You are on page 1of 12

RUKUN NEGARA

Monday, July 2, 2007 8:10:16 AM


Dalam setahun dua ini kita sering mendengar lagu Rukun Negara berkumandang di media elektronik khususnya televisyen. Sememangnya Rukun Negara harus dihayati oleh semua lapisan masyarakat: warganegara Malaysia khususnya dan penduduk Malaysia amnya. Namun tahukah kita apakah rukun negara itu sebenarnya? Apabila pertanyaan tersebut diajukan kepada golongan muda (dan bahkan sebilangan orang dewasa), mereka akan segera menjawab bahawa rukun negara ada lima perkara. Sebenarnya Rukun Negara bukanlah merujuk kepada lima teras seperti yang dinyanyikan itu atau seperti yang ditunjukkan dalam kaca TV saban hari. Rukun Negara adalah satu nilai yang perlu dicapai. Rukun Negara adalah amalan yang perlu dilakukan. Rukun Negara adalah satu visi bagi merealisasikan kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama di Malaya atau Malaysia semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mahupun Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Mungkin ramai generasi muda yang tidak memahami secara terperinci apakah Rukun Negara. Dalam tulisan ini, penulis sajikan ringkasan Rukun Negara daripada segi latar belakang, objektif, prinsip dan strategi yang telah diambil oleh kerajaan bagi mencapai objektif tersebut. Latar belakang Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 iaitu semasa negara menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-13. Rukun Negara adalah satu doktrin untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakuran negara Malaysia. Doktrin Rukun Negara diperkenalkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang memikul tanggungjawab menjalankan pemerintahan negara apabila sistem kerajaan berparlimen digantung pada 16 Mei 1969 ekoran rusuhan kaum yang lebih dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei 1969. MAGERAN yang diketuai oleh seorang Pengarah, ditubuhkan bagi memulihkan perpaduan yang semakin goyah pada masa itu perbalahan antara etnik pernah berlaku pada 1946, 1956 (di Pulau Pinang), 1960 (di Pangkor), 1966 (di Bukit Mertajam), 1967 (di Pulau Pinang) dan 13 Mei 1969 (di Kuala Lumpur). Bagi melicinkan pemerintahan negara di bawah MAGERAN yang dipimpin oleh Y.A.B Tun Abdul Razak, MAGERAN telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara. Rukun Negara adalah hasil daripada perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN). Objektif Rukun Negara Rukun Negara mempunyai objektif-objektif seperti berikut:-

Untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat Untuk memelihara cara hidup demokratik Untuk mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama Untuk membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan Untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden

Prinsip-Prinsip Rukun Negara

Kepercayaan kepada tuhan Kesetiaan kepada raja dan negara Keluhuran perlembagaan Kedaulatan undang-undang Kesopanan dan kesusilaan

Strategi Mencapai Objektif Rukun Negara


Rujukan:

Menubuhkan Majlis Perpaduan Negara / Majlis Penasihat Perpaduan Negara pada tahun 1971 Memasukkan unsur-unsur rukun negara ke dalam program agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Memasukkan unsur-unsur rukun negara ke dalam kurikulum sekolah dan institusi pengajian tinggi Menyebatikan prinsip-prinsip rukun negara ke dalam peraturan pertubuhan dan dan ikrar rasmi; dan Melantik Panel Penasihat Lembaga Perpaduan Negara pada tahun 1974

Zahid Emby dalam Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan (1997), Kenegaraan Malaysia, Serdang: Penerbit Universiti Putera Malaysia

pelajar writes: saya hendak bertanya.bagaimanakah rukun negara membentuk jati diri dan sahsiah masyarakat?

Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Friday, June 27, 2008 10:36:45 AM Terima kasih kepada saudara pelajar yang bertanya. Pertama sekali saya ingin tegaskan dan jelaskan di sini bahawa saya bukan orang yang layak untuk menjawab pertanyaan saudara. Saya berharap akan ada pembaca daripada bidang berkenaan sudi memberikan jawapan kepada saudara pelajar kita yang bertanya ini. Walau bagaimanapun, oleh kerana saudara pelajar mengemukakan pertanyaannya di dalam blog ini, maka saya beranggapan saudara pelajar ingin bertanya kepada saya; justeru saya bertanggungjawab untuk memberikan sedikit pandangan peribadi saya (bukan jawapan, tetapi pandangan peribadi saya) kepada saudara pelajar yang bertanya.

...bagaimanakah rukun negara membentuk jati diri dan sahsiah masyarakat?

1.

Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang ituTIDAK

MEMPUNYAI SEMANGAT PATRIOTIK kepada Malaysia; 2. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang ituTIDAK MENGETAHUI ASAL-USUL DIRINYA DAN SEJARAH Malaysia; 3. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang ituTIDAK DAPAT BERFIKIR DENGAN RASIONAL DAN SECARA ILMIAH. Jati diri dan sahsiah masyarakat adalah dua perkara yang berlainan tetapi berlaku secara serentak atau hampir serentak. Jati diri dicerminkan melalui sahsiah diri/masyarakat. Untuk menilai jati diri seseorang, lihat pada tingkah lakunya (sahsiahnya). Untuk menilai jati diri sesebuah masyarakat/bangsa, lihat pada tingkah laku (sahsiah) anggota masayarakat/bangsa tersebut. Orang Melayu misalnya terkenal dengan tingkah laku yang bersopan santun dan toleransi. Ini menunjukkan jati diri orang Melayu atau bangsa Melayu - sangat mementingkan kasih sayang antara satu dengan yang lain, apatah lagi antara sesama keluarga. Yang tua dihormati, yang muda dikasihi. Yang berilmu dipandang mulia, yang buta huruf tidak dihina.

Jawapan saya terhadap pertanyaan "bagaimanakah Rukun Negara membentuk jati diri dan sahsiah masyarakat?", ialah,

Rukun Negara tidak boleh membentuk jati diri dan sahsiah masyarakat. Sebaliknya masyarakat perlu membentuk jati dirinya berdasarkan nilai-nilai yang terkandung di dalam Rukun Negara atau Prinsip-Prinsip Rukun Negara. Untuk membolehkan seseorang atau sesebuah masyarakat membentuk jati diri masing-masing mengikut konteks Rukun Negara, tiga syarat utama yang berikut diperlukan, iaitu:1. Anda MESTI dapat berfikir secara rasional dan ilmiah; 2. Anda MESTI mengetahui asal usul diri anda dan sejarah Malaysia; dan 3. Anda MESTI mempunyai semangat patriotik yang tinggi terhadap Malaysia (tanah air anda) mengikut perspektif kebudayaan Malaysia tanpa dipengaruhi oleh perspektif budaya luar. Sekiranya anda telah memiliki ketiga-tiga prasyarat di atas, sudah tentu anda tidak menghadapi masalah menghayati Rukun Negara. boleh saudara berikan pandangan tentang tajuk saya ini?....kepercayaan kepada Tuhan mengikut Kristian,Budha,dan Islam

Terima kasih kerana menghidupkan tajuk ini. Tapi terus terang saya tiada kelayakan untuk memberi pandangan seperti yang saudara mahukan. Namun demikian, sekiranya saudara seorang Kristian yakinlah kepada tuhan saudara yang digambarkar dalam Triniti dan amalkan nilai-nilai dalam Golden Rules. Jika saudara seorang penganut Budha, yakinlah kepada tuhan anda yang menggariskan lima jalan kehidupan (maafkan saya kalau tersalah - dan harap betulkan...LIMA ATAU LAPAN JALAN KEHIDUPAN). Begitu juga jika saudara seorang Muslim, maka yakinlah akan tuhan saudara dengan berteraskan enam Rukun Iman dan lima Rukun Islam. Yang pentingnya, saudara mesti meyakini kesucian dan keagungan tuhan saudara tanpa dicampur adukkan misalnya meletakkan kedudukkan tuhan mengikut kepercayaan KRISTIAN + BUDAH atau BUDHA + ISLAM atau ISLAM + KRISTIAN kerana ia adalah sesuatu yang sangat berdosa mengikut kepercayaan masing-masing. Dengan kata lain, jika anda seorang Kristian, jadilah Kristian yang tulen. Jika anda seorang Budha, jadilah Budha yang tulen dan jika anda seorang Islam (Muslam) jadilah Muslim yang Mukmin. Anda boleh menulis secara perbandingan prinsip asas ketuhanan mengikut ketiga-tiga kepercayaan tersebut jika anda mempunyai pengetahuan yang baik dan luas dalam ilmu perbandingan agama...tetapi jika anda tidak menguasai ilmu tersebut lebih baik jangan diteruskan rancangan saudara itu kerana dikhuatiri akan memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Mohon maaf, saya tidak bermaksud mengajar saudara...sekadar memberi komen terhadap pertanyaan saudara. Terima kasih sekali lagi.

Anonymous writes: salam.. apakah peranan rukun negara dalam pembangunan negara? terima kasih....

Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Tuesday, February 2, 2010 1:55:04 PM Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Sesuatu pembangunan tidak akan berlaku jika tiada sumber yang membolehkan proses pembangunan itu terlaksana. Sumber-sumber yang diguanakan untuk menjana sesuatu pembangunan pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu sumber manusia dan sumber bukan manusia. Sumber bukan manusia termasuklah bahan mentah dan kewangan manakala sumber manusia diambil kira daripada sudut bilangan

tenaga kerja dan potensi yang mereka miliki seperti upaya (kekuatan dan kesempurnaan fizikal), kemahiran teknik dan pengetahuan. Namun demikian, seseorang yang berbadan tegap, kuat, berkepandaian melakukan sesuatu dan mempunyai pengetahuan am yang luas serta berpengetahuan mendalam dalam bidang pekerjaannya belum tentu dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Hanya mereka yang produktif, berdaya tahan dan berdaya saing, di samping berbadan tegap, mahir, berilmu pengetahuan dan sedar serta tahu tanggungjawab mereka sebagai rakyat sesebuah negara sahaja yang akan mempengaruhi iklim pembangunan dan ekonomi negara mereka. Dalam konteks Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar, program,rukun dan slogan untuk memastikan rakyatnya (warganegara Malaysia) memiliki ciri-ciri produktif, berdaya tahan, berdaya saing, sihat, mahir, berilmu pengetahuan, sedar serta tahu tanggungjawab mereka sebagai warganegara kepada Negara Malaysia. Dengan kata lain, kepimpinan Malaysia dan kerajaan telah sepanjang masa berusaha meningkatkan kemampuan modal insan Negara Malaysia. Rukun Negara adalah salah satu alat dan doktrin yang sepatutnya mampu menjadikan warganegara Malaysia berjiwa patriotik. Sekiranya Rukun Negara dapat dihayati oleh setiap individu rakyat Malaysia maka sudah pasti mereka akan mempunyai rasa dan kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab mereka kepada negara. Dengan adanya patriotisme Malaysia yang tinggi inilah mereka menjadi produktif, berdaya tahan, berdaya saing, inovatif dan kreatif; cemerlang, gemilang dan terbilang. Oleh yang demikian, Rukun Negara mempunyai peranan yang sangat besar dalam melahirkan modal insan yang sangat diperlukan oleh negara dalam memastikan pembangunan Negara Malaysia berterusan, mapan, dan mampu mencipta sesuatu yang baru, bukan sekadar menggunakan sesuatu produk dan perkhidmatan yang diimport semata-mata, tetapi juga mampu mengeksport produk dan perkhidmatan buatan Malaysia. Nota: Huraian di atas bukanlah menjawab pertanyaan saudara. Ia sekadar pandangan penulis semata-mata; semoga ia dapat memberi idea kepada saudara untuk memikirkan lebih lanjut peranan Rukun Negara dalam pembangunan Negara. trima kasih krna memaparkan penulisan ini.. saya ingin bertanya... apakah pandangan anda mengenai rukun negara mampu menjamin peraduan rakyat...

Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Monday, April 5, 2010 2:06:16 PM Terima kasih kepada saudara Iz, kerana sudi meninggalkan komen dan terus menghidupkan perbhincangan mengenai artikel ini. Jika saudara bertanya tentang pandangan (pendapat) saya, adakah Rukun Negara mampu menjamin perpaduan rakyat(?), dengan optimis saya katakan 'ya', jika ia dapat dihayati oleh setiap individu. Namun di bahagian awal artikel ini saya telah tegaskan bahawa# Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu TIDAK MEMPUNYAI SEMANGAT PATRIOTIK kepada Malaysia; # Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu TIDAK MENGETAHUI ASAL-USUL DIRINYA DAN SEJARAH Malaysia; # Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu TIDAK DAPAT BERFIKIR DENGAN RASIONAL DAN SECARA ILMIAH. Inilah cabaran yang paling besar harus kita atasi. Kenapa saya katakan ini cabaran yang paling besar, kerana ia berlaku di peringkat individu yakni diri kita masing-masing. Kalau setiap daripada kita dapat melihat dan menghayati tiga perkara di atas, secara automatik perpaduan akan wujud dengan sendirinya. Untuk menjadikan Rukun Negara sebagai satu alat perpaduan, kita mestilah menggunakan Rukun Negara untuk mengukur sejauh mana kesetiaan dan sumbangan (diri) kita kepada negara setakat ini; bukan untuk mengukur kesetiaan dan sumbangan orang lain

kepada negara. Sebagai contoh, mari kita fikir-fikirkan pertanyaan-pertanyaan di bawah ini: * jika saya seorang kakitangan kerajaan, adakah saya benar-benar telah melaksanakan tanggungjawab saya sebaik-baiknya sesuai dengan tugas, tanggungjawab hakiki saya(?). * Jika saya seorang peniaga, adakah saya benar-benar telah melaksanakan tanggungjawab saya untuk memenuhi keperluan masyarakat atau sekadar memikirkan keuntungan tanpa memikirkan kepentingan pengguna(?). * Jika saya seorang kontraktor binaan atau pemaju perumahan, adakah saya benar-benar telah membina rumah (bangunan) yang dipertanggungjawabkan kepada saya mengikut spesifikasi kejuruteraan yang betul, atau telah menyiapkan projek perumahan yang diluluskan kepada saya mengikut jadual untuk membolehkan pembeli menduduki rumahnya mengikut tempoh masa yang dijanjikan(?). * Jika saya seorang nelayan, adakah saya benar-benar telah menggunakan kemudahan subsidi yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan hasil dapatan bagi menjamin bekalan ikan yang mencukupi di pasaran(?). * Jika saya seorang pelabur, adakah benar-benar saya telah membuat pelaburan yang boleh menjana pendapatan negara dan meningkatkan nilai ringgit(?). * Jika saya seorang profesional, adakah saya benar-benar telah menjalankan kerja saya mengikut nilai-nilai dan etika profesion saya demi meningkatkan nama baik profesion tersebut di samping tidak menganiaya klien saya(?). Dan seterusnya. Mungkin ada pembaca yang bertanya apa kena-mengena persoalan tersebut di atas dengan Rukun Negara(?). Jika demikian, saya ingin bertanya kepada tuan/puan, apa yang anda faham tentang Rukun Negara? Demikianlah pandangan saya terhadap Rukun Negara, sebagai menajwab pertanyaan saudara Iz.

Rukun Negara jika dapat dihayati dengan betul dapat:1. Menanamkan semangat patriotik kepada tanah air 2. Mendisiplinkan diri untuk patuh undang-undang 3. Mendisiplinkan diri untuk taat kepada Tuhan 4. Mendisiplinkan diri untuk taat kepada raja dan negara 5. Mendisiplinkan diri untuk menghormati orang lain 6. Mendisiplinkan diri menjadi rakyat yang berdisiplin 7. Mendisiplinkan diri menjadi warganegara yang bertanggungjawab 8. Mendisiplinkan diri menjadi rakyat yang gigih berusaha 9. Mendisiplinkan diri menjadi rakyat yang berilmu 10. Mendisiplinkan diri menjadi rakyat yang berakhlak mulia 11. Mendisiplinkan diri menjadi rakyat yang kompeten 12. Mendisiplinkan diri menjadi rakyat yang berani mempertahankan tanah air 13. Mewujudkan suasana negara yang aman, makmur, harmoni dan maju dan banyak lagi perkara yang menuju kebaikan, kesejahteraan, kemakmuran, kemajuan, pembangunan, pendaulatan undangundang dan sebagainya. Anonymous writes: boleh terangkan tentang kedaulatan undang-undang asas perpaduan kaum

Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Tuesday, August 24, 2010 10:18:13 AM Salam sejahtera, Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (2007), perkataan daulat diberikan empat makna berikut:1. bahagia, kebahagiaan (pada raja-raja yang memerintah) 2. ya, benar (digunakan ketika menyambut titah perintah raja dan sebagainya) 3, kuasa (raja, kerajaan) 4. tulah Perkataan kedaulatan yang terbit daripada perkataan daulat diberikan makna seperti di bawah, dalam kamus yang sama. Kedaulatan = kekuasaan yang tertinggi. Kedaulatan undang-undang asas perpaduan kaum bermakna tiada siapa pun berhak mengambil tindakan di luar norma-norma sosial masyarakat; setiap tindakan yang diambil hendaklah berasaskan undang-undang. Orang yang bertindak secara bertentangan dengan peruntukan undang-undang tentu saja akan dihukum mengikut peruntukan undang-undang jika dibuktikan bersalah. Orang yang mempunyai alasan untuk percaya bahawa dia telah dianiaya, dikhianati atau diperlakukan secara tidak adil boleh menuntut pembelaan daripada mahkamah menurut proses undang-undang dan mengikut peruntukan undang-undang. Di Malaysia pelbagai undang-undang telah dikanunkan. Undang-undang tersebut sama ada yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dikuatkuasakan dalam kawasan pentadbiran PBT tersebut yang lazimnya dikenali sebagai undang-undang kecil, atau yang dibuat oleh Dewan-Dewan Undangan Negeri untuk dikuatkuasakan di negeri tersebut (lazimnya dikenali sebagai ordinan atau enakmen), atau yang dibuat oleh Parlimen Malaysia untuk dikuatkuasakan sama ada di seluruh Malaysia atau di beberapa negeri atau bahagian di Malaysia (lazimnya dikenali sebagai akta, enakmen, ordinan, perintah, kaedah-kaedah, peraturan atau undang-undang kecil). Setiap undang-undang dipertanggungjawabkan kepada seseorang atau sekumpulan orang atau organisasi untuk menguatkuasakan peruntukan-peruntukan yang ada padanya. Tidak ada seorangpun terkecuali daripada peruntukan undang-undang, termasuklah penguatkuasa undang-undang itu sendiri. Akan tetapi undang-undang hanya wujud dalam masyarakat yang bertamadun. Justeru itu, apa pun undang-undang yang diperkenalkan, ia tidak akan memberi kesan kepada kelompok masyarakat yang tidak bertamadun. Tamadun berhubung berkait rapat dengan pemikiran atau tahap berfikir sesuatu bangsa atau kelompok masyarakat. Di Malaysia, seluruh kelompok masyarakatnya adalah bertamadun. Justeru seharusnya semua rakyat Malaysia akur dan patuh kepada undang-undang sebagai satu kuasa tertinggi, dibenarkan dan dapat diterima oleh akal budi rakyat Malaysia sebagaimana ditegaskan dalam prinsip keempat Rukun Negara: Kedaulatan Undang-Undang. Undang-undang mengatur segala segi daripada aspek tingkahlaku individu, misalnya undang-undang antisampah, hinggalah kepada isu keselamatan negara misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Justeru itu undang-undang menjadi teras asas perpaduan kaum kerana setiap kaum akan mendapat keadilan dan pembelaan, perlindungan dan jaminan keselamatan. Perlu ditegaskan di sini, antara undang-undang dengan pelaksana undang-undang (orang ramai, penguatkuasa dan pengamal undang-undang, mahkamah dan kerajaan) adalah dua perkara yang berbeza dan berlainan.

Nota: Ini hanya pandangan peribadi dan kefahaman penulis [setiap orang mungkin mempunyai kefahaman yang berbeza bergantung kepada cara sesuatu itu disorot]. Ia bukan jawapan kepada persoalan yang ditanya.

Siapakah masyarakat 1 Malaysia itu? Sejak bila pula masyarakat ini wujud? Harus diingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa. Ini bermakna warganegara Malaysia terdiri daripada beberapa ras etnik dan kaum. Etnik dan kaum-kaum di Malaysia ini dapat digolongkan kepada tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India. Semua etnik dan suku kaum yang menjadi peribumi di Sabah dan Sarawak serta masyarakat orang Asli di Semenanjung adalah dari rumpun Melayu. Justeru itu mereka tergolong dalam bangsa Melayu. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu, ia bukan sahaja menamatkan campurtangan British dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu seterusnya Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963, tetapi yang lebih penting ia adalah satu titik permulaan wujudnya sebuah negara bangsa iaitu Malaysia. Wujudnya negara Malaysia bermakna wujud bangsa Malaysia dan sebaliknya, wujudnya bangsa Malaysia bermakna wujud negara Malaysia. Siapakah bangsa Malaysia itu? Mereka adalah gabungan tiga bangsa utama yang berjaya membentuk satu bangsa yang utuh dan kukuh berpaksikan perpaduan. Hal ini diabadikan dalam jata negara yang tertulis padanya kalimat sakti bangsa Malaysia iaitu "BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU". Rukun Negara adalah untuk bangsa ini, iaitu bangsa Malaysia yang mengandungi bangsa-bangsa Melayu, Cina dan India. Jadi siapakah masyarakat 1 Malaysia itu?

Sekiranya rakyat Malaysia tidak lagi menghayati Rukun Negara Pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, ini bermakna rakyat Malaysia akan menjadi sebuah umat yang beragama pada namanya tetapi tidak pada pengamalannya. Dalam istilah Islam dan untuk penganut Islam, keadaan seperti ini boleh dikategorikan sebagai munafik dan amalan mereka dikategorikan sebagai fasik (para Tok Guru dan Tuan Ustaz - mohon betulkan saya). Apakah langkah-langkah yang dapat dlaksanakn dalam menghayati rukun negara yang pertama itu? Untuk menjawab persoalan ini, satu pertanyaan lain harus kita tanyakan - "siapa yang kita maksudkan, untuk melaksanakan langkahlangkah tersebut?". Sekurang-kurangnya kita perlu melihat daripada tiga dimensi. Dimensi pertama ialah pertanggungjawaban individu - diri saya, diri anda dan diri kita masing-masing. Dalam dimensi ini, saya, anda dan kita masing-masinglah yang wajib membuat keputusan apa langkah-langkah yang perlu saya, anda dan kita laksanakan. Dimensi kedua ialah pertanggungjawaban komuniti. Komuniti bermula daripada sebuah keluarga dan boleh berkembang menjadi sebuah persatuan, sebuah bangsa, atau sejumlah penduduk yang mendiami satu lingkungan yang terhad. Setiap komuniti tentu ada pemimpin. Justeru, apakah langkah yang harus dilaksanakan untuk menghayati Rukun Negara: Kepercayaan Kepada Tuhan ini? Tanggungjawab pemimpinlah untuk memikirkannya. Kita sebagai ahli yang dipimpin harus akur dengan apa sahaja keputusan pemimpin yang telah ditetapkan atau dipilih oleh majoriti ahli komuniti tersebut. Sudah tentu jika pemimpin itu tidak bertanggungjawab maka ahli komunitinya akan menjadi ibarat layang-layang putus tali, bagai biduk tanpa nakhoda. Kita sebagai ahli dalam sesuatu komuniti mungkin boleh mencadangkan idea-idea tetapi akhirnya akan bergantung kepada pemimpin kerana pemimpinlah yang akan membuat keputusan. Justeru itu, kita harus bijak dalam memilih pemimpin, dan pada masa yang sama kita harus akur terhadap sebarang keputusan pemilihan pemimpin. Dimensi ketiga ialah pertanggungjawaban pemerintah. Matlamat utama pemerintah ialah mentadbir dan menguruskan sesebuah negara untuk memastikan matlamat negara tersebut dapat dicapai. Matlamat sesebuah negara tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mewujudkan sebuah tamadun. Kita faham bahawa sesuatu tamadun wujud jika masyarakat atau rakyat negara itu hidup

berperaturan. Hidup beraturan di sini bukan semestinya bermaksudnya banyaknya undang-undang yang telah diwartakan dan dilaksanakan atau dikuatkuasakan. Hidup beraturan di sini juga bermaksud sejauh mana rakyat dapat menghayati dan mengamalkan norma-norma sosial berlandaskan peraturan, undang-undang, hukum-hukum, dasar dan etika serta nilai-nilai baik yang dapat diterima oleh semua - nilai-nilai universal. Oleh itu, dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemerintah, pemerintah boleh sahaja menggubal undang-undang, peraturan atau dasar-dasar sosial yang difikirkannya perlu dan sesuai, yang boleh dikuatkuasakan sekiranya ia dilanggari. Kepincangan dalam masyarakat Malaysia hari ini ialah ramai kalangan kita yang meletakkan diri kita pada dimensi yang salah. Individu cuba bertindak sebagai pemimpin dan/atau pemerintah, pemimpin cuba bertindak sebagai pemerintah, atau hanya mampu bertindak sebagai individu tetapi ingin menjadi pemimpin, pemerintah cuba bertindak sebagai individu (hilang nilai keprofesionalan dan menggunakan kedudukan jawatan untuk kepentingan diri sendiri) atau pemimpin (lebih mengutamakan protokol daripada tanggungjawab). FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR!

pelajar stpm writes: saya ingin bertanya...bagaimanakah langkah2 utk meningkatkan penghayatan remaja terhadap rukun negara? *sy akn mduduki pperiksaan stpm 2010...harap saudari blh mmbantu sy...thanks...=)

Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Friday, October 15, 2010 5:19:59 PM Terlebih dahulu perlu diketahui siapakah remaja, dan apakah persekitaran utama golongan ini. Dalam Kamus Dewan (2007), kata 'remaja' bermaksud-

mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin.

Berdasarkan pengertian di atas, kita boleh simpulkan bahawa 'remaja' itu adalah golongan yang berada dalam lingkungan umur antara 15 hingga 18 atau 20 tahun. Dengan demikian, kita juga boleh menjangkakan, persekitaran utama golongan remaja ialah pada tahap persekolahan menengah atas dan prauniversiti, atau dengan lebih tepat pada tahap Tingkatan III hingga tahun pertama di universiti. Jelas bahawa dalam persekitaran sedemikian, kehidupan remaja banyak ditumpukan kepada pembelajaran formal dan pergaulan luas dengan rakan sebaya. Justeru itu, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan penghayatan remaja terhadap Rukun Negara(?). Ini menuntut penglibatan dan komitmen banyak pihak khususnya pihak berkuasa. Kementerian Pelajaran boleh memperkenalkan semula mata pelajaran Tata Negara untuk diajar kepada semua pelajar tanpa mengira suku kaum. Dalam pemerhatian saya terhadap subjek Pengetahuan Agama yang diajar kepada pelajar beragama Islam berbanding subjek Pendidikan Moral yang diajar kepada pelajar bukan Islam, mata pelajaran Moral lebih menekankan penghayatan sivik berbanding mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam yang lebih menekankan asas pengajian fardu ain. Mata pelajaran Tata Negara pernah diajar di sekolah pada 1980-an dan ia diajar kepada semua murid. Dalam Tata Negara, antara topik yang disorot ialah Institusi Raja, Raja Berperlembagaan, Parlimen, Sistem Kerajaan Di Malaysia dan termasuklah Rukun Negara. Selain melalui pembelajaran formal, penerapan penghayatan terhadap Rukun Negara juga boleh disampaikan melalui pendidikan tidak formal atau ko-kurikulum. Ini boleh dilakukan dengan menubuhkan Kelab Rukun Negara di sekolah. Kelab ini boleh

menganjurkan pelbagai aktiviti termasuklah lawatan ke tempat seperti Muzium Negara, Parlimen, Dewang Undangan Negeri, pusat pentadbiran kerajaan dan sebagainya; menganjurkan pertandingan kuiz kenegaraan, pertandingan menulis lirik, puisi dan pantun, pertandingan mencipta lagu dan sebagainya yang bertemakan Rukun Negara; mengadakan kajian tempatan dan menganjurkan program-program kemasyarakatan. Penerapan terhadap penghayatan Rukun Negara juga boleh dilakukan melalui modul Tata Negara (perlu diadakan jika belum ada) di Pusat-Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN). Di peringkat universiti, minggu orientasi siswa boleh dipenuhkan dengan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada penghayatan Rukun Negara. Kursus Pengajian Malaysia yang menjadi subjek wajib LAN di peringkat universiti perlu diperkaya dengan penghuraian baharu bagi meningkatkan penghayatan terhadap Rukun Negara. Selain daripada itu, menghubungkaitkan kepentingan Rukun Negara dalam semua kursus yang ditawarkan kepada mahasiswa tempatan, hatta kursus yang berbentuk teknikal. Selain daripada itu, peranan media seperti televisyen, radio, surat khabar dan majalahyang menjadi kesukaan remaja perlu menyediakan ruangan khas yang menyorot hal-hal yang menjurus kepada penghayatan terhadap Rukun Negara, sama ada dalam bentuk rencana, artikel bertulis, seni muzik dan lagu, karikatur dan seumpamanya. Para penerbit drama tempatan juga harus memain peranan dengan menerbitkan lebih banyak drama atau cereka yang menjurus kepada penghayatan Rukun Negara (tahun 2010 ini memperlihatkan lebih banyak terbitan atau siaran televisyen yang menyorot cerita-cerita tentang hantu yang hanya membantutkan perkembangan pemikiran saintifik di kalangan masyarakat termasuk remaja). Internet adalah media mutakhir yang kian popular di Malaysia. Blog Fikir! Fikir! Dan Fikir! ini yang diwujudkan pada 2006 telah menerima pengunjung unik (unique visitors)yang kian tahun kian meningkat (2006 - tiada rekod; 2007 - 3,736 pelawat; 2008 - 11,529 pelawat; 2009 - 16,200 pelawat; dan 2010 sehingga artikel ini tulis - 16,923 pelawat). Sayangnya, rakyat Malaysia lebih cenderung menggunakan Internet untuk menerbitkan laman web, blog atau sistem jaringan sosial yang lebih menjurus kepada kebendaan seperti untuk mencari keuntungan material (wang ringgit), menyebarkan fitnah atau cerita-cerita yang kurang membina patriotisme masyarakat. Latihan kepimpinan dengan mewujudkan program khas Persidangan Remaja SeMalaysia yang bersidang di Dewan Parlimen. Program ini boleh digerakkan sama ada oleh Kementerian Pelajaran, atau Kementerian Belia, atau Kementerian Penerangan, atau Jabatan Perdana Menteri. Memperkenalkan anugerah Tokoh Remaja Malaysia kepada remaja yang memenuhi kriteria tertentu yang ada hubungkait dengan penyebaran, penghayatan, pengamalan dan penghasilan idea dan reka cipta berteraskan Rukun Negara juga boleh dilaksanakan oleh kerajaan, dan sebagainya. Tulisan ini tidak bertujuan untuk memberikan jawapan kepada pertanyaan bagaimanakah langkah2 utk meningkatkan penghayatan remaja terhadap rukun negara?. Tetapi adalah diharapkan, ia dapat menggerakkan minda pelajar stpm untuk dapat menjana idea-idea yang lebih kritis dan kreatif. Selamat Maju Jaya! FIKIR! FIKIR! DAN FIKIR! pening lalat writes: emm boleh x saudara jelaskan kepada sy.. emm apakah faktor-faktor berkurangannya semangat rukun negara di kalangan masyarakat. harap saudara boleh membantu saya.

Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Wednesday, October 20, 2010 4:40:21 PM

Dalam Kamus Dewan (2007), kata semangat mempunyai empat makna iaitu1. roh yang terdapat dalam segala makhluk (dipercayai mempunyai kuasa-kuasa tertentu); 2. perasaan hati, jiwa; 3. maksud atau tujuan yang terkandung dalam sesuatu perjanjian (ucapan dan lain-lain); dan 4. kemahuan untuk melalukan sesutu, nafsu. Saudara bertanya, apakah faktor-faktor berkurangannya semangat rukun negara di kalangan masyarakat. Dalam pertanyaan ini, kata semangat merujuk kepada pengertian pertama itu, iaitu roh atau kuasa Rukun Negara. Jika demikian, faktor utama kenapa Rukun Negara tiada semangat ialah kerana Rukun Negara atau Prinsip Rukun Negara tidak lagi diperkatakan dengan meluas sebagaimana pada ketika ia mula diwujudkan dahulu. Sesuatu pengertian, maksud, kalimat atau ayat-ayat tertentu hanya akan dihayati jika ia diperkatakan dengan kerap dan meluas. Dalam masyarakat beragama (semua fahaman agama), mahupun dalam nilai tradisi Melayu, sesuatu zikir atau kalimat-kalimat manteratidak akan mempunyai kuasa (roh) jika ia tidak selalu diucapkan atau diamalkan. Dalam tradisi perdukunan, kadang-kadang satu alat seperti batu, permata, dan sebagainya dijadikan tangkal setelah dibacakan padanya mantera-mantera atau bacaan tertentu berkali-kali dan ditangas (dimandikan dengan wap atau asap, misalnya asap kemenyan) pada sela waktu tertentu yang tetap. Keris Melayu akan hilang bisanya (nyawa, roh atau kuasanya) jika tidak ditangas dengan tetap. Rukun Negara ditujukan untuk bangsa yang beragama (Prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan). Bagi penganut Islam, perkataan bismillah itu adalah satu zikir yang boleh dan mempunyai kuasa penawar. Tapi bukan semua orang Islam, boleh menawar hanya dengan menyebut katabismillah. Hanya orang-orang tertentu sahaja, yang apabila membaca atau menyebut kata bismillah, perkataan tersebut menunjukkan kuasanya sehingga boleh melegahkan daripada rasa sakit misalnya. Orang-orang yang dapat memanggil roh atau kuasa perkataan bismillah itu adalah mereka yang sentiasa membaca dan menghayati makna perkataan tersebut dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Perkataan Rukun Negara juga demikian. Oleh kerana perkataan atau frasa tersebut tidak pernah disebut, difahami, dihayati dan diyakini keampuhannya (maksud saya, kita tidak pernah yakin bahawa Rukun Negara itu boleh menyatukan rakyat dan mewujudkan perpaduan) setiap hari, maka pastilah ia tidak menunjukkan kuasanya. Mari kita buat ujian masing-masing. Daripada 24 jam sehari masa yang kita ada, 8 jam kita peruntukkan untuk berehat dan tidur. 8 jam lagi kita gunakan untuk melakukan kerja rutin sehari-hari manakala 8 jam lagi kita gunakan untuk menikmati kehidupan bersosial. Daripada 16 jam masa kita (bekerja dan bersosial) itu berapa peratus yang telah menyumbang kepada penghayatan terhadap Rukun Negara? Sekiranya dalam tempoh 16 jam itu, umpamanya kita menerima 100 input minda, berapa input yang memperkatakan tentang Rukun Negara? Semangat atau kuasa Rukun Negara (atau apa-apa sahaja slogan, moto, cita-cita dan sebagainya yang menjadi pegangan kita) adalah berkait langsung dengan kuasa minda kita terhadapnya. Kuasa minda kita terhadap sesuatu hanya akan terangsang jika sesuatu itu sentiasa dalam minda kita, iaitu jika kita sentiasa mengingati, menyedari, berfikir dan memikirkan tentang sesuatu itu. Saya harap pening lalat jangan pening. Ringkasnya, faktor-faktor yang menyebabkan berkurangnya semangat Rukun Negara ialah1. Kurangnya pendedahan minda kita terhadap Rukun Negara; 2. Kurangnya usaha kita untuk cuba memahami dan menghayati Rukun Negara; 3. Kurangnya usaha pihak berkuasa untuk mewujudkan persekitaran yang mendorong ke arah penghayatan Rukun Negara; 4. Kurangnya peranan media (semua jenis media) membantu; menyebarkan maklumat tentang Rukun Negara atau maklumat yang menjurus ke arah penghayatan Rukun Negara; dan 5. Kurangnya artikel, rencana, poster, iklan, tema dalam lirik lagu, drama, persembahan pentas seperti teater dan tarian, lukisan dan olahan seni yang lain, dan sebagainya yang mempromosikan penghayatan atau nilai Rukun Negara. Semoga selepas ini, saudara dapat menjana lebih banyak idea dan kesimpulan yang lebih baik.

Azmil writes: Maaf, saya kurang faham tentag konsep Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Maklumat yang dicari di dalam internet terlalu sedikit dan kebanyakkanya berulang-ulang dan menyimpang dari maksud sebenar yang dicari. Saya harap encik dapat memperjelaskan dengan lebih terperinci. Sekian, terima kasih.

Mohd Shah A HassanSHAHAIKAL # Tuesday, March 1, 2011 5:15:40 PM Untuk saudara mudah faham pecahkannya kepada dua iaitu:1. Kesetiaan kepada Raja; dan 2. Kesetiaan kepada negara. 1. Kesetiaan kepada Raja Raja dalam konteks Malaysia adalah pemilik negara ini. Raja juga adalah pemerintah negara. Saudara jangan keliru bahawa KABINET (yang kita panggil kerajaan itu) sebenarnya hanya PENTDBIR yang mentadbir negara ini mengikut PERINTAH Raja atau Sultan. Kabinet hanya melaksanakan perintah SULTAN/RAJA dalam segala segi. Perintah raja disampaikan dalam banyak cara. Satu daripadanya ialah melalui peruntukan Undang-Undang. Kabinet (Kerajaan) melalui pelbagai kementerian, jabatan, agensi, suruhanjaya dan sebagainya, juga mengeluarkan arahan-arahan, pekeliling, polisi dan sebagainya bagi mengkomunikasikan perintah Raja/Sultan kepada rakyat. Kesetiaan kepada Raja bermaksud mematuhi segala perintah Raja/Sultan sama ada yang disampaikan melalui titah langsung daripada baginda misalnya dalam ucapan/titah baginda, melalui undang-undang atau melalui kabinet. Justeru mana-mana pihak yang gagal mematuhi perintah-perintah tersebut boleh disifatkan sebagai tidak setia kepada Raja dan jika darjah ketidaksetiaan itu sehingga melampau, ia boleh disifatkan sebagai menentang raja/sultan dan boleh diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang atau budibicara raja/sultan. Tindakan Hindraf yang tidak patuh kepada arahan PDRM baru-baru ini bukan sahaja boleh disifatkan sebagai tidak setia kepada raja tetapi boleh disifatkan sebagai menentang raja.

2. Kesetiaan kepada negara. Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang dimiliki oleh Raja/Sultan dan menjadi tanah tumpah darah majoriti rakyat Malaysia (rakyat Malaysia iaitu warganegara Malaysia ada juga bukan lahir di Malaysia atau bukan berasal dari Malaysia). Kita sebagai rakyat Malaysia wajib setia kepada negara kita. Kesetiaan kita kepada negara adalah sejauh mana kita berasa bertanggungjawab mempertahankan kedaulatannya dan ini ditunjukkan oleh gerak geri dan tingkah laku kita sehari-hari. Memelihara, mengekalkan dan memperkukuh kedaulatan negara hendaklah menjadi dasar kita berfikir sebelum kita melakukan sesuatu tindakan. Kita harus bertanya kepada diri sendiri "adakah apa yang saya lakukan ini atau tindakan saya ini akan membawa kebaikan atau keburukan kepada negara?" Contoh kesetiaan kepada negara ialah kesediaan kita untuk bekerja bersungguh-sungguh, belajar bersungguh-sungguh tidak membazir dan sebagainya. Tenaga kita diperlukan oleh negara untuk membangunkan negara. Ilmu yang kita kuasa diperlukan oleh negara untuk membolehkan negara bergerak ke hadapan dan maju. Wang lebih yang kita dapat yang tidak dibazirkan akan kita simpan di bank dan ini akan meningkatkan modal dalam negara. Kesemua itu diperlukan untuk membangunkan negara.

Kesetiaan kepada negara adalah sejauhmana perasaan kita rasa bertanggungjawab untuk memastikan negara kita membangun, maju, aman, makmur, sentosa, harmoni dan sebagainya. Harap dapat memberikan sedikit idea kepada saudara Azmil untuk berfikir lebih kreatif dan kritis terhadap penghuraian makna Rukun Negara: Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Terima kasih.

You might also like