You are on page 1of 14

PENDERMAAN ORGAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Oleh:

Prof.Madya Datin Dr. Paizah Haji Ismail

Pendahuluan:

Hukum Pendermaan organ bukan lagi persoalan baru. Di Malaysia, fatwa asas
mengenainya telah dibuat sejak pada tahun 1970 lagi . Jawatankuasa Fatwa Bagi
Majlis Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, dalam mesyuaratnya yang pertama pada 23
& 24 Jun 1970 telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung daripada
orang mati kepada orang hidup hukumnya harus.1

Dalam fatwa tersebut, jawatankuasa berkenaan telah meletakkan empat syarat yang
perlu diambil kira sebelum pemindahan berkenaan dilakukan, iaitu:-

1. Dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya


bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah
difikirkan berjaya.
2. Dalam keadaan pemindahan jantung , kematian penderma telah dipastikan
sebelum dipindahkan jantungnya
3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada
pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya
4. Dalam kes kematian biasa, kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma,
sementara dalam kes kematian biasa atau dari kaum keluarganya dalam
kematian akibat kemalangan.

Fatwa:

Sebelum itu, iaitu pada tahun 1965 Majlis Fatwa Negeri Perlis telah telah
mengluarkan fatwa mengharuskan pendermaan kornea mata. 2 Kemudian, fatwa
tentang pemindahan dan pendermaan organ ini juga telah dikeluarkan oleh berbagai
Jawatankuasa Fatwa negeri. Antaranya sebagai contoh ialah fatwa yang dikeluarkan
oleh Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor. 3

Menurut fatwa tersebut, pemindahan dan pendermaan organ hukumnya haram dalam
keadaan bukan dharurat manakala hukumnya harus dalam keadaan dharurat. Bagi
tujuan tersebut fatwa tersebut membahagikan transplant organ kepada dua keadaan,
iaitu:-

 Keadaan penderma masih hidup.

Dalam keadaan ini kajian hendaklah dilakukan dengan secara terperinci dan
professional tentang:-

 Kebaikan dan keburukan pemindahan ini.


 Bahawa penderma melakukan pendermaan berkenaan dengan rela hati tanpa
paksaan
 Ada keadaan dharurat yang mendesak bagi menyelamatkan nyawa orang yang
didermakan kepadanya , terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga
 Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual-beli
 Kebenaran bertulis daripada penderma. Walau bagaimana pun penderma
dibolehkan menarik balik kebenaran tersebut pada bila-bila masa saja yang dia
mahu
 Organ yang diperlukan lebih daripada satu

 Keadaan penderma telah mati

Dalam keadaan ini , pihak yang menguruskan pemindahan berkenaan


hendaklah:-

 Menjalankan pemeriksaan perubatan dengan cara terperinci dan professional


tentang kebaikan dan keburukan pemindahan ini.
 Bahawa penderma dengan redha menderma melalui wasiat atau pun waris-
waris dan diperakukan oleh kerajaan
 Mempastikan bahawa pemindahan itu pada biasanya berjaya
 Bahawa ada keadaan dharurat yang mendesak bagi menyelamatkan nyawa
orang yang didermakan kepadanya .
 Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli.

Bagi tujuan ini fatwa tersebut menyebut bahawa orang yang mati otak adalah
dihukum mati. Walau bagaimanapun, sebelum kerja pemindahan organ
dilakukan hendaklah:-
 Dilakukan pemeriksaan perubatan dengan cara professional tentang berlakunya
mati otak
 Digalakkan mendapat persetujuan dari keluarga terdekat, misalnya suami/isteri,
anak, ibu atau bapa.
 Perakuan tentang berlakunya mati otak hendaklah dilakukan oleh sekurang-
kurangnya 3 orang doktor professional dengan keutamaan kepada doktor Islam
 Sekiranya sains dan teknologi perubatan menemui cara rawatan lain maka
penemuan itu dianggap menggugurkan hukum ini.

Satu contoh lain ialah fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri
Sarawak yang dikeluarkan pada 1 Julai 1997 mengenai pemindahan buah pinggang. 4
Mengikut fatwa tersebut, pendermaan ginjal atau buah pinggang adalah harus,
tertakluk kepada syarat seperti berikut:-

 Derma dari yang hidup: Syarat-syaratnya seperti berikut:-

 Penderma rela dengan ikhlas hati menderma organ ginjal atau buah
pinggangnya
 Disahkan oleh pakar perubatan bahawa pendermaan itu tidak akan
membahayakan kesihatan si penderma
 Tidak dilakukan dengan cara jual beli

 Derma dari yang mati: Syarat-syaratnya seperti berikut:-


o Sebelum meninggalkan dunia penderma telah menyatakan kerelaan

untuk mendermakan organ ginjal atau buah pinggangnya itu kepada


orang lain setelah dia meninggal dunia atau diizinkan oleh wali atau
warisnya untuk berbuat demikian dan tidak pula dilakukan dengan
paksaan
o Disahkan oleh pakar perubatan bahawa ginjal atau buah pinggang yang

didermakan itu masih boleh dimanfaatkan oleh pesakit buah pinggang


yang memerlukan
o Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan organ ginjal atau buah

pinggang itu semata-mata untuk berubat, dan


o Tidak dilakukan dengan cara jual beli.

Dunia Islam:

Dalam dunia Islam yang lebih luas, terdapat berbagai- bagai fatwa yang
mengharuskan pendermaan organ ini. Antaranya ialah:5

 1952: Mufti Besar Mesir, Syekh Hasanin Makhluf yang mengharuskan


pemindahan kornea mata
 1959: Mufti Besar Mesir, Syekh Hasan Ma`mun yang juga mengharuskan
pemindahan kornea mata
 1966: Mufti Besar Mesir, Syekh Huraidi yang mengharuskan pemindaha
kornea mata
 1972: Majlis Agama Islam Algeria yang mengharuskan pemindahan organ
 1973: Mufti Besar Mesir, Syekh Khater yang mengharuskan pemindahan kulit
daripada mayat yang tidak dikenali
 1977: Majlis Tertinggi Fatwa Jordan,yang mengharuskan pemindahan organ
 1979: Mufti Mesir, Syekh Gad al-Haq, yang member fatwa harus mengambil
organ samada daripada penderma hidup atau penderma kadaverik
 1979: Majlis Fatwa Kuwait, yang memfatwakan harus pemindahan organ,
termasuk daripada cadaver
 1985: Liga Dunia Islam, yang mengharuskan pemindahan kornea
 1986: Persidangan Ketiga OIC, yang memfatwakan kematian otak diterima
sebagai kematian
 1988:Persidangan Keempat OIC yang mengharuskan pemindahan organ.

Untuk sebagai contoh, elok juga dipeturunkan disini huraian fatwa yang terkandung
dalam keputusan yang dibuat oleh persidangan OIC yang keempat pada 1988
in,sekurang-kurangnya sebagai panduan untuk memahami persoalan ini seterusnya.
Mengikut fatwa tersebut:-6

1. Harus memindahkan organ dari satu bahagian tubuh seseorang kepada


bahagian yang lain, dengan syarat telah dipastikan secara jelas bahawa faedah
yang mungkin diperolehi daripada operasi tersebut lebih besar daripada
kemudaratan yang munkin terhasil daripadanya, dan dengan syarat bahawa
operasi tersebut dilakukan dengan tujuan untuk menggantikan anggota yang
hilang atau membentuknya semula atau untuk mengembalikan semula
fungsinya, atau juga untuk membaiki atau menutup kecacatan yang boleh
menyebabkan kesakitan secara fizikal atau pun psikologikal.
2. Harus memindahkan organ daripada satu tubuh kepada tubuh yang lain jika
sekiranya organ tersebut boleh berkembang secara sendiri, seperti darah dan
kulit. Bagaimanapun disyaratkan penderma cukup berkapasiti dan semua
syarat-syarat hukum Islam telah dipatuhi.
3. Harus digunakan untuk faedah orang lain mana-mana organ yang telah
dipotong daripada mana-mana tubuh manusia kerana sakit, misalnya
menggunakan kornia mata seseorang yang diambil daripada matanya yang
dibuang kerana sakit.
4. Haram memindahkan mana-mana organ yang menjadi asas kepada kehidupan,
misalnya jantung daripada seseorang yang masih hidup kepada orang lain.
5. Haram memindahkan daripada mana -mana orang yang masih hidup mana-
mana organ yang pemindahannya menyebabkan kehilangan fungsi asas
hidupnya walaupun tidak mengancam nyawanya. Misalnya pemindahan kedua-
dua kornia mata. Bagaimanapun kalau ia mengurangkan sebahagian daripada
fungsi asalnya maka ia boleh diperbincangkan sepertimana akan dihuraikan
dalam para lapan nanti.
6. Harus memindahkan organ daripada seseorang yang telah mati kepada orang
hidup yang bergantung hidup atau sebahagian daripada fungsi hidupnya kepada
organ berkenaan. Dengan syarat si mati berkenaan sebelum matinya telah
mengizinkan pemindahan berkenaan, atau keluarganya selepas dia telah mati,
atau oleh kerajaan kalau sekiranya si mati berkenaan tidak diketahui usul
asalnya.
7. Adalah perlu diberi perhatian bahawa persetujuan bersama mengharuskan
pemindahan organ dalam hal-hal yang tersebut di atas perlu dikaitkan dengan
syarat ianya tidak berlaku melalui penjualan organ berkenaan. Kerana dalam
keadaan mana sekalipun organ badan manusia tidak boleh dijual. Bagaimana
pun perbezaan pendapat telah berlaku mengenai pemberian harta oleh penerima
kepada penyumbang organ berkenaan dengan tujuan untuk mendapatkan
sumbangan tersebut dalam keadaan dharurat, atau yang bersifat ucapan terima
kasih serta penghargaan .
8. Apa-apa kedudukan yang selain daripada yang tersebut di atas tetapi terangkum
dalam prinsip yang dinyatakan maka ianya boleh diperbincang dan
diperdebatkan. Ia perlu dibentang dan diputuskan dalam persidangan akan
datang dengan mengambil kira kemajuan ilmu perubatan dan hukum Syarak.
Wallahu a’lam.

Asas Hukum:

Tenyata daripada keputusan-keputusan fatwa yang diperincikan di atas bahawa


hukum harus menderma dan memindahkan organ tertakluk kepada berbagai-bagai
syarat yang pada prinsipnya menjaga berbagai kepentingan selaras dengan kehendak
agama Islam yang maha suci. Syarat-syarat tersebut boleh disenaraikan seperti
berikut:-

1. Ia tidak akan menyebabkan penderma menanggung kemudharatan atas dirinya


seperti mati atau cacat seperti hilang pendengaran, penglihatan, kemampuan
untuk berjalan dan sebagainya.
2. Pemindahan berkenaan berlaku dengan izin penderma berkenaan
3. Keizinan berkenaan berlaku dalam keadaan penderma memiliki kelayakan
penuh untuk melakukannya. Kerana itu ia tidak boleh dilakukan oleh kanak-
kanak, orang gila, atau orang yang dipengaruhi oleh tekanan atau paksaan atau
kekeliruan.
4. Ia tidak berlaku dengan cara yang mencabuli kehormatan manusia, seperti
melibatkan urusan jual beli. Sebaliknya ia perlu berlaku berasaskan keizinan
dan pendermaan semata-mata
5. Para doktor yang melakukan urusan pemindahan berkenaan mempunyai asas
kelimuan yang cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk keatas
penderma dan penerima berasaskan prinsip maslahah dan mafsadah
sepertimana yang terdapat dalam Syariat Islam.
Hukum dan syarat-syarat yang berkaitan dengannya mengenai pendermaan dan
pemindahan organ ini berdasarkan kepada prinsip-prinsip hukum yang terdapat dalam
Syariat Islam. Misalnya dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa
Majlis Hal Ehwal Islam Malaysia pada tahun 1970 mengenai hukum pemindahan
organ, sepertimana yang tersebut di atas ada di senaraikan tiga alasan mengapa
perbuatan seperti itu harus. Aalasan-alasan tersebut ialah :-

1. Untuk menghapuskan kemudharatan, sepertimana yang dituntut oleh Hadis

Rasulullah s.a.w. yang berbunyi "‫ "الضرر وال ضرار‬yang bermaksud “Tidak boleh
memudharatkan diri sendiri dan tidak boleh memudharatkan orang lain”
2. Memberi kemudahan, sepertimana yang terkandung dalam firman Allah " ‫يريد‬

185: ‫ البقرة‬-"‫ هللا بكم اليسر وال يريد بكم العسر‬yang bermaksud “Allah
berkehendakkan kemudahan untuk kamu dan tidak berkehendak kepayahan”
3. Melakukan keburukan yang paling ringan, sepertimana yang terkandung dalam

kaedah Fiqh yang berbunyi "‫ "ارتكاب أخف الضررين‬yang bermaksud, melakukan
keburukan yang lebih ringan.

Sebenarnya, walaupun di awal tulisan ini tadi telah ditegaskan bahawa persoalan
tentang pendermaan organ ini bukan perkara baru namun dalam pemikiran hukum
Islam ia secara relatifnya merupakan perkara baru. Maksudnya ia tidak pernah
dibincangkan oleh para fuqaha klasik dalam kitab-kitab fiqh klasik mereka. Sebabnya
kerana ia merupakan persoalan baru, iaitu yang diistilahkan dalam bidang pengajian
hukum Islam sebagai "‫"النوازل‬

Pandangan Para Fuqaha:


Memang ada beberapa pandangan yang telah dikemukakan oleh para ulama klasik
berhubung dengan hukum melakukan sesuatu keatas anggota badan manusia.
Bagaimana pun hukum berkenaan hanya disandarkan kepada persoalan yang
diandaikan sahaja. Sebagai contoh, mereka memberi fatwa tentang hukum menjual
rambut, susu, tulang dan anggota badan manusia. Kata al-Mirghiani, rambut manusia
tidak boleh dijual atau digunakan oleh orang lain. Kerana penjualan dan penggunaan
seperti itu bertentangan dengan prinsip menghormati manusia itu sendiri. Dengan kata
lain, suatu penghinaan terhadap diri manusia. 7

Pandangan yang sama diberikan oleh al-Kasani. Mengikut beliau, rambut dan tulang
manusia tidak boleh dijual bukan kerana najis tetapi kerana perbuatan seperti itu
merupakan suatu penghinaan terhadap manusia. Begitulah juga, kata beliau hukum
mengenai peenjualan susu manusia. Kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada
manusia itu sendiri.8

Dalam al-Fatawa al-Hindiyah, ada difatwakan tentang hukum menggunakan anggota


tubuh manusia. Mengikut fatwa tersebut ianya suatu perbuatan haram kerana
bertentangan dengan prinsip penghormatan terhadap manusia. 9 Pandangan yang sama
diberikan oleh Ibn Qudamah tentang hukum menjual anggota badan yang terpotong
dari tubuh manusia.10

Demikian beberapa contoh fatwa yang diberikan oleh para fuqaha terdahulu tentang
perbuatan yang boleh diertikan sebagai pemindahan organ manusia. Pada asasnya ia
adalah haram kerana bertentangan dengan prinsip menghormati diri manusia sendiri.
Begitu pun terdapat berbagai pengecualian yang disebut oleh mereka. Antaranya ialah
harus menjual susu perempuan yang sudah diperah atas alasan ianya sesuatu yang
bersih dan halal diminum.11 Antara contoh lain ialah fatwa harus memakan bahagian
yang dipotong dari badan orang yang dikenakan hukuman bunuh bagi mengelak
daripada mati kelaparan.12
Antara contoh lain lagi ialah fatwa harus memakan bangkai manusia dalam keadaan
nyawa terancam kerana lapar13, harus membedah perut mayat bagi tujuan
mengluarkan harta yang ditelan sebelum orang berkenaan mati 14, membedah mayat
perempuan mengandung bagi tujuan mengluarkan kandungannya yang masih hidup 15,
menyambung tulang yang patah dengan menggunakan tulang orang mati 16

Ternyata daripada contoh-contoh di atas bahawa para fuqaha terdahulu bersikap agak
negatif terhadap apa yang boleh disifatkan pada hari ini sebagai pemindahan organ
yang dibincangkan dalam kertas ini. Sebabnya ialah kerana mereka tidak berhadapan
dengan masalah sebenar yang memerlukan kepada pemindahan berkenaan.
Sebaliknya hukum yang mereka fatwakan semata-mata berdasarkan kepada andaian
sahaja.

Tentu sekali kalau persoalan semasa yang kita hadapi pada hari ini dikemukakan
kepada para fuqaha kelasik pada waktu itu mereka akan memberi jawapan yang
berbeza sekali daripada yang pernah diberikan. Kerana mereka akan mengambil kira
realiti persoalan yang sebenar sebelum memberi apa-apa fatwa atau pendapat. Oleh
kerana itu, bagi kita pada hari ini hukum terhadap persoalan semasa seperti soal
pendermaan organ ini tidak sepatutnya didasarkan kepada fatwa klasik dengan hanya
berpandukan persamaan dalam satu atau dua aspek sahaja. Kerana aspek-aspek
perbezaan yang ada perlu diambil kira dan dicari sampai ke akar umbi.

Ijtihad Semasa:

Semuanya ini membawa kesimpulan bahawa kita memerlukan ijtihad semasa yang
boleh berkembang dari satu masa kesatu masa sesuai dengan perkembangan masa dan
keadaan. Khusus mengenai pemindahan dan pendermaan organ ini, ijtihad berkenaan
perlu selaras dengan kemajuan sains dan teknologi perubatan dalam masalah
berkenaan.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam jawapannya kepada soalan yang berkaitan
dengan pemidahan dan pendermaan organ ini, bahawa pendapat atau fatwa yang akan
diberikannya itu merupakan hasil ijtihad yang boleh diperbincangkan sama seperti
ijtihad lain, terutama sekali tentang persoalan baru yang tidak dibincangkan oleh para
fuqaha terdahulu. Apa yang penting, kata beliau tidak ada sesiapa yang boleh
mendakwa bahawa ijtihadnya itu betul sementara ijtihad orang lain salah. Sebaliknya
setiap orang perlu bersikap seperti Imam al-Syafi’I yang menegaskan bahawa “
Pendapat saya adalah betul tetapi mungkin salah, sementara pendapat orang lain pula
salah tetapi mungkin betul”.17

Dalam melakukan ijtihad semasa tersebut, perkara yang biasa ditimbulkan oleh para
ulama ialah tentang hak seseorang itu untuk mendermakan organnya kepada orang
lain. Ini kerana mengikut Syariat Islam tubuh manusia adalah milik bersama antara
dia dan Allah. Dalam bahasa harian, milik bersama antara individu dan masyarakat. 18

Menjawab persoalan ini, al-Qaradhawi menyebut bahawa walaupun diri manusia itu
satu amanah Allah kepadanya namun dia diberikan kuasa untuk menguruskannya.
Samalah juga dengan harta,meskipun ia suatu amanah Allah tetapi pemiliknya berhak
untuk menguruskannya termasuk dengan cara mendermakannya kepada orang lain.
Cuma bezanya ialah seseorang itu boleh mendermakan semua hartanya, tetapi tidak
semua badannya. Semuanya ini berkait rapat dengan sifat atau tabiat semula jadi harta
dan tubuh manusia itu sendiri.19

Satu persoalan lain yang biasa dibangkitkan ialah masalah “baik” dan “buruk”, atau
dalam istilah teori hukum Islam ialah “Maslahah” dan “Mafsadah”.20 Berasaskan
kepada teori ini para fuqaha semasa menegaskan bahawa kebaikan yang diperolehi
daripada mengharuskan pemindahan dan pendermaan organ ini lebih besar daripada
keburukan yang berlaku.21

Penutup:

Ternyata bahawa hukum pemindahan dan pendermaan organ begitu jelas sekali
harusnya pada pandangan para fuqaha semasa. Hukum berkenaan walaupun tidak
dibincangkan oleh para fuqaha kelasik namun sebabnya bukan kerana mereka
berpendapat bahawa ianya tidak harus dilakukan. Apa yang sebenarnya ialah bahawa
persoalan seperti ini belum berbangkit pada waktu itu. Jawapan yang sama boleh
diberikan kepada dakwaan sesetengah pihak bahawa ada terdapat kenyataan para
ulama klasik yang agak negatif terhadap persoalan berkenaan. Kerana apa yang
mereka perkata sebenarnya adalah sesuatu yang berbeza berbanding dengan apa yang
kita hadapi pada hari ini.

Jelasnya, persoalan samada pemindahan atau pendermaan organ itu harus atau
sebaliknya tidak begitu berbangkit lagi sekarang. Apa yang berbangkit ialah samada
terdapat dalam masyarakat Islam, terutama di Negara ini sekarang apa yang disebut
sebagai penerimaan secara meluas yang memungkinkan berlakunya amalan yang
selaras dengan hukum yang difatwakan itu. Kerana mengetahui tentang hukum tidak
semestinya menghasilkan penerimaannya sebagai suatu amalan, terutama apabila
hukum itu bersifat terbuka dan bukan mewajibkan sesuatu itu diamalkan sepertimana
dalam persoalan tentang pemindahan dan pendermaan organ ini.

Oleh yang demikian amat penting sekali sekarang ini dipertingkatkan usaha
pembudayaan masyarakat Islam selaras dengan fatwa yang ada. Dengan demikian
usaha murni yang dilakukan bagi tujuan memenuhi keperluan pemindahan dan
pendermaan organ ini akan berhasil dengan sebaiknya sepertimana yang diharapkan.
 

1 Jawatankuasa Fatwa Bagi Majlis Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (1970) Pemindahan Anggota-Anggota
Manusia “Mata”.Rekod yang tidak diterbitkan. JAKIM, h.249

2 http://boonchert.blogspot.com/2007/derma -organ-fatwa-dan-pendapat

3 http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa

4 http://infad.usim.edu.my

5 Wekipidia, Derma organ dari perspektif Islam.

6 http://www.yasaloonaka.net/2008-09-18

7 . Lihat: al-Mirghiani, al-Hidayah, jld. 3,h.34

8 . Al-Kasani, Bada`i’ al-Sana`i’, jld.5, h. 142- 145.

9 . Al-Fatawa al-Hindiyah, jld.5,h. 354

10 Ibn Qudamah, al-Mughni, jld. 4, h.304

11 . Lihat: al-Hattab, Mawahib al-Jali,jld. 4,h.265; Ibn Rusyd, Bidayat al-Mujtahid, jld.2,h. 138; Ibn Qudamah, al-
Mughni, jld. 4, h. 304

12 Lihat: al-Nawawi, al-Majmu’, jld.9, h.36.

13 Ibid, jld. 9,h.36.

14 Ibn Qudamah, al-Mughni, jld.3, h.414

15 Ibid.

16 Al-Syarwani, Hasyiah, Jld.2,h.125.

17 Lihat:al-Qaradhawi, http://forum.makt00b.com/t

18 Lihat: Muhammad Naim Yasin(1996), Abhath Fiqhiyah Fi Qadhaya Tibbiyah Mu’asirah, Amman: Dar al-
Nafa`is, h. 150

19 Lihat: al-Qaradhawi, op.cit.

20 Lihat: Muhammad Naim Yasin, op.cit, h.181.

21 Ibid.

You might also like