You are on page 1of 10

e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

HUBUNGAN ANTARA MOTIVASI KENDIRI DENGAN PENCAPAIAN


MATEMATIK PELAJAR TINGKATAN 5 DI DAERAH ROMPIN

Muhamad Aizat bin Nordin


SMK Chanis, Muadzam Shah, Pahang
aizat_perak@yahoo.com.my

Siti Huzaifah binti Mohammad


Politeknik Muadzam Shah, Pahang
huzaifah@pms.edu.my

ABSTRAK

Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengetahui sejauh mana hubungan antara motivasi
kendiri dengan pencapaian matematik pelajar Tingkatan 5 di daerah Rompin. Di samping itu
perbezaan antara motivasi kendiri antara pelajar lelaki dan perempuan turut dikaji. Sampel
kajian terdiri daripada 60 orang pelajar Tingkatan 5 dari tiga buah sekolah menengah yang
berbeza dalam daerah Rompin. Instrumen kajian pula berbentuk soal selidik yang
mengandungi 26 item berkaitan skop kajian dan dihasilkan adaptasi dari kajian lepas.
Perisian SPSS (Statistical Packages for Social Science) versi 21.0 digunakan untuk
memproses data yang diperolehi. Kajian rintis telah dijalankan untuk menguji
kebolehpercayaan instrument kajian dan mendapat nilai 0.81 Cronbach Alfa. Pencapaian
pelajar pula diukur melalui keputusan matematik Peperiksaan Akhir Tahun 2017 yang
diperolehi dari Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). Analisis data dibuat secara
deskriptif seperti min, peratus dan sisihan piawai manakala statistik inferensi seperti t-test
dan korelasi Pearson digunakan untuk melihat hubungan antara faktor yang dikaji. Hasil
kajian mendapati majoriti pelajar mempunyai tahap motivasi kendiri yang tinggi dengan min
3.86. Analisis ujian-t pula mendapati tidak wujud hubungan yang signifikan pada aras 0.01
melibatkan pelajar lelaki (min = 3.93) dengan pelajar perempuan (min = 3.81). Namun
begitu, ujian korelasi menunjukkan wujud hubungan sederhana yang signifikan dan positif
antara motivasi kendiri dengan pencapaian pelajar dalam matematik (r = 0.538, p = 0.000).
Dapatan kajian ini memberi implikasi bahawa pencapaian matematik pelajar dapat
dipertingkatkan jika motivasi kendiri pelajar tinggi.

KATA KUNCI: motivasi kendiri, pencapaian matematik, pelajar sekolah menengah, jantina
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

1. PENGENALAN

Matematik didefinisikan sebagai pembelajaran mengenai kuantiti, corak struktur, perubahan


dan ruang atau dalam erti kata lain, ianya berkaitan nombor dan gambar rajah. Ianya
merupakan satu cabang ilmu yang mengajar manusia berfikir secara logik melalui pembuktian
dengan bahasa tersendiri serta mampu mengungkapkan konsep yang terkandung di dalamnya.
Namun begitu, matematik sering dianggap sukar oleh kebanyakan pelajar berbanding mata
pelajaran yang lain. Statistik keputusan SPM 2016 menunjukkan matematik merupakan salah
satu subjek yang mencatatkan penurunan. Hal ini seperti yang telah diumumkan oleh Ketua
Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof pada 16 Mac 2017 (Irwan, 2017).
Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pelajar dalam pencapaian matematik. Salah satu
daripadanya ialah motivasi kendiri dalam kalangan pelajar itu sendiri terhadap mata pelajaran
tersebut. Selain itu, para guru juga sentiasa merungut dan berpendapat sebab utama para
pelajar tidak memperoleh pencapaian yang baik dalam mata pelajaran matematik adalah
kerana kurang motivasi atau malas. Kunci utama seseorang itu berjaya dalam peperiksaan
adalah sikap pelajar itu sendiri. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005 sikap
didefinisikan sebagai perbuatan atau pandangan yang berdasarkan sesuatu pendapat. Kajian
oleh Kamisah, Zanaton dan Laili (2007) menunjukkan sikap pelajar yang positif akan
menghasilkan impak yang positif.

1.1 Latar Belakang Kajian

Statistik menunjukkan tahap penguasaan subjek Matematik masih lemah dalam kalangan
pelajar sekolah di Malaysia (Kamel Ariffin, 2002). Majoriti pelajar telah menetapkan dalam
minda bahawa mata pelajaran matematik merupakan mata pelajaran yang paling susah untuk
difahami dan membosankan. Justeru itu, ia menjadi penyebab pelajar malas untuk
mengulangkaji dan akibatnya pelajar mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam
peperiksaan.

Banyak kajian telah dijalankan bagi mengetahui punca-punca kemerosotan pencapaian


mata pelajaran matematik dalam kalangan pelajar. Antara faktor – faktor yang menyebabkan
berlakunya kemerosotan pencapaian adalah pencapaian awal, kemahiran asas, minat, sikap,
motivasi dan kemahiran menyelesaikan masalah (Norlia et al., 2006).

Sikap pelajar sangat mempengaruhi proses pembelajaran sesuatu mata pelajaran. Jika
pelajar itu mempunyai sikap yang positif terhadap sesuatu, maka sudah tentu ia akan
menghasilkan impak yang positif kepada pelajar tersebut. Menurut Kamarudin (1997),
seseorang pelajar yang mahu berjaya dalam pelajarannya akan sentiasa menyiapkan tugasan
yang diberi oleh guru, sentiasa hadir ke kelas, bersemangat untuk belajar dan sentiasa
berusaha dalam pelajarannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan pencapaian? Pencapaian bermaksud apa yang telah
dihasilkan atau diperolehi. Tahap pencapaian pula memberi maksud sejauh mana pelajar itu
memperolehi keputusan dalam sesuatu ujian. Bagi kajian ini, pencapaian pelajar yang
digunakan ialah markah Matematik Peperiksaan Akhir Tahun pada 2017 iaitu semasa pelajar
di Tingkatan 4.

Motivasi kendiri pula merujuk kepada kesedaran individu terhadap dirinya. Seseorang
yang mempunyai motivasi kendiri yang tinggi tidak memerlukan dorongan luaran, sama ada
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

berbentuk ganjaran atau dendaan untuk melakukan sesuatu tindakan. Disamping itu,
seseorang akan merasakan kepuasan melakukan sesuatu kerja itulah merupakan suatu
ganjaran. Oleh itu, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji adakah terdapat hubungan
yang signifikan antara motivasi kendiri dengan pencapaian dalam kalangan pelajar sekolah
menengah di daerah Rompin.

1.2 Pernyataan Masalah

Menurut Azmin dan Faridatulazna (2014), pemikiran bahawa mata pelajaran matematik
adalah mata pelajaran yang sukar dan bosan masih wujud dalam kalangan pelajar sekolah di
Malaysia. Justeru, ianya menyebabkan pelajar malas untuk berusaha dalam memahami mata
pelajaran tersebut. Masalah hubungan antara motivasi kendiri dalam kalangan pelajar dalam
proses pembelajaran perlu diberi perhatian dan kajian meneyeluruh juga perlu dilakukan.
Adakah ianya mempengaruhi prestasi pencapaian pelajar secara langsung? Justeru itu, kajian
ini dijalankan bertujuan untuk merungkai persoalan tersebut dan membantu mencari jalan
penyelesaian terhadap masalah sikap pelajar dalam mendalami ilmu matematik.

1.3 Persoalan Kajian

i. Adakah terdapat perbezaan motivasi kendiri berdasarkan jantina dalam kalangan pelajar
Tingkatan 5 di daerah Rompin?
ii. Adakah terdapat hubungan antara motivasi kendiri dengan pencapaian pelajar Tingkatan 5
di daerah Rompin?

1.4 Objektif Kajian

Kajian ini mengandungi objektif yang hendak dicapai seperti berikut :


i. Mengetahui terdapatkah perbezaan yang ketara antara jantina berkaitan motivasi kendiri
dalam mempelajari matematik dalam kalangan pelajar Tingkatan 5 di daerah Rompin.
ii. Mengetahui wujudkah hubungan antara motivasi kendiri dengan pencapaian dalam mata
pelajaran matematik dalam kalangan pelajar Tingkatan 5 di daerah Rompin.

1.5 Kepentingan Kajian

Kajian ini amat diperlukan bagi mengubah persepsi dan sikap pelajar terhadap mata pelajaran
matematik. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri dan menaikkan
motivasi kendiri dalam diri pelajar ketika mempelajari matematik. Kajian ini juga diharap
dapat membantu para guru dengan pendedahan berkaitan sikap pelajar supaya dapat
mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran. Disamping itu, ianya dapat memberi
galakan dan motivasi kepada para pelajar dalam memahami konsep matematik seterusnya
pencapaian pelajar dalam peperiksaan dapat dipertingkatkan.

1.6 Batasan Kajian

Batasan kajian ini hanya melibatkan pelajar Tingkatan 5 sekolah menengah di daerah
Rompin. Daerah rompin terdiri daripada tiga zon berbeza dan sampel yang dipilih mewakili
satu sekolah dari setiap zon. Tujuan utama adalah untuk mengetahui motivasi kendiri pelajar
dalam mempelajari matematik dan seterusnya mengenal pasti hubungannya dengan
pencapaian pelajar.
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

2. ULASAN LITERATUR

Banyak kajian telah dijalankan berkaitan hubungan antara motivasi dengan pencapaian dalam
kalangan pelajar sekolah rendah mahupun pelajar sekolah menengah. Hasil kajian Kamaliah
dan Azizi (2005) berkaitan hubungan motivasi dengan pencapaian menyatakan 42.3% pelajar
dari jumlah sampel mempuyai motivasi kendiri yang tinggi memperoleh keputusan yang
cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sampel terdiri daripada 216 orang
pelajar Tingkatan 4 di tiga buah sekolah menengah di daerah Johor Bahru. Dapatan kajian ini
juga mendapati selain faktor motivasi, faktor lain seperti konsep kendiri dan gaya
keibubapaan turut mempengaruhi pencapaian pelajar.

Perbincangan ini juga disokong oleh Norlia et al. (2006) yang menjalankan kajian
berkaitan hubungan antara motivasi, gaya pembelajaran dengan pencapaian pelajar. Instrumen
kajian adalah Inventori Pembelajaran di Sekolah yang diadaptasi dari kajian lepas. Sampel
kajian terdiri daripada 350 orang pelajar Tingkatan 4 yang mengambil mata pelajaran
Matematik Tambahan daripada empat buah sekolah menengah di Kuala Terengganu. Dapatan
kajian mendapati wujud hubungan yang signifikan antara faktor motivasi dengan pencapaian
pelajar dalam mata pelajaran Matematik Tambahan.

Selain di sekolah, kajian berkaitan motivasi dan pencapaian juga banyak dilakukan di
peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Dapatan kajian oleh Faizan, Adyani dan Azlina
(2016) mendapati tidak wujud hubungan yang signifikan antara motivasi dengan pencapaian
pelajar. Namun begitu, kajian ini mendapati wujud hubungan yang signifikan berkaitan
motivasi berdasarkan jantina. Kajian ini terdiri daripada 153 orang pelajar semester dua dari
Jabatan Perdagangan di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah. Dapatan ini memberi implikasi
bahawa tahap motivasi pelajar lelaki lebih tinggi berbanding pelajar perempuan.

Kajian oleh Nor Hayati et al. (2014) pula menunjukkan tidak wujud hubungan yang
signifikan antara motivasi dengan pencapaian pelajar dalam kursus Tamadun Islam dan
Bahasa Inggeris di Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak. Instrumen yang digunakan adalah
adaptasi dari kajian lepas oleh Marzuki Ngah (2002) untuk menentukan hubungan tahap
motivasi 144 pelajar semester 5 dari Jabatan Kejuruteraan Awam di politeknik tersebut.
Dapatan kajian mendapati wujud perbezaan motivasi berdasarkan jantina bagi kursus
Tamadun Islam tetapi sebaliknya bagi Kursus Bahasa Inggeris.

Kajian Saemah dan Phillips (2006) menggunakan Motivated Strategies for Learning
Questionnaire (MSLQ) menunjukkan bahawa terdapat hubungan tidak langsung antara faktor
motivasi ke atas pencapaian akademik pelajar. Keputusan kajian ini juga mendapati faktor
motivasi mempunyai hubungan yang positif dengan kesedaran metakognisi yang juga
berhubungan langsung dengan pencapaian. Sampel kajian terdiri daripada 374 pelajar tahun
dua daripada lima buah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hee dan Liyana (2010) telah menjalankan kajian ke atas pelajar Biologi dari Fakulti
Sains dan pelajar Geografi dari Fakulti Ilmu Kemanusian untuk mengenal pasti tahap
motivasi intrinsik dan ekstrinsik dengan pencapaian akademik pelajar di Universiti Sains
Malaysia. Sampel kajian terdiri daripada 116 orang pelajar yang mengikuti pendidikan jarak
jauh (PJJ). Alat kajian yang digunakan ialah soal selidik yang diadaptasi dari kajian lepas.
Hasil kajian menunjukkan tidak wujud hubungan yang signifikan antara motivasi kendiri
dengan pencapaian akademik pelajar.
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

Kajian yang dijalankan oleh Stephen (2009) juga menunjukkan tidak terdapat
hubungan yang signifikan antara konsep kendiri dengan pencapaian akademik pelajar. Kajian
ini juga menerangkan tidak terdapat perbezaan antara tahap pencapaian pelajar lelaki dan
perempuan. Sampel terdiri daripada 51 orang pelajar bumiputera Sabah dan Sarawak yang
mengikuti program Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia.

Secara keseluruhan, kajian lepas melaporkan pelbagai dapatan berkaitan hubungan


antara motivasi kendiri dengan pencapaian akademik pelajar. Pada masa yang sama, perkaitan
antara motivasi kendiri terhadap jantina pula mendapati tidak wujud hubungan yang
signifikan. Justeru itu, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti hubungan tahap motivasi
dengan pencapaian ke atas pelajar sekolah menengah di daerah Rompin.

3. METODOLOGI KAJIAN

3.1 Populasi dan Persampelan

Penyelidik telah memilih pelajar Tingkatan 5 di daerah Rompin sebagai populasi dalam kajian
ini. Kaedah persampelan rawak berkelompok pula digunakan kerana setiap ahli populasi
mempunyai peluang yang sama untuk dipilih. Menurut Lim (2007), teknik persampelan ini
boleh digunakan jika ahli dalam populasi tidak dapat disenaraikan atas sebab-sebab tertentu
ataupun senarai itu tidak wujud. Oleh itu, penyelidik menggunakan kaedah ini kerana fokus
utama kajian hanya kepada pelajar Tingkatan 5 di daerah Rompin. Hal ini kerana pelajar
berkenaan telah melalui Peperiksaan Akhir Tahun 2017 dan bentuk soalan peperiksaan adalah
seragam di semua sekolah serta menggunakan sukatan pelajaran Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (KBSM) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sampel kajian terdiri daripada 60 orang pelajar dari tiga buah sekolah yang berbeza di daerah
Rompin iaitu dari zon Muadzam Shah, zon Keratong dan zon Pantai. Penyelidik juga telah
memilih secara rawak 20 orang pelajar dari setiap zon yang terlibat.

3.2 Instrumen Kajian

Kaedah kajian adalah berbentuk kajian tinjauan bagi tujuan menjawab persoalan kajian dan
pernyataan masalah dalam kajian ini. Kaedah ini dipilih berdasarkan kesesuaian dengan
bentuk kajian kerana ia lebih praktikal dan realistik untuk mendapatkan maklum balas yang
baik daripada responden. Rekabentuk penyelidikan ini adalah kajian kuantitatif yang
berbentuk kajian tinjauan semasa dan korelasi. Instrumen yang digunakan adalah soal selidik
untuk mendapatkan data daripada responden. Penggunaan soal selidik amat sesuai digunakan
kerana menurut Gilham (2000), penggunaan soal selidik adalah lebih sesuai kerana kos
membina soal selidik yang murah dan masa yang diperuntukkan singkat. Penyelidik juga
boleh memperolehi data daripada jumlah responden yang lebih ramai dan tepat. Oleh itu,
instrumen kajian ini dibina hasil adaptasi daripada kajian lepas oleh Hadriana, Mohd. Arif dan
Mahdum (2013) yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian sampel dalam kajian ini.

Soal selidik tersebut mengandungi dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B.
Dalam bahagian A responden dikehendaki melengkapkan maklumat diri iaitu nama, jantina
dan zon sekolah. Di Bahagian B pula, mengandungi 26 item soalan berkaitan motivasi kendiri
yang dibina berdasarkan skala Likert terdiri daripada 5 pilihan iaitu Sangat tidak setuju (1),
Tidak setuju (2), Kurang setuju (3), Setuju (4) dan Sangat setuju (5).
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

Jadual 1: Kesahan kajian (Alfa Cronbach, α)

Item Kajian Rintis Kajian Sebenar


Motivasi kendiri 0.81 0.93

Sebelum memulakan kajian, pengkaji turut melaksanakan kajian rintis kepada 32


orang pelajar dan sampel ini adalah berbeza dari sampel kajian sebenar. Kajian rintis
dilakukan bagi memastikan instrumen kajian yang dihasilkan mempunyai kadar
kebolehpercayaan yang boleh diterima. Berdasarkan Jadual 1, pekali alfa bagi instrumen
kajian rintis (α = 0.81) dan kajian sebenar (α = 0.93) adalah baik iaitu antara 0.80 – 0.93.
Menurut Chua (2006), nilai alfa 0.65 hingga 0.95 dianggap memuaskan dan menunjukkan
keupayaan yang tinggi bagi item-item instrumen kajian mengukur pembolehubah yang dikaji.

3.3 Teknik Pengumpulan Data

Penyelidik telah berbincang dengan pengetua bagi memohon sokongan untuk


melaksanakan kajian di tiga buah sekolah di daerah Rompin. Seterusnya penyelidik bertemu
dengan pengetua di tiga sekolah berkenaan bagi memohon kebenaran melaksanakan kajian di
sekolah tersebut. Penyelidik mengedarkan borang soal selidik kepada pelajar dan menjelaskan
tujuan kajian dan memastikan kerahsiaan jawapan. Taklimat ringkas diberikan kepada pelajar
tentang cara menjawab soal selidik dan penyelidik turut membantu pelajar jika mereka
mempunyai masalah untuk memahami soalan. Perbincangan antara pelajar tidak digalakkan.
Pelajar juga diberi masa menjawab soalan selama 15 minit.

Bagi mendapatkan maklumat pencapaian pelajar pula, pengkaji mendapatkan


keputusan mata pelajaraan Matematik bagi Peperiksaan Akhir Tahun 2017 semasa pelajar di
Tingkatan 4 daripada Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). Berdasarkan nama pelajar
pada borang soal selidik penyelidik dapat mengesan keputusan Matematik pelajar pada
peperiksaan lepas.

3.4 Analisis Data

Data yang siap dikumpul telah dikodkan dan dianalisis menggunakan Statistical Package for
Social Science (SPSS) versi 21.0. Data dianalisis menggunakan analisis deskriptif iaitu min
dan sisihan piawai dan analisis inferensial iaitu ujian-t dan korelasi Pearson.

4. DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

4.1 Dapatan Kajian

Jadual 2: Taburan Frekensi Bagi Jantina dan Zon Sekolah

Pembolehubah Frekuensi Peratus (%)


Jantina
Lelaki 24 40.0
Perempuan 36 60.0
Zon sekolah
Muadzam Shah 20 33.3
Keratong 20 33.3
Pantai 20 33.3
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

Berdasarkan Jadual 2 responden terdiri daripada 60 orang pelajar iaitu 24 orang (40%)
lelaki dan 36 orang (60%) adalah perempuan. Respondan juga dipilih dari tiga sekolah yang
berbeza iaitu 20 orang (33.3%) dari zon Muadzam Shah, 20 orang (33.3%) dari zon Keratong
dan 20 orang (33.3%) dari zon Rompin.

Jadual 3: Taburan Frekuensi Bagi Tahap Motivasi Kendiri

Pembolehubah N Peratus (%) Min SP


Skala motivasi kendiri 3.86 0.506
Rendah(1 – 2.33) 0 0.0
Sederhana (2.34 – 3.66) 21 35.0
Tinggi (3.67 – 5) 39 65.0

Jadual 3 menunjukkan skala motivasi kendiri pelajar dalam mata pelajaran matematik
yang telah dibahagikan kepada 3 kategori iaitu rendah, sederhana dan tinggi. Hasil kajian
mendapati kebanyakan pelajar mempunyai tahap motivasi kendiri yang tinggi dengan skor
min 3.86 iaitu seramai 39 orang (65%) pelajar dari keseluruhan 60 sampel kajian. Selebihnya
iaitu 21 orang (35%) pelajar berada pada tahap sederhana dan tiada pelajar berada pada tahap
yang rendah berkaitan tahap motivasi kendiri dalam mempelajari matematik di sekolah
menengah.

Jadual 4: Taburan Markah Matematik Pelajar Bagi Peperiksaan Akhir Tahun 2017

Pembolehubah N Peratus (%) Min SP


Skala markah 51.40 18.497
Rendah(0 – 39.9) 16 26.7
Sederhana (40 – 69.9) 31 51.7
Tinggi (70 – 100) 13 21.7

Jadual 4 menunjukkan taburan markah pelajar dalam mata pelajaran matematik bagi
Peperiksaan Akhir Tahun 2017 yang telah dibahagikan kepada 3 kategori iaitu rendah,
sederhana dan tinggi. Analisis kajian mendapati kebanyakan pelajar mendapat markah yang
sederhana semasa peperiksaan lepas dengan skor min 51.4 markah iaitu seramai 31 orang
pelajar (51.7%) dari keseluruhan 60 sampel kajian. Selebihnya iaitu 16 orang pelajar (26.7%)
mendapat markah rendah dan 13 orang pelajar (21.7%) pula mendapat markah yang tinggi
pada peperiksaan tersebut.

4.2 Persoalan Kajian 1

Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi kendiri pelajar sekolah menengah berdasarkan
jantina di daerah Rompin?

Jadual 5: Ujian-T Perbandingan Tahap Kebimbangan Matematik Berdasarkan Jantina

Pembolehubah N Min SP ujian-t sig-t(2 hala)


Jantina 0.941 0.351
Lelaki 24 3.93 0.415
Perempuan 36 3.81 0.558
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

Berdasarkan Jadual 5 diatas, keputusan ujian-t menunjukkan tidak wujud perbezaan


yang signifikan (t = 0.941; p > 0.05) di antara tahap motivasi kendiri pelajar sekolah
menengah di daerah Rompin berdasarkan jantina sama ada lelaki mahupun perempuan.
Keadaan ini menunjukkan tahap motivasi kendiri pelajar sekolah menengah di daerah Rompin
tidak dipengaruhi oleh jantina. Pelajar lelaki (M = 3.93) dilihat mempunyai tahap motivasi
kendiri yang setara dengan pelajar perempuan (M = 3.81). Disamping itu, tahap motivasi
kendiri mereka adalah pada tahap sederhana dan tinggi iaitu pada julat antara 2.93 hingga
4.35.

4.3 Persoalan Kajian 2

Adakah terdapat hubungan antara tahap motivasi kendiri dengan pencapaian pelajar sekolah
menengah dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2017 di daerah Rompin.

Jadual 6: Korelasi Di Antara Tahap Motivasi Kendiri Dan Pencapaian Matematik Pelajar

Motivasi kendiri Pencapaian matematik


Motivasi kendiri Korelasi Pearson Sig (2 1.000 0.538**
hala)
0.000
N 60 60
Pencapaian matematik Korelasi Pearson Sig (2 0.538** 1.000
hala)
0.000
N 60 60
** Korelasi adalah signifikan pada 0.01 (2 hala)

Jadual 6 menunjukkan hubungan positif yang signifikan antara tahap motivasi kendiri
dengan pencapaian matematik pelajar dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2017 dengan (r =
0.538, p = 0.000). Menurut garis panduan Rule of Thumb yang diinterpretasikan oleh Hinkle,
Wiersma dan Jurs (2003), nilai pekali korelasi, r antara 0.40 hingga 0.70 menunjukkan
hubungan yang sederhana untuk pembolehubah yang dikaji. Namun begitu, dapatan ini
menunjukkan pelajar yang mempunyai tahap motivasi kendiri yang tinggi cenderung untuk
mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan begitu juga sebaliknya. Dapatan ini
selari dengan kajian yang dilakukan oleh Kamaliah dan Azizi (2005) dan Norlia et al. (2006).

4.4 Perbincangan
Keputusan kajian mendapati tahap motivasi kendiri pelajar sekolah menengah di daerah
Rompin adalah tinggi. Kajian berdasarkan perbezaan tahap motivasi kendiri terhadap jantina
pula mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pelajar lelaki dan perempuan.
Dapatan ini selari dengan kajian yang dibuat oleh Faizan, Adyani dan Azlina (2016) serta
kajian oleh Nor Hayati et al. (2014) yang menyatakan tiada perbezaan berkaitan tahap
motivasi kendiri berdasarkan jantina.

Selain itu, hasil kajian mendapati wujudnya hubungan positif yang sederhana antara
motivasi kendiri dengan pencapaian matematik pelajar dimana pelajar yang bermotivasi tinggi
menunjukkan pencapaian matematik yang tinggi begitu juga sebaliknya. Penemuan ini selari
dengan dapatan Kamaliah dan Azizi (2005) yang membuktikan wujud korelasi positif di
antara motivasi kendiri dan pencapaian. Namun begitu, dapatan ini bertentangan dengan
kajian oleh Faizan, Adyani dan Azlina (2016), Hayati et al. (2014), Hee dan Liyana (2010)
dan Stephen (2009).
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

5. KESIMPULAN

Daripada hasil kajian, dapatlah disimpulkan bahawa sememangnya motivasi kendiri


mempengaruhi pencapaian seseorang pelajar. Para pendidik perlu peka terhadap pelajar dan
sentiasa cuba mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat menaikkan motivasi pelajar.
Cadangan penyelidik ialah guru boleh menggunakan Prinsip Premack dalam sesi
pembelajaran dalam kelas. Prinsip ini memerlukan guru menghubungkan aktiviti yang kurang
diminati dengan aktiviti yang lebih diminati untuk mengukuhkan tingkah laku terhadap
aktiviti yang kurang diminati.

RUJUKAN

Azmin S. Rambely & Faridatulazna Ahmad Shahabudin (2014). Permainan matematik sifira
memupuk minat terhadap pembelajaran matematik. Jurnal Pengukuran Kualiti dan
Analisis (JQMA), 10(2), 111-119.

Chua, Y. P. (2006). Kaedah dan statistik penyelidikan: Asas statistik penyelidikan, buku 2.
Selangor: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn.Bhd.

Faizan Maisarah Abu Bakar, Nurul Adyani Che Daud & Azlina Azmi (2016). Hubungan
antara konsep kendiri dan motivasi dengan pencapaian pelajar bagi kursus Makroekonomi.
Politeknik & Kolej Komuniti Journal of Social Sciences and Humanities, 1, 101 – 114.

Gillham B. (2000). Developing a questionaire: Real world research. London: Continuum.

Hadriana, Mohd. Arif Ismail & Mahdum (2013). The relationship between motivations and
self-learning and the English language achievement in secondary high school students.
Asian Social Science 9,(12), 36 – 43.

Hee, J. M. & Siti Liyana Mohamad Yusuff (2010). Hubungan antara tahap motivasi dengan
pencapaian akademik pelajar pendidikan jarak jauh Universiti Sains Malaysia. Projek
penyelidikan Ijazah Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi
Malaysia.

Hinkle, D. E., Wiersma, W. & Jurs, S. G. (2003). Applied statistics for the behavioral
sciences (5th ed). Boston: Houghton Mifflin.

Irwan Majid (2017, Mac 16). SPM 2016: Pelajar luar bandar tunjuk peningkatan. Utusan
Online. Diperoleh Jan 15, 2017, daripada http://www.utusan.com.my/berita/nasional/spm-
2016-pelajar-luar-bandar-tunjuk-peningkatan-1.457795.

Kamaliah Nordin & Azizi Yahaya (2005). Hubungan antara konsep kendiri, motivasi dan
gaya keibubapaan dengan pencapaian pelajar. Tesis sarjana, Universiti Teknologi
Malaysia, Johor.

Kamarudin Husin (1997). Psikologi dalam bilik darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications
and Distributors.
e-Proceedings National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx’18)

Kamel Ariffin Mohd Atan (2002). Memperluaskan peranan ilmu matematik dalam sistem
pendidikan. Prosiding Kebangsaan Pendidikan Matematik UPSI, 22-29.

Kamisah Osman, Zanaton Ikhsan & Laili Halim (2007). Sikap terhadap sains dan sikap
saintifik di kalangan pelajar sains. Jurnal Pendidikan Malaysia, 32, 39-60.

Kamus Dewan (ed. Ke-4). (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lim, C. H. (2007). Penyelidikan pendidikan: Pendekatan kuantitatif dan kualitatif. Selangor:


McGraw-Hill (Malaysia) Sdn.Bhd.

Marzuki Ngah (2002). Hubungan antara konsep kendiri akademik, konsep kendiri bukan
akademik dan motivasi pencapaian dengan pencapaian sains. Projek penyelidikan Ijazah
Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nor Hayati Fatmi Talib, Bani Hidayat Mohd Shafie, Jamil Ahmad & Ab Halim Tamuri
(2014). Hubungan konsep kendiri dan motivasi pelajar dengan pencapaian kursus di
sebuah politeknik. International Journal of Islamic Studies and Arabic Language
Education, 1(1), 1 – 10.

Norlia Abd. Aziz, Subahan, T. Meereh, M., Lilia Halim & Kamisah Osman (2006).
Hubungan antara motivasi, gaya pembelajaran dengan pencapaian Matematik Tambahan
pelajar tingkatan 4, Jurnal Pendidikan Malaysia, 31, 123 - 141.

Saemah Rahman & Phillips, J. A. (2006). Hubungan antara kesedaran metakognisi, motivasi
dan pencapaian akademik pelajar universiti. Jurnal Pendidikan, 31, 21-39.

Stephen, C. (2009). Konsep kendiri dan pencapaian akademik pelajar bumiputera Sabah dan
Sarawak Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Tesis sarjana muda, Universiti
Teknologi Malaysia, Johor.

BIBLIOGRAFI PENULIS-PENULIS:

Penulis 1:
Nama: Muhamad Aizat bin Nordin
Institusi: SMK Chanis, Muadzam Shah, Pahang
e-Mail: aizat_perak@yahoo.com
No. Telefon: 013-4645475
Latarbelakang pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik), UPSI

Penulis2:
Nama: Siti Huzaifah binti Mohammad
Institusi: Politeknik Muadzam Shah, Pahang
e-Mail: huzaifah@pms.edu.my
No. Telefon: 013-4645476
Latarbelakang pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik), UPSI

You might also like