You are on page 1of 7

3.

1 Penyalahgunaan Dadah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 300), dadah membawa dua pengertian. Pergertian
pertama ialah sejenis ubat-ubatan manakala bagi pengertian kedua, dadah ialah sejenis bahan
(seperti ganja, heroin marijuana) yang merosakkan atau membinasakan orang yang
menggunakannya secara berlanjutan (merosakkan kesihatan dan membawa maut).
Penyalahgunaan dadah merupakan satu gejala yang melibatkan golongan berpendidikan tinggi,
ahli-ahli professional, mereka yang tidak berpendidikan dan penganggur. Penyalahgunaan dadah
adalah penggunaan dadah yang bertentangan dengan kepentingan rawatannya. Namun pada hari
ini, istilah yang lebih sesuai digunakan ialah penyalahgunaan bahan yang merangkumi alkohol,
tembakau, kokain, marijuana (ganja) dan dadah-dadah perangsang. Perkataan ‘bahan’ ini lebih
sesuai digunakan berbanding dengan penggunaan perkataan ‘dadah’ kerana dadah merupakan
bahan kimia pembuatan, manakala kebanyakan bahan yang disalahgunakan itu dihasilkan secara
semulajadi (seperti candu) yang tidak boleh digunakan oleh manusia contohnya, menghidu gam.
Penggunaan dadah dan alkohol yang berlebihan dan berpanjangan ternyata tidak
mendatangkan sebarang kebaikan kepada peminat setianya. Pengambilannya yang kerap boleh
memusnahkan pelbagai organ dalam badan. Alkohol terutamanya, mampu merosakkan hati, otak
dan jantung. Hati yang telah dirosakkan oleh alkohol kurang berupaya untuk membuang sisa-sisa
toksik yang terkumpul di dalam badan. Individu yang berada dalam keadaan koma hepatik akan
menjadi lemah, mengantuk, pengsan, bingung dan biasanya tangan mereka akan menggeletar.
Koma hepatik boleh membawa maut dan perlu dirawat dengan segera.
Penagih dadah terutamanya yang berkongsi jarum suntikan yang kotor boleh mengalami
kerosakan pada otak, hati, paru-paru, tulang dan sistem imun. Kuman yang berjangkit dari jarum
yang tidak steril itu kadangkala boleh menjangkiti otak dan menyebabkan meningitis serta otak
bernanah. Virus hepatitis yang merebak melalui perkongsian jarum juga boleh menyebabkan
kerosakan hati. Kebanyakan penagih dadah akan mula menyuntik dadah secara subkutanus (di
bawah kulit) yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit atau kudis. Apabila dadah telah
disuntik ke dalam vena (salur darah), parut boleh terbentuk pada tisu yang terlibat dan
menyebabkan salur vena tersumbat dan akhirnya membawa kepada masalah sistem imun. Selain
itu juga, penagih-penagih dadah ini akan lebih terdedah dan mudah dijangkiti penyakit HIV
(Human Immunodeficiency Virus). Hal ini demikian kerana virus ini merebak melalui
perkongsian jarum. Penggunaan dadah yang berlebihan juga boleh membahayakan nyawa kerana
ia boleh menyebabkan gangguan pada pernafasan dan seterusnya membawa maut. Ini disebabkan
oleh bekalan darah ke otak telah berkurangan, menyebabkan koma dan seterusnya membawa
maut.
Terdapat pelbagai jenis dadah yang sering disalahgunakan termasuklah kanabis (ganja),
amfetamin, ekstasi dan heroin. Antara simptom-simptom yang biasa dipamerkan oleh
penyalahguna dadah ialah mata menjadi kemerah-merahan, insomnia iaitu tidak dapat tidur,
hilang selera makan, penurunan berat badan secara mendadak, sering kemurungan, berubah
menjadi seorang yang banyak bercakap, tidak dapat mengimbangi diri, loya dan sering muntah-
muntah, sering kelihatan mengetap gigi dan rahang, peningkatan tenaga dengan tiba-tiba, kerap
menggosok hidung, berpeluh dengan berlebihan, terlalu mengantuk dan menggunakan tandas
dalam masa yang agak lama. Walau bagaimanapun, sesetengah dadah menghasilkan gejala yang
khusus. Contohnya, mempamerkan simptom yang dikenali sebagai cocaine bug iaitu rasa sesuatu
merayap di atas kulit. Ekstasi pula mempamerkan gejala yang ganjil iaitu rasa tersangat dahaga.
4.0 CABARAN-CABARAN

4.1 Penyalahgunaan Dadah

Antara cabaran-cabaran yang terdapat di dalam isu ini ialah personaliti individu tersebut,
pencapaian akademik yang rendah di sekolah dan faktor keturunan. Sifat personaliti yang
tertentu boleh menyebabkan segelintir pelajar lebih cenderung kepada penyalahgunaan dadah
dan akhirnya menjadi ketagihan dengan dadah.

Lumrah remaja yang suka mencuba benda baru, mengambil risiko dan suka
memberontak atau berkelakuan sangat impulsif sebenarnya lebih terdedah kepada ketagihan
alkohol. Kajian menunjukkan bahawa 25% daripada mereka yang ketagihan alkohol mula
mengambil bahan minuman yang mengandungi kandungan alkohol semasa remaja sebelum mula
menagih dadah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pihak Substance Abuse and Mental
Health Services Administration yang memantau remaja seawal umur empat tahun sehingga 18
tahun mendapati bahawa mereka yang dikesan mempunyai tanda-tanda tekanan emosional pada
usia yang muda mempunyai kecenderungan yang sangat besar untuk menjadi penagih Marijuana.
Selain itu, ciri-ciri personaliti yang lain seperti tidak mampu bersosial dengan masyarakat di
sekeliling, tidak berkeyakinan diri dan tidak mampu mencurahkan perasaan-perasaan
negatif yang terpendam merupakan mereka yang selalu dikesan terlibat dalam gejala
penyalahgunaan dadah. Walaupun sifat tertentu diklasifikasikan sebagai “addictive personality”,
namun para saintis menolak penggunaan terma tersebut untuk melabel mereka yang terlibat. Hal
ini boleh dibuktikan melalui kes pelakon terkenal iaitu Robert Downey Junior yang merupakan
seorang penagih tegar namun beliau sudah pulih daripada masalah ketagihan dadah selepas
menjalani tempoh pemulihan yang lama di pusat pemulihan di Amerika Syarikat.

Selain daripada personaliti individu, pelajar yang tidak bermotivasi di sekolah juga
lebih cenderung ke arah penyalahgunaan dan ketagihan dadah. Seperti dalam salah satu kes yang
dikesan ialah kes remaja yang bernama Zoey. Zoey merupakan seorang remaja yang ketagihan
dengan dadah. Baginya, alam persekolahan adalah sangat mengerikan dan kehidupannya di
sekolah amat memeritkan. Semasa berada di sekolah rendah, keadaan masih lagi terkawal,
namun apabila dia sudah menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah, keadaannya sudah tidak
terkawal dan dia mula ponteng sekolah. Pernah sekali, dia mendapat kedudukan yang terakhir di
dalam kelas untuk peperiksaannya akhirnya. Dia berasa tidak selesa untuk menjejakkan kaki ke
sekolah, berdepan dengan guru-guru dan dia juga berasa mustahil untuk memperbaiki prestasi
akademiknya. Tidak lama selepas itu, Zoey mula bergaul dengan kumpulan budak-budak yang
boleh dilabelkan sebagai “kumpulan samseng” di sekolah dan juga kawasan perumahannya.
Perlakuan dan sikap Zoey semakin liar apabila dia mula menghilangkan diri pada setiap hujung
minggu, merokok dan juga ketagihan bahan alkohol dan dadah. Apabila ditanya mengenai
perubahan drastik yang berlaku terhadap sikapnya, Zoey mengatakan bahawa selepas mendapat
kedudukan yang terakhir dalam peperiksaan, keadaan itu telah menyukarkannya untuk
berhadapan dengan ibunya. Hal ini disebabkan ibunya berasa sangat sedih dan marah atas
prestasi akademiknya yang teruk. Oleh itu, Zoey mengambil jalan penyelesaiannya sendiri
dengan menjauhkan diri daripada ibunya dan disitulah bermulanya titik-titik permulaan
kehidupan liar di mana dia mula menyalahgunakan dadah dan alkohol.

Seperti kes-kes lain contohnya sakit mental, penyakit kanser dan pertumbuhan fizikal
seseorang, ketagihan dadah juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan. Walaupun perkara ini
agak sukar untuk dipercayai, namun itulah kebenarannya. Ciri-ciri tertentu dalam pelajar yang
ketagihan dadah sebenarnya adalah diwarisi. Bukti bahawa sikap ini sememangnya diwarisi
datang daripada kajian yang dijalankan pada sepasang kembar yang baru dilahirkan yang
telah dijadikan anak angkat oleh dua orang saintis sejak dilahirkan. Pasangan kembar dipilih
untuk dijadikan kajian kes kerana kembar seiras mempunyai genetik yang sama dan melalui
kajian ini jugalah telah terbukti bahawa ketagihan dadah didorong sebanyak 60% oleh faktor
keturunan dan genetik. Sebagai contoh, penagih muda yang ketagihan dengan alkohol ada
kemungkinan mewarisi kebolehan untuk merembeskan enzim di ginjal mereka yang
membolehkan mereka mempunyai kemampuan untuk mengambil minuman alkohol dalam
kuantiti yang banyak berbanding denga rakan sebaya mereka. Selain itu, mereka juga boleh
mewarisi ketidakbolehan untuk mengawal tekanan yang dihadapi dengan baik dan turut
mewarisi otak yang boleh merembeskan bahan kimia yang sangat cepat untuk memberi respon
kepada dadah-dadah yang tertentu. Melalui kajian ini juga, satu spekulasi telah dibuktikan iaitu
setiap penagih mempunyai dadah kegemaran mereka masing-masing, atau di sini kita boleh
definisikan sebagai dadah pilihan mereka. Sebenarnya, mereka memilih jenis dadah yang
digemari tanpa disedari oleh mereka. Hal ini demikian kerana dadah yang dipilih oleh mereka
secara tidak sengaja itu adalah untuk menyamakan ketidakseimbangan bahan kimia yang
dirembes oleh otak mereka.

Pada masa yang akan datang, ada kemungkinan yang kita sebenarnya boleh mengesan
atau meneka siapakah di antara mereka yang cenderung atau mempunyai risiko terhadap
ketagihan dadah dan jenis dadah yang akan menjadi pilihan mereka melalui uji kaji genetik,
analisis faktor risiko, sejarah dan latar belakang keluarga. Sebagai contoh, seorang doktor
di Boston iaitu Dr, Timothy Willens yang sedang menjalankan kajian terhadap sekumpulan
remaja yang menghidap penyakit “Attention Deficit Disorder (ADD)” mengatakan bahawa
remaja yang mempunyai masalah ADD ini mempunyai peluang dua kali ganda daripada rakan
mereka yang tidak mempunyai masalah ini untuk mula terlibat dalam gejala yang tidak sihat
seperti merokok. Kumpulan remaja ini juga telah diberikan sejenis ubat “anti-depressant” yang
sama dos dan kuantitinya seperti yang diberikan kepada golongan dewasa untuk berhenti
merokok. Tujuan ubat ini diberikan melalui pandangan Dr. Timothy adalah supaya beliau dapat
menghalang subjek-subjek dalam kajian kesnya untuk tidak memulakan gejala merokok.
5.1 Penyalahgunaan Dadah

Masalah penyalahgunaan dadah telah semakin berleluasa di Malaysia pada masa kini. Pelbagai
langkah perlu diambil bagi menangani masalah ini daripada terus meruncing. Masalah ini juga
perlulah ditangani sejak dari akar umbi dengan menggunakan sistem pendidikan di Malaysia
kini. Pelbagai langkah telah dicipta bagi menangani isu ini dari terus berlelusa.

Antara langkah yang boleh diambil bagi menangani isu penyalahgunaan dadah ini adalah
dengan menggunakan pendidikan kesihatan. Menurut Badan Gabungan Terminologi
Pendidikan Kesihatan (1990) menyatakan, pendidikan kesihatan ialah sambungan pelajaran
yang membolehkan manusia, sebagai individu dan sebagai ahli sesebuah struktur sosial,
untuk secara sukarela membuat keputusan, mengubah perlakuan dan mengubah keadaan
sosial yang boleh meningkatkan kesihatan. Pengajaran alkohol, tembakau dan dadah lain
(ATODe) sebenarnya mendorong dan manyokong pilihan secara sukarela yang kondusif ke arah
kehidupan yang sihat dalam keadaan yang tidak dimanipulatif dan tiada paksaan.

Pendekatan seterusnya yang boleh diambil bagi menangani isu ini adalah dengan
menggunakan pendidikan menentang penyalahgunaan dadah (DARE). Kurikulum DARE ini
telah diasaskan pada tahun 1983 daripada gabungan usaha antara Jabatan Polis Los
Angeles dan sekolah bersatu kawasan Los Angeles. Kurikulum ini diajar oleh pegawai
penguasa undang-undang yang telah mendapat latihan selama 2 minggu. Pegawai itu akan
mengajar tentang melawan tekanan rakan sebaya, kemahiran pengurusan diri dan
alternatif kepada penggunaan dadah. Kurikulum ini mencakupi penbelajaran selama 1 jam
sepanjang 15 minggu. Kajian menunjukkan pelajar yang diberi latihan DARE ini lewat dalam
menggunakan produk hasil tembakau.

Seterusnya, program latihan pengurusan hidup (LST) juga boleh dijalankan. Botvins
LST ini mengfokuskan kepada pengurangan tekanan kepada merokok, minum arak atau
penggunaan dadah, mengembangkan kompitensi personal bagi memenuhi cabaran remaja
dan mempraktikkan kemahiran-kemahiran tertentu bagi menolak tekanan rakan sebaya.
Program ini sesuai bagi pelajar sekolah terutamanya sekolah menengah. Hal ini kerana, pelajar
sekolah menengah lebih terdedah dan berfikiran terbuka kepada perkara-perkara seperti rokok
dan dadah. Selain itu, masalah ini perlulah diselesaikan dari akar umbi iaitu sejak dari bangku
sekolah lagi.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat
dalam kancah dadah. Ibu bapa perlulah mengawal pergaulan serta tingkah laku anak-anak
agar tidak bergaul dengan golongan-golongan yang tidak berpatutan. Sebagaimana yang
kita sudah sedia maklum, ibu bapa sangat mengenali anak-anak mereka. Jadi dengan cara yang
betul, ibu bapa akan dapat membendung anak-anak mereka dari bergaul dengan orang yang
salah sekaligus terjerumus dalam kancah dadah. Ibu bapa yang sering berkomunikasi dengan
anak-anak juga lebih mudah untuk mengawal tingkah laku anak-anak daripada melakukan
perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Ibu bapa juga perlulah menjadi contoh yang baik kepada
anak-anak agar anak-anak tidak melawan arahan dan sekaligus menjadikan ibu bapa sebagai
contoh yang paling dekat dengan mereka.

You might also like