You are on page 1of 4

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL

Kepimpinan instruksional didefinisikan sebagai satu proses mereka bentuk dan menterjemahkan wawasan ke
dalam kurikulum formal dengan cara mengoptimumkan segala sumber yang ada melalui strategi pendidikan.
Dalam konteks sekolah, kepimpinan ini didefinisikan sebagai kebolehan pemimpin memberi tumpuan
kepimpinan, galakan, sokongan kepada guru dan pelajar dengan tujuan mengatasi masalah dan memperbaiki
serta mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah (Leithwood et al., 2005; Hallinger et al., 2005;
Jo et al., 2010). Menurut Blasé (2004); Glickman (2002) dan Hill (2002), kepimpinan pengajaran adalah
gabungan penyeliaan, pembangunan staf dan perkembangan kurikulum. Hussein (2008) pula mendefinisikan
kepimpinan ini sebagai usaha yang diambil oleh pemimpin sekolah untuk menyediakan inovasi kurikulum dan
untuk memperkembangkan proses pengajaran dan pembelajaran dengan tujuan menyatakan matlamat sekolah.
Dengan erti lain, kepimpinan pengajaran adalah menfokuskan kepada pemimpin sekolah yang mengambil
peduli (cakna) terhadap pengajaran guru dan pembelajaran pelajar serta perkembangannya dan sentiasa
membina suasana pembelajaran di sekolahnya.

Menurut Hallinger & Murphy (1985), terdapat 10 perlakuan kepimpinan pengajaran yang harus dipamerkan
oleh pengetua atau guru besar dalam sekolah. Perlakuan-perlakuan pemimpin instruksional adalah seperti yang
berikut:

i. Pemimpin perlu merangka dan merealisasikan matlamat yang dirancang bersama dengan warga sekolah dan
berperanan menetapkan matlamat tahunan sekolah secara fokus dan memastikan matlamat tersebut berasaskan
kepada tanggungjawab dan kebolehan warga sekolah yang akan melaksanakannya.

ii. Pemimpin instruksional memberi penjelasan matlamat sekolah kepada semua warga sekolah, ibu bapa dan
masyarakat supaya mereka memahami dengan jelas tentang matlamat yang hendak dicapai oleh sekolah dan
memberi kerjasama dan komitmen ke arah pencapaian matlamat tersebut.

iii. Pemimpin instruksional menyelia dan menilai proses pengajaran di sekolahnya dengan tujuan untuk
memastikan keutamaan guru di dalam bilik darjah adalah berkualiti dan selari dengan matlamat yang telah
ditetapkan. Pemeriksaan hasil kerja pelajar dan pemantauan guru di bilik darjah adalah di antara kaedah yang
dilaksanakan oleh pemimpin dalam proses untuk menilai proses pengajaran dan pembelajaran.

iv. Pemimpin instruksional juga bertanggungjawab untuk mengurus pelaksanaan kurikulum dengan berkesan.
Mereka memaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab pada pelaksanaan kurikulum dan
membuat keputusan bersama membuat polisi dan arahan mengenai kurikulum adalah amat dititikberatkan.

v. Pemimpin instruksional memantau pembelajaran para pelajar dengan kerap dan secara berterusan. Antara
kaedah yang dilaksanakan adalah berjumpa guru-guru secara individubagi membincangkan mengenai kemajuan
akademik pelajar dan menilai keputusan peperiksaan bagi menilai kemajuan proses matlamat sekolah.

vi. Pemimpin instruksional amat bertanggungjawab mengurus masa aktiviti pembelajaran di sekolah, mengawal
waktu pembelajaran, mereka sentiasa memastikan pelajar tidak diganggu semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran dan para guru menggunakan masa pengajaran dan pembelajaran secara berkualiti dan berkesan.

vii. Pemimpin instruksional mempamerkan perlakuan keterlibatan secara bersama dengan guru dan pelajar di
kawasan sekolah dalam menjayakan aktiviti dan program kurikulum seperti memberi galakan , tunjuk ajar dan
berbincang dengan guru-guru dan pelajar-pelajar.
viii. Pemimpin instruksional sentiasa memberi galakan, pujian, insentif kepada guru-guru yang menunjukkan
komitmen dan tanggungjawab yang berkesan dalam kemajuan sekolah. Sebagai contoh yang baik, pengetua
atau gurubesar memberikan hadiah atau penghargaan kepada guru-guru yang cemerlang semasa perhimpunan
sekolah ataupun pada majlis-majlis khas seperti pada Hari Guru dan sebagainya.

ix. Pemimpin instruksional selalu memberi perhatian kepada perkembangan dan peningkatan profesional dalam
kalangan guru-guru dan kakitangan sekolah. Mereka memberi peluang kepada guru-guru untuk
memperkembangkan kerjaya mereka dan memastikan kegiatan kursus dalam perkhidmatan dilaksanakan
dengan jayanya di sekolah sejajar dengan matlamat akademik sekolah.

x. Pemimpin sering memberi galakan dan dorongan kepada pelajar supaya mencapai kemajuan dan
kecemerlangan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Di antara perlakuan yang ditunjukkan adalah
memberi hadiah, memuji pelajar semasa perhimpunan sekolah di atas pencapaian cemerlang mereka dalam
setiap bidang yang diceburi.

Konsep baharu yang dicadangkan oleh Hill (2002) tentang kepimpinan instruksional adalah lebih luas di mana
ia tidak hanya terbatas kepada kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran sahaja. Hill (2002)
menyatakan tiga peranan utama pemimpin instruksional adalah memimpin dan mengurus perubahan,
memotivasikan dan mengurus manusia, dan mereka bentuk dan menguruskan sistem, proses dan sumber.
Menurut Hill (2002), pemimpin instruksional perlu bijak untuk berinteraksi dengan semua elemen-elemen
sekolah untuk mencapai tahap pencapaian pelajar yang lebih tinggi. Pengetua memainkan peranan yang penting
sebagai pemimpin instruksional di sekolah. Dengan memberikan keutamaan kepada bidang akademik dalam
tugas hariannya, diharapkan sekolah boleh melaksanakan fungsi utama sebagai institusi pembelajaran.

Dimensi Menentukan Arah

Pemimpin transformasi yang berjaya dan berprestasi tinggi mestilah bijak menentukan visi, matlamat dan hala
tuju organisasinya. Leithwood et al., (2005) menyatakan bahawa pemimpin yang berjaya perlu memastikan
warga sekolah berkongsi, memahami visi tersebut dengan jelas dan berusaha untuk memastikan setiap tindakan
mereka adalah selari ke arah pencapaian visi tersebut dan kenyataan ini di sokong oleh Slocum & Hellriegel
(2007); Zulkifli ( 2008) dan Fullan (2007). Antara tindakan pemimpin dalam usaha itu adalah seperti
memaparkan visi dan misi sekolah di tempat yang strategik dan dapat dilihat oleh semua warga sekolah,
sentiasa mengingatkan warga sekolah tentang visi dan misi semasa setiap perjumpaan atau perhimpunan
sekolah dan menjadikan ‘bercakap dan bertindak mengikut visi dan misi’ sebagai satu budaya sekolah.
Pemimpin juga perlu bijak membentuk strategi kepada peningkatan sekolah dan membentuk jangkaan prestasi
yang tinggi. Menurut Craig & Charles (2005), pengetua sekolah yang cemerlang menentukan matlamat
pencapaian yang jelas dan mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap pencapaian pelajarnya

Dimensi Membangunkan Manusia

Pemimpin yang berkesan dan berjaya mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk membangunkan
subordinatnya melalui pelbagai kaedah seperti menganjurkan dan membudayakan program-progam bagi
pembangunan professional staf. Pemimpin juga berupaya merangsang intelek orang-orang bawahannya,
menawarkan sokongan secara individu (Leithwood et al., 2005). Guru-guru yang cemerlang diberikan
penghargaan dan guru-guru yang menghadapi masalah pula diberi bimbingan, tunjuk ajar dan nasihat untuk
menangani masalah yang dihadapi. Menurut Leithwood et al., (2005); Hallinger (1998) dan Harris (2003),
pemimpin transformasi adalah pemimpin yang bersikap proaktif dan sentiasa menunjukkan teladan yang baik
kepada subordinatnya, terhadap nilai penting dan amalan yang positif, bukan sahaja dalam melaksanakan tugas
di sekolah tetapi dalam menjalani kehidupan seharian. Pemimpin ini juga sentiasa mempunyai sikap saling
percaya dan mempercayai dalam kalangan warga sekolah. Mereka sentiasa kelihatan (keterlibatan) di sekolah
atau menghadiri aktiviti dan program yang dianjurkan di sekolah, agar apa yang dilakukan itu menjadi contoh
kepada warga sekolah yang lain supaya sentiasa memberi komitmen dalam apa jua keadaan dan situasi yang
dihadapi.

Dimensi Menstruktur Organisasi

Pemimpin berupaya membina sebuah budaya sekolah yang kreatif, membentuk budaya kolaboratif atau
kerjasama dan membuat keputusan bersama. Menurut Leithwood et al., (2005); Gurr et al., (2003) dan Mulford
et al., (2004), pemimpin yang cemerlang sentiasa menggalakkan warga di dalam organisasinya mengambil
bahagian dalam membuat keputusan dan bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu tugas atau program di
sekolah. Pemimpin ini juga sentiasa membentuk hubungan yang positif dengan ibu bapa dan komuniti luar dan
di samping itu, mereka berusaha untuk mewujudkan jaringan dengan sekolah-sekolah lain dan institusi
pengajian tinggi (Leithwood et al., 2005). Pengetua sekolah yang berjaya dan cemerlang sentiasa mencari jalan
untuk mewujudkan hubungan dengan sekolah dan IPT bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara,
organisasi kerajaan atau swasta yang dapat memberi manfaat kepada kecemerlangan sekolahnya dalam berbagai
bidang. Menurut Leithwood et al., (2005) dan Jo et al., (2010), pemimpin transformasi sentiasa memastikan
persekitaran di sekolah selamat dan terkawal untuk semua warga sekolah melaksanakan program atau aktiviti
pembelajaran dan pengajaran atau apa juga aktiviti sama ada berkaitan kurikulum mahupun kokurikulum.

Dimensi Menguruskan Proses atau Program Instruksional

Menurut model Kepimpinan transformasi yang dicadangkan oleh Leithwood et al., (2005), dimensi keempat ini
menyatakan pemimpin transformasi perlu memainkan peranan dalam memperkenalkan bentuk pengajaran yang
produktif dan berkualiti kepada warga sekolah, khasnya guru-guru agar dapat dimanfaatkan di
dalam bilik darjah dalam usaha untuk mempertingkatkan kecemerlangan akademik pelajar. Menurut Hallinger
& Heck (2003), salah satu faktor penting yang mempengaruhi kecemerlangan sekolah adalah wujudnya proses
instruksional yang berkualiti dan efektif di sekolah tersebut. Pengetua sekolah yang cemerlang memberi fokus
kepada proses instruksional, mengurus kurikulum, memantau dan membuat penilaian terhadap pengajaran guru-
guru, memberi insentif dan ganjaran kepada guru-guru dan pelajar serta sentiasa memberi sokongan terhadap
pembelajaran pelajar (Leithwood et al., 2005). Pemimpin sekolah sentiasa menitikberatkan program
instruksional dan sentiasa menjaga kualiti dan efektifnya program dan proses instruksional di sekolah kerana
mereka percaya bahawa program instruksional yang efektif dan berkualiti akan menyumbang kepada kejayaan
sekolah. Mereka juga sentiasa membentuk kesatuan atau hubungan yang baik dengan semua pihak sama ada di
dalam ataupun di luar sekolah untuk mendapat peluang dan tips dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan
keberkesanan proses instruksional di sekolah.

Kepimpinan transformasi mempunyai hubungan positif dengan pencapaian organisasi termasuklah prestasi
pekerja, kepuasan kerja, motivasi kerja, komitmen organisasi, pemberian kuasa, kreatif dan inovatif (Joo et. al.,
2012). Sebagai contoh kajian oleh Masi dan Cooke (2000) dan Chaudhry et al. (2012) yang menjelaskan
bahawa kemampuan pemimpin untuk membangunkan sepenuhnya kebolehan pekerja dapat meningkatkan
motivasi kerja mereka dan seterusnya menyumbang kepada produktiviti organisasi. Dalam situasi ini, pemimpin
dilihat sebagai seorang yang berusaha untuk meningkatkan kesedaran pengikutnya supaya melaksanakan kerja
bukan untuk kepentingan organisasi tetapi untuk pembangunan kendiri dan kerjaya (Hellriegel et, al., 2004).
Dalam pada masa yang sama, pekerja juga merasakan pemimpin harus mengubah cara pemikiran pengikut
dengan memberi ransangan positif untuk mereka lebih komited di dalam organisasi.
Menurut Bass dan Riggio (2006) seorang ketua boleh memotivasikan pengikutnya dengan cara berkongsi
matlamat organisasi dan meransang pemikiran mereka untuk menjadi seorang yang lebih kreatif dalam
penyelesaian masalah di organisasi. Oleh yang demikian, pemimpin haruslah memberikan perhatian yang
mencukupi kepada pengikutnya supaya mereka berasa dihargai dan seterusnya memotivasikan diri untuk
bekerja (Polychroniou, 2009). Ini kerana, penghargaan tersebut menjadikan pengikutnya merasa kagum, setia,
hormat dan percaya terhadap kewibawaan pemimpin dan akhirnya membantu kepada peningkatan motivasi dan
kecemerlangan prestasi pekerja (Charbonneau, 2004). Sehubungan dengan situasi ini, kajian ini dijalankan
untuk mengenalpasti bagaimana kepimpinan transformasi boleh mempengaruhi motivasi dalam kalangan
pekerja di sebuah kerajaan tempatan di Johor.

You might also like