You are on page 1of 10

Kepentingan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat

Budi bahasa budaya kita sering menjadi slogan dalam ucapan pemimpin negara.

Huraikan kepentingan amalan berbudi bahasa kepada negara kita.

Budi bahasa merujuk amalan menggunakan bahasa yang sopan apabila berbicara dengan orang
lain. Antara bukti yang menunjukkan seseorang itu berbudi bahasa ialah dia menggunakan
bahasa panggilan yang betul, nada yang lembut, dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat
apabila berbicara. Pihak media massa terutamanya televisyen sering menyiarkan berita tentang
sikap ahli masyarakat kita yang sudah melupakan amalan berbudi bahasa dalam kehidupan
harian. Maka, wujud banyak kelebihan apabila ahli masyarakat kita mengamalkan amalan
berbudi bahasa dalam aktiviti harian mereka.

Kelebihan pertama ialah budi bahasa berupaya membentuk negara ini menjadi sebuah negara
yang aman dan harmoni. Negara menjadi sebuah negara yang harmoni lagi aman kerana semua
rakyatnya tidak berbicara tentang perkara yang berunsur sensitif atau mampu menimbulkan
kekecohan pula. Lama-kelamaan, semua ahli masyarakat akan menjadi lebih peka dengan
kelebihan atau kekurangan pihak lain lalu tidak sengaja menggunakan bahasa yang tidak sopan
untuk menegur mereka. Lantaran itu, semakin banyak orang berbudi bahasa semakin amanlah
negara ini daripada pihak-pihak yang berniat jahat itu.

Selain itu, perpaduan antara rakyat Malaysia menjadi lebih utuh apabila budi bahasa menjadi
gaya hidup rakyat. Perpaduan yang kukuh itu boleh diperoleh kerana setiap ahli masyarakat
berinteraksi sesama mereka tanpa ada sekatan bahasa atau tindakan yang boleh menyinggung
perasaan mereka. Interaksi yang berjalan dengan produktif itu menjamin tidak berlakunya
sebarang ancaman perpecahan antara kaum yang biasanya kita lihat berlaku di negara luar. Jadi,
masyarakat yang mengutamakan budi bahasa akan menjamin wujudnya perpaduan yang intim
antara ahli masyarakat tersebut.

Tambahan pula, kemampuan rakyat untuk berbudi bahasa dalam pergaulan harian mampu
menjadikan maruah atau imej negara Malaysia lebih baik. Setiap kali rakyat kita mengamalkan
budi bahasa sudah pasti orang lain akan melihatnya lalu amalan itu menjadi buah mulut
masyarakat luar. Aktiviti yang sopan ini akan mula dikenali sehingga nama negara disebut-sebut
oleh pihak asing terutamanya menggunakan media massa zaman moden seperti internet itu.
Sesungguhnya, nama Malaysia akan tersohor di dunia ini apabila masyarakat kita terutamanya
remaja menjadikan budi bahasa sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan mereka
tersebut.

Kehadiran pelancong terutama pelancong asing dijangka akan bertambah apabila berita tentang
ketinggian budi bahasa rakyat kita diketahui oleh masyarakat luar. Ketinggian budi bahasa rakyat
akan bertukar menjadi budaya tempatan yang ingin diketahui oleh pelancong asing itu kerana
budaya berbudi bahasa tidak wujud di semua negara. Kemunculan pelancong asing yang datang
untuk melihat budaya kita pastinya akan menimbulkan rasa kebanggaan dalam jiwa rakyat yang
bergelar rakyat Malaysia itu. Jelaslah, pelancong asing akan berduyun-duyun datang ke Malaysia
apabila mengetahui ketinggian budi bahasa yang diamalkan oleh rakyat negara ini.

Malahan, amalan berbudi bahasa berupaya menjadikan kehidupan masyarakat kita lebih baik.
Kehidupan rakyat Malaysia lebih tenteram kerana negara ini tidak mengalami sebarang
pergaduhan atau peperangan yang boleh tercetus akibat ketiadaan budi bahasa sesama ahli
masyarakat tersebut. Situasi ini menjadikan ekonomi, politik, dan sebagainya lebih stabil lalu
taraf hidup rakyat menjadi lebih tinggi berbanding negara jiran yang sering bergolak itu. Jadi,
rakyat yang berbudi bahasa akan membawa negara ini mengalami satu suasana kehidupan yang
lebih bermakna dan gembira serta menarik pula.

Kesimpulannya, semua kelebihan berbudi bahasa tadi itu akan berlaku apabila semua rakyat di
negara ini mengamalkannya tanpa dalih. Semua pihak terutamanya remaja harus melihat
berbudi bahasa sebagai sesuatu yang menarik untuk diamalkan kerana sikap ini akan
menjadikan remaja lebih dihormati oleh rakan dan ibu bapa serta masyarakat. Kegagalan untuk
berbudi bahasa ini akan membawa negara kita terjerumus ke lembah yang hina seperti kancah
peperangan itu. Peribahasa orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa
membuktikan bahawa amalan berbudi bahasa itu pasti membuahkan hasil yang positif kepada
sesiapa sahaja yang mengamalkannya dalam hidup mereka.

KARANGAN 1: KEPENTINGAN DAN LANGKAH PEMUPUKAN AMALAN BUDI BAHASA

PENDAHULUAN

(T) Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan
mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam
masyarakat. Budi bahasa ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia
demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan,
“Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak
mengenali diri lihatlah pada wajah”. Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian
dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia
amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. (I) Namun begitu, dalam
mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan
masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja
bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah
seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca
televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi
bahasa dalam kalangan masyarakat. (A) Sebelum keadaan menjadi lebih parah, budaya berbudi
bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu
kemaslahatan boleh diperoleh.

(K1): Salah satu kepentingan amalan ini ialah amalan ini dapat mewujudkan perpaduan antara
masyarakat berbilang kaum di negara kita. (M) Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling
menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Bukan itu
sahaja, amalan murni ini akan mendidik masyarakat yang berlainan bangsa dan agama supaya
sentiasa menjaga perasaan antara satu sama lain sama ada melalui tutur bicara atau perlakuan.
Kata orang, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku atau kata buruk
padahnya”. (B) Cetusan gagasan Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd
Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam merupakan langkah yang
bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat yang semakin goyah akibat fahaman politik
yang berbeza. Konsep ini membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan
rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan
dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling
mempercayai antara kaum. (K) Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat
hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang
berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau
rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan yang
ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ jelas menunjukkan
pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah
ada menyatakan bahawabersatu teguh bercerai roboh justeru apabila masyarakat bersatu,
negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat
kestabilan negara dengan mudah. (P)Tegasnya, konsep perpaduan dapat dicapai dengan mudah
sekiranya amalan budi bahasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

(K2): Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat
yang lebih bertamadun. (M) Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun
merupakan masyarakat yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur
selain pencapaian lahiriah. Oleh itu, masyarakat pada masa tersebut dapat membina tamadun
dan empayar yang kuat dan hebat seperti tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun
Hwang Ho dan tamadun Indus walaupun pada masa itu teknologi masih belum berkembang
dengan sepenuhnya. (B) Untuk membina tamadun yang unggul, kita tidak seharusnya bersikap
biadap dan kasar seperti mengeluarkan kata-kata yang kesat sehingga memilukan hati pihak
lain bagai ditusuk sembilu. Perlakuan seumpama ini menggambarkan masyarakat tersebut
masih berada dalam Zaman Jahiliah di mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa
tersebut adalah sangat rendah. (K) Sekiranya masyarakat kita lebih bertamadun, sudah pasti kita
dapat mempertahankan kemerdekaan. Dalam konteks ini, negara amat memerlukan masyarakat
yang berfikiran matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing
seperti kuasa Barat. Secara tidak langsung, industri pelancongan juga turut
meningkat. (P) Secara ringkasnya, masyarakat yang bertamadun dapat dilahirkan melalui
amalan budi bahasa.

(K3): Selain itu, masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif
seperti memberikan layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing.
(M) Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej yang positif tentang negara kita dalam diri
pelancong. Pelancong juga akan mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana
beranggapan bahawa kedatangan mereka ke sini dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat
tempatan. (B)Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu
pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan peranan yang lebih
penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut
ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana
masyarakatnya sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan ‘irasshaimase’ yang
bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak
kira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa
dalam masyarakat Jepun. (K)Sekiranya amalan ini diikuti, sudah pasti keramahan dan
kesantunan rakyat Malaysia akan sentiasa meniti dari bibir ke bibir para pelancong dan sentiasa
memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama mereka. Senario ini secara tidak
langsung akan menjana ekonomi negara melalui industri pelancongan negara yang kian
mendapat sambutan hangat. (P) Jadi, budaya yang murni ini amat penting ketika
berurusan dengan pelancong asing agar mereka dapat menikmati percutian di negara kita.

(K4): Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan. (M) Pemimpin yang
baik akan dapat mentadbir negara dengan lancar kerana mendapat sokongan yang padu
daripada rakyat. Pemimpin yang berbudi bahasa sentiasa menitikberatkan kepentingan orang
lain daripada kepentingan peribadi. Mereka akan bertindak dengan bijaksana untuk menjaga
perasaan pelbagai pihak ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung
tidak berselerak. (B)Sehubungan dengan itu, golongan remaja merupakan aset yang sangat
bernilai kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk
kepimpinan negara. Oleh itu, budi bahasa seperti menghormati orang tua, bertutur dengan
sopan, bertolak ansur dan amalan tolong-menolong perlulah dijadikan panduan dalam
kehidupan mereka supaya mereka dapat menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi dan
berkarisma dapat dilahirkan. (K) Pemimpin yang berbudi bahasa dapat meningkatkan imej
negara kerana pemimpin pemimpin dari negara lain akan kagum dan menghormati negara kita.
Ironinya, hubungan diplomatik bagi menjamin kemajuan dan keselamatan negara dapat
dijalinkan dengan mudah. Dengan itu, negara kita akan dapat duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi dengan negara lain. (P) Pendek kata, negara kita akan terkenal di persada dunia
kerana memiliki seorang pemimpin yang berwibawa melalui amalan budi bahasa yang
dipamerkan.

(L1): Menyedari akan pelbagai kemaslahatan di atas, kita haruslah mengambil langkah-langkah
yang pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari
rakyat kita. Oleh itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu
batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah
melalui rombakan sistem pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab
penting ini kepada pihak pendidikan. (M) Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk
mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan, kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi
insan yang kamil dan holistik sama ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja,
pendidikan juga mampu melahirkan insan yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa. (B) Hal ini
juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar
kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Rombakan ini dapat dilihat
melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan amalan budi bahasa dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari
peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun.
Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai
murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. (K) Mereka percaya
bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka,
mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah
yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan
raga demi negara yang tercinta. (P) Jelaslah bahawa dalam usaha untuk memupuk amalan budi
bahasa, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan.

(L2): Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti
kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. (M) Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum
merupakan wadah yang paling berkesan dalam membentuk amalan budi bahasa seperti
bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Para guru
pula dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai
program bagi memupuk amalan budi bahasa ini kerana pelajar ibarat pohon yang baru ditanam.
Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang
secukupnya. (B) Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan
beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk semangat
berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan
khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain
itu, aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah,
mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan perasaan bertanggungjawab para
pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak
cinta.’ (K) Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar akan membentuk jati
diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada
’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab
terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui
pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon
awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak
menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang
lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam
atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana
tahap budi bahasa dalam kalangan masyarakat telah meningkat. (P) Pendek kata, amalan budi
bahasa sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak
sekolah.

(L3): Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil yang
berbudi bahasa tinggi. (M) ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya,’ begitulah peribahasa yang
membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-
anak mereka. Memang tidak dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam
kehidupan anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa
merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh untuk melahirkan insan
yang kaya budi bahasa. (B) Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar apabila anak-anak memasuki alam
persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan
bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang
lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar
agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Dalam
hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan
betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling
menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. (K) Dengan ini,
hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di samping dapat mewujudkan baiti
jannati. Malah yang lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan berbudi bahasa yang akan
mencerminkan maruah keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap biadab
yang mampu menconteng arang ke muka keluarga sendiri. (P) Sesungguhnya, peranan ibu bapa
yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk amalan budi bahasa
dalam diri anak-anak.

(L4) Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang berbudi bahasa adalah
melalui kempen yang berkesan. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang
diadakan mampu menyedarkan masyarakat tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam
kehidupan seharian kita. Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai
dengan kempen-kempen yang diadakan. (B) Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005
Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai
Murni. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita
berbudi bahasa selayaknya. Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa memimpin
KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar fatamorgana hidup sehingga sanggup
merendahkan tahap budi bahasa kita. Suatu ketika dahulu , majalah Readers Digest telah
menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur menjadi
bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh
itu, kempen seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya
sekadarmelepaskan batuk di tangga. (K) Dengan ini, diharapkan kempen yang bersungguh-
sungguh ini dapat menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke
dalam jiwa setiap rakyat Malaysia serta meletakkan budi pekerti sebagai satu asas dan tunjang
dalam kehidupan kita. Secara implisitnya, negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari
insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya
dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. (P) Izharlah bahawa peranan kempen
juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam kehidupan seharian kita.

PENUTUP
(K) Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa amalan budi bahasa amat
mustahak untuk negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi
yang lain di dunia. ‘Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang
elok itu budi’, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam
kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang mengatakan
bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli. (C) Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan berbudi
bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah
dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur
dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam
menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya
mengharapkan sebelah pihak sahaja untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat
Malaysia kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-
nilai Murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran
rakyat. (H) Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah berkata, “Malaysia yang aman dan damai akan
lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis
dari jiwa mereka”. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti
kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia
supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah pepohon terus bergoyang,
biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara Malaysia terus disegani kerana ketinggian
budi bahasa rakyatnya.

Karangan Bahagian B Cara-cara mewujudkan Budaya Membaca dalam kalangan remaja kita

Dalam menempuhi kehidupan era milenium yang penuh kontroversi ini, secara sedar atau
tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan sains dan teknologi, budaya membaca kian dipandang
enteng dalam komuniti madani. Fenomena ini sering menjadi mauduk bicara komuniti dunia
yang telah melalui anjakan paradigma dalam kehidupan. Masyarakat Malaysia yang mentalitinya
masih berada di kelas ketiga kurang menghargai buku-buku yang memberikan ilmu. Jika kita
memfokuskan lensa perbincangan ke negara lain, negara Jepun terutamanya akan menjadi entiti
mithali kita. Masyarakat Jepun amat menghargai ilmu dan mengamalkan budaya membaca di
mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Mereka dapat dilihat membaca buku semasa
menunggu LRT, di kedai kopi dan di rata-rata tempat. Menurut kajian Universiti Malaya, rata-
rata rakyat negara kita kurang berminat membaca buku kerana rakyat hanya membaca sebuah
buku setiap tahun. Menurut tokoh akademik yang tersohor, Professor Diraja Engku Aziz, beliau
sering memperkatakan bahawa wawasan 2020 tidak akan tercapai sekiranya masyarakat tidak
bergerak maju dengan pelengkapan ilmu pada diri rakyat. Generasi kini telah diamanahkan
sebagai pemimpin negara masa hadapan untuk melonjakkan nama negara ke mata dunia
sebegai negara maju supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-
negara maju yang lain. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa setiap penyakit ada
penawarnya. Oleh hal yang demikian, marilah kita mencari perencah yang terbaik bagi
mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja kita.

Umum mengetahui bahawa langkah yang bertunjangkan kewarasan minda perlulah diambil,
iaitu melalui peranan diri sendiri. Setiap rakyat mampu mengubah keadaan dengan perubahan
sikap dan anjakan paradigma. Amalan hedonisme perlulah dikikis dalam generasi muda dan
disemai dengan peradaban terpuji. Amalan membaca khususnya mampu memberikan nafas
baharu dalam jiwa masyarakat dan melihat keadaan daripada perspektif yang berbeza. Budaya
membaca merupakan suatu hobi yang baik dipraktikkan dan akan menjadi suatu pelaburan yang
bijak. Hal ini demikian kerana wang yang dibelanjakan untuk membeli buku tidak disia-siakan
dengan penambahan ilmu dalam individu tersebut. Perkataan-perkataan yang digunakan
melalui penulisan buku tersebut dapat menambahkan perbendaharaan kata. Dengan ini,
penulisan karangan dapat ditingkatkan dengan penguasaan kata-kata yang luas. Setiap individu
berperanan untuk berdisiplin dan memupuk budaya membaca dalam diri mereka. Pembacaan
buku bukan hanyalah untuk meluluskan peperiksaan awam tetapi dapat membentuk
keperibadian mulia pada diri seseorang. Individu tersebut perlu mengambil pendekatan dengan
meminjam buku-buku daripada kawan dan rajin melawat perpustakaan. Mereka juga boleh
membeli buku dari pameran buku seperti Pusat Dagangan Dunia Putra (Putra World Trade
Centre, PWTC) yang merupakan pameran buku antarabangsa. Pameran buku Big Bad Wolf pula
mempamerkan buku yang harganya amat murah untuk pembelian pelbagai peringkat
masyarakat. Masyarakat bolehlah mengambil langkah pertama dengan membaca satu buku
pada setiap bulan. Persis kata peribahasa, alah bisa tegal biasa. Dengan berbuat demikian,
ternyatalah bahawa peranan diri amatlah berkesan sekiranya perubahan sikap dapat dilakukan.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa cara yang lebih pragmatik perlulah diambil, iaitu
melalui peranan ahli keluarga. Ibu bapa terutamanya merupakan unit asas dalam pembentukan
sesebuah keluarga. Anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan ibu bapalah yang
mencorakannya. Ibu bapa merupakan pendidik pertama kanak-kanak dan berperanan penting
sebagai suri teladan mereka. Ibu bapa haruslah rajin membaca bahan bacaan yang pelbagai
seperti majalah, surat khabar dan novel agar dapat mempengaruhi anak-anak. Mereka juga
boleh membuat langganan majalah setiap bulan untuk pembacaan anak-anak. Selain itu, ibu
bapa harus menggalakkan anak-anak tentang manfaat yang diperoleh melalui membaca.
Mereka boleh meluangkan masa dengan membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai
buku sekiranya terdapat penjualan murah. Pembelian buku untuk pembacaan merupakan suatu
pelaburan yang bijak kerana dapat menambahkan ilmu tentang perkembangan berita semasa.
Bak kata cendekiawan, melentur buluh biarlah dari rebungnya, budaya membaca hendaklah
dipupuk sejak kecil lagi untuk membiasakan anak-anak. Ibu bapa boleh menetapkan suatu bilik
di rumah sebagai perpustakaan mini dengan meletakkan semua bahan bacaan di sana. Dalam
pada itu, remaja akan dapat mengisi masa lapang dengan membaca buku sebagai hobi yang
berfaedah dan mengelakkan diri dengan gejala maksiat. Peranan ibu bapa dapat dibuktikan
dengan cogan kata kepimpinan melalui teladan. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya
diakui bahawa peranan ahli keluarga, terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang vital
dalam mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja.

Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa kaedah lain yang agak jelas ialah melalui peranan
sekolah. Pihak sekolah sentiasa mengadakan program NILAM yang bermaksud Nadi Ilmu
Amalan Membaca. Program NILAM dapat menyemai sikap membaca dengan menulis sinopsis
setiap buku yang dibaca oleh murid-murid. Selain itu, anugerah NILAM dapat diberikan kepada
murid-murid yang membaca buku lebih daripada 200 buku sehingga tamat pembelajaran
tingkatan 5. Minggu membaca juga merupakan satu insentif yang baik dengan memperkenalkan
bahan bacaan yang pelbagai. Pertandingan tentang pengetahuan umum dapat dilaksanakan
untuk menguji tahap pengetahuan murid-murid. Seterusnya, pameran buku di sekolah dapat
dilakukan dengan potongan harga untuk murid-murid supaya memupuk budaya membaca.
Guru-guru sekolah juga mengangkat amanah dalam menarik minat remaja untuk membaca.
Guru-guru boleh menggalakkan murid membeli surat khabar sebagai bahan pembelajaran
seperti aktiviti mengumpul artikel-artikel surat khabar. Persatuan atau kelab membaca boleh
ditubuhkan dan menggiatkan aktiviti yang menjurus kepada amalan membaca. Pusat sumber
sekolah hendaklah mengenaskini baha-bahan bacaan terkini agar tidak diluputi masa dan
sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas. Oleh sebab sekolah merupakan rumah kedua para
pelajar, maka budaya membaca boleh diwujudkan dalam kalangan para pelajar. Cogan
kata membaca itu jambatan ilmu hendaklah sentiasa diuar-uarkan. Seperti yang kita sedia
maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang signifikan
agar pelajar menjadi berilmu.

Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan usaha yang seterusnya, iaitu
melalui peranan media massa. Media massa seperti radio, surat khabar, dan televisyen menjadi
satu mediaum yang memberikan maklumat terkini kepada masyarakat. Iklan-iklan tentang
budaya membaca dan drama tentang kebaikan membaca hendaklah sentiasa ditayangkan pada
kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, kempen membaca perlulah dijalankan sepenjang
tahun dan bukannya hangat-hangat tahi ayam dan melepaskan batuk di tangga sahaja. Baucer
tentang diskaun pembelian buku bolehlah dijalankan pada surat khabar untuk menarik
perhatian masyarakat. Surat khabar seperti Berita Harian dan New Straits Times juga mengambil
pendekatan dengan membuat tajaan surat khabar kepada sekolah-sekolah. Dokumentasi
tentang bahan-bahan bacaan baharu di pasaran dan temu duga penulis-penulis buku dapat
dilaksanakan oleh media massa. Program menderma atau menjual buku-buku lama kepada
rumah anak yatim atau perpustakaan perlulah digiatkan agar orang lain dapat membaca buku-
buku tersebut. Masyarakat pula perlulah mengutamakan pendidikan dan menyokong setiap
kempen yang diuar-uarkan melalui media massa. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta,
hakikatnya dapatlah kita simpulkan bahawa peranan media massa yang merupakan nadi
masyarakat dan memberikan pengaruh yang terbesar kepada golongan remaja.

Suatu hakikat yang wajar diterima ialah prakarsa melalui peranan pihak kerajaan.
Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya perlulah memperuntukkan bajet kepada
perpustakaan awam yang terdapat di Malaysia untuk kegunaan pelanggan. Buku-buku yang
diimport hendaklah dikecualikan cukai import agar tidak membebankan golongan yang kurang
berkemampuan. Kementerian Pendidikan juga boleh memberikan diskaun buku kepada murid
yang mendapat keputusan cemerlang semasa di institusi pengajian tinggi untuk menyokong
budaya membaca. Mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/
IPTS) perlulah diwajibkan membaca novel sebagai satu kriteria pemarkahan peperiksaan.
Sementelahan itu, calon guru hendaklah diwajibkan untuk membaca sebuah novel dan
membentangkan jalan cerita sebelum layak menjadi seorang guru sebenar. Pihak kerajaan wajar
memberi perhatian kepada masyarakat luar bandar yang kemudahannya kurang sempurna jika
dibandingkan dengan bandar. Pihak kerajaan seyogianya mengambil inisiatif melaksanakan
"perpustakaan bergerak" yang menggunakan trak untuk menghantar buku-buku kepada
penduduk di pedalaman. Maka, penduduk di sana akan dapat menikmati suasana perpustakaan
yang senyap dan kondusif di samping menuntut ilmu pengetahuan. Tambahan pula, pihak
kerajaan sepatutnya menyeru pusat membeli-belah agar menetapkan ruangan membaca di
suatu sudut untuk mengisi masa lapang selepas membeli-belah. Lantaran berpaksikan
kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa pihak kerajaan perlulah berfikiran kreatif dalam
menyeru warga Malaysia agar mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja.

Sebagai pengitlakan, semua pihak perlulah menggembleng kudrat melipatgandakan usaha


dan memperlihatkan komitmen yang berterusan dalam mewujudkan budaya membaca dalam
kalangan remaja kita. Remaja Penggerak Wawasan, Generasi Muda Peneraju
Wawasan dan Generasi Muda Wawasan Bangsa, itulah cogan kata yang sering kita lihat yang
membuktikan betapa pentingnya remaja dalam menjadi pemimpin negara masa hadapan.
Remaja yang baru berumur setahun jagungdan berdarah setampuk pinang masih tidak dapat
membezakan yang mana intan, yang mana batu kelikir. Mereka hendaklah dididik dengan
ilmu yang berkualiti dan cogan kata "Membaca Sepanjang Hayat" amat bertepatan dengan
pendidikan yang bakal diperoleh. Pendidikan itu merupakan metadologi yang berkesan dalam
mengubah taraf kehidupan masyarakat dan negara. Kita tidak seharusnya bersikap tutup
sebelah mata, sebaliknya membuka mata, membuka minda, membuka hati dan kenali diri.
Masyarakat perlulah bertindak secara glokal dan berfikiran secara global. Marilah kita bersama-
sama melakukan anjakan paradigma dan belajarlah budaya membaca dengan membawa
sebuah buku ke mana-mana sahaja dan membaca ketika masa lapang. Kita perlulah mencontohi
masyarakat Jepun yang begitu menghargai ilmu. Dengan ini, biarlah matahari terus bersinar,
biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gemilang dengan mewujudkan
budaya membaca dalam kalangan remaja negara kita.

You might also like