You are on page 1of 13

TEKS PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2019

YBHG. DATUK Dr. AMIN BIN SENIN


KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

TEMA:

“GURU, OBOR HEMAH MENYINARI PERTIWI”

1
2
Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan
Salam Sayangi Malaysiaku,

Tuan-tuan, puan-puan, warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi


sekalian,

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya,


dapat kita bersama-sama berkumpul untuk menyambut Hari Guru ke-48
Tahun 2019. Saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua
warga pendidik tidak kira walau di mana sahaja anda bertugas di seluruh
pelosok negara. Terima Kasih Cikgu!

TEMA SAMBUTAN HARI GURU 2019

2. Tema Hari Guru 2019 “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi” ini
telah dipilih oleh YB Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.
Tema ini diilhamkan daripada sebuah sajak berjudul 'Obor Hemah’ (1988)
hasil karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said. Pemilihan
tema ini bertujuan untuk meningkatkan martabat guru sebagai agen
penting dalam memperteguh peradaban bangsa melalui pendidikan.
Gelaran ‘Obor Hemah’ yang diberikan kepada guru menggambarkan
tentang kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran,
peranan dan komitmen mereka dalam profesion keguruan.

3. Dalam konteks 'Obor Hemah', batin suci hati nurani seseorang


pendidik berupaya melahirkan anak didik yang glokal iaitu yang berakar
nasional dan berakal internasional. Hanya gurulah yang

mampu menyinari pertiwi dengan melahirkan modal insan yang memiliki


kemahiran memimpin, hidup dalam masyarakat demokratik, adil, liberal,
bertolak ansur dan memartabatkan pertiwi tercinta, Malaysia di seantero
dunia.

3
SAMBUTAN HARI GURU 2019

4. Hari guru adalah hari untuk menzahirkan penghargaan terhadap


para guru atas sumbangan bakti dan khidmat murni kepada masyarakat
dan negara. Di Malaysia, Hari Guru disambut meriah pada 16 Mei setiap
tahun. Hari Guru di Singapura jatuh pada hari Jumaat pertama dalam
bulan September manakala di Brunei Darussalam, sambutan Hari Guru
diadakan pada 23 September. Di United Kingdom pula, para guru diraikan
pada tanggal 5 Oktober iaitu tarikh yang sama diisytiharkan sebagai Hari
Guru Sedunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1994.

5. Pada tahun ini, sambutan Hari Guru telah bermula daripada 21 Mac
2019 semasa Perasmian Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu di Pulau
Pinang dan disusuli dengan sambutan di peringkat negeri, daerah dan
sekolah sehingga hari kemuncaknya pada 16 Mei 2019. Gerakan Massa
Terima Kasih Cikgu dikendalikan oleh Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan
Komuniti (KPIBK), sektor swasta, NGO dan agensi kerajaan yang lain
sebagai tanda apresiasi mereka terhadap jasa guru yang mendidik anak
bangsa Malaysia.

Hadirin dan hadirat sekalian,

PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH CIKGU

6. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat berbangga dan


berterima kasih atas jasa guru dan sumbangan yang dicurahkan dalam
bidang kurikulum dan kokurikulum. Walaupun memikul tanggungjawab
mengajar dan mendidik di sekolah, para guru turut memberi komitmen
sepenuhnya bagi menjayakan pelbagai aktiviti dan program pendidikan
dalam dan luar negara. Kita bersyukur kerana penyertaan para guru dan
komitmen yang tinggi untuk melatih murid menyertai pelbagai
pertandingan membuahkan hasil apabila guru dan murid berjaya
merangkul banyak anugerah dan pingat di peringkat kebangsaan
mahupun antarabangsa.

7. Tahniah dan syabas diucapkan kepada guru yang telah merangkul


pingat emas dalam World Innovation Contest (WIC) di Korea Selatan,
menjuarai Australian Education Links Awards 2018, menerima Anugerah
Penyelidik Cemerlang dalam Persidangan Antarabangsa Psikologi,
Bahasa dan Keguruan 2018, emas, perak dan gangsa dalam International
Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition
(IPITEx2019) di Bangkok, Thailand, dan merangkul emas di International
Youth Culture and Arts Festival, Beijing, China.

4
8. Bukan itu sahaja, malahan sejak 2015 hingga sekarang, setiap
tahun ada sahaja guru kita yang tersenarai dalam Top 50 Global Teacher
Prize, satu anugerah yang setanding dengan Nobel Prize, khusus untuk
guru di seluruh dunia yang memberikan sumbangan luar biasa dan
membanggakan dalam profesion keguruan. Sesungguhnya terdapat
banyak lagi kejayaan guru yang tidak dapat disenaraikan satu persatu di
sini. Sekalung tahniah juga kepada guru-guru yang telah menerima
anugerah Adiwira Pembelajaran Abad Ke-21(PAK21) baru-baru ini.

Hadirin dan hadirat sekalian,

MELANGKAH KE HADAPAN DAN NARATIF BAHARU AMALAN


PENDIDIKAN

9. Sehingga kini, KPM masih lagi berada pada landasan yang betul
dengan mencapai pelbagai kejayaan awal menerusi inisiatif yang
dilaksanakan bersama-sama meskipun pelaksanaan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi Gelombang
Kedua (2016-2020) berhadapan dengan cabaran dan halangan. Namun
demikian, dalam mendepani cabaran tersebut, KPM akan terus berusaha
membuat penambahbaikan bagi memastikan inisiatif yang selanjutnya
dapat dipacu dengan lebih berkesan.

10. Berdasarkan pengalaman semasa berinteraksi dengan warga


pendidik pada semua peringkat termasuklah di sekolah, didapati PPPM
2013-2025 belum difahami seutuhnya pada peringkat sekolah. Aspek
pemahaman ini perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan pelaksanaan
PPPM lebih berkesan dan mencapai matlamatnya. Di peringkat sekolah,
hasrat PPPM ini hendaklah dilaksanakan secara bersepadu dan tidak
terpisah-pisah.

11. Sehubungan dengan itu, melalui pendekatan Fokus dan Gerak


Kerja Profesional KPM 2018 dan 2019, saya telah menyarankan agar
PPPM 2013-2025 ini dikongsikan dalam bahasa sekolah dan
merangkaikan semula kerja buat sekolah yang berkaitan dengan inisiatif
PPPM 2013-2025 dalam kerangka yang lebih mantap dan bermakna
kepada semua warga guru. Saya berharap melalui pendekatan sebegini,
pencapaian matlamat PPPM 2013-2025 dapat dipercepatkan dan lebih
berdaya maju. Dalam PPPM 2013-2025, keberhasilan utama pendidikan
Malaysia dilihat daripada dua perspektif penting, iaitu kualiti sekolah dan
kemenjadian murid.

5
12. Kemenjadian murid merupakan keberhasilan utama yang merujuk
kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Proses awal membentuk
kemenjadian murid perlu dilakukan dan dimantapkan dalam fasa
pendidikan wajib enam tahun di peringkat rendah dan tiga tahun di
peringkat menengah rendah. Inilah masa strategik yang selama ini kita
hampir terlepas pandang kerana terlalu berfokus kepada aspek
akademik, iaitu pencapaian dalam peperiksaan. Waktu keemasan inilah
yang perlu disambar dan digunakan sebaik mungkin oleh warga pendidik
untuk memberikan pendidikan yang bersesuaian dengan tahap
perkembangan murid dan bukan lagi menitikberatkan peperiksaan
semata-mata.

13. Selaras dengan itu, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah


diperkenalkan dan diguna pakai untuk mengukur kejayaan murid
bersandarkan standard yang harus dicapai pada satu tahap pembelajaran
dalam menterjemahkan dan mengoperasikan maksud kemenjadian murid
yang bersifat holistik kerana ia berupaya menilai aspek kognitif (intelek),
afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras
dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

14. Dalam usaha memastikan pembelajaran berorientasikan


pertumbuhan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan kemenjadian
murid itu satu realiti, mulai tahun ini, KPM telah memberikan penekanan
kepada tiga aspek berikut, iaitu perubahan pedagogi, pembangunan
kapasiti guru dan pengurusan pendidikan.

15. Dalam aspek perubahan pedagogi, guru perlulah berubah


daripada melaksanakan PdP berpusatkan guru kepada PdP berpusatkan
murid. Perubahan ini akan dapat direalisasikan jika guru dan sekolah
melaksanakan pembelajaran yang bermakna dan berkonsepkan didik
hibur, mewujudkan suasana Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21),
mengendalikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dengan betul dan
mengamalkan pendekatan “whole school improvement” yang digariskan
dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

16. Bagi tujuan pembangunan kapasiti guru, program strategik KPM


seperti Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+), Pembimbing Pakar
Peningkatan Sekolah (SISC+) dan Rakan Kepimpinan Pendidikan dan
Instruksional (ELIT) akan diubah daripada stand alone system kepada
sokongan profesional dengan cara menformalkan dan menginstitusikan
sistem berkenaan. Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) juga
hendaklah diteruskan dan diperkasakan agar ia menjadi budaya utama
pembangunan profesionalisme warga pendidik di semua peringkat.
Melalui PLC, guru-guru boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran di
sekolah masing-masing, dapat mengenal pasti permasalahan sebenar
6
bilik darjah dan menyediakan kaedah penyelesaian mengikut keperluan
yang sebenarnya. PLC boleh dilakukan secara berterusan mengikut
keperluan dan kesesuaian masa sekolah.

17. Demi memastikan kemenjadian murid dan pembelajaran


berasaskan pertumbuhan yang dihasratkan dapat dilaksanakan dengan
lebih mudah dan difahami oleh semua guru, KPM juga akan mengubah
strategi pengurusan pendidikan daripada perspektif “Top-Down”
kepada perspektif “Bottom-Up”. Strategi ini pastinya akan memberikan
lebih autonomi kepada pihak sekolah untuk melaksanakan
penambahbaikan mengikut keperluan dan kesesuaian sesebuah sekolah.
Dengan cara ini, perancangan untuk penambahbaikan dan peningkatan
prestasi boleh dilaksanakan melalui perundingan, konsultasi dan dialog
sama ada di peringkat kebangsaan, negeri mahupun daerah.

Hadirin dan hadirat sekalian,

PEMBELAJARAN ABAD KE-21

18. Keseimbangan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek di samping


kemahiran personel dan interpersonel dalam pendidikan dapat
menyediakan generasi masa hadapan seiring dengan perubahan
landskap pendidikan tinggi dan cabaran abad ke-21. Konsep pengajaran
dan pembelajaran (PdP) abad ke-21 menerapkan pembelajaran yang
kondusif, terbuka, interaktif, menarik dan berpusatkan murid. Proses
pembelajaran abad ke-21 yang berpusatkan murid adalah berteraskan
elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif serta aplikasi
nilai murni dan etika.

19. Keberkesanan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) dalam


meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran insaniah
dalam kalangan murid amat bergantung kepada kemahiran strategi guru
dalam menggemblengkan fakta, pengetahuan dan kemahiran yang ingin
diterapkan kepada murid dalam pengajaran dan pembelajaran melalui
penggunaan pelbagai alat dalam pendidikan – alat bukan ICT dan alat
ICT. Salah satu kaedah memanfaatkan peralatan ICT sebagai pengupaya
pembelajaran adalah melalui penyediaan Bilik Darjah Pintar bagi
meningkatkan pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif.

20. Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi dan industri global,


warga pendidik mestilah melengkapkan diri dengan pengetahuan
teknologi maklumat serta komunikasi (ICT), sekali gus membolehkan
mereka mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). Setiap
guru perlu memiliki kefahaman yang jelas berhubung teknologi terkini
7
terutama untuk memantapkan lagi sesi PdP di dalam kelas. Sebagai guru,
pengetahuan dan kemahiran tuan/puan perlulah seiring ataupun lebih
terkehadapan daripada murid khususnya yang membabitkan aplikasi
teknologi terkini.

21. Guru hendaklah menyesuaikan diri dengan teknik pembelajaran


masa kini memandangkan murid-murid pada hari ini boleh mengakses
maklumat di mana-mana dan pada bila-bila masa yang diperlukan. PdP
era IR4.0 tidak semestinya perlu bergantung sepenuhnya kepada
teknologi atau mengguna pakai teknologi yang tinggi tetapi lebih kepada
kreativiti dan inovasi penyampaian maklumat oleh guru berkenaan. Guru
juga perlu mengajar murid supaya mereka mudah beradaptasi dengan
perubahan-perubahan dari segi teknologi di sekeliling mereka dan
memahami bagaimana sesuatu perkara itu berfungsi.

STEM DAN STREAM

22. Sains bukanlah sekadar satu subjek semata-mata, kita perlu


mempopularkan sains sebagai satu cara hidup. Memasukkan unsur
membaca, menulis dan sastera ke dalam pendidikan STEM akan
melibatkan pendekatan kemanusiaan dan menjadikannya lebih
berhubung kait dengan kehidupan harian murid. KPM akan sentiasa
berusaha untuk mengubah persepsi negatif murid dan seterusnya
meningkatkan minat murid kepada STEM.

23. Dengan mengintegrasikan bacaan dan sastera ke dalam kaedah


PdP STEM dan mengintegrasikan konsep STEM dalam PdP mata
pelajaran lain, STREAM (Science – Technology – Reading – Engineering
– Arts – Mathematics), saya yakin kita berupaya menghasilkan murid
yang berfikiran kritikal, kreatif dan holistik dalam pelbagai disiplin. Pada
masa kini, bidang STREAM menjadi tumpuan di serata dunia kerana daya
saing sesebuah negara bergantung kepada penguasaan dalam bidang
STREAM. Laporan Forum Ekonomi Dunia 2017 menyatakan bahawa 65
peratus kanak-kanak sekolah rendah pada hari ini akan bekerja dalam
bidang baharu yang berlandaskan STREAM pada masa hadapan apabila
mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Hadirin dan hadirat sekalian,

DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN 2030

24. Pada 12 November 2018, Kuala Lumpur telah diiktiraf sebagai Ibu
Kota Buku Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi tahun 2020. Bandar
yang dipilih sebagai Kota Buku Dunia UNESCO dikehendaki
8
mempromosi buku, membaca dan menganjurkan aktiviti sepanjang tahun
seperti kempen membaca kepada pengguna tren dan peningkatan
perkhidmatan dan capaian digital oleh Perpustakaan Negara Malaysia
untuk orang kurang upaya (OKU).

25. Bagi menyahut cabaran ini, maka KPM telah melancarkan Kempen
Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) pada 13 Disember 2018 dengan
matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca pada
tahun 2030. Dalam usaha memastikan DMK mencapai keberhasilan
yang dihasratkan, maka bermula tahun ini sehingga 2020, KPM akan
mempergiatkan kempen DMK. Ini adalah kerana secara purata, rakyat
negara ini hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun berbanding 40
judul buku setahun di negara maju. Saya berharap agar guru di segenap
pelosok negara akan bersama-sama pihak KPM, bukan sahaja
menggalakkan budaya membaca dalam kalangan murid bahkan menarik
masyarakat umum untuk mencintai dunia pembacaan dan membugarkan
pembudayaan membaca.

PENDIDIKAN LITERASI KEWANGAN

26. Literasi kewangan merupakan elemen yang penting dalam


pembangunan dan kestabilan ekonomi sehingga dianggap sebagai
elemen terpenting dalam kehidupan abad ke-21. Sejajar dengan itu, KPM
telah merangka Strategi Nasional dalam Literasi Kewangan 2019-2023
melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Terdapat lima strategi keutamaan
(SK) yang dibangunkan, KPM telah dipertanggungjawabkan untuk
menerajui SK 1 iaitu: Memupuk nilai murni sejak usia muda. Sehubungan
dengan itu, objektif SK 1 adalah untuk mendidik murid supaya celik dalam
mengurus kewangan peribadi. Di samping itu, menanam nilai murni yang
mapan dan bertanggungjawab serta dapat menghadapi cabaran
kehidupan masa kini dan akan datang. KPM juga berharap dapat
membudayakan kemahiran mengurus kewangan peribadi secara
sistematik dalam kehidupan seharian.

27. Langkah ini seiring dengan pendedahan awal kepada warga


sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam aspek pengetahuan dan
kemahiran kewangan yang meliputi pengurusan dan perancangan
kewangan, pelaburan dan keperluan persaraan. KPM berpandangan
pelibatan ibu bapa dan masyarakat dalam menjayakan aktiviti
pengintegrasian pendidikan kewangan di sekolah, sejajar dengan usaha
membangunkan kapasiti dan menyediakan sokongan kepada guru.
Pendidikan kewangan ini hendaklah bermula daripada usia muda bagi
memastikan individu berupaya untuk bertanggungjawab dan membuat
9
keputusan kewangan dalam kehidupan seharian, pengurusan simpanan
dan pelaburan, kredit dan hutang, pengurusan risiko serta perlindungan
dan insurans untuk mengelakkan bebanan kewangan pada masa akan
datang. Sehubungan dengan itu, kerjasama dari semua pihak yang
terlibat diperlukan dalam menjayakan strategi ini bersama-sama
menggembleng tenaga dengan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Warga pendidik yang diraikan sekalian,

HARAPAN

28. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan sistem pendidikan


Malaysia setanding dengan negara lain, justeru, banyak program dan
inisiatif baharu yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh KPM.
Besarlah harapan saya agar semua guru di negara ini kekal memberikan
sokongan padu dan memberikan komitmen yang tinggi dengan
melaksanakan program dan inisiatif baharu berkenaan dengan
bersungguh-sungguh.

29. Pelaburan dalam bidang pendidikan di negara ini adalah yang


terbesar berbanding dengan bidang lain. Sebagai kumpulan penjawat
awam yang teramai di negara ini, guru mestilah menunjukkan taat setia
dalam melaksanakan dasar kerajaan dengan amanah, berkesan dan
cekap. Tanpa sokongan guru, pelbagai program peningkatan dan
kemajuan pendidikan yang dirancang oleh kerajaan hari ini pasti tidak
akan membuahkan hasil yang disasarkan.

30. Bagi memastikan profesion keguruan kekal relevan, disanjung


tinggi dan dipandang mulia, para guru haruslah berusaha untuk
meningkatkan tahap profesionalisme kendiri dengan menyertai latihan
peningkatan keilmuan yang dianjurkan oleh KPM mahupun agensi lain
khususnya latihan yang dapat membantu meningkatkan kualiti sekolah,
kualiti PdP dan kemenjadian murid agar modal insan yang dihasilkan
akan bersifat holistik dan berupaya menghadapi cabaran Revolusi
Perindustrian 4.0 (IR4.0).

PELUASAN PELAKSANAAN PELIBATAN IBU BAPA DAN KOMUNITI


(PIBK)

31. Pelaksanaan PIBK direalisasikan melalui Inisiatif #62 Pelan


Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Peluasan
Pelaksanaan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Dalam Ekosistem
Sekolah. Anjakan ke-9 PPPM yang merupakan satu inisiatif di bawah
Kementerian Pendidikan Malaysia memberi penekanan terhadap
10
kepentingan kerjasama antara ibu bapa, komuniti dan sektor swasta
dengan secara meluas dan memberi peluang dan tanggungjawab kepada
mereka untuk bersama-sama berganding bahu bagi tujuan penyediaan
pendidikan yang berkualiti dan seterusnya memperkasakan sekolah.

32. Ibu Bapa dan Komuniti yang berada dalam kumpulan penggerak ini
boleh menggembleng potensi kepintaran (ilmu, kemahiran dan sumber)
PIBK masing - masing secara optimum, berstruktur dan terancang bagi
membantu sekolah termasuk para guru. Di samping itu, PIBK juga
berperanan merangka dan merancang pelibatan dan jalinan pintar antara
ibu bapa dengan sekolah bagi pembangunan akademik, sahsiah,
kokurikulum dan infrastruktur serta menyelaras perkongsian idea dalam
kalangan ibu bapa dan komuniti untuk memberi sumbangan berbentuk
kemahiran dan kepakaran dalam pembangunan akademik dan
kokurikulum.

33. Kepada seluruh masyarakat dan ibu bapa khususnya Kumpulan


Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti, teruskanlah dan pertingkatkan
sokongan padu yang telah diberikan kepada pihak sekolah selama ini.
Sesungguhnya, banyak kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh
sekolah sama ada dalam bidang akademik, sukan dan kokurikulum
adalah hasil kerjasama jitu ibu bapa dan komuniti.

Para pendidik yang dikasihi sekalian,

PENUTUP

34. Guru, selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada


proses pembentukan sistem pendidikan negara yang berkualiti,
sesungguhnya mempunyai kedudukan mulia yang tersendiri dalam
masyarakat, sentiasa disegani dan dipandang tinggi. Perjuangan guru
tetap berterusan dan merupakan satu perjuangan ilmu yang mencabar.
Maka, teruskanlah khidmat baktimu yang mulia ini. Jasa guru akan
sentiasa dikenang.

35. Akhir kata, saya sudahi dengan mutiara kata berikut:

“Aku percaya kalau guru terhebat merupakan seniman terhebat dan aku
percaya hanya sedikit sekali seniman yang hebat. Mengajar mungkin
merupakan seni terhebat kerana mediumnya adalah jiwa dan akal
manusia.”

11
“Seseorang yang mendidik anak-anak itu lebih dihormati daripada orang
tuanya, bila orang tua hanya memberi nafkah hidup, maka pendidik pula
memberi seni kehidupan dengan baik.”

Selamat menyambut Hari Guru,

“Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”

TERIMA KASIH CIKGU.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi


wabarakatuh.

Sekian. Terima kasih.

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

16 MEI 2019

12
PEJABAT KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

ARAS 8, BLOK E8, KOMPLEKS E

PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

62604 PUTRAJAYA

TEL: 03-88846077 FAKS : 03-88894548

13

You might also like