You are on page 1of 9

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm

Pengaruh Pemikiran Akidah al-Ghazali dalam Kitab Jawi: Tinjauan terhadap Kitab al-Durr al-Nafis dan Sayr al-Salikin
Mohd Fauzi Hamat & Mohd Hasrul Shuhari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur

Abstrak: Pemikiran ulama Melayu mengenai akidah mempunyai kesinambungan ilmiah dengan pemikiran ulama muktabar sebelum mereka. Antaranya ialah tokoh ulama terkenal, al-Ghazali (m.505H), yang pemikirannya mendasari beberapa penulisan ulama Melayu dalam bidang akidah. Kewujudan kesinambungan pemikiran sebelum ini menggambarkan pola fikir ulama Melayu yang amat menyenangi pemikiran akidah dan tasawuf berdasarkan huraian al-Ghazali. Penelitian terhadap kitab-kitab jawi tulisan mereka jelas membuktikan hakikat ini. Makalah ini meninjau pengaruh tersebut dalam dua karya terkenal di rantau ini iaitu kitab al-Durr al-Nafis dan Sayr al-Salikin. Tinjauan ini perlu dilakukan untuk meneliti sejauh mana wujud pengaruh pemikiran al-Ghazali dalam bidang tersebut dalam karya yang dipilih dan apakah faktor yang menyebabkan pemikiran al-Ghazali berjaya mendominasi ulama Melayu. Makalah ini merumuskan bahawa pengaruh al-Ghazali adalah jelas terdapat dalam karya-karya yang dikaji.

PENGENALAN Al-Ghazali ialah antara nama tokoh besar pemikir Islam yang tidak asing lagi dalam dunia Islam. Karya-karya tulisannya telah mempengaruhi sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia sejak zaman berzaman. Di Nusantara, kitab-kitab Jawi dan tokoh-tokoh yang menulisnya amat dikenali oleh para ulama Tanah Jawi, sama ada menerusi halaqah ilmu atau pun menerusi pembacaan mereka terhadap karya-karya ilmiah yang dihasilkan. Makalah ini cuba menelusuri sejauh mana pengaruh al-Ghazali dalam dalam kitab Jawi yang ditulis oleh ulama Melayu, sebagaimana yang dapat dikesan menerusi beberapa karya ulama Melayu. Antara karya yang bakal dihuraikan secara khusus ialah kitab al-Durr al-Nafis, sebuah karya ilmiah yang amat diminati oleh para ilmuwan di Nusantara, termasuk di daerahdaerah Borneo karangan Sheikh Muhammad Nafis ibn Idris al-Banjari (lahir 1148H) dan Sayr al-Salikin karangan Sheikh Abd al-Samad al-Falimbani (m.1203H). Pemikiran Akidah al-Ghazali: Al-Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Tusi al-Shafii dilahirkan pada tahun 405H di Tus. Beliau pernah belajar dengan Imam al-Haramayn bernama al-Juwayni (478H) dan merupakan seorang yang amat pintar dalam pelbagai bidang. Beliau memiliki kitab-kitab yang ditulis dalam pelbagai bidang keilmuan dan majlis-majlis pengajiannya dihadiri oleh para ulama yang terkenal. Beliau merupakan seorang daripada

ulama besar dalam mazhab al-Shafii dari segi fekah dan merupakan ulama besar al-Ashairah dari segi akidah dan ilmu kalam. Menurut al-Qardawi, kehebatannya dalam pelbagai bidang ilmu dan digelar Hujjat al-Islam ini membuatkan para ulama dalam bidang sejarah dan hadis bersepakat tanpa khilaf bahawa beliau merupakan mujaddid abad ke-5 Hijrah. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin, 14 Jamadil Akhir 505H dan dikebumikan di Tus ketika berumur 55 tahun (Ibn Kathir 1998, 16:213-214; Ibn al-Imad 1989, 5:18; al-Madkur 2009: 32; alQardawi 1997: 16). Pemikiran akidah al-Ghazali adalah selari dengan akidah ahl al-sunnah wa al-jamaah aliran al-Ashairah yang diasaskan oleh al-Ashari (m.324H). Berkenaan kebenaran aliran ini, alBayhaqi (m.458H) dan al-Subki (m.771H) menjelaskan al-Ashari bukanlah pembuat bidah yang bertentangan dengan ulama salaf terdahulu, sebaliknya beliau menggunakan pandangan mereka, di samping membuat tambahan dan penerangan atas pandangan mereka berdasarkan syarak dan akal yang sahih untuk mempertahankan akidah setelah ia diselewengkan. Menurut al-Hafiz Ibn Asakir (m.571H), al-Ashairah merupakan golongan yang berpegang kepada al-Quran dan hadis yang sabar dengan segala cabaran yang datang daripada gologan-golongan bidah. Mereka berhujah mempertahankan akidah berdasarkan nas-nas dan penggunaan akal yang sahih untuk menghadapi ifrat (keterlampauan) Muktazilah dan tafrit (kejumudan) Mushabbihah. Menurut Sultan al-Ulama, Izz alDin ibn Abd al-Salam (m.660H), akidah mereka

291

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

disepakati oleh pengikut mazhab al-Shafii, alMaliki, al-Hanafi dan ulama utama Hanbali. AlQardawi turut mengakui bahawa majoriti umat Islam adalah bermazhab al-Ashairah (fa inna aghlabiyyah al-ummah Ashariyyah) (al-Subki t.th.: 365, 397; Ibn Asakir 1928/9: 397-398; al-Sinan & al-Anjari t.th.: 12-22, 34-37; http://qaradawi.net/news/ 537.html,15 September 2011). Karya-karya akidah al-Ghazali, antaranya ialah seperti Qawaid al-Aqaid dan al-Risalah alQudsiyyah fi Qawaid al-Aqaid dalam Ihya Ulum al-Din, al-Arbain fi Usul al-Din (ringkasan kepada kitab Ihya Ulum al-Din), al-Iqtisad fi al-Itiqad, alMaqsad al-Asna, Fadaih al-Batiniyyah, al-Munqidh min al-Dalal, Fasl al-Tafriqah Bayna al-Islam wa al-Zanadiqah dan al-Hikmah fi Makhluqat Allah. Kitab-kitabnya dalam bidang akidah juga boleh dikategorikan sebagai karya tasawuf kerana ia merupakan huraian penghayatan terhadap topik akidah yang memberi kesan kepada akhlak manusia. Sheikh Abd al-Samad al-Falimbani juga menjelaskan kitab-kitab tasawuf mengandungi ilmu usuluddin yang dapat membantu hamba Allah S.W.T mencapai syurga, mengenali Allah S.W.T dan takut kepada-Nya. Contohnya, karya al-Maqsad al-Asna yang merupakan karya akidah dan pada yang sama merupakan karya tasawuf kerana penghayatan terhadap nama-nama Allah S.W.T dapat memberi kesan pada aspek akhlak. Al-Razi (m.604H) mengaitkan penghayatan terhadap namanama Allah S.W.T dengan konsep ihsan. Contoh kitab-kitab dalam bidang tasawuf ialah Ihya Ulum al-Din, al-Maqsad al-Asna, Minhaj al-Abidin dan Bidayat al-Hidayah (al-Razi 2000: 79-80; Van Bruinessen 1995: 71, 84, 157; al-Falimbani t.th.: ii; al-Qardawi, 1997: 13). Berhubung dengan ketuhanan, al-Ghazali menghuraikan al-Tanzih, al-Hayah, al-Qudrah, alIlm, al-Iradah, al-Sam, al-Basar, al-Kalam dan alAfal. Al-Ghazali menggunakan metode yang sama sebagaimana yang digunakan oleh al-Ashari setelah beliau berguru dengan al-Juwayni. Dalam beberapa perkara, beliau melakukan beberapa tambahan berdasarkan asas yang telah didirikan oleh alAshari untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa. Beliau menggunakan nas dan akal dalam menghuraikan akidah kerana nas dan akal yang sihat tidak akan bertembung (al-Ghazali 1990: 29-32; Mohd Abduh 2006: 235). Kombinasi nas dan akal akan memantapkan lagi huraiannya tentang akidah. Akal hanyalah untuk mengukuhkan lagi huraian akidah tersebut setelah didasarkan kepada huraian dari nas al-Quran dan Hadis. Penggunaan akal melalui takwilan terhadap persoalan akidah, terutamanya dalam perbahasan ayat-ayat mutashabihat merupakan satu daripada kaedah ahl al-sunnah wa al-jamaah selagi ia tidak melampaui batas sebagaimana takwilan Muktazilah (Mohd Fuad 2006: 80; al-Qardawi 1997: 36-47; Zarruq 2007: 5967).

Pengaruh Akidah al-Ghazali di Dunia Islam: AlGhazali mempunyai pengaruh yang kuat dalam aspek ilmu pengetahuan di dunia Islam. Karyanya seperti Ihya Ulum al-Din pada fasal akidah telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Pocock (m.1727M) yang dimuatkan dalam Specimen Historiae Arabum. Ini menunjukkan pengaruh alGhazali di pentas antarabangsa (Mohd Zaidi 2004: 93). Al-Ghazali berjaya mendorong masyarakat meninggalkan kejumudan dan membawa pemikiran alternatif yang lebih baik pada aspek akidah dan amalan. Dorongan tersebut merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti spiritual, kebudayaan, sosial dan politik. Majoriti umat Islam hingga hari ini sangat menyanjunginya. Beliau memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh para pemikir selainnya (al-Qardawi 1997: 10). Hasil-hasil penulisannya menjadi dasar kepada sebuah gerakan intelektual yang kuat dan merupakan sumber inspirasi kepada generasi berikutnya. Pemikiran alGhazali memberi kesan yang amat mendalam kepada sejarah Islam, sehingga kehebatannya diakui oleh para penyokong dan para pengkritiknya (Abdul Salam 2005, 6:44-45). Pengaruh akidah al-Ghazali dapat dilihat contohnya melalui anak muridnya yang bernama Muhamad ibn Abdullah ibn Tumart (m.524H), yang pernah berguru dengannya selama tiga tahun. Ketika Ihya Ulum al-Din dibawa ke Maghribi pada tahun 501H/1081M, Ali ibn Yusuf Tashfin yang memerintah Maghribi telah memerintah agar bukunya dibakar kerana berunsur zindiq dan ilhad. Al-Ghazali sedih apabila mengetahui mengenai peristiwa itu. Menurut Hamka, al-Ghazali berkata, Tuhan akan merobek kerajaan mereka sebagaimana mereka telah merobek kitabku. Semasa belajar di bawah al-Ghazali, Ibn Tumart berhasrat untuk menggantikan Ali ibn Yusuf dan mendirikan sebuah negara Islam di kawasan tersebut. Kata Ibn Tumart, Wahai Imam, doakanlah kepada Tuhan agar kerajaan Bani Tashfin jatuh ke tanganku. Setelah kerajaan Bani Tashfin, iaitu Kerajaan al-Murabitun dijatuhkan, kerajaan yang didirikan oleh Ibn Tumart dikenali sebagai al-Muwahhidun. Apabila al-Ghazali mengetahui kejayaan muridnya, beliau berhasrat untuk berhijrah ke sana namun tidak kesampaian kerana beliau meninggal dunia pada tahun 505H. Menurut pandangan lain, Kerajaan al-Muwahhidun diasaskan setelah 10 tahun kematian al-Ghazali. Setelah karya al-Ghazali disebarluaskan, pengaruh al-Ghazali kian meluas dan berdasarkan puisi Ibn Tumart sendiri bahawa ia berjaya kerana berkat doa gurunya, al-Ghazali (Abdul Salam 2005, 6: 44-45; Hamka 1977, 1:15; Ahmad Zaki 1988: 102-103). Ibn Tumart yang merupakan pemerintah yang adil dan berakidah sahih telah mengarang satu matan akidah yang dinamakan al-aqidah al-murshidah berdasarkan aliran al-Ashairah. Al-Subki menjelaskan matan ini tidak dibantah oleh manamana ulama Sunni dan sesiapa yang berpegang

292

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

dengannya, maka mereka berada di atas jalan yang benar, ikatan yang lurus (al-aqd al-mustaqim) dan benar dalam perkara mensucikan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Matan ini juga digunakan oleh Ibn Asakir sebagai silibus pengajarannya di Dimashq (Damsyik). Menurut al-Maqrizi (m.845H), al-Suyuti (m.911H) dan Ibn Illan (m.1057H), Sultan Salah al-Din al-Ayyubi (m.589H) juga menyebarkan matan akidah ini dengan memerintahkan para muazzin agar mengumandangkan matan akidah ini di seluruh Mesir sebelum azan solat subuh pada setiap malam agar rakyatnya berpegang dengan alAshairah dan menjauhi mazhab Syiah kerajaan Fatimiyyah (al-Dhahabi 1993, 19: 539-540; al-Subki 1413H, 8:185-186; Ibn Kathir 1988, 12:231; Ibn alAthir, 4:456; al-Halabi 1400H, 2:314; Mohd Sobri 2011: 1-5). Berdasarkan pemerhatian terhadap matan ini dan dibandingkan dengan kitab akidah al-Ghazali, khususnya matan ringkas Qawaid al-Aqaid dalam Ihya Ulum al-Din, didapati perbincangan akidah yang dipaparkan adalah sama, yakni berkisar tentang sifat-sifat Allah S.W.T. Meskipun kalimah berbeza tetapi apa yang ingin dimaksudkan oleh mereka adalah sama kerana kedua-duanya menjelaskan tentang penyucian dan kesempurnaan sifat-sifat Allah S.W.T cuma perbezaannya ialah al-Ghazali turut menyentuh tentang al-samiyyat dan kepimpinan. Namun, tidak keterlaluan dikatakan bahawa, matan al-aqidah al-murshidah merupakan ringkasan kepada huraian sifat-sifat Allah S.W.T dalam kitab Qawaid al-Aqaid. Ini tidak mustahil kerana Ibn Tumart adalah murid kepada al-Ghazali tanpa menafikan kemungkinan beliau dipengaruhi oleh pemikiran gurunya yang lain, kedua-duanya beraliran al-Ashairah dan kitab Ihya Ulum al-Din merupakan kitab yang disebarkan secara meluas oleh Ibn Tumart setelah ia diharamkan oleh kerajaan sebelumnya. Ini menunjukkan pemikiran al-Ghazali mempengaruhi pemimpin utama dunia Islam dan masyarakat yang dipimpin mereka. Pengaruh Akidah al-Ghazali di Dunia Melayu: Kebanyakan ulama tersohor Nusantara telah terdedah dengan pemikiran al-Ghazali dalam berbagai-bagai disiplin ilmu menerusi karya-karya ilmiah yang dihasilkan. Dalam penelitian penulis, kebanyakan ulama Nusantara telah mendapat pendidikan agama di Makkah al-Mukarramah yang disampaikan oleh para guru agama dan diberi tauliah untuk mengendalikan halaqah ilmu di dalam Masjid al-Haram. Ramai tokoh ulama Tanah Jawi yang melalui sistem pendidikan tersebut. Guru-guru yang mengajar dalam masjid tersebut turut membincangkan karya-karya ilmiah yang dihasilkan oleh al-Ghazali, khususnya karya tasawuf beliau (Azyumardi 2002: 86). Kenyataan ini membawa maksud institusi masjid tersebut turut memainkan peranan besar dalam menyebarkan asas-asas pemikiran tasawuf al-Ghazali kepada para penuntut

yang menghadiri halaqah ilmu yang disampaikan dalam rumah Allah tertua tersebut. Menurut Mohammad Redzuan (2001: 66), terdapat rekod seorang anak Melayu bernama Shaikh Abdul Malik bin Abdullah dari Terengganu (1650-1736M) yang diketahui telah pergi ke Makkah untuk menuntut ilmu di sana. Walau bagaimanapun, penghijrahan orang Melayu ke Makkah untuk tujuan tersebut hanya memperlihatkan peningkatan jumlahnya sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20 sahaja. Kegiatan pengajaran yang berlangsung dalam Masjid alHaram bukan terhenti setakat ilmu-ilmu keagamaan biasa, sebagaimana yang diajar di madrasahmadrasah kini, tetapi turut memperturunkan tarekattarekat sufiah kepada para pelajar yang berminat untuk menerimanya daripada guru-guru yang mursyid. Azyumardi (2002: 85) memaparkan modus operandi kegiatan pengajaran yang berlangsung dalam Masjid al-Haram, sebagaimana yang dilalui oleh al-Nakhli seperti berikut:
Dia menghadiri kuliah-kuliah yang diselenggarakan dalam halaqah dekat Bab al-Salam. Kuliah-kuliah tersebut diberikan oleh gurunya setiap hari setelah shalat subuh, asar, magrib, dan isya. Di halaqah, dia menerima beberapa ijazah dalam beragam ilmu, seperti syariat dan fiqh, dan diperkenalkan ke dalam beberapa tarekat; Syadziliyyah, Nawawiyyah, Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah, Syathariyyah, dan Khalwatiyyah. Selain itu juga, di Masjid al-Haram, dia menggunakan sebagian besar waktunya untuk mempraktikkan zikir dari pelbagai tarekat tersebut.

Dalam dunia intelektual, al-Ghazali terkenal sebagai seorang tokoh encyclopaedic Islam yang banyak mengharungi pelbagai disiplin ilmu Islam yang dikembang pada zamannya. Beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang Ilmu Kalam, Falsafah dan Tasawuf. Perjalanan ilmiah yang diharunginya termasuk penemuan jalan al-kashf di penghujung hidupnya sebagai kaedah terbaik untuk mencapai marifah sebenar telah meninggalkan banyak karya berguna untuk tatapan umat Islam seluruhnya. Pengaruhnya cukup besar dalam karyakarya ilmiah yang dihasilkan oleh para penulis Nusantara. Sebagai contohnya, kitab Nasihat alMuluk sebuah karya ketatanegaraan karangannya telah mempengaruhi pengarang-pengarang Melayu zaman silam.Tarikh sebenar penyebaran Nasihat alMuluk ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan dengan tepat. Besar kemungkinan versi Arab teks berkenaan telah tiba di Acheh sekitar akhir abad ke16 atau awal abad ke-17 melalui pedagang-pedagang dari Gujerat atau Arab yang datang berdagang atau berdakwah ke rantau tersebut. Hal ini terbukti melalui sebuah manuskrip terjemahan Melayu Kitab Nasihat al-Muluk yang telah ditemui bertarikh sekitar 1700. Manuskrip tersebut kini dilaporkan tersimpan di Perpustakaan University of Edinburgh (Dc.6.73-74) (Jelani 2000: 59-62). Terdapat rantaian keilmuan yang dikenali dengan sanad yang menghubungkan para ulama di dunia Melayu dengan al-Ghazali. Antara tokoh yang

293

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

mempunyai kesinambungan dengan ulama Melayu ialah Ahmad al-Qushashi (m.1071H) dan Ibrahim alKurani (m.1101H). Kedua-dua ulama ini memiliki kesinambungan ilmu dengan para ulama terdahulu sehinggalah kepada al-Ghazali. Contohnya, antara ulama Melayu yang berguru dengan al-Kurani ialah Sheikh Abd al-Rauf Singkel. Karya al-Kurani juga dijadikan rujukan utama oleh Sheikh Abd al-Qadir Bukit Bayas Terengganu yang kemudiannya dibeli oleh Sultan Baginda Omar dan dihadiahkan kepada Tuk Sheikh Duyung. Sheikh Muhammad Yasin alFadani (m.1410H) juga menyenaraikan kitab-kitab al-Ghazali seperti Ihya Ulum al-Din, Minhaj alAbidin, Bidayat al-Hidayah dan al-Hikmah fi Makhluqat Allah yang diterima melalui gurunya, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki (m.1368H) yang berkesinambungan hingga Sheikh Ahmad al-Ramli (m.1004H) berdasarkan sanad al-Kurani hingga alGhazali (Mohd Zaidi 2004: 93-95, 132). Seorang penulis terkenal Nusantara dari Riau Lingga, Raja Ali Haji (1809-1870) telah menghasilkan karya bertajuk Thamarat alMuhimmah Diyafah li al-Umara wa al-Kubara li Ahl al-Mahkamah pada abad ke-19M (Mahdini 2000: 2 & 4), sebuah karya terjemahan dan saringan bagi karya al-Ghazali tersebut. Beliau juga turut menyumbang menyebarluaskan pandangan alGhazali, khususnya yang terkandung dalam kitab Ihya Ulum al-Din, Minhaj al-Abidin dan Bidayat al-Hidayah ke alam Melayu. Beliau juga menulis Gurindam Dua Belas yang berupa puisi yang mengandungi huraian sifat-sifat mahmudah dan madhmumah seperti yang terkandung dalam ketigatiga kitab al-Ghazali tersebut (Watson 1979: 115116; Abu Hassan 2004: 22-23). Kitab Ihya Ulum al-Din dan Minhaj al-Abidin merupakan antara kitab yang amat popular dalam masyarakat Melayu sejak zaman berzaman. Kitab Ihya Ulum al-Din ialah antara kitab karangan ulama Islam yang banyak meninggalkan pengaruhnya dalam sastera Melayu lama (al-Attas 1999: 68), termasuk kitab alDurr al-Nafis dan lain-lain karya ulama Nusantara. Abd al-Samad al-Falimbani yang muncul pada abad ke-18 dikatakan berusaha untuk mengembalikan kemurnian tasawuf Imam al-Ghazali. Lalu beliau telah mengambil inisiatif menterjemahkan kitab Ihya Ulum al-Din dengan nama Sayr al-Salikin (Mahayudin 2001: 103). Tuan Hasan Besut memiliki karya yang berjudul Ayyuha al-Walad, iaitu terjemahan karya al-Ghazali yang selesai ditulis di Makkah pada malam Isnin, 14 Rabi al-Awwal tahun 1266H. Selain beliau, kedua-dua kitab ini juga pernah diterjemahkan oleh ulama Patani lain, iaitu Sheikh Muhammad Taib bin Abd al-Latif yang dicetak di Makkah (Ahmad Fathy 2002: 65, 252, 292). Menurut Hamka (m.1981M), pemikiran alGhazali terutama melalui kitabnya, Ihya Ulum alDin sangat mempengaruhi masyarakat Melayu, khususnya Indonesia. Mazhab Sunni yang mula

memasuki Pasai ialah mazhab al-Shafii dan alGhazali merupakan antara ulama mutaakhkhirin mazhab ini. Fahaman Pantheisme yang pernah bertapak dalam kalangan mereka menjadi lemah setelah pemikiran al-Ghazali difahami dan diajarkan dalam masyarakat. Hamka juga mengakui karyanya yang berjudul Tasawwuf Moden (1939M) telah ditulis dengan memetik banyak pandangan alGhazali. Kitab Hamka yang lain seperti Lembaga Hidup (1940M) dan Lembaga Budi (1940M) juga dipengaruhi pemikiran al-Ghazali seperti yang terdapat dalam Ihya Ulum al-Din, Minhaj alAbidin dan Bidayat al-Hidayah. Menurutnya, huraian al-Ghazali dalam bidang tasawuf, akidah, falsafah dan etika akan terus dikaji oleh masyarakat dunia (Hamka 1977, 1:17; Abu Hassan 2004: 35). Ini menunjukkan pemikiran al-Ghazali dalam pelbagai bidang telah mempengaruhi dunia Melayu dan ia akan berterusan meskipun terdapat beberapa kritikan kepadanya. Pada tahun 1778M, al-Falimbani telah menterjemah kitab Bidayat al-Hidayah, karangan alGhazali dan terjemahan tersebut telah ditambah dengan beberapa pandangan dan pendapat beliau sendiri. Karya terjemahan tersebut dinamakan dengan Hidayat al-Salikin. Kitab Bidayat alHidayah juga biasanya akan dipelajari bersamasama dengan kitab al-Durr al-Thamin dan Siraj alHuda sebelum mempelajari kitab Aqidat al-Najin fi Ilm Usul al-Din karangan Sheikh Zain al-Abidin bin Muhammad al-Fatani yang lebih dikenali dengan Tuan Minal (m.1331H) (Ahmad Fathy 2002: 65). Sumbangan Abd al-Samad al-Falimbani dan Sheikh Daud al-Fatani adalah amat besar dalam mengetengahkan pemikiran al-Ghazali ke khalayak masyarakat Melayu (Riddell 2001: 185 & 190; Mohd Kamal 1996: 7). Sheikh Daud al-Fatani juga telah selesai menterjemahkan pertama kalinya kitab Minhaj al-Abidin pada 15 Jamadil Akhir 1240H dan ia dikatakan karya ke-12 beliau yang disusun berdasarkan tarikh penulisannya. Namun, terdapat lagi karyanya yang belum diketahui tarikh penulisan (W.M. Shaghir 1990: 77; Ahmad Fathy 2002: 34). Karyanya, Minhaj al-Abidin telah mendapat perhatian orang ramai, di samping Furu al-Masail, Munyat al-Musalli, al-Durr al-Thamin dan Sullam al-Mubtadi. Kitab Minhaj al-Abidin juga merupakan karyanya yang paling awal dicetak, iaitu pada tahun 1305H selepas kitab Jam al-Fawaid dan al-Bahjah al-Saniyyah yang dicetak pada tahun 1303H (Ahmad Fathy 2002: 38). Ramai juga dalam kalangan ulama Melayu yang menterjemah, menulis, meneliti, mengajar, mentashihkan dan mengamalkan kandungan kitabkitab yang ada kaitan dengan al-Ghazali seperti Sayr al-Salikin dan Minhaj al-Abidin. Contohnya, Sheikh Daud al-Fatani (m.1263H), Tuan Hasan Besut (m.1280H), Sheikh Nik Dir al-Fatani (m.1315H), Sheikh Wan Ahmad al-Fatani (m.1325H), Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (m.1327H),

294

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

Haji Abd al-Majid Embong (m.1372H). Tok Bermin (m.1376H), Pak Da El (m.1385H), Tok Guru Dala (m.1395H) dan Haji Abd Allah Bendang Kebun (m.1411H). Antara ulama yang berjaya menghasilkan ramai ulama pelapis dan sejumlah karya yang banyak dihasilkan dan masih ditelaah hingga hari ini ialah Sheikh Daud al-Fatani, Tuan Minal dan Sheikh Nik Dir al-Fatani (Ahmad Fathy 2002: 18, 34, 38, 47, 54, 65, 98, 114, 155, 175, 197, 201, 218, 252, 256-257; Abu Hassan 2004: 26-27) Fakta ini membuktikan terdapat pengaruh pemikiran al-Ghazali terhadap para ulama Melayu, terutama pada karya-karya mereka. Kesinambungan ilmu antara ulama Melayu dan ulama muktabar menjadi sejarah menarik yang perlu dipelihara dan dikekalkan oleh generasi berikutnya. Apatah lagi, pemikiran al-Ghazali zaman berzaman merupakan pemikiran yang menepati Ahl al-Sunnah wa alJamaah, terutama dalam bidang akidah. Beberapa Pemikiran Akidah al-Ghazali dalam Kitab Jawi: Subtopik ini menghuraikan beberapa pemikiran al-Ghazali yang dapat dilihat dalam kitabkitab Jawi pilihan. Kitab-kitab Jawi ini dipilih adalah disebabkan faktor pengaruh kitab atau penulisnya kepada dunia Melayu. Kitab-kitab yang dimaksudkan tersebut ialah al-Durr al-Nafis dan Sayr al-Salikin. (1) al-Durr al-Nafis, Sheikh Muhammad Nafis alBanjari: Kitab al-Durr al-Nafis yang bermaksud Mutiara Yang Indah ialah sebuah karya ulama Borneo terkenal, al-Banjari yang telah selesai dikarang oleh al-Banjari pada 27 Muharram 1200H bersamaan 30 November 1785M di Makkah (Ahmad Fathy 2002: 27, al-Banjari t.th.: 38). Meneliti kandungan kitab al-Durr al-Nafis secara mendalam, mendedahkan bahawa terdapat beberapa tokoh yang mempengaruhi al-Banjari dalam penulisan tersebut, khususnya Ibn Arabi yang memperkenalkan doktrin wihdat al-wujud. Walau bagaimanapun, beliau didapati banyak juga merujuk asas-asas pemikiran tasawuf yang diketengahkan oleh al-Ghazali dalam karya-karya akidah dan tasawufnya, iaitu kitab Ihya Ulum al-Din dan Minhaj al-Abidin. Berikut diperturunkan beberapa contoh rujukan beliau terhadap al-Ghazali dalam al-Durr al-Nafis: Beliau merujuk pandangan Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din yang melarang ulama sufi daripada memperkatakan kaedah pencapaian marifat Allah yang dilalui oleh mereka dan konsep-konsep tasawuf seperti ilm al-laduni, kashf, fana dan mushahadah kepada orang biasa yang bukan ahlinya kerana akal fikiran mereka tidak boleh memikirkan semua perkara tersebut. Ini berbeza dengan para ulama yang mempunyai ilmu yang mantap. Katanya, bahawasanya ditegahkan daripada menzahirkan rahsia itu kerana pendek segala faham [orang-orang biasa] 295

daripada mendapat dia (memahami perkara tersebut) (al-Banjari t.th.: 27-28) dan tiada syak pada bahawasanya rahsia itu taalluq (bersangkut) ia pada segala faedah agama tiada keluar ia daripadanya [dan] barang yang ada ia daripada segala faedah agama nescaya tiada sunyi daripada menzahirkan dia kepada lainnya yakni kepada ahlinya (al-Banjari t.th.: 28). Ini kerana seseorang salik disyaratkan menguasai terlebih dahulu ilmu syariah dan tarekat dan berguru dengan guru-guru yang mursyid dalam bidang kesufian. Jikalau tidak, ia boleh menjerumuskannya ke lembah kesesatan dan kekeliruan (al-Banjari t.th.: 30.). Ilmu Tasawuf ialah suatu ilmu tinggi yang tidak mudah difahami oleh kalangan yang tidak mempunyai persediaan ilmu syariah yang mantap dan dalam hal ini, pandangan yang dikemukakan oleh alJunayd, sebagaimana yang disebut oleh alBanjari (t.th.: 29) seperti berikut boleh dijadikan panduan umat Islam di sepanjang zaman:
Barang siapa mengetahui ilmu Fekah yakni zahir syariah dengan tiada mengetahui ilmu Tasawuf yakni hakikat iaitu batin syariat, maka sesungguhnya orang itu fasik dan barangsiapa mengetahui ilmu Tasawuf yakni ilmu hakikat iaitu batin syariat dengan tiada mengetahui ilmu Fekah yakni zahir syariat, maka sesungguhnya orang itu zindiq dan barangsiapa menghimpunkan ia antara keduanya yakni ilmu Fekah dan Ilmu Tasawuf, maka sesungguhnya orang itu tahqiq [mengetahui dan membenarkan al-haqq] yang sebenarnya.

Al-Banjari juga merujuk pandangan Imam alGhazali dalam Ihya Ulum al-Din ketika memperkatakan tentang kepentingan mempelajari ilmu hakikat. Ilmu ini dirujuk oleh al-Banjari kepada pandangan Shaikh Ibn Raslan yang mendefinisikan ilmu tersebut sebagai:
Ilmu laduni yang nurani yang mengajarkan Allah Taala akan dia bagi segala roh pada ketika mukhatab akan mereka itu dengan perkataan-Nya alastu bi Rabbikum, ertinya, tiadakah aku Tuhan kamu?, maka sembah segala roh bala ertinya, bahkan Engkau Tuhanku dan yang diisyaratkan kepadanya dengan firman-Nya wa allama Adam al-asma kullaha ertinya, telah mengajar Allah Taala akan Nabi Adam A.S akan segala asma sekaliannya. Ilmu ini tersembunyi bila [berada] dalam [alam] roh dan tertutup ia dengan sebab memandang wujud yang gelap dan dengan sebab tumbang dengan perangai hawa nafsunya (al-Banjari t.th.: 30).

Kata beliau, ...barang siapa tiada baginya perolehan daripada ilmu ini yakni ilmu batin rahsia ini nescaya ditakuti atasnya mati atas kafir dan sekurang-kurang perolehan daripadanya itu membesarkan akan dia dan mentaslimkan akan orang yang empunya dia (al-Banjari t.th.: 30). Ilmu hakikat yang dirujuk kepada ilmu Tasawuf ialah ilmu yang memperkatakan aspek pentarbiahan jiwa berasaskan pendekatan sufiyyah dan hal-hal seperti ini melibatkan aspek kebatinan. Kenyataan al-Ghazali yang dipetik oleh al-Banjari di atas menggambarkan kebimbangan seorang ulama terhadap

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

kemungkinan seseorang Muslim tidak mendapat husn al-khatimah sekiranya semasa hidupnya ia tidak berusaha mencapai marifat Allah dengan cara yang sempurna, sebagaimana yang cuba dibentangkan oleh ulama Tasawuf. Al-Banjari mengemukakan dua faktor yang bakal menghalang manusia daripada mencapai ilmu tersebut, iaitu penglibatan seseorang Muslim dengan perkara-perkara bidah dan bersifat angkuh dalam hidupnya (al-Banjari t.th.: 30). Pandangan al-Ghazali tentang kelebihan dan karamah orang yang melakukan muraqabat Allah dengan mengerjakan ketaatan dan menghabiskan umurnya berkhidmat kepada Allah S.W.T turut dirujuk oleh al-Banjari. Terdapat dua puluh kelebihan dunia dan dua puluh kelebihan akhirat yang akan dicapai oleh mereka. Antaranya ialah seperti semasa hayatnya, ia sentiasa disebut-sebut dan dipuji oleh Allah, Tuhan sekalian alam, Allah memelihara rezekinya tanpa ia perlu menghadapi kesusahan, ia dimuliakan di dunia, dihormati oleh orang baik dan orang yang jahat, diberi barakah semasa hayatnya, binatang tunduk kepadanya dan diperkenankan doanya (al-Banjari t.th: 31-34). Manakala kelebihan dan karamah di akhirat pula, antaranya ialah seperti dipermudahkan sakarat al-mawt, tetap memiliki iman dan makrifah, beroleh kesenangan dan kesentosaan, kekal dalam syurga, diluaskan kuburnya, dibangkitkan di padang mahsyar dengan penuh kemuliaan dan kehebatan, wajahnya berseri-seri ketika dibangkitkan dan aman daripada keadaan huru hara pada hari kiamat (al-Banjari t.th.: 34-35). Setelah menyenaraikan semua karamah tersebut, alGhazali menyebut, dan hanya sanya aku bilang akan yang demikian itu sekira-kira fahamku yang pendek dan sampai ilmuku yang kurang dan serta yang demikian itu aku ijmalkan dan aku mukhtasarkan (ringkaskan) dan aku sebutkan akan segala asalnya (dalilnya) dan akan segala jumlahnya dan jikalau ku tafsilkan (perincikan) akan setengah daripada yang demikian itu nescaya tiada dapat menanggung akan dia kitab ini yakni kitab Minhaj al-Abidin (al-Banjari t.th.: 35). Al-Banjari juga turut mengabadikan pandangan al-Ghazali tentang nikmat yang bakal dirasai oleh ahli syurga yang tidak diketahui hakikat dan bentuknya yang sebenar, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Petikan berikut jelas menggambarkan kenyataan yang dimaksudkan, (dan lagi kata Imam Ghazali R.H.) dan apa nampak sangat berkehendak bagi kita pada mengetahui akan yang demikian [nikmat syurga diakhirat] pada hal Tuhan kita S.W.T berfirman ia (ertinya) dijadikan di dalam syurga akan beberapa nikmat yang tiada pernah dilihat oleh mata dan tiada

pernah didengar oleh telinga dan tiada pernah terlintas atas hati manusia (al-Banjari t.th.: 35). Menyentuh tentang sifat dan perhiasan bidadari syurga, beliau memetik kata-kata Imam Ghazali berikut, ...kemudian maka tiap-tiap dari segala bagi (bahagian) itu mengandung ia atasnya beberapa tafsir yang tiada boleh ia meliputi pengetahuan akan dia itu melainkan Tuhan yang mengetahui akan yang ghaib-ghaib dan yang nyata dan iaitu yang menjadikan dia dan yang memakaikan dia itu... (al-Banjari t.th.: 35). Berdasarkan lima petikan utama ini, didapati bahawa al-Banjari banyak mengambil pandangan alGhazali tentang tasawuf, khususnya dalam membincang marifat Allah dari aspek asma, sifat, afal dan dhat-Nya. Al-Banjari berminat untuk merujuk pemikiran al-Ghazali dalam tasawuf kerana pemikiran al-Ghazali dalam tasawuf dalam karyakaryanya yang muktabar seperti Ihya Ulum al-Din dan Minhaj al-Abidin banyak mempengaruhi umat Islam di seluruh dunia Islam. Apatah lagi, al-Ghazali mendedahkan dalam al-Munqidh min al-Dalal bahawa ilmu yang paling baik ialah ilmu tasawuf. Pengaruh al-Ghazali dalam pemikiran al-Banjari juga jelas apabila dirujuk kepada perbincangan isu wihdat al-wujud. Menurut al-Banjari, isu wihdat alwujud perlu diperincikan sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama sufi dan ia dilarang didedahkannya kepada orang awam. Wihdat alwujud tidak bermaksud penyatuan Tuhan dengan manusia. Al-Ghazali sendiri menafikan al-intiqal, iaitu pemindahan sifat-sifat daripada Allah S.W.T kepada hamba-hamba-Nya. Begitu juga belia menafikan al-ittihad, iaitu penyatuan Tuhan dengan manusia dan al-hulul, iaitu Tuhan mengambil tempat manusia atau manusia mengambil tempat Tuhan (alGhazali 1988: 56-65; al-Ghazali 2008: 164). (2) Sayr al-Salikin, Sheikh Abd al-Samad alFalimbani: Pada pendahuluan kitab ini, Sheikh Abd al-Samad al-Falimbani menjelaskan kitab ini merupakan terjemahan kepada kitab Lubab Ihya Ulum al-Din karangan al-Ghazali (al-Falimbani t.th.: 2-3). Terdapat pandangan menjelaskan kitab ini merupakan kitab karangan adiknya, Ahmad. Namun, begitu, terdapat kitab yang berjudul Mukhtasar Ihya Ulum al-Din yang disandarkan kepada al-Ghazali yang matan ringkasnya, khususnya berkenaan ketuhanan adalah sama dengan matan terjemahan alFalimbani (Bouyges 1959: 135; al-Ghazali 1990: 29; al-Falimbani t.th.: 54). Al-Falimbani turut mengakui bahawa di samping terjemahan tulisan al-Ghazali, pandangan darinya juga turut dimuatkan bertujuan agar para pembaca yang tidak mengetahui bahasa Arab dapat memahami huraian al-Ghazali. Beliau menamakan terjemahan ini dengan judul Sayr alSalikin ila Ibadat Rabb al-Alamin (Perjalanan Orang yang Menuju kepada Pengabdian kepada Tuhan Sekalian Alam) (al-Falimbani t.th.: 2-3).

296

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

Pada awal perbahasan tentang topik akidah, alFalimbani menjelaskan setiap individu yang akil baligh wajib mengetahui tentang kesucian zat, sifat dan afal Allah S.W.T. Zat Allah S.W.T ialah wajib al-wujud yang memiliki segala sifat kesempurnaan dan suci daripada segala kekurangan. Beliau menterjemahkan matan al-Ghazali berkaitan akidah, khususnya ketuhanan yang bertajuk al-Tanzih, alHayah, al-Qudrah, al-Ilm, al-Iradah, al-Sam, alBasar, al-Kalam dan al-Afal. Setiap sifat di atas, beliau telah terjemahkan matan asal satu persatu. Beliau juga menjelaskan pandangan al-Ghazali tersebut dengan mengkategorikan sifat-sifat tersebut melainkan topik al-Afal kepada empat bahagian (alFalimbani t.th.: 54-76): Sifat Salbiyyah. Sifat ini wajib dipercayai oleh umat Islam, antaranya seperti yang disebut oleh al-Ghazali, iaitu Allah S.W.T ialah Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang tiada persamaan denganNya, Tuhan yang dikehendaki oleh semua hamba-Nya yang tiadak bagi-Nya lawan, Tuhan yang bersifat Qadim yang tiada awal dan Tuhan yang bersifat Abadi yang tiada akhir. Sifat Tanzih. Sifat ini wajib dipercayai oleh umat Islam, antaranya seperti yang disebut oleh alGhazali, iaitu Allah bukanlah jisim yang dibentuk, bukanlah jawhar yang dapat dihadkan dan ditentukan, Tuhan yang tiada persamaan dengan sesuatu yang baharu, Tuhan yang tidak dikelilingi oleh mana-mana arah dan tidak diliputi oleh mana-mana langit mahupun bumi. Kemudian al-Falimbani menjelaskan Allah S.W.T tidak diliputi oleh arah kanan, kiri, depan, belakang, atas dan bawah sebagaimana yang terdapat dalam matan al-aqidah al-murshidah (al-Subki 1413H, 8:185-186). Sifat Wujudiyyah atau Sifat Maani. Sifat-sifat yang dikaitkan dengan kategori ini ialah tujuh sifat, iaitu al-Hayah, al-Qudrah, al-Ilm, alIradah, al-Sam, al-Basar dan al-Kalam. AlFalimbani juga menjelaskan lagi pandangan alGhazali. Contohnya, al-Ghazali menyatakan Allah S.W.T memiliki al-mulk, al-malakut, alizzah dan al-jabarut. Menurut al-Falimbani, almulk dihuraikan dengan maksud alam yang dapat dilihat dan dirasai oleh pancaindera yang lima, al-malakut bererti alam ghaib yang tidak dapat ditanggapi dengan pancaindera yang lima, alizzah bermaksud sifat kemuliaan dan kesempurnaan yang tidak terhingga dan aljabarut merujuk kepada nama-nama dan sifatsifat Allah S.W.T. Sifat Thubutiyyah atau Sifat Manawiyyah. Sifatsifat ini berkait rapat dengan Sifat-sifat Maani dalam kategori Sifat Wujudiyyah. Contohnya, Allah S.W.T Maha Hidup (hayyan) dengan sifat al-Hayah, Maha Mengetahui (aliman) dengan sifat al-Ilm, Maha Berkehendak (muridan) dengan sifat al-Iradah dan seumpamanya. Al-

Falimbani menjelaskan pandangan al-Ghazali ini berbeza dengan pendapat Muktazilah yang menyatakan Allah S.W.T melihat dengan zatNya yang menyebabkan mereka terkeluar daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Berhubung dengan topik afal Allah S.W.T, alFalimbani menyatakan afal Allah S.W.T berkait rapat dengan sifat yang harus bagi Allah S.W.T. Allah S.W.T harus untuk menjadikan segala yang mumkin dan harus juga untuk tidak menjadikannya. Kemudian, beliau menterjemahkan matan alGhazali. Al-Falimbani juga memasukkan dua ayat al-Quran untuk menjelaskan pandangan al-Ghazali (al-Falimbani t.th.: 72-76). Firman Allah S.W.T, yang mafhumnya: Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendaki-Nya (al-Buruj, 85:16). Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak (al-Anbiya, 21:23). Berdasarkan beberapa contoh ini, al-Falimbani merupakan antara ulama Melayu yang banyak menggunakan pandangan al-Ghazali. Apatah lagi, menurut Sheikah Abu Ali al-Banjari al-Nadwi yang mentahqiq kitab ini dengan memindahkannya kepada tulisan rumi, al-Falimbani pernah berpandangan kitab ini sudah memadai dalam memenuhi kewajipan menuntut ilmu yang fardu ain. Selain kitab Mukhtasar Ihya Ulum al-Din atau Lubab Ihya Ulum al-Din ini, ilmu yang bermanfaat dapat dipenuhi melalui kitab Ihya Ulum al-Din, al-Arbain fi Usul al-Din, Bidayat alHidayah dan Hidayat al-Salikin terjemahan Bidayat al-Hidayah (al-Falimbani t.th.: i-iii & 2-3). Ini menunjukkan pemikiran al-Ghazali, terutama melalui karya agungnya, Ihya Ulum al-Din, telah mempengaruhi pemikiran al-Falimbani melalui kitab yang dikarangnya dalam tulisan Jawi, Sayr alSalikin. KESIMPULAN Berdasarkan perbincangan di atas, dirumuskan bahawa para ulama Melayu banyak terpengaruh dengan beberapa asas pemikiran al-Ghazali, terutama seperti yang dapat diperhatikan dalam karya-karya mereka antaranya ialah seperti al-Durr al-Nafis dan Sayr al-Salikin. Pemikiran yang dimaksudkan di sini ialah pemikiran al-Ghazali yang membincangkan beberapa asas pemikiran akidah. Kitab Ihya Ulum al-Din, Bidayat al-Hidayah dan Minhaj al-Abidin, karangan tokoh bergelar hujjat al-Islam tersebut menjadi antara rujukan utama mereka dalam kitab Jawi. Sumbangan para ulama Melayu dalam mengembangkan asas-asas pemikiran akidah sejak dahulu, khususnya yang diterima daripada al-Ghazali perlu dihargai oleh ummah kini.

297

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

Kalau pun rata-rata manusia kini begitu ghairah membincangkan kepentingan penguasaan ummah dalam bidang sains dan teknologi, khususnya ICT, ilmu tersebut yang mencorakkan pandangan alam mereka tidak patut dipinggirkan dalam arus perkembangan ilmu-ilmu moden kini kerana ia wajib dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang dapat menyumbang ke arah mempertahankan akidah yang sahih, mendorong untuk menghidupkan jiwa umat Islam, khususnya orang Melayu dan membangkitkan semangat mereka bagi meraih kejayaan dalam kehidupan mereka di dunia dan akhirat berasaskan akidah yang sahih. Karya seperti al-Durr al-Nafis dan Sayr al-Salikin sebagai contohnya, turut menyumbang kepada pembentukan epistemologi dan worldview Melayu yang berasaskan aliran kosmologi akidah dan tasawuf menurut perspektif al-Ghazali. RUJUKAN Abu Hassan Mohd Sham. 2004. Syarahan Perdana Ulama Nusantara: Antara Penghasilan Karya Kreatif dan Kitab Jawi. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu. Ahmad Fathy al-Fatani. 2002. Ulama Besar dari Patani. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Ahmad Zaki Ibrahim. 1988. Al-Imam al-Ghazali: Pengaruh dan penglibatannya dengan orang lain. Dlm. al-Imam al-Ghazali dan Sumbangannya. Kuala Lumpur: Akademi Islam, Universiti Malaya. al-Attas, S.M. Naquib. 1999. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: ABIM. Azyumardi Azra. 2002. Jaringan Global dan Lokal Islam Nusantara. Terj. Iding Rosyidin Hasan. Bandung: Penerbit Mizan. Bouyges, Maurice. 1959. Essai de Chronologie des Oeuvres de Al-Ghazali (Algazel). Sunt. Michel Allard. Beirut: L'Institute de Letters Orientalles de Berouth. al-Banjari, Muhammad Nafis ibn Idris. t.th. al-Durr al-Nafis, t.tp.: Percetakan al-Maarif Sdn. Bhd. al-Dhahabi. 1993. Siyar Alam al-Nubala. Cet. 9. Beirut: Muassasat al-Risalah. al-Falimbani, Sheikh Abd al-Samad. t.th. Sayr alSalikin ila Ibadat Rabb al-Alamin (Sairus Salikin Perjalanan Orang Yang Salik Kepada Allah). Tahqiq Abu Ali al-Banjari al-Nadwi. Alor Star: Khazanah Banjariah. al-Ghazali, Abu Hamid. 1990. Mukhtasar Ihya Ulum al-Din. Tahqiq Muassasat al-Kutub alThaqafiyyah. Beirut: Muassasat al-Kutub alThaqafiyyah. al-Ghazali, Abu Hamid. 2008. al-Maqsad al-Asna fi Sharh Asma Allah al-Husna. Tahqiq Abu Sahl & Najah Iwad Siyam. Kaherah: Dar al-Muqtim li al-Nashr wa al-Tawzi.

al-Ghazali, Abu Hamid. 1988. al-Munqidh min alDalal. Dlm. Ahmad Shams al-Din (pnyt.). alMajmuah al-Rasail al-Imam al-Ghazali. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. al-Halabi, Ali ibn Burhan al-Din. 1400H. al-Sirah al-Halabiyyah fi Sirat al-Amin al-Mamun. Beirut: Dar al-Marifah. Hamka, Haji Abdul Malik Karim Amrullah. 1977. Sambutan terjemahan Ihya Ulumiddin. Dlm. Tengku Ismail Yakub. Ihya Ulumiddin Jiwa Agama. Terj. Jil. 1-2. Jakarta: Penerbit Asli. Ibn Asakir, Ali ibn al-Hasan. 1928/9. Tabyin Kadhbi al-Muftari fi ma Nusiba ila al-Imam Abi al-Hasan al-Ashari. Damshiq: t.pt. Ibn al-Imad, Shihab al-Din Abu al-Falaj Abd alHayy ibn Ahmad. 1989. Shadharat al-Dhahab fi Akhbar Man Dhahab. Tahqiq Mahmud alArnaut. Juz. 5. Beirut: Dar Ibn Kathir. Ibn Kathir, Abu al-Fida Ismail. 1988. al-Bidayah wa al-Nihayah. Tahqiq Ali Shiri. t.tp.: Dar Ihya al-Turath al-Arabi. Ibn Kathir, Abu al-Fida Ismail. 1998. al-Bidayah wa al-Nihayah. Tahqiq Abd Allah ibn Abd alMuhsin al-Turki. Juz. 16. Giza: Markaz alBuhuth wa al-Dirasat al-Arabiyyah alIslamiyyah. Jelani Harun. 2000. Imam al-Ghazali dan Nasihat alMuluk (Nasihat Ulama Tentang Adab Pemerintahan). Jurnal Filologi Melayu. Jil. 8. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia. al-Madkur, Abd al-Hamid. 2009. Ittijahat alMuslimin nahwa al-tasawwuf, fi ishraf Mahmud Hamdi Zaqzuq. Mawsuat al-Tasawwuf alIslami. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Mahayudin Yahaya. 2001. Islam di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mahdini. 2000. Etika Politik Pandangan Raja Ali Haji dalam Tsamarat al-Muhimmah. Pekanbaru: Yayasan Pusaka Riau. Mohammad Redzuan Othman. 2001. Masjid alHaram dan peranannya dalam perkembangan awal pendidikan dan intelektualisme Melayu. Jurnal Usuluddin. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Mohd Kamal Hasan. 1996. Towards Actualizing Islamic Ethical and Educational Principles in Malaysian Society: Some Critical Observations. Kuala Lumpur: ABIM. Mohd Sobri Ellias. 2011. Aqidah al-Sultan alMujahid al-Faqih Salahuddin al-Ayyubi. Kuala Lumpur: Assolahiyyah Global Sdn. Bhd. Mohd Zaidi Abdullah. 2004. Nafas Baru Hikmah alIsyraqi dari Estetika menuju Fizika. Shah Alam: Kurnia Ilham. al-Qardawi. 1997. Pro-kontra Pemikiran al-Ghazali. Terj. Achmad Satori Ismail. Surabaya: Risalah Gusti. al-Qaradawi, http://qaradawi.net/news/537.html, 15 September 2011

298

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

al-Razi, Fakhr al-Din. 2000. Sharh Asma Allah alHusna li al-Razi wa Huwa al-Kitab al-Musamma Lawami al-Bayyinat Sharh Asma Allah Taala wa al-Sifat. Kaherah: al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turath. Ridell, Peter. 2001. Islam and The MalayIndonesian World: Transmission and Respons. Singapore: Horizon Books. al-Sinan, Hamad & al-Anjari, Fawzi. t.th. Ahl alSunnah al-Ashairah Shahadah Ulama alUmmah wa Adillatuhum. t.tp.: Dar al-Diya. al-Subki, Abd al-Wahhab ibn Ali. t.th. Tabaqat alShafiiyyah al-Kubra. Tahqiq Mahmud Muhammad al-Tanahi. Juz. 3. Kaherah: Dar Ihya al-Kutub al-Arabiyyah. al-Subki, Abd al-Wahhab ibn Ali. 1413H. Tabaqat al-Shafiiyyah al-Kubra. Tahqiq Mahmud Muhammad al-Tanahi. Cet. 2. t.tp.: Hijr li alTibaah wa al-Nashr wa al-Tawzi.

Van Bruinessen, Martin. 1995. Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat: Tradisi-tradisi Islam di Indonesia. Terj. Farid Wajidi. Bandung: Penerbit Mizan. Watson, Barbara. 1979. Islamic thought and Malay tradition: The writings of Raja Ali Haji of Riau (1809-1870). Dlm. Reid, Anthony & Marr, David (pnyt.). Perceptions of the Past in Southeast Asia. Kuala Lumpur & Hong Kong: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd. W.M. Shaghir Abdullah. 1990. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara. Shah Alam: Penerbitan Hizbi. Zarruq, Abu al-Abbas Ahmad. 2007. Sharh Aqidat al-Imam al-Ghazali. Tahqiq Muhammad Abd al-Qadir Nassar. Kaherah: Dar al-Karz.

299

You might also like