You are on page 1of 4

SOALAN KARANGAN UMUM (KERTAS 1 SPM)

[ 100 markah]
[ Masa dicadangkan : 1 jam 30 ]

Tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih kurang daripada 350 patah
perkataan.
Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-
anak. Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula dari rumah.

Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah


anak-anak.

Contoh Karangan :-
Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan
universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama
bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli
keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah
anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai .
Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan
damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan
sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka. Anak-anak ibarat
sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.
Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan
sahsiah anak-anak ? Pada pendapat saya,jawapannya sudah pasti tugas dan
peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar
ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang
dalam kalangan anak-anak mereka.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan


sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri
anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari
rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu
diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka
minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif .
Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik
dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan
membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna
merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam
kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang
mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya .
Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat,
anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong
dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang
secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.

Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan
kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal
ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah
mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya.
Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang
baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah
Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi .
Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah
pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan
ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan
bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara
menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas
menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga
dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan
yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan
anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik ,
maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang
sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba
melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah
keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan
sahsiah anak-anak.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling
bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah
mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada
diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu
menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan
panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi
anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan
dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu
diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain
setiap kali menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak
bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak
membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan
terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.
Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih
sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-
padu dan saling menghormati.

Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana


dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah
supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang
pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju
dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur
dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk
melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa
juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak
dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam
berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan
membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak
berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan
penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi
melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya ,
pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa
mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab .

Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-
anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa
perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui
latar belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan
sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana
anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau
kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama.
Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal
ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa
dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng
arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan
yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak
lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu
bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau
bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah.
Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat
diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri
anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu


bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak .
Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari
akan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia .
Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan
ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus
bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka
terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan
keperibadian mereka kerana mereka merupakan “role model” bagi anak-anak.
Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan
yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. “Rumahku, Syurgaku”

You might also like