You are on page 1of 3

TINDAKAN YANG TELAH DIJALANKAN TETAPI TIDAK BERJAYA

Peranan yang dimainkan kerajaan, ibu bapa, masyarakat dalam menyelesaikan isu
pedofilia ini tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Hal ini disebabkan oleh kurangnya
perhatian terhadap isu ini. Seperti kita tahu pendidikan harus bermula di rumah dan
diperkukuhkan lagi di sekolah secara berterusan berdasarkan umur kanak-kanak, di
mana penekanan adalah untuk mendapatkan bantuan dengan segera. Malangnya,
kebanyakan kanak-kanak tidak mendedahkan penderaan seksual yang dialami.
Mungkin terlalu takut, malu atau tidak boleh melaporkannya, terutama sekali jika
pelakunya adalah ahli keluarga atau rakan kepada keluarga mereka.

Namun, bila kanak-kanak memberitahu tentang penderaan seksual yang


dialami, orang dewasa sering tidak percaya atau tidak melaporkan penderaan tersebut
kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu memalukan keluarga atau kerana proses yang
sukar (membuat laporan polis, siasatan, penilaian perubatan, proses
mahkamah).Walaupun pencegahan awal terhadap penderaan seksual boleh membantu
untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan berulang, kebanyakan orang
dewasa masih memilih untuk berdiam diri. Sikap berdiam diri inilah yang
membenarkan pemangsa seksual yang wujud dalam kalangan masyarakat kita untuk
mendera kanak-kanak. Orang dewasa perlu diberi kesedaran tentang akibat buruk
terhadap kanak-kanak jika penderaan seksual tidak dilaporkan. Kepercayaan bahawa
penderaan seksual harus dirahsiakan perlu dipadamkan daripada kamus kehidupan.

Selain itu, melihat kepada peranan kerajaan. Apabila aduan mengenai penderaan
seksual dibuat, sering kali aduan ini tidak ditangani dengan baik. Ia seolah-olah terdapat
masalah dari segi kecekapan dan keberkesanan dalam menangani kes, dengan siasatan
yang dimulakan lambat, pertanyaan yang tidak sesuai serta berulang-ulang dan
pendakwaan yang tidak berkesan dalam banyak kes penderaan seksual terhadap kanak-
kanak. Menurut data yang dibahaskan di Parlimen pada 2013, terdapat sebanyak 3061
laporan tentang jenayah seksual membabitkan kanak-kanak (rogol, liwat, cabul),
sebanyak 696 suspek dituduh di mahkamah dan 24 kes dijatuhi hukuman. (Utusan:
2016) Walaupun undang-undang terhadap kesalahan seksual adalah penting,
hakikatnya untuk memastikan pelaku disabit kesalahan adalah sangat sukar.
Jelas sekali kita sangat memerlukan pegawai-pegawai yang komited dan cekap,
di mana tugas mereka adalah khusus untuk menangani isu perlindungan kanak-kanak
dan memastikan pendakwaan terhadap pesalah seksual. Justeru, sumber-sumber yang
mencukupi perlu disalurkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk menangani
kekurangan ini. Jika tidak, polisi dan undang-undang untuk perlindungan kanak-kanak
tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Seterusnya, terdapat kekurangan dari segi sokongan, kita tidak mempunyai


pakar profesional (contohnya, kaunselor, ahli psikologi kanak-kanak, dan ahli terapi
permainan) yang mencukupi untuk membantu mangsa kanak-kanak ini menangani
trauma selepas penderaan seksual berlaku. Terdapat kekurangan sumber di dalam aspek
penting ini.

Malaysia telah memperkenalkan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak pada 2009


untuk panduan semua agensi, organisasi dan anggota masyarakat bagi mengutamakan
perlindungan terhadap kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama. Antara tujuh
objektif utama dan 11 strategi di dalam dasar tersebut adalah mewujudkan satu sistem
saringan, pengiktirafan dan latihan bagi mereka yang bekerja secara langsung bersama
kanak-kanak. (Utusan: 2016) Malangnya, ramai orang masih tidak tahu tentang dasar
ini. Lebih teruk lagi, dasar ini tidak dikuatkuasakan di dalam banyak organisasi yang
berurusan dengan kanak-kanak. Di manakah komitmen kerajaan dalam permasalahan
ini?

Ini jelas bahawa walaupun adanya undang-undang dan dasar-dasar untuk


melindungi kanak-kanak, orang dewasa, ibu bapa, penjaga, pengasuh, pembuat dasar,
penguat kuasa undang-undang, pembekal perkhidmatan dan sebagainya terus gagal
untuk melindungi kanak-kanak kerana kejahilan, tidak mahu bertindak, ketidakcekapan
atau sikap acuh tidak acuh.

Jadi, untuk mengelakkan isu ini terus berlaku, kita harus menjadikan
perlindungan terhadap kanak-kanak satu keutamaan. Kerajaan haruslah memberi
komitmen manakala semua pihak haruslah sentiasa berwaspada dalam usaha
melindungi kanak-kanak. Keselamatan kanak-kanak sebenarnya bergantung kepada
kita semua.

You might also like