You are on page 1of 9

11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.

htm

Musafir Penerbangan dan Beberapa Permasalahannya


Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian II Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9:10:11:12:13

11 Menjamak Solat dalam Penerbangan.


Jamak bererti menghimpun. Dalam sudut perlaksanaan solat ia bererti menghimpunkan
dua solat dalam satu masa. Contohnya ialah menghimpunkan solat Zohor dan Asar dalam waktu
Zohor, ataupun dalam waktu Asar. Juga seperti menghimpunkan solat Maghrib dan Isyak dalam
waktu Maghrib, ataupun dalam waktu Isyak. Apabila dua solat tersebut dihimpunkan dalam waktu
yang pertama ia digelar sebagai jamak takdim dan apabila ia dihimpunkan dalam waktu yang
kedua ia digelar sebagai jamak takhir.

Tidak ada jamak antara solat Subuh dan Zohor, tidak ada jamak antara solat Asar dan
Maghrib, tidak ada jamak antara solat Isyak dan Subuh. Berikut dikategorikan beberapa dalil dan
rincian bagi solat jamak ini.[1]

Dalil yang mensyari'atkannya.

Qutaibah bin Said radiallahu-anhu menerangkan:

Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam peperangan Tabuk, apabila


hendak berangkat sebelum tergelincir matahari, beliau mengakhirkan solat Zohor sehingga
dikumpulkan solat Zohor kepada solat Asar dan lalu beliau mendirikan kedua-duanya
serentak. [Ini adalah Jamak Takhir]

Apabila beliau hendak berangkat selepas tergelincir matahari maka beliau bersolat
Zohor dan Asar serentak (dalam waktu Zohor) kemudian beliaupun berangkat. [Ini adalah
Jamak Takdim]

Apabila beliau berangkat sebelum Maghrib maka beliau mengakhirkan solat


Maghribnya sehingga disolatkan bersama solat Isyaknya. [Ini adalah Jamak Takhir]

Dan apabila beliau berangkat selepas waktu Maghrib maka beliau mengawalkan solat
Isyaknya lalu disolatkan bersama solat Maghrib (dalam waktu Maghrib). [Ini adalah Jamak
Takdim][2]

Hadith ini serta banyak lain yang sedia tercatit dalam kitab-kitab hadith jelas menerangkan
bahawa dibolehkan menghimpun dua solat dalam satu waktu. Kebolehan ini hanya dibolehkan
bagi antara solat Zohor dan Asar, dan antara solat Maghrib dan Isyak. Selain itu tidak dibolehkan
jamak kerana tiada dalil yang menunjukkan sedemikian. Usul fiqh mengajar kita bahawa setiap
perkara ibadah memerlukan dalil al-Qur'an atau as-Sunnah untuk membolehkannya kerana ibadah
itu adalah urusan Allah dan bukan urusan manusia dan hanya Allah yang berhak menetapkan cara
serta kaedah bagi hamba-hambaNya beribadah kepadaNya.

1 of 9 9/2/2008 7:25 PM
11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.htm

Syarat-syarat bagi membolehkan solat dijamak.

Pertama - Suasana yang sukar atau sulit.

Asal hukum menunaikan ibadah solat-solat fardhu adalah lima kali sehari dalam waktu-
waktunya yang sudah sedia ditetapkan sebagaimana perintah Allah Subhanahu waTa'ala:
Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman,
yang tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103]. Hukum asal ini hanya boleh diubah
kepada menghimpunkan dua solat ke dalam satu waktu apabila seseorang itu menghadapi
kesukaran untuk melaksanakannya dalam waktu-waktunya yang tersedia. Penjelasan ini
berdasarkan pertanyaan yang pernah diajukan kepada Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu
seorang sahabat yang nyata tinggi lagi luas ilmunya, bahawa kenapakah dibolehkan menjamak
solat. Lalu beliau menerangkan: Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berkehendak memberikan
kemudahan kepada umatnya (dalam suasana sukar).[3]

Walaubagaimanapun hendaklah benar-benar diusahakan sekuat mampu untuk mengelakkan


diri dari sengaja melakukan solat-solat fardhu secara jamak kerana beberapa sebab -
1. Perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali
sehari. Ini adalah perintah yang amat penting maka oleh itu hendaklah dipastikan bahawa
kesukaran yang dialami adalah sesuatu yang benar-benar tidak dapat dielakkan
2. Walaupun Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah menjamakkan solatnya, ini beliau lakukan
hanya sekali-sekala apabila suasana amat menekankannya. Solat secara tetap lima kali sehari
lebih beliau utamakan dan sentiasa didahului daripada pilihan menjamak. Sekalipun dalam
perjalanan di gurun pasir yang panas atau di malam yang dingin, beliau lebih kerap melakukan
solat-solatnya lima kali sehari dan hanya sekali-sekala menjamakkan solat-solatnya.[4]
3. Sebagai pilihan dipertengahan terhadap pendapat lain yang mengatakan menjamak solat adalah
tidak dibolehkan. Perselisihan pendapat ini wujud kerana terdapat perbezaan antara ahli-ahli
hadith dalam menilai kekuatan sesetengah hadith yang mensyari'atkan solat secara jamak dan
juga perbezaan tafsiran antara ahli-ahli fiqh terhadap hadith-hadith tersebut.[5]

Perlu dinyatakan di sini bahawa suasana musafir bukanlah faktor penentu samada
dibolehkan solat dijamak atau tidak. Faktor yang membolehkan dua solat fardhu dijamak dalam
satu masa ialah berlakunya kesukaran atau kesulitan dalam salah satu daripada waktu solat
tersebut. Oleh itu dibolehkan menjamak solat apabila berada dalam apa jua suasana yang
menimbulkan kesukaran samada di perkampungan asal atau di dalam perjalanan ataupun di
destinasi perjalanan. Sebaliknya jikalau perjalanan seseorang itu tidak membawa sebarang
kesukaran atau kesulitan maka adalah lebih menepati kebenaran hukum syara' bahawa dia
menunaikan solat-solat fardhu yang lima itu dalam waktunya masing-masing, tidak secara jamak.
Sekali lagi diulangi bahawa suasana perjalanan atau musafir bukanlah faktor yang membolehkan
solat dijamak.

Ini berbeza hukumnya dengan mengqasarkan solat-solat fardhu yang empat raka'at kepada
dua raka'at, di mana faktor yang membolehkan sesuatu solat itu diqasarkan ialah suasana musafir
tidak kira samada musafirnya itu membawa kesukaran atau tidak. Perbincangan dalam bab solat
qasar ini akan diperluaskan dalam perbincangan bab ke - 12 nanti.

Dalil yang membolehkan solat dijamak sekalipun di perkampungan asal atau tempat

2 of 9 9/2/2008 7:25 PM
11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.htm

mastautin ialah dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang pernah menjamakkan solat
fardhunya apabila masih berada di rumahnya di Madinah ketika hendak memulakan suatu
perjalanan yang dijangkanya mempunyai kesukaran di dalamnya. Abdullah ibnu Abbas
radiallahu-anhu menerangkan:

Mahukah aku sampaikan kepada kalian tentang kaedah solat Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam dalam perjalanan ? Apabila matahari telah tergelincir (masuk waktu Zohor) sedang
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam masih berada di rumahnya maka beliau menjamakkan antara
Zohor dan Asar dalam waktu yang pertama (jamak takdim-P).[6]

Selain itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga pernah solat jamak di Madinah apabila ada
suasana kesukaran, sebagaimana terang Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu: Bahawasanya Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat di Madinah 8 rakaat dan 7 rakaat, iaitu Zohor dan Asar
(4+4) serta Maghrib dan Isyak (3+4).[7] Antara sebab beliau menjamakkan solat-solat fardhunya
di Madinah ialah kerana turunnya hujan lebat, agar tidak membebankan umatnya untuk kembali ke
masjid dalam suasana hujan yang sudah tentu akan menyebabkan para jamaah basah kuyup dan
kotor pula kaki mereka kerana berjalan di tanah yang kini bertukar menjadi berlumpur. Antara dalil
yang dijadikan panduan oleh para ahli fiqh ialah penerangan Abu Salamah bin Abdur Rahman
radiallahu-anhu yang bermaksud:

Di antara sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ialah menjamakkan solat antara


Maghrib dan Isyak di hari hujan.[8] Berpijak dari hadith ini Imam an-Nawawi dan lain-lain
fuqaha membolehkan solat di jamak dalam lain-lain suasana yang turut menyulitkan seperti angin
ribut, salji dan sebagainya.[9]

Pernah di satu hari Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu menerangkan bahawa dia melihat
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjamak antara dua solat fardhunya tanpa dalam suasana musafir,
ketakutan atau keadaan cuaca yang buruk.[10] Para ahli hadith mentafsir perbuatan Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam tersebut sebagai kesakitan atau keuzuran kesihatan yang sedang beliau
alami (dan tidak disedari oleh Ibnu Abbas) lalu kerana itu beliau menjamakkan solatnya.[11] Maka
berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tersebut, para ahli fiqh merumuskan
bahawa seseorang itu boleh menjamak antara dua solat-solat fardhunya jikalau dia menghadapi
apa-apa penyakit yang memberatkan.[12]

Ulama'-ulama' mutakhir[13] kemudian memperluaskan syarat kesukaran ini ke arah


konteks yang lebih menyeluruh, seperti umpama seorang doktor yang melakukan pembedahan
sehingga berjam-jam lamanya, seseorang pekerja shif yang diwajibkan oleh majikannya untuk tetap
bekerja secara berterusan sehingga melepasi waktu solat, seorang pelajar yang menghadiri kuliah
atau peperiksaan di luar negara di mana jadual kuliah atau peperiksaannya itu mengjangkaui waktu
solatnya, seorang peguam yang terpaksa menghadiri kes perbicaraan tanpa diberi waktu rehat oleh
tuan hakim dan sebagainya. Semua contoh-contoh ini dan apa-apa yang seumpama membolehkan
solat-solat dijamak. Hukum kebolehan ini tetap berhubung-laku samada di perkampungan asal
ataupun ketika dalam perjalanan ataupun setelah tiba di destinasi perjalanan.

Selain itu dianjurkan menjamak solat apabila berhadapan dengan suasana yang menyulitkan
perlaksanaan solat secara sempurna. Contohnya ialah bagi seorang muslimah yang secara tidak
sengaja atau benar-benar terlupa tidak mempunyai pakaian menutup aurat yang sepenuhnya dan

3 of 9 9/2/2008 7:25 PM
11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.htm

dalam jangkaannya yang kuat dia akan dapat memperolehi pakaian tersebut dalam waktu akan
datang maka dibolehkan dia mengakhirkan solat pertamanya ke dalam waktu kedua dengan kaedah
jamak. Antara lain ialah suasana ketiadaan air atau tanah untuk berwudhu' atau bertayamum, maka
jikalau dalam jangkaannya yang kuat dia akan dapat menemui salah satu unsur penyucian ini dalam
waktu yang kedua maka dianjurkan dia melakukan jamak solat yang pertama ke dalam waktu yang
kedua.

Tidak dibolehkan menjamak solat atas alasan-alasan mengejar habuan dunia atau mentaati
bisikan nafsu. Tidak dibolehkan jamak semata-mata kerana sibuk di bursa saham atau terlalu asyik
di gedung beli-belah atau terlalu taksub dengan tontonan sukan di stadium dan yang seumpama.
Juga tidak dibenarkan jamak dalam suasana hujan jikalau dia sememangnya biasa atau asalnya
berniat mendirikan solat di rumah. Dalam ertikata lain tidak dibenarkan jamak atas alasan-alasan
yang tidak kukuh lagi sahih di sisi syari'at. Seseorang yang meremehkan solat-solatnya dengan
kerapkali menjamak akan dipertanggung-jawabkan nanti kerana dipandang sebagai melecehkan
perintah agama yang terpenting ini.

Kedua - Kesukaran itu secara pasti meliputi keseluruhan waktu solat tersebut.

Kesukaran yang dihadapi oleh diri seseorang untuk dijadikan penyebab menjamak
solat-solat fardhu perlu dipastikan secara jelas atau dengan jangkaan yang kuat bahawa ia adalah
sesuatu yang benar-benar hadir di sepanjang waktu solat yang akan dijamak itu.

Contohnya ialah apabila seorang doktor yang dijadualkan untuk melakukan pembedahan
pada pukul 4 petang, lalu dengan ilmu serta pengalamannya dia tahu serta yakin bahawa
pembedahan tersebut akan memakan masa yang lama sehingga lanjut ke waktu Maghrib maka
dengan itu dibolehkan dia melakukan jamak takdim dengan mendirikan solat Zohornya beserta
solat Asar dalam waktu Zohor. Akan tetapi jikalau diketahui bahawa pembedahan tersebut adalah
mudah dan ia dijangka akan selesai pukul 5 atau 6 petang maka tidak dibolehkan bagi doktor
tersebut menjamakkan solatnya.

Demikian juga, apabila seseorang bersolat Zohor dalam pesawat terbang lalu diketahuinya
bahawa dia akan tiba ke destinasi pada awal waktu Asar maka dia tidak boleh menjamakkan solat
Asarnya bersama solat Zohornya secara jamak takdim. Akan tetapi dalam kes yang sama, jikalau
dia sedia mengetahui akan kesukaran yang bakal mendatang seperti mendarat di lapangan terbang
asing di negara non-muslim maka dibolehkan dia menjamakkan solat secara jamak takdim.
Demikian juga yang seumpama bagi kes-kes jamak takhir.

Apabila seseorang itu telah pasti atau yakin benar bahawa kesukaran yang dihadapinya itu
benar-benar meliputi waktu solatnya lalu dia mempraktikkan solat jamak, akan tetapi kemudian
secara tidak diduga kesukaran tersebut hilang maka solat yang telah dijamaknya itu dikira sah dan
tidak perlu diulangi. Berbalik kepada contoh seorang doktor yang yakin bahawa pembedah yang
bakal dilakukannya itu akan meliputi seluruh waktu solat Asar lalu dia menjamakkan solat Asar
tersebut bersama solat Zohornya secara jamak takdim, lalu secara tidak diduga pembedahannya itu
selesai lebih awal dari yang dijangkakan dan waktu solat Asar pula masih hadir maka dia tidak
perlu mendirikan semula solat Asarnya itu.[14]

Ketiga - Solat dijamak mengikut tertib dan berturut-turut.

Solat yang akan dijamak itu perlu didirikan secara tertib mengikut susunannya yang asal. Ini
berpandukan dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sebagaimana yang tertera dalam

4 of 9 9/2/2008 7:25 PM
11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.htm

hadith-hadith yang telah dikemukakan sebelum ini. Seseorang yang akan melakukan jamak takdim
hendaklah dia menunaikan solat Zohornya dahulu kemudian diikuti oleh solat Asar, juga
menunaikan solat Maghribnya dahulu kemudian diikuti oleh solat Isyak.

Susunan tertib yang sama adalah juga bagi seseorang yang akan melakukan jamak takhir.
Hendaklah dia menunaikan solat Zohor dahulu kemudian diikuti dengan solat Asar sekalipun ini
dilakukan dalam waktu Asar, juga menunaikan solat Maghrib dahulu kemudian diikuti dengan solat
Isyak sekalipun dilakukan dalam waktu Isyak. Akan tetapi jikalau dijangkakan bahawa waktu
solatnya itu akan berakhir dalam masa yang singkat maka dianjurkan dia menunaikan solat yang
hadir dahulu kemudian diikuti dengan solat yang akan dijamak. Iaitu orang yang akan menunaikan
solat secara jamak takhir padahal waktu Asar sudah hampir luput maka dianjurkan dia menunaikan
solat Asar dahulu kemudian diikuti dengan solat Zohor.[15]

Perlaksanaan solat yang akan dijamak juga hendaklah secara berturut-turut tanpa
dipisahkan antara satu sama lain sekalipun dengan bacaan zikir. Disunnahkan membaca iqamat
antara keduanya mengingatkan kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang menyuruh agar
diiqamatkan solat-solat yang akan dijamak, satu bagi yang solat yang pertama dan satu lagi bagi
solat yang kedua. Oleh itu bagi seseorang yang menunaikan solat Zohor dan Asarnya secara jamak,
apabila sahaja dia selesai solat Zohornya maka hendaklah dia iqamat kemudian terus diikuti oleh
solat Asar. Demikian juga bagi jamak antara solat Maghrib dan Isyak. Dibolehkan menjarakkan
antara satu-satu solat yang akan dijamak atas sebab-sebab yang amat perlu seperti mengulangi
wudhu' yang terbatal.[16]

Keempat - Solat jamak takhir hendaklah diniatkan pada waktu yang pertama.

Apabila hendak menunaikan solat secara jamak dalam waktu yang kedua (Jamak Takhir),
maka dituntut bagi orang tersebut mengetahui dengan sedar dalam waktu yang pertama bahawa dia
akan melakukan solatnya itu di waktu yang kedua. Contohnya bagi seseorang yang mahu
melakukan solat Zohor dan Asar secara jamak dalam waktu Asar maka dia wajib secara sedar
berniat dalam waktu Zohor bahawa dia akan menunaikannya secara jamak dengan solat Asar dalam
waktu solat Asar nanti. Ini tercapai dengan lintasan hati atau sebutan mulut yang berbunyi Solat
Zohor aku ini akan aku jamakkan dengan solat Asar dalam waktu Asar nanti atau apa-apa yang
seumpama. Demikian juga bagi solat jamak takhir Maghrib dan Isya'. Tuntutan ini diwujudkan bagi
membezakan bahawa seseorang itu bersolat jamak takhir berdasarkan pengetahuan yang sedar
sejak dari awal dan bukan kerana lalai, berlaku remeh atau malas ketika di dalam waktu yang
pertama.[17] Jika seseorang itu benar-benar lupa secara ikhlas lagi tidak sengaja untuk meniatkan
jamak takhir bagi solatnya yang pertama padahal sudahpun dirancang sejak dari awal maka
dibolehkan bagi dia untuk tetap menunaikan solatnya itu secara jamak takhir kerana lupa itu adalah
salah satu dari keuzuran yang dimaafkan oleh Islam. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:
Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta
apa yang mereka lakukan kerana dipaksa.[18]

Beberapa Catatan Tambahan.


1. Azan dan Iqamat. Adalah merupakan sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam untuk berazan
apabila masuknya waktu solat dan kemudian iqamat bagi memulakan solat. Bagi solat yang
akan dijamak iqamatnya adalah dua, satu adalah bagi permulaan solat yang pertama dan satu
lagi ialah antara selesainya solat pertama dan sebagai permulaan bagi solat yang kedua.[19]
2. Dibolehkan solat secara jamak jikalau seseorang itu menjadi makmum kepada sekumpulan

5 of 9 9/2/2008 7:25 PM
11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.htm

jamaah yang sedang bersolat secara biasa.[20] Contohnya seseorang yang merancang untuk
melakukan jamak takdim antara Zohor dan Asar lalu dia mengikut imam dan para makmum
yang sedang bersolat Zohor secara berjamaah, lalu apabila selesai sahaja solat Zohor itu maka
dia bangun, beriqamat dan kemudian terus melaksanakan solat Asarnya. Dianjurkan dia
menyisih posisi sedikit dari barisan saf bagi mengelak kekeliruan kepada para makmum
selainnya.
Jikalau dia menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak takhir lalu dia menemui
sekumpulan orang yang sedang menunaikan solat Isyak mereka secara berjamaah maka
dianjurkan dia untuk turut mengikut jamaah tersebut dengan menunaikan solat Isyak kemudian
apabila jamaah selesai maka dia berdiri sendirian dan menunaikan solat Maghribnya. Walaupun
telah dinyatakan bahawa kaedah perlaksanaan solat jamak hendaklah mengikut turutan tetapi
apabila berhadapan dengan situasi sebegini mengutamakan solat secara berjamaah adalah lebih
terpilih dari solat sendirian.
Bagi orang yang melaksanakan dua solatnya secara jamak dengan mengikut barisan imam dan
makmum secara jamaah dalam salah satu solatnya, tidak perlu timbul sebarang pertanyaan
tentang perbezaan niat antara imam, makmum dan dirinya kerana manhaj serta tuntutan solat
berjamaah bukanlah persamaan niat tetapi adalah persamaan perbuatan dan ikutan kepada
imam yang memimpin. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Seseorang imam itu dijadikan
supaya diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza
dengannya. Apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia
membaca bacalah dan apabila dia sujud, sujudlah. Apabila dia sembahyang dalam keadaan
duduk, sembahyanglah juga dalam keadaan duduk.[21] Tambahan lagi menentukan niat
imaman atau makmuman tidak pernah diajar oleh al-Qur'an mahupun as-Sunnah. Oleh itu tidak
perlu berpegang kepada sesuatu syarat yang tidak ada nas atau dalilnya.
3. Dibolehkan menjamak solat Asar bersama solat Juma'at bagi mereka yang memerlukannya.
Iaitu bagi seseorang yang menjangka secara pasti bahawa dia akan mengalami kesukaran untuk
menunaikan solat Asarnya nanti pada hari Juma'at maka dia boleh melaksanakan solat Asarnya
itu sejurus selepas solat Juma'atnya secara jamak takdim. Dan solat Juma'atnya itu adalah
sebagaimana yang difardhukan, iaitu secara berjamaah lengkap dengan khutbahnya di masjid-
masjid. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh Shaikh Mahmud Abu Hasan, seorang ulama'
al-Azhar dalam kertas tesisnya.[22] Kebolehan ini adalah berdasarkan kepada kesamaan tujuan
(illat) disyari'atkan solat secara jamak iaitu bagi memudahkan umat apabila mereka berhadapan
dengan sesuatu kesukaran, dan adalah kesukaran itu rambang sifatnya dan boleh berlaku
bila-bila sahaja termasuk di hari Juma'at. Walaubagaimanapun tidak boleh menunda solat
Juma'at ke waktu Asar secara jamak takhir kerana solat Juma'at adalah tetap lagi khusus
waktunya tanpa boleh diubah-ubah.

Analisa Pendapat.

Sesetengah pendapat menyatakan bahawa apabila sahaja seseorang itu berada dalam
suasana musafir, dia diharuskan menjamak setiap solatnya (kecuali subuh) sekalipun setelah tiba di
destinasi perjalanan asalkan tempoh keseluruhan musafirnya itu tidak melebih 3 hari, atau mengikut
pendapat lain, 4 hari.

Pendapat ini dianalisa sebagai tersangat lemah kerana Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak
pernah menjadikan solat secara jamak suatu ketetapan mahupun kekerapan apabila beliau

6 of 9 9/2/2008 7:25 PM
11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.htm

bermusafir. Tidak ditemui hadith bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam secara tetap


menjamakkan solatnya apabila berada di dalam perjalanan ataupun apabila tiba di destinasi. Yang
ditemui tertulis dalam kitab Sahih Bukhari dan lain-lain kitab hadith adalah bahawa beliau hanya
mengqasarkan solatnya secara tetap apabila musafir, samada dalam perjalanan atau apabila tiba di
destinasi. Solat qasar ini beliau lakukan tetap pada waktunya masing-masing, tidak secara jamak.

Apa yang benar adalah beliau selalu solat lima kali sehari dalam waktunya masing-masing
dan hanya sekali-sekala beliau menjamakkannya apabila wujud kesukaran samada ketika dalam
perjalanan atau setelah tiba di destinasi. Malah adakalanya beliau tidak menjamak langsung
solatnya dalam satu-satu perjalanan itu. Imam Ibnu Taimiyah menerangkan: Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam apabila dalam satu pergian (musafir) kadang-kadang menjamakkan solatnya dan
kadang-kala tidak. Bahkan yang lebih kerap adalah beliau tidak menjamakkan solat-solatnya. Ini
menunjukkan bahawa jamak bukanlah sunnah perjalanan sebagaimana mengqasarkan solat,
tetapi ia (jamak) hanya dilakukan apabila perlu sahaja baik dalam suasana musafir ataupun tidak
musafir supaya bertujuan tidak memberatkan umatnya.[23]

Imam as-Sha'nani juga telah menulis: Ketahuilah bahawa belum pernah Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam menjamakkan solat-solatnya secara terus menerus selama dalam perjalanannya
sebagai mana yang dilakukan oleh kebanyakkan orang pada masa sekarang. Dan beliau tidak
menjamak sewaktu singgah di satu tempat. Beliau hanya menjamakkan solatnya apabila waktu
perjalanannya sudah terlalu mendesak dan apabila langsung berangkat sehabis solatnya itu.[24]

Walhasil yang jelas adalah bahawa solat-solat hanya boleh dijamak apabila timbul sesuatu
kesukaran samada ketika di perkampungan asal, atau ketika dalam perjalanan atau ketika setelah
tiba ke destinasi perjalanan. Inilah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang jelas dan sedia
tercatit dalam sekian banyak hadith-hadith beliau. Malah yang utama ialah tetap berusaha sekuat
mampu untuk melakukan solat tetap pada waktunya yang masing-masing kerana sememangnya
dasar perintah solat adalah sedemikian.

Hadith-hadith yang menerangkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjamak


antara solat-solat fardhunya ketika musafir hanyalah sebeberapa, berbanding dengan sekian banyak
perjalanan, musafir, ekspedisi dan misi perjuangan yang beliau lakukan - di mana solat-solat
fardhunya ketika itu dilaksanakan secara biasa, tidak secara jamak. Tidak temui sebarang dalil yang
menunjukkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam atau para sahabat beliau radiallahu-anhum ada
melaksanakan solat secara jamak setiap kali secara berterusan apabila sahaja mereka bermusafir.

Kesimpulan.
1. Bagi seseorang yang mengalami kesukaran untuk mendirikan solat-solat fardhunya dalam
waktu-waktu yang sedia termaktub, dibolehkan dia menjamak dua solat dalam satu waktu.
2. Kesukaran yang dialami itu hendaklah sesuatu yang pasti lagi tulen serta tidak dapat
dielakkan.
3. Jamak dibolehkan apabila berada di perkampungan asal, atau di dalam perjalanan atau
setelah tiba di destinasi perjalanan.

Tidak ditemui sebarang dalil yang membolehkan solat-solat dijamak secara tetap dan berterusan
bagi suasana musafir.

7 of 9 9/2/2008 7:25 PM
11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.htm

[1]
Terdapat khilaf yang mendalam berkenaan kebolehan menjamak antara solat-solat. Pendapat yang penulis
cenderongi ialah jamak itu dibolehkan, berpandukan kepada analisa dan perbandingan antara beberapa hujah dan dalil
yang dipadukan oleh Shaikh-ul-Islam Imam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Majmoo al-Fatawa, vol 24. Sebagai hujah
perbandingan lihat Subul-us-Salam, 2/169-178 dan Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie, 4/382-393.

[2]
Maksud hadith riwayat Imam Ahmad [5/241], Abu Daud [1220], Tirmizi [2/438], ad-Daruquthni [151] dan
al-Baihaqi [3/163] dan dinyatakan sahih oleh Shaikh Nasiiruddin al-Albani dalam - Silsalah al-Ahadith as-Sahihah wa
Syaiun min Fiqh wa Fawaaidiha, 1/368. Bagi perbandingan kajian hadith lihat Zaad-ul-Ma'ad, 1/410-411.

[3]
Maksud atsar sahabat riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1167.

[4]
Lihat penerangan Imam Ibnu Taimiyah - Majmu'atur Rasail wal-Masail, 2/25-28.

[5]
Lihat Subul-us-Salam, 2/169-178 dan Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie, 4/382-393.

[6]
Maksud atsar sahabat riwayat Imam Shafie - Musnad Shafie, 1/116, Imam Ahmad - Musnad Ahmad, 1/367
+2/191 dan Imam al-Baihaqi - Sunan al-Kubra, 3/164. Hadith dinyatakan sebagai lemah pada asalnya tetapi
diperkuatkan oleh jalan periwayatan yang berlainan oleh para perawi yang terpercaya (tsiqah). Demikian takhrij oleh
Shaikh Abdul Qadir dan Shaikh Syu'aib al-Arna'uth dalam pentahqiqan mereka terhadap kitab Zaad-ul-Ma'ad, vol 1,ms
411, notakaki 880.

[7]
Maksud atsar sahabat dari Sahih Muslim - no: 0705-E.

[8]
Maksud atsar sahabat riwayat Imam al-Atsram dalam kitab sunannya dan beliau adalah seorang ahli hadith
yang menuntut bersama Imam Ahmad bin Hanbal, hadith disalin dari Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie, no:
1196. Diriwayat yang seumpama oleh Imam AbdurRazzaaq dalam kitab hadithnya al-Musannaf, 2/556.

[9]
Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/233, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 3/137.

[10]
Pengajaran hadith riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1167.

[11]
Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 112,
Prof.Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/378-379.

[12]
Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/237. Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/261.

[13]
Lihat Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam - Fatwa al-Mu'ashirah, ms 325-327,

[14]
Lihat penerangan Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan
Qasar, ms 101-102.

[15]
Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 95

[16]
Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 99.

[17]
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/377, Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan -
Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 105.

[18]
Maksud hadith dari Abu Dzarr al-Ghaifiri dan Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhuma, diriwayatkan oleh
Imam Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim, at-Thabrani dan ad-Daruquthni; dinilai sebagai hadith hasan oleh Imam
an-Nawawi sebagaimana dinyatakan oleh Imam as-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazha'ir, ms 166.

8 of 9 9/2/2008 7:25 PM
11 Menjamak Solat dalam Penerbangan http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg211.htm

[19]
Lihat Sahih Bukhari, 2/732 dan banyak lagi hadith-hadith yang lain.

[20]
Penjelasan lanjut lihat Persoalan Solat dan Penjelasannya, ms 116-120 oleh Shaikh Abdul Aziz bin Baz.

[21]
Maksud hadith daripada Abu Hurairah radiallahu-anhu, diriwayatkan dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim;
Al Bayan – Hadith no: 0230. Lihat juga hadith-hadith no: 0228 dan 0229.

[22]
Kini telahpun dibukukan atas tajuk Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, diterjemahkan
oleh Suadara Ramzi Omar dan diterbitkan oleh Pustaka Ilmi - Malaysia 1999. Penjelasan berkenaan menjamak solat
Jumaat dan solat Asar diterangkan pada mukasurat 104.

[23]
Imam Ibnu Taimiyah - Majmu'atur Rasail wal-Masail, 2/28.

[24]
Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/174.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan

9 of 9 9/2/2008 7:25 PM

You might also like