You are on page 1of 3

Segala sesuatu akan ada akhirnya, setiap kisah ada penutupnya.

Manusia datang,
kemudian mereka pergi. Awalnya mereka mengucapkan salam pertemuan, lalu
kemudian mereka berlalu dengan perpisahan. Hal ini berlaku semasa Rasulluallah
SAW mengerjakan Hajjatul wada ataupun Haji perpisahan.

Sesungguhnya, ibadah yang bakal dilaksanakan ini merupakan yang pertama dan
terakhir sebelum kewafatan baginda. Justeru, Hajjatul Wada adalah satu-satunya
contoh untuk kita mengetahui sejarah haji Rasulullah dan kaifiat mengerjakannya.

Perjalanan haji Rasulullah SAW bersama isteri-isteri dan sahabat baginda bermula
pada 25 Zulkaedah; iaitu pada enam hari terakhir bulan tersebut. Rombongan
seramai kira-kira 120,000 orang ini bermalam di Zul Hulaifah sebelum berihram haji
pada keesokan harinya.

Menurut pendapat yang rajih, Rasulullah berihram secara Qiran sebagaimana yang
diceritakan oleh Anas ibn Malik r.a.: selepas itu Baginda SAW pun berihram dengan
haji dan umrah. (riwayat Bukhari). Kemudian, dengan laungan talbiah dan alunan
zikir yang bergema penuh semangat, mereka bergerak menuju Mekah.

Setelah menempuh pelbagai situasi, pada 3 Zulhijjah rombongan tiba di Zu Tuwa;


sebuah perkampungan di pinggir kota Mekah seterusnya bermalam di situ.

Setelah siang iaitu pada 4 Zulhijjah, Rasulullah mandi membersihkan diri kemudian
bergerak memasuki Kota Makkah melalui Kada’ di wilayah al-Batha’. Apabila tiba di
Masjidil Haram, Rasulullah SAW mengetuai umatnya menuju ke Baitullah dan
berittiba’. Setelah istilam dan mengucup Hajarul Aswad, baginda SAW terus
mengerjakan tawaf Qudum sebanyak tujuh pusingan, di mana Ramal dilakukan
pada tiga pusingan yang pertama.

Selesai tawaf, Rasulullah menunaikan solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim
dan apabila selesai, baginda sekali lagi mengucup Hajarul Aswad.

Seterusnya Baginda menuju ke al-Mas’a untuk mengerjakan saie haji antara Bukit
Safa dan Marwah. Setelah mengerjakan saie, Rasulullah memerintahkan para
sahabat yang berihram secara Ifrad atau Qiran tetapi tidak membawa al-Hadyu
(binatang sembelihan) agar menukar niat ihram mereka kepada ihram umrah dan
seterusnya bercukur atau bergunting bagi menghasilkan tahallul.

Jabir r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda di Marwah: Barang siapa di
antara kamu yang tiada membawa al-Hadyu, maka hendaklah ia bertahallul umrah.
(riwayat Muslim)

Setelah selesai urusan yang berkenaan, Rasulullah kekal berada di Mekah sehingga
8 Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, baginda berterusan memberi tunjuk ajar kepada
para sahabat.
Pada waktu zuhur hari Tarwiyah bersamaan Khamis, 8 Zulhijjah, iaitu ketika berada
di Abtah, Rasulullah mengingatkan jemaah Tamattuk agar berihram haji. Kemudian,
mereka bergerak ke Mina sambil bertalbiyah, seterusnya bermalam di situ. Semasa
di Mina, mereka mengerjakan solat fardu secara qasar tanpa jamak.

Keesokan harinya (Hari Arafah/9 Zulhijjah), pada waktu dhuha, Rasulullah dan
rombongan berangkat ke Arafah dan baginda berkhemah di Namirah. Apabila
hampir waktu zuhur, Rasulullah menaiki untanya al-Qaswa’ menuju ke Wadi ‘Uranah
untuk menyampaikan khutbah Arafah.

Selepas itu, baginda mengimami solat zuhur dan asar secara jamak taqdim dan
qasar, dengan satu azan dan dua iqamat. Selesai solat, Rasulullah pergi ke kaki
bukit Jabal Rahmah dan berwuquf di al-Sakhrah sehingga terbenam matahari.

Setelah terbenam matahari, Rasulullah berangkat dengan penuh ketenangan ke


Muzdalifah dengan menaiki untanya. Usamah ibn Zaid r.a. meriwayatkan: Rasulullah
SAW bergerak dengan perlahan. Sekiranya didapati ada kelapangan di hadapan,
barulah baginda mempercepatkan pergerakan untanya. (riwayat Bukahri)

Apabila tiba di Muzdalifah, Rasulullah menunaikan solat maghrib dan isyak secara
jamak ta’khir dan qasar. Sebelum mabit, baginda mengizinkan golongan tua yang
uzur, wanita dan kanak-kanak agar meneruskan perjalanan ke Mina selepas tengah
malam.

Apabila fajar menyingsing, Rasulullah bangun menunaikan solat subuh seterusnya


berdoa sehingga hari cerah dan mengutip tujuh biji anak batu. Kemudian, dengan
gema laungan talbiyah, baginda menuju ke al-Jamratul Kubra di Mina lalu
melakukan lontaran seraya bertakbir pada waktu dhuha.

Selesai melontar pada hari Nahar, 10 Zulhijjah ini, baginda menyembelih al-Hadyu
sebanyak 63 ekor Badanah seterusnya bercukur untuk Tahallul Awwal, dan
menghadiahkan rambut-rambutnya kepada sahabat sebagai kenangan. Selesai
bercukur, Rasulullah membersihkan diri dan memakai wangian kasturi lalu baginda
bergerak menuju Mekah.

Apabila tiba di Masjidil Haram, Rasulullah mengerjakan tawaf Ifadhah bertujuan


menghasilkan Tahallul Thani. Selesai tawaf dan solat di belakang Makam Ibrahim,
baginda minum air zamzam dan berehat seketika sehingga masuk waktu zuhur.
Setelah solat, Rasulullah kembali ke Mina bagi tujuan mabit pada malam hari-hari
Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Pada siang harinya pula, Rasulullah mengisi waktu-waktu Baginda dengan


berkhutbah dan menyelesaikan permasalahan umatnya berkaitan ibadat haji.
Apabila matahari tergelincir, Rasulullah SAW pergi melontar di Jamarat, iaitu al-
Sughra, al-Wusta dan al-Kubra, serta berdoa setiap kali sempurna lontaran di dua
jamrah yang pertama seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn Umar r.a.
Jabir r.a. pula meriwayatkan: Rasulullah SAW melontar al-Jamratul Kubra pada hari
Nahar ketika waktu dhuha, manakala lontaran yang seterusnya (di Jamarat pada
hari-hari Tasyriq) ialah selepas matahari tergelincir. (riwayat Muslim)

Sepanjang baginda SAW berada di Mina, Rasulullah mengerjakan solat-solat fardu


secara qasar sahaja.

Setelah menyempurnakan lontaran pada 13 Zulhijjah, Rasulullah menuju ke al-


Muhassab dan bermalam di situ. Pada 14 Zulhijjah, baginda bangun sebelum subuh
lalu menyucikan diri. Selepas itu, baginda menunggang untanya menuju ke Masjidil
Haram untuk mengerjakan tawaf Wada’ ketika hari masih gelap.

Selesai tawaf, Rasulullah segera meninggalkan Mekah melalui al-Thaniyyah al-Sufla


dan pulang ke Madinah. Setibanya di Kuday, Rasulullah bertemu dengan isterinya
Aisyah r.a. yang baru selesai mengerjakan umrah dari Tan’im.

Rasulullah meneruskan perjalanan sehingga tiba di Zul Hulaifah lalu bermalam di


situ. Keesokan paginya, baginda bergerak menuju ke Madinah melalui jalan
Mu’arras. Akhirnya, dengan lafaz takbir, tahlil dan doa, Rasulullah dan rombongan
baginda selamat sampai ke Kota Madinah.

Begitulah secara ringkasnya sirah haji yang mampu dipaparkan dalam ruangan ini.
Semoga ia menjadi panduan buat bakal jemaah haji dan pembaca sekelian. Wallahu
Alam.

You might also like