You are on page 1of 7

Pengembala Biri -biri

Pada suatu waktu dahulu, dalam sebuah kampung, tinggal seorang remaja yang nakal
bernama Mamat. Mamat bekerja mengambil upah menjaga kambing biri-biri di
sebuah ladang, iaitu pengembala biri-biri. Oleh kerana kerjanya itu, Mamat lebih
dikenal sebagai Mamat Biri-biri.

Setiap hari, Mamat akan membawa biri-biri itu ke padang di hujung kampung itu
untuk meragut rumput. Mamat akan menunggu biri-biri itu meragut rumput dari pagi
hingga ke petang. Apabila menjelang petang, semua biri-biri itu akan dibawa pulang
ke kandangnya. Begitulah rutin kerja Mamat setiap hari.

Pada mulanya, Mamat amat menyukai kerjanya itu. Mengembala biri-biri tidaklah
susah dan tidak perlukan tenaga yang banyak. Mamat boleh berehat atau melakukan
apa saja yang dia suka ketika menunggu biri-biri meragut. Saban hari Mamat
menghabiskan masanya dengan tidur di bawah pokok dan berangan-angan.

Lama kelamaan, Mamat menjadi bosan dengan kerjanya itu. Dia tidak ada kawan
untuk berbual atau bercerita. Yang ada hanyalah sekawan biri-biri yang begitu asyik
meragut rumput-rumput. Kebosanan Mamat semakin menjadi-jadi dari hari ke hari.
Saban hari Mamat bermenung dan merungut sendirian mengenangkan nasibnya.
Suatu petang, Mamat mendapat akal untuk menghilangkan kebosanannya itu.

"Tolong! Tolong! Serigala menyerang!"


"Tolong!!! Serigala menyerang biri-biri!"

Jeritan Mamat itu dapat didengari oleh sekumpulan peladang yang sedang
bercucuk tanam tidak jauh dari padang rumput itu. Peladang-peladang itu bergegas
ke tempat Mamat untuk membantunya. Apabila mereka sampai di sana, mereka lihat
Mamat sedang ketawa terbahak-bahak.
"Hahaha...! Semua dah kena tipu. Hahaha...!"
"Aku berjaya mengenakan kamu...Hahaha...!" Kata Mamat bersulam dengan
ketawanya.

"Cis! Mamat, kamu dah mempermainkan kami" Marah peladang-peladang itu sambil
berlalu menuju ladang mereka.

Mamat rasa terhibur dengan kejadian itu. Perasaan bosan yang menguasai diri Mamat
sebelum ini, hilang ditiup angin petang itu. Mamat berkira-kira untuk mengulangi
kejadian seperti petang itu.

Selang beberapa hari, Mamat mengulangi lagi perbuatannya menipu orang kampung
itu. Timbul rasa seronok apabila setiap kali Mamat mengulanginya. Perbuatan Mamat
membuat onar di kampung itu telah tersebar luas. Biarpun ada di antara penduduk
kampung itu menasihati Mamat, tetapi dia tetap dengan hobi barunya itu. Nasihat
demi nasihat yang diberikan penduduk kampung itu, tidak pernah diambil peduli.

Lama-kelamaan, orang kampung mulai lali dengan kerenahnya. Mereka hanya


membiarkan sahaja Mamat menjerit dalam penipuannya. Mamat juga menjadi bosan,
kerana helahnya sudah tidak dipeduli orang.

Pada suatu hari sedang Mamat bermenung, tiba-tiba semua biri-biri jagaannya berlari
ke sana dan ke sini, tanpa arah dalam ketakutan. Mamat terperanjat melihat
kehadiran sekawanan serigala yang sedang berusaha mengejar biri-birinya.

"Tolong! Tolong!!! aku diserang serigala..."


"Tolong! Tolong! Tolong!!! selamatkan biri-biri ku..." Mamat menjerit berulang kali,
tapi semuanya sia-sia.
Beberapa ekor biri-birinya mati dikerjakan oleh kawanan serigala itu. Serigala itu
berlalu pergi meninggalkan Mamat dan saki baki biri-biri yang tinggal setelah
kekenyangan. Mamat yang terperanjat dan ketakutan itu, menangis semahu-
mahunya. Dia sedar akan kesilapannya yang lalu telah menyebabkan orang kampung
tidak datang menolongnya. Dan akibatnya, biri-birinya telah menjadi habuan kepada

serigala.

Sekian....Ingat! jangan suka bercakap bohong....


Ibu…ibu…
Engkaulah ratu hati ku..

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada barisan juri


yang bijaksana serta rakan yang dihormati sekalian.

Rakan-rakan,
Ayah dan ibu adalah insan yang paling penting dalam hidup kita kerana
adanya ayah dan ibulah kita wujud di dunia ini. Mari dengar cerita saya ini.
Cerita ‘Pesan Ibu dan Ayah’.

Cuaca tengah hari ini itu terik sekali. Matahari betul-betul tegak di atas
kepala. Bahangnya terasa seolah-olah membakar kulit. Pokok-pokok
langsung tidak bergoyang menandakan tidak ada angin. Di sebuah lorong
kecil, terletak di antara rumah setinggan di perkampungan itu, kelihatan tiga
orang kanak-kanak lelaki sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Masing-masing menggalas beg yang sarat dengan buku. Wajah ketiga-tiga
mereka nampak letih dan dibasahi peluh tetapi mereka tetap meneruskan
perjalanan. Tiba-tiba, si adik yang paling kecil dengan wajah yang berkerut
mengadu kepada abangnya bahawa dia berasa amat dahaga. Kebetulan
mereka lalu di hadapan sebuah kedai runcit. Kelihatan beberapa orang
kanak-kanak sedang enak makan aiskrim di situ. Faizul menelan air liur.
Tubuhnya terus dibasahi peluh. Ketika itu juga, si adik merengek-rengek
kerana dahaga. Si abang iaitu Faizal cuba memujuk Faizul kerana rumah
mereka sudah hampir. Apakan daya, Faizal tidak mempunyai wang untuk
membeli air. Apatah lagi ais krim untuk adiknya itu. Dia berasa amat kasihan
kepada adiknya itu.Hari ini, ibu mereka tidak memberikan wang belanja
sekolah. Mereka hanya membawa bekal jemput-jemput pisang dan sebotol
air masak sahaja untuk mengalas perut ketika waktu rehat. Bukan hari itu
sahaja mereka tidak membawa wang belanja ke sekolah. Sudah banyak kali
mereka ke sekolah dengan hanya membawa air dan biskut atau roti sahaja.
Kehidupan mereka tidak sama seperti kanak-kanak yang lain.Mereka makan
ala kadar sahaja kerana ibu bapanya terpaksa menjimatkan duit bagi
menyara persekolahan mereka. Faktor kemiskinan juga menyebabkan
mereka terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer ke sekolah.

Rakan-rakan,
Bagi Faizal dan Fairuz, mereka sudah biasa dengan keadaan itu tetapi
mereka kasihan terhadap Faizul yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa itu.
Tentu dia tidak faham mengapa mereka terpaksa berjalan kaki setiap hari.
Hampir setiap hari mereka berasa letih kerana berjalan kaki ke sekolah.
Faizal, Fairuz dan Faizul sampai ke rumah dengan peluh membasahi
bajunya. Ibu segera menghidangkan nasi di atas meja. Selepas menyalin
pakaian sekolah, Faizal dan Faizul segera menerpa ke dapur kerana mereka
sangat lapar. Tiba-tiba, Faizul memberontak sambil merengek-rengek
kerana setiap hari makan berlaukkan telur dan nasi. Ibunya dengan sayu
memujuk Faizul supaya makan makanan yang telah dihidangkan. Faizul
terus membentak untuk makan makanan yang sedap-sedap seperti ayam
dan daging yang tidak mampu disediakan oleh ibunya. Namun, Faizul
memarahi ibunya kerana dia tidak faham mengapa ayah dan ibunya sering
memberikan alasan tidak ada duit. Ibu memujuk Faizul dengan lembut
sambil mengusap-usap kepala anaknya. Ibu menerangkan kesusahan dan
kepayahan ayahnya yang mencari rezeki demi membesarkan anak-anaknya
dengan baik. Faizul akhirnya diam. Walaupun sebentar tadi dia
memberontak tidak mahu makan tetapi setelah dipujuk oleh ibunya, dia
makan juga dengan lahap. Si ibu tersenyum melihat gelagat anaknya. Faizal
yang merenung tidak jauh dari situ telah mendengar segala perbualan antara
ibu dan adiknya. Perbualan itu tidak lagi asing baginya. Dia telah mendengar
beratus-ratus kali tentang perkara yang sama setiap kali adiknya merajuk
dan menangis.Faizal kasihan kepada ibu dan ayahnya yang telah banyak
berkorban.

Hai segala anaknya Adam,


Kasihnya ibu tiada sempadan,
Kasihnya ayah rela berkorban,
Badan dan nyawa jadi taruhan.

Pada suatu hari, Faizal pergi ke kedai kerana disuruh ibunya untuk membeli
beberapa barang keperluan. Dia terserempak dengan beberapa anak jiran
yang sedang duduk di tepi padang. Kawan-kawannya mengajak Faizal untuk
singgah berbual dengan mereka. Tiba- tiba, perbualan mereka bertukar
kepada sesuatu yang tidak disangka-sangka oleh Faizal. Rupa-rupanya
mereka bertiga telah merancnag untuk mencuri di beberapa kedai runcit di
kampung itu. Hati Faizal mula berdebar-debar dan cemas. Mereka telah
mengajak Faizal untuk menyertai rancangan mereka tetapi Faizal terus
menggelengkan kepalanya menandakan tidak setuju. Seumur hayatnya
belum pernah dia berniat untuk mencuri. Sejak kecil ayah dan ibunya selalu
berpesan jangan mencuri, berdosa. Lantaran tidak bersetuju dengan
rancangan itu, Faizal diminta untuk merahsiakan rancangan mereka. Faizal
mengangguk tetapi perasasnnya hanya tuhan yang tahu. Sedikit pun dia
tidak percaya bahawa mereka bertiga melakukan kerja yang tidak bermoral.
Dengan segera Faizal berlalu dari situ.
Faizal berasa serba salah memandang wajah Pak Amin yang tenang dan baik
itu. Dia teringat rancangan jahat budak-budak nakal itu. Perasaanya
berkecamuk sehingga terlupa membeli barang yang dipesan oleh ibunya. Dia
terus pulang ke rumah. Ibunya berasa hairan melihat Faizal yang
kegelisahan. Ibunya memandang wajah Faizal. Faizal tunduk memandang
ke lantai. Dia tidak tahu apa yang harus diberitahu kepada ibunya. Dia serba
salah. Tiba-tiba, terpacul di mulutnya menceritakan perkara sebenar.
Ibunya menasihati Faizal agar memberitahu perkara sebenar kepada Pak
Amin. Akhirnya, Faizal berasa lega kerana dapat membantu Pak Amin yang
telah banyak membantu keluarganya.

Wahai kawan-kawan, tanpa ayah dan ibu tiadalah kita. Siapalah kita tanpa
ayah dan ibu yang banyak berkorban kepada kita. Jadilah kita anak yang baik
dan bertanggungjawab kepada ibu bapa, masyarakat, negara, dan agama.
Kasih ibu tiada tandingan ,kasih ayah tiada terbalas. Walau siapa pun ibu
bapa kita, miskin atau kaya, mereka tetap ibu dan ayah yang telah
membesarkan kita.

Sekian ,terima kasih.

You might also like