You are on page 1of 9

Kesan penggunaan lama sosial kepada masyarakat?

Laman sosial menjadi kegilaan masyarakat kita. Nyatakan kesan penggunaan laman sosial ini kepada
masyarakat kita.

Laman sosial merujuk perisian komputer yang memudahkan interaksi sesama manusia di dunia global
ini. Antara contoh laman sosial yang terkenal ini meliputi Facebook, Twitter, dan juga MySpace.
Generasi muda melihat laman sosial ini sebagai sumber informasi utama mereka berbanding media
massa jenis biasa seperti televisyen dan radio itu. Sebenarnya, penggunaan laman sebegini
mempunyai banyak impak yang harus diberi perhatian oleh semua pihak itu.

Implikasi negatif yang ketara ialah penggunaan laman sosial tanpa kawalan akan membuang masa
seseorang individu tersebut sahaja. Ada ahli masyarakat kita terutamanya remaja yang begitu asyik
dengan teknologi ini lalu menghabiskan masa yang berjam-jam untuk melayan semua bahan yang ada
di laman tersebut. Situasi ini apabila tidak dikekang dengan efektif boleh menyebabkan seseorang itu
membazirkan masa di pejabat dan juga di sekolah secara sia-sia. Maka, laman sosial bolehlah
dikatakan sebagai punca masyarakat kita membazirkan masa tanpa melakukan sesuatu yang
berfaedah itu.

Selain itu, keburukan laman ini juga dikaitkan dengan amalan pendedahan hal peribadi seseorang
tersebut. Banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan orang lain telah mendedahkan pelbagai
kelemahan individu yang dibenci itu dengan tujuan untuk memalukan mereka. Tindakan negatif
sebegini telah menjadi satu kebiasaan dan membawa kes jenayah apabila mangsa yang dimalukan itu
membuat laporan polis pula. Lantaran itu, ada pihak yang mahu supaya laman sosial dikawal dengan
lebih ketat supaya amalan mendedahkan hal peribadi tidak menjadi kebiasaan pula.

Tambahan pula, ada pengguna laman sosial ini mencetuskan isu sensitif yang berupaya menjejaskan
keharmonian dan kesejahteraan kehidupan masyarakat majmuk. Sudah banyak tulisan berunsur
perkauman dan mengkritik dasar kerajaan yang disiarkan menerusi laman sosial ini lalu menimbulkan
kemarahan pihak berkuasa. Kehidupan masyarakat kita yang berbilang kaum begitu mudah terganggu
dek kritikan yang berunsur perkauman itu lalu membawa pergaduhan besar pula. Sesungguhnya,
laman sosial ini boleh mencetuskan sesuatu isu sensitif itu sehingga sukar dikawal dan membawa
kemusnahan yang besar

Namun, kajian juga membuktikan bahawa laman sosial ini memiliki impak positif seperti menjadi
persada masyarakat meluahkan perasaan mereka itu. Kehidupan zaman moden ini banyak tekanan
seperti tekanan kehidupan kebendaan dan tekanan untuk berjaya di sekolah yang menjejaskan
kesihatan perasaan individu tersebut. Kewujudan laman sebegini memudahkan masyarakat untuk
menulis tentang keresahan jiwa mereka lalu mengubati kemurungan tersebut. Jadi, masyarakat boleh
mendapat ketenangan jiwa apabila meluahkan perasaan mereka menerusi penulisan di laman sosial
tersebut.

Malah, masyarakat yang sering melayari laman sosial akan memiliki kenalan yang banyak tanpa
disedari oleh mereka itu. Laman sosial menerima pendaftaran semua ahli masyarakat di dunia ini tanpa
ada sebarang sekatan yang menyebabkan sesiapa sahaja boleh menghubungi mana-mana pihak yang
mereka kehendaki itu. Situasi inilah yang menyebabkan pengguna laman tersebut memiliki beribu-ribu
sahabat dengan satu sentuhan jari sahaja. Ringkasnya, laman sosial boleh digunakan sebagai alat
untuk memperoleh lebih banyak kenalan di dunia ini.
Kesimpulannya, semua implikasi yang dibentangkan tadi membuktikan laman sosial memiliki kesan
positif dan negatif. Semua pihak terutamanya ibu bapa perlulah mengubah persepsi mereka terhadap
penggunaan laman sosial kerana sekali air bah sekali pantai berubah yang membuktikan perubahan
itu akan berlaku mengikut zaman. Remaja pula hendaklah bijak menilai penggunaan laman sosial ini
supaya mereka tidak menggunakannya dengan cara yang tidak baik itu. Sudah sampai masanya
semua pihak merenung dan memahami bahawa laman sosial akan terus wujud dan digunakan oleh
masyarakat sejagat.

Pentingkah Internet dalam kehidupan kita


Internet mampu menyebarkan maklumat dengan meluas dan murah. Namun, menyebar luaskan
maklumat melalui internet boleh menjadi ancaman kepada adat, norma, dan nilai masyarakat sesebuah
negara. Ulaskan pernyataan di atas.

Internet merupakan satu penemuan teknologi yang mula mendapat tempat di kalangan manusia kini.
Malah penggunaan internet sudah dianggap sebagai satu perkara lumrah kehidupan. Mereka yang
tidak tahu menggunakan internet dianggap sudah ketinggalan dalam zaman yang penuh cabaran ini.
Penggunaan internet telah menyebabkan penyebaran maklumat menjadi lebih meluas dan murah
sehingga memberi pelbagai kesan kepada kehidupan manusia.

Penyebaran maklumat secara meluas dan murah telah memberi satu identiti kepada internet iaitu
sebagai penyebar berita palsu atau khabar angin. Penggunaan internet dalam soal ini amat ketara
terutama oleh golongan yang mahu melihat kemusnahan sesebuah negara. Penyebaran khabar angin
amat berkesan melalui internet kerana penggunaannya yang meluas dan mudah terutama di kalangan
remaja. Internet juga tidak mempunyai sistem penapisan yang ketara atau berkesan seperti media
massa yang lain.

Masyarakat juga sudah taksub dengan penggunaan internet dengan tidak lagi mengamalkan aktiviti
kunjung mengunjungi satu sama lain terutama antara jiran atau sahabat. Hubungan “siber” (cyber)
lebih meluas sekarang terutama dengan adanya program dalam internet yang memudahkan seseorang
itu berbual dengan orang lain tanpa perlu bersemuka dengannya. Interaksi antara jiran bukan sahaja
terhapus malah hubungan ini boleh menyebabkan berlakunya penipuan dan perkara yang kurang baik
kerana ketiadaan pengenalan diri yang jelas.

Malah yang mengejutkan sekarang ialah sudah wujud budaya mengirim kad melalui internet dan bukan
melalui kad yang dipenuhi dengan tulisan tangan seseorang. Budaya menulis dan menghantar kad
akan semakin hilang ditelan zaman dan diambil oleh kad elektronik yang lebih canggih dan mengikut
peredaran masa. Kemungkinan hilangnya budaya menghantar kad ketika menyambut hari lembaran
tidak dapat dinafikan lagi. Internet merupakan tempat tumpuan manusia mendapatkan bahan yang
berunsur lucah. Penggunaan internet dalam aspek ini amat memalukan dan memang bertentangan
dengan budaya manusia sejagat. Cuma yang menyedihkan ialah semakin ramai golongan remaja
malah kanak-kanak yang melihat bahan lucah ini atau terlibat sama dalam penyebarannya.
Penggunaan internet bukan sahaja setakat menyebarkan bahan lucah tetapi penggunaan imej digital
internet turut meningkatkan gejala ini dengan menggunakan muka orang lain dan badan orang yang
lain pula.
Kerajaan mengawal pembacaan beberapa buah buku dan majalah serta berita di negara ini demi
menjaga keamanan negara. Namun dengan adanya internet semua buku, bahan atau berita yang
diterbitkan tidak lagi mampu dikawal oleh kerajaan kerana internet tidak mempunyai sempadan dan
sukar untuk dikawal. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mudah disogok dengan buku dan berita
yang tidak tepat atau kurang sesuai dengan peringkat umur mereka sehingga boleh menimbulkan satu
keadaan yang mengancam keselamatan negara.

Berkaitan dengan penerbitan buku di atas, internet secara tidak langsung turut melanggar undang-
undang harta intelek iaitu penulis buku atau syarikat penerbit buku. Penerbitan buku dalam internet
biasanya dibuat tanpa kawalan dan ini boleh menyebabkan kerugian terutama kepada penulis dan
penerbit buku tersebut. Keadaan ini jika tidak dikawal akan menyebabkan tiada lagi penulis atau
penerbit yang mahu menerbitkan buku mereka untuk tatapan pembaca biasa. Bukan sahaja buku dan
berita yang tidak sihat boleh ditemui dalam internet tetapi penyiaran iklan yang tidak sesuai turut ada
di dalam sistem canggih itu. Penyebaran iklan yang tidak sihat atau tidak dikawal oleh pihak berkuasa
boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat. Bagaimana perkara atau iklan ini boleh membawa
kesan negatif kepada masyarakat? Kita semua sedia maklum bahawa masyarakat terutama remaja
suka meniru sesuatu terutama yang mereka nampak atau dengar. Jadi di sinilah peranan iklan yang
tidak sesuai di internet berlaku.

Masalah penggunaan internet yang tidak sihat ini perlu dikawal oleh kerajaan dengan bersungguh-
sungguh. Keengganan kerajaan bertindak tegas dalam soal ini boleh membawa kesan buruk kepada
negara dalam jangka masa panjang. Masyarakat pula perlu lebih pandai menapis dan memilih bahan
dalam internet agar mereka tidak terpedaya dengan golongan tertentu yang cuba menghancurkan
keamanan negara kita.

Kebaikan dan keburukan internet kepada masyarakat.


Internet merupakan teknologi asas dalam pembangunan teknologi maklumat. Kini, internet merupakan
salah satu saluran rangkaian penghubung dunia yang telah mengecilkan dunia. Dunia tanpa sempadan
dimungkinkan dengan adanya jaringan internet ini. Walau bagaimanapun, teknologi internet ini kerap
disalahgunakan sehingga menjadi saluran yang boleh membawa kemudaratan.

Internet merupakan saluran ilmu pengetahuan kepada semua pengguna. Kini, pelbagai pengetahuan
terkini dapat disalurkan melalui internet. Internet merupakan khazanah ilmu yang membantu berjuta-
juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan penyelidikan. Tugas guru
juga dipermudah melalui penggunaan internet yang membekalkan pelbagai ilmu terkini dan mudah.
Perkembangan sains dan teknologi serta ilmu canggih dipaparkan dalam internet. Ia juga membantu
dalam proses penyelidikan dan pembangunan.

Selain itu, internet merupakan saluran komunikasi antarabangsa. Teleperubatan dimungkinkan dengan
adanya internet. Pakar-pakar perubatan dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan adanya internet.
Pelbagai pembedahan dan diagnosis dimungkinkan melalui internet. Komunikasi dalam aspek
ekonomi dan politik pula dapat dimungkinkan dengan telekonferens. Ini memudahkan sesuatu urusan
komunikasi dalam usaha membuat keputusan tanpa pergi ke sesuatu tempat. Di samping itu,
pendidikan jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan internet. Internet ini memberi
faedah kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk melanjutkan pengajian mereka tanpa menjejakkan
kaki ke menara gading.
Internet juga memudahkan urusan harian manusia di mana pembayaran bil elektrik, air, kad kredit dan
bil-bil lain dapat dilakukan dengan mudah. Hubungan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan-
badan pendidikan antarabangsa untuk memohon kemasukan ke kursus pengajian atau peluang kerja
dapat dibuat melalui internet. Urusan menerusi internet bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga
dapat memastikan kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat diuruskan dengan mudah.

Walau bagaimanapun, internet juga memudaratkan manusia jika disalahgunakan. Kemudahan ini
boleh digunakan untuk menceroboh dan mengganggu seperti `hacking’ yang kini banyak berlaku.
Laman-laman web kerajaan mudah diceroboh untuk tujuan mengganggu. Keselamatan negara juga
sukar dikawal kerana segalanya dihubungkan melalui rangkaian antarabangsa. Beberapa tahun
kebelakangan inn, pusat keselamatan negara Amerika Syarikat, Pentagon diceroboh oleh seorang
kanak-kanak berusia dua belas tahun. Ini memudaratkan aspek keselamatan negara dan dunia.

Selain itu, virus komputer yang menjadi bahan bualan sejak kebelakangan ini juga disebarkan melalui
internet. Kini, banyak virus komputer yang dicipta boleh mengakibatkan data-data dalam komputer
hilang dan ada juga virus yang mengakibatkan kerosakan komputer. Ini akan mengakibatkan sesebuah
syarikat atau agensi kerajaan lumpuh kerana sistem dan data-data mereka terganggu. Aspek kesihatan
juga dikaitkan dengan penggunaan internet. Seseorang yang menggunakan komputer akan duduk di
hadapan skrin komputer untuk tempoh masa yang lama. Ini akan membawa masalah kesihatan seperti
penyakit mata, sakit tulang belakang dan sebagainya.

Kesimpulannya, internet mempunyai banyak kebaikan dan keburukan. Para pengguna perlu
memahami kegunaan internet dan memastikan is digunakan untuk kebaikan sahaja. Kawalan dan
pengawasan ibu bapa dan guru adalah penting agar generasi muda memanfaatkan internet demi
melahirkan masyarakat berilmu di negara ini.

kepentingan dan Impak Buruk Telefon Bimbit Kepada Remaja


Telefon bimbit merupakan alat komunikasi penting dalam era globalisasi ini terutama kepada golongan
remaja. Penggunaan telefon bimbit yang begitu meluas ini telah membuktikan bahawa teknologi ini
penting kepada remaja dan impak negatif yang timbul. Jelaskan.

Telefon bimbit sudah menjadi satu bentuk perhiasan diri yang harus dimiliki oleh semua remaja.
Kecanggihan telefon bimbit sering menarik minat remaja sehingga ada yang sanggup menahan lapar
atau bekerja ketika cuti sekolah semata-mata untuk mendapat telefon bimbit yang lebih baik. Keadaan
ini menyebabkan ramai yang menganggap telefon bimbit sudah menjadi satu pembaziran tetapi ada
yang masih menyanjung kepentingan telefon bimbit ini. Lantaran itu, apakah kebaikan-kebaikan telefon
bimbit kepada remaja?

Satu kebaikan memiliki telefon bimbit ini ialah kemudahan untuk berkomunikasi. Hubungan antaa ibu
bapa, adik, kakak, abang, kawan, guru dan sebagainya menjadi lebih akrab kerana telefon bimbit
mempunyai kelebihan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh perbualan tradisi kita. Konsep sistem
pesanan ringkas (SMS) yang unik bersama-sama dengan ikon dan lagu atau irama menjadikan
penggunaan teknologi ini untuk berinteraksi begitu romantik. Kemudahan berhubung juga
mengelakkan pelbagai masalah seperti aspek keselamatan, tidak membuang masa untuk menunggu
dan mendapat ketepatan tentang sesuatu perkara yang sering menimbulkan masaalah kepada remaja
kini. Jadi, telefon bimbit memang membawa kebaikan kepada remaja dalam aspek komunikasi.
Kebaikan kedua ialah telefon bimbit ini menjadi satu bentuk penyampaian informasi yang pelbagai dan
menarik. Teknologi ini memudahkan pelbagai maklumat disalurkan seperti berita, lagu dan data
peribadi. Maklumat ini berguna kepada remaja kerana melalui penggunaan yang betul semua
maklumat ini dapat memastikan remaja memahami sesuatu atau melakukan sesuatu dengan betul.
Jelaslah, telefon bimbit yang mempunyai pelbagai guna ini penting dalam memastikan remaja kita
menjadi remaja berinformasi.

Sudah pasti impak yang paling banyak dipaparkan ialah penggunaan telefon bimbit ini menyebabkan
kos hidup remaja bertambah. Sikap suka menggunakan telefon ini untuk berhubung memastikan kos
turut bertambah dan penggunaan telefon yang sebegini menyebabkan remaja tidak nampak
penggunaan kosnya sehinggalah mereka terpaksa membayar bil telefon itu. Keadaan ini mungkin
membawa mereka terpaksa mencari wang dan ada yang terpaksa beralih ke arah cara yang negatif
seperti mencuri. Lantaran itu, telefon bimbit mampu menyebabkan remaja mengalami masaah
kewangan yang serius.

Tambahan pula, penggunaan telefon bimbit menyebabkan remaja tidak memberi tumpuan dalam
aspek pendidikan mereka. Ada remaja terutama yang masih belajar menggunakan telefon bimbit di
dalam kelas ketika guru mengajar tanpa segan silu. Mereka juga sering menghabiskan masa dengan
membuat SMS atau berbual sehingga melupakan tanggung jawab mereka sebagai pelajar iaitu belajar.
Akibatnya, banyak pelajar akan terjejas prestasi pelajarannya kerana penggunaan telefon bimbit.

Konklusinya, telefon bimbit harus dikawal penggunaannya terutama kepada remaja. Ibu bapa harus
menegur dan memarahi anak mereka yang keterlaluan menggunakan teknologi ini. Namun dalam
masa yang sama penggunaan telefon bimbit in turut memberi sat dimensi baru kepada hubungan
keluarga. Mungkin remaja harus lebih bijak dalam kemelut ini supaya mereka terus dihormati oleh
masyarakat.

Rasuah. Faktor-faktor penyebab dan langkah-langkah mengatasinya


Fenomena rasuah sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini
membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi kadar rasuah
di sesebuah negara itu maka semakin rendahkan persepsi masyarakat luar terhada kemampuan rakyat
negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi. Media massaa turut
menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan
rasuah ini sebagai bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Jelaslah,
fenomena sosial ini mempunyai pelbagai imlikasi, punca dan langkah yang efektif untuk
menanganinya.

Punca yang ketara tentang gejala ini sering dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran
kerajaan kita. Masyarakat menganggap masaah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak
memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain yang
menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil
wang secara haram ini. Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan telah menyebabkan ramai kaki
tangan awam yang terangsang untuk melakukan jenayah yang keji ini. Jelaslah, masalah ini berleluasa
apabila tiadanya satu ketelusan dalam sistem tadbiran awam negara kita.
Selain itu, masalah jenayah kolar putih ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang tidak
peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada kalangan masyarakat yang menganggap
masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara di
dunia ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan
memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja.
Maka, kurangnya pemahaman masyarakat terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini
menular secara pantas dalam masyarakat kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala sosial ini
tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan
lemah dalam sistem perundangan negara kita tentang isu rasuah ini. Tindakan mahkamah
mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan
jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap
keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi
motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar
mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara.
Sesungguhnya, kelemahan dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan
kesalahan rasuah di negara ini telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada
masyarakat kita.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti
tindakan awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan
menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka.
Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi
mereka tidak di bawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak ppercaya rakyat akan
keikhlasan kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini
ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat
awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih
bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan
menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini.

Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu
kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara
holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat
menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya
meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah.
Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan
memerangi amalan rasuah ini.

Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor
pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep
murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk
mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami
keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan
kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini
dengan begitu mudah dan berkesan.
Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh
semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigm masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku
terlibat dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi
masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan
diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan
dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya.

PUNCA BERLAKUNYA RASUAH DAN KESAN BURUK


Rasuah didefinisikan sebagai pemberian hadiah atau wang untuk mempengaruhi seseorang supaya
memenuhi keinginannya. Menurut sejarah Jepun, rasuah mula diperkatakan pada era Edo (1603-1868)
yang diistilahkan sebagai “sidepno-shito” yang bermaksud ‘wang dari bawah meja’. Apabila disebut
sahaja rasuah, terbayanglah kepada kita ada dua pihak iaitu yang memberi dan yang menerima.
Menyedari betapa seriusnya keadaan ini, Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah bin Haji
Ahmad Badawi, berikrar untuk membanteras perbuatan rasuah hingga ke akar umbi. Hal ini kerana
rasuah adalah umpama barah yang akan meruntuhkan negara jika tidak dibendung dengan segera.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang individu mudah terlibat dengan rasuah.

Antara faktor berlakunya gejala rasuah ialah kepimpinan seseorang individu yang lemah. Individu yang
mempunyai kepimpinan yang lemah, tidak yakin pada diri sendiri dan mudah dipengaruhi oleh orang
lain untuk melakukan rasuah. Mereka mudah disogok dengan pelbagai kemewahan seperti harta
benda, wang ringgit, kedudukan dan pangkat. Malah sejarah juga telah membuktikan bahawa bekas
Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon tumbang ekoran perbuatan rasuahnya dalam skandal ‘Water
Gate’. Ada kalanya penerima rasuah dianggap sebagai kerbau dicucuk hidungnya dan mudah patuh
dengan kehendak pemberi rasuah. Akibatnya, amalan rasuah menyebabkan masyarakat hilang
kepercayaan terhadap individu dan kepimpinan organisasi berkenaan.

Pada masa yang sama, kurangnya didikan agama dan didikan moral mendorong berlakunya perbuatan
rasuah dalam masyarakat kita. Individu yang tidak mempunyai iman yang kukuh dan mantap akan
mudah terpesong. Golongan seperti ini akan menggunakan kedudukan dan peluang yang ada pada
dirinya untuk menerima habuan tanpa berasa bersalah. Dengan tidak memikirkan akibatnya, rasuah
menjadi rutin dalam tugas mereka. Malah individu yang terlibat dengan rasuah tidak berasa malu atau
takut kepada Allah serta balasannya sama ada di dunia ataupun pada hari akhirat.

Jenayah kolar putih dapat diatasi menerusi penguatkuasaan undang-


undang.
Jenayah kolar putih merujuk jenayah halus tanpa kekerasan yang biasanya dilakukan oleh golongan
profesional. Kegiatan jenayah ini sukar dikesan kerana pelakunya berkemahiran, berpendidikan dan
berjawatan tinggi. Mereka melakukan jenayah ini kerana mereka memahami prosedur perundangan
atau yakin kesalahan mereka sukar dikesan. amalan rasuah, pecah amanah dan menyelewengkan
wang syarkat merupakan antara kes jenayah kolar putih yang terkena. sememangnya ada pelbagai
kaedah untuk mengatasi masalah ini.
Sememangnya penguatkuasaan undang-undang mampu membanteras kegiatan ini. Tindakan
memecat pesalah jenayah ini terutamanya jika mereka yang terbabit merupakan kaki tangan kerajaan
menjadi langkah yang bijak. Hukuman sebat atau penjara yang lama turut memberi kesan jika hukuman
dijatuhkaan tanpa mengira status dan kedudukan seseorang pesalah itu. Sesungguhnya, tindakan
undang-undang yang tegas mampu memberi keinsafan kepada masyarakat untuk menghindari
jenayah kolar putih ini.

Selain itu, penyeliaan yang ketat terhadap jabatan-jabatan yang mudah terjebak dalam penyelewengan
atau sering berusan dengan orang ramai harus dilaksanakan. Semua prosedur harus diteliti dan dikaji
serta mana-mana kelonggaran atau kelemahan prosedur terus diubah atau ditukar untuk memastikan
tiada ruang kepada kaki tangan kerajaan untuk melakukan jenayah kolar puth ini. Jadi, prosedur yang
ketat memastikan tiada pekerja yang akan mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah ini.

Hubungan yang rapat antara pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah amat penting dalam menangani
kemelut yang semakin banyak berlaku ini. kerjasama yang erat ini penting kerana jenayah ini biasanya
memerlukan kemahiran yang tinggi dan perancangan yang lama serta rangkaian pesalah yang ramai.
Keadaan in menyukarkan mana-mana pihak berkuasa untuk mengesannya lebih awal tanpa kerjasama
badan-badan kerajaan yang berkaitan. Oleh itu, kerjasama yang erat harus dipupuk antara agensi
kerajaan terutama yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang ini.

Aspek pegangan agama yang kukuh juga penting dalam isu ini. Jenayah kolar putih berlaku akibat
rapuhnya pegangan agama pesalah tersebut. Mereka hanya mementingkan keuntungan jangka masa
pendek dan keseronokan duniawi tanpa mengambil kira impak yang bakal beraku kepada diri dan
keluarga mereka jika jenayah ini dilakuan. Siri ceramah berbentuk keagamaan harus dilaksanakan
dengan kerap untuk memberi peringatan kepada semua ihak agar tidak terjebak dalam jenayah ini.
Jadi, aspek agama yang kuat harus diberi penekanan dalam usaha menangani jenayah kolar putih ini.

Bukan sahaja aspek keagamaan tetapi kendiri seseorang itu harus kukuh. Konsep keinsafan dan
kesedaran tentang impak negatif melakukan jenayah harus ditanam dalam diri seseorang. Kita harus
menyedari sebarang kesalahan jenayah boleh membawa kita kehilangan pekerjaan, keluarga, dan
maruah diri. Semua ini bukan sahaja menyusahkan diri seseorang pesalah itu tetapi turut menjejaskan
keharmonian keluarga mereka. Sesungguhnya, kita harus memiliki sikap memandang jijik terhadap
jenayah kolar putih ini.

Kesimpulannya, jenayah kolar putih bukanlah satu jenayah yang mudah untuk diatasi. Ciri-ciri jenayah
ini menyebabkan kerjasama yang lebih erat perlu dipupuk untuk memastikan jenayah ini tidak menular
dalam masyarakat kita. Jenayah ini jika tidak dikawal akan menyebabkan negara menjadi porak-
peranda dan imej negara di persada dunia akan turut terjejas.
Punca berlakunya gengsterisme dan langkah-langkah untuk mengatasinya.
Soalan: Gejala samseng dan gengster di sekolah menengah di seluruh negara membuktikan bahawa
pelajar telah berani mencabar undang-undang negara dan peraturan sekolah.
Huraikan punca berlakunya gengsterisme dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Hakikat bahawa gejala samseng dan gengster di sekolah menengah di seluruh negara
membuktikan pelajar telah berani mencabar undang-undang negara dan peraturan sekolah memang
tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini membimbangkan pelbagai pihak.

Pengaruh rakan sebaya merupakan punca utama berlakunya gengsterisme di sekolah menengah.
Hal ini demikian, kerana kumpulan gengster akan mendorong pelajar lain terlibat dalam gejala
gengster. Malahan, perbuatan samseng dan gengster adalah menjadi syarat terhadap ahli sesuatu
kumpulan. Mereka bukan sahaja mengugut secara berkumpulan, tetapi juga membuli, bergaduh malah
mencederakan pelajar lain di sekolah. Selain itu, mereka turut melakukan kegiatan gengster demi
mempertahankan maruah kumpulan. Mereka sanggup menyahut cabaran dari kumpulan lain supaya
bertapak kukuh dalam sekolah. Jelasnya, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama berlakunya
gengsterisme.

Kekurangan pendidikan agama dan moral turut menjadi punca berlakunya gengsterisme. Pendidikan
agama dan moral bukan sahaja dapat membentuk modal insan yang berakhlak mulia pada masa
hadapan tetapi juga dapat menerapkan nilai-nilai murni pada diri seseorang pelajar. Nilai-nilai murni
yang dapat diterapkan oleh pelajar membolehkan mereka bertindak berdasarkan amalan yang baik.
Malangnya, guru-guru di sekolah kurang memberi pendidikan agama dan moral kepada pelajar kerana
menganggap pendidikan ini kurang penting berbanding subjek lain.

Pihak sekolah memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah gengsterisme di sekolah. Pihak
sekolah harus melibatkan semua pelajar dalam aktiviti persatuan mahupun kelab. Kebanyakan pelajar
terlibat dalam gejala gengster berpunca daripada masa yang terluang. Dengan mempelbagaikan
aktiviti persatuan di sekolah, hal ini dapat menarik perhatian dan penyertaan daripada semua pelajar
dalam sekolah. Oleh itu, guru penasihat wajar menambahkan aktiviti yang dapat menarik penyertaan
para pelajar untuk mengatasi gejala gengster di sekolah menengah.

Selain itu, kempen cegah jenayah wajar dilaksanakan. Pihak sekolah boleh menjemput bekas-bekas
penjenayah datang ke sekolah untuk memberi ceramah. Hal ini merupakan langkah yang paling
berkesan kerana bekas-bekas penjenayah dapat menyampaikan pengalaman dan penderitaan yang
pernah dialami oleh mereka kepada para pelajar di sekolah. Dengan ini, pelajar-pelajar di sekolah akan
mendapat kesedaran malah menanam azam yang tinggi supaya meninggalkan kegiatan gengsterisme.
Jelasnya, kempen cegah jenayah wajar dijalankan untuk membendung masalah gengsterisme.

Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu supaya masalah gengsterisme di sekolah
menengah dapat diatasi. Hal ini bukan sahaja mewujudkan keamanan sekolah, malah kemajuan turut
dicapai.

You might also like