
dijalankan. Malangnya, langkah ini seolah-olah dipandang remeh oleh sesetengah pihak lantaran
kurangnya kesedaran dan rasa malu jika ianya akan memburukkan nama sekolah.

Bimbingan dan kaunseling adalah antara kaedah yang efektif untuk meningkatkan
penghayatan nilai-nilai murni di sekolah. Walau bagaimanapun, fungsinya yang kadangkala
menyimpang daripada tujuan sebenar penubuhannya di sekolah menyebabkan murid hilang rasa
percaya untuk berurusan dengan mereka yang terlibat dalam proses ini. Kadangkala, murid
berasa tidak selamat untuk berbincang mengenai isu moral yang mereka lakukan keranan
kaunselor tidak menepati janji atau etika mereka untuk tidak menceritakan perihal tersebut
kepada orang lain, terutamanya rakan sebaya. Apabila hal ini berlaku, pihak sekolah akan
mengalami kesukaran untuk menangani masalah yang sedia ada di samping membentuk nilai-
nilai yang murni dalam kalangan murid.

Selain itu, faktor diri sendiri juga menyumbang kepada kurangnya penghayatan nilai murni
di sekolah. Murid sekolah akan mengalami satu fasa perubahan ke alam remaja. Ini kadangkala
akan menyebabkan mereka dilabelkan sebagai ‘moodiness’. Sekiranya mereka gagal menangani
gangguan emosi yang melanda, maka ia membawa kepada masalah lain seperti delinkuensi.
Menurut penterjemah buku Psikologi Pendidikan iaitu Noran Fauziah, Yaakub (1991), sebab
utama berlakunya delinkuensi ialah kekecewaan. Sikap dalam diri sperti cemburu, dengki, khianat
dan dendam menjadi faktor kepada masalah yang mereka lakukan. Mereka tidak dapat
mengawal emosi dan kematangan fikiran lantas mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri
dengan masalah-masalah sosial.

Murid-murid yang dididik pada hari ini merupakan penyambung warisan negara. Mereka
inilah yang akan mencorakkan generasi depan. Jika permasalah sosial tidak ditangani dari
peringkat akar, sudah pasti ianya adalah kurang efektif untuk membanterasnya apabila ia
berkembang menjadi masalah sosial di peringkat tempatan dan seterusnya terus menular ke
peringkat global. Mencegah sememangnya lebih berkesan daripada mengubati kerana masalah
yang timbul adalah lebih minima. Remaja pada hari ini juga berhadapan dengan dugaan yang
lebih hebat akibat daripada proses modenisasi dan globalisasi yang tidak bersempadan. Oleh itu,
keluarga, sekolah, komuniti, pemimpin, kerajaan dan badan-badan berwajib perlulah sentiasa
berganding bahu dalam menjalankan usaha yang lebih agresif untuk membentuk sahsiah pelajar
daripada terjerumus ke kancah sosial yang boleh memusnahkan masa depan negara.

You might also like