You are on page 1of 6

Definisi

Mantera ialah kata-kata yang diucapkan untuk mendapatkan sesuatu dengan kuasa ghaib (melalui mimpi). Jampi
ialah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendapatkan kesaktian (seperti menyembuhkan penyakit dan
sebagainya). Mantera juga diberi pengertian sebagai ungkapan kata-kata yang digunakan pawang dan bomoh
Melayu dalam upacara-upacara yang mempunyai berbagai ragam maksud dari segi kepercayaan lama seperti
digunakan dalam doa dan pendinding keselamatan daripada segala bencana iaitu digunakan dalam upacara-upacara
ritual, pemujaan kepada penunggu dan semangat, juga dalam kerja-kerja bersangkut paut dengan pertanian dan
menangkap ikan (supaya menjauhkan bala dan kerosakan segala bencana).

Ciri-ciri Mantera

Dari segi bentuk :


i. Bentuk bebas atau tidak terikat
ii. Jumlah baris dalam satu rangkap adalah bebas / tidak tetap
iii. Jumlah rangkap bagi satu-satu mantera juga adalah bebas.
iv. Rima akhir baris adalah bebas iaitu tidak ada skema rima yang tertentu.

Dari segi isi :


i. Mengandungi pengucapan dan doa yang penuh dengan kata-kata pujian dengan tujuan membawa keuntungan dan
menjauhkan bencana.
ii. Mengandungi unsur-unsur atau ungkapan magis yang digunakan dalam upacara-upacara tertentu serta bersifat
kudus atau menyelami soal-soal kebatinan

Dari segi bahasa :


i. Mengandungi kata-kata yang dapat memberi kesan gambaran (imej) yang tertentu seperti gambaran alam
semulajadi, benda-benda, tingkah laku atau perbuatan, perasaan atau sentuhan, bunyi atau pendengaran
ii. Kaya dengan bahasa perbandingan, kata-kata perulangan, kata-kata kiasan atau kiasan bahasa dan metafora.

Jenis mantera dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan, iaitu :
a. Perubatan
b. Pakaian diri
c. Pekerjaan
d. Adat istiadat
1. Mantera Pakaian Diri

Mantera pakaian diri merupakan mantera yang diamalkan dengan tujuan menjadikan dirinya atau diri seseorang kebal,
kuat, terselamat dari perbuatan jahat dan sihir, manis dipandang, dikasihi orang berkenaan dan sebagainya.

a. Mantera Kuatkan Syahwat


i. Bismi’llahi- Rahmani –Rahim
Cang-cang setandang besi
Anak harimau setandang malam
Keras kalam menjadi besi
Keras siang hingga ke malam
Keras seperti besi khursani
Panah batu, batu runtuh
Panah gunuh, gunung runtuh
Panah selera dengan aku
Oh yaman, oh berkat aku pakai
Dengan berkat La Ilaha illa’llah
(Omar Ahmad,Pulau Pinang)

b. Mantera Kebal Diri


i. Assalamualaikum
Hei ! Diri ku empat anasir
Daging kulitku asalnya tanah
Dicincang tiada putus
Ditikam tiada luka
Digodam tiada pecah
Ditimpa tiada hancur
Rupanya hitam
Huuuu ( hembus nafas)
Darahku asalnya api
Dicincang tiada putus
Ditikam tiada luka
Digodam tiada pecah
Ditimpa tiada hancur
Rupanya merah
Huuu (hembus nafas)
Uratku asalnya angin
Dicincang tiada putus
Ditikam tiada luka
Digodam tiada pecah
Ditimpa tiada hancur
Rupanya kuning
Huuuu (hembus nafas)
Tulangku asalnya air
Dicincang tiada putus
Ditikam tiada luka
Digodam tiada pecah
Ditimpa tiada hancur
Rupanya putih
Huuu (Hembus Nafas)
Berkat doa La ilaha illa’llah
(Tok Pah, Tanjung Malim ,Perak)
2. Mantera Perbomohan dan Perubatan

Mantera jenis perbomohan dan perubatan dalam konteks ini bermaksud, semua mantera yang digunakan
oleh bomoh untuk menyembuhkan penyakit atau menjadikan seseorang itu sakit. Perbomohan merupakan
salah satu institusi sosial yang penting dalam masyarakat Melayu, terutama pada zaman silam kerana
bomoh memainkan peranan yang penting sebagai orang perantaraan untuk berhubung dengan makhluk
ghaib.

a. Mantera Memulihkan Sakit Pinggang


i. Bismi’llahil- Rahmani’l Rahim
Hei besi kalin besi malila
Besi kalin besi tembaga
Besi melilit pinggang aku
Aku tidur engkau jaga
Engkau pelihara pinggang aku
Hei sembelit mula jadi
Daripada besi khursani
Nyahlah engkau terbang ke laut subhanallah
Kalau engkau tidak nyah
Derhakalah engkau kepada Allah
Derhakalah engkau kepada Muhammad
Berkat kata
La ilaha illa ‘llah, Muhammadar Rasululah
(Hj. Mohammad Hassan,Pekan)

ii. Assalamualaikum
Akulah anak panah Sang Ranjuna
Aku panah langit,langit tembus
Aku panah laut, laut kering
Aku panah api, api padam
Aku panah awan, awan hancur
Aku panah gunung, gunung runtuh
Aku panah kayu, kayu tumbang
Aku panah batu, batu pecah
Aku panah jin dan manusia
Tembus dari jantung ke limpa
Hei jin dan manusia
Pindah balik ke tempat kau
Kau tidak boleh duduk tunggu jaga tempat ini
Kau dengar-dengarlah pesanan aku
Jika kau tidak dengar pesanan aku
Aku sumpah, derhakalah kau kepada Allah
Bukan kata aku
Kata Allah, kata Muhammad
Berkat Doa La ilaha illa’llah
3. Pembantu dalam Pekerjaan

i. Mantera Menangkap Ikan Guna Hantu Air

Walaupun hantu air di sesuatu tempat perlu dihalau sebelum tangkapan dibuat, namun adakalanya hantu
air boleh digunakan untuk membantu penangkapan. Hantu air berupaya memanggil ikan dalam jarak empat
batu dan dikumpulkan pada satu tempat. Ini dipercayai berlaku di Kampung Belimbing, Kuantan Pahang
dalam tahun 1989. Menurut penduduk kampong itu, kemudian diakui oleh Tok Putih Hassan, dukun yang
bertanggungjawab dalam hal itu bahawa :

Atok (Tok Putih) kasihan melihat Salim,anak atok. Dia sudah banyak kali pergi memukat. Ikan tak dapat,
ansuran bot dan pukat hendak dibayar. Atok ambil sepinggan bertih dan dijampi. Salim bawa bertih itu dan
ditabur dalam air. Dia tahan pukat, dapat enam belas pikul ikan patin sekali tahan.Manteranya ialah :

Assalamualaikum
Hei Datuk Kepala Putih, mambang di laut
Yang hidup di tali arus,
Yang hidup di arus terentang
Kau hidup di kuala beting
Yang menjadi Bukit Qaf, gunung segunung
Makan kau dari Sarib ke Maghrib
Hei Datuk Panglima Hitam, raja di laut
Ini aku khabar kepada engkau
Kau kampungkan segala ikan kedalam pukatku
Aku tak tahukan jahat
Aku tahukan baik semata-mata pada engkau
Berkat kata La ilaha illa’llah

ii. Mantera Hantu Raya


Digunakan pada waktu malam untuk menugaskan hantu raya supaya menjaga tanaman dan menakutkan
haiwan-haiwan lain yang berniat untuk memakan tanaman tersebut. Dibaca secara berulangkali. Ada juga
yang percaya bahawa mantera ini juga boleh dibaca sebelum berperang atau berlawan dengan manusia
atau haiwan.Tapi secara asalnya mantera ini adalah untuk menjaga tanaman.Manteranya ialah:

“Tum Ketumbak Indai Ragum Nadai Diak,


Nyau Mansai Sungai Pemesa Ulih Kitak”

iii. Mantera Pelaris Perniagaan

Matlamat utama berniaga adalah untuk mendapatkan keuntungan daripada hasil jualan barangan atau
perkhidmatan. Sehubungan itu pengusaha atau perniaga mencari jalan untuk menarik pelanggan. Di
antaranya mereka atau bomoh membuat pelaris. Pelaris itu antaranya :

Bismi ‘llahi ‘l- Rahmani ‘l- Rahim


Aku puja ilmuku Si Semar senyum
Senyumanku bagaikan Semar
Senyumanku kegembiraan kedatanganku
Ngiling-ngiling sedih sepeninggalanku
Datang belas datang kasih
Orang sealam semesta ini
Semua kasih kepada aku
Kasih dengan kehendak Allah
Berkat doa
La ilaha illa ‘llah, Muhammadar Rasulullah
(Dibaca pada minyak atau sesuatu dan diletakkan di dalam kedai)
4) Mantera untuk Upacara

i. MANTERA ULIT MAYANG


 Anda sudah tentu pernah dengar lagu tradisi Negeri Terengganu, Ulek Mayang. Lagu Ulek Mayang
yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi
amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. Namun amalan itu dikatakan amalan
khurafat kerana menggunakan khidmat makhluk halus atau pun jin dalam mengubati seseorang
pesakit.Sekarang Ulek Mayang hanya dikaitkan sebagai persembahan kesenian tradisional yang
masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala
Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang.
Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. Ketika persembahan ini berlangsung pemain
diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain.
 Manteranya ialah:

Aku tahu asal usulmu,


Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,


Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,


Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,


Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,


Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,


Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,


Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.

You might also like