You are on page 1of 2

Kematangan rakyat tentukan buruk, baik

viral di media sosial

Oleh Abdul Razak Raaf


Kongsi artikel
https://www.bharian.com.my/node/82790

Ledakan maklumat dan media sosial pada masa ini sudah menjadi trend dan keperluan bagi
semua lapisan masyarakat menerusi kemajuan telefon bimbit dan peluasan rangkaian
komunikasi yang turut mencakupi kawasan luar bandar.

Kadar penembusan jalur lebar negara secara keseluruhannya mencapai kira-kira 84 peratus
membolehkan masyarakat mengakses internet dengan mudah termasuk bertukar maklumat
mengenai sesuatu isu, kejadian bencana, kemalangan, kebakaran dan berkongsi gambar.

Penyebaran atau perkongsian cerita, berita, video grafik dan gambar sesuatu isu atau perkara
menerusi media sosial atau istilah popularnya viral adalah kesan ledakan maklumat tanpa
sempadan dan had serta perkembangan teknologi komunikasi pada abad ini.

Setiap individu bertanggungjawab dan menanggung amanah setiap kali mahu memuat turun
maklumat untuk dikongsi dalam media sosial kerana ia boleh menjadi viral jika ada pihak
tertentu yang mempunyai niat serta agenda tertentu serta cenderung membuat fitnah secara
fabrikasi atau rekaan semata-mata.

Perlu diingat, penyebaran berita melalui media sosial terutama perkongsian menerusi laman
blog, facebook, twitter, instagram atau aplikasi lain memudahkan sesuatu perkara menjadi sangat
popular dan diketahui dengan pantas oleh semua individu serta diakses penduduk di seluruh
dunia.

Boleh saring berita, maklumat

Memang betul kita tidak boleh baca niat tukang viral berbuat demikian tetapi boleh menyaring
dan meneliti berita, maklumat, video grafik sama ada ia tidak tepat, berunsur fitnah atau dakyah
propaganda pihak tertentu.

Sebagai rakyat berilmu, beragama dan berfikiran terbuka, mereka boleh menghentikan
viral berita atau perkara, jika diamati sudah ditokok tambah dengan maklumat tidak betul.

Rakyat sendiri yang perlu menghentikan perbuatan menyebarkan perkara yang bermatlamat
mengaibkan individu lain, merosakkan integriti kerana ia adalah virus membawa perpecahan
masyarakat pelbagai kaum.
Tiada manfaat yang membawa kepada kebaikan dan kesejahteraan rakyat jika ledakan maklumat
berunsur fitnah dan hasutan bagi tujuan berbalah sesama sendiri ketika negara sedang berada
dalam landasan betul ke arah mencapai Wawasan 2020.

Rakyat perlu belajar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, berintegriti serta amanah
atau terpaksa menggadai keamanan serta perpaduan sedia ada, hanya kerana berlaku salah faham
kepada maklumat atau bahan yang dikongsi sehingga mengakibatkan pencerobohan hak
peribadi seseorang.

Salah guna maklumat, berita

Sebelum ini, ada ura-ura kerajaan mahu menutup laman facebook kerana dijadikan medan utama
untuk penyalahgunaan maklumat dan berita sehingga menjadi fitnah dalam pelbagai bentuk
berita.

Namun, penulis berpendapat ia bukan penyelesaian terbaik bagi membendung isu virus viral
maklumat dan berita palsu kerana ada aplikasi lain di laman sosial yang akan digunakan dan
senario dunia tanpa sempadan membolehkan ia dilakukan dari dalam dan luar negara.

Jadi, rakyat sendiri yang perlu membersihkan anasir itu daripada terus berkembang dan meracuni
pemikiran rakyat terutama generasi muda supaya tidak terus mudah percaya dan menjadikan
maklumat dalam laman sosial sebagai sumber utama berbanding media arus perdana.

Pada masa sama, rakan penulis yang juga seorang peniaga menggunakan media sosial untuk
berniaga dalam talian termasuk mempromosi produk dalam instagram dan facebook sebagai
medium baru dalam perniagaan.

"Ada pelanggan yang mengetahui produk kita menerusi laman media sosial dan membuat
tempahan secara dalam talian. Bagaimana jika facebook ditutup dan kami sebagai peniaga turut
terkesan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga dan sumber pendapatan kami sebagai peniaga
kecil-kecilan juga terjejas kerana sikap segelintir individu yang menyalahgunakan media sosial
untuk kepentingan peribadi atau dijadikan kambing hitam oleh pihak tertentu bagi merosakkan
keamanan negara," katanya.

Usaha memboikot penggunaan teknologi dalam media sosial bukanlah satu perkara yang dapat
menangani isu penyalahgunaan penyebaran maklumat atau fitnah sebaliknya bergantung kepada
kematangan fikiran rakyat atau netizen untuk menentukan buruk dan baiknya.

Kesan ledakan maklumat, faktor globalisasi, viral adalah sebahagian asam garam kehidupan
masyarakat pada abad ke-21, maka menjadi tanggungjawab rakyat untuk memastikan aplikasi
dalam media sosial terus relevan sebagai penyalur maklumat yang positif.

You might also like