You are on page 1of 4

POST-MORTEM KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN 2019 IPG KPI KALI KE-14

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan kurniaNya dapat saya dan rakan-rakan PISMP
Semester 4 ambilan Jun 2017 menyempurnakan tugasan projek kami bagi subjek
Kokurikulum Olahraga, MPU3071 dengan jayanya. Tugasan projek iaitu Kejohanan Olahraga
Tahunan yang dilaksanakan ini telah berlangsung pada 3 Januari sehingga 14 Mac 2019
bertempat di Stadium INSPEN, Bandar Baru Bangi, Selangor. Bagi memastikan pelaksanaan
kejohanan ini berlangsung dengan lancar, seramai 19 jawatankuasa dalam kalangan pelajar
PISMP Semester 4 telah dilantik. Melalui kejohanan yang diadakan, terdapat beberapa
kekuatan dan juga kelemahan dalam pengurusan yang dikesan dan perlu dititikberatkan
supaya dapat menambah baik dan memastikan kejohanan yang akan dijalankan pada tahun-
tahun seterusnya berlangsung dengan lebih lancar. Ekoran itu, satu post-mortem telah
dilaksanakan berdasarkan kejohanan olahraga tahunan yang diadakan.

Antara kekuatan yang dapat dikenal pasti melalui pelaksanaan kejohanan kali ini ialah
para atlet dan ahli perbarisan rumah sukan mempunyai peruntukan masa yang mencukupi
untuk melakukan latihan dan persediaan yang rapi sebelum berlangsungnya hari kejohanan
yang sebenar. Hal ini menyebabkan para atlet bersungguh-sungguh dan mempunyai
semangat daya saing yang tinggi semasa berlangsungnya acara yang disertai bahkan
kebanyakan daripada mereka telah berjaya menaikkan mata rumah masing-masing melalui
kemenangan yang diperoleh. Bukan itu sahaja, ahli-ahli perbarisan rumah sukan yang
majoritinya merupakan pelajar-pelajar PPISMP Semester 2 telah berjaya melakukan
persembahan perbarisan dan formasi yang sangat menarik dengan gaya dan stail yang
tersendiri. Hal ini menunjukkan bahawa prestasi kesemua pelajar terutamanya para atlet dan
ahli perbarisan rumah adalah memuaskan pada hari kemuncak kejohanan olahraga tahunan
sehingga menerima pujian dan kata-kata yang positif daripada tetamu jemputan serta para
pensyarah IPG Kampus Pendidikan Islam.

Selain itu, pemilihan tema kejohanan olahraga tahun ini yang merupakan Tamadun
Melayu Islam adalah sangat menarik. Pemilihan tema ini telah dipersetujui oleh majoriti ahli
jawatankuasa iaitu pelajar-pelajar PISMP Semester 4. Tema ini dipilih kerana ia berkaitan
dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang mana pada awal kemunculan Islam di
negara kita, Melaka telah menjadi pusat penyebaran tamadun Islam. Oleh yang demikian,
para pelajar PISMP Semester 4 telah melakukan sebuah persembahan yang bercirikan
Tamadun Melayu Islam seperti melakukan persembahan silat dan persembahan yang
menunjukkan situasi perkampungan pada zaman tersebut. Persembahan ini juga telah
menerima pujian dan komen yang positif daripada tetamu jemputan serta para pensyarah IPG
Kampus Pendidikan Islam.
Seterusnya, kejohanan olahraga tahunan kali ini telah membantu guru-guru pelatih
semester 4 untuk mempelajari ilmu kepegawaian dan olahraga dengan lebih mendalam.
Peluang yang diberi ini dapat dijadikan sebagai pengalaman buat kami sebelum masuk ke
alam pendidikan yang sebenar kelak. Melalui kuliah-kuliah bersama pensyarah pembimbing
serta penyertaan beberapa pelajar Semester 4 dalam Peperiksaan Pegawai Teknik
Kejohanan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sedikit sebanyak telah membantu kami dalam
mengendalikan kejohanan ini dengan jayanya. Pengetahuan yang diperoleh sepanjang
menjadi ahli jawatankuasa kepegawaian kejohanan ini turut membantu kami untuk melakukan
amali acara padang dan balapan yang terdapat dalam kerja kursus Kokurikulum Olahraga
dengan berkesan dan baik. Bertitik tolak daripada itu, pelaksanaan kejohananan olahraga
tahunan ini turut mendedahkan kami akan syarat dan peraturan dalam setiap acara yang
dipertandingkan. Hal ini kerana, ahli jawatankuasa yang bertugas pada acara-acara tertentu
perlulah mengetahui peraturan dan syarat acara yang dipertandingkan melalui taklimat yang
diberikan oleh ketua ajk bagi setiap acara. Justeru, pengetahuan yang mendalam berkaitan
pengurusan setiap acara perlulah diambil berat supaya tidak menimbulkan sebarang masalah
sepanjang acara tersebut berlangsung.

Meskipun begitu, terdapat beberapa kelemahan yang diperhatikan sepanjang


berlangsungnya kejohanan olahraga ini. Antaranya ialah mengenai spesifikasi pembahagian
tugas yang kurang efisien dalam kalangan ahli jawatankuasa kejohanan kali ini. Hal ini
berikutan kerana pembahagian jawatankuasa Teknikal dan Persiapan Tempat yang sedikit.
Perkara ini telah menyebabkan beberapa masalah telah timbul disebabkan kurangnya ahli
dalam jawatankuasa tersebut. Sebagai contoh, kekurangan ahli dalam jawatankuasa ini telah
menyebabkan kerja-kerja pembuatan padang mengambil masa yang lebih lama. Kerja-kerja
pembuatan padang yang dimaksudkan adalah dengan menyediakan trek larian untuk acara
balapan serta acara padang. Di samping itu, ahli-ahli yang sedia ada dalam jawatankuasa ini
sendiri tidak dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya kerana adanya program-program
yang bertembung dengan hari persediaan padang dilakukan. Hal ini menyebabkan ahli
jawatankuasa yang lain turut hadir bagi membantu menyiapkan tugasan persediaan padang.
Namun begitu, hanya segelintir pelajar daripada jawatankuasa lain yang turun membantu.
Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, satu jadual tugasan mengikut kelas perlulah disediakan
bagi memastikan setiap orang dapat mengambil bahagian dalam persiapan tempat ini. Hal ini
juga bertujuan supaya mereka dapat menimba pengalaman dan memperoleh ilmu dalam
kerja-kerja pembuatan padang. Meskipun terdapat beberapa masalah yang timbul sepanjang
tempoh persediaan tempat berlangsung, kerja-kerja persiapan tempat telah dapat disiapkan
dalam masa yang ditetapkan.
Selain itu, salah satu kelemahan yang dapat dikesan sepanjang kejohanan
berlangsung termasuklah susunan acara yang tidak sistematik antara acara balapan. Hal ini
kerana jadual acara yang disediakan terlalu padat. Hal ini ekoran kerana para atlet yang
mengambil bahagian dalam beberapa acara balapan tidak mendapat rehat yang secukupnya
dan menyebabkan mereka keletihan untuk meneruskan acara seterusnya yang disertai. Oleh
yang demikian, para atlet tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar mereka dalam setiap
acara yang dipertandingkan sehingga menyebabkan keputusan yang diperoleh adalah tidak
selari dengan kemampuan mereka yang sebenar. Perkara ini juga berlaku disebabkan
berlakunya pertindangan antara acara lelaki dan perempuan. Hal ini kerana jadual aturcara
telah ditetapkan untuk mengasingkan acara lelaki dan perempuan demi menjaga
keterbatasan sesama kami. Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah yang timbul ini,
setiap peserta perlulah dihadkan untuk menyertai satu acara padang serta satu acara balapan
sahaja. Hal ini bagi mengelakkan mereka terlalu penat seterusnya menyebabkan adanya
risiko untuk mendapat kecederaan dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Di samping itu, alatan yang sedia ada tidak berada dalam keadaan baik. Misalnya,
terdapat dua roller yang sepatutnya digunakan untuk membuat padang sebelum kejohanan
berlangsung. Namun begitu, salah satu daripada roller tersebut telah rosak manakala sebuah
roller lagi pula telah digunakan oleh para pelajar daripada semester lain untuk membuat
padang bola baling dan bola jaring. Perkara ini telah mengganggu proses persediaan padang
kerana para jawatankuasa Teknikal dan Persiapan Tempat menerima roller lewat daripada
tarikh yang sepatutnya. Dengan adanya satu sahaja roller yang berfungsi dengan baik, kerja-
kerja pembuatan padang telah dapat dilakukan tetapi proses pembuatan garisan padang
berlaku dengan sangat lambat kerana para jawatakuasa terpaksa bergilir-gilir antara satu
sama lain untuk membuat garisan padang. Hal ini telah memakan masa yang lama sehingga
tarikh berlangsungnya acara dipertandingkan. Ekoran itu, perkara ini sepatutnya boleh diatasi
dengan cara meminjam beberapa buah roller daripada sekolah-sekolah atau institusi yang
berdekatan. Hal ini dapat mempercepatkan lagi proses persediaan padang seterusnya dapat
meringankan beban jawatankuasa yang bertanggungjawab.

Di samping itu, kelemahan yang terdapat dalam kejohanan kali ini ialah penyampaian
hadiah yang tidak sama dengan acara yang para atlet sertai. Hal ini berlaku kerana berlaku
miskomunikasi antara jawatankuasa hadiah dengan juruhebah. Ekoran itu, masalah timbul
apabila peserta menerima medal bagi acara lain dan bukan acara yang disertainya. Bukan itu
sahaja, penggantian ahli rumah sukan yang lain sebagai wakil untuk menerima medal bagi
para atlet telah menyebabkan para atlet tidak memperoleh medal kerana penerima medal
tersebut tidak dapat dikesan dan dikenalpasti. Terdapat juga medal-medal yang hilang di
tangan wakil yang menerima medal tersebut. Hal ini menyebabkan peserta tidak berpuas hati
serta berasa kecewa dan marah kerana tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya. Oleh
yang demikian, jawatankuasa hadiah dan juruhebah perlulah sentiasa berhubung supaya
tidak berlakunya kesalahfahaman antara mereka. Wakil daripada mereka sepatutnya
menerima alat seperti walkie-talkie bagi memudahkan perhubungan antara mereka. Hal ini
pastinya akan mengelakkan daripada berlakunya masalah seperti para peserta tidak
menerima medal. Selain itu, sekiranya peserta menghantar wakil untuk menerima medal atau
hadiah, jawatankuasa hadiah sepatutnya mengambil semula hadiah tersebut dan
memberikan hadiah tersebut kepada pemenang sebenar setetlah kejohanan tamat. Hal ini
bagi memastikan setiap peserta akan mendapat hadiah mereka yang sepatutnya.

Akhir sekali, terdapat juga kelemahan dari segi pengurusan dan pembahagian mata
semasa acara merentas desa dilaksanakan. Hal ini demikian kerana wujud ketidakadilan
dalam pembahagian mata disebabkan terdapat pelajar yang hanya berjalan sahaja tetapi
mendapat mata 10 sama seperti orang yang berlari dan sampai pada minit terawal. Hal ini
juga disebabkan pembahagian mata yang khusus hanya diberikan kepada peserta 10 terawal
sahaja. Oleh yang demikian, wujud bantahan daripada pihak pelajar melalui pengurus rumah
sukan namun bantahan tersebut hanya dapat dijadikan sebagai penambahbaikan pada masa
akan datang disebabkan peruntukan masa yang tidak mencukupi untuk memperbaiki keadaan
ini.

Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya kejohanan olahraga tahunan pada kali


ini telah berlangsung dengan jayanya berdasarkan maklum balas daripada pihak pensyarah
dan guru pelatih semester lain. Kelemahan-kelemahan yang dikesan sepanjang kejohanan
berlangsung dapat dijadikan sebagai pengajaran untuk menghasilkan kejohanan yang lebih
baik pada masa hadapan. Melalui kejohanan ini, telah banyak ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang saya pelajari. Bukan itu sahaja, kejohanan ini turut menjadikan saya sebagai
seorang guru yang serba boleh dan dapat mewujudkan nilai-nilai positif dalam diri saya
sewaktu bertugas sebagai jawatankuasa yang mengendalikan kejohanan ini. Pengalaman
semasa menyelesaikan tugasan ini dapat melatih pelatih guru untuk bersiap sedia dalam
mengendalikan kejohanan di sekolah kelak. Melalui kejohanan ini juga, ia dapat melatih saya
untuk menjadi seorang guru yang berfikiran kreatif, kritis, kritikal dan berdaya saing
seterusnya dapat membina insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

You might also like