You are on page 1of 4

APAKAH

PERANAN

GURU

DALAM

MEREALISASIKAN

FALSAFAH

PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Kerjaya guru adalah salah satu profesion yang dipandang mulia oleh masyarakat. Kerjaya membawa erti ikhtisas atau pekerjaan yang membawa peluang untuk meningkatkan kemajuan. Oleh itu, kerjaya guru boleh diertikan sebagai profesion guru yang mempunyai ikhtisas pendidikan dalam membangunkan modal insan. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang diterima daripada Ibnu Umar, katanya Nabi Muhammad menyatakan Apabila mati anak Adam itu, maka tiada lagi yang berguna padanya, kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya, sedekah dan ilmu yang bermanfaat. (Tuan Mohd Fadlan Tuan Jaafar, 2006:4)Berdasarkan hadis ini nilai dan kemuliaan seseorang insan yang bergelar guru amatlah tinggi dalam Islam. Peranan guru dalam profesion keguruan cukup besar. Guru dianggap sebagai agen perubahan dalam sesebuah masyarakat. Selain itu guru juga dianggap sebagai arkitek manusia kerana membentuk dan membimbing seluruh lapisan masyarakat supaya mendapat peluang mengembangkan potensi mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani secara menyeluruh dan seimbang di sekolah mahupun di luar sekolah. Guru adalah orang yang perlu mencari, meneroka dan menyelidik apa jua ilmu sebelum mereka mengajar anak didiknya. Hal ini kerana dalam huraian unsur-unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan rakyat Malaysia yang berilmu. Bagi melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu, seseorang guru hendaklah memiliki tabiat suka membaca walau di mana pun berada. Sama ada di kawasan bandar ataupun luar bandar. Sekarang tidak ada lagi alasan, mengapa tiada masa untuk membaca kerana terdapat banyak kemudahan teknologi terkini seperti internet, sistem mesej singkat (SMS) dan sebagainya. Sikap suka membaca ini akan menajamkan minda guru disamping menambahkan keyakinan guru semasa menyampaikan maklumat kepada pelajarnya. Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud " Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.

Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Mujaadalah 58: 11). Ini membuktikan bahawa darjah yang paling tinggi selepas darjah nubuwah adalah ahli ilmu, iaitu darjah yang mengatasi darjah para syuhada yang memang banyak kelebihannya. Khalifah Islam keempat iaitu Saidina Ali pernah berkata, ilmu itu lebih baik daripada harta kerana ilmu menjaga anda, ilmu itu pemerintah, sedangkan harta diperintah, harta menjadi susut dengan sebab dibelanjakannya sedangkan ilmu bertamnah apabila diberi. Oleh itu Selain itu, kita juga hendaklah menerapkan sikap minat membaca ke dalam diri para pelajar kita sendiri dengan membawa mereka ke pusat sumber. Aktiviti ini boleh dilakukan seminggu sekali agar lebih banyak bahan bacaan dapat dibaca oleh mereka seterusnya dapat melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Dalam masa kita telah

menambah ilmu pengetahuan para pelajar dan meningkatkan kemahiran membaca di kalangan mereka. Seseorang guru juga hendaklah menjadikan prinsip belajar sepanjang hayat sebagai pegangan hidup. Ilmu yang dipelajari di institut pendidikan guru ataupun universiti tidak semestinya cukup bagi diamalkan di dalam kelas. Guru perlu menyedari, ilmu yang dipelajari semalam tidak semestinya relevan pada hari ini, apa yang dipelajari pada hari ini, tidak semestinya relevan pada masa akan datang. Oleh itu belajar adalah proses yang berterusan sepanjang hayat. Tambahan pula, zaman globalisasi yang semakin mencabar memerlukan guru supaya lebih peka kepada ilmu yang terkini. Guru perlu berpegang pada konsep sesuatu ilmu itu akan sentiasa bertambah sekiranya dicari. Guru tidak hanya berbangga dengan segulung ijazah yang diperoleh, tetapi mereka perlu bersedia menambah segala kepakaran dan pengalaman dalam semua bidang. Ilmu yang diperoleh semasa menuntut di universiti adalah sedikit dan perlu terus berusaha melengkapkan diri bagi mencurahkan ilmu itu kepada anak didik. Tanggungjawab guru pada masa kini semakin berat dan harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk generasi yang akan menjadi dewasa nanti. Perubahan sistem pendidikan dalam dekad 1980-an dengan pegenalan program KBSR dan KBSM dan yang terkini KSSR memerlukan guru pula

mentransformasikan diri ke arah pandangan, sikap dan daya usaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiranbmengajar yang canggih, demi mempertingkatkan keupayaan dan prestasinya dalam bidang kerja yang kian mencabar. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan. Peranan guru berubah mengikut peredaran masa dan zaman yang diiringi dengan perubahan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah iaitu sistem latihan perguruan dahulu telah dianggap kurang sesuai dan berguna lagi untuk mencapai matlamat pendidikan yang kompleks. Para guru pada masa kini hendaklah menghadapi cabaran dan tuntutan daripada perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah supaya memainkan peranannya dengan lebih berkesan. Guru hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan kemahiran mengajar dari semasa ke semasa. Justeru itu, ini akan menghasilkan rakyat Malaysia yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna demi memberi sumbangan kepada kemajuan dan pembangunan. Guru juga berperanan sebagai agen sosialisasi. Sekolah berfungsi sebagai sebuah institusi yang memberi pendidikan dan latihan yang berperanan memberi peluang kepada manusia, khasnya generasi muda, untuk menguasai berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan sesuai untuk menyesuaikan diri dalam perkembangan masyarakat dan kehidupan harian. Proses sosialisasi berlaku apabila berlaku interaksi antara murid dengan murid di sekolah. Proses interaksi ini boleh berlaku ketika P & P dan juga ketika kokurikulum. Ketika P&P, murid akan digalakkan untuk membincangkan tajuk yang diajar bersama rakan-rakannya dan membuat refleksi dan rumusan daripada apa yang difahami dan dipelajarinya. Daripada perbincangan kumpulan tersebut, proses sosialisasi akan terbentuk dan murid akan berkomunikasi antara satu sama lain. Selain itu, proses sosialisasi juga boleh berlaku apabila aktiviti kokurikulum dijalankan. Aktiviti kokurikulum adalah amat penting dijalankan di sekolah. Ini kerana melalui aktiviti ini, murid dapat meluaskan

persahabatannya bersama murid lain berasaskan minat dan bakat yang sama. Selain daripada itu, pelajar juga dapat mempraktikkan konsep kepimpinan yang dipelajarinya dalam bilik darjah. Justeru itu, melalui kepimpinan persatuan, murid akan bersosialisasi dengan khalayak yang dipimpinnya. Proses sosialisasi juga berlaku apabila wujud interaksi antara guru dan murid. Dalam soal ini, murid secara tidak langsung akan mempelajari bagaimana cara untuk berinteraksi dengan individu yang lebih tua daripadanya. Selain daripada mendidik berkaitan dengan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian, guru juga seharusnya menerapkan norma dan nilai sosial yang baik kepada muridnya. Nilai yang diterapkan diharapkan dapat membantu muridnya bersosialisasi dengan lebih baik dalam

masyarakatnya. Guru juga diibaratkan sebagai seorang ayah dan ibu di sekolah, justeru guru yang cemerlang adalah guru yang mampu memberikan mutiara ilmu dan menjadi contoh teladan yang baik untuk murid-muridnya. Oleh itu, para guru hendaklah sentiasa menjaga tingkah laku dan akhlak kerana guru menjadi role model kepada murid-murid dan masyarakat. Seseorang guru hendaklah seimbang dan harmonis iaitu sentiasa riang gembira dan mempunyai sahabat yang suka bergaul dengannya. Sifat ramah mesra merupakan satu kualiti yang perlu ada untuk mendapat kerjasama orang lain. Sifat ini mendorong murid-murid suka berdamping rapat dengan guru itu. Perkara ini akan mempengaruhi suasana sekolah dan dapat menarik minat para pelajar untuk mendekati sekolah. Dalam masa yang sama, maka terlahirlah rakyat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berupaya mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan untuk keharmonian dan kemakmuran negara.

You might also like