You are on page 1of 7

Tajuk 01

Di kawasan tempat tinggal anda, masalah bekalan air sering berlaku. Hal ini banyak
menimbulkan masalah kepada penduduk. Sebagai wakil penduduk, anda ingin mengemukakan
masalah ini kepada pihak berkuasa bekalan air.

Tulis surat tersebut selengkapnya.

Sivaji Ram
22, Lorong Pahlawan 29,
Bandar Botanik,
41200 Klang,
Selangor Darul Ehsan.
____________________________________________________________

Tuan Pengarah

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)


Menara SYABAS
Jalan Sultan Ibrahim,
41000 Klang,
Selangor Darul Ehsan. 10 SEPTEMBER 2018.

Tuan,

Masalah Bekalan Air di Taman Perumahan

Berdasarkan perkara di atas, saya Sivaji Ram selaku wakil penduduk menulis surat ini kepada pihak
tuan. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menyuarakan kesulitan akibat masalah bekalan air
yang kami hadapi sejak 6 bulan yang lalu. Masalah yang belum diatasi ini membawa pelbagai kesulitan
kepada kami.

2. Masalah bekalan air yang berlaku di kawasan perumahan kami telah membawa banyak kesulitan
kepada penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana bekalan air sering terputus tanpa diberikan
sebarang notis daripada pihak SYABAS. Masalah ini menyebabkan kami tidak dapat menyimpan air
yang secukupnya untuk menghadapi keputusan bekalan air yang berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Oleh hal yang demikian, banyak aktiviti harian seperti mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan
diri tidak dapat dijalankan. Masalah ini memberikan ketidakselesaan kepada kami. Kami berharap agar
notis atau surat pemberitahuan disampaikan kepada kami supaya kami dapat sediakan payung
sebelum hujan.

3. Selain itu, kami turut menghadapi masalah bekalan air yang tidak mencukupi sehingga masalah
tekanan air rendah berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana tangki air di taman perumahan kami
tidak cukup untuk menampung bilangan penduduk yang bertambah seperti cendawan tumbuh
selepas hujan. Masalah ini menjadi lebih serius apabila bekalan air terputus. Apabila bekalan air pulih
seperti biasa, tekanan air adalah rendah sehingga kami terpaksa membeli pam air untuk
mempertingkatkan tekanan air di rumah kami. Oleh hal yang demikian, permohonan kami supaya
tangki air tambahan dibina haruslah diberikan perhatian oleh pihak tuan.
4. Kami turut menghadapi masalah bekalan air yang kotor. Hal ini dikatakan demikian kerana bekalan
air paip yang kami peroleh terus daripada tangki berwarna kekuning-kuningan walaupun sudah melalui
tapisan. Kami berasa bimbang bahawa hal ini akan menyebabkan kesihatan penduduk terganggu.
Pada masa yang sama, beberapa kes bayi yang mengalami masalah cirit-birit telah berlaku akibat
meminum air susu yang sumber airnya daripada air paip yang telah dididih. Sebelum nasi sudah
menjadi bubur, kami berharap agar rawatan bekalan air yang dilakukan oleh pihak tuan dapat
menepati ciri-ciri keselamatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar kesihatan kami terjamin.

5. Di samping masalah di atas, kami juga sering menghadapi masalah kecurian bekalan air paip. Hal
ini dikatakan demikian kerana kawasan perumahan kami masih baharu dan projek perumahan masih
dijalankan oleh pemaju perumahan di kawasan tempat tinggal kami. Hal ini menyebabkan pekerja
kontrak pembinaan rumah yang tinggal di kawasan perumahan kami mencuri bekalan air paip dengan
membuat sambungan haram tanpa kebenaran pihak SYABAS. Kami berharap agar pihak tuan dapat
menyiasat perkara ini supaya kami tidak akan terus mengalami masalah bekalan air. Siasatan yang
terperinci perlu dilakukan oleh pihak tuan agar sikap pemaju perumahan yang bersikap bagai enau
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ini dapat dikenal pasti dan diheret ke muka
pengadilan.

6. Masalah seterusnya yang menghantui kami ialah bil bekalan air yang sangat membebankan. Hal
ini dikatakan demikian kerana pegawai bertugas yang datang dari rumah ke rumah untuk mendapatkan
bacaan meter air bersikap melepaskan batuk di tangga. Pegawai yang bertugas sering tidak
mendapatkan bacaan sebenar dan juga sering membuat bacaan anggaran lalu mengenakan bil yang
tidak tepat. Kami berharap agar masalah ini akan mendapat perhatian daripada pihak tuan.
Bayangkanlah, sebuah rumah yang didiami oleh tiga orang penghuni terpaksa membayar bil air
sebanyak RM180 sebulan ekoran daripada sikap pegawai bertugas yang bena tak bena.

Kami berharap semua rintihan dan keluhan hati kami di atas akan diperhatikan oleh pihak SYABAS.
Kami ingin mengucapkan terima kasih atas segala bantuan dan perkhidmatan yang kami terima setakat
ini. Selain itu, kami berharap agar masalah bekalan air di kawasan tempat tinggal kami dapat
diselesaikan secepat mungkin. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
_____________
(SIVAJI RAM)
Wakil Penduduk Bandar Botanik
Tajuk 02

Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yang timbul berpunca
daripada pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu. Sebagai wakil penduduk di tempat anda.
tulis sepucuk surat kepada pihak yang berkuasa bagi mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat
diselesaikan.

Contoh jawapan surat rasmi.

Lin Cheng Heng,


No.6, Jalan Limau Purut 3,
Taman Cheras Perdana,
52400 Kuala Lumpur.
Ketua Balai,
Balai Polis Cheras,
Jalan Ikan Emas 2,
53000 Cheras,
Kuala Lumpu 16 SEPTEMBER 2018

Tuan,

Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana

Merujuk perkara di atas, saya Norazhan b Aripin selaku setiausaha penduduk Taman Perdana, ingin
membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai bilangannya di kawasan
tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai, pelbagai masalah sosial telah timbul
sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.

2…………….Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana
banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan ramai pekerja tanpa izin
bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada
semut. Kebanyakan daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan
Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh pemaju dan
didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian daripada pendatang
tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan penduduk tempatan di
kawasan ini.

3…………….Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan makmur.
Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah segala-galanya. Kejadian
kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga kini terdapat 6
kejadian pecah rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan rompakan
tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang lain. Hal ini menyebabkan
kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang semula. Kami juga percaya bahawa kejadian
jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui pertuturan mereka semasa kejadian jenayah
itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan ini.
4…………….Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan tidak sopan
terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat daripada bekerja telah
diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan kata-kata
berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di antara
pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di kawasan ini, kami berasa
bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas keluarga kami. Justeru, kami berharap
agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami
tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita
mengambil tindakan kerana nasi sudah menjadi bubur.

5…………….Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga
melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah kami maklumi
melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan mereka ketika melakukan
jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat tinggal kami.
Keadaan ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami takut sekiranya ada di
antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat tersebut. Justeru kami
meminta agar pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

6…………….Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat mengambil tindakan
dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah meminta pihak tuan membuat serbuan
dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar
pihak tuan dapat membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang
membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan bantuan dan kerjasama
daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.

7…………….Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya
dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini. Kerjasama daripada pihak
tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

azhan
(Norazhan b Aripin)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana.
Tajuk 03

Persatuan yang anda anggotai di sekolah bercadang hendak mengadakan lawatan sambil
belajar ke sebuah tempat. Sebagai setiausaha persatuan, anda telah diminta untuk menulis
sepucuk surat kepada pihak yang berkenaan untuk meminta kebenaran bagi lawatan tersebut.
Tulis surat itu selengkapnya]

Persatuan Bahasa Malaysia,


SMK Putrajaya Presint 9 (1),
Jalan P9F, Presint 9 62250,
Putrajaya.

Pengurus Besar,
Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd,
Lot 1941, Persiaran Raja Muda,
Seksyen 16,
40700 Shah Alam,
SELANGOR. 13 APRIL 2018.

Tuan,
Memohon Kebenaran Mengadakan Lawatan sambil Belajar ke Kilang Coklat Cadbury

Merujuk perkara di atas, saya Farah Adila binti Azmy selaku setiausaha Persatuan Bahasa Malaysia
ingin meminta kebenaran tuan untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang Coklat Cadbury
kerana kilang ini terkenal di Malaysia dan kami pasti pemilihan kilang ini tidak akan menghampakan
para peserta yang mengikuti lawatan sambil belajar ini. Selain itu, perjalanan dari sekolah kami ke
kilang ini hanya mengambil masa 45 minit sahaja.

2. Berikut merupakan keterangan berkenaan lawatan sambil belajar tersebut.

Tarikh : 21 April 2018


Hari : Isnin
Masa : 8.00 pagi hingga 2.00 petang
Jumlah peserta : 35 orang peserta
Jumlah guru pengiring : 5 orang
Pengangkutan : bas akan disediakan oleh pihak sekolah.

3. Motif lawatan ini adalah untuk menambahkan pengetahuan mengenai cara-cara pembuatan coklat
dan teknologi terbaharu dalam pemprosesan coklat. Selain itu, lawatan ini dapat membantu kami untuk
menyiapkan kajian mengenai koko di Malaysia. Kami yakin bahawa maklumat yang tepat hanya dapat
diperoleh melalui lawatan ini.
4. Di samping itu, lawatan ini dapat memenuhi aktiviti tahunan persatuan kami pada tahun 2013. Di
sekolah kami, setiap persatuan dikehendaki untuk mengadakan pembentangan pada akhir tahun nanti
kerana penilaian akan dilakukan berdasarkan jumlah aktiviti yang dijalankan olah setiap persatuan.

5. Kami amat berbesar hati jika tuan dapat mencadangkan beberapa tempat yang harus kami lawati
dan saya juga ingin meminta izin daripada tuan untuk membenarkan kami menangkap beberapa
kepingan gambar untuk dimasukkan dalam laporan dan pembentangan kami.

6. Jika pihak tuan tidak keberatan, kami memohon jasa baik tuan untuk menyediakan seorang
kakitangan kilang untuk memberi tunjuk arah di kawasan kilang dan dapat memberi penerangan yang
diperlukan serta sebarang bahan-bahan maklumat tambahan mengenai kilang itu sebagai rujukan.

7. Kami berjanji akan memastikan setiap peserta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan tuan.
Kami juga berjanji akan bertanggungjawab sekiranya timbul sebarang masalah yang disebabkan oleh
lawatan tersebut.

8. Kami amat berharap permohonan ini mendapat maklum balas yang positif daripada pihak tuan.
Segala usaha tuan kami dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih

Yang benar,
Farah Adila
(FARAH ADILA BINTI AZMY)
Setiausaha Persatuan Bahasa Malaysia,
Tajuk 04

Soalan : Persatuan Pengakap sekolah kamu akan mengadakan Perkhemahan Tahunan. Sebagai
setiausaha, kamu perlu menulis surat kepada Guru Besar sekolah kamu untuk memohon
mengadakan perkhemahan tersebut. Tulis surat tersebut selengkap.

Persatuan Pengakap,
Sekolah Kebangsaan Taman Tambun,
14000 Simpang Empat,Pulau Pinang.
__________________________________________________________
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Tambun,
14000 Simpang Empat, Pulau Pinang. 05 SEPTEMBER 2018

Tuan,

Memohon Mengadakan Perkhemahan Tahunan Pengakap

Berhubung perkara di atas, Saya Ali bin Abu, setiausaha Pasukan Pengakap Sekolah Kebangsaan
Taman Tambun ingin memohon untuk mengadakan Perkhemahan Tahunan Pasukan Pengakap.

2. Untuk makluman pihak tuan, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengakap sekolah telah merancang
untuk mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan. Butir-butir perkhemahan adalah seperti ketetapan
berikut ;

Tarikh : 6 September hingga 8 September 2018


Tempat : Padang Sekolah
Peserta : 40 orang ahli pengakap

3. Tujuan perkhemahan ini diadakan adalah sebagai aktiviti tahunan pertubuhan ini. Selain itu,
perkhemahan ini diadakan untuk memberikan pengalaman di samping dapat memupuk nilai-nilai murni
dalam kalangan murid seperti berdisiplin, bekerjasama, berdikari dan sebagainya.

5. Kami berharap pihak tuan dapat menimbang permohonan ini. Kami juga berharap pihak tuan dapat
memberi maklum balas secepat mungkin agar kami dapat membuat persediaan awal. Sekiranya tarikh
yang kami cadangkan itu tidak bersesuaian, maka pihak tuan bolehlah mencadangkan tarikh yang lain.
Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,


Aiman Hakim
…………………………………
(AIMAN HAKIM BIN ILHAM)
Setiausaha
Persatuan Pengakap Sekolah Kebangsaan Taman Tambun.

You might also like