You are on page 1of 6

1.

0 Pengenalan
Bilik darjah merupakan tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran malah
merupakan tempat yang perlu ada pada sekolah. Menurut Abdullah Sani Yahya (2003), bilik
darjah dapat dijadikan sebagai suatu tempat belajar yang menarik untuk membangunkan
minat dan potensi belajar yang bergantung juga pada keadaan dan iklim bilik darjah yang
menunjukkan adanya aspek keceriaan. Seterusnya, Noriati A. Rashid (2014) mendefinisikan
bahawa persekitaran bilik darjah bukan sekadar melibatkan unsur fizikal yang dapat dilihat
dengan mata semata-mata seperti ruang bilik darjah serta peralatan di dalamnya, sebaliknya
persekitaran bilik darjah turut melibatkan unsur-unsur emosi dan hubungan kemanusiaan.
Pengurusan bilik darjah yang berkesan serta mesra budaya dapat menggalakkan aktiviti
intelektual, menggalakkan persahabatan, kerjasama dan sokongan di samping menggalakkan
pembelajaran, pertumbuhan dan perkembangan pelajar. Terdapat pelbagai langkah
pengurusan bilik darjah yang mesra budaya daripada pelbagai aspek seperti fizikal, emosi,
sosial dan sosiolinguistik.

2.0 Langkah-langkah Pengurusan Bilik Darjah Mesra Budaya


2.1 Persekitaran Fizikal

Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2010), pengurusan persekitaran fizikal harus
mengambil kira semua aspek bukan hanya dari aspek kemudahan prasarana serta
kemudahan fizikal sahaja namun hasil dari pengurusan persekitaran fizikal dapat mewujudkan
satu suasana serta iklim pembelajaran yang kondusif dengan mengambil kira keunikan
perspektif dari pelbagai latar belakang budaya dan sosial. Pengurusan bilik darjah yang
mesra budaya merangkumi kedudukan dan keselesaan murid dalam proses pembelajaran.
Guru boleh menyusun kedudukan murid mengikut ketinggian iaitu meletakkan murid yang
rendah di bahagian hadapan sebaliknya. Persekitaran fizikal yang berkualiti akan dapat
membantu untuk mewujudkan keselesaan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010), selesa adalah merujuk kepada tidak sempit dan luas. Oleh itu,
ini akan dapat memastikan setiap murid dapat memberi perhatian yang secukupnya kepada
guru di hadapan kelas dan memberi keselesaan kepada murid.

Seterusnya, menurut Savage (1999), menyusun atur persekitaran fizikal bukan sahaja
akan mempengaruhi tingkah laku murid malah boleh mempengaruhi sikap murid dan
menyumbang kepada pencapaian murid dalam pembelajaran. Ini bermakna bilik keluasan
ruang dan susun atur perabot yang sesuai di dalam bilik darjah juga memberi impak. Justeru,
jumlah murid dalam sesebuah kelas perlu disesuaikan mengikut saiz kelas tersebut agar tidak
menimbulkan sebarang ketidakselesaan murid sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran. Umum mengetahui bahawa pada masa kini, setiap kelas di sekolah

1
menempatkan satu jumlah murid yang besar. Oleh itu, guru harus bersifat kreatif dalam
menyesuaikan susunan meja dengan jumlah murid supaya dapat mewujudkan suasana yang
selesa serta dapat menjalankan aktiviti pembelajaran tanpa ada batas pergerakan yang
ketara. Hal ini kerana keadaan kelas yang padat dan tidak selesa ini tidak lain tidak bukan
hanya akan menimbulkan masalah disiplin dalam kalangan murid-murid (Mok dalam
Hasfarina Abas, 2012).

Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan pembelajaran abad


ke-21 yang menekankan pelbagai aspek dalam pengajaran dan pembelajaran. Salah satunya
adalah berkaitan dengan kedudukan meja dalam kelas. Antara contohnya, guru boleh
menyusun atur meja secara berkelompok untuk memupuk pembelajaran secara kolaboratif
iaitu mewujudkan kerjasama antara guru dan murid secara aktif dan menyeluruh yang
melibatkan pertukaran idea, pendapat dan pengetahuan antara murid-murid. Malahan,
melalui pelaksanaan ini, murid-murid dapat bergaul antara satu sama lain dan suasana yang
harmoni dapat diwujudkan serta seterusnya dapat mengurangkan jurang antara murid yang
berbeza latar belakang kelas sosialnya.

Antara langkah lain pula ialah kualiti bilik darjah boleh dipertingkatkan. Hal ini boleh
dilihat dari aspek pencahayaan, kualiti udara dan sudut pembelajaran. Guru perlu
memastikan kelas tersebut mempunyai pengaliran udara yang baik serta mendapat
pencahayaan yang mencukupi agar sesi PdP tidak terganggu. Selain itu, sudut pembelajaran
pula dapat membantu perkembangan intelek murid seperti komunikasi, perkembangan fizikal
dan estetika, kemanusiaan serta keterampilan diri. Sudut-sudut ini mampu meningkatkan
interaksi sesama murid serta dapat memupuk nilai saling memahami dan tolerasi dalam
kalangan murid kerana sudut-sudut ini dihasilkan oleh murid itu sendiri dengan bantuan guru.
Secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran mesra budaya.

2.2 Persekitaran Sosial

Kepelbagaian masyarakat dari segi ras, etnik dan identiti etnik mencetuskan perbezaan
individu dalam aspek agama, pekerjaan, bahasa dan politik (Marshall, 1994). Justeru, dari
aspek persekitaran sosial, guru perlu memainkan peranan dalam membina integrasi sosial
dan hubungan sosial yang positif antara murid yang berbilang kaum. Integrasi sosial
merupakan proses menyatupadukan berbagai-bagai kelompok dalam masyarakat melalui
satu identiti bersama tanpa menghapuskan perbezaan dan identiti masing-masing. Keadaan
ini merupakan harapan bagi kebanyakan masyarakat, khasnya masyarakat berbilang kaum
(Ting, 1997). Maka, guru perlu menggalakkan interaksi sosial dan budaya semasa dalam sesi
PdP. Sebagai contoh, dalam pembahagian kumpulan, guru perlu memastikan setiap ahli
kumpulan perlulah berbilang kaum. Hal ini supaya murid secara tidak langsung mendapat
pendedahan tentang adat resam dan amalan budaya pelbagai kaum di Malaysia.

2
Seterusnya, murid-murid dengan sendirinya dapat bergaul secara sihat melalui
perbincangan dalam kumpulan atau aktiviti yang dijalankan, contohnya ialah explorace. Hal
ini secara tidak langsung memberi peluang kepada murid untuk mengenali rakan-rakan
mereka sendiri dan belajar untuk menghormati idea atau pendapat yang dikemukakan oleh
setiap kumpulan dengan baik. Dengan itu, persefahaman dapat diwujudkan dalam kalangan
murid yang pelbagai kaum serta dapat mengurangkan sikap perkauman dalam kalangan
murid. Tambahan lagi, guru boleh meminta murid untuk membuat perkongsian mereka di
hadapan kelas tentang perayaan yang disambut, makanan tradisi, pakaian tradisi dan
sebagainya. Perkara ini akan dapat memupuk nilai menghargai budaya etnik lain dan
memahami perbezaan nilai budaya setiap kaum. Semangat penerimaan kepelbagaian
budaya ini sekaligus telah memajukan masyarakat Malaysia dengan nama ‘kesatuan dalam
kepelbagaian’ (Zaid Ahamad et al, 2013). Selain itu, guru juga perlu mempunyai hubungan
baik dengan murid seperti bersikap prihatin, beramah mesra sama ada dengan memberikan
senyuman atau bertegur sapa ketika berada di dalam kelas. Hal ini penting bagi
mengurangkan jurang yang timbul dan mendorong murid untuk bersikap mesra antara satu
sama lain apabila mereka melihat perwatakan guru sedemikian.

2.3 Persekitaran Emosi

Menurut Noriati A.Rashid et. al (2014), persekitaran bilik darjah mesra budaya bukan sahaja
melibatkan aspek fizikal yang boleh dilihat dengan pancaindera, namun ia juga melibatkan
aspek emosi dan hubungan kemanusiaan. Emosi bermaksud suatu perasaan dan fikiran yang
khusus, suatu keadaan biologi dan psikologi yang mendorong kepada sesuatu tindakan
(Daniel Goleman, 2002). Dengan erti kata lain, emosi boleh didefiniskan sebagai tindak balas
atau kebangkitan yang ditonjol keluar sebagai rangsangan kepada perasaan emosi.
pengurusan bilik darjah mesra budaya dari aspek emosi akan dapat merangsang minat, bakat
dan tingkah laku murid terhadap pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam kelas.
Emosi murid perlu dikawal dengan baik bagi memastikan kelancaran pengajaran dan
pembelajaran yang berlaku di dalam kelas.

Antara langkah untuk mengawal emosi murid di dalam kelas ialah guru perlulah
memberi galakan ataupun pujian kepada murid sekiranya murid menjawab dengan betul
latihan ataupun soalan yang diberikan. Hal ini secara tidak langsung boleh memberi semangat
dan motivasi kepada murid-murid untuk terus aktif dalam aktiviti bilik darjah. Hal ini bertepatan
dengan apa yang dikatakan oleh Woolfolk dalam Syed Ismail dan Ahmad Subki (2012)
bahawa motivasi atau kuasa dalaman akan dapat membangkit, mengawal minat dan tingkah
laku murid. Selain itu, hubungan yang baik antara guru dan murid juga harus dibina terlebih
dahulu yang mana guru perlu mengamalkan kepemimpinan demokraksi dan tidak terlalu
mengongkong murid-murid mereka serta guru perlu menunjukkan contoh yang baik kepada

3
murid-murid. Menurut Noriati A.Rashid et. al (2014) lagi, Bandura berpendapat bahawa
perkembangan emosi kanak-kanak diperoleh melalui peniruan. Beliau berpendapat bahawa
kanak-kanak meniru tingkah laku emosi yang diperhatikannya dan melakukan gerak balas
yang tidak pernah dibuatnya dahulu. Cara kanak-kanak menyatakan emosinya bergantung
kepada apa yang telah dipelajarinya. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan dalam
membina hubungan yang positif antara murid dengan rakan sekelas. Murid perlu dibimbing
agar dapat berinteraksi dengan semua kaum tanpa mengira kelas sosial. Dengan itu, murid
akan meniru perlakuan guru melalui pemerhatian mereka sendiri.

2.4 Persekitaran Sosiolinguistik

Sosiolinguistik merupakan satu bidang ilmu yang mengkaji ciri-ciri dan fungsi variasi bahasa
serta turut mengkaji pengaruh budaya terhadap sesuatu bahasa yang digunakan. Bahasa
merupakan satu alat perhubungan dan perantaraan sesuatu budaya. Sosio pula merupakan
interaksi antara masyarakat (Abdul Rahman, 2001). Apabila diteliti laporan-laporan
berhubung pendidikan, hampir kesemua laporan menekankan aspek penggunaan bahasa.
Hal ini menunjukkan bahawa sosiolinguistik di Malaysia bukanlah perkara mudah dan
merupakan satu bidang penting dalam menentukan tahap keharmonian dan keamanan
Negara (Noriati Rashid dan Boon, 2010). Maka , salah satu cara untuk membina bilik darjah
yang mesra budaya adalah melalui pertuturan.

Guru memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri murid yang menghayati bahasa
rasmi dan budaya di samping menerap nilai-nilai meghormati perbezaan bahasa dan budaya
semua etnik. Antara peranan yang dimainkan oleh guru ialah mengadakan aktiviti bahasa,
sastera dan budaya dalam kalangan murid-murid. Selain itu, aktiviti yang memartabatkan
bahasa Kebangsaan boleh dijalankan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Tambahan,
aktiviti kokurikulum merupakan saluran terbaik dalam memertabatkan Bahasa Kebangsaan
melalui kepelbagaian aktiviti dan projek yang kreatif, menyeronokkan dan bermanfaat.
Namun begitu, terdapat sebahagian daripada murid terdiri daripada keluarga yang berstatus
sosial yang tinggi atau berada. Keluarga-keluarga seperti ini lazimnya menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pertuturan di rumah. Maka, murid-murid tersebut akan berasa
rendah diri dan kurang keyakinan dalam bertutur kerana tidak mampu untuk bertutur dengan
fasih seperti rakan-rakan mereka yang lain. Oleh itu, guru bertanggungjawab dalam
meningkatkan kemahiran berbahasa setiap murid dalam mewujudkan persekitaran bilik darjah
yang mesra budaya.

Dengan merujuk maksud sosiolinguistik iaitu ilmu interdisiplin yang membincangkan


dan menyusun teori-teori tentang perhubungan masyarakat dan bahasa yang dituturkan

4
dalam komunikasi seharian, guru juga boleh menyelitkan unsur-unsur etnik lain dalam proses
pdp. Sebagai contoh, menggunakan cerita etnik Iban dalam pengajaran Bahasa Malaysia,
menggunakan lagu etnik Kadazandusun dalam pdp Muzik, menggunakan tarian India dalam
Pendidikan Jasmani dan sebagainya. Malahan pelbagai permainan tradisional milik etnik-
etnik dapat digunakan dalam pendekatan belajar sambil bermain. Seterusnya, dalam
menjalankan apa-apa aktiviti kumpulan yang ahlinya terdiri daripada berbagai-bagai kaum
dan bangsa, guru perlu memupuk penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi.
Hal ini bertepatan dengan slogan “Bahasa menyatukan bangsa” yang membawa maksud
tidak kira bangsa atau kaum sekalipun, murid-murid perlu bertutur dalam Bahasa Melayu dan
dengan bahasa ini juga dapat memupuk perpaduan dan persefahaman antara murid yang
berbilang kaum.

Seterusnya. penggunaan sumber pdp dengan menggunakan pelbagai unsur budaya


dapat memupuk kesefahaman dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai etnik,
malahan cara ini dapat mendorong murid memahami dan menguasai kosa kata bahasa etnik
rakan-rakan mereka. Sekiranya guru meneruskan pdp dengan berkesan, setiap etnik tidak
akan tersisih sebaliknya dapat mewujudkan suasana bilik darjah mesra budaya dan
menjadikan Malaysia kaya dengan variasi bahasa dan budaya.

3.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, sebagai seorang guru kita perlu memahami keadaan dan cara yang terbaik
untuk mewujudkan iklim yang boleh memupuk semangat murid untuk melibatkan diri secara
aktif dalam aktiviti PdP serta mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya. Sebagai seorang
guru bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, malah kita juga berperanan sebagai
pemudahcara, pembimbing dan perancang untuk memastikan murid-murid mampu mencapai
kecemerlangan secara holistik dalam semua bidang. Suasana bilik darjah yang mesra budaya
sememangnya merupakan suatu medium yang terbaik yang perlu disediakan kepada murid-
murid agar mereka boleh memaksimumkan penglibatan semasa PdP. Oleh itu, guru-guru
perlulah proaktif untuk memastikan konsep bilik darjah mesra budaya boleh dicapai dan
seterusnya mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama.

5
4.0 Rujukan

Adeyemi, T. O. (2010). Principal’s Leadership Styles and Teacher’s Job Performance in


Senior Secondary Schools in Ondo State, Nigeria. Journal of Economic Theory, 3 (3), 84-
97.
Armstrong, G. D. Savage, V. T. (2002). Teaching in Secondary School an Introduction (5th ed.)
New Jersey: Merill Prentice Hall.
Bosch, K. (2006). Planning Classroom Management - A Five-Step Process to Creating a
Positive Learning Environment (2nd ed.). California: Corwin Press.
Goleman, D. (1995). Emotional Intelligence. New York: Bantam Books.

Goleman, D., Boyatzis, R., & McKee, A. (2002). Relation of employee and manager emotional
intelligence to job satisfaction and performance. Journal of Vocational Behavior, 68, 461–
473.
Hasfarina Binti Abas. (2012). Tahap, Amalan Dan Masalah Pengurusan Bilik Darjah Guru-
Guru. Sekolah Menengah Daerah Segamat.
Kamus Dewan. (2010). Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Latif, N. A. (2019, Februari 7). Utusan Online. Retrieved Mac 9, 2019, from Bilik Darjah Ibarat
Kediaman: http://www.utusan.com.my/pendidikan/bilik-darjah-ibarat-kediaman-1.836144
Mohamad Johdi Hj. Salleh. (2007). Guru Efektif dan Peranan Guru dalam Mencapai Objektif
Persekolahan Sekolah Rendah:Perspektif Guru Besar. Seminar Penyelidikan Pendidikan
Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007.
Mok Soon Sang. (2011). Pedagogi Untuk Pengajaran dan Pembelajaran (2nd ed.). Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. (2011). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku (3rd ed.). Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Najeemah Md. Yusof. (2006). Konsep Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
Noorhidayah Abdul Latif. (2019, Februari 7). Bilik darjah ibarat kediaman. Retrieved Mac 29,
2019, from Utusan Online: http://www.utusan.com.my/pendidikan/bilik-darjah-ibarat-
kediaman-1.836144
Noriati A.Rashid et. al. (2014). Budaya dan Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn.Bhd.

Robinson, R. (1990). Power and Economic in Soeharto’s Indonesia. . Manila, Philippines:


Journal of Contemporery Asia.
Saedah Siraj & Mohammed Sani Ibrahim. (2012). Standard Kompetensi Guru Malaysia. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.
Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon. (2010). Guru dan Cabaran Semasa.
Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.